Post on 02-Dec-2015
Dalam bidang profesion perguruan, kita perlu ada pelbagai variasi kebolehan untuk
diaplikasikan dalam anak-anak murid kita di sekolah. Seperti yang kita semua tahu, bidang
perguruan ini tidak spesifik tugasnya ketika bekerja. Selain dari mendidik pelajar dalam
kelas, kita juga sebenarnya mengajar mereka secara tidak langsung di luar bilik darjah.
Contohnya, seorang guru akan mengiringi murid-murid dalam aktiviti perkhemahan atau
aktiviti rumah sukan. Jadi, tidak kiralah kita guru subjek apa sekalipun, hakikatnya, kita
melakukan pelbagai tugas di luar opsyen kita sendiri. Jadi, amatlah penting bagi seseorang
guru itu mempunyai pelbagai kebolehan untuk mendidik anak bangsa supaya terus berjaya.
Dalam konteks guru muzik, secara am nya guru muzik sering kali menjadi guru
kesukaan murid-murid di sekolah kerana mata pelajaran muzik sangat menyeronokkan dan
bersifat santai. Untuk menjadi seorang guru muzik yang baik, pengetahuan mengenai cara-
cara bermain alat-alat muzik sangat penting. Kod – kod mudah perlu dikuasai di hujung jari
sahaja. hal ini sangat berguna kerana ketika mengajar di dalam kelas, pelajar lebih tertarik
sekiranya guru itu memainkan muzik secara ‘live’ di hadapan mereka berbanding hanya
memutarkan minus one dari radio.
Oleh itu, pembelajaran kibod dari peringkat PPISMP di IPG ini sememangnya asas
dalam menjadi seorang guru muzik yang berkaliber. Bak kata pepatah, berakit-rakit dahulu,
berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Tidak
semua antara kami yang baru sahaja memasuki alam IPG ini tahu bermain kibod. Kami
semua mempunyai pelbagai latar belakang muzik dan setiap seorang mempunyai kelebihan
masing-masing. Namun perkara itu tidak menjadi masalah yang besar kerana dalam kelas
J1.5, kami mengamalkan sikap saling bantu-membantu sesama kami. Dalam kelas kami,
majoriti sudah mempunyai asas piano bagi pelajar perempuan manakala lelaki lebih kepada
guitar serta drum.
Setiap kumpulan untuk kerja kursus kami dibahagi kepada empat. Setiap kumpulan
mempunyai 3 orang ahli. Untuk kumpulan saya terdiri daripada Ennos Julian, Nik Nurliyana
dan saya sendiri. Kami bergabung dan membentuk sebuah ensemble kibod. Kami diberi
skor lagu ‘Jangan bercakap bohong’ yang telah digubah oleh Ramlan Harun. Lagu ini
bernada gembira iaitu C major. Satu bar mempunyai dua nilai not krocet. Jumlah bar adalah
16.
Dalam kumpulan saya, setiap seorang memainkan peranan sendiri. Saya
memainkan melodi lagi menggunakan ‘piano voice’ . Ennos pula memainkan rentak (rhythm)
serta intro. Nik pula memainkan kod. Tempo yang kami gunakan ialah 120 .Kami memilih
rentak yang berbunyi ‘country’ kerana lebih sesuai dengan mood lagu ini yang gembira.
Kami pernah mempersembahkan ensemble kibod kumpulan kami kepada rakan-rakan
sekelas kami dan semua menikmati lagu yang kami persembahkan.
Saya berasa cukup bertuah berada dalam kumpulan ini kerana kumpulan saya
semuanya mempunyai asas bermain piano yang boleh diaplikasikan di keyboard. Ennos
mempunyai grade 6 piano sama seperti saya. manakala Nik grade 4. Jadi, kami tiada
masalah dalam penjarian ketika bermain keyboard. Apa yang kami lakukan untuk
mempertingkatkan kualiti persembahan kami ialah dengan berlatih setiap hari untuk
melahirkan rasa keyakinan untuk membuat persembahan.
Hasil yang saya dapat sepanjang melaksanakan kerja kursus ini sangat bernilai.
Dengan ensemble kibod saya bukan sahaja belajar mengenai kibod semata-mata. Saya
juga belajar cara-cara untuk bekerjasama dalam satu kumpulan untuk melaksanakan
sesuatu persembahan. Amat berbeza sebenarnya menyiapkan tugasan bertulis dalam
kumpulan dengan membuat persediaan untuk persembahan. Tahap keyakinan yang tinggi
perlu disemai supaya tidak gemuruh di hadapan penonton. Kerana itulah kami sekumpulan
kerap mengadakan latihan untuk melatih diri kami supaya biasakan diri dengan penonton.
Saya juga dapat belajar bagaimana hendak menegur rakan sekumpulan sekiranya
mereka melakukan kesalahan dalam persembahan tanpa membuat dia berasa kecil hati
terhadap teguran saya. Contohnya, saya menegur Nik yang tersalah bermain kod. Nik juga
menerima teguran saya dengan hati yang terbuka. Ennos juga menegur saya bermain
melodi tidak mengikut tempo. Saya juga belajar untuk menerima teguran Ennos tanpa rasa
kecil hati.
Memetik kata-kata bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir, ‘setiap
kejayaan yang anda kecapi, bermula dari selangkah tapak di hadapan’. Oleh itu, Kemahiran
kibod yang kami belajar ini hanyalah permulaan sahaja. masih banyak lagi yang kami belum
tahu yang kami akan belajar secara lebih mendalam pada masa akan datang. Walau
bagaimanapun, kami berasa puas hati dengan persembahan kami dan berharap dapat
mempertingkatkan prestasi kami lebih lagi pada masa akan datang. Seterusnya, saya
berharap kami semua dapat menjadi guru muzik yang cemerlang dan mencapai hasrat IPG
untuk melahirkan guru-guru yang berkualiti untuk berbakti kepada anak bangsa.