Post on 09-Apr-2016
description
Kedaulatan pulau layang-layangOct 15, 2008Oleh ZAKI SALLEHzaki.salleh@kosmo.com.my
Berdasarkan pengalaman kehilangan Pulau Batu Putih, Malaysia melengkapkan
beberapa aset fizikal di Pulau Layang-layang agar pulau itu juga tidak jatuh ke tangan
negara lain.
Kunjungan media baru-baru ke sini bagi menyertai Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak melawat Pulau Layang-layang seperti dijangka
mengundang rasa kurang puas hati negara-negara yang menuntut hak ke atas
kepulauan itu.
Kementerian luar China dan Taiwan berpendapat lawatan delegasi menteri dan
pegawai-pegawai kanan ATM itu tidak sepatutnya berlaku. Seperti China, Taiwan juga
menuntut keseluruhan kepulauan di sini yang disifatkannya sebahagian hak mutlak
negara itu.
Jurucakap kedua-dua negara memberitahu Malaysia sepatutnya menghormati
perjanjian yang ditandatangani pada tahun 2002 antara negara-negara yang terbabit
dalam isu tuntutan bertindih itu. Kenyataan yang disiarkan oleh hampir semua media
utama negara itu bagaimana pun pantas dijawab Timbalan Perdana Menteri.
"Tidak timbul soal provokasi kerana Pulau Layang-layang terletak dalam perairan
negara walaupun tuntutan mengenainya masih diperbincangkan antara negara-negara
termasuk China dan Taiwan," ujar beliau. Menurut Najib, kehadiran rakyat Malaysia di
kawasan strategik negara termasuk wilayah kepulauan itu tidak dianggap remeh kerana
ia sebahagian daripada Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.
"Berdasarkan pengalaman Malaysia kehilangan hak dalam tuntutan kedaulatan
terhadap Batu Putih, beberapa bulan lalu, kita tidak boleh memandang remeh perkara
ini.”
"Aset fizikal seperti penempatan TLDM ini bakal menyokong tuntutan pemilikan
negara terhadap kawasan itu jika ia dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa
(ICJ).”
"Bagaimanapun, ia bukan bermakna Malaysia tidak akan berbincang berhubung
isu tersebut kerana setiap pertindihan tuntutan wilayah harus diselesaikan menerusi
rundingan demi keamanan serantau.”
"Jika sesuatu tuntutan dirujuk kepada ICJ, satu daripada faktor utama
pertimbangan ialah penguasaan sesuatu pulau membabitkan pemilikan atau
penempatan rakyat kita untuk menyokong tuntutan itu," tegasnya.
Isu Spratly pernah menyaksikan konflik bersenjata antara China dan Vietnam
pada Januari 1974 di Gugusan Paracels. Secara terbuka negara kuasa Asia Timur itu
menuntut keseluruhan kepulauan di Laut China Selatan ini sebagai perairan yang
berada di bawah penguasaannya. Konflik bersenjata beberapa kali berlaku antara
kedua-dua negara sekitar tahun 1980-an yang mencetuskan ketegangan. Yang pasti,
konflik China - Vietnam membuka mata negara-negara lain yang bersempadan di sini
untuk membuat tuntutan sama dengan membina penempatan.
Pengisytiharan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pada 20
September 1979 menyaksikan Kabinet mengarahkan supaya kajian segera dilakukan
untuk mendirikan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang di perairan ini.
Sebuah tugu kemudian dibina di sini pada 21 Jun 1980 menandakan hak kedaulatan
Malaysia. Ia disusuli dengan penempatkan anggota Paskal TLDM di sini pada Mei 1983
dalam keadaan yang cukup mencabar.
Survivaliti tim Paskal ketika itu jelas menunjukkan kesanggupan mereka
menggadaikan keberanian demi mengawasi kedaulatan negara. Dari segi geografi,
kawasan perairan ini mempunyai kepentingan strategik dan ekonomi, khususnya
mineral. Daripada sebuah terumbu, ia melalui beberapa fasa pembesaran sejajar
dengan keperluan operasi di sini sehingga terbentuknya kawasan daratan lalu dikenali
sebagai Pulau Layang-layang meliputi kawasan seluas 2.5 kilometer persegi. Ia hasil
penambakan 70,000 meter padu pasir dan konkrit bagi pembinaan blok kediaman,
hangar bilik janakuasa, kincir angin, menara pemerhati serta landasan kapal terbang
sepanjang 1,367 meter yang hanya cukup-cukup menerima pendaratan pesawat bersaiz
C-130. Seperkara yang menarik, setiap penghuni stesen ini juga perlu mematuhi disiplin
penggunaan air yang ketat kerana bekalan kira-kira 57 tan air bersih sehari itu diperolehi
daripada sistem memproses air suling.
Selain pulau ini, TLDM turut menduduki Terumbu Ubi (Stesen Uniform), Terumbu
Mantanani (Stesen Mike), Terumbu Siput (Stesen Sierra) dan Terumbu Peninjau
(Stesen Papa) yang menempatkan terup Paskal. Kesemua stesen ini dikenali sebagai
Stesen Luar Pantai di bawah pemerintahan Markas Wilayah Laut 2 (Marwila 2).
Artikel dari:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?
y=2008&dt=1015&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm
Ringkasan
Kunjungan media baru-baru ke Pulau Layang-layang bagi menyertai Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak melawat pulau tersebut telah mengundang
rasa kurang puas hati negara-negara yang menuntut hak ke atas kepulauan itu.
Kementerian luar China dan Taiwan berpendapat lawatan delegasi menteri itu tidak
sepatutnya berlaku. Jurucakap kedua-dua negara memberitahu Malaysia sepatutnya
menghormati perjanjian yang ditandatangani antara negara-negara yang terbabit dalam
isu tuntutan bertindih itu.
Namun, Datuk Seri Najib berkata bahawa soal provokasi tidak timbul kerana
Pulau Layang-layang terletak dalam perairan negara walaupun tuntutan mengenainya
masih diperbincangkan antara negara-negara. Tambah beliau pula, berdasarkan
pengalaman Malaysia kehilangan hak dalam tuntutan kedaulatan terhadap Batu Putih,
beberapa bulan lalu, pekara seperti ini tidak harus dipandang remeh.
Pengisytiharan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia menyaksikan
kabinet mengarahkan supaya kajian segera dilakukan untuk mendirikan penempatan di
beberapa buah terumbu batu karang di perairan ini. Sebuah tugu kemudian dibina di sini
bagi menandakan hak kedaulatan Malaysia.
Walau bagaimanapun, ia bukan bermakna Malaysia tidak akan berbincang
berhubung isu tersebut kerana setiap pertindihan tuntutan wilayah harus diselesaikan
menerusi rundingan demi keamanan serantau. Aset fizikal seperti penempatan TLDM
dibina untuk menyokong tuntutan pemilikan negara terhadap kawasan tersebut jika ia
dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Kesimpulannya, segala tindakan Malayisa atas Pulau Layang-layang bukan
semata-mata hendak menimbulkan berlakunya pertelingkahan antara negara-negara
persekitaran seperti China, Taiwan dan Vietnam tetapi hanya mengekalkan kedaulatan
negara di rantau ini. Malaysia, sebuah negara yang berdaulat tidak boleh menunjukkan
kelamahan lagi di mata dunia seperti kehilangan hak milik Batu Putih.
ARKIB : 30/06/2013
Turki, Syria, Iran dari satu sudutOleh ZIN MAHMUD
Sebahagian daripada rakyat Turki dengan senang hati melakukan tunjuk perasaan
menentang Perdana Menteri Tayyip Reccep Erdogan. Sementara di Syria, sebahagian
rakyatnya bermati-matian dengan mengharungi penyiksaan dan kematian untuk
menggulingkan Presiden Bashar Assad. Di Iran pula, sebahagian rakyatnya mengundi
untuk menyokong seorang calon presiden, Hassan Rowhani kerana beliau dianggap
paling sederhana, bermakna tokoh yang membangkang elit politik dominan republik itu.
Secara umumnya dapat difahami bahawa media Barat menyokong sebarang
usaha daripada rakyat Turki, Syria dan Iran yang menentang kerajaan masing-masing.
Maka disebutnya bahawa di Turki, kerajaan Erdogan adalah bersifat autoritarian,
mempunyai agenda Islam dan bersikap menolak sekularisme.
Penentangan Barat terhadap Assad adalah jelas daripada awal. Ini kerana Syria
dianggap sebagai negara yang berada sezaman dan sefahaman dengan Iraq zaman
Saddam dan Libya zaman Gaddafi. Terhadap Iran pula, ia merupakan negara yang
dianggap musuh kepada Barat sejak berlaku revolusi yang menggulingkan Shah Reza
Pahlavi.
Adalah menjadi impian kepada Barat supaya sistem Republik Islam Iran tumbang
dan digantikan dengan suatu bentuk pemerintahan demokratik seperti apa yang
diamalkan oleh kebanyakan negara-negara dunia. Barat pernah cuba menggagalkan
sistem pemerintahan Republik Islam Iran dengan menyokong Iraq pimpinan Saddam
Hussein menyerang serta memerangi negara itu dalam Perang Iran-Iraq pada awal
tahun 80-an. Tetapi mereka gagal.
Selepas itu mereka mengharapkan suatu penentangan dalaman di Iran. Setiap
kali Pilihan Raya Presiden negara itu, Barat akan berusaha mencari tokoh yang
dianggap sederhana. Apa yang disebut sebagai sederhana itu bermaksud golongan
tidak puas hati terhadap dasar-dasar pemerintahan sedia ada di bawah pimpinan
Pemimpin Tertingginya, Ayatullah Khamenei.
Justeru apa yang diharapkan ialah Persian Spring, iaitu kebangkitan rakyat Iran,
kalau tidak pun setakat demonstrasi untuk menjatuhkan pemimpin mereka. Tetapi itu
tidak berlaku. Apa yang berlaku ialah Iran bertambah berpengaruh di rantau itu
sepanjang tahun 90-an dan 2000-an. Hizbullah yang merupakan kumpulan politik
sokongan Iran menjadi kuasa paling berpengaruh di Lebanon. Ia berjaya mencabar
pengaruh Barat bukan saja di Lebanon tetapi di Israel. Hizbullah pula bersekutu dengan
Syria. Ketiga-tiga kuasa politik ini: Hizbullah, Syria dan Iran menjadi paksi yang
mencabar hegemoni Barat di rantau itu. Selepas Amerika Syarikat menakluki Iraq, maka
diharapkan semangat demokrasi yang diterapkan di Baghdad akan merebak ke negara-
negara lain di rantau itu. Negara yang paling utama diharapkan akan berlaku perubahan
ialah Syria.
Kerajaan Baghdad di bawah Saddam dan Damsyik di bawah Assad berkongsi
fahaman iaitu Baathisme walaupun kedua-duanya bermusuhan. Justeru apabila
Baghdad tumbang, maka Damsyik juga diturut akan terheret sama. Apabila Syria dapat
didemokrasikan, maka Hizbullah juga akan lemah dan Lebanon dapat ditarik kembali
kepada pengaruh Barat. Tanpa Syria dan Lebanon, Iran juga akan tergugat. Itulah yang
diharapkan daripada rentetan penaklukan Amerika Syarikat terhadap Iraq. Daripada
Iraq, ia pergi ke Syria, Lebanon dan akhir sekali Iran. Tetapi pendemokrasian di Iraq
tidak membawa kepada kebebasan di Timur Tengah. Sebaliknya Iraq terpaksa
mengharungi penderitaan daripada keganasan yang berlarutan dan berpanjangan.
Sebaliknya Teheran mendapat tapak pengaruh ke atas kerajaan Baghdad. Ia
merupakan sesuatu yang tidak dapat dielak oleh Amerika Syarikat. Washington dan
Teheran mendapati diri mereka berada di pihak yang sama bagi menentang golongan
Sunah yang bersenjata.
Setelah beberapa tahun berlalu, apa yang berlaku bukannya Persian Spring tetapi
sebaliknya Arab Spring. Ia tidak bermula di Syria tetapi tercetus di Tunisia, sebuah
negara sekutu Barat. Tuntutan pendemokrasian berlaku bukan di negara anti-Barat
seperti Syria dan Iran, sebaliknya ia berlaku di negara-negara pro-Barat iaitu Tunisia
dan Mesir. Walaupun media Barat mengalu-alukan revolusi ini, tetapi mereka bimbang
bahawa dalam demokrasi, pihak yang akan dipilih rakyat adalah golongan berasal dari
kalangan gerakan Islam. Tetapi apa yang disebut sebagai Arab Spring itu
menggembirakan pihak Barat kerana ia merebak kepada negara-negara yang bukan
sekutu Barat khususnya Libya dan Yemen tetapi lebih penting lagi ialah Syria.
Sementara Arab Spring di Bahrain berjaya dipatahkan dan kerajaan yang
merupakan sekutu Barat di situ selamat. Di Tunisia dan Mesir pula, seperti yang
dijangka Barat, kerajaan yang muncul melalui proses pilihan raya ialah pihak-pihak yang
berasal dari gerakan Islam, iaitu Islamic Trend Movement di Tunisia dan Ikhwanul
Muslimin di Mesir. Kedua-dua kumpulan ini menubuhkan sayap parti politik dan
menggambarkan diri mereka bukan lagi sebagai gerakan Islam tetapi lebih kepada
kumpulan demokrat dan tidak menentang sekular. Mereka mahu menyamakan diri
mereka dengan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Turki pimpinan Erdogan. Ada
pihak menamakan mereka pasca Islamis. Tetapi media Barat dalam mengalu-alukan
mereka, kecurigaan tetap ada. Mereka dianggap sebagai menyembunyikan agenda
Islam. Termasuklah Erdogan.
Ternyata Syria tidak semudah Tunisia, Mesir dan Libya. Perang saudara berlaku.
Mesir dan Turki mengisytiharkan sokongan kepada penentang Assad. Iran membela
Damsyik. Tetapi Barat mempunyai agenda tersendiri terhadap pasca Islamis ini.
Demonstrasi disokong Barat dilancarkan terhadap kerajaan-kerajaan Tunis, Kaherah
dan Ankara walaupun kesemua mereka ini dipilih oleh pengundi melalui proses pilihan
raya yang dapat diterima.
Arab Spring sudah merebak menjadi Turkish Spring pula. Maka timbullah kata-
kata bahawa demokrasi bukan sekadar proses pilihan raya. Ia seharusnya lebih
daripada itu. Demokrasi wajar meliputi kebebasan bersuara di samping menghormati
suara-suara minoriti. Parti-parti politik yang menang dalam pilihan raya tidak bermakna
mempunyai semua kuasa dalam pemerintahan. Mereka perlu mengambil kira pihak
minoriti yang kalah dalam pilihan raya. Ini kerana negara adalah milik semua, bukannya
sesuatu pihak yang menang pilihan raya.
Maknanya Barat bukan saja mahukan demokrasi pilihan raya berlaku di negara-
negara Timur Tengah. Mereka mahu kerajaan yang sekular seperti mereka. Sama ada
konservatif atau sosialis, sesebuah kerajaan mestilah bersifat sekular. Walaupun pasca
Islamis menerima sistem demokrasi dan toleran terhadap sekularisme, tetapi Barat tidak
mempercayainya. Usaha Erdogan hendak membina semula bangunan warisan
Uthmaniah dan masjid baru berseni bina Uthmaniah dipandang sebagai agenda Islam
yang bertopengkan demokrasi dan sekular.
Untuk melawan pasca Islamis ini, caranya ialah dengan demonstrasi. Walaupun
tindakannya itu akan dibalas dengan demonstrasi yang lain, tetapi ketidakstabilan akibat
daripada itu diharapkan akan menggagalkan sebarang agenda Islam daripada golongan
pasca Islamis ini.
Barat dengan jelas komited hendak menggulingkan Assad. Presiden Barrack
Obama juga sudah membuat keputusan untuk membekalkan senjata dan menyokong
penuh penentang-penentang Assad. Mesir dan Turki juga turut membantu pihak yang
menentang Assad. Tetapi setelah Assad berjaya ditumbang kelak, pihak Barat dapat
difahami tidaklah mahu kerajaan baru itu terdiri daripada golongan pasca Islamis seperti
di Turki dan Mesir. Mereka menginginkan negara Syria yang benar-benar demokratik
dan sekular. Selepas Syria, tentulah harapannya ialah untuk mengubah pula Iran.
Artikel dari: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130630/re_05/Turki-Syria-
Iran-dari-satu-sudut#ixzz2Z7sPjI8u
© Utusan Melayu (M) Bhd
Ringkasan
Rakyat di Turki, Syria dan Iran melakukan pemberontakkan untuk menentang sistem
pemerintahan kerajaan masing-masing. Media Barat menyokong sebarang usaha
daripada rakyat negara tersebut yang menentang kerajaan masing-masing kerana
negara-negara tersebut disebutnya adalah bersifat autoritarian, mempunyai agenda
Islam dan bersikap menolak sekularisme.
Barat pada mulanya menentang Syria herana dianggap sebagai negara yang
berada sezaman dan sefahaman dengan Iraq. Terhadap Iran pula, ia merupakan negara
yang dianggap musuh kepada Barat sejak berlaku revolusi yang menggulingkan Shah
Reza Pahlavi. Barat berharap sistem Republik Islam Iran tumbang dan digantikan
dengan suatu bentuk pemerintahan demokratik seperti apa yang diamalkan oleh
kebanyakan negara-negara dunia. Barat pernah cuba menggagalkan sistem
pemerintahan Republik Islam Iran dengan menyokong Iraq, menyerang serta
memerangi negara itu dalam Perang Iran-Iraq pada awal tahun 80-an tetapi mereka
gagal.
Justeru apa yang diharapkan oleh Barat ialah Persian Spring, iaitu kebangkitan
rakyat Iran. Tetapi itu tidak berlaku. Setelah beberapa tahun berlalu, apa yang berlaku
bukannya Persian Spring tetapi sebaliknya Arab Spring. Ia tercetus di Tunisia, sebuah
negara sekutu Barat. Tuntutan pendemokrasian berlaku bukan di negara anti-Barat,
sebaliknya ia berlaku di negara-negara pro-Barat. Tetapi Arab Spring menggembirakan
pihak Barat kerana ia merebak kepada negara-negara yang bukan sekutu Barat iaitu
Libya, Yemen dan Syria.
Selepas itu, Arab Spring merebak menjadi Turkish Spring pula. Maka timbullah
kata-kata bahawa demokrasi bukan sekadar proses pilihan raya malah wajar meliputi
kebebasan bersuara. Parti-parti politik yang menang dalam pilihan raya perlu mengambil
kira pihak minoriti yang kalah dalam pilihan raya. Barat bukan saja mahukan demokrasi
pilihan raya berlaku di negara-negara Timur Tengah, mereka mahu kerajaan yang
sekular seperti mereka sama ada konservatif atau sosialis. Walaupun pasca Islamis
menerima sistem demokrasi dan toleran terhadap sekularisme, tetapi Barat tidak
mempercayainya. Untuk melawan pasca Islamis ini, caranya ialah dengan demonstrasi.
Walaupun tindakannya itu akan dibalas dengan demonstrasi yang lain, tetapi
ketidakstabilan akibat daripada itu diharapkan akan menggagalkan sebarang agenda
Islam daripada golongan pasca Islamis ini.
Kesimpulannya, negara-negara Barat berharap dapat mewujudkan pemerintahan
pro-Barat di dunia Islam tanpa mengambil kira negara-negara tersebut mengamalkan
sistem demokrasi atau autokrasi. Negara-negara Barat berpura-pura menyokong
kebangkitan “demokrasi” iaitu Persian Spring, Turkish Spring dan Arab Spring tetapi
hakikatnya mereka berniat mengawal semua kerajaan Asia Timur dan memecah-belah
perpaduan negara-negara Islam.