Post on 31-Jan-2018
97
KEANGGOTAAN PELAJAR PENDIDIKAN KHAS MASALAH PEMBELAJARAN
DALAM KOPERASI SEKOLAH MENURUT PERSFEKTIF ISLAM
Muhamad Fairus Bin Sharrif
Nik Abdul Rahim Bin Nik Abdul Ghani
Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
ABSTRAK:
Koperasi sekolah adalah sebuah institusi sosioekonomi yang wujud dalam
premis persekolahan di Malaysia dimana pergerakannya disokong dan dikawal
oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Koperasi pendidikan khas
adalah antara koperasi yang wujud dalam sistem persekolahan di Malaysia.
Keistimewaanya adalah ia dianggotai oleh pelajar pendidikan khas kelainan
upaya dari aspek masalah pembelajaran seperti autisme, disleksia, lembam dan
sebagainya. Keanggotaan ini memerlukan mereka untuk menyumbang bayaran
syer dan melibatkan mereka secara aktif dalam pengurusan perniagaan koperasi
yang dianggap sebagai tasarruf al-mal dalam istilah muamalat Islam. Justeru,
timbul persoalan, adakah golongan kelainan upaya masalah pembelajaran ini
layak bertasarruf dengan harta samada dalam urusan membayar yuran syer atau
pengurusan perniagaan koperasi. Ini kerana, Islam mementingkan kemaslahatan
harta dari kemudharatan dan kerugian kerana diurus oleh golongan yang tidak
berkelayakan. Oleh itu, kajian ini akan menyoroti konsep keanggotaan pelajar
pendidikan khas berdasarkan undang-undang koperasi sedia ada dan
perbincangannya dari sudut perspektif Islam. Kajian ini merupakan kajian
kualitatif melalui reka bentuk analisis kandungan dan dokumen yang diperolehi
melalui data tekstual yang mana ianya akan dianalisis menggunakan kaedah
induktif, deduktif, dan komparatif. Hasil daripada kajian mendapati bahawa
perkhidmatan koperasi sekolah sangat penting dalam menyediakan keperluan
kepada warga sekolah khususnya pelajar dan ianya bertepatan dengan prinsip
syarak selagimana aplikasinya bersandarkan kepada prinsip-prinsip syarak yang
betul. Kajian ini penting untuk membincangkan isu keanggotaan pelajar
pendidikan khas masalah pembelajaran dari sudut perspektif Islam dan memberi
kefahaman kepada pelajar dan masyarakat terhadap isu tersebut.
Kata kunci : Keanggotaan, pendidikan khas, koperasi sekolah
98
PENGENALAN
Penubuhan koperasi sekolah mempunyai satu impian pendidikan iaitu memberi pengajaran
dan pengalaman berkaitan pengurusan perniagaan kepada warganya terutamanya pelajar
sekolah. Pelajar mampu belajar secara teori dan amali dalam mengurus perniagaan koperasi
sekolah dengan bimbingan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), guru dan
Ahli Lembaga Koperasi (ALK).
Koperasi Pendidikan Khas merupakan koperasi yang dianggotai oleh pelajar-pelajar
pendidikan khas. Keanggotaan pelajar pendidikan dalam koperasi ini memberi peluang
kepada mereka untuk mempelajari kemahiran pengurusan perniagaan agar mereka berminat
dan mampu membina perniagaan sendiri suatu hari nanti. Tambahan pula, kemahiran
perniagaan ini mampu menjadikan mereka berdaya saing dalam bidang kemahiran mereka
tanpa bersusah payah bersaing untuk mendapatkan pekerjaan dari majikan yang sering
berfikir panjang dalam mengambil golongan kelainan upaya seperti mereka.
Keanggotaan pelajar pendidikan khas dianggotai oleh pelajar pendidikan khas secara
majoriti disamping dianggotai oleh guru sebagai pembimbing. Berdasarkan perangkaan
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga Jun 2015, terdapat 8 buah koperasi
pendidikan khas didaftarkan dengan anggota seramai 709 orang. Jumlah syer/yuran
mencatatkan sebanyak 0.04 juta dengan aset 0.32 juta, perolehan 0.49 juta dan keuntungan 5
juta.
Sehubungan itu, timbul persoalan mengenai keanggotaan pelajar pendidikan khas
masalah pembelajaran yang termasuk dalam sebahagian besar jumlah statistik perangkaan
yang tersebut di atas. Adapun, pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran adalah dari
kalangan pelajar terencat akal seperti autisme, disleksian, lembam dan sebagainya.
Kertas kerja ini akan membincangkan mengenai konsep keanggotaan pelajar
pendidikan khas dari sudut kelayakan berdasarkan undang-undang koperasi yang diwartakan.
Perbincangan dilanjutkan kepada penelitian prinsip-prinsip Islam dalam bab kelayakan
bertaṣarruf al-mal (membelanjakan harta) terhadap pelajar pendidikan khas masalah
99
pembelajaran. Seterusnya, perbahasan dari sudut analisis dan hasil kajian berdasarkan prinsip
kelayakan bertaṣarruf dengan harta dari sudut Islam.
KONSEP KEANGGOTAAN KOPERASI SEKOLAH
Definisi Keanggotaan Koperasi Sekolah
Akta Koperasi 1993 (Akta 502), Bahagian 1, Perkara 2 mendefinisikan keanggotaan koperasi
sebagai seseorang atau sesuatu koperasi berdaftar yang turut sama dalam permohonan
pendaftaran sesuatu koperasi, dan seseorang atau sesuatu koperasi berdaftar yang diterima
menjadi anggota mengikut peraturan-peraturan dan undang-undang kecil selepas pendaftaran.
Definisi koperasi menurut Seksyen 4 Akta Koperasi 1993 (Akta 502) adalah sesuatu
pertubuhan yang terdiri daripada orang-orang individu sahaja dan yang matlamatnya ialah
untuk meningkatkan kepentingan ekonomi anggota-anggotanya mengikut prinsip-prinsip
koperasi. Manakala Koperasi Sekolah yang diterjemahkan oleh Dasar Kementerian
Pendidikan Malaysia ialah sebuah badan sosial yang menceburi dalam perniagaan untuk
memberi perkhidmatan kepada semua ahli di dalam sekolah tersebut.
Oleh yang demikian, secara umum yang difahami dari pendefinisian di atas,
keanggotaan koperasi sekolah adalah individu dari kalangan warga sekolah samada pelajar
atau guru atau staf perkhidmatan lain yang berkhidmat di sekolah berkenaan memohon dan
mendaftar untuk menyertai koperasi sekolah dengan mengikuti syarat-syarat yang telah
ditetapkan dalam undang-undang kecil koperasi (UUK) sekolah tersebut seperti yuran, syer
dan sebagainya.
Sehubungan itu, keanggotaan pelajar pendidikan khas dalam koperasi yang menjadi
fokus penulisan ini adalah keanggotaan koperasi yang terdiri dari kalangan pelajar-pelajar
pendidikan khas masalah pembelajaran seperti pelajar autisme, lembam, disleksia dan lainnya.
PERATURAN-PERATURAN BERKAITAN KEANGGOTAAN KOPERASI
Seorang anggota koperasi yang memohon dan mendaftar sebagai anggota harus mengetahui
dan memahami peraturan berkaitan hak-hak dan liabiliti mereka sebagai anggota khususnya
berkaitan kelayakan dan halangan untuk menjadi anggota. Kefahaman terhadap peraturan-
100
peraturan ini membantu mereka untuk bertindak dan berperanan dengan betul sebagai anggota
yang aktif dan bekerjasama dalam gerakan memajukan koperasi.
Akta Koperasi 1993 (Akta 502) Bahagian IV (26) menyatakan bahawa untuk layak
menjadi anggota dalam sesuatu koperasi asas, seseorang mestilah :
(a) Seorang warganegara Malaysia;
(b) Telah mencapai umur lapan belas tahun atau dalam hal sesuatu koperasi sekolah, telah
mencapai umur dua belas tahun; dan
(c) Bermastautin atau bekerja atau mempunyai tanah dalam kawasan operasi asas atau,
dalam hal koperasi sekolah, menjadi penuntut berdaftar sekolah itu.
Berdasarkan pernyataan di atas, difahami bahawa seorang pelajar yang ingin menjadi
anggota koperasi sekolah berkenaan hendaklah seorang warganegara Malaysia yang sah disisi
undang-undang. Warga asing yang bersekolah tidak layak untuk menjadi anggota koperasi
sekolah. Adapun, umur minimum bagi seorang pelajar yang menganggotai koperasi sekolah
adalah dua belas tahun berbanding koperasi dewasa berumur lapan belas tahun. Maka pelajar
sekolah menengah yang berumur dua belas tahun diperingkat tingkatan satu layak untuk
mendaji anggota yang sah. Tambahan pula, seorang anggota itu hendaklah penuntut yang
berdaftar di sekolah berkenaan dimana pelajar sekolah lain tidak layak untuk menjadi anggota
koperasi di sekolah yang lain. Mereka hanya layak untuk menjadi anggota koperasi di
koperasi sekolah dimana tempat dia bersekolah sahaja.
Akta Koperasi 1993 (Akta 502) Bahagian IV (27) pula menyatakan bahawa tiada seorang
pun layak masuk menjadi anggota sesuatu koperasi berdaftar jika:
(a) Dia tidak upaya dari segi mental;
(b) Dia ialah seorang bankrap yang belum dilepaskan;
(c) Dia ialah seorang yang terhadapnya masih berkuatkuasa suatu sabitan bagi kesalahan
boleh daftar;
101
(d) Dia telah dibuang daripada menjadi anggota di bawah Akta ini dan suatu tempoh
selama satu tahun belum lagi berlalu dari tarikh pembuangan itu.
Peraturan-peraturan di atas adalah menjelaskan mengenai hilang kelayakan seseorang
untuk menjadi anggota sesebuah koperasi antaranya seorang yang tidak upaya dari segi
mentalnya dilarang untuk menjadi anggota koperasi termasuk koperasi sekolah. Dalam
konteks koperasi sekolah, pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran adalah
diklasifikasikan sebagai pelajar yang tidak sempurna akal dan mentalnya sehingga mereka
tidak layak untuk mendapat pendidikan di arus perdana bersama pelajar normal yang lain.
Justeru, pentafsiran peraturan ini perlu diperbincangkan dan dibandingkan dalam konteks
pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran dimana adakah mereka layak untuk menjadi
anggota koperasi. Jika difahami secara umumnya, orang yang tidak upaya mental adalah
mereka yang mempunyai masalah mentalnya berbanding manusia normal yang lain. Justeru,
perbincangan selanjutnya akan memahami dan mendalami konsep pelajar pendidikan khas
masalah pembelajaran yang mendapat pendidikan di sekolah.
KONSEP PELAJAR PENDIDIKAN KHAS MASALAH PEMBELAJARAN
Maksud Pendidikan Khas
Pendidikan khas adalah sistem pendidikan yang disediakan untuk golongan-golongan
tertentu sahaja dari kalangan pelajar yang berkeperluan khas dalam proses pendidikan.
Peraturan-Peraturan Pendidikan Khas 2013 menyatakan bahawa Pendidikan Khas adalah
pendidikan bagi murid berkeperluan khas di suatu sekolah khas atau di sekolah yang
melaksanakan Program Pendidikan Khas Intergrasi atau Program Pendidikan Khas Inklusif
pada peringkat pendidikan prasekolah, rendah, menengah atau lepas menengah.
Maksud Masalah Pembelajaran
Bahagain Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (BPKKPM 2015)
menyatakan bahawa masalah pembelajaran dianggap sebagai masalah neurologi. Ianya
berkaitan dengan cara otak menerima, memproses, menganalisis dan menyimpan maklumat.
Masalah pembelajaran merupakan kecelaruan dalam satu atau lebih daripada satu proses
psikologi yang melibatkan kefahaman, penggunaan bahasa lisan atau bertulis. Kecelaruan ini
boleh menjejaskan keupayaan mendengar, berfikir, bertutur, membaca, menulis, mengeja dan
mengira. Masalah pembelajaran termasuklah masalah pembelajaran akademik, bahasa,
102
ingatan, sosioemosi, kemahiran motor, dan kordinasi serta hiperaktiv. Kategori murid-murid
masalah pembelajaran seperti disleksia, attention deficit hyperactivity disoder (ADHD), slow
learner, sindrom down terencat akal ringan.
Proses Pengambilan Pelajar Pendidikan Khas
Pelajar yang dikategorikan sebagai murid pendidikan khas adalah murid berkeperluan khas
yang diperakukan oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli psikologi, mengikut mana-mana
yang berkenaan, sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau tidak sebagai murid yang
mempunyai ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan
pertuturan, ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran atau mana-mana kombinasi
ketidakupaan yang disebutkan. (Peraturan-peraturan Pendidikan Khas 2013).
Adapun golongan yang memerlukan pendidikan khas perlu dipilih dan dikenalpasti
kesesuaian mereka agar mereka benar-benar mampu untuk mendapat pendidikan yang
disediakan. Pengesahan kelayakan ini melalui pelbagai tapisan termasuk kelulusan dari pakar
perubatan. Ini bertujuan agar golongan yang benar-benar mampu menerima pendidikan akan
dibenarkan ke sekolah disamping tidak akan menimbulkan pelbagai masalah dikemudian hari.
Merujuk kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan Khas 2013, setelah disahkan oleh
pakar perubatan, permohonan perlu melalui sesi temuduga oleh pihak sekolah bagi menilai
pelajar lebih dekat lagi. Apabila berjaya dalam sesi temuduga, pelajar juga perlu melalui
tempoh percubaan di sekolah selama tiga bulan untuk menilai keupayaan dan kesesuaian
untuk melalui sesi pembelajaran. Tapisan tempoh percubaan ini yang akan menentukan
pelajar mampu untuk meneruskan pembelajaran di sekolah berkenaan atau tidak. Pelabagai
aspek dilihat seperti kesesuaian persekitaran sekolah, keupayaan mengurus diri dan
sebagainya bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajarn berjalan lancar disamping
pelajar tidak mengalami kesukaran dalam mengurus diri sewaktu di sekolah.
Pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran adalah kumpulan pelajar yang
mempunyai kepelbagaian masalah. Oleh itu, pendidikan yang diberikan juga berdasarkan
kepada keupayaan pelajar dan kecenderongan mereka. Ianya perlu kepada proses pemerhatian
dan penilaian serta kreativiti guru dalam memberi pendidikan kepada golongan ini. Adalah
tidak wajar sekiranya kumpulan pelnbagai masalah ini dikategorikan dalam satu bentuk
pendidikan tanpa menilai kemampuan dan kelayakan mereka. Justeru, pelajar yang cenderong
103
kepada kemahiran pertanian, diberikan pendidikan pertanian, namun pelajar yang cenderung
kepada kemahiran ternakan, diberikan pendidikan penternakan. Begitu juga dalam pemilihan
pelajar yang berkecenderungan kepada keusahawanan seperti koperasi sekolah. Ahli Lembaga
Koperasi hendaklah dipilih berdasarkan keupayaan dan kecenderungan mereka berdasarkan
pemerhatian dan penilaian guru.
Pelajar Pendidikan Khas Dalam Koperasi Sekolah
Pendidikan kemahiran keusahawanan melalui koperasi sekolah memberi kesan yang positif
kepada kepimpinan pelajar. Ianya juga dilihat sangat bermanfaat kepada pelajar pendidikan
khas yang memerlukan kepada kemahiran tertentu dalam menghadapi kehidupan selepas
persekolahan. Maka, penubuhan koperasi sekolah pendidikan khas dilihat semakin mendapat
perhatian dari sekolah-sekolah berkenaan bagi memberi pendidikan kemahiran tersebut
kepada pelajar meraka.
Perangkaan dari Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA)
menunjukkan bahawa, pada tahun 2012 hanya terdapat sebuah sahaja koperasi sekolah
pendidikan khas. Kemuadian meningkat kepada tiga buah pada tahun 2013 dengan jumlah
keanggotaan seramai 561 orang. Sehingga Jun 2015, sebanyak lapan buah koperasi
pendidikan khas telah didaftarkan dengan keanggotaan seramai 709 orang. Fakta nombor ini
menunjukkan bahawa berlaku peningkatan pendaftaran koperasi sekolah pendidikan khas dari
tahun 2012 hingga 2015. Peningkatan ini menunjukkan kecenderungan pentadbiran sekolah
pendidikan khas untuk membuka koperasi sekolah sebagai medium untuk mendidikan pelajar
mereka dalam berkoperasi termasuk dalam bidang keusahawanan.
Oleh yang demikian, fenomena ini menunjukkan wujud sesuatu yang positif dari
gerakan koperasi di sekolah kepada warga pendidikan khas sehingga mendorong mereka
untuk menubuhkan koperasi di sekolah masing-masing. Keanggotaan mereka yang dianggotai
oleh pelbagai kumpulan pelajar pendidikan khas merupakan satu cabaran dan keistimewaan
kepada koperasi ini. Keupayaan pentadbiran koperasi pendidikan khas menggerakkan
koperasi sehingga maju dan berjaya adalah satu kebanggan dan pengiktirafan kepada mereka
kerana keistimewaan kumpulan pelajar yang menjadi anggota dalam koperasi tersebut.
Namun begitu, keupayaan pelajar pendidikan khas masalah dalam mengurus dan melibatkan
diri dalam koperasi sekolah mendapat perhatian pengkaji bagi membincangkannya dari sudut
104
perspektif Islam kerana ianya melibatkan pembelanjaan dan pengurusan harta dari sudut
yuran, syer atau pengurusan perniagaan.
PRINSIP KELAYAKAN (AL-AHLIYYAH) DAN HALANGANNYA (AL-HAJR)
DALAM ISLAM
Definisi Ahliyyah
Secara umumnya, al-ahliyyah adalah parameter atau ukuran untuk menentukan seseorang itu
dianggap layak untuk menerima dan melaksanakan hak atau tanggungjawab. Al-Zuhayli
(2013:71) mentakrifkan ahliyyah dalam bahasa adalah kelayakan. Hassan (t.t.:54) pula
menjelaskan kelayakan itu ialah kelayakan untuk beramal dengan sesuatu. Hailani dan Sanep
(2011:56) mentakrifkannya dengan pengertian yang biasa iaitu keupayaan dan kebolehan.
Manakala, Abu Zuhrah (t.t.:329) mendefinisikan ahliyyah adalah kemampuan atau kelayakan
seseorang untuk menerima hak dari orang lain dan melakukan tanggungjawabnya kepada hak
orang lain.
Kategori Al-Ahliyyah
Adapun ahliyyah disisi ulamak usul terbahagi kepada dua iaitu ahliyyah al-wujub dan
ahliyyah al-adaa.
i. Ahliyyah Al-Wujub:
Khallaf (t.t.: 135) mentakrifkannya sebagai kelayakan seseorang untuk menerima dan
melaksanakan kewajipan-kewajipan syarak kepadanya serta daripadanya. Al-Zuhayli
(2013:71) menyatakan bahawa asas kepada ahliyyah al-wujub adalah tanggungan (al-
dzimmah) yang mana tanggungan manusia itu berdasarkan kepada hidup atau
kehidupan seseorang. Ianya juga disepakati oleh para ulama yang mana manusia yang
hidup menerima tanggungan syarak padanya samada kewajipan baginya menerima
hak-hak kemanusiaan atau kewajipan baginya melaksanakan hak-hak tersebut. Ia juga
dijelaskan oleh Hailani dan Sanep (2011:56).
105
ii. Ahliyyah Al- Adā’ :
Zaidan (t.t:96) dan Al-Zuhayli (2013:72) menjelaskan bahawa ianya adalah kelayakan
manusia sebagai pihak yang dituntut melaksanakan yang mana perkataan dan
perbuatannya dipertanggungjawabkan keatasnya dan menimbulkan pengaruh
syar’ienya. Adapun asas kepada kelayakan ini adalah mumayyiz bukan lagi kehidupan
yang mana akal fikiran menjadi sandaran dan ukuran. Hanali dan sanep (2011:57)
menyatakan bahawa mumayyiz bererti seseorang sudah boleh memahami segala
tindakan yang dilakukannya dan kesan yang akan timbul. Sifat ini sudah ada pada
kanak-kanak yang berumur tujuh tahun. Adapun, seseorang yang mempunyai
kelayakan ini sudah boleh melakukan akad dan segala tindakan yang dilakukannya
akan melahirkan kesan.
Para ulamak seperti Zaidan (t.t :96-97), Abu Zuhrah (t.t:333-335) dan Hailani serta
Sanep (2011:57-59) menyatakan pembahagian al-wujub dan al-adā’ kepada dua
bahagian iaitu al-naqisah (kelayakan tidak sempurna) dan al-kamilah(kelayakan
sempurna). Pembahagian ini berdasarkan proses perkembangan umur manusia
bermula dari diciptakan oleh Allah sehingga mencapai umur dewasa dan menjadi
seorang yang berakal dan mumayyiz. Sehubungan itu, mengklasifikasikan kelayakan
taklif manusia berdasarkan peringkat kehidupan manusia adalah seperti berikut:
a) Tahap Janin: Janin yang masih dalam kandungan ibunya disifatkan sebagai
ahliyyah al-wujub al-naqisah kerana kehidupannya yang tidak pasti samada hidup
atau mati dikala kelahirannya. Namun begitu, ianya berhak menerima hak yang
tidak memerlukan akad penerimaan seperti wasiat dan pusaka. Adapun tahap ini,
kelayakan untuk melaksanakan (ahliyyah al-adā’) tidak ada sama sekali kerana
asas kelayakannya adalah sifat tamyiz dan bukan kehidupan atau nyawa seseorang
(Halani dan Sanep 2011:57-58).
b) Tahap kelahiran sehingga mumayyiz: Al-Zuhayli (2013:74) menjelaskan bahawa
umur mumayyiz tidak ditetapkan oleh ulamak terdahulu, namun ianya ditetapkan
oleh ulamak selepasnya iaitu tujuh tahun berdasarkan hadith perintah anak-anak
mendirikan solat dikala usia tujuh tahun. Apabila seseorang bayi lahir dalam
keadaan hidup, maka dia dikategorikan sebagai ahliyyah al-wujub al-kamilah yang
106
mana dia berhak menerima dan menanggung segala kewajipan syarak secara
sempurna. Ini disebabkan kelayakan berdasarkan nyawa dan kehidupan sudah
dimiliki secara sepenuhnya. Namun, kelayakan untuk melaksanakan (ahliyyah al-
adā’) segala hak dan kewajipan syarak masih belum dimiliki. Adapun dalam
syariat Islam, apabila dikatakan sesuatu itu diwajibkan ke atas seseorang,
maksudnya ialah melaksanakan kewajipan tersebut dan bukan semata-mata
sesuatu itu wajib. Ada hak dan kewajipan yang boleh dilaksanakan oleh orang lain
bagi pihak kanak-kanak tersebut seperti membayar zakat atau membayar ganti rugi
kerosakan yang dilakukan oleh kanak-kanak dan sebagainya (Hailani dan Sanep
2011: 58).
c) Tahap mumayyiz sehingga baligh: Badran (t.t:435) Abu Zahrah (t.t:337) Said
Sabiq(1999) dan Al-Mālbariy(2008:335) menukilkan bahawa tanda baligh melalui
tanda yang kebiasaan tabi’e adalah keluar mani bagi lelaki dan haid bagi wanita.
Namun begitu, ulamak berbeza pendapat bagi penetapan had umur baligh bagi
yang lambat atau tiada tanda kebiasaan tersebut. Jumhur berpendapat bahawa had
umur baligh adalah 15 tahun bagi lelaki dan perempuan. Manakala Abu Hanifah
berpendapat bahawa umur baligh bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi wanita
adalah 17 tahun. Seorang yang telah mumayyiz iaitu mampu berfikir antara
kebaikan dan keburukan yang mana kebanyakan ulamak menetapkan umur tujuh
tahun sebagai tanda mumayyiz. Adapun ditahap ini, seorang kanak-kanak sudah
mempunyai kelayakan untuk melaksanakan secara tidak sempurna (ahliyyah al-
adā’ al-naqisah). Dengan kelayakan ini, kanak-kanak hanya boleh melakukan
beberapa bentuk tindakan tertentu sahaja iaitu tindakan yang boleh mendatangkan
keuntungan dan manfaat kepadanya seperti menerima pemberian atau wasiat.
Namun, ia dilarang dalam tindakan yang boleh mendatangkan kerugian seperti
sedekah, hadiah dan sebagainya. Walaubagaimanapun, dalam urusan yang
berkemunkinan untung dan rugi, kanak-kanak boleh melakukannya setelah
mendapat keizinan walinya (al-Zuhaili 1984:116, Hailai dan sanep 2011:59).
d) Tahap Baligh dan Cerdik: Seseorang yang berada ditahap ini dianggap sudah
cukup berakal, baligh dan cerdik. Maka ia sudah memiliki kelayakan menerima
(ahliyyah al-wujub al-kamilah) dan kelayakan melaksanakan (ahliyyah al-adā’ al-
107
kamilah) yang mana kesempurnaan ini mengizinkannya untuk bertindak sendirian
tanpa bergantung kepada keizinan orang lain (al-Zuhayli 1984:116, Hailani dan
Sanep 2011:59)..
Kesimpulannya, empat tahap perkembangan kehidupan manusia ini menunjukkan
keadilan dan kasih sayang Allah yang mana tidak memberi bebanan dan tanggungan kepada
manusia yang tidak sepatutnya ditangung oleh meraka. Setiap yang dilakukan oleh manusia,
terikat kepada hukum sya’ie berdasarkan peringkat usia mereka. Oleh yang demikian,
ahliyyah atau kelayakan ini menjadi ukuran kepada kelayakan seseorang untuk menerima hak
dan menanggung tanggungjawab syar’ie kepadanya. Ia juga menjadi satu ukuran untuk
menetapkan kelayakan seseorang untuk berakad dan bertasarruf dengan harta untuk menjaga
kemaslahatan harta mereka.
Syarat Kelayakan Bagi Orang Yang Berakad (Matang)
Islam mementingkan keselamatan dan menjauhi kezaliman seperti penipuan dalam semua
perkara termasuk dalam urusan muamalat. Berkaitan hal yang melibat pengurusan harta yang
membawa kepada risiko untung dan rugi, maka Islam menetapkan satu syarat sah dalam
urusan tersebut adalah akad ataupun difahami sebagai kontrak. Namun begitu, caqidan atau
orang yang melakukan akad juga merupakan syarat sah kepada thabit sesuatu akad tersebut
kerana ia menjadi parameter kepada kelayakan seseorang untuk memikul tanggungjawab dan
risiko disebalik akad tersebut. Oleh itu, syarat kelayakan bagi orang yang ingin berakad
terutamanya dalam urusan mengurus harta (taṣarruf al-māl) sangat dititik beratkan di dalam
Islam. Syarat-syarat orang yang ingin berakad adalah matang, redha, boleh melihat dan
melibatkan ramai pihak. Namun, perbahasan ini hanya membahaskan berkaitan syarat matang
sahaja kerana ia bekaitan dengan isu yang diperbincangkan.
Al-Zuhaylī (2014:11) menyatakan bahawa hendaklah semua pihak yang berakad itu
matang iaitu seorang yang cukup umur (baligh dan bukan kanak-kanak), berakal dan bijak
(Rusyd iaitu bukan orang safih) dalam menggunakan harta. Al-Malbariy (2008:335)
menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan rusyd ialah kepandaian berbuat untuk
kemaslahatan agama dan harta iaitu tidak lagi melakukan perbuatan haram yang
menghilangkan keadilannya baik berupa dosa besar atau berterusan melakukan dosa kecil
tanpa memenangkan ketaatannya atas maksiatnya dan tidak pula membazirkan hartanya
108
dengan dirugikan dalam muamalah atau dengan membelanjakannya walau seposen kepada
barang yang haram.
Kanak-kanak dan orang gila tidak sah aktiviti menjual serta membeli berdasarkan
hadith Nabi SAW:
عن ثالثة : عن النائم حىت يستيقظ ، وعن املبتلى حىت يربأ ، وعن الصيب حىت يكرب رفع القلم
Maksudnya:
Kalam diangkat dari tiga jenis manusia: dari orang yang tidur sehingga dia sedar,
kanak-kanak sehingga dia bermimpi, dan orang gila sehingga dia sembuh.1
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa' 4:6 yang bermaksud :
Dan ujilah anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk kawin. Kemudian jika
menurut pendapatmu mereka Telah cerdas (pandai memelihara harta), Maka
serahkanlah kepada mereka harta-hartanya.
Al-Tabari (1994:395) menjelaskan tafsir ayat di atas adalah seseorang kanak-kanak
yatim hendaklah diuji tentang daya kefahaman mereka, kebaikan mereka dalam agama dan
kebijaksanaan mereka mengurus harta sehingga mereka bermimpi (baligh) dan jika dia telah
sampai kepada kecerdikan dalam mengurus harta, maka tiada halangan baginya dan
serahkanlah harta kepadanya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah 4:5 yang
bermaksud:
Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna
akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah
menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan
berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan),
dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
Al-Sābuni (1999:195) menjelaskan tafsiran ayat di atas bahawa janganlah diberikan
harta mereka kepada anak-anak yatim yang sifatnya suka membazir yang mana Allah
mengurniakannya harta untuk kehidupannya tetapi disia-siakannya. Manakala al-Tabari
(1994:393) menjelaskan bahawa jangan diberi harta kepada orang-orang safih yang mana
mereka adalah orang yang membinasakan harta kerana kelemahan mereka mengurusnya iaitu
1 Abi Daud, Sunan Abi Daud. Jil. 6. Bab Fi Al-Majnun Yasruku Au Yusibu Haddan. No 4398
109
dari kalangan kanak-kanak samada lelaki atau perempuan. Sehubungan itu, kanak-kanak yang
lemah dalam pengurusan harta di anggap sebagai safih dimana tertegah dari menguruskan dan
mentadbir hartanya sendiri.
Berdasarkan kepada perbincangan fokus penulisan iaitu berkaitan kelayakan pelajar
pendidikan khas masalah pembelajaran dalam menganggotai koperasi sekolah. Adakah
mereka dikategorikan sebagai matang dalam syarat tersebut sedangkan mereka disahkan oleh
pakar perubatan mengenai masalah mental sehingga ditempatkan di sekolah pendidikan khas.
Justeru, ia perlu dilihat dari sudut syariah adakah ianya bertepatan dengan prinsip ahliyyah
ataupun tidak.
Sedia maklum, kanak-kanak adalah seorang yang belum matang juga ditakrifkan
sebagai orang yang belum bermimpi atau belum berumur 15 tahun. Manakala orang-orang
safih ialah orang yang tidak matang yang mana tidak mampu mengurus agama dan dunianya
kerana bersifat membazir dan tidak kisah ditipu oleh orang lain dalam urusan muamalat yang
merugikan. (al-Khin, al-Bugha 1992:250, Zulkifli 2013:652). Tambahan pula, Hailani dan
Sanep (2011:61) menyatakan bahawa para fuqaha’ menjelaskan bahawa bodoh sebagai tidak
pandai menguruskan harta dengan sepatutnya
Pendapat disisi Mazhab Syafie (2001:458) di dalam kitab al-Umm menyatakan
bahawa tidak sah sebarang akad yang dilakukan oleh kanak-kanak dan orang bodoh (safih)
dalam urusan muamalat seperti jualbeli, gadaian dan sebagainya. Setiap penjaga wajib
menguruskan harta bagi pihak mereka untuk menjaga maslahah (kepentingan) hartanya.
Sehubungan itu, Zulkifli ( 2013 :652,654,663) menyatakan bahawa kanak-kanak perlu kepada
keizinan wali bagi melaksanakan sebarang urusan berkaitan harta dan ianya harus dilakukan
dihadapan serta dibawah seliaan wali seperti dalam hal bayaran zakat. Al-Zuhaylī (2014:11-
12) pula mencadangkan penyelesaian bagi halangan ini adalah dengan cara wali
melaksanakan akad bagi kanak-kanak tersebut. Adapun, halangan ini berakhir dengan syarat
mereka memiliki dua sifat iaitu baligh dan matang. Manakala al-Nawawi (2003:411)
menjelaskan bahawa hilangnya halangan kepada kanak-kanak adalah dengan sampainya tahap
baligh dan cerdik. Namun ada dikalangan mereka yang mengatakan bahawa memadai
sampainya tahap baligh. Pendapat kedua ini mengkhususkan kanak-kanak sebagai penghalang
utama dan inilah yang lebih utama kerana kanak-kanak adalah sebab kepada halangan untuk
bermuamalat. Begitu juga, jika seorang yang baligh tetapi sifatnya membazir, maka dia
110
dianggap sebagai safih (tidak cerdik) dan ianya terhalang kerana sifat safihnya bukan kerana
ianya kanak-kanak.
Adapun, al-Zuhaylī (2004,j1:167) menyatakan bahawa Mazhab Hanafi berpendapat
keadaan kanak-kanak dalam kedudukan ahliyyah Al-Adā’ al-naqisah boleh membelanjakan
hartanya kepada perkara yang bermanfaat dan menguntungkan tetapi ditegah dalam perkara
yang merugikan. Namun dalam keadaan yang tidak pasti untung ruginya, maka disyaratkan
dengan keizinan wali. Ianya juga disokong oleh al-Nasafi (2011:571). Sekiranya ianya baligh
dan tidak cerdik, maka janganlah diserahkan hartanya sehingga berumur 25 tahun. Ini kerana
manusia kadang kala tidak bebas dari sifat safih dan tegahan ini sebagai memberi pengajaran
dan hukuman kepadanya kerana cuai mengurus harta. Akan tetapi, sekiranya melewati umur
25 tahun, kecerdikan dalam mengurus harta tetap tidak dimilikinya, maka tiada gunanya
halangan dan pengajaran tersebut. (al-Zuhaylī 2013:102). Oleh yang demikian, al-Quduri
(2005:204) menukilkan bahawa Abu Hanifah berpendapat tiada halangan kepada orang safih
jika ianya baligh, berakal dan merdeka serta harus baginya mengurus hartanya.
Pendapat Mazhab Hanbali yang dinukilkan oleh Ibnu Qudamah (1997:595) bahawa
jangan diserahkan harta kepada kanak-kanak sehingga wujudnya dua perkara iaitu baligh dan
cerdik. Oleh yang demikian, sekiranya ianya tidak cerdik maka terhalang baginya untuk
mengurus hartanya walaupun sehingga ianya tua. (al-Qudamah 1994:111).
Al-Baghdadi (t.t :1171) menukilkan dari Mazhab Maliki bahawa terhalang kanak-
kanak dari mengurus hartanya sehingga ia baligh dan cerdik. Adapun sekiranya kanak-kanak
yang telah baligh tetapi memilik sifat safih, ,maka ia tetap terhalang dari mengurus hartanya
demi menjaga kemaslahatan harta tersebut.
Kesimpulannya, Mazhab Syafie , Hanbali dan Maliki berpendapat bahawa kanak-
kanak terhalang dari mengurus hartanya dan akadnya tidak sah sehingga ia baligh, berakal
dan cerdik untuk menjaga kemaslahatan hartanya. Terdapat juga cadangan penyelesaian
dengan aqad urusan tersebut dilakukan oleh walinya atau aqad dilakukan oleh kanak-kanak
tetapi dengan keizinan serta pengawasan yang ketat oleh walinya. Sekiranya mereka baligh
tetapi tidak cerdik atau safih, maka mereka tetap terhalang dari mengurus hartanya. Manakala
Imam Hanafi berpendapat bahawa kanak-kanak boleh membelanjakan hartanya pada perkara
yang menguntungkan tetapi ditegah pada perkaran yang merugikan. Bagi perkara yang tiada
111
kepastian untung dan ruginya, maka ia perlu kepada keizinan wali. Oleh yang demikian,
setiap mazhab mempunyai alasan dan hujjah tersendiri bagi menguatkan pendapatnya untuk
menjaga kemaslahatan harta dan pemilik harta tersebut.
Al-Ḥajr (Halangan) Yang Menyebabkan Hilang Kelayakan Untuk Membelanjakan
Harta
Ahliyyah atau kelayakan yang diperbahaskan sebelumnya menunjukkan bahawa syariat Islam
itu terpakai kepada golongan-golongan tertentu yang mencukupi syarat-syarat kelayakan
terutamanya kepada ahliyyah al-wujub al-kamilah dan ahliyyah al-adā’ al-kamilah. Oleh itu,
setiap orang baligh dan berakal sudah memiliki kelayakan yang sempurna untuk melakukan
segala akad dan membelanjakan harta (taṣarruf al-māl). Walaubagaimanapun, terdapat
beberapa perkara yang boleh menghalang seseorang itu dari melakukan sesuatu akad
berkaitan perbelanjaan harta atau mengurusnya.
Hailani dan Sanep (2011:60) menyatakan bahawa halangan ini terbahagi kepada dua
bahagian iaitu halangan semulajadi (al-cawarid al-samawiyyah) dan halangan disebabkan
daripada manusia (al-cawarid al-muktasabah). Halangan semulajadi adalah halangan yang
terjadi dengan kehendak Allah SWT semata-mata tanpa disebabkan oleh manusia seperti gila,
sakit, terencat akal, dan tidur atau pitam dan sebagainya. Manakala halangan disebabkan
daripada manusia adalah segala halangan yang dilakukan oleh manusia dengan pilihannya
sendiri seperti paksaan, kebodohan (al-safih) atau mabuk. (al-Zuhaylī 1984:127 &
2004.j1:168).
Oleh yang demikian, beberapa halangan tersebut menjadi isu kepada kelayakan
keanggotaan koperasi sekolah menurut perspektif Islam. Namun begitu, perbincangan
mengenai halangan-halangan dari kelayakan mengurus harta atau berakad ini, pengkaji hanya
membahaskan perkara yang berkaitan isu keanggotaan pelajar pendidikan khas sahaja iaitu:
i. Gila
Hailani dan Sanep (2011:60) dan al-Zuhayli (1984:127, 2004.j1:169) menyatakan
bahawa gila adalah sejenis penyakit atau kecacatan akal yang boleh menyebabkan
segala tindakan yang dilakukan oleh sesorang itu tidak betul dan tidak seperti orang
yang baik akal fikirannya. Gila terbahagi kepada dua iaitu gila sejak dilahirkan dan
gila yang berlaku kepada seseorang setelah dilahirkan dalam keadaan waras akalnya.
112
Kedua golongan ini ditegah daripada melakukan akad dan membelanjakan harta
termasuk mengurusnya samada ianya dibenarkan oleh walinya atau tidak.
Oleh yang demikian, seseorang yang gila ditegah dari membelanjakan harta
termasuk mengurus hartanya kerana ianya boleh membahawa kepada kemudharatan
harta iaitu kerugian.
ii. Terencat Akal (catah)
Hailani dan Sanep (2011:61) al-Zuhayli (1984:128, 2004:j1.170) menjelaskan iaitu
terencat akal merupakan suatu penyakit akal yang boleh menyebabkan seseorang itu
kurang daya faham, tidak betul percakapannya dan tidak tahu mengurus diri sendiri.
Ianye terbahagi kepada dua iaitu terncat akal yang serius dan terencat akal yang tidak
serius.
Terencat akal yang serius adalah orang yang mengalami akan kehilangan daya
sedar dan daya faham sama sekali. Ianya disamakan seperti keadaan orang gila.
Namun terencat akal yang tidak serius adalah orang yang mengalami masih
mempunyai daya sedar dan dapat membezakan antara suatu perkara dengan perkara
yang lain. Adapun daya sedarnya tidak seperti orang normal.
Orang yang terencat akal tidak serius memiliki kelayakan untuk melaksanakan
secara tidak sempurna seperti kanak-kanak yang mumayyiz. Segala kewajipan yang
sepatutnya dipertanggungjawabkan kepadanya tidak wajib dilaksanakan seperti solat,
puasa dan sebagainya. Namun, segala hak dan kewajipan yang boleh dilakukan oleh
orang lain sebagai ganti masih tetap wajib dilaknakan. Begitu juga dengan urusan
yang menguntungkan baginya dianggap sah, manakala yang merugikannya pula
dianggap tidak saha. Manakala dalam urusan yang berisiko untung atau rugi, ianya
perlu mendapat keizinan walinya atu penjaganya terlebih dahulu. (Hailani & Sanep
2011:61, al-Zuhaylī 1984:128, 2004:j1.170)
iii. Bodoh (al-safih)
Zulkifli (2013:648) menyatakan bahawa bodoh adalah orang yang tidak bijak
menggunakan harta dan menggunakannya bukan pada tempat yang sepatutnya. Para
fuqaha’ mmentakrifkan bodoh (al-safih) sebagai tidak pandai mengurus harta dengan
sepatutnya sesuai dengan kehendak syarak dan akal. Dalam hal ini, jumhur fuqaha’
113
selain daripada Zahiriyyah bersetuju bahawa seorang yang telah baligh, tetapi bodoh
tidak boleh diserahkan harta kepadanya. Sementara fuqaha’ Zahiriyyah pula
berpendapat, seseorang yang baligh dan berakal boleh diserahkan harta kepadanya
kerana bagi mereka cerdik ertinya seorang yang baligh dab berakal. Berdasarkan
pandangan ini, setiap orang baligh dan berakal dianggap cerdik. Manakala berbeza
dengan pendapat jumhur bahawa cerdik adalah bijak atau pandai mengurus harta.
Maka ia bermaksud tidak semua orang yang baligh dan berakal itu pandai mengurus
hartanya, walaupun setiap orang yang cerdik itu berakal. (Al-Zuhayli 1984:129,
Hailani & Sanep 2011 :62-63).
Al-Jazairi (2013, j3: 1240-1245) menyatakan bahawa larangan pembelanjaan
harta bagi orang bodoh adalah seperti larangan pembelanjaan harta bagi anak-anak dan
orang gila. Hasil dari perbahasan tersebut, jelas bahawa jumhur ulamak dari kalangan
Maliki, Syafie, dan Hanbali berpendapat bahawa orang safih terhalang dari mengurus
hartanya dan akadnya tidak sah sehingga ia cerdik untuk menjaga kemaslahatan
hartanya kecuali dengan izin walinya. Walaupun mereka mencapai umur baligh tetapi
sifat safih itu masih wujud pada dirinya, maka mereka tetap tertegah dari mengurus
hartanya. Manakala Imam Hanafi berpendapat bahawa orang yang sudah baligh tetapi
masih dengan sifat safihnya, maka dibenarkan untuk memberi hak bagi mengurus
hartanya apabila sampai umurnya 25 tahun kerana disisi beliau penangguhan ini
adalah bertujuan pendidikan. Adapun jika pendidikan melalui penangguhan ini gagal
sehingga usianya 25 tahun, maka tiada gunanya penangguhan tersebut dan serahkanlah
harta tersebut kepadanya.
Olwh yang demikian, seorang yang bodoh dalam mengurus harta juga boleh
dikategorikan sebagai seorang yang mumayyiz dalam mengurus hartanya dimana
perlu kepada keizinan wali bagi menjaga kemaslahatan harta untuk mengelak daripada
dibelanjakan kearah yang tidak sepatutnya dan merugikannya.
Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan dalam bab ini, jelas bahawa Islam memartabatkan keadilan bagi
sekelian manusia dimana ianya dapat dilihat bahawa tidak ada bebanan taklif kepada orang
yang belum atau tidak layak memikulnya. Kelayakan seseorang untuk menanggung taklif
114
adalah berdasarkan kemampuan dan perkembangan fizikal dan mental seseorang itu.
Kesempurnaan akal yang bersesuaian dengan usianya menjadi salah satu justifikasi kelayakan
seseorang untuk menerima beban taklif bagi dirinya. Oleh yang demikian, memahami prinsip
al-ahliyyah, al-ḥajr dan syarat-syarat seorang yang berakad adalah satu perbincangan penting
untuk membahaskan berkaitan keharusan pelajar pendidikan khas dalam membelanjakan
harta. Kesimpulannya, ketiga aspek ini iaitu al-ahliyyah, al-ḥajr dan syarat orang berakad,
menjadi prinsip utama untuk membincangkan berkaitan pesoalan kajian mengenai hukum
keanggotaan pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran dalam koperasi sekolah.
PERBINCANGAN DAN HASIL KAJIAN
Keprihatinan KPM terhadap golongan pelajar pendidikan khas untuk mendapatkan
pendidikan yang sewajarnya dan bersesuaian dengan mereka adalah satu tindakan yang bijak
bagi menjamin kebajikan mereka seperti insan normal lain. Golongan pelajar masalah
pembelajaran adalah kumpulan yang dominan berbanding kumpulan pelajar masalah
pendengaran dan masalah penglihatan. Malah kumpulan ini terdiri dari pelbagai kategori khas
seperti masalah autisme, masalah lembam, masalah terlalu aktif dan sebagainya yang
memerlukan kepelbagaian bentuk pendidikan yang sesuai untuk mereka.
Kajian mendapati bahawa gerakan koperasi sekolah melatih anggotanya sifat
kepimpinan. Justeru ia juga bersesuaian untuk mereka belajar menjadi usahawan. Bagi
mendapatkan maklumat yang lebih tepat, kajian dan temubual dilakukan di sekolah
pendidikan khas yang mempunyai koperasi sekolah seperti Sekolah Menengah Air Baloi
Pontian, Sek Men Pendidikan Khas Vokasional Kuantan Pahang dan Sekolah Menengah
Pendidikan Khas Vokasioanl Indahpura, Johor.
Akta Koperasi 1993 (Akta 502) menyatakan bahawa golongan tidak upaya mental
dilarang daripada menyertai keanggotaan koperasi. Menerusi temubual bersama Dr. Hayati
(2016) mentafsirkan bahawa tidak upaya mental adalah orang gila dimana ianya perlu kepada
pengesahan pakar perubatan. Pengesahan pakar perubatan penting untuk membuktikan
masalah mental mereka kerana mereka yang menganggotai koperasi layak menjadi ALK.
Justeru, keupayaan mental untuk mengurus koperasi sangat penting bagi memajukan koperasi.
Adapun dalam konteks pelajar masalah pembelajaran, mereka tidak dikategorikan sebagai
115
tidak upaya mental atau gila kerana pelajar ini adalah pelajar yang mempunyai masalah
mental yang tidak serius. Tambahan pula, proses pengambilan pelajar pendidikan khas
melalui satu tapisan pakar perubatan dan tapisan kelayakan oleh institusi pendidikan bagi
mengenal pasti kelayakan mereka untuk mendapatkan pendidikan di sekolah tersebut.
Pada asasnya, seseorang yang ingin bertaṣarruf dengan mal seharusnya mempunyai
kelayakan dari sudut ahliyyah samaada ahliyyah al-wujub kamilah dan ahliyyah Al-Adā’
kamilah. Inilah yang telah dibahaskan dalam bab sebelumnya yang menjadi prinsip asas
kepada perbincangan ini. Ianya bertujuan menjaga maslahah dan kebajikan pemilik harta dari
tertipu dan dizalimi hartanya hingga mengakibatkan kerugian. Begitulah sempurnanya agama
dalam memelihara kebajikan ummatnya. Namun begitu, terdapat beberapa perkara lain yang
boleh menghalang seseorang dari bertaṣarruf dengan harta iaitu disebabkan gila, terencat akal
(‘atah) dan bodoh (safih). (al-Zuhayli 1984:127, 2004 j1:168).
Hailani dan Sanep (2011:60) dan al-Zuhayli (1984:127, 2004.j1:169) menyatakan
bahawa gila adalah sejenis penyakit atau kecacatan akal yang boleh menyebabkan segala
tindakan yang dilakukan oleh sesorang itu tidak betul dan tidak seperti orang yang baik akal
fikirannya. Oleh yang demikian, seorang yang gila ditegah dari mengurus dan membelanjakan
hartanya samada dengan keizinan wali atau tidak. Ianya bertepatan dengan Akta Koperasi
1993, bahagian IV perkara 27 (a) iaitu hilang kelayakan untuk menjadi anggota jika dia tak
uapaya dari segi mental.
Hailani dan Sanep (2011:61) al-Zuhayli (1984:128, 2004:j1.170) menjelaskan iaitu
catah (terencat akal) merupakan suatu penyakit akal yang boleh menyebabkan seseorang itu
kurang daya faham, tidak betul percakapannya dan tidak tahu mengurus diri sendiri. Ianya
terbahagi kepada dua iaitu terncat akal yang serius dan terencat akal yang tidak serius.
Terencat akal yang serius diumpamakan seperti orang yang gila dan terencat akal yang tidak
serius diumpamakan seperti orang yang belum baligh (mumayyiz), tidak matang daya
pemikirannya dan daya sedar pemikirannya tidak seperti orang normal lain yang seusia
dengannya. Orang yang terencat akal yang tidak serius memiliki ahliyyah Al-Adā’ naqisah
seperti kanak-kanak yang mumaiyyiz. Berkaitan bertaṣarruf dengan harta, dalam urusan yang
menguntungkan baginya dianggap sah, manakala yang merugikannya pula dianggap tidak
sah. Adapun, dalam urusan yang berisiko untung atau rugi, ianya perlu mendapat keizinan
116
walinya atu penjaganya terlebih dahulu. (Hailani & Sanep 2011:61, al-Zuhaylī
1984:128,2004.j1.170)
Golongan safih adalah orang yang belum matang akalnya iaitu orang yang tidak bijak
menggunakan harta dan menggunakannya bukan pada tempat yang sepatutnya (Zulkifli
2013:648). Walaupun umurnya sudah melebihi umur kebiasaan baligh tetapi sifat dalam
menggunakan harta tidak matang sehingga menyebabkan pembaziran dan kerugian. Jumhur
ulamak dari kalangan Syafie, Hanbali dan Maliki berpendapat bahawa orang safih terhalang
dari mengurus hartanya dan akadnya tidak sah sehingga ia cerdik untuk menjaga
kemaslahatan hartanya kecuali dengan izin walinya walaupun mereka sudah baligh. Manakala
Imam Hanafi berpendapat bahawa orang yang sudah baligh tetapi masih dengan sifat
safihnya, maka dibenarkan untuk memberi hak bagi mengurus hartanya apabila sampai
umurnya 25 tahun kerana disisi beliau penangguhan ini adalah bertujuan pendidikan. Adapun
jika pendidikan melalui penangguhan ini gagal sehingga usianya 25 tahun, maka tiada
gunanya penangguhan tersebut dan serahkanlah harta tersebut kepadanya.
Persoalan kajian yang berkaitan keanggotaan pelajar pendidikan khas masalah
pembelajaran telah mendorong pengkaji untuk menemubual beberapa orang guru yang
mentadbir koperasi yang melibatkan pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran. Koperasi
sekolah yang terlibat dalam kajian adalah:
Koperasi Intergrasi Pendidikan Khas Pontian Berhad.
Koperasi S.M. Pendidikan Khas Vokasional Kuantan Berhad
Koperasi SMPK Vokasional Indahpura kulai Berhad
Temubual separa struktur bersama guru pentadbir koperasi tersebut dilakukan untuk
melihat peranan, halangan, kebaikan dalam keanggotaan pelajar masalah pembelajaran dalam
gerakan koperasi sekolah mereka. Berdasarkan temubual yang dijalankan di ketiga-tiga
sekolah berkenaan, beberapa hasil dapatan yang boleh dirumuskan bahawa:
Pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran tidak tergolong dalam Akta 502 yang
menghalang orang tidak upaya mental untuk menganggotai koperasi sekolah kerana golongan
yang dimaksudkan dalam akta tersebut juga adalah golongan yang tidak dibenarkan untuk
sekolah malah mereka adalah golongan yang harus mendapatkan rawatan psikologi di
117
hospital. Namun, golongan pelajar yang dimaksudkan dalam kajian ini adalah dari golongan
yang mempunyai masalah terencat akal tidak serius (catah) dan sebahagiannya safih (cuai
dalam mengurus harta).
Keanggotaan pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran dalam koperasi sekolah
memberi pengalaman dan pembelajaran yang baik kepada mereka dalam membentuk
kecenderungan mereka kearah keusahawanan dan melatih mereka untuk hidup berdikari tanpa
bergantung kepada orang lain dalam menghadapi cabaran hidup.
Keanggotaan kumpulan pelajar ini mendapat sambutan yang baik dari ibubapa yang
percaya bahawa aktiviti berkoperasi memberi manfaat kepada anak-anak mereka. Adapun,
proses pendaftaran sebagai anggota adalah seperti biasa dimana perlu kepada pengisian
borang dan pembayaran yuran atau syer yang ditetapkan.
Berdasarkan borang keanggotaan, Koperasi SMPK Vokasional Kuantan Berhad
menyediakan ruang kebenaran ibubapa sebagai bukti persetujuan kebenaran kepada anak
mereka untuk menyertai koperasi sekolah. Manakala dua koperasi lain yang ditinjau tidak
menyediakan ruangan tersebut.
Ketiga-tiga koperasi sekolah melibatkan pelajar pendidikan khas masalah
pembelajaran dalam mengurus dan mentadbir koperasi melalui penjawatan ALK dengan
kerjasama dan bimbingan guru. Adapun, kesemua guru yang ditemubual menyatakan bahawa
perlantikan ALK adalah atas cadangan dan pemilihan berdasarkan pemerhatian guru terhadap
kebolehan pelajar tersebut dalam mengurus koperasi sekolah. Ini kerana, kepelbagaian ciri
masalah pembelajaran dan kebolehan mereka memerlukan kepada kriteria yang ditetapkan
oleh guru agar perlantikan mereka sebagi ALK dapat menyumbang kepada kemajuan koperasi
tersebut.
Penglibatan mereka dalam mengurus koperasi seperti menyusun atur, mengemas,
menjual, mengira stok dan sebagainya bergantung kepada arahan guru mereka. Mereka juga
terlibat dalam mesyuarat ALK dalam memberi maklum balas dan cadangan untuk
menambahbaik kemajuan koperasi. Namun, hakikatnya segala keputusan dibuat oleh ALK
dengan persetujuan oleh guru mereka.
Berdasarkan temubual dan pengalaman guru koperasi berkenaan, beberapa peristiwa
yang berlaku melibatkan pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran yang mengakibatkan
kerugian. Adapun, punca kepada kerugian adalah kelalaian pembimbing atau pemantau
kerana segala aktiviti yang melibatkan mereka adalah dibawah pemantauan ibubapa atau
guru.
118
Adapun, dalam konteks sekolah pendidikan khas, golongan pelajar masalah
pembelajaran adalah golongan majoriti berbanding golongan masalah lain seperti masalah
pendengaran dan masalah penglihatan. Justeru, penglibatan mereka dalam ALK lebih aktif
berbanding yang lain kerana terdapat juga pelajar yang “high funtion” yang boleh terlibat
dalam gerakan koperasi secara optimum.
Berdasarkan perbincangan prinsip al-ahliyyah di atas, difahami bahawa seorang yang
mempunyai masalah mental yang dikategorikan dalam pelajar pendidikan khas masalah
pembelajaran adalah berkemungkinan untuk digolongkan dalam al-ahliyyah al-ada’ al-
naqisah kerana sifat kekurangan fungsi akal mereka menghalang untuk mereka menjadi
seorang yang berfikiran normal setelah baligh. Namun begitu, ianya tidak bersifat pasti kerana
berkemungkinan juga mereka yang digolong dalam kumpulan matang dalam membuat
keputusan. Maka, pemerhatian dan penilaian oleh wali atau guru tentang keupayaan mental
mereka penting dalam menilai pelajar berkenaan. Apatah lagi, dalam proses pemilihan
keanggotaan koperasi dan pemilihan Ahli Lembaga Koperasi seharusnya dipilih dari kalangan
yang paling matang pemikirannya dikalangan mereka yang tidak normal. Oleh yang
demikian, sekiranya penilaian dan pemerhatian oleh guru mendapati kelemahan akal yang
menunjukkan mereka tidak matang, maka mereka ditegah dari mengurus dan membelanjakan
harta disisi jumhur ulama’ Maliki, Syafie dan Hanbali kerana mereka mensyaratkan seorang
yang layak bertasarruf dengan harta adalah seorang yang baligh, berakal dan rusyd(bijak).
Seorang yang baligh tetapi kurang berakal dan tidak bijak dalam mengurus harta dilarang
bertasarruf dengan hartanya. Adapun, disisi Mazhab Hanafi ianya diharuskan dalam perkara
yang memberi manfaat baginya, dilarang dalam perkara yang memudharatkan hartanya dan
dibenarkan dengan izin wali bagi perkara yang tidak pasti untung ruginya. Namun, sekiranya
ia beumur 25 tahun dan tetapi memiliki sifat tidak bijak dalam mengurus hartanya, maka ia
dibenarkan untuk mengurus sendiri hartanya kerana tahanan sebelumnya dalah bersifat
pendidikan baginya. Inilah pendapat disisi Mazhab Hanafi. Walaubagaimana pun, ulamak-
ulamak dalam kitab-kitab kebelakangan ini berpendapat bahawa mereka dibenarkan
bertasarruf dengan harta mereka dengan syarat keizinan dari wali mereka. Justeru, pengkaji
berpendapat bahawa pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran yang lemah mentalnya
harus menyertai koperasi sekolah kerana wujud maslahah baginya dengan syarat mendapat
keizinan walinya kerana gerakan koperasi terdedah kepada untung dan risiko kerugian.
119
Pengkaji juga berpendapat bahawa kaedah lain selain penyertaan dengan keiziznan
ibubapa adalah dengan konsep hibah ibubapa dalam yuran koperasi sekolah kepada anak
mereka. Ianya boleh ditakyīfkan dengan kaedah fiqh al-cibratu fi al-cuqud li al-maqasid wa
al-macani iaitu apa yang dipegang dalam akad itu ialah maksud dan makna. Ab. Latif dan
Rosmawati (2000:51) menjelaskan bahawa apabila sesuatu akad itu berlaku yang mana
terdapat padanya perbezaan diantara niat atau maksud orang yang melakukannya dengan lafaz
atau apa yang diucapkannya, maka yang dikira sebagai suatu akad adalah maksudnya selagi
maksudnya itu dapat diketahui. Tambahan pula al-Jauziyyah (1421H:242) menjelaskan
bahawa sesungguhnya maksud dan niat diiktiraf dalam segala akad dan urusan dan ianya
memberi kesan kepada sahnya akad dan terbatalnya, serta dalam hal halal dan haramnya. Oleh
yang demikian, amalan yang disandarkan kepada kaedah fiqh tersebut berlaku dalam situasi
berikut dimana apabila ibubapa membayar yuran untuk anak mereka menyertai koperasi
sekolah maka pada hakikatnya ibubapa telah menghibahkan jumlah bayaran tersebut kepada
anaknya untuk mereka menjadi anggota yang sah dalam kopersi sehinggan mereka layak
untuk mendapat manfaat dan keuntungan daripadanya.
Justeru, pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran terkecuali dari tafsiran Akta
502 yang menghalang golongan tidak upaya mental untuk menganggotai koperasi sekolah.
Justeru, pengkaji melihat kemaslahatan yang wujud ini harus menjadi dasar kepada keharusan
mereka untuk menjadi anggota koperasi sekolah secara sah menurut syarak dan Akta 502
dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan bagi mengelak kemudharatan. Antara syarat
tersebut adalah:
Pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran mestilah mendapat kebenaran ibubapa
dalam menyertai keanggotaan koperasi agar ianya dibawah makluman dan pemantauan
ibubapa sebagai wali mereka.
Kebenaran ibubapa hendaklah dizahirkan dalam bentuk dokumen atau borang
keanggotaan koperasi kerana itulah yang disarankan dalam Islam bagi mengelak masalah
dikemudian hari. Inilah yang dijelaskan oleh Dr. Sabri dan Dr. Zaini (2016) dalam temubual
bersamanya berkaitan kajian ini. Adapun, beliau menambah bahawa dalam urusan yang
remeh, mereka dibenarkan untuk bertaṣarruf dengan mal kerana ianya dianggap curuf atau
sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat kita seperti urusan membeli makanan
di kantin dan sebagainya. Ia juga disokongn oleh pakar lain yang ditemubual oleh pengkaji.
120
Segala kegiatan dan keputusan yang melibatkan untung dan rugi hendaklah dibawah
seliaan dan pemantau guru koperasi. Ini berdasarkan pengalaman kecuaian dalam pemantauan
boleh mengakibatkan kerugian kerana golongan pelajar ini sememangnya memerlukan
pemantaun yang maksimum dari orang yang normal.
Justeru, membantu dan menjaga kebajikan orang kelainan upaya ini adalah
tanggungjawab masyarakat bagi memudahkan urusan kehidupan mereka. Urusan kehidupan
mereka harus dibantu dan dimudahkan kerana kaedah fiqh menjelaskan “al-mashaqqah
tajlibu al-taysir” iaitu kesulitan menyebabkan kemudahan. Oleh itu, kesulitan yang dihadapi
oleh mereka yang menghadapi masalah kekurangan dari segi mental perlu dibantu dan
dipermudahkan terutamanya dalam hal-hal yang uruf yang biasa bagi mereka iaitu yang tidak
menimbulkan masalah dan isu yang bersar bagi mereka dan orang lain.
Kesimpulan
Anggota koperasi sekolah memberi impak yang besar kepada pergerakan koperasi sekolah
terutamanya dalam aspek sumbangan modal untuk melaksanakan perniagaan. Maka,
perjalanan koperasi sekolah bergantung kepada jumlah anggota yang ramai dari kalangan
pelajar. Adapun, prinsip keanggotaan itu harus bertepatan denganprinsip-prinsip Islam.
Berdasarkan perbicangan diatas, keanggotaan pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran
sebagai anggota koperasi adalah diharuskan disisi syarak dengan syarat ianya dengan
pengetahuan dan keizinan walinya. Ia juga boleh menjadi anggota dengan kaedah yuran
sebagai hibah dari ibubapa kepadanya dan akad dilakukan oleh ibubapa. Tambahan pula, kos
yuran yang rendah boleh dikategorikan sebagai perkara yang remeh walaupun berhadapan
dengan risiko kerugian yang sangat kecil. Namun, nilai pendidikan melalui pengalaman
perniagaan itu memberi manfaat dan pengajaran yang besar kepada anggotanya walaupun
pengalaman kerugian dalam perniagaan yang itu juga dianggap sebagai ilmu pengetahuan.
Adapun, hujjah yang lebih kukuh adalah pengurusan perniagaan koperasi tersebut tidaklah
diurus oleh mereka sendiri melainkan diurus ahli lembaga koperasi (ALK) yang dilantik
melalui undian anggotanya dari kalangan yang mahir dan berketerampilan dalam pengurusan
perniagaan. Justeru, risiko kerugian dan kegagalan adalah bukan atas dasar keanggotaan
pelajar belum baligh atau safih, tetapi bergantung kepada kecekapan tadbir urus ahli lembaga
itu sendiri. Oleh yang demikian, perbincangan dan perbahasan di atas harus difahami dan
ianya boleh dijadikan rujukan dan panduan bagi mengemaskini sistem pengurusan koperasi
121
sekolah khususnya dalam pengurusan keanggotaan koperasi agar ianya bertepatan dengan
prinsip-prinsip Islam. Seterusnya semua pihak menanam satu cita-cita untuk menjadikan
koperasi sekolah sebagai koperasi patuh syariah dari pelbagai sudut terutamanya dari aspek
keanggotaannya.
RUJUKAN
Al-Quran
Ab. Latif B. Muda, Rosmawati Ali @ Mat Zin. 2000. Perbahasan Kaedah-Kaedah Fiqh.
Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.
Abi Daud, Sulaiman Bin Al-Asy’ath Al-Azdie Al-Sajistani. 2009. Sunan Abi Daud. Jil. 6.
Damsyiq: Dar Al-Risalah Al-Alamiyyah.
Abu Zahrah, Muhammad. T.t. ‘Usul Fiqh. Dar Al-Fikr Al-Arabi.
Al-Baghdadi, Abdul wahab. T.t. Al-Maunah Ala Mazhab Alim Al-Madinah Li Al-Imam Malik
Bin Anas. Hamish Abdul Haq. Jil 2. Makkah: Al-Maktabah Al-Tijariah.
Al-Jauziyyah, Ibn Al-Qayyim. 1421H. Al-Qawacid Al-Fiqhiyyah Li Al-cAllamah Ibn Qayyim
Al-Jauziyyah. Abi Abdul Rahman Abdul Majid Jumcah Al-Jaza’ri, Al-Syeikh Bakr
bin Abdullah Abu Zaid. Mesri: Dar Ibn Affan.
Al-Jazairi, Syaikh Abdul Rahman. 2013. Fiqh 4 Mazhab. Juz. 1, 2 & 3. Terj. Johor:
Perniagaan Jahabersa.
Al-Mālbariy, Zainuddin Bin Abdul Aziz. 2008. Fathul Mucin. Terj. Johor : Perniagaan
Jahabersa.
Ibn Qudamah, Al-Maqdisi, 1994. Al-Kafi Fi Fiqh Al-Imam Ahmad Bin Hanbal. Muhammad
Faris, Mus’ad Abdul Hamid Al-Sa’dani. Jil. 3. Beirut: Dar AL-Kutub AL-Ilmiah.
Ibn Qudamah, Al-Maqdisi. 1997. Al-Mughni. Abdullah Bin Abdul Muhsin, Abdul Fatah
Muhammad. Jil 6. Riyadh: Dar Alim Al-kutub.
Al-Nasafi, Abdullah Bin Ahmad. 2011. Kanzu Al-Daqa’iq Fi Al-Fiqh Al-Hanafi. Said
Bakdash. Madinah: Dar Al-Siraj.
Al-Sobuni, Muhammad Ali. 1999. Sofwah Al-Tafasir. Jil. 1. Beirut: Dar Al-Kutub Al-Ilmiah.
122
Al-Syafice, Muhammad Bin Idris. 2001. Al-Umm. Rif’at Fauzi Abdul Muttalib. Jil 4.
Mansurah : Dar Al-Wafa’.
Al-Tabari. 1994. Tafsir Al-Tabari. Basyar Awwad Makruf, Ussam Faris Al-Harsatan. Jil 2.
Muassasah Al-Risalah.
Al-Zuhaylī, Wahbah. 2004. Usul Al-Fiqh Al-Islami. Jil. 1. Damsyik: Dar Al-Fikr.
Al-Zuhaylī, Wahbah. 2013. Kaedah Usul Fiqh. Muhammad Ammar Adly. Selangor: Pustaka
Al-Ehsan.
Al-Zuhaylī , Muhammad Mustafa. 2014. Al-Muktamad Fi Al-Fiqh Al-Syafice. Terj. Azhar
Yahya, Zulqarnain Dollah, Fadilah Yaacob & DZ Al-bakri Group. Jil. 5. Kuala
Lumpur: Jamiah Dakwah Al-Islamiah.
Anon 2005. Akta Koperasi 1993 (akta 502) & Peraturan-Peraturan. Selangor International
Law Book Services.
Badran, Abu Al-Ainain Badran. t.th. Tarikh Al-Fiqh Al-Islami Wa Nazariyyah Al-Milkiyyah
Wal uqud. Beirut. Dar Al-Nahdhah Al-Arabiah.
Hailani Muji Tahir, Sanep Ahmad. 2011. Aplikasi Fiqh Muamalat Dalam Sistem Kewangan
Islam. Shah Alam: Pusat Penerbitan UITM.
Hasan, Kahlid Ramadhan. T.t. Mukjam Usul Al-Fiqh. Dar Al-Tarabisyi Lil Dirasah Al-
Insaniah.
Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian
Pelajaran Malaysia, Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia Mengenai Pembangunan
Koperasi Sekolah.
Kementerian Pelajaran Malaysia. T.th. Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian
Pelajaran Malaysia, Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia Mengenai Pembangunan
Koperasi Sekolah.
Khallaf, Abdul Wahhab. T.t. Ilmu Usul Al-Fiqh. Kaherah: Maktabah Al-Dakwah Al-Islamiah
Syabab Al-Azhar.
Lembaga Penyelidikan Undang-Undang. 2005. Akta Koperasi 1993 (akta 502) & Peraturan-
Peraturan. Selangor: International Law Book Services.
Malaysia. 2013. Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013. Warta Kerajaan
Persekutua PU(A) 230.
123
Sabiq, Said. 1999. Fiqh Al-Sunnah. Jil.3. Kaherah: Dar Al-Fatah.
Zaidan, Abdul Karim. T.t. Al-Wajiz Fi Usul Al-Fiqh. Kaherah: Dar Al-Tauzik Wa Al-Nasyr
Al-Islamiah.
Zulkifli Al-Bakri. 2013. Fiqh Al-Manhaji; Wasiat Dan Jenayah Dalam Fiqh Al-Syafie.
Selangor: Darul Syakir Ent.
Temubual:
Mohamad Sabri bin Haron.2016. Keanggotaan Pelajar Dalam Koperasi Sekolah Menurut
Perspektif Islam. Bangi. Temubual.
Ahmad Dahlan bin Salleh. .2016. Keanggotaan Pelajar Dalam Koperasi Sekolah Menurut
Perspektif Islam. Bangi. Temubual. 29 Julai.
Mohammad Zaini Yahaya. .2016. Keanggotaan Pelajar Dalam Koperasi Sekolah Menurut
Perspektif Islam. Bangi. Temubual. 28 Julai.
Haslena Binti Abdul Aziz. 2016. Keanggotaan pelajar Pendidikan Khas Dalam Koperasi
Sekolah. Pontian. 13 Jun.
Zalita Binti A. Jamal. 2016. Keanggotaan pelajar Pendidikan Khas Dalam Koperasi Sekolah.
Kuantan.17 Jun.
Norfarhana. 2016. Keanggotaan pelajar Pendidikan Khas Dalam Koperasi Sekolah. Johor. 22
Jun.
Hayati Binti Md. Salleh. Undang-undang Koperasi. Batu Pahat. 27 Julai.
Rujukan Internet:
www.skm.gov.my
www.angkasa.coop/
www.mkm.edu.my (20 Oktober 2015)