Post on 03-Mar-2019
437
BAB 6: KESIMPULAN DAN IMPLIKASI DASAR
6.1 Pendahuluan
Kajian ini menganalisis mengenai keterdedahan–keterdedahan risiko syariah dalam SPT
di Malaysia. Berdasarkan hasil perbincangan bab-bab yang lepas, bab ini akan membuat
kesimpulan dan mengemukakan implikasi dasar dengan menumpukan kepada persoalan
kajian dan objektif kajian seperti yang dinyatakan dalam bab satu kajian ini. Selain itu
juga, kajian ini akan menjelaskan beberapa cadangan untuk kajian yang akan datang dan
kesimpulan keseluruhan kajian ini. Berikut adalah rumusan kajian berdasarkan persoalan
dan objektif kajian yang telah dinyatakan pada bab satu kajian ini.
6.2 Rumusan
Pertama, pematuhan syariah merupakan elemen utama yang membezakan SPT dengan
syarikat insurans konvensional. Matlamat utama penubuhan SPT adalah untuk
memenuhi keperluan dan permintaan pasaran masyarakat Muslim yang memerlukan
produk kewangan yang bebas daripada elemen-elemen tidak patuh syariah bagi
melindungi risiko diri, keluarga, harta-benda, barang perniagaan dan lain-lain barang dan
perkhidmatan sekiranya berhadapan kemalangan, kematian atau lain-lain musibah
kerugian. Sebelum tahun 1984, hanya terdapat produk insurans konvensional untuk
melindungi diri, keluarga harta-benda, barang perniagaan dan lain-lain. Bagaimanapun,
produk insurans konvensional telah diputuskan sebagai tidak patuh syariah kerana
mempunyai elemen riba, perjudian dan gharar. Penubuhan SPT untuk menawarkan
produk pengurusan risiko dikenali sebagai takaful yang merupakan kontrak berasaskan
kepada semangat kerjasama dan tolong-menolong. Walau bagaimanapun, pihak SPT
perlu memastikan seluruh operasi SPT adalah patuh syariah dari semasa ke semasa.
Keperluan terhadap pematuhan syariah bukan sahaja dalam produk dan kontrak semata-
438
mata malahan dalam operasi termasuklah pemasaran, pelaburan, pengunderaitan dan
lain-lain. Disebabkan keperluan terhadap pematuhan syariah, maka SPT terdedah dengan
risiko yang disebabkan ketidakpatuhan kepada keperluan syariah dikenali sebagai risiko
syariah. Terdapat dua aspek yang menyebabkan keterdedahan risiko syariah. Pertama,
terdapat riba, gharar, perjudian, ghubn, paksaan, taghrīr, ghalaṭ dan elemen-elemen lain
yang diputuskan tidak patuh syarah oleh MPS BNM atau JKS SPT. Kedua, keterdedahan
risiko syariah wujud apabila terdapat faktor-faktor keterdedahan risiko syariah seperti
isu resolusi syariah, operasi, sistem, kakitangan, kelemahan tadbir urus syariah dan lain-
lain.
Kedua, keterdedahan risiko syariah dalam SPT turut melibatkan aspek-aspek
perundangan berkaitan operasi penting SPT seperti pengasingan dana takaful, menangani
defisit dalam dana risiko peserta takaful, kepentingan boleh lindung, kewajipan
pendedahan, pembayaran manfaat takaful, tanggungjawab dan bidang kuasa MPS BNM
dan Jawatankuasa kuasa Syariah SPT. Sebelum APKI 2013 digazetkan pada 22 Mac
2013, industri takaful bergantung sepenuhnya kepada Akta Takaful 1984 bermula
apabila Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) iaitu SPT pertama ditubuhkan.
Setelah 25 tahun kemudian, ABNM 2009 pula telah digazetkan untuk memenuhi
kelompangan perundangan kewangan Islam yang semakin berkembang pesat namun
masih belum memenuhi kelompongan atau lakuna perundangan khususnya bagi SPT.
Setelah SPT mengalami perubahan yang pesat, terdapat banyak keputusan dan
resolusi syariah terkini yang diputuskan di peringkat pengawalselia iaitu MPS BNM
khususnya bagi isu-isu melibatkan operasi takaful seperti pengasingan dana takaful,
menangani defisit dalam dana risiko peserta takaful, kepentingan boleh lindung,
kewajipan pendedahan dan pembayaran manfaat takaful. Walaupun resolusi syariah
telah memutuskan dengan jelas mengenai isu-isu keterdedahan risiko syariah berkaitan
439
aspek-aspek operasi tersebut, tetapi terdapat juga ruang-ruang kelompongan keputusan
resolusi syariah tersebut dipertikaikan kerana tiada perundangan sivil yang jelas
mengenai sejauhmana peruntukkan sah di sisi perundangan sivil. Kelompongan
perundangan sivil berkaitan pematuhan resolusi syariah menyebabkan ada resolusi
syariah tersebut tidak diimplementasikan oleh SPT-SPT tertentu1 kerana kebimbangan
terhadap pertikaian resolusi syariah tersebut. Tambahan lagi, terdapat isu-isu insiden
risiko syariah yang telah berlaku di peringkat global contoh isu status patuh syariah
kontrak ṣukūk2 dan isu pertikaian The Invesment Dar (TID) Company K.S.C.C (Kuwait)
Lawan Blom Development Bank (Blom) S.A.L (Lebanon)3. Oleh sebab itu, pihak
pengawalselia iaitu BNM telah mengeluarkan satu perundangan terkini dan mempunyai
peruntukkan yang jelas untuk mengawal selia operasi semua institusi kewangan Islam
termasuklah SPT iaitu APKI 2013. Hasil dapatan perbandingan semasa pra dan pasca
APKI menunjukkan bahawa keterdedahan risiko syariah melibatkan aspek operasi-
operasi utama SPT seperti pengasingan dana takaful, menangani defisit dalam dana risiko
peserta takaful, kepentingan boleh lindung, kewajipan pendedahan, pembayaran manfaat
takaful, tanggungjawab dan bidang kuasa MPS BNM dan JKS SPT serta tadbir urus
syariah telah jelas. Ini bermaksud APKI 2013 telah menutup ruang-ruang kelompangan
perundangan berkaitan SPT sekaligus menguruskan keterdedahan risiko syariah melalui
perundangan sivil.
Ketiga, keterdedahan risiko syariah turut berlaku dalam praktis sebenar SPT di
Malaysia. Keterdedahan risiko syariah melibatkan keseluruhan aktiviti dan operasi SPT
1 Terdapat SPT-SPT yang tidak melaksanakan benefisiari hibah bersyarat bagi penamaan kontrak takaful
walaupun resolusi syariah telah membenarkan pelaksanaan penamaan hibah bersyarat dalam pembayaran
manfaat takaful. Lihat Nurdianawati Irwani Abdullah dan Nazliatul Aniza Abdul Aziz. “Case Studies of
the Practice of Nomination and Hibah by Malaysian Takaful Operators” ISRA International Journal of
Islamic Finance 2, no.2 (2010), 67-100. 2 Wafica Ali Ghoul, “The Dilemma Facing Islamic Finance and Lessons Learned from the Global Financial
Crisis”, Journal of Islamic Economics, Banking and Finance 60 (7), no. 1, (Jan-Mar 2011), 57-76. Huraian
lanjut lihat bab 2 kajian ini. 3 The Investment Dar Company KSCC v. Blom Developments Bank Sal (2009) CH/2009/PTA/0455.
Huraian lanjut lihat bab 2 kajian ini.
440
di Malaysia dalam pelbagai aspek seperti pelaburan, penerimaan risiko takaful am dan
keluarga, kesalahan kakitangan dan agen SPT, kesalahan sistem maklumat dan pelbagai
lagi. Hasil analisis data temu bual 11 informan yang terdiri Pegawai Bahagian Syariah
dan JKS SPT menunjukkan sebanyak 18 keterdedahan-keterdedahan risiko dalam SPT
di Malaysia yang telah dikodkan dengan menggunakan program Atlas.ti 7.
Keterdedahan-keterdedahan risiko syariah dilihat berbeza antara satu SPT dengan SPT
yang lain. Malahan, keterdedahan risiko syariah juga sukar dijangka dan memerlukan
proses pengenal pastian yang teliti dan mendalam untuk mengetahui dan memahami
sebarang keterdedahan-keterdedahan terhadap risiko syariah dalam operasi SPT.
Dapatan kajian menunjukkan terdapat empat aspek utama yang terdedah kepada risiko
syariah yakni berkaitan resolusi syariah, operasi, sumber manusia dan kelemahan tadbir
urus syariah.
Keempat, hasil analisis data 11 informan yang telah ditemu bual turut
menunjukkan kebanyakan SPT tiada atau belum mempunyai model pengurusan risiko
syariah yang komprehensif dan sempurna4. Hasil temubual informan-informan kajian
mendapati 3 SPT iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Takaful Ikhlas Berhad dan
AmMetlife Takaful Berhad mempunyai usaha membangunkan sistem pengurusan risiko
syariah yang komprehensif dengan adanya kakitangan khusus menguruskan risiko
syariah dan bekerjasama dengan kepakaran kakitangan Bahagian Pengurusan Risiko5.
Manakala, SPT-SPT lain menguruskan keterdedahan risiko syariah melalui proses tadbir
urus syariah seperti peranan Bahagian Syariah dan JKS SPT itu sendiri serta pendekatan-
pendekatan lain6. Ini menunjukkan walaupun BNM memberikan tanggungjawab
4 Berdasarkan dapatan temubual menunjukkan integrasi dan peranan kakitangan pengurusan risiko masih
rendah. Lihat Bab 5 “dapatan kajian.” 5 Sepertimana yang dicadangkan oleh BNM. Lihat Bank Negara Malaysia, Shariah Governance
Framework for Islamic Financial Institutions, 25. 6 Lihat Jadual 5.6: Dapatan Analisis Silang Data Jumlah petikan (quotation) Berdasarkan kod (Pendekatan
Pengurusan Keterdedan Risiko Syariah) dan Primer Data (hasil temu bual informan-informan kajian).
441
pematuhan syariah kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Pegawai-Pegawai Kanan dan JKS
SPT7 tetapi hanya Kakitangan khusus pematuhan syariah seperti Bahagian Syariah SPT
dan JKS SPT yang menguruskan keterdedahan risiko syariah di peringkat dalaman SPT.
Bagaimanapun, kakitangan bahagian seperti pengunderaitan, pemasaran, pelaburan turut
membantu dalam mengenal pasti keterdedahan risiko syariah SPT di Malaysia. Namun,
peranan kakitangan SPT ini perlu dipantau dan dikawal selia oleh Bahagian Syariah dan
JKS SPT dari semasa ke semasa.
Kelima, pengurusan keterdedahan risiko syariah dalam operasi dan aktiviti SPT
bukan sahaja memastikan SPT bebas daripada elemen riba, perjudian, gharar dan lain-
lain elemen tidak patuh syariah yang diputuskan oleh MPS BNM dan JKS SPT.
Malahan, pengurusan risiko syariah merangkumi matlamat untuk memastikan SPT
memenuhi segala liabiliti dalam kontrak takaful yang telah dipersetujui antara SPT dan
para peserta takaful. Dengan erti kata yang lain, keperluan patuh syariah SPT, bukanlah
membuka ruang untuk pertikaian sama ada patuh syariah atau tidak patuh syariah tetapi,
keperluan patuh syariah bertujuan memastikan kesemua liabiliti dalam kontrak takaful
dapat dipenuhi dan diimplementasi sepenuhnya untuk kepentingan semua pihak yang
berkontrak. Dalam masa yang sama, SPT perlu memastikan pematuhan syariah yang
pada tahap yang terbaik dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, proses pengurusan risiko
syariah bukan selesai dalam tempoh masa singkat malahan usaha penambah baik
pengurusan risiko syariah merupakan proses berterusan dan berlangsungan selagi mana
SPT beroperasi. Situasi dan cabaran menguruskan keterdedahan risiko syariah turut
berubah berubah mengikut suasana pasaran.
Keenam, terdapat insiden-insiden risiko syariah yang telah dikenal pasti berlaku
dalam SPT-SPT di Malaysia contohnya lebihan dalam caj wakalah dan penerimaan risiko
7 Lihat, Seksyen 29 (3) APKI 2013.
442
am yang tidak patuh syariah dan pelaburan sekuriti yang tidak patuh syariah. Namun
begitu, pihak SPT-SPT di Malaysia melalui Bahagian Syariah, JKS SPT dan bahagian-
bahagian lain SPT telah menjalankan langkah pemulihan atau pembetulan yang terbaik
dengan memastikan pengurusan insiden risiko syariah yang telah berlaku. Secara
teoritikalnya, insiden risiko syariah ini memberi implikasi negatif terhadap SPT tersebut.
Bagaimanapun, dalam amalan sebenar industri takaful, usaha dan komitmen SPT untuk
melakukan langkah pembetulan seperti mengasingkan pendapatan dan menyerah
pendapatan tidak diiktiraf syariah tersebut kepada badan-badan kebajikan merupakan
satu tindakan pembetulan yang terbaik. Justeru, implikasi dan persepsi negatif terhadap
SPT yang berhadapan dengan insiden risiko syariah perlu diperbetulkan. Proses tindakan
pembetulan dan pemulihan insiden risiko syariah menunjukkan ketelusan dan komitmen
jitu SPT tersebut untuk memastikan seluruh operasi dan aktiviti SPT adalah patuh syariah
bertepatan dengan kehendak para peserta, para pemegang saham dan reputasi industri
kewangan Islam secara amnya.
Ketujuh, ketelusan dan maklumat mengenai keterdedahan risiko syariah dan
pendekatan pengurusan keterdedahan risiko syariah kini bukan hanya untuk golongan
Muslim malahan meliputi masyarakat termasuklah bukan Muslim. Ini berikutan
pengurusan keterdedahan risiko syariah adalah bermatlamat pencapaian Maqāṣid al-
Sharīah melindungi perkara-perkara asas seperti agama, nyawa, akal, keturunan dan
harta benda sehingga pencapaian kemaslahatan yang sempurna yakni tahṣīniyyāt seperti
mempunyai hak kebebasan menyerahkan manfaat takaful kepada sesiapa yang
dikehendaki melalui benefisiri hibah bersyarat8. Pengurusan risiko syariah merangkumi
8 Para peserta takaful sama ada Muslim atau bukan Muslim dibenarkan membuat penamaan pembayaran
manfaat takaful kepada sesiapa sahaja melalui kontrak benefisiari hibah bersyarat. Manakala, kontrak
insurans konvensional hanya membenarkan pembayaran manfaat takaful kepada statuory trust sahaja iaitu
pasangan suami atau isteri, anak-anak atau ibu bapa sekiranya tiada pasangan atau anak-anak yang layak
menerima wang polisi insurans tersebut. Perbincangan lanjut lihat, Mohd Faiz Mohamed Yusof, Joni
Tamkin Borhan dan Nurhanani Romli, “Pendekatan Wasatiyah dalam Praktis Pembayaran Manfaat
443
komitmen pihak SPT untuk memenuhi kontrak takaful sepenuhnya kerana setiap liabiliti
dianggap sebagai amanah para peserta kepada SPT untuk dilaksanakan dan dipenuhi
sebaiknya. Kegagalan pihak SPT memenuhi liabiliti kontrak takaful dianggap sebagai
mungkir atau tidak menjalankan amanah sebagai wakil para peserta takaful. Justeru,
pengurusan risiko syariah merupakan perlindungan terhadap kontrak takaful dan
bukannya ruang atau kebarangkalian untuk dipertikai sama ada kontrak tersebut patuh
syariah atau tidak patuh syariah.
6.3 Implikasi Dasar
Berdasarkan kepada penjelasan rumusan-rumusan di bahagian 6.1, bahagian ini akan
mengemukakan beberapa impikasi dasar khusus yang bersesuaian dengan keterdedahan-
keterdahan risiko syariah dalam SPT di Malaysia. Berikut adalah impikasi dasar yang
dikemukakan berdasarkan kepada rumusan yang telah dihuraikan di atas.
Pertama, keterdedahan risiko syariah dalam aspek penerimaan risiko takaful am
dan takaful keluarga adalah berbeza antara satu SPT dengan SPT yang lain. Jika dilihat
secara literal, situasi ini seakan-akan menyebabkan pertikaian dan perbezaan dalam
industri takaful di Malaysia. Namun begitu, situasi ini bukan pertentangan pandangan
syariah akan tetapi disebabkan kesemua SPT-SPT di Malaysia mempunyai profil dan
visi syarikat yang pelbagai. Contohnya ada SPT yang dimiliki syarikat tempatan dan juga
SPT berkongsi pemilikan dengan syarikat antarabangsa. Terdapat juga perbezaan dalam
jenis lesen pengendali takaful sama ada komposit atau keluarga, jumlah modal,
kekukuhan syarikat sama ada syarikat baru atau lama dan kecenderungan perniagaan
yang berbeza. Jesteru, keputusan resolusi syariah di peringkat MPS adalah lebih ringan
dan mampu dipraktis oleh mana-mana SPT yang beroperasi di Malaysia. Selain itu, pihak
Takaful di Malaysia” (makalah, Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu kali ke-V, College of
Islamic Studies, Prince of Songkla University, Pattani Thailand, 12-14 September 2015), 147-166.
444
MPS BNM sentiasa terbuka dengan sedia berbincang sekiranya SPT berhadapan
masalah-masalah tertentu pada aspek pematuhan syariah. Bagaimanapun, BNM juga
telah menggazetkan APKI 2013 sebagai perundangan pematuhan syariah dalam industri
kewangan Islam termasuklah industri takaful. Selain itu juga, terdapat standard-standard
pematuhan syariah yang telah diputuskan oleh MPS BNM khususnya garis panduan yang
perlu dipatuhi oleh semua SPT di Malaysia.
Kedua, peruntukkan perundangan AKPI 2013 baru digazetkan dalam tempoh
lebih kurang 3 tahun sahaja. Suatu tempoh yang masih baru khususnya bagi
mengimplementasikan sepenuhnya perundangan dalam praktis sebenar. Oleh sebab itu,
terdapat peruntukkan perundangan dalam APKI 2013 masih dipertikaikan, samar dan
tidak jelas dalam aspek pelaksanaan dalam pasaran. Justeru, BNM dan SPT perlu
bekerjasama merangka kursus atau silibus pengajian untuk memberi pengetahuan
pematuhan syariah dan dalam konteks perundangan terkini iaitu APKI 2013. Silibus
pengajian pematuhan syariah dan perundangan APKI 2013 perlu diwajibkan kepada
semua kakitangan SPT merangkumi kakitangan Syariah, pemasaran, pengunderaitan,
pembangunan produk, pihak pengurusan SPT, agen dan broker SPT. Malahan silibus
pengajian pematuhan syariah dan perundangan APKI 2013 ini boleh disyorkan dan
digalakkan kepada semua peserta dan bakal peserta terutama peserta berkapasiti besar
seperti syarikat, organisasi atau badan-badan tertentu untuk memahami aspek pematuhan
syariah dan perundangan APKI 2013. Ini berikutan semua pihak-pihak yang berurusan
dalam operasi SPT perlu memahami kontrak asas dalam kewangan Islam khususnya
takaful. Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan menguruskan daripada
berlakunya insiden-insiden risiko syariah. Langkah mewajibkan kos pengajian berkaitan
pematuhan syariah dan perundangan APKI 2013 merupakan pendekatan dalam
mengukuhkan proses pengurusan risiko syariah dalam SPT.
445
Ketiga, keterdedahan risiko syariah turut disebabkan persepsi masyarakat umum
Muslim di Malaysia yang SPT begitu berhati-hati dan terpaksa menolak permohonan
risiko yang mempunyai imej buruk pada pandangan masayarakat Muslim. Walaupun,
risiko tersebut pada hakikat masih lagi dalam ruang lingkup Maqāṣid al-Sharīah itu
sendiri yang melindungi nyawa, agama, akal, harta-benda dan keturunan. Tetapi, risiko
tersebut terpaksa ditolak atas dasar menjaga reputasi dan akhirnya pihak pemohon
tersebut terpaksa memohon perlindungan insurans konvensioanal yang jelas mempunyai
elemen haram seperti riba, perjudian dan gharar. Kebanyakan masyarakat Muslim
umumnya beranggapan bahawa IKI termasuklah SPT hanya merupakan institusi yang
beroperasi seperti masjid atau jabatan agama Islam atau badan kebajikan Islam yang
menguruskan hal ehwal orang Muslim semata-mata.
Sedangkan pematuhan syariah itu bersifat universal melindungi seluruh alam
termasuklah Muslim, bukan Muslim, harta benda, alam sekitar sehingga makhluk seperti
haiwan dan tumbuhan. Inilah yang merupakan objektif dalam pematuhan syariah. Oleh
sebab itu, kerajaan, BNM atau SPT itu sendiri perlu memberi pengetahuan dan
penjelasan lanjut melalui kempen penerangan dan penjelasan sebenar mengenai patuh
syariah. Seperti kempen kefahaman Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)
kepada masyarakat umum melalui media massa, kempen pemahaman konsep patuh
syariah perlu dijelaskan kepada masyarakat umum Muslim dan bukan Muslim melalui
media masa seperti televisyen, radio, akhbar-akhbar bercetak dan juga laman sosial yang
begitu efektif dalam penyebaran maklumat dan penjelasan berkaitan. Ini merupakan
salah satu pendekatan menguruskan risiko syariah yang melibatkan persepsi negatif
daripada masyarakat umum mengenai IKI patuh syariah. Namun begitu, ini merupakan
cabaran dan tanggungjawab besar dalam memberi kefahaman pematuhan syariah kepada
masyarakat dan memerlukan suatu tempoh masa yang panjang.
446
Keempat, pemahaman masyarakat umum sama ada Muslim dan bukan Muslim
mengenai konsep pematuhan syariah memberikan ruang dan peluang urus niaga kontrak
takaful yang lebih besar. Walaubagaimanapun, proses pengurusan keterdedahan risiko
syariah seringkali berhadapan konflik antara pematuhan syariah dan pengukuhan
perniagaan. Dalam situasi ini, konsep pengharmonian perlu diaplikasikan yakni
keseimbangan antara pematuhan syariah dan pengukuhan perniagaan. Ini kerana kedua-
dua aspek ini saling memerlukan dalam industri takaful. Kebanyakan situasi memerlukan
keutamaan pematuhan syariah kerana patuh syariah syariah adalah elemen utama yang
membezakan dengan operasi syarikat insurans konvensional. Namun begitu, tidak
dinafikan bahawa SPT juga berhadapan masalah yang tidak dapat dielakkan yang
menyebabkan SPT perlu bertolenrasi dalam aspek pematuhan syariah. Oleh yang
demikian, kompentensi dan kebijaksanaan JKS SPT di peringkat SPT dan MPS BNM
sangat diperlukan dalam proses ijtihad dalam memutuskan resolusi syariah yang
berdasarkan kajian dan pembuktian yang jelas dan mendalam.
Kelima, BNM selaku pengawal selia perlu menjalankan pemantauan dalaman
dan luaran secara berkala berkaitan pematuhan syariah dalam operasi SPT. BNM
merupakan sebahagian daripada medium sistem penyaringan pematuhan syariah. Oleh
yang demikian, BNM telah menggubal perundangan APKI 2013 untuk memastikan
keseluruhan operasi SPT mengutamakan aspek pematuhan syariah. Di peringkat awal,
pematuhan syariah hanya sekadar hukuman Seksyen 11(1) (a) Akta Takaful 1984 yakni
BNM boleh membatalkan lessen perniagaan takaful tersebut. Kemudian, diikuti
penggazetan seksyen 59(3) ABNM 2009 menyatakan mana-mana orang yang tidak
mematuhi garis panduan BNM termasuklah berkaitan pematuhan syariah boleh didenda
tidak melebihi tiga juta ringgit. Terkini, seksyen 28(5) dan seksyen 29(6) APKI 2013
yang mengenakan hukuman tegas yakni apabila disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi lapan tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh lima
447
juta ringgit atau kedua–duanya. Hukuman yang semakin berat dan tegas ini
menyebabkan setiap individu dalam SPT termasuklah Lembaga Pengarah, Pegawai-
Pegawai Kanan dan kakitangan lain sentiasa waspada dan menyedari kepentingan
mengenai implementasi patuh syariah dalam seluruh operasi SPT.
Keenam, apa sahaja setiap keterdedahan risiko syariah yang berlaku dalam IKI
termasuklah SPT mesti diuruskan secara komprehensif dan melalui proses pembetulan
dan penambah baikkan. Tidak dinafikan pengurusan risiko syariah bergantung kepada
maklumat-maklumat yang diperolehi dan kemudian melalui proses ijtihad oleh
kepakaran dan sarjana kewangan Islam di Malaysia yang terdiri di kalangan MPS BNM
dan ahli-ahli JKS SPT. Dalam proses pengurusan keterdedahan risiko syariah, terdapat
kebarangkalian berlakunya kesalahan dan kesilapan yang dilakukan yang mana mungkin
menyebabkan insiden risiko syariah. Tindakan yang paling penting adalah bagaimana
proses menguruskan insiden risiko syariah agar kembali pada tahap patuh syariah. Pihak
pengawal selia atau JKS SPT atau mana pihak berkaitan SPT tidak boleh sewenang-
wenang mempertikaikan kontrak takaful lantas membatalkan segala kontrak dan
perjanjian tersebut. Tindakan membatalkan segala kontrak dan perjanjian dilihat begitu
mudah akan tetapi memberikan implikasi negatif yang besar kepada industri takaful
khususnya dan industri kewangan Islam amnya. Tambahan lagi, Malaysia merupakan
negara yang dijadikan rujukan dunia dalam menjalankan industri kewangan Islam.
Justeru, segala tindakan IKI di Malaysia dalam menangani keterdedahan risiko syariah
akan dijadikan panduan dan rujukan oleh pengamal industri kewangan Islam dari negara-
negara lain. Oleh sebab itu, pengawal selia perlu bersedia berhadapan dengan segala
kemungkinan keterdedahan risiko syariah dengan bantuan dan kerjasama kepakaran-
kepakaran kewangan Islam untuk memastikan pengurusan risiko syariah yang terbaik
bagi mengukuhkan daya tahan dan pembangunan industri kewangan Islam di Malaysia.
448
Ketujuh, keterdedahan risiko syariah meliputi aspek perundangan, operasi,
penerimaan risiko, pelaburan dan aspek-aspek teknikal dalam SPT. Oleh sebab itu, SPT
memerlukan sumber modal insan yang menguasai bidang kepakaran iaitu berkaitan
pematuhan syariah dan juga aspek perundangan, operasi, penerimaan risiko, pelaburan,
pengauditan dan aspek-aspek teknikal dalam operasi SPT. Kerajaan Malaysia dengan
kerjasama BNM serta institusi pengajian tinggi perlu menjalankan usaha sama bagi
melahirkan modal-modal insan yang menguasai dua bidang kepakaran yakni menguasai
aspek pelaburan, pengunderaitan, pengurusan risiko, pengauditan, perakaunan dan lain-
lain aspek teknikal dalam institusi kewangan dan turut mempunyai pengetahuan yang
mantap dalam pematuhan syariah dalam kewangan Islam. Dengan adanya sumber-
sumber manusia berasaskan pengajian kewangan dan pengajian syariah membolehkan
institusi kewangan Islam termasuklah SPT membangunkan operasi SPT bukan sahaja
patuh syariah dari fizikal malahan mempunyai semangat untuk menjalankan aktiviti dan
operasi SPT yang patuh syariah sebagai sebahagian bentuk ibadah kepada Allah S.W.T.
Kelapan, di peringkat awal penubuhan SPT di Malaysia, SPT dianggap sebagai
pengganti atau alternatif kepada syarikat insurans konvensional untuk menawarkan
produk patuh syariah iaitu takaful kepada pasaran masyarakat Muslim di Malaysia.
Namun, setelah 32 tahun SPT di Malaysia dengan jumlah keseluruhan sebanyak 11 SPT
yang beroperasi pada masa kini, SPT bukan lagi alternatif tetapi perlu berubah untuk
menjadi pesaing kepada syarikat insurans konvensional. Peningkatan jumlah caruman
takaful menunjukkan perkembangan industri takaful di Malaysia. Tambahan lagi,
kebanyakan syarikat-syarikat perbankan konvensional dan insurans konvensional di
peringkat global dan tempatan turut menceburi bidang takaful dengan penubuhan SPT
seperti AIA Public Takaful Bhd, Great Eastern Takaful Berhad, HSBC Amanah Takaful
(Malaysia) Berhad, Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad
dan Sun Life Malaysia Takaful Berhad. Keadaan ini menunjukkan peluang urus niaga
449
yang besar dalam industri takaful. Oleh sebab itu, SPT perlu berusaha dengan terbaik
untuk mengukuhkan perniagaan takaful sebagai produk pengurusan risiko patuh syariah.
Secara keseluruhannya, cadangan implikasi dasar yang telah dibincangkan
bertujuan menganalisis keterdedahan-keterdedahan risiko syariah dan pendekatan
menguruskan keterdedahan risiko syariah SPT di Malaysia.
6.4 Cadangan Dan Saranan
Rumusan dan implikasi yang telah diperjelaskan dalam bahagian 6.2 adalah berdasarkan
pengumpulan data teoritikal kajian-kajian terdahulu dan hasil temu bual informan-
informan dalam kajian yang begitu bergantung dan terhad kepada sejauh mana budi
bicara dan kesediaan informan berkongsi maklumat mengenai keterdedahan risiko
syariah. Ini berikutan kebanyakan keterdedahan risiko syariah yang dihadapi oleh SPT
dianggap begitu sulit dan rahsia syarikat kerana persepsi pasaran masih menganggap
bahawa setiap keterdedahan risiko syariah adalah negatif. Sedangkan insiden risiko
syariah yang diuruskan dengan langkah pemulihan dan pembetulan yang betul adalah
tindakan pengurusan risiko syariah yang terbaik. Oleh itu, beberapa cadangan kajian
yang boleh dilakukan untuk kajian akan datang.
1. Menjalankan kajian secara kuantitatif untuk mengkaji bagaimana proses
pengenal pastian, pengukuran dan kawalan keterdedahan risiko syariah dalam
SPT.
2. Menjalankan kajian dalam aspek penerimaan risiko takaful am dan takaful
keluarga daripada perspektif fiqah dan usul al-fiqh dan implikasi terhadap
keterdedahan risiko syariah.
450
3. Menjalankan kajian perbandingan pengurusan risiko syariah antara SPT-SPT di
Malaysia dengan SPT-SPT di negara lain seperti Indonesia, Brunei dan Negara-
Negara Timur Tengah.
6.5 Kesimpulan
Secara keseluruhannya, kajian telah meneliti dan mendalami keterdedahan-keterdedahan
risiko syariah dalam SPT di Malaysia. Kajian ini menyimpulkan bahawa terdapat empat
aspek utama keterdedahan risiko syariah SPT di Malaysia yakni isu resolusi syariah,
sumber manusia, operasi dan kelemahan tadbir urus syariah. Bagaimanapun,
keterdedahan risiko syariah SPT di Malaysia mampu diuruskan melalui pendekatan
tadbir urus syariah di peringkat dalam SPT sahaja khususnya keterdedahan risiko syariah
melibatkan operasi dan sumber manusia. Manakala, keterdedahan risiko syariah
berkaitan isu resolusi syariah seperti ketiadaan standard syariah dan isu kelemahan tadbir
urus syariah seperti kelemahan pengauditan syariah merupakan isu makro yang dihadapi
oleh semua SPT. Keterdedahan risiko syariah melibatkan isu makro memerlukan usaha
yang berterusan dan melalui proses penambah baik dalam jangka masa panjang.
Misalnya, keterdedahan risiko syariah dalam SPT Malaysia berkaitan isu resolusis
disebabkan oleh perbezaan pandangan JKS SPT yang menyebabkan perbezaan praktis
dalam SPT-SPT di Malaysia9. Oleh hal yang demikian, perbezaan pandangan dan praktis
SPT di Malaysia perlu diseragam melalui standard pematuhan syariah daripada
pengawalselia yakni BNM untuk memastikan perbezaan praktis ini tidak memberikan
implikasi yang lebih besar sehingga menyebabkan pertikaian kontrak dan produk takaful
itu sendiri. Dalam situasi tertentu, perbezaan resolusi syariah antara satu SPT dengan
SPT lain mungkin berlaku. Oleh yang demikian, setiap resolusi syariah yang diputuskan
di peringkat dalaman JKS SPT perlu diperjelaskan secara terperinci untuk mengelakkan
9 Perbezaan resolusi syariah dalam kewangan Islam menyebabkan risiko syariah. Lihat Hennie van
Greuning dan Zamir Iqbal, Risk Analysis for Islamic Banks, 181.
451
sebarang pertikaian pada masa akan datang sama ada oleh masyarakat awam mahupun
individu-individu berkepakaran.
Justeru, keseragaman praktis pematuhan syariah melalui standard dan garis
panduan daripada pengawal selia diperlukan terutamanya melibatkan aspek-aspek
operasi penting SPT. Keseragaman praktis standard pematuhan syariah SPT bukan
bertujuan menutup ruang-ruang ijtihad di kalangan kepakaran syariah dalam SPT tetapi
bertujuan mencapai kemaslahatan yang lebih besar kepada SPT iaitu kemampuan
menawarkan produk takaful yang lebih baik, memenuhi setiap liabiliti kontrak takaful
dan meningkat kemampuan penawaran produk-produk takaful. Selain itu juga, peranan
JKS SPT tidak terhad di peringkat SPT semata-mata malahan pandangan JKS SPT ini
turut dipertimbangkan sebelum keputusan atau resolusi syariah di peringkat BNM
dikeluarkan. Oleh yang demikian, perseragaman praktis pematuhan syariah SPT di
Malaysia diperlukan bagi memastikan perkembangan dan daya tahan industri takaful di
Malaysia untuk mendapatkan penguasaan pasaran dalam produk pengurusan risiko
dengan kemampuan bersaing dengan syarikat insurans konvensional.
Sebagai rumusan akhir, kajian menunjukkan terdapat pelbagai keterdedahan
risiko syariah dalam SPT-SPT di Malaysia. Pihak industri takaful khususnya SPT dan
pengawal selia BNM perlu bekerjasama dalam membuat persediaan untuk berhadapan
dengan sebarang keterdedahan-keterdedahan risiko syariah SPT-SPT di Malaysia bagi
memajukan lagi industri takaful di negara ini. Pengurusan risiko syariah yang baik
berupaya untuk membantu bagi memartabatkan Malaysia sebagai sebuah hub kewangan
Islam terbaik di dunia.