Post on 22-Feb-2018
1
Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim (Perayu)
[Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam, Negeri Selangor. Kes Jenayah Bil.: 10000-120-
0018-2016 (Y.A.A Dato’ Seri Dr. Md. Yusup Bin Che Teh, Pengerusi HMRyS, Y.A Datuk
Haji Aidi Bin Haji Mokhtar, HMRyS, Y.A Dato’ Haji Mukhyuddin bin Haji Ibrahim,
HMRyS]
[10 Ramadhan 1438H bersamaan 5 Jun 2017M]
[Di dalam Perkara: Rayuan Terhadap Keputusan Kes No. 10400-120-0016-2016]
Fakta Kes Dan Prosiding Di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor
[1] Pada 17 Februari 2015, Orang Yang Diadu (OYDA) telah membuat kenyataan di
dalam suatu dialog terbuka yang menggambarkan dan menuduh Pengadu telah
melakukan liwat sebagaimana yang telah diadukan oleh Pengadu kepada Hakim
Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di dalam ‘Borang 6’. Pada 26 Jun 2015, Pengadu
telah membuat aduan berkenaan jenayah qazaf yang telah dilakukan oleh Orang Yang
Diadu kepada Pegawai Penguatkuasa Agama Islam Negeri Selangor. Pegawai
Penguatkuasa Agama Islam Jabatan Agama Islam Negeri Selangor telah memanggil
beberapa individu termasuk Dato’ Seri Wan Azizah Binti Ismail untuk siasatan.
[2] Pada 16 Oktober 2015, melalui surat kepada Peguam Pengadu, pihak Penguatkuasa
Agama Islam Negeri Selangor telah memaklumkan bahawa siasatan terhadap aduan
Pengadu telah dihentikan atas ketiadaan peruntukan undang-undang di bawah
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 berhubung dengan kesalahan
Qazaf yang diadukan oleh Pengadu.
[3] Pada 11 Ogos 2016, Pengadu telah hadir bersama peguamnya di hadapan Hakim
Mahkamah Tinggi Syariah Selangor untuk membuat aduan kepada Hakim berkenaan
jenayah Qazaf terhadap Orang Yang Diadu setelah Pegawai Penguatkuasa Agama
2
Islam Negeri Selangor menolak aduan Pengadu dan tidak meneruskan siasatan
tersebut. Aduan Pengadu kepada Hakim Tinggi Syariah Selangor pada 11 Ogos 2016
di dalam ‘Borang 6’ adalah seperti berikut;
Bahawa saya telah dimaklumkan oleh keluarga dan peguam-peguam saya
bahawa pada 17hb. Februari, 2015 Tan Sri Shafee Abdullah telah membuat
suatu penyataan palsu (qazaf) terhadap saya yang jelas bertentangan
dengan hukum syarak.
Kejadian ini telah berlaku di dalam sebuah sesi dialog terbuka di Akademi
Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI), Kelana Jaya, Selangor Darul Ehsan
pada lebih kurang jam 9.30 malam. Di dalam majlis tersebut, beliau telah
membuat kenyataan yang menggambarkan dan selanjutnya menuduh saya
melakukan perbuatan liwat dengan seorang lelaki yang bernama “Saiful”.
Beliau telah membuat pengataan palsu (qazaf) tersebut terhadap saya
dengan menyatakan dan menuduh saya seperti berikut:-
“Anwar asked him to take the position on the floor. Saiful described the
position yang diambil itu ialah sujud menonggeng because that’s the position
he took, that’s why he was so angry, he feels so humiliated masa benda tu
berlaku, orang yang went through this would be able describe this, he
described in the greatest of details, ada pada masa-masa yang dia tersebak
tetapi he is a strong boy….
Anwar suruh dia sapu KY Jelly tu pada Anwar punya zakar. Dia kata masa
tu Anwar dah tegang dah. Belum apa-apa dah tegang. So dia kata semasa
dia menonggeng tu daripada tangan kanan tu sapu dan Anwar suruh dia
navigate, navigatekan zakar tu masuk dalam dubur dia. Jadi dia buat tu. Dia
kata Anwar ni macam tak sabar. Rakus dan laju semasa dia lakukan itu,
memang dia rasa sakit, dia kata sakit sangat sampai dia terpicit KY Jelly tu
tertumpah samada atas towel ataupun atas karpet…
3
Anwar ni jenis takmau pakai kondom langsung, saya tak faham, kenapa tak
mahu pakai kondom langsung, dia mancutkan air mani dia dalam dubur
saiful…..”
Bersama-sama ini saya lampirkan lampiran-lampiran berikut untuk rekod
dan rujukan Mahkamah:-
(a) Sebuah pen drive yang mengandungi rakaman penuh ucapan Tan Sri Shafee
Abdullah di dalam sesi dialog terbuka di Akademi Kepimpinan Kapten
Hussein (bermula pada minit 14:35 sehingga akhir), pada tarikh 17hb.
Februari, 2015 tersebut dan ditandakansebagai Lampiran AI-1;
(b) Sesalinan Laporan petikan daripada portal Malaysiakini bertarikh pada 17hb.
Februari, 2015 yang bertajuk “Shafee goes x-rated at Umno’s Sodomy II
Forum” dan ditandakan sebagai Lampitan AI-2;
(c) Sesalinan laporan petikan daripada portal Free Malaysia Today bertarikh
pada 18 Februari, 2015 yang bertajuk “Puting Dada Saiful dicubit Anwar”
dan ditandakan sebagai Lampiran AI-3;
(d) Sesalinan laporan petikan daripada Portal Utusan Online bertarikh pada
17hb. Februari, 2015 bertajuk “Saiful tidak rela diliwat tetapi terpaksa
menyerah- Shafee” dilampirkan dan ditandakan sebagai Lampiran AI-4;
Saya dengan sesungguhnya menyatakan bahawa dakwaan tersebut adalah
tidak benar dan ia merupakan fitnah semata-mata dan Tan Sri Shafee
Abdullah telah gagal untuk membawa saksi sebagaimana dituntut oleh
syarak.
Saya juga dengan sesungguhnya percaya bahawa penyataan palsu (qazaf)
yang dibuat oleh Tan Sri Shafee Abdullah di atas merupakan suatu jenayah
syariah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor)
4
1995. Saya dengan ini mengaku dengan sesungguhnya bahawa maklumat di
atas adalah benar dan tiada yang lain melainkan yang benar belaka.
[4] Seterusnya, Pengadu memohon agar Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan suatu
Saman kepada Orang Yang Diadu (iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Bin Abdullah)
melalui prosiding di bawah Seksyen 74 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri
Selangor) 2003. Pengadu mendakwa OYDA telah membuat tuduhan qazaf
terhadapnya. Kesalahan tersebut di dakwa telah dilakukan di Kelana Jaya, Selangor
Darul Ehsan dan telah memenuhi peruntukan Seksyen 67 Enakmen Tatacara Jenayah
Syariah (Negeri Selangor) 2003.
[5] Aduan secara bersumpah yang dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah tersebut
kemudiannya telah ditandatangani oleh Pengadu. Prosiding pemeriksaan Pengadu
juga telah dijalankan pada hari yang sama bagi memenuhi kehendak Seksyen 74
Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
[6] Walaubagaimanapun, Mahkamah telah menangguhkan prosiding dan memerintahkan
Pengadu membuat penghujahan berkaitan permohonan yang di pohon bagi
Mahkamah menentukan samada aduan pengadu ini boleh dibenarkan dengan siasatan
lanjut dan samada siasatan lanjut tersebut perlu di laksanakan oleh Mahkamah itu
sendiri ataupun Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA). Hakim Mahkamah Tinggi
Syariah telah berpendapat bahawa isu utama yang paling penting untuk diputuskan
oleh Mahkamah Tinggi Syariah ialah samada aduan Pengadu itu wajar dibenarkan
untuk tindakan selanjutnya mahupun sebaliknya.
[7] Pada 27 Oktober 2016 Mahkamah Tinggi Syariah Selangor telah menolak aduan
Perayu/Pengadu dengan alasan seperti mana di dalam Alasan Penghakimannya pada
muka surat 102 – 122 Rekod Rayuan. Rayuan ini difailkan oleh Perayu kerana tidak
berpuas hati dengan keputusan Y.A Hakim Bicara Mahkamah Tinggi Syariah
Selangor dalam kes No.: 10400-120-0016-2016 yang diberikan pada 27 Oktober
2016. Perayu telah memfailkan Notis Rayuannya pada 7 November 2016 terhadap
keputusan Mahkamah Tinggi Syariah tersebut.
5
Diputuskan
SETELAH Kami meneliti Notis Rayuan, Alasan Rayuan, Rekod Rayuan, Penghujahan
Perayu, MAKA Kami dengan sebulat suara memutuskan seperti berikut:-
(1) Rayuan Perayu ditolak;
(2) Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dalam Kes No. 10400-120-0016-2016
yang diberikan pada 27 Oktober 2016 dikekalkan.
Peguam Syarie
Perayu: diwakili oleh Fadlina bt Dato’ Sidek daripada Tetuan Fadhlina Siddiq & Associates
Undang - undang yang dirujuk
1. Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995- ss 2(2), ss. 2(4), s. 36.
2. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003- s. 2, s. 54, s. 55, s. 57, ss. 74
(1).
Kitab-kitab yang dirujuk
1. Dr. Abdul Qadir Audah. 2000. Tasyri’ al-Jina’ie al-Islamiy, Juz. 2. Beirut: Muassasah
Al-Risalah.
Kes - kes yang dirujuk
1. Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim lwn Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan dan 3
Yang Lain, Kes No. 14100-099-0012-2010.
6
Penghakiman Y.A.A Dato’ Seri Dr. Md. Yusup Bin Che Teh (Pengerusi), Y.A Datuk
Haji Aidi Bin Haji Mokhtar (Ahli Panel) Y.A Dato’ Haji Mukhyuddin bin Haji Ibrahim
(Ahli Panel).
[8] Perayu melalui Peguamnya telah memasukkan Petisyen Rayuan ke Mahkamah
Rayuan Syariah Selangor yang mengandungi sebelas (11) alasan bagi maksud rayuan
terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Selangor yang menolak Aduan Perayu
tersebut. Kami telah membaca dan meneliti Rekod Rayuan, Alasan-alasan Rayuan
Perayu dan Hujah Perayu dan kami dapati terdapat dua (2) isu yang timbul dalam
rayuan ini iaitu;
a) Sama ada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi hukum
Syara’ dan Undang-Undang apabila tidak mentafsirkan kesalahan menuduh
sesorang melakukan liwat sebagai suatu kesalahan di bawah seksyen 36 Enakmen
Jenayah Syariah (Selangor) 1995 [Enakmen 9 Tahun 1995]; dan
b) Samada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi Undang-
Undang apabila menolak ‘Aduan kepada Hakim’ yang dibuat berdasarkan seksyen
74 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen 3 Tahun
2003] oleh Perayu kepadanya.
Isu Pertama: Sama ada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi
hukum Syara’ dan Undang-Undang apabila tidak mentafsirkan kesalahan menuduh
sesorang melakukan liwat sebagai suatu kesalahan di bawah seksyen 36 Enakmen
Jenayah Syariah (Selangor) 1995 [Enakmen 9 Tahun 1995]
[9] Dalam kes ini, Perayu dalam penghujahan bertulis dan lisannya, menghujahkan
tuduhan liwat juga termasuk dalam makna zina. Tafsiran Perayu tersebut adalah bagi
membolehkan seksyen 36 digunapakai sebagai asas kesalahan qazaf ke atas Orang
Yang Diadu. Perayu mengemukakan nas dari kitab al-Tasri’ al- Jina’ie al-Islamiy,
kitab Mughni al-Mukhtaj, Kitab al-Fiqh al-Manhaji dan Qanun Jinayah Syar’iyah
dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam Berdasarkan Quran dan Hadith.
7
[10] Merujuk kepada nas-nas yang dikemukakan oleh Perayu, persoalannya, ‘Apakah
tafsiran zina yang diperuntukkan oleh Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995
bertentangan dengan Hukum Syara’? Para ulama berbeza pendapat berkaitan isu ini.
Ada yang menyatakan perbuatan liwat adalah termasuk zina dan ada yang
menyatakan ianya tidak termasuk kesalahan zina.
[11] Dr. Abdul Qadir Audah dalam kitab Tasyri’ al-Jina’ie al-Islamiy, Juz. 2, Muassasah
Al-Risalah, halaman 463 telah menyatakan;
والرمى باللواط عند مالك والشافعى وأمحد حكمه حكم الرمى بالزنا ألهنم يعتربون
اللواط زنا والألئط زانيا سواء كان فاعال أو مفعوال به امرأة أو رجال فاذا ثبت أن
القاذف أراد من القذف أن املقذوف يعمل عمل قوم لوط فعليه احلد. أما أبو حنيفة
باللواط ويرى تعزيره ألنه اليعترب اللواط زنا ومن مث ال يعترب الرمى اليرى حد القذف
باللواط رميا بالزنا
Bermaksud:
“Tuduhan liwat pada pandangan Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali
adalah berhukum dengan tuduhan zina kerana mereka menganggap
liwat itu sama dengan zina. Peliwat dianggap sebagai penzina sama
ada peliwat atau kena liwat itu lelaki atau perempuan. Apabila sabit
sipenuduh sengaja menuduh orang yang kena tuduh melakukan liwat
maka dia hendaklah dikenakan hukuman had. Adapun Imam Abu
Hanifah berpandangan tidak dikenakan hukuman had bagi tuduhan
liwat bahkan dikenakan hukuman takzir kerana liwat tidak dikira
sebagai zina. Dengan yang demikian, tidak dikira tuduhan liwat
sebagai tuduhan zina.”
8
[12] Oleh kerana ianya adalah perkara khilafiah, maka terserah dan atas budi bicara Badan
Perundangan Negeri untuk memilih atau menentukan pendapat yang manakah yang
mahu ditakninkan. Apabila pendapat itu telah ditakninkan atau diperundangkan, maka
itulah pendapat yang dianggap telah diterima oleh masyarakat ketika ianya diluluskan
oleh Badan Perundangan Negeri dan ianya hendaklah diterima oleh badan kehakiman
dan masyarakat.
[13] Seterusnya, Kami merujuk kepada tafsiran yang telah diberikan oleh undang-undang
itu sendiri. Dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 perkataan “zina” telah
ditafsirkan di dalam seksyen 2 iaitu;
“(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki
makna yang lain —
‘zina’ ertinya persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa
nikah.”
[14] Perkataan “liwat” tiada disebutkan atau ditafsirkan di dalam Enakmen Jenayah
Syariah (Selangor) 1995. Ianya berbeza dengan Akta Kesalahan Jenayah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang telah mentafsirkan makna perkataan
“liwat” yang ertinya perhubungan seks sesama lelaki.
[15] Persoalannya, adakah makna “zina” yang terdapat di dalam seksyen 36 dan
mendasari kesalahan qazaf boleh ditafsirkan mempunyai pengertian yang lain dari apa
yang dinyatakan di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Bagi mengulas
isu tersebut, Kami mengulas dan berpendapat sepertimana berikut.
[16] Subseksyen 2(2) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan seperti
berikut;
“Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen
ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam
Akta-Akta Tafsiran 1948 dan 1967 hendaklah mempunyai erti yang
9
diberikan kepadanya masing-masing dalam Akta-Akta itu setakat
yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syara'.”
[17] Di dalam subseksyen 2(2) tersebut menyatakan bahawa pengertian sesuatu perkataan
dan ungkapan yang tidak ditakrifkan oleh Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995
hendaklah mempunyai ertinya sepertimana yang ditakrifkan oleh Akta Tafsiran.
Namun demikian, tafsiran yang diertikan oleh Akta tersebut hanya terpakai setakat
yang tidak bercanggah dengan Hukum Syara’. Ini bererti subseksyen 2(2) telah
memberikan garis panduan seperti berikut;
i. Segala pengertian terhadap sesuatu perkataan atau ungkapan hendaklah
berdasarkan pengertian yang telah ditakrifkan oleh Enakmen Jenayah Syariah
(Selangor) 1995;
ii. Jika sekiranya Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak mentakrifkan
sesuatu perkataan atau ungkapan itu, maka takrifan yang diberikan oleh Akta-
Akta Tafsiran 1948 dan 1967 adalah terpakai setakat erti yang diberikan itu
tidak bercanggah dengan Hukum Syara'.
[18] Seterusnya, jika sekiranya berlaku keraguan atau kesulitan dalam mentafsirkan apa-
apa perkataan atau ungkapan yang berkaitan Hukum Syara’ yang tidak ditakrifkan
oleh Enakmen, pada ketika itu, Mahkamah diberikan kuasa budi bicara secara
kehakiman oleh undang-undang untuk menentukan erti perkataan atau ungkapan
tersebut. Ianya dinyatakan pada subseksyen 2(4) Enakmen Jenayah Syariah
(Selangor) 1995 sendiri.
[19] Dalam hal ini, perkataan “zina” telahpun ditakrifkan oleh Enakmen itu sendiri di
bawah seksyen 2. Oleh itu kami berpendapat bahawa pengertian zina yang lain dari
yang ditakrifkan oleh Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak dibenarkan
oleh undang-undang itu sendiri.
[20] Oleh yang demikinan, Kami berpendapat, di dalam kes ini, tuduhan liwat tidak
terpakai di dalam kes qazaf di bawah seksyen 36 kerana undang-undang
10
memperuntukkan qazaf dibawah sekyen tersebut hanya boleh digunakan dalam kes
pertuduhan zina sahaja. Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995
menyatakan seperti berikut;
“Kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain
melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syara', empat
orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan
suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi
lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga
tahun atau kedua-duanya.”
[21] Dalam memutuskan isu ini kami juga telah merujuk kepada penghakiman Mahkamah
Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan dalam kes Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim lwn
Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan dan 3 Yang Lain, Kes No. 14100-099-
0012-2010 yang menyatakan:
“Kami bersetuju dengan Perayu yang membawakan pelbagai
pandangan ulama’ berkaitan Zina, namun sayangnya Kami selaku
badan kehakiman telah diikat oleh undang-undang yang telah
ditakninkan atau diperundangkan. Oleh yang demikian, Kami tidak
mempunyai pilihan lain selain daripada perlu bersetuju dengan
maksud zina di dalam seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang hanya terhad kepada
makna persetubuhan haram antara lelaki dan perempuan sahaja dan
tidak termasuk kesalahan liwat.”
[22] Oleh itu, dalam kes ini, Kami juga bersetuju dengan Perayu yang membawakan
pelbagai pandangan ulama’ berkaitan zina, namun sayangnya, sekali lagi kami
tegaskan bahawa Kami selaku badan kehakiman telah diikat oleh undang-undang
yang telah ditakninkan atau diperundangkan. Dan ianya adalah merujuk kepada
kaedah fiqh;
11
حكم احلاكم الزام ويرفع اخلالف
Bermaksud:
“Keputusan pemerintah bersifat mengikat dan menghilangkan
kekhilafan”.
Perbezaan dalam berpendapat pada perbahasan fiqh berdasarkan pendapat mazhab
adalah suatu yang lumrah dan harus dihormati, tetapi dengan tegas fiqh menghendaki
campur tangan pemerintah dalam hal mengikat masayarakat dalam pelbagai persoalan
termasuklah perundangan dengan tujuan penyeragaman dari segi amaliyyah dan
perlaksanaannya.
[23] Oleh yang demikian, Kami tiada pilihan lain selain daripada perlu bersetuju dengan
maksud zina di dalam seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang
hanya terhad kepada makna persetubuhan haram antara lelaki dan perempuan sahaja
dan tidak termasuk perbuatan liwat.
[24] Namun demikian, memandangkan hari ini semakin banyak berlakunya perbuatan
menuduh orang lain melakukan perbuatan liwat, maka sudah tiba masanya
Pemerintah dan Badan Perundangan Negeri meminda seksyen 36 Enakmen Jenayah
Syariah (Selangor) 1995 bagi membolehkan seseorang yang menuduh orang lain
melakukan perbuatan liwat dipertuduhkan di Mahkamah Syariah. Ianya bertepatan
dengan kaedah fiqh yang menyatakan;
تصرف االمام على الرعية منوط باملصلحة
Bermaksud:
“Tindakan seseorang pemimpin terhadap apa yang dipimpinnya
(rakyat) hendaklah berdasarkan kepada kemaslahatan.”
12
Isu Kedua: Samada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terkhilaf dari segi
Undang-Undang apabila menolak ‘Aduan kepada Hakim’ yang dibuat berdasarkan
seksyen 74 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen 3
Tahun 2003] oleh Perayu kepadanya.
[25] Perayu dalam hujahan bertulisnya telah menyatakan, Yang Arif Hakim Mahkamah
Tinggi Syariah dalam Penghakiman Bertulisnya telah memutuskan bahawa
Mahkamah Tinggi Syariah tidak berbidangkuasa di dalam ‘kes tak boleh ditangkap’
dan aduan Perayu hanya boleh didengar di Mahkamah Rendah Syariah sahaja. Perayu
berhujah bahawa keputusan Hakim Bicara itu adalah bertentangan dengan Enakmen
Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen 3 Tahun 2003] dan
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Perayu seterusnya
menghujahkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Syariah berbidangkuasa untuk
menerima aduan Perayu mengikut seksyen 74 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah
(Negeri Selangor) 2003.
[26] Perayu juga dalam penghujahannya menyatakan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi
Syariah berbidangkuasa untuk menerima aduan Perayu apabila Ketua Hakim Syarie
telah mengarahkan Mahkamah Tinggi Syariah mendengarnya.
[27] Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dalam penghakimannya menyatakan
seperti berikut:
“[15] Ianya tidak terhenti setakat isu di atas sahaja bahkan timbul
persoalan seterusnya, adakah prosiding ini terpakai bagi semua jenis
kesalahan ataupun sebaliknya?. Persoalan ini timbul apabila Seksyen
77 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003
menyatakan suatu Saman hendaklah dikeluarkan kepada OYDA
sekiranya wujud alasan yang mencukupi. Penggunaan Saman
sebagai proses memaksa kehadiran Tertuduh atau OYDA ini hanya
melibatkan kesalahan tidak boleh tangkap iaitu sesuatu kesalahan
yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang
daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya pada
13
lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis tidak
boleh menangkap tanpa waran sebagaimana yang dinyatakan di
dalam Seksyen 2 dan Seksyen 28 Enakmen Tatacara Jenayah
Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Ini bermaksud bagi
seseorang yang melakukan kesalahan di bawah tafsiran ini tidak boleh
ditangkap kecuali enggan hadir setelah saman sempurna diserahkan
kepadanya. Manakala aduan Pengadu terhadap OYDA adalah
berkaitan kesalahan qazaf yang terjumlah di dalam kategori
kesalahan boleh tangkap iaitu sesuatu kesalahan yang boleh dihukum
dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang
baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai
polis boleh menangkap tanpa waran berdasarkan tafsiran Seksyen 2
Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah (Negeri Selangor)
2003. Ini bermaksud bagi seseorang yang melakukan kesalahan di
bawah tafsiran ini maka tindakan yang wajar berdasarkan undang-
undang sedia ada untuk memaksa ke Mahkamah adalah dengan
tangkapan sahaja tanpa perlu Mahkamah mengeluarkan Saman
terhadapnya.
[16] Selain daripada yang dijelaskan di atas, tiada sebarang
peruntukan khusus menjelaskan tentang prosedur perlaksanaan bagi
kedua-dua jenis kumpulan kesalahan tersebut dan tiada juga sebarang
peruntukan khusus yang menghadkan larangan prosiding ini. Namun
berdasarkan peruntukan sedia ada Mahkamah mendapati bahawa
itulah maksud sebenarnya undang-undang iaitu prosiding aduan
kepada Hakim ini hanya berkuatkuasa kepada kes tidak oleh tangkap
sahaja. Ini diperkukuhkan lagi dengan Seksyen 183(2)(c) Enakmen
Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang menetapkan
bahawa pendakwaan oleh pengadu hanya boleh dijalankan di
hadapan Mahkamah Rendah Syariah sahaja sebagaimana berikut:-
14
183. (1) Apa-apa pendakwaan di hadapan Mahkamah Tinggi Syariah
hendaklah dijalankan oleh Ketua Pendakwa Syarie atau seseorang
Pendakwa Syarie.
(2) Pendakwaan di hadapan Mahkamah Rendah Syariah bolehlah
djalankan oleh—
(a) Ketua Pendakwa Syarie atau seorang Pendakwa Syarie;
(b) seorang Pegawai Penguatkuasa Agama yang diberi kuasa
secara bertulis oleh Ketua Pendakwa Syarie untuk bertindak
bagi pihaknya; atau
(c) seorang pengadu sebagaimana yang dibenarkan oleh
Mahkamah.
Peruntukan ini adalah peruntukan khusus yang telah menetapkan
kategori orang yang boleh menjalankan pendakwaan di peringkat
Mahkamah tertentu. Oleh itu, Mahkamah adalah terikat dengan
peruntukan ini dan tidak boleh menyalahinya ataupun
mentafsirkannya secara umum sebagaimana dijelaskan di atas.
Walaupun peruntukan ini hanya menjelaskan orang yang boleh hadir
di dalam kes pendakwaan jenayah syariah namun ianya secara tidak
langsung menjelaskan bahawa prosiding aduan kepada hakim ini
hanya terpakai di Mahkamah Rendah Syariah di dalam kes tak boleh
tangkap sahaja. Ini kerana proses pendakwaan kes tak boleh tangkap
seperti contoh kesalahan berpoligami tanpa kebenaran hendaklah
dimulakan pendakwaannya di Mahkamah Rendah Syariah.”
[28] Bagi mengulas isu “Hakim Mahkamah Tinggi Syariah berbidangkuasa untuk
menerima aduan Perayu apabila Ketua Hakim Syarie telah mengarahkan Mahkamah
Tinggi Syariah mendengarnya”, kami telah meneliti Rekod Rayuan dan “Ikatan
Autoriti Perayu di Mahkamah Rayuan”. Kami mendapati Perayu telah gagal
menunjukkan atau mengemukakan kewujudan arahan dari Ketua Hakim Syarie yang
dikatakan telah mengarahkan Mahkamah Tinggi Syariah mendengar aduan Perayu
15
tersebut. Kami hanya ditunjukkan oleh Perayu atau Perayu hanya mengemukakan
kepada kami surat Peguam Perayu kepada YAA Ketua Hakim Syarie bertarikh 10
Februari 2016 yang memohon/berhasrat untuk membuat aduan terus kepada YAA
Ketua Hakim Syarie. Oleh yang demikian, kami berpendapat dakwaan atau hujah
Perayu adalah tidak berasas dan kami tiada pilihan lain melainkan menolak hujah
Perayu tersebut.
[29] Seterusnya, bagi mengulas secara keseluruhan isu “Aduan kepada Hakim” yang
dirayu oleh Perayu, pada pendapat Kami, undang-undang dengan jelas telah
menetapkan bahawa, apabila seorang biasa atau preman membuat aduan kepada
Pegawai Penguatkuasa Agama dan setelah pernyataan diturunkan kepada dalam
bentuk tulisan, jika dibuat secara lisan, dan dibaca dan ditandatangani olehnya,
Pegawai Penguatkuasa itu akan merujuknya kepada seorang Hakim Mahkamah
Rendah Syariah jika kesalahan adalah berhubung dengan satu kesalahan tidak boleh
tangkap. Seksyen 55 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003
[Enakmen 3 Tahun 2003] menyatakan seperti berikut:
(1) Apabila maklumat yang disebut dalam seksyen 54 adalah berhubungan
dengan pelakuan sesuatu kesalahan tak boleh tangkap, pegawai yang
kepadanya ia diberikan hendaklah merujukkan pemberi maklumat itu
kepada seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah.
(2) Tiada Pegawai Penguatkuasa Agama boleh, dalam sesuatu kes yang
melibatkan kesalahan tak boleh tangkap, menjalankan mana-mana kuasa
khas berhubung dengan penyiasatan yang diberikan oleh Bab ini tanpa
perintah Ketua Pendakwa Syarie.
(3) Mana-mana Pegawai Penguatkuasa Agama yang menerima perintah
sedemikian boleh menjalankan kuasa berkenaan dengan penyiasatan
yang diberikan di bawah Bab ini kecuali kuasa untuk menangkap tanpa
waran.”
16
[30] Orang tersebut (Pemberi Maklumat/Pengadu) kemudiannya akan membuat aduannya
kepada seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan prosedur/tatacara ‘Aduan
kepada Hakim’ adalah seperti yang dinyatakan didalam seksyen 74 hingga seksyen 77
Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
[31] Oleh kerana seksyen 74 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003
telah menyatakan perkataan “Hakim” secara umum tanpa menyebutkannya sebagai
“Hakim Mahkamah Rendah Syariah” atau “Hakim Mahkamah Tinggi Syariah” atau
“Hakim Mahkamah Rayuan Syariah”, maka ianya telah menimbulkan kekeliruan.
Ianya seolah-olah bererti “Aduan kepada Hakim” boleh dibuat kepada mana-mana
Hakim Syarie.
[32] Kami berpendapat perkataan “Hakim” yang dinyatakan pada seksyen 74 Enakmen
Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 adalah ‘seorang Hakim Mahkamah
Rendah Syariah’. Ini kerana prosiding ‘Aduan kepada Hakim’ adalah merujuk kepada
subseksyen 55(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Subseksyen 55(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003
menyatakan seperti berikut;
“Apabila maklumat yang disebut dalam seksyen 54 adalah
berhubungan dengan pelakuan sesuatu kesalahan tak boleh tangkap,
pegawai yang kepadanya ia diberikan hendaklah merujukkan pemberi
maklumat itu kepada seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah”
[33] Menurut subseksyen 74 (1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor)
2003, Hakim, iaitu Hakim Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dengan serta-merta
memeriksa pengadu atas sumpah apabila Hakim Mahkamah Rendah mengambil
perhatian akan kesalahan yang diadukan. Subeksyen 74 (1) Enakmen Tatacara
Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 menyatakan seperti berikut;
“(1) Apabila seseorang Hakim mengambil perhatian tentang sesuatu
kesalahan apabila diadukan, dia hendaklah dengan serta-merta
memeriksa pengadu itu yang bersumpah mengikut Borang 6 Jadual
17
Kedua, dan isi pemeriksaan itu hendaklah diubah ke dalam bentuk
bertulis dan hendaklah ditandatangani oleh pengadu itu dan juga oleh
Hakim itu.”
Tindakan ini hanya boleh dilakukan setelah seksyen 54 dan seksyen 55 Enakmen
Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dipenuhi atau dibuat.
[34] Seterusnya, seksyen 2 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003
telah mentafsirkan pengertian “kesalahan tak boleh tangkap” iaitu;
“(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki
makna yang lain—
“kesalahan tak boleh tangkap” ertinya sesuatu kesalahan yang
boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang
daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya
pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai
polis tidak boleh menangkap tanpa waran;
(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen
ini dan tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam
Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti
yang diberikan kepadanya setakat yang pengertian itu tidak
bercanggah dengan Hukum Syarak.”
[35] Seterusnya, kami perturunkan kembali peruntukan seksyen 36 Enakmen Jenayah
Syariah (Selangor) 1995 iaitu kesalahan Orang Yang Diadu oleh Perayu, iaitu;
“Kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain
melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syara', empat
orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan
suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima
ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun
18
atau kedua-duanya.”
[36] Berdasarkan tafsiran yang diberikan di bawah seksyen 2 Enakmen Tatacara Jenayah
Syariah (Negeri Selangor) 2003 mengenai ‘kesalahan tak boleh tangkap’, maka
kesalahan dibawah seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak
termasuk di dalam kes yang boleh dibuat aduannya kepada Hakim kerana ianya
adalah merupakan kes “kesalahan boleh tangkap”.
[37] Oleh kerana kesalahan yang diadukan oleh Perayu adalah merupakan kesalahan boleh
tangkap, maka tiada aduan boleh dibuat kepada Hakim dan maklumat yang dibuat
berdasarkan seksyen 54 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003
sepatutnya diambil tindakan berdasarkan seksyen 57 Enakmen yang sama, dan itulah
yang telah dilakukan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama dalam kes ini. Seksyen 57
Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 menyatakan seperti
berikut;
(1) Jika daripada maklumat yang diterima atau selainnya seseorang
Pegawai Penguatkuasa Agama mempunyai sebab untuk mengesyaki
pelakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap maka dia hendaklah,
melainkan jika kesalahan itu adalah daripada jenis yang telah diarahkan
oleh Ketua Pendakwa Syarie tidak perlu dilaporkan kepadanya, dengan
serta-merta menghantar suatu laporan mengenai maklumat itu kepada
Ketua Pendakwa Syarie, dan hendaklah pergi sendiri atau hendaklah
mempertanggungjawabkan seorang daripada pegawai bawahannya pergi
ke tempat kesalahan itu dilakukan untuk menyiasat fakta-fakta dan hal
keadaan kes itu dan untuk mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi
penemuan pesalah itu:
Dengan syarat bahawa—
(a) apabila apa-apa maklumat tentang pelakuan mana-mana
kesalahan sedemikian diberikan terhadap mana-mana orang yang
disebut namanya dan jenis kes itu tidak berat, Pegawai Penguatkuasa
19
Agama yang menerima maklumat itu tidak perlu pergi sendiri atau
mempertanggungjawabkan seorang pegawai bawahan untuk membuat
siasatan di tempat kesalahan itu dilakukan;
(b) jika didapati oleh Pegawai Penguatkuasa Agama yang menerima
maklumat itu bahawa tiada alasan yang mencukupi untuk bertindak
atau bertindak selanjutnya dalam perkara itu, maka dia tidaklah boleh
berbuat demikian.
(2) Dalam setiap kes yang disebut dalam perenggan (1)(a) dan (1)(b),
Pegawai Penguatkuasa Agama yang menerima maklumat itu hendaklah
menyatakan dalam laporannya, jika ada, sebab-sebab dia tidak mematuhi
subseksyen (1) dengan sepenuhnya.”
[38] Selanjutnya, berdasarkan bacaan dan penelitian Kami terhadap Rekod Rayuan
berhubung dengan rekod prosiding ketika aduan dibuat kepada Hakim oleh Perayu,
Kami mendapati telah berlaku ketidakpatuhan terhadap undang-undang dalam
prosiding tersebut seperti berikut;
i) Aduan yang dibuat oleh Perayu adalah terhadap suatu kesalahan yang tidak
terjumlah kepada “kesalahan tak boleh tangkap”;
ii) Perayu telah bertindak membuat “Aduan kepada Hakim” secara terus. Ini bererti
Perayu membuat Aduan kepada Hakim tanpa dia dirujuk oleh Pegawai
Penguatkuasa.
iii) Perayu membuat “Aduan kepada Hakim” kepada Hakim Mahkamah Tinggi
Syariah dan bukan kepada Hakim Mahkamah Rendah Syariah.
[39] Oleh yang demikian, Kami mendapati bahawa “Aduan kepada Hakim” yang dibuat
oleh Perayu adalah tidak mematuhi seksyen 55 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah
(Negeri Selangor) 2003. Seksyen 55 Enakmen secara jelas telah menyatakan antara
syarat-syarat yang membolehkan sesuatu Aduan boleh dibuat kepada Hakim adalah
seperti berikut:
20
i) Maklumat/Aduan hendaklah terlebih dahulu dibuat berdasarkan seksyen 54 iaitu
terlebih dahulu diberikan kepada seorang Pegawai penguatkuasa Agama;
ii) Maklumat/Aduan tersebut adalah berhubungan dengan pelakuan sesuatu
kesalahan tak boleh tangkap;
iii) Pemberi Maklumat/Pengadu hanya boleh membuat Aduan kepada Hakim jika
sekiranya dia dirujuk oleh Pegawai Penguatkuasa Agama kepada Hakim tersebut;
dan
iv) Hakim yang boleh mendengar aduan tersebut adalah Seorang Hakim Mahkamah
Rendah Syariah.
[40] Oleh yang demikian, Kami bersetuju terhadap keputusan Yang Arif Hakim
Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di Shah Alam yang telah menolak aduan
Perayu/Pengadu terhadapnya walaupun Alasan Penghakiman yang diberikan oleh
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dalam membuat keputusan tersebut adalah kurang
tepat atau ada kekhilafan pada Hakim dalam menggunakan peruntukan undang-
undang secara khusus bagi memberikan penghakimannya.
KEPUTUSAN
SETELAH Kami meneliti Notis Rayuan, Alasan Rayuan, Rekod Rayuan, Penghujahan
Perayu, MAKA Kami dengan sebulat suara memutuskan seperti berikut:-
(1) Rayuan Perayu ditolak;
(2) Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dalam Kes No. 10400-120-0016-2016
yang diberikan pada 27hb Oktober 2016 dikekalkan.