Post on 11-Jan-2017
1
ISBN : 978-967-0582-32-0
Peranan Wanita Luar Bandar Dalam Melestarikan Institusi Keluargaan
Colonius Atang, Dg Norizah Ag Kiflee@Dzulkifli Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah
ABSTRAK
Kertas kerja ini adalah bertujuan mengangkat peranan wanita sebagai pendokong
kepada kelangsungan dalam institusi kekeluargaan. Banyak kajian di luar negara
merumuskan bahawa majoriti wanita melakukan dwi peranan dalam keluarga
iaitu peranan repoduktif dan produktif, ini menjadikan mereka memikul beban
kerja yang berlebihan. Namun sumbangan mereka ini tidak mendapat
pengiktirafan terutmanya peranan sebagai penyumbang utama ekonomi dalam
keluarga. Amalan patriarki yang diamalkan dalam kebanyakan budaya
masyarakat Asia meletakan wanita sebagai pembantu atau penyokong kepada
lelaki yang dianggap lebih dominan. Walaupun terdapat wanita berperanan
sebagai penyumbang utama ekonomi keluarga dan memastikan keterjaminan
makanan keluarga tetapi sumbangan mereka ini kurang diketengahkan semasa
membincangkan peranan wanita dalam institusi kekeluargaan. Oleh itu kertas
kerja ini adalah satu penerokaan dari aspek sosio-ekonomi wanita Melayu luar
bandar di negeri Kedah dengan melihat elemen peranan dalam keluarga,
pekerjaan, pendapatan dan pembuatan keputusan untuk meletakkan ‘status’
mereka dalam generalisasi umum tentang peranan dan kedudukan dalam
keluarga. Kaedah kualitatif digunakan dalam pengumpulan maklumat iaitu
melalui temubual mendalam ke atas 20 orang informan dan pemerhatian ikut
serta dalam aktiviti harian yang melibatkan wanita luar bandar di sekitar Kedah.
Manakala maklumat yang diperolehi dipersembahkan secara literal, naratif,
interpretatif dan cara refleksi. Hasil kajian ini merumuskan kebanyakan wanita
Melayu yang dikaji bukan sahaja memainkan peranan sebagai pengurus
rumahtangga tetapi juga sebagai penyumbang kepada kelestarian kehidupan
dalam institusi keluarga. Malah ada dalam kalangan wanita ini secara tidak
langsung memainkan peranan sebagai ketua keluarga apabila pasangan atau
suami tidak mampu memenuhi keperluan domestik keluarga.
Kata kunci: Institusi keluarga, Wanita, Luar bandar
Pembentang:
Colonius Atang
Sesi :
2.30 – 4.30 Ptg
BS 2
2
PENDAHULUAN
Peranan wanita dalam masyarakat mula dikaji semenjak tahun 1970an lagi. Wanita dilihat sebagai
eleman penting dalam menjana perkembangan ekonomi dan ini telah menarik minat sarjana Barat
untuk menulis tentang isu wanita dalam masyarakat. Boserup (1970) merupakan pelopor kepada
penulisan tentang peranan wanita dalam ekonomi dalam bukunya Women’s Role in Economic
Development. Tulisan oleh Boserup (1970) menyumbang kepada pengkajian geografi berdasarkan
gender apabila beliau melihat kepada corak penglibatan lelaki dan wanita dalam sektor pekerjaan di
‘tempat’ yang berbeza. Beliau turut membincangkan tentang migrasi dari luar bandar ke bandar
berdasarkan gender serta kesannya terhadap pasaran buruh dan struktur isi rumah. Selain itu, beliau
turut mengulas tentang peranan wanita dalam ekonomi keluarga. Menurut Boserup (1970) wanita
membekalkan makanan asas kepada keluarga dengan mengusahakan tanaman dan ternakan di sekitar
rumah atau di ladang milik suami untuk keperluan keluarga, sedangkan tanaman yang diusahakan oleh
lelaki (suami) adalah berorientasikan eksport. Wanita menjadi penyumbang utama kepada keperluan
makanan keluarga apabila lelaki (suami) tidak mampu menampung keperluan keluarga kerana
tanaman yang diusahakan tidak menghasilkan keuntungan akibat daripada harga pasaran yang tidak
stabil atau tanaman yang diusahakan diserang penyakit. Tulisannya membawa kepada perkembangan
kajian tentang sumbangan dan peranan wanita dalam ekonomi. Malah kini semakin banyak kajian
akademik dibuat terutama tentang permasalahan yang dihadapi oleh wanita dalam masyarakat seperti
kemiskinan wanita dan ketidakadilan sosial.
Walau bagaimanapun, kebanyakan kupasan terhadap isu pembangunan wanita pada awalnya,
lebih menjurus kepada kajian sains sosial dan antropologi. Penerapan aspek geografi dalam kajian
berbentuk kewanitaan mula berkembang selaras dengan perkembangan pemikiran geografi feminis di
Barat yang melahirkan penulis-penulis antaranya seperti Rose, Mackenzie, McDowell, Monk, Massey
dan Norwood (lihat Peet 1998). Penulis-penulis ini merupakan ahli geografi yang mula
mengetengahkan isu-isu kewanitaan dalam kajian dan karya mereka terutamanya yang berkaitan
dengan ketidakadilan sosial, pekerjaan, tanggungjawab dan tempat wanita di dalam komuniti
masyarakat.
Kajian sosio-ekonomi ditakrifkan sebagai satu kajian yang meninjau keadaan hidup seseorang,
sesuatu komuniti atau sekumpulan masyarakat. Banyak aspek yang dilihat di dalam kehidupan, tetapi
yang paling utama dikaji ialah pekerjaan, pendapatan dan perumahan yang biasanya menggambarkan
keadaan hidup masyarakat hari ini (Todaro, 2003; Brydon dan Chant, 1989; Rigg, 1997). Kajian
kepada keadaan hidup ini dapat menentukan status kehidupan seseorang atau sesebuah masyarakat
seperti golongan miskin atau kaya.
Kajian Kewanitaan dalam Disiplin Geografi
Isu-isu kewanitaan dalam kajian geografi manusia mula menonjol pada tahun-tahun 1980an kesan
daripada kesedaran ahli-ahli geografi feminis terhadap permasalahan yang dihadapi oleh wanita akibat
perubahan sosial, perbandaran dan perindustrian yang semakin pesat (Momsen 1987). Wanita dilihat
sebagai golongan yang terpinggir dan kurang diberikan perhatian di dalam tulisan geografi sebelum
tahun 1980an (Peet, 1998). Oleh itu, kemunculan paradigma pasca-moden dalam geografi seawal
tahun 1990an cuba memberi perhatian kepada golongan wanita sebagai usaha untuk menyampaikan
suara-suara wanita dalam bidang geografi (Rose, G. et.al, 1997). Kecenderungan ahli-ahli geografi
dalam kajian kewanitaan berkembang selaras dengan perluasan perspektif kajian geografi terutamanya
dalam geografi manusia dan geografi sosial. Geografi pasca-moden memasukkan unsur gender sebagai
salah satu eleman dalam kajian geografi. Oleh itu, kecenderungan terhadap kajian kewanitaan
mendapat perhatian terutamanya daripada ahli-ahli geografi pasca-moden.
Momsen (1987) menyatakan bahawa fokus utama kajian kewanitaan dalam geografi manusia
pada awalnya adalah melihat kepada konflik peranan wanita iaitu antara peranan produktif dan
reproduktif dalam era industri dan perbandaran yang banyak memberikan peluang pekerjaan kepada
3
wanita untuk bekerja di luar rumah. Disebabkan perkara ini terdapat ahli geografi yang berpendapat
bahawa adanya pembahagian ruang sosial mengikut gender (lihat Mackenzie, 1989).
Isu-isu yang menjadi agenda ahli geografi dalam kajian kewanitaan antaranya kerja-kerja
domestik, wanita dalam sektor pekerjaan bergaji, pembahagian sosial berdasarkan gender dan
perubahan peranan wanita dalam keluarga serta masyarakat kesan daripada pembangunan dan
perindustrian yang pesat. Isu-isu tersebut sering dikatakan kurang mendapat perhatian daripada
pengkaji geografi berbanding isu yang melibatkan peranan yang bersifat maskulin terutamanya dalam
aspek seperti ekonomi, pengangkutan dan pekerjaan. Hal ini menyebabkan terdapat usaha-usaha yang
dilakukan oleh ahli geografi seperti Mackenzie dan Rose (1983, dalam Peet, 1998) mengkaji tentang
corak pekerjaan domestik yang dilakukan oleh wanita seperti aspek penjagaan anak dan tingkah-laku
berdasarkan gender (lihat juga Gregson dan Rose, 1997).
Manakala Peake (1987) berminat meneliti aspek-aspek yang melibatkan usaha membantu
wanita miskin dan turut meninjau penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan. Selain itu, beliau turut
melihat aspek perumahan sebagai masalah sosial yang dihadapi oleh wanita miskin. Gregson dan
Rose,(1997) memetik rumusan oleh Monk tentang perubahan gaya hidup wanita kesan daripada
perbandaran dan perindustrian. Monk juga mempersoalkan situasi-situasi yang mewujudkan jurang
perbezaan gaya hidup berdasarkan gender kesan daripada ledakan perindustrian dan perbandaran.
Menurutnya lagi perbezaan yang wujud adalah akibat daripada order sosial yang dibina oleh lelaki di
tempat mereka tinggal (Gregson dan Rose, 1997).
Brydon dan Chant (1989) telah mengkaji tentang peranan wanita di negara-negara Dunia
Ketiga kesan daripada perindustrian dan perbandaran. Mereka mendapati ramai wanita dari luar
bandar berhijrah ke bandar untuk bekerja dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan di mana
mereka ini berpotensi untuk menjadi ketua keluarga wanita dan ibu tunggal. Hal ini secara langsung
menyumbang kepada peningkatan bilangan wanita ibu tunggal di bandar. Penemuan ini disokong oleh
kajian Rigg (1997) di Asia Tenggara yang membincangkan penghijrahan wanita muda dari luar bandar
ke bandar untuk mengisi pekerjaan di sektor-sektor jualan, perkhidmatan dan perindustrian.
Suriati (2002) turut mengulas tentang industrialisasi yang memberi banyak peluang pekerjaan
kepada wanita di Malaysia. Hal ini menyebabkan ramai wanita menjadi penyara utama keluarga dalam
isi rumahnya. Beliau turut merumuskan tentang kemiskinan isi rumah yang diketuai oleh wanita.
Kajian terhadap wanita di luar bandar sering berkisar tentang peranan wanita di dalam sektor pertanian
dan sumbangan wanita dalam ekonomi keluarga. Tulisan oleh ahli geografi tentang wanita luar bandar
selalunya melihat perspektif ruang dan tempat berdasarkan gender serta tanggungjawab domestik yang
dikuasai oleh wanita di kawasan luar bandar (Little 2002). Little (2002) turut menyatakan wanita di
luar bandar lebih cenderung untuk menceburi pekerjaan tidak bergaji. Perkara ini disebabkan wanita
luar bandar mempunyai akses yang rendah terhadap perkhidmatan pengangkutan, penjagaan anak dan
kemudahan kesihatan. Hal ini menyukarkan wanita luar bandar bekerja dalam sektor pekerjaan
bergaji di luar rumah (Little 2002). Keadaan akan menjadi bertambah sulit sekiranya wanita luar
bandar menjadi ibu tunggal.
Daripada sorotan terhadap kajian wanita dalam bidang geografi, dapat dijelaskan bahawa
kajian terhadap isu-isu wanita dalam kehidupan sehari-harian termasuk sebagai penyara keluarga dan
ibu tunggal adalah releven dengan bidang geografi di mana banyak aspek kewanitaan dapat
ditonjolkan dengan menggunakan pendekatan geografi terutamanya dalam geografi sosial. Oleh itu
peranan sebagai
Wanita dan Stigma Kemiskinan
Kajian terdahulu merumuskan kadar kemiskinan wanita adalah lebih tinggi berbanding lelaki (Todaro,
2003). Dianggarkan 60 – 70 peratus penduduk dunia yang miskin adalah golongan wanita di mana
mereka dikatakan golongan yang termiskin di antara mereka yang miskin dan ini termasuklah wanita
yang berstatus ibu tunggal (Chant, 2003). Oleh itu, wanita mewakili peratusan tertinggi dalam
4
kemiskinan dunia. Kemiskinan wanita ini merujuk kepada wanita yang menjadi ketua isi rumah
termasuklah ibu tunggal kerana kerana diandaikan mereka mempunyai taraf pendidikan yang rendah,
akses yang rendah terhadap pendidikan, pekerjaan formal, kesihatan, keselamatan sosial dan latihan
serta kemahiran menyebabkan mereka terdedah kepada risiko kemiskinan (Louat, Grosh dan Gaag,
1993; lihat juga Hassan, 2003). Bagi mengukur tahap sosio-ekonomi sesebuah masyarakat dalam era
perindustrian yang pesat kini United Nations (UN) menyenaraikan beberapa aspek yang dijadikan
ukuran sosial. Di antaranya ialah (1) Masyarakat yang kenal huruf; (2) Mempunyai peluang dalam
pendidikan; (3) Taraf kesihatan yang baik serta masyarakatnya berpeluang menikmati perkhidmatan
yang diberikan oleh pihak berkuasa; (4) Peruntukan perumahan yang mencukupi (Todaro, 2003).
Pada tahun 1993 Bank Dunia menetapkan kadar pendapatan harian sebanyak US$1.00 sehari sebagai
garis kemiskinan. Manakala pada tahun 1985, Bank Dunia menganggap isi rumah yang berpendapatan
kurang daripada US$370 setahun adalah dianggap miskin (World Bank, 1993). Bagi penduduk di
Semenanjung Malaysia pada tahun 2002 isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM529
sebulan adalah isi rumah yang berada di bawah garis kemiskinan (Kementerian Pembangunan Wanita,
keluarga dan Masyarakat, 2004b). Garis kemiskinan ini diukur daripada pendapatan yang diterima
oleh ketua keluarga termasuklah ibu tunggal serta wanita yang menjadi penyara keluarga.
Objektif
Objektif khusus kajian ini adalah untuk:
1. Meninjau peranan wanita dalam institusi kekeluargaan.
2. Menjelaskan peranan wanita sebagai penyumbang sumber ekonomi.
3. Menjelaskan peranan wanita dalam memastikan keterjaminan makanan keluarga
METODOLOGI
Kajian ini dijalankan ke atas wanita dari luar bandar di negeri Kedah. Pemilihan kawasan kajian ini
juga mengambil kira status negeri ini iaitu kira-kira 70 peratus kawasan di negeri Kedah masih dalam
kategori luar bandar dan pinggir bandar. Penulisan ini hanya melibatkan 4 buah daerah di negeri
Kedah iaitu (1) Pokok Sena, (2) Pendang, (3) Baling dan (4) Sik. Kaedah kualitatif digunakan dalam
pengumpulan maklumat yang diperlukan. Kaedah kualitatif memberi fleksibiliti kepada penyelidik
semasa menjalankan kajian (Babbie 1995; Ray 2000; Colonius 2006; Suriati dan Colonius, 2008).
Kaedah soal selidik, temu bual mendalam dan pemerhatian ikut serta digunakan untuk mendapatkan
maklumat seramai 20 orang wanita dari pelbagai latar belakang sosioekonomi. Kombinasi ketiga-tiga
kaedah ini memberikan hasil penyelidikan yang baik, lengkap, berpengetahuan tinggi dan mendalam
(Robinson 1998; Eyles 1988; May 2001). Penulisan kertas kerja ini adalah menggunakan pendekatan
kajian kes ke atas kumpulan sasar iaitu mengkaji peranan wanita dalam keluarga sama ada wanita
yang telah berkahwin mahupun wanita yang belum berkahwin.
Maklumat yang diperolehi daripada dialog responden dianalisis secara interpretatif dan
refleksi serta disampaikan secara naratif dalam penulisan. Kaedah ini membenarkan wanita dikaji
bercakap bagi pihak diri sendiri dan ‘kalimah sebenar’yang dituturkan oleh responden dikekalkan
dalam penulisan (Donovan 1988; Robinson, 1998; Colonius, 2006; Suriati dan Colonius, 2008)
Melalui cara ini penulis akan memberi ‘makna’ terhadap maklumat yang diperolehi (Kearns 1997;
Garvin dan Wilson 1999).
HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN
Wanita merupakan tunjang kepada keharmonian keluarga kerana peranan mereka yang
bersifat dinamik iaitu boleh berperanan sebagai pengurus rumahtangga sehingga kepada penyumbang
pendapatan keluarga. Tanggungjawab ini tidak sahaja dimainkan oleh wanita telah berkahwin tetapi
juga menjadi sebahagian tanggungjawab dalam kalangan wanita yang belum berkahwin. Oleh itu
wanita akan memikul dua beban kerja iaitu tanggungjawab kepada keluarga dan juga pekerjaan sama
sebagai kerjaya mahupun kerja sambilan (Tan, 1992). Hal ini seperti yang dirumuskan oleh Wilson
(1981) iaitu wanita akan bekerja dua ‘shif’, iaitu ‘shif’ pertama mereka perlu menunaikan
5
tanggungjawab pekerjaan dan diikuti dengan ‘shif’ kedua iaitu pekerjaan domestik di rumah.
Tanggungjawap dwi peranan wanita dalam keluarga tanpa disedari menyumbang kepada kelestarian
kelangsungan institusi kekeluargaan mereka. Hakikat wanita yang sentiasa ‘bekerja’dalam kehidupan
keluarga memberi banyak kebaikan dalam pembentukan keluarga yang lebih berkualiti.
Bahagian ini akan mengupas tentang tanggungjawab domestik wanita ke atas keluarganya. Hal
ini termasuklah aspek penjagaan kesihatan ahli keluarga, memastikan keterjaminan makanan keluarga
dan juga penjagaan ahli keluarga yang lebih tua dalam isi rumah serta pesepsi mereka terhadap
tanggugjawab mereka yang memainkan dwi peranan dalam institusi keluarga.
Peranan wanita sebagai pengurus rumahtangga
Kerja mengurus rumahtangga adalah sinonim dengan tanggungjawab wanita sama ada dalam kalangan
wanita telah berkahwin ataupun wanita yang belum berkahwin. Kajian kekeluargaan di negara maju
mendapati terdapat pembahagian tanggungjawab yang ketat dalam keluarga berdasarkan gender iaitu
antara lelaki dan wanita bagi memastikan pengurusan keluarga lebih seimbang dan ini secara langsung
akan mengurangkan beban wanita (Wilson, 1981; Bott, 1971). Kajian oleh Suriati (2002) terhadap
keluarga di bandar di Pulau Pinang juga mendapati terdapat tolak ansur di antara suami dan isteri iaitu
suami membantu kerja rumahtangga yang lazimnya dilakukan oleh isteri. Begitu juga apabila dalam
memberikan didikan melalui arahan kerja kepada anak-anak, wanita di bandar lebih terbuka dengan
mengarahkan anak lelaki untuk melakukan kerja kanak-kanak perempuan seperti menyapu dan
mencuci pinggan.
Namun begitu berbeza dengan kajian terhadap institusi kekeluargaan di luar bandar iaitu
dalam kes ini keluarga di negeri Kedah, terdapat pembahagian peranan yang jelas berdasarkan gender
iaitu antara lelaki dan perempuan. Penulis menemui wanita melakukan pekerjaan rumahtangga tanpa
dibantu oleh lelaki. Hal ini seperti meletakkan tanggungjawap sepenuhnya kepada wanita untuk
menguruskan rumahtangga. Perkara ini seperti yang diakui oleh seorang responden berumur 35 tahun
dan bekerja sebagai guru salah sebuah Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA), menurutnya:
‘kak ni kerja sampai tengahari..habis di TADIKA, kak cepat-cepat balik rumah nak siapkan budak-
budak pi sekolah pula...dan nak sidai baju kerana pagi sebelum pi kerja akak basuh baju dulu dan
tinggai dalam mesin jam 11.30 pagi akak balik baru sidai...abah depa (mereka) tak boleh harap,
nama sahaja ada di rumah kerana dia kerja malam jadi jaga sekolah tapi kalau kak tak balik..tak
makan lah budak-budak tu pi sekolah.. dia (suami) balik kerja terus tidoq…jam 3 bangkit terus pi
melepak nuhh kat warung dengan kawan-kawan dia…depa tu pengulas berita no satu’ (Rokiah, 35
tahun, Pokok Sena).
Penulis memanjang perbualan dengan bertanya aktiviti hujung minggu beliau jika dibandingkan
dengan suaminya. Responden berkata:
‘Biasa kalau tak kerja akak jahit baju..kak ambil tempahan menjahit juga…tapi tak seberapa lah
pendapatan ..kalau ramai orang hantaq kain banyak pendapatan…ayah depa cuti pi memancing ngan
kawan-kawan..paling tidak main fustal..kebetulan kampong ni ada gelanggang…main sampai ker
malam kadang-kadang tu’ (Rokiah, 35 tahun, Pokok Sena)
Daripada petikan dialog di atas penulis menyimpulkan peranan wanita sebagai individu yang
menguruskan rumahtangga adalah masih utama bagi wanita di luar bandar. Malah dalam kes Puan
Rokiah di atas menjelaskan wanita memainkan peranan sebagai pengurus tunggal keluarga apabila
tidak terdapat campurtangan suami beliau dalam menjalankan aktiviti harian keluarga. Hal ini
menjelaskan tanggungjawab wanita sebagai pengurus rumah tangga bukanlah suatu yang dianggap
mudah. Beliau bukan sahaja melakukan kerja pengurusan keluarga seperti memasak, menguruskan
anak sekolah, melakukan kerja-kerja domestik di rumah tetapi Puan Rokiah turut melakukan pekerjaan
yang membawa pendapatan kepada keluarganya. Beliau menggunakan sepenuhnya masa yang ada
untuk kepentingan keluarga, semasa dihari tidak bekerja dan hujung minggu beliau tetap melakukan
pekerjaan yang boleh membawa pendapatan iaitu dengan mengambil upah menjahit.
6
Peranan wanita dalam memastikan keterjaminan makanan keluarga
Peranan wanita di luar bandar dalam memastikan keterjaminan makanan keluarga seringkali terlepas
pandang oleh pengkaji lepas mahupun dari sudut pandang masyarakat sehingga meletakan wanita
surirumah sebagai individu yang tidak produktif. Sedangkan sumbangan mereka ini merupakan suatu
usaha survival demi kelangsungan sumber makanan isi rumah. Adaklahnya peranan mereka ini tidak
menonjol tetapi membawa impak yang tinggi untuk kelestarian jaminan makanan. Penulis mendapati
majoriti wanita berkeluarga yang dikaji memiliki tanaman keliling rumah atau‘home garden’. Mereka
menanam bahan asas makanan seperti herba dan sayuran. Malah terdapat juga yang membela ternakan
seperti ayam dan itik. Tanaman keliling rumah ini juga penting dalam memberi sedikit sumbangan
kewangan kepada keluarga iaitu dengan menjual hasil tanaman sekirannya terdapat lebihan hasil
pengeluaran daripada tanaman keliling rumah. Seorang responden berumur 48 tahun mengatakan
tanaman di keliling rumah dan ternakan ayam kampong miliknya amat membantu semasa mereka
tidak memiliki wang yang cukup untuk membeli keperluan asas harian. Menurut responden ini:
‘kerja kat kampong lagu ni lah (seperti ini lah), kalau hasil motong cukup ada lah duit lebih, tapi
kadang-kadang tu kalau musim hujan kurang pendapatan ..pak cik pun motong getah orang..masa
pendapatan kurang, nak beli makanan pun susah nasib lah mak cik ada bela ayam dan tanam-tanam
serai tu boleh lah juga mak cik bawa pi jual kat pekan Baling..hasil jualan tu mak cik guna beli kopi
gula dan bagi kat anak-anak pi sekolah..kalau harap hasil motong memang tak cukup’ (Hasnah, 48
tahun, Baling, Kedah).
Seorang lagi responden berkata:
‘la ni harga ayam mahai..kalau kata nak beli memang tak beli lah..mana lagi duit nak bagi budak
sekolah dan nak beli barang dapoq…kak ada bela banyak ayam kampong kadang-kadang tu kalau
anak-anak teringin makan gulai kak suruh ja abah depa sembelih…teloq itik masin tak perlu beli kak
buat sendiri..kadang-kadang tu ada juga orang kampong mai beli ..dapat lah seringgit dua. (Salwa,
42 tahun, Sik, Kedah).
Daripada interpritasi terhadap dialog di atas penulis merumuskan kepentingan tanaman dan
ternakan keliling rumah yang diusahakan oleh wanita bukan sahaja menjadi alternatif sumber makanan
kepada keluarga tetapi juga sebagai pendapatan sampingan.
Peranan dalam penjagaan kesihatan ahli keluarga
Dalam aspek penjagaan kesihatan ahli keluarga pula, wanita turut menjadi pendokong kepada
tanggungjawap ini. Mereka yang terlibat dalam penjagaan ahli keluarga yang sakit adalah terdiri
daripada wanita dewasa sama telah berkahwin ataupun belum. Kajian oleh Piercy (1998) merumuskan
bahawa anak perempuan dewasa dan menantu perempuan biasanya lebih cenderung memainkan
peranan dalam penjagaan utama kepada ahli isi rumah yang lebih tua. Manakala lelaki dewasa pula
berperanan menyediakan bantuan tambahan kepada isteri, adik perempuan atau kakak mereka.
Eriksen dan Gerstel (2002) dalam kajian mereka juga bersetuju bawah tanggungjawab
menjaga ahli keluarga yang sakit, tidak berupaya dan uzur adalah terletak di bawah tanggungjawab
wanita berbanding lelaki dalam sesuatu keluarga. Mereka mengkategorikan jenis-jenis penjagaan
yang diberikan oleh anak perempuan sebagai (1) penjagaan praktikal iaitu umpamanya mencuci
pakaian, penyediaan makanan, penjagaan anak dan mengemas rumah (2) bantuan personal iaitu seperti
bercakap tentang masalah dan memberi nasihat dan (3) bantuan material iaitu dari aspek misalnya
kewangan (Eriksen dan Gerstel, 2002). Hal ini menunjukkan bahawa wanita dalam keluarga lebih
banyak memberi sokongan kepada tugas penjagaan berbanding ahli keluarga yang lain.
Tanggungjawab ini menjadikan wanita berperanan sebagai individu yang penting dalam mestikan
kesejahteraaan keluarga lebih kukuh dan harmoni.
Kajian penulis mendapati wanita luar bandar di negeri Kedah memainkan peranan penting
dalam penjagaan ahli keluarga yang sakit, tua, tiada upaya. Malah terdapat responden yang terpaksa
berkorban masa, pekerjaan dan wang ringgit demi memastikan keluarga dalam keadaan sahjetra dan
7
seterusnya memastikan kelangsungan kelestarian institusi kekeluargaan berterusan. Hal ini seperti
yang diceritakan oleh seorang responden berumur 35 tahun dari Pendang, Kedah. Menurutnya:
‘dulu saya bekerja di Alor Setar..tapi semenjak mak mertua sakit dan tidak boleh mengurus diri
sendiri..suami minta saya berhenti kerja kerana tiada yang jaga mak di rumah..sekarang dah setahun
lebih saya tidak bekerja, walaupun pendapatan keluarga berkurangan tapi saya tak kisah kerana
boleh jaga orang tua di rumah…anak-anak sya pun senang nak tengok2 mereka’ (Sofiah 35 tahun,
Pendang, Kedah).
Ibu mertua responden ini pula berkata:
‘tok tak mahu lah depa hantaq pi rumah orang tua…biaq tok mati di sini (rumah)....dia (sofiah) pun
tinggal sekali dengan tok…dia lah yang banyak jaga tok..kalau boleh biaq lah dia jaga tok sampai tok
tutup mata (meninggal dunia)..walaupun bukan anak kandung tapi tok sayang dia..banyak dia
berkorban untuk keluarga tok…la dia tak kerja untuk jaga tok kat (di) rumah’ (Kalsom, 70 tahun,
Pendang, Kedah).
Seorang lagi responden yang memainkan peranan sebagai penjaga utama ahli keluarganya berkata:
‘mak cik tak boleh buat kerja apa-apa pasal mak cik jaga dua orang adik OKU…sebelum ni mak yang
jaga depa, tapi bila mak meninggal dunia dua tahun lepas mak cik lah yang ambil alih tugas
tu..sebelum ni boleh juga mak cik keluaq pi motong tapi la ni (sekarang ini) mak cik tak boleh tingai
depa berdua..kalau bukan kak yang jaga siapa lagi’ (Badariah, 50 tahun, Pokok Sena, Kedah)
Daripada kedua-dua dialog ini penulis menunjukkan bahawa wanita lebih banyak terlibat
dalam penjagaan kepada ahli keluarga yang tidak sihat, warga emas dan ahli keluarga kelainan upaya.
Penulis merumuskan bahawa ibu bapa tua juga mengharapkan bantuan dan sokongan daripada ahli
keluarga wanita sama ada anak perempuan ataupun menantu perempuan untuk menjaga mereka.
Walaupun keadaan ini boleh memberi implikasi kepada kerjaya wanita tetapi secara tidak langsung
memberi impak yang besar kepada kelestarian institusi keluarga iaitu menjamin keharmonian dan
kesejahteraan keluarga. Hal ini penting ke arah mencapai masyarakat penyayang dan budaya ikram
yang boleh dipupuk seiring dengan pembangunan negara. Oleh itu wanita pendokong kelestarian
keluarga ini perlu diberikan sokongan sama ada secara formal dan tidak formal untuk membantu
mereka mengharungi cabaran sebagai penjagaan utama (primary caregivers) kepada ahli keluarga.
Wanita sebagai penyumbang pendapatan keluarga
Shah dan Smith (1994) mendapati wanita yang mempunyai anak kecil dan bilangan anak remaja yang
ramai adalah lebih aktif dalam ekonomi untuk meningkatkan pendapatan mereka bagi menampung
perbelanjaan keluarga dan memenuhi keperluan harian. Bekerja secara sambilan menjadi pilihan bagi
beberapa orang responden kerana pendapatan daripada pekerjaan utama tidak mencukupi bagi
menampung perbelanjaan keluarga responden.
Kebanyakan responden selesa melakukan pekerjaan sambilan dari rumah kerana mereka
bukan sahaja dapat menambah pendapatan dan tidak perlu pergi jauh untuk bekerja, tetapi pada masa
yang sama mereka juga dapat menjalankan tanggungjawab rumah tangga (lihat Suriati, 2002; Horton,
1996). Tujuan utama wanita melakukan pekerjaan sampingan adalah dipengaruhi oleh faktor ekonomi
keluarga yang rendah. Keadaan ini sesuai dengan penemuan Suriati (2002) yang mendapati wanita
yang berpendapatan rendah termasuk ibu tunggal melakukan beberapa jenis pekerjaan sekaligus untuk
menambah pendapatan bulanan mereka.
Seorang lagi ibu tunggal dari Pendang, iaitu Puan Yasmin (25 tahun), melakukan empat
pekerjaan yang mendatangkan pendapatan sekaligus. Pekerjaan utamanya ialah sebagai penjual
makanan, manakala pekerjaan sampingannya ialah sebagai pembekal daging beku, tukang masak
pelatih di Pusat Latihan Pusat Urus Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang menerusi program
yang disebut Ibu Mawaddah, dan sebagai pekerja kepada seorang penyaji makanan. Ini menjadikan
rutin harian beliau sangat sibuk seperti mana yang diringkaskan dalam nota diari responden di bawah.
8
Nota diari harian Puan Yasmin yang melakukan empat pekerjaan yang mendatangkan
pendapatan
5.00-7.00 pagi Memasak dan membungkus makanan untuk dijual di gerai. Makanan dibawa
dengan kereta milik ayahnya ke gerai yang letaknya satu kilometer dari
rumahnya. Gerai tersebut berhampiran dengan beberapa pejabat kerajaan dan
sekolah.
7.00-9.00 pagi Menjual makanan di gerai.
9.00-11.00 pagi Balik ke rumah. Membuat tempahan daging beku untuk disimpan di peti sejuk
rumahnya dan menghantar daging beku ke rumah pelanggannya yang
membuat tempahan.
11.00-6.00 petang Ke Bengkel Ibu Mawaddah di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang menggunakan
kereta ayahnya. Di sini beliau menjadi Tukang Masak Pelatih, satu program
latihan kemahiran anjuran Pusat Urus Zakat Majlis Agama Islam Negeri
Pulau Pinang. Beliau bersama beberapa wanita lain memasak dan
menyediakan makanan yang ditempah oleh pelanggan PUZMAINPP dan
mereka dibayar RM15.00 sehari.
6.00-12.00 malam Di rumah, menjadi pekerja kepada abangnya yang merupakan seorang penyaji
makanan. Beliau bersama kakak ipar dan ibunya menyediakan makanan
tempahan. Beliau dibayar oleh abangnya untuk tugas ini.
Puan Yasmin menanggung dirinya sendiri dan anak-anaknya yang berusia enam tahun, empat
tahun dan satu tahun setengah. Sejak bercerai setahun lepas, beliau menumpang di rumah ibu bapanya.
Beliau tidak perlu membayar sewa rumah tetapi turut membantu ibu bapanya menjelaskan bil-bil
elektrik dan telefon di samping membeli makanan. Ibu bapanya membantu menjaga anak-anaknya
semasa beliau keluar bekerja. Puan Yasmin mendapat pendapatan sekitar RM1630 sebulan tetapi
menurutnya kebanyakannya perlu digunakan untuk pusingan modal perniagaannya. Selebihnya adalah
sekadar mencukupi untuk beliau menyara diri sendiri dan anak-anaknya.
Ternyata pekerjaan sampingan yang dilakukan berjaya mengatasi masalah kewangan
seterusnya dapat membantu keluarga ibu bapanya. Pendapatan dari satu pekerjaan sahaja biasanya
tidak mencukupi bagi menampung kehidupan ibu tunggal dan anak-anaknya kerana majoriti mereka
berpendapatan rendah. Perbelanjaan adalah lebih tinggi jika mereka yang mempunyai anak-anak yang
sudah bersekolah. Keadaan ibu tunggal membelanjakan sebahagian besar pendapatan untuk
pendidikan anak-anak ini adalah sama seperti yang ditemui oleh Suriati (2002) dan Brydon dan Chant
(1989) mengenai pengorbanan wanita miskin di Dunia Ketiga yang membelanjakan sebahagian besar
pendapatan mereka untuk pendidikan anak-anak.
Tempoh masa kerja yang panjang iaitu bekerja melebihi 10 jam sehari adalah cukup
menunjukkan betapa wanita menanggung tanggungjawab yang berat bagi memberi kecukupan kepada
keluarga sehingga terpaksa memperuntukkan masa kerja yang panjang. Oleh itu seharusnya sokongan
sosial diberikan kepada mereka bagi memperbaiki masa kerja tanpa menjejaskan pendapatan yang
diterima agar mereka mempunyai masa yang cukup untuk keluarga dan anak-anak. Ini secara langsung
membantu mewujudkan institusi kekeluargaan yang lebih utuh.
Persepsi wanita terhadap sumbangan ekonomi kepada keluarga
Kedudukan, kepentingan dan ‘tempat’ wanita dalam keluarganya dapat ditentukan dengan melihat
tahap sumbangan mereka terhadap ekonomi keluarga. Amalan patriarki yang kebanyakannya masih
diamalkan dalam kebanyakan budaya menyebabkan masyarakat tidak mengiktiraf kedudukan wanita
sebagai penyumbang utama ekonomi keluarga terutamanya jika dalam keluarga tersebut terdapat ahli
keluarga lelaki dewasa yang produktif. Sumbangan wanita tetapi dianggap berada pada satu tahap
rendah walaupun seberapa berat manapun wanita bekerja, sebanyak manapun masa mereka habiskan
untuk bekerja dan sebanyak mana wang dibawa pulang untuk keluarga, wanita tetap dikategorikan
sebagai pembantu suami atau sekadar membantu ibu bapa dalam keluarga (Safa, 1995; Suriati, 2002;
Papanek, 1990). Namun dalam dalam kajian ini penulis menemui sebaliknya daripada konotasi di atas
9
iaitu wanita di luar bandar yang kaji mengatakan sumbangan mereka amat kritikal dan penting kepada
kelangsungan ekonomi keluarga.
Dalam kajian ini majorit responden yang telah berkahwin iaitu seramai 17 orang mengatakan
sumbangan mereka kepada ekonomi keluarga sebagai amat penting. Hal ini disebabkan
ketidakstabilan pendapatan keluarga jika satu-satunya hanya bergantung kepada pendapatan suami,
apatah lagi kebanyakan suami responden rata-ratanya berpendapatan rendah. Wanita berstatus ‘suri
rumah’ yang berkerja dari rumah mengatakan mereka menyumbangkan sebahagian besar daripada
pendapatan mereka. Pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan ‘sampingan’ digunakan untuk
membeli keperluan asas keluarga dan seterusnya sedaya-upaya memastikan taraf dan keselesaan hidup
sentiasa ada dalam keluarga mereka.
Hal ini seperti diakui oleh responden berikut:
‘kak ni kerja menjahit sahaja..tapi dengan hasil menjahit ni kak beli kopi gula untuk keluarga…hasil
menjahit ini juga kakak guna untuk bayar yuran bas sekolah anak-anak..tak lah banyak pendapatan
menjahit ni…tapi semua hasil jahitan kakak memang tak ada simpan….orang mai bayaq habis macam
tu sahaja untuk belanja rumah…kak rasa kalau kak tidak kerja lagi susah keluarga kami..kalau nak
habaq penting tak penting tu, kakak mengaku kak kerja ni sangat penting bantu-bantu suami’ (Hayati,
39 tahun, Pokok Sena, Kedah).
Pendapatan yang diterima oleh responden ini turut digunakan untuk membantu suaminya sekiranya
menghadapi masalah kawangan.
‘Suami kak kerja bawa teksi (teksi tanpa permit)…pendapatan tidak menentu..kadang-kadang tu bila
kereta rosak dia tak cukup duit baiki…ada juga kak bantu-bantu lah…kak guna duit hasil menjahit nil
lah juga’ (Hayati, 39 tahun, Pokok Sena, Kedah).
Penulis mendapati majoriti wanita yang dikaji membelanjakan pendapatan mereka untuk
keperluan keluarga, sama ada untuk membeli makanan, membayar pendidikan, membayar bil-bil,
membeli peralatan rumah, yang kesemuanya bertujuan untuk memenuhi keperluan keluarga. Dalam
hal ini wanita yang telah berkawin konsisten dengan komitmen yang tinggi terhadap menyumbang
kepada ekonomi keluarga. Daripada 17 orang informan wanita yang telah berkahwin hanya seorang
sahaja yang mengatakan beliau mampu membuat simpanan yang konsisten iaitu RM50 sebulan.
Manakala selebihnya berpendapat wang yang mereka perolehi daripada pekerjaan habis dibelanjakan
untuk keperluan keluarga. Ini membuktikan lagi besarnya sumbangan wanita untuk ekonomi
keluarganya demi untuk menjamin kelestarian hidup mereka sekeluarga.
Wanita yang belum berkahwin turut menjadi penyumbang ekonomi kepada isi rumah iaitu
dengan menyumbangkan sejumlah wang kepada ibu atau bapa untuk kegunaan perbelanjaan harian
keluarga. Selain itu wanita bekerja yang belum berkahwin tinggal serumah dengan ibu bapa juga
didapati membelanjakan sejumlah wang daripada pendapatan mereka untuk membeli keperluan
keluarga seperti makanan, membayar bil dan perbelanjaan adik beradik yang masih bersekolah.
Tanggungjawap lebih berat bagi wanita belum berkahwin yang tinggal bersama dengan ibu bapa yang
tidak produktif dalam menyumbang pendapatan kepada keluarga disebabkan faktor usia atau
kesihatan, dalam hal ini mereka mengambil alih tanggungjawap sebagai penyumbang utama ekonomi
keluarga. Mereka seakan menjadi ‘ketua keluarga’ walaupun pada dasarnya masih terdapat lelaki
dewasa dalam keluarga tersebut.
Dalam kajian ini terdapat 3 orang informan wanita yang belum berkahwin iaitu berumur 25
tahun hingga 30 tahun telah berjaya ditemui. Ketiga-tiga informan ini menyatakan mereka banyak
membelanjakan pendapatan mereka untuk keperluan keluarga. Kebiasannya mereka menghulurkan
wang untuk ibu bapa (terutamanya ibu) setiap bulan bagi meringankan beban ibu bapanya, membantu
membiayai persekolahan adik-adik dan membeli keperluan rumah. Hal ini seperti yang dinyatakan
oleh responden-responden berikut:
10
‘saya ni kerja di pam minyak sahaja, setiap bulan saya bagi duit RM250 kepada mak…kami keluarga
besar ada 6 orang adik beradik..saya anak sulung…duit tu buat belanja adik-adik sekolah…kalau
harap pendapatan abah memang tak cukup..abah kerja pesawah sahaja, pendapatan ikut
musim..kalau tanaman padi menjadi ada lah lebih sedikit untuk belanja kami sepanjang musim’
(Salmah, 21 tahun, Pendang, Kedah).
‘Mak ayah kerja-kerja kampong sahaja…saya pula tinggal serumah dengan mereka dan mengajar
(informan ialah seorang guru sekolah) pun dekat kampong ini sahaja…perbelanjaan keluarga semua
saya yang tanggung..tapi mak yang beli saya bagi RM500 sebulan kepada mak.. kadang-kadang tu
bila tengok barang dapur habis saya beli sendiri pasal risau juga duit tu tak cukup kerana dua orang
adik saya masih sekolah’ (Intan, 28 tahun, Sik, Kedah).
‘kerja di pasar raya gaji tak seberapa sebulan dapatlah RM750 – RM850 sebulan…bagi wang tu
memang ada kat mak ..kalau saya ada duit lebih bagi RM250 sebulan..tapi biasanya bagi RM150
sahaja tiap bulan…tapi kalau barang dapur memang saya yang beli..bila dapat gaji terus pi beli
barang dapoq untuk keluarga kadang-kadang boleh habis RM180 sekali gus untuk beli’ (Nora, 31
tahun, Baling, Kedah).
Penemuan penulis tentang wanita bujang yang membelanjakan sejumlah besar pendapatan
mereka untuk keperluan kelurga menjadikan sebagai penyumbang ekonomi utama dalam keluarga.
Namun begitu adakalanya sumbangan mereka ini kurang mendapat perhatian menyebabkan ‘tempat’
mereka dalam institusi kekeluargaan tidak menonjol berbanding lelaki dewasa yang disifatkan lebih
dominan dalam menyumbang ekonomi kepada keluarga. Dalam kajian ini penulis mendapati terdapat
informan tidak berharap dengan bantuan ekonomi daripada anak lelaki. Hal ini seperti yang
dinyatakan oleh serorang responden yang berumur 58 tahun dari Baling, Kedah iaitu:
‘mak cik ada anak seorang anak lelaki kerja di Penang..tapi biasa lah lelaki tak sama dengan anak
perempuan…balik kampong pun jarang-jarang…dua atau tiga bulan sekali baru balik mai tengok
kami kat kampong ni…nak bagi duit tu lagi jarang..mai balik kampong baru ada bagi seratus macam
tu....dia (anak lelaki) kata selalu sahaja tak cukup duit...bukan nak banding-banding anak ..semua
sama sahaja..tapi kalau kakak dia yang kerja kat Aloq Staq tu…ada juga balik sebulan sekali mai
hantaq duit belanja…ada lah dia bagi RM200 sekali dia balik..kalau tak balik pun dia selalu masuk
dalam akaun giro sahaja..cukup lah tuk mak cik dengan pak cik makan..lagi pun pak cik pun masih
gagah nak motong (menorah)’ (Rokiah, 58 tahun, Baling, Kedah).
Penemuan penulis ini adalah senada dengan keadaan yang pernah ditemui oleh oleh Ong
(1990) dan Jamilah (1989) iaitu mereka menemukan kebanyakan gadis berkerja menyumbang
pendapatan mereka kepada ibu bapa untuk memperbaiki kehidupan atau untuk membantu pendidikan
adik-adik mereka. Penemuan penulis ini juga turut disokong oleh Suriati (1988 dan 1999) tentang
anak-anak perempuan Melayu di Malaysia dan kajian oleh Li (1989) iaitu tentang anak-anak
perempuan Melayu di Singapura, kedua-dua sarjana ini menemukan anak-anak perempuan lebih ramai
mengirim wang atau memberi wang kepada ibu bapa mereka demi untuk membantu keluarga.
CADANGAN DAN PENUTUP
Dengan menggunakan konsep ‘tempat’ dari perspektif geografi kritikal pasca-moden dan geografi
feminis, penulis merumuskan kajian ini telah menjelaskan tentang ‘tempat’ dan ‘status’ dari sudut
pandang wanita tentang peranan dan sumbangan mereka dalam membantu kelangsungan institusi
kekeluargaan. Tempat telah dikategorikan kepada (1) sfera awam dan (2) Sfera persendirian atau juga
dikenali sebagai ruang produktif dan ruang reproduktif. Schirmer (1994) mengatakan wanita tidak
mempunyai tempat di kategori pertama di mana wanita hanya mendominasi kategori kedua. Namun
kajian ini membuktikan keterlibatan wanita dalam ekonomi dan pengurusan institusi kekeluargaan
secara kritikal jauh melangkaui sempadan tempat yang telah ditentukan oleh ideologi budaya
masyarakat setempat.
11
Secara tuntasnya, jelaslah bahawa wanita iaitu sebagai isteri, ibu dan pengurus rumahtangga. Di
samping tugas yang mencabar sebagai pengurus rumahtangga, wanita secara langsung dan tidak
langsung memainkan peranan sebagai penyumbang kepada ekonomi keluarga. Walaupun sumbangan
mereka kepada penambahan pendapatan keluarga kerap dikelaskan sebagai suatu tindakan untuk
meringankan beban ibu bapa dan suami, tetapi peranan wanita ini memberi impak yang besar kepada
kelangsungan dan kelestarian institusi kekeluargaan. Oleh itu, peranan wanita dalam institusi keluarga
kini perlu diberi perhatian bukan sahaja oleh masyarakat umum tetapi juga daripada badan kerajaan
iaitu dengan mengadakan program advokasi untuk membentuk kesedaran masyarakat tentang peranan
wanita dalam membentuk institusi keluarga yang lebih utuh. Kesedaran, kefahaman dan penerimaan
dalam kalangan masyarakat terhadap sumbangan serta peranan wanita dalam membentuk institusi
kekeluargaan harmoni merupakan satu pengiktirafan kepada wanita. Ini terutamanya dengan
meletakan ‘tempat’ dan ‘status’ mereka lebih setara dengan tanggungjawab dan sumbangan mereka
terhadap kelestarian institusi kekeluargaan.
RUJUKAN
Babbie, Earl (1995). The practice of social research 7ed. USA: Wadworth Publishing Company.
Boserup, Ester (1970). Women’s Role in Economic Development. London: George Allen and Unwin
Ltd.
Brydon, L. dan Chant, S. (1989). Women in the Third World. England: Edward Elgar Publishing
Limited.
Chant, Sylvia (2003). Female Household Headship and the Feminisation of Poverty: Facts, Fictions
and Forward Strategies. New Paper Series, Issue 9, Gender Institute, London School of
Economics, May 2003.
http://www.lse.ac.uk/collections/genderInstitute/pdf/femaleHouseholdHead ship.pdf.
Dilayari pada 11.07.2005.
Colonius, Atang (2006). Ibu Tunggal Melayu di Negeri Pulau Pinang: Satu Kajian Status Sosio-
ekonomi dan Sokongan Sosial. Tesis tidak diterbitkan. Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan,
Universiti Sains Malaysia.
Donovan, Jenny (1992). ‘When you’re ill, you’ve gotta carry it’ health and illness in the lives of black
people’, dalam Eyles, John dan Smith, David M. (Editor), Qualitative Methods in Human
Geography. Cambridge: Polity Press.180 – 196.
Eriksen, S. and N. Gerstel. (2002). A labor of love or labor itself: Care work among adult brothers and
sisters. Journal of Family Issues 23 (7): 836–856.
Eyles, John (1992). ‘Interpreting the Geographical World: Qualitative Approaches in Geographical
Research’, dalam Eyles, John dan Smith, David M. (Editor), Qualitative Methods in Human
Geography. Oxford: Blackwell Publishers. 1 – 16.
Gregson, Nicky dan Rose, Gillian (1997). ‘Contested and Negotiated Histories of Feminist
Geography’, dalam Women and Geography Study Group (Editor), Feminist Geographies:
Explorations in Diversity and Difference. Harlow: Logman.
Hassan Haji Ali (2003). ‘Pertumbuhan, Agihan Pendapatan dan Kemiskinan’, dalam Rahmah Ismail
(Editor). Ekonomi Pembangunan: Isu Sumber Manusia. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia. 231- 261.
12
Horton, S. (1996). ‘Women and Industrialization in Asia: Overview, dalam Susan Horton (Editor),
Women and Industrialization in Asia. London: Routledge.
Jamilah Ariffin (1989). ‘Industrialisation and socio-economic problems of Malay migrant women
workers in Peninsular Malaysia’. Jurnal Antropologi dan Sosiologi, Vol. 17 (1989): 105 -128.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (2004). ’Kadar kemiskinan dan
bilangan isi rumah miskin, 1999-2002.’ Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat.
http://www.kpwkm.gov.my/panel/Upload/4.1Kadar%20Kemiskinan%20Dan%20Bilangan%20Isi%20
Rumah%20Miskin%201999%202002.pdf. Dilayari pada 6.10.2004.
Little, Jo (2002). Gender and Rural Geography: Identity, Sexuality and Power in the Countryside.
Harlow: Prentice Hall.
Li, Tania (1989). Malays in Singapore: Calture, economy and idealogy. East Asian Social Science
Monographs. Singapore: Oxford University Press.
Louat, F., Grosh, Margaret E. dan Gaag, Jacques .V. (1993). ‘Welfare Implications of Female
Headship in Jamaica Households.’ LSMS Working Paper Number 96. World Bank Research.
http://www.worldbank.org/gender/projects_pograms/Jam1.pdf+female-headed+household.
Dilayari pada 8.07.2005.
Mackenzie, Suzanne (1989). ‘Women in the City’, dalam R. Peet dan N. Thrift (Editor), New Models
in Geography. London:Unwin Hyman. 109-26.
May,Tim (2001). Social Research: Issues, Methods and Process 3rd ed. USA: Open University Press.
Momsen, Janet H. (1987). ‘Introduction’, dalam Momsen, Janet H. dan Townsend, Janet G. (Editor),
Geography of Gender in the Third World. Albany: State University of New York Press. 15 –
26.
Ong, Aihwa (1990). ‘Japanese factories, Malay workers: class and sexual metaphors in Malaysia’.
Dalam Jane M. Atkinson and Shelly Errington (editors). Power and differences: gender in
island Southeast Asia. Stanford, California: Stanford University Press. 385 – 421.
Papanek, Hanna (1990). ‘To each less than she needs, from each more than she can do: allocations,
entitlements and value’, dalam Irene Tinker (editor). Persistent Inequalities: Women and
World Development. New York: Oxford University Press. 162 – 181
Peake, Linda (1987). ‘Government Housing Policy and its Implications For Women in Guyana’,
dalam Moser, Caroline O.N dan Peake, Linda (Editor), Women, Human Settlements, and
Housing. London: Tavistock Publications. 113 – 138.
Peet, Richard (1998). Modern Geographical Thought. Oxford: Blackwell.
Piercy, K. W. (1998). Theorizing about family caregiving: The role of responsibility. Journal of
Marriage and the Family, Vol. 60(1): 109–118.
Rigg, Jonathan (1997). Southeast Asia: The Human Landscape of Modernization and Development.
London and New York: Routledge.
Robinson, Guy M. (1998). Methods and Techniques in Human Geography. Chichester: John Wiley &
Sons.
13
Rose, G. et.al. (1997). ‘Introduction’, dalam Women and Geography Study Group (Editor), Feminis
Geographies: Explorations in Diversity and Difference. Harlow: Logman. 1 – 12.
Safa, Helen I. (1995). The myth of the male breadwinner: women and industrialization in the
Caribbean. Boulder: Westview Press.
Shah N. M. dan Smith, Peter C. (1994). ‘Migrant Women at Work in Asia’, dalam Fawcett, James T.
Siew-Ean Khoo dan Smith, Peter C. (Editor), Women in the Cities of Asia: Migration and
Urban Adaption. Colorado. A: Westview Press.
Suriati Ghazali (2002). “Di Mana Mak, Ayah? Agihan Tugas Baru Kesan Baru Pemodenan dan
Perindustrian. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
Suriati Ghazali dan Colonius Atang (2008). Pencarian dan Penafsiran Maklumat Kualitatif Dalam
Penyelidikan Geografi: Pengalaman Daripada Kajian Kesejahteraan Ketua Keluarga Wanita.
Journal Manusia dan Masyarkat, Vol.16(Siri Baru): 156-179.
Todaro M. (2003). Economic Development (edisi ke-8). Boston: Addison-Wesley.