Post on 14-Aug-2015
CADANGAN
Rajah 5.1: Cadangan ke arah memupuk perpaduan etnik di Malaysia
Apabila kita menyingkap kembali sejarah tentang pembinaan perpaduan di
Negara Malaysia, ianya bermula selepas peristiwa tragis yang dikenali sebagai
Peristiwa 13 Mei. Menyedari akan kepentingan perpaduan antara rakyat Malaysia, para
pemimpin dari dahulu sehinggalah yang ada pada hari ini amat menekankan perpaduan
dalam pemerintahan mereka. Buktinya dapat dilihat melalui usaha-usaha yang
dilaksanakan ke arah memupuk perpaduan nasional di Malaysia. Antara usaha yang
dilaksanakan ialah penubuhan Jabatan Perpaduan Negara yang kini dikenali sebagai
Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN), pengenalan kepada idelogi
Cadangan ke arah memupuk
perpaduan etnik di Malaysia
Pendidikan sivik dan kewarganegaraan sebagai
satu subjek wajib
Memperbanyakkan program
penghayatan Rukun Negara
Penyedian kawasan/tempat
khas
Memperluaskan perlaksanaan
Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Peranan masyarakat
kebangsaan; Rukun Negara, perlaksanaan dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru,
Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, penggabungan
parti-parti politik seperti Barisan Nasional (BN) dan usaha yang terbaru ialah Gagasan 1
Malaysia. Namun, begitu, sejak akhir-akhir ini perpaduan antara rakyat Malaysia
semakin pudar dari hari ke hari. Oleh yang demikian, berikut merupakan beberapa
cadangan penambabaikan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan dan diamalkan oleh
masyarakat untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum di Malaysia.
Antaranya ialah menambah baik dasar pendidikan kebangsaan iaitu kurikulum
sekolah dengan menjadikan mata pelajaran Pendidikan sivik dan kewarganegaraan
sebagai satu subjek wajib dan semua murid bermula dari Tahun 1 sekolah rendah
hinggalah ke institusi-insitusi tinggi wajib menduduki peperiksaan. Dengan kata lain,
menjadikan Pendidikan Sivik dan kewarganegaraan sebagai mata pelajaran teras
dalam peperiksaan seperti UPSR bagi sekolah rendah, PMR, SPM bagi sekolah
menengah dan peperiksaan akhir sem bagi institusi tinggi. Hal ini kerana, dengan
penekanan ini setiap daripada rakyat Malaysia akan belajar bersungguh-sungguh
tentang mata pelajaran ini. Tambahan pula, dalam mata pelajaran ini terkandung empat
prinsip pendidikan yang penting iaitu prinsip pertama belajar untuk mengetahui
(learning to know), prinsip kedua ialah belajar untuk bertindak (learning to do), prinsip
ketiga pula ialah belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan prinsip
terakhir ialah belajar untuk membentuk peribadi (learning to be). Tidak dapat dinafikan
bahawa pendidikan ini amat penting dalam membina masyarakat yang cintakan tanah
airnya, mengamalkan nilai-nilai murni, bersatu-padu, bertanggungjawab dan mampu
memberi sumbangan kepada pembangunan negara dan bangsa selaras dengan
kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jika diteliti makna Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dengan lebih mendalam, nyata bahawa dasar pendidikan negara adalah
satu dasar yang diwujudkan untuk menyemai rasa cinta kepada negara yang secara
simboliknya menuntut usaha ke arah mempereratkan perpaduan antara satu sama lain
agar kisah 13 Mei 1969 tidak akan berulang. Tegasnya, apabila penekanan diberikan
kepada mata pelajaran ini, setiap rakyat Malaysia akan mempelajari serba sedikit
tentang sivik ataupun sosialisasi politik dari kecil hinggalah mereka dewasa. Pendidikan
sivik dan Kewarganegaraan ini juga adalah berasaskan kepada Rukun Negara.
Sehubungan dengan itu, setiap rakyat Malaysia akan membesar dengan mempelajari
Rukun Negara dan prinsip-prinsip Rukun Negara akan menjadi panduan dan pegangan
hidup mereka yang akan membimbing mereka ke arah kesejahteraan.
Cadangan seterusnya ialah kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan, NGO
mengadakan lebih banyak pendedahan mengenai Rukun Negara terutama mengenai
kontrak sosial dan unsur-unsur tradisi yang terkandung dalam Perlembagaan Negara
kepada masyarakat melalui program-program penghayatan Rukun Negara. Program-
program sebegini selalunya dilaksanakan di sekolah-sekolah sahaja dan jarang
diadakan untuk masyarakat. Oleh itu, perbanyakan program penghayatan Rukun
Negara untuk masyarakat agar setiap masyarakat Malaysia bukan sahaja mengetahui
lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara tetapi juga mengetahui makna
tersurat dan tersirat disebalik prinsip-prinsip berkenaan dan cara-cara
mengaplikasikannya dalam kehidupan. Seperti teguhnya sebuah rumah kerana tiang
yang kukuh, begitulah pentingnya pengetahuan dan penghayatan mengenai lima
prinsip Rukun Negara dalam membentuk perpaduan di Malaysia. Hal ini kerana, jika
setiap rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan yang utuh tentang prinsip Rukun
Negara maka tidak akan timbul masalah tidak puas hati terhadap kaum lain terutama
mengenai hak kesamarataan antara kaum Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak
dengan kaum-kaum lain. Perkara-perkara sensitif seperti ini tidak akan dipertikaikan
sekiranya rakyat Malaysia mengetahui dengan lebih teliti mengenai perkara tersebut.
Cadangan ketiga ialah menekankan kepada setiap kaum untuk mempromosikan
kaum mereka dengan menyediakan satu kawasan ataupun tempat seperti taman tema
yang mengandungi informasi-informasi berkenaan setiap kaum di Malaysia terutama
kaum-kaum di Sabah dan Sarawak. Bak kata pepatah Melayu ‘tak kenal maka tak
cinta’. Oleh itu, dengan wujudnya taman-taman seperti ini terutama di Semenanjung
Malaysia, maka rakyat yang tinggal di Semenanjung Malaysia akan mengetahui tentang
kaum-kaum di Sabah dan Sarawak dan begitulah sebaliknya. Hal ini bukan sahaja
memberi informasi kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, tetapi juga dapat
saling memberi kefahaman tentang budaya masing-masing sekali gus boleh meghapus
rasa ketidakpercayaan dan prasangka serta rasa pandang rendah terhadap kaum lain
secara perlahan-lahan selaras dengan prinsip kelima dalam Rukun Negara iaitu
Kesopanan dan Kesusilaan yang merangkumi tentang nilai-nilai yang diwarisi oleh
sesuatu kaum itu juga, dapat ditunjukkan serta ianya juga bertepatan dengan Dasar
Kebudayaan Kebangsaan. Hasilnya, masyarakat bukan sahaja dapat beriadah, tetapi
juga membina pengetahuan mengenai kaum-kaum lain disamping memupuk nilai-nilai
murni seperti hormat-meghormati, bertimbang rasa, saling memahami, kesopanan,
ramah mesra, toleransi dan sebagainya kepada kaum-kaum lain. Dengan timbulnya
nilai-nilai murni seperti ini maka akan berputiklah bunga-bunga perpaduan yang
berpokokkan kepercayaan.
Cadangan keempat dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia ialah
memperluaskan lagi perlaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan melalui usaha-
usaha seperti memperbanyakkan dan mengembangkan pertunjukan kebudayaan di
peringkat daerah, negeri dan nasional, memberi latihan dan menyokong pergerakan-
pergerakan kebudayaan, meningkatkan taraf dan mutu berbagai-bagai bidang seni di
negara kita bagi memupuk kesedaran kebangsaan. Hal ini kerana dalam membentuk
apa jua dasar perkara yang paling penting ialah soal pelaksanaan kerana jika ia hanya
sempurna di atas kertas tetapi tidak dapat diterjemahkan ke dunia nyata maka tiada
gunanya ia dibentuk. Begitulah juga dengan Dasar Kebudayaan kebangsaan. Dewasa
kini, ramai rakyat Malaysia yang kurang berpengetahuan tentang program-program
kebudayaan yang dilaksanakan terutama pementasan teater yang menceritakan
semula sejarah-sejarah lampau negara. Oleh itu, pengenalan program-program seperti
ini memerlukan penglibatan artis-artis terkemuka negara agar ianya mendapat
perhatian masyarakat. Dengan penglibatan artis-artis terkemuka negara maka rakyat
akan lebih nampak usaha yang dilaksanakan dan seterusnya menyokong usaha
tersebut.
Cadangan terakhir ialah peranan masyarakat. Untuk mengelakkan semangat
perpaduan daripada terkubur begitu sahaja, institusi masyarakat memainkan peranan
yang amat penting untuk menyuntik semangat perpaduan yang luhur dalam sanubari
generasi muda yang merupakan bakal pelapis kepimpinan tanah air. Tambahan pula,
semangat perpaduan memainkan peranan penting dalam usaha melahirkan
masyarakat yang bermuafakat dan menyemarakkan semangat integrasi nasional dalam
kalangan rakyat yang berbilang kaum, oleh itu semangat ini perlulah disemai dalam diri
semua lapisan masyarakat. Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi,
teladan daripada masyarakat merupakan wadah yang efektif dan sesuai sekali
digunakan untuk menyemai semangat solidariti dalam kalangan anak-anak muda.
Dalam konteks ini, masyarakat wajar menunjukkan suri teladan yang baik dengan
menjalinkan perhubungan yang yang erat dan karib dengan jiran tetangga.
Sempena sambutan perayaan, masyarakat haruslah saling menziarahi antara satu
sama lain. Secara tidak langsung, amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan
memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran tetangga setempat. Justeru,
perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Bak kata pepatah Melayu, "bulat air kerana
pembentung, bulat manusia kerana muafakat". Selain itu juga, pemilihan ketua dalam
setiap komuniti kecil masyarakat perlu diambil perhatian. Hal ini kerana, ketua yang
mempunyai pelajaran dan berpengetahuan akan memimpin anak-anak buahnya ke
arah kebaikan. Contohnya, persahabatan antara kampung boleh dilaksanakan melalui
program-program seperti pertandingan kampung tercantik antara kampung,
pertandingan sukan dan sebagainya. Melalui program-program seperti inilah yang akan
memupuk kerjasama dan perpaduan antara ahli-ahli masyarakat yang tinggal dalam
kampung berkenaan dan seterusnya mengeratkan lagi silaturrahim antara masyarakat
di dalam dan di luar komuniti tersebut. Hal ini seterusnya akan membentuk
warganegara yang lebih baik dan membina negara bagi mencerminkan satu
keperibadian Malaysia. sebagai intihanya, iltizam dan komitmen masyarakat amatlah
vital dan memaikan peranan yang penting dalam menjayakan usaha yang dilaksanakan
oleh kerajaan ke arah membentuk sebuah negara yang bersatu padu dalam semua
aspek.
KESIMPULAN
Perpaduan, perpaduan, perpaduan. Inilah yang menjadikan sesebuah negara itu
membangun atau mundur, berjaya atau musnah. Inilah juga yang menjadi jantung
kepada sesebuah pemerintahan. Perpaduan boleh diertikan sebagai satu proses
menyatupadukan seluruh anggota masyarakat dalam sesebuah negara agar dapat
membentuk satu identiti dan nilai bersama serta rakyatnya mempunyai perasaan cinta
dan banggakan tanah air. Oleh itu, perpaduan amatlah penting dalam sesebuah negara
terutama di Malaysia yang terkenal dengan kepelbagaian kaumnya.
Setelah diteliti, telah banyak usaha yang dilakukan dan dilaksanakan oleh
kerajaan dalam membentuk dan mengukuhkan perpaduan di Malaysia dan
keberkesanan usaha tersebut banyak bergantung pada sokongan rakyat. Antara usaha
tesebut ialah pengenalan kepada Rukun Negara. Dapat disimpulkan bahawa, 5 prinsip
yang terdapat dalam Rukun Negara meupakan tonggak utama dalam menjayakan
perpaduan etnik di Malaysia. Hal ini kerana, jika rakyat Malaysia betul-betul
mengamalkan 5 prinsip ini dalam kehidupan harian mereka, nescaya perkara-perkara
negatif seperti membatuapikan rakyat tidak akan terjadi kerana perasaan cinta akan
tanah air yang mendalam akan membantutkan hasrat berkenaan.
Pepatah Melayu ada menyatakan "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh",
Rukun Negara yang menjadi panduan hidup anak watan merupakan intipati kepada
pembentukan masyarakat cemerlang, gemilang dan terbilang serta harmoni. Untuk
merealisasikan matlamat ini, iaitu membentuk masyarakat yang unggul daripada
pelbagai aspek, segenap lapisan masyarakat haruslah bekerjasama bagai aur dengan
tebing dan jangan sekali-kali bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing.
Tuntasnya, semua pihak memainkan peranan penting dalam mengekalkan dan
memupuk perpaduan antara etnik di Malaysia agar perpaduan yang dibina tidak
hancurkan oleh tsunami yang melanda dan peristiwa berdarah 13 Mei dapat dielakkan
daripada erlaku semula.
RUJUKAN
Chin Yee Mun. (2010). Kenegaraan Malaysia. Selangor: Pearson Malaysia Sdn.Bhd
Jabatan Penerangan Malaysia, (2008). 1 Malaysia rakyat didahulukan pencapaian
diutamakan. Drujuk pada 11 Mac 2013 dilaman sesawang:
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/474-apa-itu-
1malaysia/7084-1malaysia-rakyat-didahulukan-pencapaian-diutamakan.html.
Jabatan Penerangan Malaysia, (2008). Dasar Pendidikan Kebangsaan. Drujuk pada 11
Mac 2013 dilaman sesawang: http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/maklumat-
kenegaraan/242-dasar-pendidikan-kebangsaan.html.
Jabatan Perdana Menteri, (2010). 1 Malaysia: Rakyat didahulukan pencapaian
diutamakan. Drujuk pada 11 Mac 2013 dilaman sesawang:
http://www.1malaysia.com.my.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Dasar Pendidikan Kebangsaan. Selangor:
Giga Wise Network sdn. Bhd.
Lee Lam Thye. ( 2010 ). Gagasan 1 Malaysia. Kuala Lumpur : Jabatan Kebudayaan
dan Kesenian Negara
Portal Pendidikan Utusan, (2002). Dasar dalam negara: Dasar kebudayaan
kebangsaan. Drujuk pada 11 Mac 2013 dilaman sesawang:
http://www.tutor.com.my/tutor/arkib2002.asp?
e=STPM&s=PAM&b=MAC&m=1&r=m&i=NOTA.
Portal Rasmi Kementerian Penerangan Komunikasi dan Budaya. (2009). Dasar
Kebudayaan Kebangsaan. Drujuk pada 12 Mac 2013 dilaman sesawang:
http://www.kpkk.gov.my/index.php?
option=com_content&view=article&id=538&Itemid=161&lang=bm.
Ramlah bt.Adam. ( 2003 ). Sejarah Tingkatan 5. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka
Ruslan Zainuddin. (2005). Kenegaraan Malaysia. Selangor: Fajar Bakti Sdn.Bhd.
Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Modul Hubungan Etnik. Kuala Lumpur : Maskha
Sdn.Bhd.
Wong Khek Sang. ( 2006). Pengajian Am STPM. Selangor:Fajar Bakti Sdn.Bhd.
Kementerian Pelajaran Malaysia. ( ). Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Drujuk pada 02 Mac 2013 dilaman
sesawang: http://www.moe.gov.my/bpk/sp_hsp/psk/sp_psk_kbsr.pdf