Post on 10-Nov-2015
description
IBADAT WAKAF
oleh
Dato' Dr. Abd Monir Yaacob
Penolong Ketua Pengarah, IKIM
Allah mencipta Manusia dengan sebaik ciptaan. Manusia diberi akal dan fikiran untuk merancang kehidupan seharian. Kelebihan ini dianugerahkan oleh Allah tanpa mengira agama dan bangsa. Dengan kelebihan itu manusia diberti tugas untuk mentadbirkan dan memakmurkan dunia. Hanya dengan ilmu, akal yang
diasaskan kepada iman menentukan bentuk amalan yang dilakukan oleh manusia.
Justeru ilmu telah meningkatkan darjat dan martabat manusia lebih tinggi dari
malaikat. Peristiwa Nabi Adam dengan malaikat seperti yang termaktub dalam
al-Quran membuktikan demikian. Marilah kita mensyukuri dan menginsafi akan
kelebihan yang telah Tuhan kurniakan ini dengan menambah dan meningkatkan lagi
ketaqwaan kita kepada Allah yang mencipta alam seluruhnya. Dialah yang memberi
rezeki, memberi kesihatan tubuh badan, melanjutkan usia umur, mengurniakan
kekayaan, kenikmatan hidup dunia dan sebagainya. Tanpa rahmat yang dilimpahkan,
kehidupan manusia di dunia tidak akan sempurna.
Allah telah menetapkan tatacara hidup di dunia ini. Tatacara yang mengerat dan
mengharmonikan hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan Tuhan
yang mencipta dan Maha Besar. Dalam kehidupan bermasyarakat manusia diberi
panduan1 bagaimana sesebuah keluarga itu dikembangkan. Maka diadakan peraturan
nikah kahwin. Apabila terbentuk keluarga maka ditetapkan tanggungjawab dan hak
masing-masing dalam keluarga. Selagi manusia berpegang kepada aturan-aturan
yang dilandaskan jaminan ketenteraman dalam keluarga akan berterusan.
Manusia tidak boleh hidup dalam kelompok keluarga yang terbatas. Manusia hari
ini telah berkembang berasaskan unit-unit keluarga. Telah membentuk masyarakat
yang besar. Seterusnya menuju ke arah globalisasi. Dalam keadaan sedemikian
manusia dituntut supaya berkerjasama dan bertolong bantu diantara satu dengan
lain. Dalam al-Quran Allah s.w.t berfirman bermaksud,
"Wahai manusia sesungguh kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak
supaya kamu berkenalan, sesungguhnya yang mulia diantara kamu disisi Allah
adalah mereka yang bertakwa diantara kamu"
Dalam ayat yang lain Allah s.w.t ada berfirman yang bermaksud,
"Bertolong bantu dalam perkara kebajikan dan juga bertolong bantu dalam perkara
keburukan dan permusuhan"
Manusia adalah makhluk yang mempunyai potensi tinggi untuk maju dalam
membangunkan dunia. Umat Islam perlu mengembangkan potensi ini untuk
meninggikan syiar Islam dan membangunkan negara. Negara kita adalah sebuah
negara yang mempunyai potensi untuk menjadi negara maju. Langkah-langkah untuk
menuju ke arah sebuah negara maju telah dimulakan dalam pelbagai bidang.
Bagaimanapun satu diantara bidang yang patut umat Islam di negara ini, khususnya
di negari Pahang, bangunkan ialah mewujud dan memperkukuhkan Institusi Wakaf.
Kewujudan wakaf dalam perundangan Islam berdasarkan kepada hadis berikut :
1. Hadis nabi s.a.w bermaksud :
"Apabila seseorang itu mati terputuslah amalannya kecuali tiga: sedekah
jariah atau ilmu yang boleh dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh berdoa
untuknya. Yang dimaksudkan dengan sedekah jariah ialah wakaf"
2. Hadis yang diriwayatkan oleh Umar tentang sebidang tanah di Khaibar.
Umar bertanya kepada Rasulullah s.a.w apa yang patutu dilakukan Jawab
Rasulullah, jika mahu tahan asalnya (tanah) dan bersedekah dengannya. Maka kamu
telah bersedekah dengannya.
Amalan wakaf telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, Abu Bakar, Umar Othman,
Ali dan sahabat-sahabatnya selepas mereka.
"Image" wakaf di negara ini pada umumnya tidak memberangsangkan. Berbanding
dengan negara-negara Islam yang lain seperti di negara Mesir, Kuwait, Turki dan
Marocco. Di negara-negara Afrika dan Asia Barat seperti Mesir, Kuwait dan
Marocco diwujud kementerian Wakaf, untuk mentadbirkan wakaf. Cuba bayangkan
betapa wakaf itu telah meresap sepenuhnya dalam sistem pemerintahan
negara-negara tersebut. Dari dana Wakaf masjid-masjid didirikan. Kegiatan dan
aktiviti Islam dilaksanakan secara terancang. Berbanding dengan kegiatan dan
pembangunan Islam negara kita. Amat bergantung kepada sumbangan pemerintah.
Dana Wakaf di Turki bukan sahaja dapat menampung kegiatan Islam di Turki bahkan
dapat mendirikan masjid di negara minority Islam. Dana Wakaf Kuwait, pula telah
digunakan bagi tujuan pembangunan keilmuan dengan mengeluarkan ensiklopedia
perundangan Islam atau fiqh.
Menurut abu Zahrah, wakaf telah begitu banyak di zaman pemerintahan kerajaan
Bani Umaiyyah iaitu di Mesir dan Syam dan negera-negara Islam yang telah dibuka
dalam pemerintahan tersebut. Harta wakaf ketika itu terdiri dari tanah,
bangunan dan kebun-kebun. Pada zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik telah
ditubuhkan jabatan bagi mengurus harta wakaf.
Di negara kita wakaf masih belum meresap dan sebati dalam tubuh badan dan minda
umat Islam di negara ini. Pada satu ketika dahulu masyarakat Islam di rantau
ini tidak ketinggalan dari melaksanakan khairat wakaf sehingga dapat menubuhkan
Pusat Pengajian Tinggi Agama. Jelas bahawa masyarakat Islam dahulu lebih
prihatin dan komited dalam menghayati wakaf. Amalan wakaf di negara-negara
Islam tidak terbatas kepada tanah, bangunan bahkan terdapat di setengah negara
Islam mereka mewakafkan pokok buahan yang boleh mendatangkan hasil.
Kedudukan wakaf dalam ajaran Islam amat tinggi nilainya. Bahkan mempunyai tiga
dimensi. Pertama memberi pahala yang berganda kepada orang yang berwakaf. Kedua
menunaikan tanggungjawab sosial untuk membantu golongan masyarakat yang daif.
Ketiga menaikkan image dan syiar Islam. Dalam konteks negara kita dana wakaf
boleh mempesatkan lagi pembangunan negara yang bercirikan Islam. Di negara kita
hari ini kita dapat melihat institusi Muamalah Islam seperti Bank Islam, Takaful
dan saham berlandaskan Islam. Kita perlu menambah, memartabatkan institusi
Muamalah. Wakaf adalah satu diantaranya. Masyarakat Islam perlu membangunkan
wakaf - memakmurkan harta wakaf supaya dapat dilihat dan dikecapi
pembangunannya. Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud,
"Tidak mencapai sesuatu kebajikan sehingga kamu membelanjakan apa yang kamu
kasihi".
Dalam sesebuah hadis ada menyatakan,
"Tidak sempurna Iman seseorang sehingga dia mengasihani saudaranya seperti mana
dia mengasihani dirinya sendiri"
Sekarang mari kita lihat bagaimana kita boleh menginfakkan harta kita
sebagaimana yang dituntut oleh agama kita.
Mengikut Perlembagaan Negara kita, pentadbiran hal ehwal Agama Islam adalah
terletak pada negeri dan raja adalah ketua agama bagi negeri berkenaan. Dalam
hubungan ini, Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang telah ditubuhkan
bagi menasihati raja dalam urusan tersebut. Dalam hubungan ini Majlis telah
membuat keputusan untuk menubuhkan dan seterusnya melancarkan `Saham Wakaf', di
negeri Pahang. Bagi sesetengah pihak mungkin tidak begitu jelas dengan maksud
Saham Wakaf. Secara ringkas, sebenarnya Saham Wakaf adalah satu bentuk wakaf
dan asas-asasnya masih mengikut konsep asal wakaf. Segala nas dan syarat-syarat
tetap mengikut lunas dan prinsip wakaf.
Kesahihan wakaf adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w daripada
Othman r.a, yang bermaksud,
"Sesiapa yang mengali telaga Raumah maka baginya Syurga", kata Saidina Othman
maka "Akulah yang menggalinya".
Menurut satu riwayat dari al-Bhaqawi pula menyatakan,
"Sesungguhnya telaga "Raumah" itu adalah milik seorang lelaki yang dibeli dari
bani Ghaffar dan dia mengguna telaga itu dengan nama "Raumah", dan dia telah
menjual telaga itu untuk mendekatkan dirinya kepada Allah dengan harga secupak
gandum", maka kata Nabi kepadanya "Adakah kamu menjual itu pada halnya dia
adalah harta di dalam syurga?" Jawapannya ialah "Ya, Rasulullah, saya tidak ada
apa-apa harta, begitu juga keluarga saya selain daripada telaga itu, maka
sampaikan berita ini kepada Saidina Othman. Lantas Saidina Othman membeli
telaga itu dengan harga 35,000 dirham. Kemudian Nabi pergi kepada Saidina
Othman dan berkata kepadanya, "Apakah engkau akan beri kepada aku sepertimana
memberikan kepadanya", jawab Saidina Osman, "Ya, dan akan jadikan wakaf untuk
orang Muslimin." (Fikhul Sunnah Sayid Sabiq)
Dari hadis tersebut jelas menyatakan sesuatu harta, termasuk harta yang disukai
oleh seseorang boleh diwakafkan. Asalkan harta itu miliknya dan bersifat kekal
serta boleh memberi manafaat. Sama ada yang bersifat kekal itu tetap atau benda
boleh alih. Justeru, kita boleh mewakafkan tanah, bangunan, pokok buahan sama
ada seluruh atau sebahagian harta tersebut. Hari ini rekod menunjukkan
tanah-tanah wakaf lebih bersifat khusus seperti untuk tapak masjid dan
perkuburan. Keadaan ini mendatangkan kesulitan apabila hendak dibangunkan dan
boleh mengusik sensitiviti masyarakat Islam apabila di istiadat atau ditukar
atau dijual. Masyarakat akan kata Majlis jual tanah kubur jual tapak masjid
untuk buat rumah dan sebagainya.
Dalam konteks Saham Wakaf ia adalah mementingkan kebajikan umum. Dengan cara
demikian wakaf tersebut boleh dipelbagaikan kegunaannya bagi apa jua tujuan
kebajikan dan pembangunan umat Islam.
Tujuan Majlis mewujudkan Saham Wakaf adalah bagi membolehkan penyertaan yang
lebih ramai umat Islam dalam negeri ini dalam ibadat wakaf. Setiap orang Islam
boleh menyumbang wang ringgit ke dalam dana Saham Wakaf sekadar termampu. Yang
berada dengan kedudukannya, yang mewah dengan kelebihannya. Saham atau bahagian
sumbangan itu akan diistibdalkan dengan harta kekal seperti tanah, bangunan dan
projek yang boleh mendatangkan manafaat kepada umat Islam. Ini adalah ibadat
yang dijamin pahalanya dan berkekalan selagi wakaf itu wujud. Keistemewaan
wakaf berbanding dengan sedekah biasa, ibadat wakaf sifatnya
kemasyarakatan/sosial yang meluas dan berterusan atau kekal dan bukan
individual. Sedekah kepada seseorang lebih bersifat individual dan tiada pihak
dan hukum yang mengawal kegunaannya. Pemilik sedekah boleh melakukan mengikut
kehendaknya. Berlainan dengan wakaf. Ia mempunyai hukum yang tersendiri dan
tujuan yang tertentu. Saham Wakaf tidak boleh dijual, tidak boleh dijadikan
pemberian kepada mana-mana pihak dan tidak boleh diwarisi oleh seseorang.
Begitu ketat sekali hukumnya bagi mengawal harta wakaf supaya tidak
disalahgunakan. Justeru sifat wakaf itu kekal dan berpanjangan maka ia adalah
satu pelaburan yang hakiki untuk mendapat keredhaan Allah. Melabur dalam Saham
Wakaf dividennya dikutip di akhirat. Dividennya jauh lebih tinggi berbanding
dengan saham-saham lain.
Marilah kita mulai sekarang menanamkan semangat dan kesedaran untuk
melaksanakan ibadat wakaf. Allah s.w.t berfirman maksudnya,
"Barangsiapa yang melakukan sekecil zarah kebajikan nescaya dia akan melihatnya
(balasan)"
Dalam era pembangunan dan kemajuan ekonomi yang sedang berlaku kini, institusi
Islam seperti Wakaf hendaklah digerakkan bersama-sama menyertai arus
pembangunan. Ini membuktikan Islam membawa ajaran yang dinamik dan progresif
sesuai dengan perkembangan dan perubahan masa. Tentu kita umat Islam di negeri
ini merasa megah apabila kita sendiri dapat menegakkan syiar Islam di samping
apa yang selama ini telah dilakukan oleh kerajaan. Semoga dengan terbentuknya
dana Saham Wakaf dan sumbangan umat Islam seluruhnya akan dapat memartabatkan
lagi syiar Islam dan mempertingkatkan komitmen umat Islam dan melaksanakan
tanggungjawab sosial dan pembangunan.
BACK / HOME