Post on 12-Dec-2015
description
Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA)
Tokoh dari tanah seberang ini sengaja dipilih kerana Almarhum Haji Abdul Malik Bin
Haji Abdul Karim Amarullah atau dikenali sebagai Prof. Dr Hamka adalah ulama besar
Nusantara yang sangat terkenal. Lebih-lebih lagi beliau berasal dari tanah Minangkabau
yang mempunyai pertalian dengan masyarakat adat perpatih di Negeri Sembilan, Malaysia.
Setiap orang di negara ini yang pernah melihat dan mendengar kuliah agama yang
disampaikan oleh tokoh ini pastinya merasai kerinduan yang mendalam terhadap nastolgia
lampau. Penulis sendiri tanpa sedar boleh menitiskan airmata apabila tokoh ‘idola’ ini
tersedu dalam rakaman video ceramah dakwahnya kira-kira awal tahun 1970an dahulu.
Gayanya yang tersendiri dalam berdakwah amat memukau sekali bagai magnet yang boleh
menyentuh hati setiap insan yang mendengar.
HAMKA merupakan singkatan daripada nama penuh Haji Abdul Malik Karim
Amrullah yang sememangnya terkenal dalam bidang agama, falsafah serta sastera di
Nusantara ini. Nama beliau cukup terkenal di Indonesia dan juga cukup dikagumi oleh
masyarakat Malaysia. Beliau juga merupakan salah seorang tokoh pendakwah yang
disegani dan dihormati di rantau Nusantara serta bijak dan cukup mahir dalam bidang
kesusasteraan, penulisan kreatiif dan prolifik. Beliau juga adalah seorang pujangga ulung
dan ahli fikir Islam yang tersohor.
Hamka dilahirkan di Kampung Molek, Meninjau, Sumatera Barat, Indonesia pada 17
Februari 1908. Ayahandanya dikenali sebagai Haji Rasul atau nama penuhnya, Syekh Abdul
Karim bin Amrullah yang merupakan pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau. Hamka
juga dikenali sebagai Buya Hamka iaitu ‘Buya’ diambil daripada perkataan Arab ‘Abi’ yang
membawa maksud ayah atau seseorang yang amat dihormati. Oleh itu, ternyatalah bahawa
keperibadian Hamka ini diwarisi oleh bapanya yang sememangnya merupakan seorang
ulama terkenal yang membawa pembaharuan di Minangkabau.
Dengan hanya mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Maninjau. Beliau
hanya belajar setakat gred 2. Namun begitu, ketika berumur 10 tahun, ayahnya telah
membuka Thawalin atau sekolah fardhu ain di kampung halamannya di Padang Panjang.
Hamka kemudiannya berlajar dan menguasai Bahasa Arab. Beliau juga menjadikan Syeikh
Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rashid, Sutan Mansur, R. M. Surjopranoto dan Ki Bagus
Hadikusumo, cendikiawan Muslim yang tersohor sebagai mentornya.
Di samping itu, Hamka seorang yang sangat rajin membaca. Beliau banyak
menghabiskan masa lapangnya dengan membaca buku berkaitan dengan falsafah, satera,
sejarah dan politik. Beliau juga sering bertukar-tukar fikiran dengan tokoh-tokoh terkenal
1
Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjoparonoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan
Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang
pemidato yang handal. Hamka merupakan seorang manusia yang dikurniakan dengan
kepetahan berpidato sehinggakan beliau pernah diberi penghormatan untuk berpidato
dalam satu rencana radio di Arab Saudi. Selain itu, beliau juga menyelidiki karya-karya Arab
dan Barat yang diterjemahkan ke bahasa Arab seperti Karl Marx dan Arnold Toynbee.
Sejak beliau berumur 17 tahun Hamka sudah aktif dalam bidang dakwah. Beliau
telah menubuhkan Persatuan Hindia Timur di Makkah dan mengajar cara untuk
mengerjakan haji yang betul kepada jemaah haji Indonesia. Beliau merupakan pengasas
Kolej Al-Muballighin yang melatih pendakwah dan menerbitkan majalah dakwah seperti
Pembela Islam, Merdeka, Menara, Pemandangan, Gema Islam, Pedoman Masyarakat dan
Qathib al-Ummah.
Ketika dalam perantauan itu, beliau mengesan perbezaan misi pembaharuan Islam
di Jawa dan tempatnya iaitu Minangkabau yang mana aspek yang diberi penekanan di
Minangkabau adalah pemurnian ajaran Islam dari praktik yang dianggap salah seperti
tarikat, taqlid, khurafat dan seumpamnya sementara di Jawa, aspek yang diberi penekanan
ialah usaha untuk memerangi keterbelakangan, kebodohan dan kemiskinan (Witrianto.2010:
145). Dan mulai saat itu, Hamka mendapat inspirasi dan sesuatu yang baru untuk
membangun kesedaran keagamaan serta berjuang untuk membela agama Islam. Beliau
menyatakan bahawa beliau menemukan Islam sebagai sesuatu yang hidup yang
menyedarkan suatu pendirian dan perjuangan yang dinamik (Musa Sharaf & Idris
Zakaria.2010 :44).
Dibesarkan dalam tradisi Minangkabau, masa kecil Hamka dipenuhi gejolak batin
kerana ketika itu terjadi pertentangan yang keras antara kaum adat dan kaum muda tentang
pelaksaan ajaran Islam. Banyak hal yang tidak dibenarkan dalam Islam diamalkan dalam
kehidupan seharian masyarakat. Justeru itu, Hamka merupakan salah seorang pendukung
kaum pembaharu yang menentang perkara ini. (Witrianto.2010: 143). Beliau menggunakan
kombinasi ilmu yang dikuasainya ini sebagai dasar untuk menganalisis persoalan-persoalan
kemasyarakatan.Peranan social serta harapan ayahnya, kampung halaman dan asimilasi
antara adat Minangkabau dan ajaran Islam turut membentuk peribadi Hamka
(Witrianto.2010:145).
Budaya merantau juga melengkapkan pemikiran Hamka (Witrianto.2010: 145).
Beliau gemar merantau sehingga ayahnya menggelarkan dirinya sebagai Si Bujang Jauh
(Witrianto.2010: 144). Ketika berusia 19 tahun iaitu pada Februari 1927, beliau berangkat ke
Mekah dan bermukim di sana selama 6 bulan. Beliau bekerja di sebuah percetakan dan
2
mengambil kesempatan belajar sendiri dan menambahkan kefasihan berbahasa Arab di
sana (Rusydi Hamka.2010:3).
Hamka mula bertugas sebagai seorang guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan
Tebing Tinggi Deli, Sumatera Utara dan di Padang Panjang pada 1929. Beliau juga pernah
menjadi Rektor Perguruan Tinggi Islam Jakarta. Setelah perjanjian Roem-Royen 1949,
Hamka berpindah ke Jakarta dan memenuhi kerjayanya sebagai pegawai di Departmen
Agama pada masa KH Abdul Wahid Hasyim. Beliau juga sering memberi kuliah di pelbagai
perguruan tinggi Islam di tanah airnya (Witrianto.2010: 146).
Hamka turut bergiat aktif di dalam bidang politik dengan menjadi ahli Partai Sarekat
Islam pada tahun 1925. Beliau terlibat dalam penentangan terhadap penjajahan Belanda.
Beliau kemudiaannya dilantik sebagai anggota Konstituante dari Parti Masyumi (Majelis
Syuro Muslimin Indonesia) selepas Pemilihan Umum pada tahun 1955 (Witrianto.2010:
146). Setelah Konstituante dibubarkan pada Julai 1959 dan Partai Masyumi dibubarkan oleh
Soekarno pada 1960, beliau memberi tumpuan kepada aktiviti dakwah, menjadi imam di
Masjid Agung al-Azhar serta terlibat aktif di dalam Muhammadiyah. Beliau turut pernah
dipenjara ketika zaman pemerintahan Soekarno selama 2 tahun iaitu pada tahun 1964-
1966 (H. Yunahar Ilyas.2010:162).
Pada 26 Jun 1975, beliau telah dilantik sebagai Ketua Umum Majelis Ulama
Indonesia (MUI). Setelah itu, beliau meletakkan jawatan pada Mei 1981 kerana berpegang
teguh dengan prinsip dan kebenaran meskipun berbeza dengan arahan dari pihak
pemerintah (Witrianto.2010: 147). Beliau seterusnya mengisi masanya dengan memberikan
kuliah subuh di Masjid al-Azhar yang terletak di Jakarta Selatan setelah tidak lagi disibukkan
dengan politik. Sepanjang hidupnya, Hamka telah menerima beberapa anugerah pada
peringkat nasional dan antarabangsa seperti Doktor Kehormat Universiti al-Azhar (1958),
Doktor Kehormat Universiti Kebangsaan Malaysia (1974) dan gelaran Datuk Indono dan
Pangeran Wiroguno daripada kerajaan Indonesia. Setelah sekian lama menyebar ilmu dan
menabur bakti, Hamka kembali ke rahmatullah pada 24 Julai 1981 di Jakarta (Adnan
Mohamed Yusoff. 2010: 78).
Hamka banyak memberikan sumbangan dalam bidang keilmuan. Beliau juga sangat
bergiat aktif dalam penulisan melibatkan pelbagai bidang. Beliau merupakan seorang
wartawan, penulis, editor dan penerbit (Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari & Ezad
Azraai Jamsari. 2010: 232). Beliau telah menulis dalam pelbagai bidang. Antaranya ialah:
3
1. Khatibul Ummah, Jilid 1-3. Ditulis dalam huruf Arab.
2. Si Sabariah. (1928)
3. Pembela Islam (Tarikh Saidina Abu Bakar Shiddiq),1929.
4. Adat Minangkabau dan agama Islam (1929).
5. Ringkasan tarikh Ummat Islam (1929).
6. Kepentingan melakukan tabligh (1929).
7. Hikmat Isra' dan Mikraj.
8. Arkanul Islam (1932) di Makassar.
9. Laila Majnun (1932) Balai Pustaka.
10. Majalah 'Tentera' (4 nombor) 1932, di Makassar.
11. Majalah Al-Mahdi (9 nombor) 1932 di Makassar.
12. Mati mengandung malu (Salinan Al-Manfaluthi) 1934.
13. Di Bawah Lindungan Ka'bah (1936) Pedoman Masyarakat,Balai Pustaka.
14. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (1937), Pedoman Masyarakat, Balai
Pustaka.
15. Di Dalam Lembah Kehidupan 1939, Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.
16. Merantau ke Deli (1940), Pedoman Masyarakat, Toko Buku Syarkawi.
17. Margaretta Gauthier (Terjemahan) 1940.
18. Tuan Direktur 1939.
19. Dijemput mamaknya,1939.
20. Keadilan Ilahy 1939.
21. Tasawuf Moden 1939.
22. Falsafah Hidup 1939.
23. Lembaga Hidup 1940.
24. Lembaga Budi 1940.
4
25. Majalah 'SEMANGAT ISLAM' (Zaman Jepun 1943).
26. Majalah 'MENARA' (Terbit di Padang Panjang), sesudah revolusi 1946.
27. Negara Islam (1946).
28. Islam dan Demokrasi,1946.
29. Revolusi Fikiran,1946.
30. Revolusi Agama,1946.
31. Adat Minangkabau menghadapi Revolusi,1946.
32. Dibantingkan ombak masyarakat,1946.
33. Didalam Lembah cita-cita,1946.
34. Sesudah naskah Renville,1947.
35. Pidato Pembelaan Peristiwa Tiga Maret,1947.
36. Menunggu Beduk berbunyi,1949 di Bukit Tinggi.
37. Ayahku,1950 di Jakarta.
38. Mandi Cahaya di Tanah Suci. 1950.
39. Mengembara Dilembah Nyl. 1950.
40. Ditepi Sungai Dajlah. 1950.
41. Kenangan-kenangan hidup 1,autobiografi sejak lahir 1908 sampai pd tahun
1950.
42. Kenangan-kenangan hidup 2.
43. Kenangan-kenangan hidup 3.
44. Kenangan-kenangan hidup 4.
45. Sejarah Ummat Islam Jilid 1,ditulis tahun 1938 hingga 1950.
46. Sejarah Ummat Islam Jilid 2.
47. Sejarah Ummat Islam Jilid 3.
48. Sejarah Ummat Islam Jilid 4.
5
49. Pedoman Mubaligh Islam,Cetakan 1 1937 ; Cetakan ke 2 tahun 1950.
50. Pribadi,1950.
51. Agama dan perempuan,1939.
52. Muhammadiyah melalui 3 zaman,1946,di Padang Panjang.
53. 1001 Soal Hidup (Kumpulan karangan dr Pedoman Masyarakat,dibukukan
1950).
54. Pelajaran Agama Islam,1956.
55. Perkembangan Tasawuf dari abad ke abad,1952.
56. Empat bulan di Amerika,1953 Jilid 1.
57. Empat bulan di Amerika Jilid 2.
58. Pengaruh ajaran Muhammad Abduh di Indonesia (Pidato di Cairo 1958), utk
Doktor Honoris Causa.
59. Soal jawab 1960,disalin dr karangan-karangan Majalah GEMA ISLAM.
60. Dari Perbendaharaan Lama 1963,dicetak oleh M.Arbie Medan.
61. Lembaga Hikmat,1953 oleh Bulan Bintang,Jakarta.
62. Islam dan Kebatinan,1972;Bulan Bintang.
63. Fakta dan Khayal Tuanku Rao,1970.
64. Sayid Jamaluddin Al-Afhany 1965,Bulan Bintang.
65. Ekspansi Ideologi (Alghazwul Fikri),1963, Bulan Bintang.
66. Hak Asasi Manusia dipandang dari segi Islam 1968.
67. Falsafah Ideologi Islam 1950 (sekembali dari Mekkah).
68. Keadilan Sosial dalam Islam 1950 (sekembali dari Mekkah).
69. Cita-cita kenegaraan dalam ajaran Islam (Kuliah umum) di Universiti Keristan
1970.
70. Studi Islam 1973,diterbitkan oleh Panji Masyarakat.
6
71. Himpunan Khutbah-khutbah.
72. Urat Tunggang Pancasila.
73. Doa-doa Rasulullah S.A.W,1974.
74. Sejarah Islam di Sumatera.
75. Bohong di Dunia.
76. Muhammadiyah di Minangkabau 1975,(Menyambut Kongres Muhammadiyah
di Padang).
77. Pandangan Hidup Muslim,1960.
78. Kedudukan perempuan dalam Islam,1973.
79. Tafsir Al-Azhar Juzu' 1-30, ditulis pada masa beliau dipenjara oleh Sukarno.
Hasil tulisan beliau ini banyak memberi petunjuk dan ilham kepada para
pembacanya. Malah karya-karya Hamka mampu membangkit semangat perjuangan seperti
karya-karyanya dalam majalah selepas perang. Majalah Panji Masyarakat sendiri telah telah
diharamkan pada pemerintahan Sukarno dalam tahun 1960 iaitu setahun selepas
penerbitannya. Bagaimanapun, majalah ini telah diterbitkan semula dalam pemerintahan
baru Suharto pada tahun 1966.
Hamka pernah dipenjarakan awal tahun 1960an. Zaman pemerintahan Sukarno dan
ketika kominis bermaharajalela, selain ditangkap, buku-buku beliau juga ada yang dibakar.
Di dalam penjara inilah, beliau melahirkan kitab Tafsir Al Azhar yang menjadi bacaan
ummah sekarang. Penahanan tubuhnya dalam sangkar besi itu tidak dapat membunuh
semangatnya untuk terus beribadah kepada Tuhannya.
Salah satu sifat terpuji Hamka ialah beliau bukan seorang pendendam malah
seorang pemaaf. Ini terbukti apabila Sokorno meninggal dunia, beliau tampil
menyembahyangkan jenazahnya serta berdoa supaya Allah mengampunkan dosa-dosanya.
Beliau turut memaafkan kesilapan dan dosa Sokorno yang pernah memenjarakannya.
Penulis pernah membaca kisah riwayat Presiden Sukarno yang penuh kontroversi itu.
Pernah dinyatakan bahawa apabila bekas Presiden itu meninggal dunia, Hamka telah
dijemput dan dirayu supaya mengimami solat jenazah Sukarno. Peringkat awalnya,
Almarhum agak keberatan menunaikannya kerana sikap Sukarno masa hidupnya amat
7
dipertikaikan. Namun apabila teringat tentang sifat Allah yang Maha Pengampun untuk
mengampun dosa-dosa hambaNya, Buya Hamka hadir juga ke hadapan untuk mengetuai
solat jenazah itu, dikatakan saat akhir hidupnya Sukarno mulai kembali kepada fitrah
mengingati penciptanya.
Hamka juga seorang yang kuat beribadat. Rusjdi Hamka menyatakan bapanya
begitu tekun menjalani ibadat terutama tengah malam ketika orang seusianya berehat
panjang kerana usia lanjut. Hamka tidak pernah terlambat bangun subuh malah sebelum
fajar menyinsing seawal empat pagi beliau telah bangun. Solat Tahajud jarang sekali
ditinggalkan kecuali dalam keadaam uzur. Beliau pernah menasihati anaknya Rusjdi supaya
tidak meninggalkan solat ketika dalam bermusafir kerana katanya : “ Jika sekali sengaja kau
tinggalkan solat dalam perjalanan jauh, kau akan mudah saja melakukan maksiat kerana
dalam keadaan jauh dari keluarga dan orang-orang yang mengenalmu, kau bisa saja
berbuat maksiat kecuali engkau terus ingat kepada Tuhan. Sekali kau terlanjur berbuat
maksiat, sulit kau akan melepaskan diri.”
Hamka juga terkenal sebagai seorang pejuang bahasa Melayu-Jawi. Hamka
membicarakan tentang Sumpah Pemuda 1928 itu bukanlah bermaksud membuat suatu
bahasa yang baru, tetapi hanyalah penamaan lain kepada bahasa yang sedia ada yang
sudah terpakai ratusan tahun lamanya di alam Nusantara iaitu bahasa Melayu. Bahasa
Melayu inilah yang digunakan di Tanah Melayu dan Indonesia walaupun memakai nama
yang berbeza iaitu Bahasa Indonesia di Indonesia dan Bahasa Melayu di Malaysia. Malahan
pertukaran Bahasa Melayu sebagai bahasa Indonesia itu lebih bersifat politik supaya dapat
diterima oleh wakil pelbagai kaum pada kongres pemuda 1928. Menyedari hakikat ini,
Hamka memperjuangkan bahasa Melayu. Beliau menegaskan bahasa Melayu harus
dinamik, maju dan berkembang.
Hamka juga merupakan seorang sejarawan ulung. Beliau telah menghasilkan buku
Sejarah Umat Islam yang mengandungi sejarah umat Islam di rantau Melayu ini. Hamka
telah membuat penyaringan semula sejarah yang telah bercampur dengan pengaruh cerita-
cerita dongeng dan mitos serta sumber Barat yang tidak tepat. Beliau merupakan pelopor
kepada penulisan sejarah umat Islam rantau ini yang masih kekurangan karya-karya
sejarahnya berbanding dengan bangsa Arab dan Cina. Malahan Hamka meletakkan
metodologi penulisan sejarah iaitu mengunakan cara perawi hadis yang mengumpulkan
hadis Rasulullah dari segala sumber. Apa yang penting ialah kualiti serta moral perawinya.
Kedua ialah mengumpul semua data dan fakta lalu dianalisa dan diberi pendapat seperti
yang dilakukan oleh Ibn Khaldun. Hamka berpendapat kedatangan Islam ke alam Melayu ini
dibawa langsung oleh orang Arab dari Mekah dan ia berlaku lebih awal iaitu sejak awal ke 7
8
masihi atau abad kedua hijrah. Beliau menolak teori kedatangan Islam pertama melalui
Gujerat, termasuk pendapat yang mengatakan bahawa agama Islam masuk ke Nusantara
pada abad ke 13 masihi.
Pemikiran pembaharuan Hamka dalam dilihat dalam pelbagai aspek antaranya
melalui hasil penulisan, pendidikan serta politik yang digagaskan oleh beliau. Pemikiran
pembaharuan Hamka tertonjol dalam beberapa sumbangan kegiatan dakwahnya
terutamanya penulisan seperti Tafsir al-Azhar. Tafsir al-Azhar merupakan sebuah karya
agung yang menjadi manifestasi terhadap corak pemikiran serta aspirasi Hamka dalam
perjuangannya sebagai seorang ilmuwan, sasterawan dan aktivis Islam. Kitab ini sarat
dengan berbagai mesej pembaharuan dan idea kritis yang menuntut para pembaca dan
masyarakat Islam umumnya agar bangkit merenungi situasi semasa meliputi aspek
keagamaan, pendidikan, social, ekonomi mahupun politik seterusnya memikirkan masa
depan agama, bangsa dan tanah air dalam mendepani cabaran yang semakin kompleks
(Adnan Mohamed Yusoff.2010 :77).
Tafsir ini berasal dari siri kuliah yang beliau sampaikan di Masjid al-Azhar yang
terletak di Kebayoran Baru Jakarta sejak akhir tahun 1958. Tafsir ini telah dihasilkan atas
kesedaran Hamka terhadap kepentingan untuk menanam semangat dan kepercayaan Islam
dalam jiwa-jiwa belia di alam Melayu khususnya para belia di Indonesia yang amat berminat
untuk memahami al-Quran tetapi terhalang akibat ketidakmampuan menguasai ilmu bahasa
Arab. Ia juga bertujuan untuk memudahkan pemahaman para muballigh dan para
pendakwah serta meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian khutbah-khutbah yang
diambil dari sumber – sumber Bahasa Arab (Adnan Mohamed Yusoff. 2010: 82).
Hamka dalam penulisan tafsirnya banyak menerima pengaruh dari gerakan
pembaharuan Tafsir Muhammad Abduh. Beliau banyak merujuk, menukil dan menghuraikan
pendapat-pendapat tafsir Muhammad Abduh serta menyatakan dengan jelas bahawa
pandangan atau huraian yang dibawa olehnya adalah dari Tafsir Muhammad Abduh. Tafsir
yang dihasilkan oleh beliau merupakan gabungan antara tafsir bi al-mathur dan tafsir bi al
ra’yi yang tidak hanya menukilkan riwayat-riwayat dari kitab-kitab terdahuludan tidak pula
memberikan kebebasan tanpa batasan kepada akal fikiran (Adnan Mohamed Yusoff. 2010:
83).
Beliau menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan dan pengalaman yang luas untuk
memilih, mengkritik dan menambah apa yang perlu. Beliau sedaya upaya memberikan
maksud sebenar sesuatu ayat dengan menghuraikan makna lafaz-lafaznya dari sudut
bahasa ke dalam Bahasa Indonesia tanpa memasukkan pertikaian-pertikaian ulama
mengenai perbahasan-perbahasan yang terkandung di dalamnya dan tidak memaksakan
9
pendapat dari mana-mana aliran terhadap pembaca. Pembaca diberi kebebasan
sepenuhnya untuk menggunakan akal fikiran dalam memahami dan menghayati kandungan
al-Quran setelah mengetahui maksudnya secara umum (Adnan Mohamed Yusoff. 2010: 83).
Walaubagaimanapun, beliau tetap memberikan penilaian dan pandangannya dalam
perkara-perkara yang tidak disepakati oleh ulama khususnya dalam bab akidah dan ibadah,
tanpa sebarang sikap taasub kepada sesuatu mazhab. Beliau juga berusaha mengelakkan
tafsirnya dari riwayat-riwayat Israiliyyat atau yang lemah kecuali untuk peringatan para
pembaca agar tidak terpengaruh dengan riwayat-riwayat berkenaan. Beliau turut menyentuh
isu-isu semasa berkaitan politik, social, pemikiran, sains dan sebagainya setiap kali punyai
ruang dan keperluan ke arah itu. Beliau turut menukilkan pendapat – pendapat para ulama
Indonesia yang tidak mungkin dapat ditemui dalam tafsir-tafsir lainnya (Adnan Mohamed
Yusoff. 2010: 84).
Corak Tafsir al-Azhar karya Hamka dapat dimasukkan ke dalam kategori yang sama
dengan corak Tafsir al-Manar iaitu kitab tafsir bercorak sastera budaya kemasyarakatan.
Aspek inilah yang menonjol dari Tafsir karya Hamka berbanding aspek kebahasaan, fiqih,
teologi, filsafat, tasawuf dan ilmu pengetahuan meskipun masih ditampilkan dalam Tafsir al-
Azhar. Di dalam tafsir ini, banyak perkara dibincangkan dengan merungkai setiap persoalan
yang berkait dengan permasalahan yang berlaku di dalam masyarakat iaitu berkaitan
dengan ekonomi, sistem perundangan dan politik serta social yang berlaku dalam
masyarakat.
Hamka dalam Tafsir al-Azhar menyentuh pelbagai aspek berkaitan masyarakat.
Metod ijtima’e berkaitan keadilan social dan kemasyarakatan adalah berkait korupsi, judi,
arak dan fitnah (Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria.2010:200). Manakala berkaitan dengan
sistem perundangan dan politik adalah seperti hak memilih pemimpin, hak sebagai khalifah
dan pemimpin (Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria.2010:204). Sementara berkaitan dengan
ekonomi Islam adalah seperti kapitalisme dalam perniagaan serta larangan penggunaan riba
(Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria.2010:208).Setiap permasalahan yang timbul, Hamka
menerangkannya satu-persatu dalam setiap surah mengikut masalah yang berlaku dan
beliau mengemukakan jalan penyelesaiannya berdasarkan ayat-ayat al-Quran. Ini dapat
dilihat dengan jelas apabila kita mentafsirkannya secara menyeluruh atau melihat terhadap
metod ijtimaie yang terdapat dalam Tafsir al-Azhar (Mazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria.2010:
212).
Hamka sememangnya tidak asing lagi dalam dunia pendidikan. Hamka merupakan
seorang pendidik dan mempunyai keprihatinan yang cukup tinggi terhadap dinamika
pendidikan Islam. Ini jelas dapat dilihat melalui karya-karyanya seperti Falsafah Hidup,
10
Lembaga Hidup danLembaga Budi yang membicarakan komponen pendidikan Islam serta
mengetengahkan pemikiran-pemikirannya mengenai pendidikan Islam meliputi tujuan
pendidikan, kewajipan orang tua sebagai pendidik pertama dan utama dalam menanamkan
nilai akhlak pada seorang anak, kewajipan guru yang meliputi metode pendidikan yang
digunakan dan criteria guru yang ideal, memberi peluang kepada anak didik untuk berfikir
secara kritis dan merdeka. Komponen- komponen ini menjadi acuan utama dalam pemikiran
beliau tentang pendidikan. Warisan pemikiran beliau ini merupakan komponen yang sangat
berpotensi untuk dikembangkan sebagai konsep pendidikan Islam (H.Shamsul
Nizar.2010:104).
Hamka di dalam pemikiran pendidikannya amat menekankan kepada syarat-syarat
pendidik dalam kerangka adab muta’allim. Dalam beberapa karya yang ditulis oleh beliau,
beliau tidak menyatakan secara jelas mengenai bentuk kurikulum pendidikan yang
ditawarkannya. Namun secara tersiratnya beliau mencadangkan bahawa kurikulum
pendidikan Islam perlu mencakupi dua aspek iaitu; pertamanya ilmu-ilmu agama yang
meliputi al Quran, al Sunnah, syariah, teologi, tasawuf, ilmu-ilmu linguistic seperti bahasa
Arab, tatabahasa, leksikografi dan kesusasteraan. Kedua, ilmu-ilmu rasional, intelektual dan
falsafah meliputi ilmu-ilmu kemanusiaan (social), alam, terapan dan teknologi (H.Shamsul
Nizar.2010:110).
Menurut Hamka, kurikulum pendidikan tidak terbatas kepada satu bentuk sahaja.
Pendekatan yang dilakukan bersifat falsafah selari dengan dinamika kehidupan manusia
yang menuntut kurikulum pendidikan mengalami perubahan secara dinamis. Beliau
menekankan bahawa wahyu, akal, dan pengalaman memainkan peranan dalam mengambil
kesimpulan bagi membangunkan suatu model kurikulum pendidikan yang mampu menjawab
pelbagai persoalan kehidupan manusia (H.Shamsul Nizar.2010:110). Beliau turut
mencadangkan empat kaedah pendidikan iaitu diskusi, lawatan, eksperimen serta
pemberian tugas. Kesemua ini adalah untuk melatih pelajar menjadi aktif dan dinamis bukan
hanya sekadar berteori (H.Shamsul Nizar.2010:111).
Dinamika pemikiran inovatif Hamka tentang pendidikan dapat dilihat melalui
usahanya untuk mengubah sistem pendidikan tradisional yang masih sederhana kepada
sistem moden yang kompleks dan sistematik. Ini bertujuan membolehkan pelajar
menghadapi perkembangan zaman secara aktif tanpa melampaui batas-batas ajaran
agamanya (H.Shamsul Nizar.2010:115). Idea-idea pembaharuan yang dilakukan Hamka
melalui karya-karyanya adalah respon terhadap realiti social terutamanya praktik sistem
pendidikan tradisional yang masih dipertahankan umat Islam ketika itu. Beliau cuba untuk
11
merombak dan melakukan pembaharuan terhadap sistem pendidikan di Indonesia yang
sangat rendah dan bersifat tertutup (H.Shamsul Nizar.2010:115).
Sistem pendidikan yang ideal menurut Hamka berorientasikan visi keakhiratan
sebagai alat mengawal perilaku manusia sementara visi dunia yang bersifat semasa
berperanan untuk mengaktifkan fungsi akal secara maksimum.Beliau menyeru kepada
umat Islam agar melihat visi pembaharuan khususnya pendidikan secara kritis dan objektif.
Beliau juga tidak hanya menyebarkan idea-idea pembaharuan pendidikan di mimbar
mahupun di dalam karya-karyanya bahkan mengapresiasikan idea tersebut secara nyata
dan praktikal dalam pendidikan formal. Beliau merupakan seorang pendidik bahkan
mendirikan beberapa institusi pendidikan formal seperti Tabligh School yang menggantikan
sistem pendidikan yang masih tradisional dengan menawarkan pola pendidikan baru secara
moden dan sistematik dengan mengambil model pendidikan Barat tanpa melepaskan nilai-
nilai agama Islam (H.Shamsul Nizar.2010:118).
Wacana pemikiran Hamka berpegang teguh pada dasar agama Islam tanpa
menutup diri terhadap pendapat Barat yang bersifat kontemporari selagi persoalan tersebut
tidak menyimpang dari nilai-nilai ajaran Islam. Corak pemikiran seumpama ini merupakan
salah satu indikator dinamika intelektual Muslim era moden yang mengembangkan nilai-
nilai universal ajaran Islam dan bersikap eksklusif terhadap arus pemikiran semasa (umum)
yang dihasilkan oleh intelektual Barat (H.Shamsul Nizar.2010:120). Hubungan yang
signifikan di antara idea pemikiran beliau mengenai pendidikan Islam dan aplikasinya dapat
dilihat melalui penglibatannya dalam institusi pendidikan serta peranannya dalam
mengembangkan masjid al-Azhar sebagai institusi pendidikan Islam dengan berpandukan
model sekolah umum di bawah Yayasan Pesantren Islam al-Azhar (H.Shamsul
Nizar.2010:119).
Menurut Hamka, pembaharuan adalah suatu kemestian. Pembaharuan
(modernisasi) diperlukan dalam segala bidang untuk membangun jiwa bebas merdeka
setelah lama terjajah. Pembaharuan yang dianjurkan adalah pembaharuan dari suasana
feudal kepada demokrasi, pembaharuan dari sebuah negara pertanian kepada negara maju
dan industrialis dan pembaharuan dari suasana kebodohan kepada ilmu pengetahuan
(H.Shobahussurur.2010: 137).
Beliau turut menyeru kepada pembaharuan dalam pendidikan memandangkan
berlaku ketempangan serius dalam dunia pendidikan di Indonesia iaitu sistem pendidikan
Barat menghasilkan kebencian terhadap Islam manakala pendidikan surau atau pondok pula
membenci segala yang berbau Barat (H.Shobahussurur.2010: 138). Hasilnya, golongan
berpendidikan Barat memandang sinis kepada agama sementara golongan berpendidikan
12
surau membenci segala yang berkaitan Barat. Pembaharuan pendidikan sangat diperlukan
untuk menghentikan cara pandang negative serta cubaan untuk lari dari Islam di samping
meluaskan cara pandang sempit yang menyebabkan pengasingan diri serta tidak mahu
membuka wawasan agar dapat melahirkan umat Islam yang bangga dengan sumber ajaran
agamanya, memahami sejarah bangsanya serta tidak tercabut dari akar keislamannya
(H.Shobahussurur.2010: 138).
Hamka turut menolak bahawa pembaharuan merupakan suatu usaha sekularisasi.
Pembaharuan dalam Islam bukanlah dengan memisahkan agama dan negara sebagaimana
fahaman sekularisme yang tumbuh subur di Barat. Pembaharuan yang diusahakan juga
bukanlah satu usaha pembaratan (westernisasi) yang mengambil segalanya dari Barat.
Pembaharuan tidaklah menghilangkan keperibadian sebagai bangsa yang merdeka
mahupun sebagai umat Islam yang dinamis sehingga meniru segalanya dari Barat termasuk
perkara-perkara yang bertentangan dengan agama (H.Shobahussurur.2010).
Pembaharuan pendidikan turut diadakan melalui pengembalian fungsi masjid
sebagaimana pada zaman keemasan Islam, masjid berfungsi sebagai pusat pendidikan dan
dakwah. Pelbagai disiplin ilmu terutamanya ilmu-ilmu keislaman dikaji di dalam masjid.
Masjid al-Azhar mempelopori penubuhan pusat pendidikan sama ada formal mahupun tidak
formal seterusnya penubuhan pusat pendidikan tinggi iaitu Universiti Al-Azhar Indonesia
(H.Shobahussurur.2010: 141).
Keilmuan dan ketokohan yang ada pada beliau mendorong beberapa buah universiti
mengambilnya sebagai pensyarah dalam bidang agama dan falsafah. Antara universiti itu
ialah Universiti Islam Jakarta, Universiti Mohamadiah Sumatera Barat, Universiti Islam
Pemerintah di Jogjakarta dan Universiti Islam Makasar. Bagi mengiktiraf keilmuannya,
Universiti Al Azhar, Mesir telah menganugerahkan Doktor Kehormat dalam tahun 1958 dan
beliau turut menerima ijazah Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 7 Jun
1974. Selain itu, beliau juga banyak berjasa dalam penyebaran Islam dalam bahasa
Indonesia kerana keahliannya dalam kesusasteraan sehingga beliau mendapat gelaran
‘Hamzah Fansuri Zaman Baharu’.
Ulama istimewa ini kembali menemui Al Khaliqnya sewaktu berusia 72 tahun pada
24 Julai 1981 jam 11.10 pagi waktu Malaysia. Beliau dipercayai mengalami serangan
penyakit jantung. Sepanjang hidup beliau,Hamka merupakan seorang yang petah
berpidato,berjiwa seni melalui pantun dan syair dalam karyanya serta seorang yang berani
dalam memberi semangat untuk umat Islam menentang pihak Belanda di Indonesia. Beliau
13
bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara
kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia dan Singapura,
turut dihargai.
14
RUJUKAN
Adnan Mohamed Yusoff. Tafsir HAMKA dan Hubungannya dengan Gerakan Pembaharuan
Tafsir Muhammad Abduh. Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka, hlm.
77-92.1979.Kenang-Kenangan 70 Tahun Buya Hamka. Jakarta: Yayasan Nurul
Islam.
H. Yunahar Ilyas. Buya HAMKA dan Karya Besarnya Tafsir al-Azhar.Prosiding Seminar
Serantau Seabad Buya Hamka, hlm. 155-172.
lMazlan Ibrahim & Suhaila Zakaria. Metode Ijtima’I dalam Tafsir al-Azhar : Satu Kajian.
Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka, hlm.195-214.
Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari. Kerajaaan Banu Marin Menurut Buku Sejarah
Umat Islam Karya HAMKA. Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka,
hlm. 229-248.
Musa Sharaf & Idris Zakaria. Teori Politik Islam HAMKA. Prosiding Seminar Serantau
Seabad Buya Hamka, hlm. 43-58.
Rusydi Hamka (2010). Hamka Pujangga Islam Kebanggaan Rumpun Melayu: Menatap
Keperibadian dan Martabatnya. Selangor : Pustaka Dini.
Shamsul Nizar. Percik Mutiara Pemikiran HAMKA (1908-1981) Tentang Pendidikan Islam.
Prosiding Seminar Serantau Seabad Buya Hamka, hlm.103-128.
Witrianto. Sumbangan Pemikiran Buya HAMKA bagi Kemajuan Bangsa. Prosiding Seminar
Serantau Seabad Buya Hamka, hlm. 143-154.
15