Post on 30-Mar-2019
1
GARIS PANDUAN
MENGADAKAN MAJLIS MAULID, SELAWAT, HAUL, ZIKIR ATAU SEUMPAMA
DENGANNYA
(Garis Panduan ini telah diperakukan oleh Panel Pakar Akidah Jakim pada mesyuarat
kali ke-48 yang bersidang pada 28-30 Mei 2014 bertempat di Hotel Grand Bluewave,
Shah Alam, Selangor)
TUJUAN
Garis Panduan ini disediakan untuk memberi panduan dan rujukan kepada pihak yang
terlibat dalam penganjuran program maulid, selawat, haul, zikir atau seumpama
dengannya agar pengisian program menepati kehendak syariat Islam dan tidak
mendatangkan suasana yang tidak baik kepada masyarakat Islam. Garis Panduan ini
juga akan dijadikan rujukan dan panduan kepada agensi kerajaan, swasta dan
pihak-pihak berkenaan yang bertanggungjawab memberikan kebenaran serta
masyarakat awam yang ingin menyertai program-program seumpama ini.
LATAR BELAKANG
2. Kecenderungan dan minat masyarakat Islam sejak mutakhir ini kepada
program-program yang berunsur Islam adalah suatu yang positif dan berjaya menarik
kehadiran yang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar
belakang bangsa, kedudukan dan fahaman politik. Ia juga dianggap sebagai salah
satu metode dakwah yang boleh digunakan bagi membawa masyarakat kepada
penghayatan ajaran Islam dan seterusnya dapat meninggikan lagi syiarnya. Namun
demikian, bagi memastikan tidak terdapat unsur-unsur dan konsep-konsep daripada
luar yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah wal-Jamaah
meresap masuk ke dalam program tersebut, satu garis panduan disediakan bagi
mengawal perjalanannya.
2
3. Minat dan sokongan masyarakat Islam kepada program-program berunsur
Islam ini sewajarnya dipandu ke arah yang lebih menepati syariat seperti yang
anjurkan oleh Islam, di samping dapat mengelakkan usaha pihak-pihak tertentu yang
mengambil kesempatan memanipulasi program-program seperti ini untuk
mendapatkan pengaruh dan kepentingan peribadi dan akhirnya boleh mencemarkan
nama baik program-program berunsur Islam.
KANDUNGAN GARIS PANDUAN
4. Garis panduan ini mengandungi perkara-perkara yang berikut:
(a) Penjelasan Istilah;
(b) Panduan dan Syarat Program;
(i) Tempat Program;
(ii) Waktu Program;
(iii) Individu dan Kumpulan Yang Terlibat Dalam Pengisian Program;
(iv) Kandungan Program;
(v) Persembahan Program;
(c) Tanggungjawab Penganjur; dan
(d) Penutup
PENJELASAN ISTILAH
5. Berikut dinyatakan definisi beberapa istilah yang terdapat dalam buku garis
panduan ini, iaitu :
(a) Maulid : Perayaan untuk menyambut hari lahir Nabi Muhammad SAW.
(b) Selawat : Doa kesejahteraan ke atas Nabi SAW. Selawat ke atas Nabi :
Perkataan : اللهم صل على محمد
3
(c) Ratib : Himpunan zikir, doa serta tawajjuh yang disusun bagi tujuan
memperingati dan memperingatkan, memohon perlindungan dari
kejahatan dan memohon kebaikan.
(d) Haul : Setahun sempurna, iaitu majlis yang diadakan setahun sekali
sempena mengingati kematian tokoh tertentu bagi mengenang jasa dan
sumbangannya.
(e) Zikir : Memuji Allah SWT serta mengulang-ulang nama-Nya bagi
tujuan ibadah.
(f) Qasidah : Syair Arab yang mengandungi tujuh rangkap perkataan ke
atas.
(g) Sad al-Zari’ah : Menutup jalan-jalan yang boleh membawa kepada
kerosakan sebagai sebab penolakannya, selagi cara yang digunakan
tidak mengandungi unsur yang merosakkan.
(h) Ma’thur : Ada terdapat pada al-Quran dan al-Sunnah.
(i) Hadith Maudu’ : Hadith palsu atau perkataan yang disandarkan kepada
Rasulullah S.A.W. secara dusta.
(j) Hadith Munkar: Hadith yang bertaraf dhaif (lemah) dan menyalahi
riwayat yang thiqah (lebih dipercayai).
(k) Mutawatir : Apa yang dikhabarkan oleh bilangan yang ramai dan
mustahil bagi mereka berpakat untuk berbohong.
(l) Konsep Nur Muhammad : Kepercayaan yang mengatakan alam ini
dijadikan daripada Nur Muhammad, atau dijadikan Nur Muhammad
terlebih dahulu sebelum dijadikan alam ini.
(m) Konsep Wahdatul Wujud : Kepercayaan yang mengatakan
segala-galanya adalah Allah S.W.T..
4
(n) Khirqah : Pakaian koyak yang dipakaikan oleh guru kepada muridnya
sebagai lambang bermulanya perdampingan antara murid dengan
gurunya yang bertanggungjawab mendidik, memperelok dan
memperkukuh akhlaknya. Amalan ini didakwa bersambung sanadnya
kepada Saidina Ali R.A.;
(o) Martabat Tujuh : Kepercayaan tentang penjelmaan Allah S.W.T.
menerusi alam ini.
(p) Rabitah : Menggambarkan wajah guru ketika zikir atau beribadah.
(q) Khatmu al-Nubuwwah : Gambar rajah tertentu yang dikatakan bahawa
ia merupakan tanda atau cop kenabian Nabi Muhammad S.A.W..
(r) Ghaibiyyat : Kepercayaan yang bergantung kepada apa yang diperoleh
melalui pendengaran atau wahyu, bukan melalui akal, dan sama sekali
tidak boleh dinafikan.
(s) Madad : Meminta pertolongan daripada orang yang telah meninggal
dunia, iaitu meminta daripada rohnya yang hidup dengan
keistimewaannya yang tersendiri di dalam alam barzakh yang (rohnya)
mendengar dan mengetahui, dan baginya apa yang dikehendaki di sisi
tuhannya.
(t) Istighathah : Seruan kepada seseorang bagi melepaskan kesusahan
atau menolong menolak sesuatu bencana.
(u) Tawassul : Jalan dan amalan yang boleh menghampirkan diri kepada
Allah SWT. Meminta kepada Allah SWT dan berdoa kepada-Nya melalui
kedudukan nabi-Nya, atau dengan hak hamba-Nya yang soleh.
(v) Yaqazah : Bertemu dengan Nabi SAW dan menerima sabda-Nya
dalam masa jaga selepas wafat-Nya.
5
(w) Khurafat : Cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan
dengan perkara dusta, khayalan, ajaran, pantang larang, adat istiadat,
ramalan pemujaan atau kepercayaan yang amat bertentangan dengan
ajaran Islam.
(x) Tabarruk : Mengambil berkat daripada sesuatu, iaitu meminta
ditetapkan kebaikan ketuhanan pada sesuatu.
PANDUAN DAN SYARAT PROGRAM
Tempat Program
6. Pemilihan tempat program hendaklah mengambil kira perkara-perkara seperti
yang berikut:
(a) Tidak diadakan di tempat-tempat yang boleh terdedah kepada amalan
syirik dan khurafat seperti di sisi kubur, pokok, batu besar, gunung,
peninggalan orang terdahulu yang dianggap keramat dan yang
seumpama dengannya; dan
(b) Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu
ketenteraman awam dan orang ramai.
Waktu Program
7. Jadual program hendaklah menghormati waktu dan tidak mengabaikan waktu
solat.
Individu dan Kumpulan Yang Terlibat Dalam Pengisian Program
8. Individu yang terlibat dalam pengisian program hendaklah memenuhi ciri dan
kriteria seperti yang berikut:
6
(a) Tidak menampilkan individu atau kumpulan yang telah diputuskan
menyeleweng oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia atau Jawatankuasa Fatwa
Negeri-Negeri sama ada dengan memberi ucapan, ceramah, mengetuai
bacaan zikir/qasidah/nasyid atau turut bersama berada di atas pentas;
(b) Tidak melibatkan individu atau kumpulan yang menganut fahaman yang
jelas menyeleweng daripada ajaran Islam ataupun dikenal pasti boleh
memecah-belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat Islam;
(c) Memiliki peribadi dan akhlak yang terpuji serta tidak pernah terlibat
dengan kes yang merosakkan maruah dirinya;
(d) Tertakluk kepada tauliah kebenaran berceramah oleh Jabatan Mufti atau
Jabatan Agama Islam Negeri; dan
(e) Telah menjalani proses temuduga yang dikendalikan oleh Jabatan Mufti
Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri atau Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia bagi individu atau kumpulan dari luar negara.
Kandungan Program
9. Bagi memastikan kandungan program menepati kehendak tuntutan syarak
berdasarkan kepada pegangan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah wal-Jamaah
serta mengguna pakai kaedah Sad al-Zari’ah, yang bertujuan untuk menutup
pintu-pintu kerosakan yang lebih besar pada masa hadapan, kandungan program
yang hendak dianjurkan mestilah mematuhi syarat-syarat seperti yang berikut:
(a) Kandungan bahan-bahan nasyid atau qasidah atau zikir yang hendak
diedar ataupun yang hendak dibacakan ketika program hendaklah
dikemukakan kepada pihak berkuasa agama negeri untuk disemak dan
disahkan terlebih dahulu;
7
(b) Tidak dibenarkan melakukan apa-apa bentuk nyanyian yang menjadikan
teks al-Quran ataupun hadith sebagai lirik lagu;
(c) Tidak boleh mendakwa bahawa wirid, ratib, zikir, selawat, qasidah
ataupun apa-apa sahaja bacaan disandarkan kepada Rasulullah SAW,
para rasul dan para malaikat tanpa mempunyai dalil;
(d) Tidak boleh mendakwa bahawa wirid, ratib, zikir, selawat, qasidah
ataupun apa-apa sahaja bacaan mempunyai barakah tertentu atau
kelebihan yang luar biasa tanpa berdasarkan kepada dalil dan hujjah
yang boleh diterima oleh syarak;
(e) Tidak boleh mendakwa bahawa sesiapa yang mengingkari wirid, ratib,
zikir, selawat, qasidah ataupun apa-apa sahaja bacaan (yang bukan
ma’thur) akan menerima bala dan musibah;
(f) Tidak mendatangkan hadith-hadith yang mawdu’ ataupun munkar dalam
hujah ataupun dalil, seperti hadith, راول ما خلق هللا نور نبيك يا جاب dan yang
seumpama dengannya;
(g) Tidak boleh mendatangkan lafaz wirid, ratib, zikir, selawat, qasidah
ataupun apa-apa sahaja bacaan yang boleh mendatangkan kekeliruan
pada maknanya seperti ha.ha.ha, hu.hu.hu, dan yang seumpama
dengannya;
(h) Tidak mentaqdiskan (mensucikan, seperti mendakwa ramainya para
wali) sesuatu tempat atau lokasi tertentu selain daripada kota Makkah,
Madinah atau Baitul Maqdis;
(i) Tidak menyebarkan kisah-kisah yang didakwa yaqazah atau mimpi
berjumpa dengan Rasulullah SAW, atau kisah-kisah mimpi lain yang
boleh menimbulkan fitnah;
8
(j) Tidak membuka ruang kepada amalan ‘madad’, ‘istighathah’ (meminta
tolong), tawassul dan pemujaan kepada roh orang yang telah meninggal
dunia;
(k) Tidak boleh mendatangkan kisah-kisah yang berkaitan dengan perkara
ghaibiyyat tanpa berdasarkan kepada dalil syarak walaupun untuk tujuan
nasihat atau tauladan;
(l) Tidak dibenarkan mendatangkan riwayat-riwayat palsu yang dikaitkan
dengan para ulama Islam atau memperlekehkan kredibiliti mereka;
(m) Tidak dibenarkan mempromosi diri atau individu tertentu yang didakwa
mempunyai susur galur keturunan Rasulullah SAW atau Ahli Bait kerana
dibimbangi boleh diesksploitasi bagi tujuan kepentingan peribadi dan
penipuan;
(n) Tidak boleh mendakwa bahawa majlis yang dianjurkan turut dihadiri
sama oleh Rasulullah SAW, para sahabat mahupun para wali yang
tertentu;
(o) Tidak boleh mendakwa apa-apa barangan seperti rambut, pedang dan
pakaian adalah athar (peninggalan) Nabi Muhammad SAW dan boleh
bertabarruk dengannya;
(p) Tidak dibenarkan menentukan (ta’yin) individu tertentu adalah wali Allah
SWT, serta mempunyai karamah tertentu, kecuali setelah disahkan oleh
khabar yang mutawatir;
(q) Tidak boleh menyandarkan mana-mana individu, kumpulan atau apa
sahaja dengan apa-apa gelaran atau nama yang bertentangan dengan
ajaran Islam, yang boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tertentu
seperti al-Qotbu al-Rabbani, al-Ghauth, al-Abdal, al-Nujaba’, Imam
al-Mahdi, Habib Rasul, Sohib al-Zaman atau yang seumpama
dengannya;
9
(r) Tidak menonjolkan unsur ghuluw atau melampau terhadap kemuliaan
mana-mana individu, kumpulan atau tetamu yang hadir, seperti
mendakwa kemulian si fulan bin si fulan sehingga kuburnya adalah yang
keempat di dunia yang mengeluarkan bau yang wangi;
(s) Tidak membuka ruang untuk menolak taklif (pertanggungjawaban)
terhadap segala hukum-hakam yang telah disyariatkan seperti
mendakwa dibolehkan meninggalkan solat jumaat ketika bersuluk;
(t) Tidak mempromosikan amalan-amalan sesat, bid‘ah dan khurafat yang
bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah seperti
kepercayaan yang salah terhadap konsep Nur Muhammad dan
Wahdatul Wujud, Rabitah, Martabat Tujuh, Khirqah, Khatmu al-
Nubuwwah; dan
(u) Tidak menimbulkan keraguan dan kegelisahan awam seperti menyentuh
perkara-perkara yang boleh memudaratkan ketenteraman awam,
kemoralan, keselamatan atau yang mungkin menggemparkan fikiran
orang ramai dan berlawanan dengan mana-mana undang-undang.
Persembahan Program
10. Syarat yang perlu dipatuhi ketika membuat persembahan program adalah
seperti yang berikut:
(a) Berpakaian menutup aurat, kemas, sopan serta tidak memakai pakaian
yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak
bercanggah dengan kehendak Islam;
(b) Tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan yang boleh
menimbulkan fitnah;
10
(c) Hendaklah memelihara sebutan kalimah-kalimah suci Islam agar ianya
tidak terpesong daripada maknanya yang sebenar atau dianggap
menghinanya seperti menyebut kalimah Allah dengan Allah, Ae..Ae.. dan
seumpama dengannya;
(d) Tidak dibenarkan melakukan perbuatan zikir, selawat, nasyid, qasidah
atau seumpama dengannya sambil memukul gendang atau memainkan
peralatan muzik lain di dalam dan di kawasan serambi masjid atau surau;
(e) Tidak dibenarkan membuat pergerakan zikir yang melampau seperti
menari, melompat, menggoyangkan badan, kaki, tangan dan kepala
serta pelbagai aksi lain secara berlebihan dan yang dibuat-buat;
(f) Tidak dibenarkan membuat apa sahaja perlakuan yang boleh dianggap
meniru atau tasyabbuh (menyerupai) dengan amalan ritual atau
perbuatan yang menjadi simbol bagi agama lain, seperti melakukan zikir
nafas (amalan agama Hindu) atau seumpamanya;
(g) Tidak dibenarkan membuat apa sahaja perlakuan yang boleh dianggap
menyalahi Akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah seperti melambai-lambai
tangan, berdiri, menghamparkan kain putih bagi tujuan menggambarkan
ketibaan ataupun kehadiran Rasulullah SAW, para nabi, sahabat dan
wali pada majlis yang dianjurkan;
(h) Tidak melakukan upacara yang berkaitan dengan apa-apa alat atau
barangan yang boleh dianggap sebagai simbol agama lain seperti
membakar colok, membawa lambang salib, atau mendatangkan unsur-
unsur pemujaan atau khurafat kepada penonton yang hadir, seperti
cebisan kelambu kaabah dan rajah khatam al-nubuwwah; dan
(i) Tidak mempamerkan apa-apa logo, lambang atau bendera yang boleh
mendatangkan fitnah, provokasi atau suasana yang tidak baik kepada
mana-mana pihak, seperti mengibarkan bendera kumpulan tarekat yang
telah difatwa menyeleweng oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
11
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia atau Jawatankuasa
Fatwa Negeri-Negeri.
TANGGUNGJAWAB PENGANJUR
11. Penganjur hendaklah memastikan program maulid, selawat, haul, zikir atau
seumpama dengannya yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah
disediakan.
PENUTUP
12. Garis Panduan ini diharap dapat memberikan panduan kepada penganjur dan
pihak yang bertanggungjawab memberikan kebenaran kepada penganjuran program
maulid, selawat, haul, zikir atau seumpama dengannya agar program yang dianjurkan
menepati matlamat asalnya, iaitu untuk mendapat keredaan daripada Allah SWT dan
dapat mengelak daripada digunakan oleh pihak-pihak yang tertentu untuk
mencemarkan program yang berunsur Islam sekaligus merosakkan penghayatan
agama Islam Islam itu sendiri, jauh tersasar daripada tuntutan akidah, syariat dan
akhlak pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah.
12
Sebarang pertanyaan dan maklum balas mengenai Garis Panduan Mengadakan
Majlis Maulid, Selawat, Haul, Zikir Atau Seumpama Dengannya bolehlah diajukan
kepada alamat seperti yang berikut:
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62519 Putrajaya.
No. Telefon : 03-88864000
No. Faksimili : 03-88892033
13
LAMPIRAN 1
HUKUM TAWASSUL, MADAD DAN ISTIGHATHAH
Tawassul yang diharuskan ialah bertawassul (menjadikan perantara) dengan
nama-nama dan sifat Allah SWT, amalan-amalan soleh atau dengan iman kepada
Allah dan Rasul-Nya, dan melalui doa orang soleh yang masih hidup. Sementara
yang ditegah ialah madad, istighathah dan tawassul kepada roh orang mati
supaya roh itu menolong menunaikan hajat keperluannya atau menolak sesuatu
bala yang menimpanya atau memohon secara bernazar dengan katanya, “Wahai
Sheikh anu…” dengan disebut namanya dan lain-lain lagi.
Fatwa Mufti Negara Mesir, al-Sheikh Hasan Ma’mun, seperti yang sebarkan pada
Majallah Al-Idza’ah Al-Misriyyah pada 7 Mac 1957:
“Sesungguhnya pokok dakwah Islamiyyah didirikan atas dasar tauhid, dan Islam
memerangi setiap usaha yang mendekatkan manusia ke arah kegelinciran syirik
kepada Allah SWT. Tidak syak lagi bertawassul dengan kubur dan dengan
orang yang telah meninggal dunia salah satu contoh kegelinciran ini. Ia
adalah tinggalan amalan jahiliyyah. Maka sekiranya jika kita melihat apa yang
dikatakan oleh golongan musyrikin ketika Rasulullah SAW menyatakan
kebejatan mereka dalam menyembah berhala, mereka menjawab: “Kami tidak
menyembahkan mereka, melainkan kami menjadikannya sebagai yang
mendekatkan diri kami kepada Allah.” Maka itulah hujah yang sama yang
digunakan oleh orang yang mengajak ke arah tawassul kepada para wali untuk
menunaikan hajatnya di sisi Allah ataupun untuk mendekatkan diri kepada-Nya.”
14
LAMPIRAN 2
HUKUM BERTABARRUK
Secara umumnya tabarruk dengan athar Nabi Muhammad SAW serta al-solihin
dibenarkan dalam Islam. Namun ia mestilah menepati dua syarat seperti yang berikut
seperti yang disebut oleh Imam al-Syatibi dalam kitabnya Al-I’tisom :
(a) Hendaklah disabitkan terlebih dahulu, yang hendak diambil berkat itu
adalah benar-benar mempunyai keberkatan di sisi syarak; dan
(b) Menepati konsep tabarruk yang dilakukan oleh Rasulullah SAW (sebagai
contoh, tidak melebihi had yang dibenarkan dan tidak mempercayai ianya
boleh memberi manfaat atau mudarat).
Menurut Imam al-Syatibi lagi, namun sekiranya amalan tabarruk yang dilakukan tidak
menepati dua syarat yang disebutkan di atas, dan akan berlaku ghuluw atau
melampaui batas, maka ianya perlu disekat sebagai sad al-zari’ah.
Untuk mensabitkan perkara (a), iaitu yang hendak diambil berkat benar-benar
mempunyai keberkatan di sisi syarak adalah sukar. Ini kerana pada hari ini terlalu
banyak pihak yang mengaku menyimpan peninggalan Nabi Muhammad SAW seperti
rambut, janggut dan serban, namun keasliannya masih boleh dipertikaikan. Begitu
juga mengambil keberkatan dengan peninggalan al-solihin, adakah yang hendak
diambil keberkatan itu benar-benar mempunyai keberkatan di sisi syarak, ataupun
ianya semata-mata hanya didengar dari mulut ke mulut tanpa mempunyai sebarang
bukti yang boleh dipercayai sumbernya, seperti dakwaan kubur-kubur para wali serta
barangan peninggalan mereka. Sekiranya tiada bukti sahih yang dapat menyokong
dakwaan tersebut maka ia dianggap ’waham’ (ada kesamaran), dan sesuatu yang ada
kesamaran tidak boleh diambil keberkatan daripadanya.
15
LAMPIRAN 3
HUKUM BERDIRI KETIKA DIBACAKAN KISAH KELAHIRAN BAGINDA NABI SAW
ATAU PERLAKUAN YANG SEUMPAMA DENGANNYA
Hukum berdiri ketika dibacakan kisah kelahiran baginda Nabi SAW ataupun apa
sahaja perlakuan yang seumpama dengannya seperti melambai-lambai tangan,
berdiri, menghamparkan kain putih bagi tujuan menggambarkan ketibaan ataupun
kehadiran Rasulullah SAW, para nabi, sahabat dan wali pada majlis yang dianjurkan
adalah dilarang.
Al-'Allamah Ibn Hajar al-Haitami menyebut di dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah tentang
hukum berdiri yang dilakukan ketika dibacakan kisah kelahiran baginda Nabi SAW :
ووضع أمه له من القيام وهو أيضاً بدعة لم يرد فيه ونظير ذلك فعل كثير عند ذكر مولده صلى هللا عليه وسلم "
، فالعوام معذورون لذلك بخالف الخواص . شيء على أن الناس إنما يفعلون ذلك تعظيماً له صلى هللا عليه وسلم
." وهللا سبحانه وتعالى أعلم بالصواب
( Sama seperti itu juga bangun berdiri di dalam amalan maulid ketika
dibacakan saat baginda SAW dilahirkan seperti yang dilakukan oleh orang
ramai. Perbuatan ini juga bid’ah dan tidak disokong oleh sebarang dalil syara’,
sedangkan perbuatan mereka itu pada hakikatnya hanya bertujuan
mengagungkan baginda SAW, justeru itu, jika ia dilakukan oleh orang awam
yang tidak berpengetahuan, ia dianggap suatu keuzuran berbanding selain
mereka )
Hal yang demikian, walaupun tujuan berdiri adalah untuk mengagungkan atau
memuliakan Nabi SAW, namun ianya dianggap sebagai bid’ah oleh Al-'Allamah Ibn
Hajar al-Haitami, apatah lagi melakukan apa sahaja perlakuan yang seumpama
dengannya seperti melambai-lambai tangan, berdiri, menghamparkan kain putih bagi
tujuan menggambarkan ketibaan ataupun kehadiran Rasulullah SAW, para nabi,
sahabat dan wali pada majlis yang dianjurkan.
16
LAMPIRAN 4
HUKUM BERKENAAN KEPERCAYAAN KHATMU AL-NUBUWWAH
Kepercayaan gambar rajah Khatmu al-Nubuwwah dikatakan mempunyai khasiat
tertentu, antaranya seperti, sesiapa yang melihatnya dalam keadaan berwuduk, ia
akan mendapat kelebihan akan dipelihara Allah sehingga waktu petang (sekiranya
melihatnya pada waktu subuh) dan sehingga waktu pagi (sekiranya melihatnya pada
waktu maghrib), ketika berjalan atau bermusafir maka jadilah sepanjang
perjalanannya berkat dan selamat, dan sesiapa yang mati pada tahun tersebut, maka
dimatikan dalam iman. Sesetengah kepercayaan pula mengatakan orang yang
menggantungkannya (Khatmu al-Nubuwwah) sebagai perhiasan di dalam rumah
maka ahli rumah tersebut akan dipelihara Allah SWT daripada penyakit tau, wabak
serta terhindar daripada kebakaran dan kecurian. Berasaskan kepercayaan di atas
gambar rajah Khatmu al-Nubuwwah digunakan seumpama tangkal seperti yang
dibingkaikan dan digantung di dinding rumah atau kedai, dibuat sebagai rantai kunci
dan lain-lain.
Panel Pakar Aqidah (PPA) Jakim yang bersidang kali ke-46/2013 telah membuat
keputusan seperti yang berikut :
(a) Khatmu al-Nubuwwah adalah termasuk tanda-tanda kenabian yang
diperlihatkan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW untuk membuktikan
kenabian Baginda SAW sebagai nabi akhir zaman;
(b) Kepercayaan terhadap bentuk Khatmu al-Nubuwwah dengan gambar
rajah tertentu, tulisan tertentu dan khasiat tertentu tidak mempunyai
sebarang asas berdasarkan al-quran dan al-sunnah; dan
(c) Kepercayaan terhadap Khatmu al-Nubuwwah seperti yang dinyatakan
adalah perbuatan khurafat dan bid’ah munkarah serta boleh membawa
kepada syirik.