Post on 05-Jul-2018
KESESUAIAN KEMAHIRAN PENYELESAIAN MASALAH DAN
KEMAHIRAN BERFIKIR DALAM KURIKULUM MATEMATIK IKM UNTUK
MEMENUHI SEKTOR PERINDUSTRIAN
SALAWATI BINTI HASAN BASARI
Disertasi ini dikemukakan
Sebagai memenuhi sebahagian daripada syarat
Penganugerahan Ijazah Sarjana Pendidikan (Matematik)
Fakulti Pendidikan
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
21 MAC 2011
ii
PENGAKUAN
“Saya akui karya ini adalah hasil kerja saya sendiri kecuali nukilan dan
ringkasan yang tiap-tiap satunya telah saya jelaskan sumbernya”
Tandatangan :
Nama Penulis : SALAWATI BINTI HASAN BASARI
Tarikh : 21 MAC 2011
iii
DEDIKASI
Buat ibubapa tercinta,
Untuk keluarga tersayang,
Serta rakan-rakan yang sentiasa memberi galakan dan dorongan.
iv
PENGHARGAAN
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., keluarga
serta para sahabatnya.
Penulis ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada penyelia,
Prof Dr Noor Azlan Bin Ahmad Zanzali atas bimbingan dan tunjuk ajar
serta ilmu pengetahuan yang sangat berguna. Amalan kerja yang sistematik,
dedikasi serta perbincangan yang membuka minda menjadi sumber inspirasi
kepada penulis untuk menghadapi keadaan yang bakal ditempuhi.
Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua rakan-rakan di Unit
Matematik IKM Johor Bahru yang telah banyak memberikan bantuan dan
dorongan dalam proses menyiapkan kajian ini. Terima kasih juga kepada semua
ahli keluarga atas doa, sokongan dan dorongan yang diberikan sepanjang
pengajian. Begitu juga tidak dilupakan kepada pihak Majlis Amanah Rakyat
(MARA) yang telah memberikan peluang kepada saya untuk melanjutkan pelajaran
serta membiayai pengajian Sarjana ini.
Terima kasih kepada bekas pelajar IKM serta majikan yang terlibat dalam
kajian ini. Juga buat mereka yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak
langsung dalam proses menjalankan kajian saya ini.
v
ABSTRAK
Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji kesesuaian kurikulum matematik
di Institut Kemahiran MARA (IKM) dalam memenuhi kehendak sektor
perindustrian di Malaysia. Secara spesifik kajian yang dijalankan adalah untuk
mengenal pasti sama ada pelajar lulusan IKM menguasai kemahiran penyelesaian
masalah dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif hasil daripada kurikulum
matematik di IKM. Sampel kajian merupakan enam orang pelajar lulusan IKM
yang bekerja dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Sampel kajian juga
termasuk dua orang majikan yang masing-masing mewakili sektor masing-masing.
Data dikumpul melalui set soalan latihan, temu bual dan analisis dokumen. Dapatan
kajian menunjukkan lulusan IKM dapat menguasai kemahiran penyelesaian
masalah dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif hasil daripada kurikulum
matematik di IKM. Lulusan juga didapati menggunakan kemahiran berfikir yang
dinyatakan di tempat kerja masing-masing. Secara keseluruhannya, didapati
kurikulum matematik di IKM mampu membekalkan pelajar dengan kemahiran
penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif seperti mana
yang dikehendaki majikan daripada sektor perindustrian. Adalah diharapkan kajian
ini akan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat dalam perlaksanaan
kurikulum matematik di IKM agar dapat memenuhi kehendak sektor perindustrian
di Malaysia.
vi
ABSTRACT
The aim of this study was to find out the suitability of mathematics
curriculum in Institut Kemahiran MARA (IKM) in fulfilling the needs of the
Malaysia industrial sector. Specifically, the study attempt to identify whether the
IKM graduates have acquired problem solving, creative and critical thinking skills
from the mathematics curriculum in IKM. The respondents of the study consisted
of six IKM graduates working in manufacturing and servicing sectors. The
respondents also included two employers in the specified sectors respectively. The
data were collected through a set of tasks, interviews and document analyses. The
results of the study showed that students are able to acquire problem solving skills,
creative and critical thinking skills based on their abilities to solve the problems
given to them. The sample also showed that they are able to use the specific
thinking skills at their workplace. Based on the findings, it is found that the
graduates from IKM have acquired the necessary skills in problem solving and
critical thinking needed in their workplace. It is hope that those who involved in
implementing the mathematics curriculum in IKM will benefit from this study in
fulfilling the needs of Malaysia industrial sector.
vii
KANDUNGAN
BAB TAJUK MUKA SURAT
JUDUL i
PENGAKUAN ii
DEDIKASI iii
PENGHARGAAN iv
ABSTRAK v
ABSTRACT vi
KANDUNGAN vii
SENARAI JADUAL xii
SENARAI RAJAH xiii
SENARAI SINGKATAN TATANAMA xiv
SENARAI LAMPIRAN xv
1 PENGENALAN 1
1.1 Pendahuluan 1
1.2 Latar Belakang Masalah 4
1.3 Pernyataan Masalah 8
viii
1.4 Objektif Kajian 9
1.5 Persoalan Kajian 10
1.6 Kerangka Teori 10
1.7 Kepentingan Kajian 14
1.7.1 Kepada Pelajar 15
1.7.2 Kepada Pengajar 15
1.7.3 Kepada Penggubal Kurikulum Matematik di IKM 16
1.7.4 Kepada Penyelidik 17
1.8 Skop Kajian 18
1.9 Batasan Kajian 19
1.10 Takrifan Operasi 21
1.10.1 Kurikulum Matematik 21
1.10.2 IKM 21
1.10.3 Pelajar IKM 22
1.10.4 Industri di Malaysia 23
1.11 Rumusan 24
2 SOROTAN KAJIAN 25
2.1 Pendahuluan 25
2.2 Definisi Kurikulum Matematik Dalam Konteks IKM 26
2.3 Pembentukan Kurikulum Matematik di IKM 28
2.4 Konsep Penyelesaian Masalah 34
2.5 Konsep Kemahiran Berfikir 38
2.5.1 Takrifan Kemahiran Berfikir Kritis 41
2.5.2 Takrifan Kemahiran Berfikir Kreatif 45
2.6 Proses Berfikir Dalam Strategi Penyelesaian Masalah 49
2.6.1 Peringkat Memahami Dan Mentafsir Sesuatu
Masalah 51
ix
2.6.2 Peringkat Merancang Strategi Penyelesaian 53
2.6.3 Peringkat Melaksanakan Strategi penyelesaian 56
2.6.4 Peringkat Menyemak Semula Penyelesaian 57
2.7 Kajian Tentang Kemahiran Penyelesaian Masalah
Untuk Memenuhi Kehendak Industri 59
2.8 Kajian Tentang Kemahiran Berfikir Untuk Memenuhi
Kehendak Industri 62
2.9 Rumusan 64
3 METODOLOGI KAJIAN 66
3.1 Pendahuluan 66
3.2 Reka Bentuk Kajian 67
3.3 Subjek Kajian 69
3.4 Instrumen Kajian 71
3.4.1 Set Soalan Latihan 71
3.4.2 Temu Bual 76
3.4.3 Analisis Dokumen 79
3.5 Prosedur Kajian 81
3.6 Kajian Rintis 85
3.6.1 Kebolehpercayaan Dan Kesahan Alat Kajian 87
3.7 Analisis Data 88
3.8 Rumusan 90
4 ANALISIS DATA DAN KEPUTUSAN 92
4.1 Pendahuluan 92
x
4.2 Penganalisaan Latar Belakang Responden 93
4.3 Dapatan Kajian Daripada Responden 97
4.3.1 Dapatan Kajian Responden A 98
4.3.2 Dapatan Kajian Responden B 106
4.3.3 Dapatan Kajian Responden C 116
4.3.4 Dapatan Kajian Responden D 124
4.3.5 Dapatan Kajian Responden E 133
4.3.6 Dapatan Kajian Responden F 142
4.4 Rumusan Penguasaan Kemahiran Penyelesaian
Masalah dan KBKK Pelajar 150
4.5 Dapatan Kajian Daripada Majikan 157
4.5.1 Dapatan Kajian Majikan A 157
4.5.2 Dapatkan Kajian Majikan B 161
4.6 Rumusan 166
5 PERBINCANGAN, IMPLIKASI DAN CADANGAN 168
5.1 Pendahuluan 168
5.2 Perbincangan 169
5.3 Implikasi Penguasaan Kemahiran Penyelesaian
Masalah dan KBKK Pelajar Dalam Pekerjaan 173
5.4 Cadangan Penambahbaikan 176
5.5 Cadangan Kajian Lanjutan 178
5.6 Penutup 180
RUJUKAN 181
LAMPIRAN 186
xi
SENARAI JADUAL
NO JADUAL TAJUK MUKA SURAT 2.1 Susunan Silibus Matematik Program Sijil
Kejuruteraan 30
2.2 Susunan Silibus Matematik Program Sijil
Teknologi 31
3.1 Pecahan Sampel Pelajar Mengikut Kursus 70
3.2 Soalan Latihan Dan Rasional Pemilihannya 72
3.3 Senarai Kemahiran Berfikir 75
4.1 Ringkasan Latar Belakang Responden 93
4.2 Langkah Penyelesaian Responden A 105
4.3 Langkah Penyelesaian Responden B 115
4.4 Langkah Penyelesaian Responden C 123
4.5 Langkah Penyelesaian Responden D 132
4.6 Langkah Penyelesaian Responden E 141
4.7 Langkah Penyelesaian Responden F 148
4.8 Langkah Penyelesaian dan KBKK Yang Digunakan
Pelajar 151
4.9 Langkah Penyelesaian Masalah Mengikut Responden
di Tempat Kerja 153
4.10 Penggunaan KBKK Mengikut Responden di Tempat
Kerja 155
xii
SENARAI RAJAH
NO RAJAH TAJUK MUKA SURAT
1.1 Kerangka Teori Kesesuaian Kurikulum Matematik
IKM Untuk Memenuhi Kehendak Industri 13
2.1 Perkembangan Kurikulum 33
2.2 Proses Berfikir 39
2.3 Model Kemahiran Berfikir 40
2.4 Kemahiran Menyelesaikan Masalah Dalam Matematik 50
3.1 Prosedur Kajian 84
xiii
SENARAI SINGKATAN TATANAMA
MARA - Majlis Amanah Rakyat
IKM - Institut Kemahiran MARA
PPK - Pusat Perkembangan Kurikulum
NCTM - National Council of Teachers of Mathematics
MIDA - Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia
IT - Information Technology
BPO - Business Process Outsourcing
R&D - Research and Development
M-TEC - MARA Technical Committee
KBSR - Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
KBSM - Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
PPK - Pusat Perkembangan Kurikulum
KBKK - Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif
MAH - Malaysian Association of Hotels
POLISAS - Politeknik Sultan Ahmad Shah
IPTA - Institusi Pengajian Tinggi Awam
KI - Kemahiran Insaniah
ICT - Information Communication Technology
KB - Kemahiran Berfikir
xiv
SENARAI LAMPIRAN
LAMPIRAN TAJUK MUKA SURAT A Soalan Temu Bual Dengan Pelajar 186
B Soalan Temu Bual Dengan Majikan 195
C Contoh Jawapan Responden E 196
D Surat Pengesahan Status Pelajar 200
E Surat Pengesahan Set Soalan Latihan 201
BAB 1
PENGENALAN
1.1 Pendahuluan
Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun perlu bersaing dalam era
global untuk mencapai tahap negara maju menjelang Wawasan 2020. K-pekerja
atau pekerja berpengetahuan menjadi keutamaan di kalangan majikan untuk
menggerakkan perniagaan seiring dengan pertumbuhan ekonomi (Mohd. Yusof
dan Ramlee, 2009). Pekerja yang diperlukan untuk memenuhi kehendak majikan
dan sektor perindustrian bukan sahaja berkelayakan akademik dan teknikal tetapi
merangkumi penguasaan kemahiran-kemahiran lain seperti kemahiran
menyelesaikan masalah, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, penggunaan
teknologi dan kemahiran komunikasi. Ini turut disokong oleh kajian yang dilakukan
oleh AC Nielsen (AC Nielsen Report on Employer Satisfaction with Graduate
Skills, 2000) mendapati majikan lebih mengutamakan kemahiran kreativiti,
kebolehan semula jadi, komunikasi, penyelesaian masalah dan kerjasama
berkumpulan dalam mencari calon pekerja (Mohd. Yusof dan Ramlee, 2009).
2
Mohamad Sattar, Md Yusof, Napsiah, Rashid, Roseamnah (2009)
menyatakan bahawa dalam kajian Ramlee (2002) mendapati bahawa majikan dari
industri pembuatan di Malaysia memberi pandangan bahawa lulusan-lulusan
teknikal di Malaysia mempunyai kemahiran teknikal lebih daripada mencukupi,
namun majikan merasa kurang berpuas hati dari segi kemahiran motivasi,
komunikasi, interpersonal, pemikiran kritikal, penyelesaian masalah dan kemahiran
keusahawanan yang merupakan sebahagian daripada kemahiran ‘employability’
yang tidak dikuasai dalam kalangan lulusan teknikal ini. Ini menunjukkan bahawa
majikan daripada industri pembuatan di Malaysia bukan sahaja memerlukan
pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal tetapi juga mempunyai kemahiran
lain seperti kemahiran penyelesaian masalah dan pemikiran kritikal bekerja dengan
mereka.
Memandangkan aspirasi majikan yang begitu tinggi terhadap bakal pekerja
yang dikeluarkan oleh institusi latihan, adalah menjadi tanggungjawab institusi
latihan awam seperti Kolej Komuniti, Politeknik dan Institut Kemahiran MARA
(IKM) melahirkan graduan yang bakal memasuki sektor pekerjaan memenuhi
kehendak majikan. Graduan yang dihasilkan seharusnya dilengkapkan dengan
pelbagai kemahiran seperti kemahiran teknologi, kemahiran berfikir kreatif dan
kritis, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran matematik asas dan pelbagai
kemahiran lain yang mampu bersaing dengan pasaran global.
IKM merupakan salah sebuah institusi latihan di bawah agensi kerajaan
iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang telah dipertanggungjawabkan untuk
melatih para belia dalam bidang kemahiran tertentu. Portal rasmi Bahagian
Pendidikan dan Latihan (Kemahiran) MARA menyatakan bahawa objektif latihan
kemahiran MARA adalah untuk menambahkan bilangan guna tenaga mahir
Bumiputera dalam pelbagai bidang dan tahap kemahiran untuk sektor perdagangan
3
dan perindustrian di samping mewujudkan sumber bakal usahawan. Hala tuju
Program Latihan Kemahiran MARA adalah bagi memenuhi dan melaksanakan
perancangan pembangunan perindustrian negara dengan menekankan aspek
pengeluaran pekerja separa professional, juruteknik, pengurusan dan penyeliaan.
Sehubungan itu, kurikulum latihan di IKM telah digubal agar dapat memenuhi
kehendak pasaran kerja yang menginginkan pekerja yang bukan sahaja
berkemahiran dari segi teknikal tetapi juga kemahiran generik yang lain.
Kurikulum latihan ini adalah terdiri daripada subjek kemahiran, subjek
kejuruteraan, subjek pengurusan dan lain-lain subjek yang berkaitan dengan
kursus yang diikuti.
Matematik merupakan salah satu subjek umum yang wajib diambil oleh
pelajar yang mengikuti latihan di IKM. Ini disebabkan dalam dunia sains dan
teknologi ini, penguasaan dan penggunaan ilmu matematik amat penting dalam
kehidupan manusia secara langsung ataupun tidak. Menyedari kepentingan
matematik sebagai subjek yang bukan hanya membekalkan asas aritmetik tetapi
juga kemahiran lain seperti kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran
berfikir secara kreatif dan kritis, maka sewajarnya IKM menyediakan kurikulum
matematik yang dapat membekalkan pelajar dengan kemahiran-kemahiran tersebut.
Melalui kurikulum matematik yang digubal, diharapkan pelajar dapat mempelajari
pelbagai kemahiran yang diharapkan oleh majikan sebelum memasuki sektor
pekerjaan.
Berdasarkan kepada perbincangan tentang peningkatan permintaan tenaga
kerja yang bukan sahaja berkelayakan akademik malah menguasai pelbagai
kemahiran pekerjaan, penggunaan teknologi dan komunikasi, maka penyelidik
merasakan satu kajian perlu dijalankan untuk melihat sejauh mana kurikulum
matematik yang digubal di IKM mampu memenuhi kehendak majikan yang
4
mementingkan k-pekerja terutamanya dalam sektor perindustrian. Dapatan kajian
ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada penggubal kurikulum IKM dan
pihak majikan dalam melahirkan pekerja yang dilengkapi dengan pelbagai
kemahiran yang diperlukan.
1.2 Latar Belakang Masalah
Matematik merupakan jentera atau penggerak kepada pembangunan dan
perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Dengan itu, penguasaan ilmu
matematik perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menyediakan tenaga
kerja yang sesuai dengan perkembangan dan keperluan membentuk sebuah negara
maju {Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), 2001a}. Selaras dengan kepentingan
ilmu matematik dalam menjana pembangunan dan perkembangan sains dan
teknologi negara, maka penekanan subjek matematik dalam proses pendidikan
menjadi satu perkara utama dalam melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti.
Situasi dalam institusi latihan awam turut memperlihatkan perkara yang sama di
mana matematik menjadi teras dalam kursus-kursus yang dijalankan. Namun
persoalannya, sejauh manakah pengetahuan matematik ini akan digunakan nanti
dan adakah ia berkaitan secara langsung terhadap peluang kerjaya yang ditawarkan
dengan pengetahuan matematik yang dipelajari. Antara kemahiran-kemahiran yang
boleh diperoleh daripada subjek matematik ialah kemahiran asas matematik,
kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir kritis dan kreatif.
Salah satu faktor mengapa penguasaan ilmu matematik dianggap penting
ialah kerana hampir semua bidang pekerjaan memerlukan pengetahuan matematik
5
daripada mengira mudah sehingga kepada menjalankan analisis kompleks dalam
menyelesaikan masalah peringkat tinggi seperti dalam bidang penyelidikan dan
pembangunan yang diamalkan oleh kebanyakan syarikat besar. Penguasaan ilmu
matematik ini bermula daripada penguasaan kemahiran-kemahiran asas matematik
meliputi kemahiran membuat anggaran dan penghampiran berkaitan dengan
nombor dan ukuran, mengenali bentuk-bentuk dalam alam sekeliling serta sifat-
sifatnya, mengukur dan membina dengan menggunakan alat-alat asas matematik,
mengumpul, merekod, mewakili dan mentafsirkan data serta mengenali dan
mewakili perkaitan secara matematik (PPK, 2001b).
Berdasarkan kajian tinjauan yang dibuat oleh National Association of
Manufacturers ke atas 4500 pekerja industri didapati satu perempat daripada para
pemohon pekerjaan ditolak permohonannya kerana kekurangan kemahiran
matematik (Yahya dan Muhammad Rashid, 2001). Keadaan ini berlaku disebabkan
kurangnya kemahiran asas matematik yang diperlukan dalam memenuhi kehendak
majikan. Disebabkan permasalahan tersebut maka matematik yang diajar di
institusi latihan awam seharusnya membantu pelajar menguasai kemahiran asas
matematik agar pelajar lebih bersedia sebelum memasuki sektor perindustrian.
Penggunaan matematik dalam bidang-bidang tertentu sememangnya
diperlukan dalam pelbagai aspek terutamanya dalam proses penyelesaian masalah.
Penyelesaian masalah adalah satu proses yang kompleks melibatkan pelbagai
operasi kognitif seperti mengumpul dan menapis maklumat, strategi heuristik dan
metakognitif (Tan dan Mohini, 2003). Ini menunjukkan bahawa penyelesaian
masalah merupakan satu proses yang kompleks dan sukar dipelajari
memandangkan ianya melibatkan proses pemikiran. Pelajar akan mengumpul dan
menapis maklumat yang diperolehi, merancang strategi atau kaedah umum untuk
6
menyelesaikan masalah yang ditemui dan akhirnya membuat keputusan untuk
melaksanakan penyelesaian yang sewajarnya.
Dalam konteks menyelesaikan masalah matematik, pelajar akan
menggunakan konsep dan prinsip-prinsip matematik yang telah dipelajari untuk
menyelesaikan masalah yang belum pernah dialami. Memandangkan proses
penyelesaian masalah dalam matematik ini melibatkan bagaimana individu
menggunakan pengetahuan sedia ada, kemahiran dan segala pemahaman untuk
mengenal pasti suatu keadaan yang berbeza dan luar biasa dari keadaan yang
lazimnya berlaku maka sewajarnya matematik yang diajar di institusi latihan awam
menekankan perkara yang sama. Ini disebabkan melalui proses pengajaran dan
pembelajaran matematik yang diajar akan membolehkan pelajar menguasai
kemahiran penyelesaian masalah yang dapat membantu mereka menyelesaikan
masalah yang bakal timbul dalam bidang perindustrian yang akan diceburi kelak.
Selain daripada keupayaan matematik untuk membekalkan pelajar dengan
kemahiran penyelesaian masalah, matematik juga dilihat sebagai satu subjek yang
berupaya merangsang pemikiran pelajar untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Ini
disebabkan ilmu matematik dikatakan sebagai ilmu senaman (‘ilm al-riyadhi) iaitu
ilmu yang berkaitan dengan senaman yang menjanakan dan mencergaskan mental
atau akal. Aspek senaman ini muncul berikutan anggapan bahawa ilmu matematik
bersifat abstrak (Wan Zah, Sharifah Kartini, Habsah, Ramlah, Mat Rofa, Mohd.
Majid & Rohani, 2005). Abstrak dalam konteks ini disebabkan ilmu matematik
menyatakan tentang bukti, perihal ciri-ciri yang am dan abstrak tentang struktur
alam, fenomena dan ilmu yang boleh dibina melalui teori set (Wan Zah et. al,
2005). Memandangkan sifat ilmu matematik yang mampu menjana dan
mencerdaskan akal, maka secara tidak langsung ia dapat dilihat mampu menjana
pemikiran kritis dan kreatif pelajar.
7
Melalui pengajaran dan pembelajaran matematik yang diterima di institusi
latihan awam, pelajar sewajarnya secara langsung akan dapat berfikir secara kritis
dengan cara memperluaskan dan memperkembangkan daya imaginasi, inovasi dan
kreativiti mereka untuk mendapatkan dan mengumpulkan banyak idea baru dengan
menggunakan pelbagai teknik yang kreatif. Pemikiran kreatif pelajar juga dapat
dipupuk ketika menyelesaikan masalah matematik yang melibatkan proses
penganalisaan dan menilai idea atau maklumat yang diterima untuk kefahaman
yang lebih jelas, kukuh dan bermakna. Kesemua perkara-perkara ini wajar ada
dalam diri pelajar sebelum memasuki alam pekerjaan agar pelajar dapat
mengaplikasikannya dalam pekerjaan yang bakal diceburi kelak.
Perbincangan di atas memperlihatkan betapa matematik memainkan
peranan penting untuk memberikan pelbagai kemahiran kepada pelajar sebelum
mereka memasuki alam pekerjaan terutamanya sektor perindustrian. Kemahiran
asas matematik, kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir secara
kreatif dan kritis merupakan di antara beberapa kemahiran yang boleh diperoleh
dengan mempelajari matematik. Persoalannya ialah adakah kemahiran-kemahiran
tersebut dapat dipelajari di institusi latihan awam berdasarkan kurikulum
matematik yang telah digubal. Berdasarkan kepada perbincangan tentang
kepentingan kemahiran-kemahiran tersebut yang perlu dikuasai oleh pelajar
sebelum memasuki alam pekerjaan, maka sewajarnya kurikulum matematik yang
digubal di institusi latihan awam memberi penekanan agar pelajar dapat menguasai
kemahiran-kemahiran tersebut dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain
daripada itu, untuk memenuhi kehendak pasaran industri yang sentiasa berkembang
dari semasa ke semasa maka kurikulum matematik yang digubal di institusi latihan
awam juga perlulah sentiasa disemak agar seiring dengan kehendak industri.
Perubahan yang dilakukan juga dapat membekalkan pelajar dengan kemahiran
yang diperlukan sebelum memasuki pasaran kerja.
8
1.3 Pernyataan Masalah
Hasil daripada perbincangan di atas dapat dilihat betapa matematik
memainkan peranan penting untuk memberikan kemahiran penyelesaian masalah
dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif kepada pelajar. Penguasaan pelajar
terhadap kedua-dua kemahiran tersebut akan menjadikan mereka lebih berdaya
saing ketika melangkah ke alam pekerjaan. Ini disebabkan kemahiran penyelesaian
masalah dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif yang dikuasai di IKM akan
dapat membantu mereka menyelesaikan masalah yang akan ditemui dalam sektor
perindustrian yang bakal diceburi kelak.
Memandangkan matematik merupakan salah satu subjek yang perlu
diambil ketika pelajar berada di IKM, maka penggubalan kurikulum matematik
tersebut dirancang antaranya untuk membekalkan pelajar dengan kemahiran
penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Ini sejajar
dengan matlamat penggubalan kurikulum latihan di IKM yang bertujuan untuk
memenuhi kehendak pasaran kerja yang menginginkan pekerja yang bukan sahaja
berkemahiran dari segi teknikal tetapi juga kemahiran generik lain seperti
kemahiran penyelesaian masalah, pemikiran kritikal, kemahiran komunikasi dan
sebagainya. Melalui kurikulum matematik yang telah digubal, adalah diharapkan
agar pelajar mampu menguasai kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran
berfikir kritis dan kreatif hasil daripada kurikulum tersebut. Persoalannya ialah
adakah pelajar menguasai kedua-dua kemahiran tersebut hasil daripada kurikulum
matematik yang digubal di IKM dalam memenuhi kehendak sektor perindustrian di
Malaysia ataupun pelajar belajar hanya sekadar untuk memenuhi tuntutan
pengajian.
9
Sehubungan dengan itu, melalui kajian yang akan dijalankan penyelidik
ingin mengkaji sama ada pelajar di salah satu institusi latihan awam iaitu IKM
mampu menguasai kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir secara
kreatif dan kritis hasil daripada kurikulum matematik yang digubal di IKM dalam
memenuhi kehendak sektor perindustrian di Malaysia.
1.4 Objektif Kajian
Secara amnya, kajian ini dijalankan untuk melihat kesesuaian kurikulum
matematik di IKM dalam menyediakan pelajar dengan kemahiran penyelesaian
masalah dan kemahiran berfikir kritis dan kreatif bagi memenuhi kehendak sektor
perindustrian di Malaysia. Berdasarkan kepada latar belakang masalah dan
pernyataan masalah yang dinyatakan maka objektif kajian ini adalah untuk:
i. Mengenal pasti sama ada pelajar menguasai kemahiran penyelesaian masalah
hasil daripada kurikulum matematik yang digubal dalam memenuhi
kehendak sektor perindustrian di Malaysia.
ii. Mengenal pasti sama ada pelajar menguasai kemahiran berfikir secara kritis
dan kreatif hasil daripada kurikulum matematik yang digubal dalam
memenuhi kehendak sektor perindustrian di Malaysia.
Secara keseluruhannya dapat dilihat bahawa objektif kajian ini adalah untuk
mengenal pasti sama ada pelajar menguasai kemahiran penyelesaian masalah dan
kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif hasil daripada kurikulum matematik
yang digubal di IKM dalam memenuhi kehendak sektor perindustrian di Malaysia.
10
1.5 Persoalan Kajian
Berdasarkan kepada objektif kajian yang telah dinyatakan di atas, maka
beberapa persoalan kajian telah dibina bagi mencapai objektif yang dimaksudkan.
Antara persoalan kajian yang dibina ialah:
i. Adakah pelajar menguasai kemahiran penyelesaian masalah hasil
daripada kurikulum matematik yang digubal dalam memenuhi
kehendak sektor perindustrian di Malaysia.
ii. Adakah pelajar menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
hasil daripada kurikulum matematik yang digubal dalam memenuhi
kehendak sektor perindustrian di Malaysia.
Secara ringkasnya persoalan kajian yang dibina adalah untuk mencapai
objektif kajian ini iaitu untuk mengenal pasti sama ada pelajar mendapat kemahiran
penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif hasil daripada
kurikulum matematik yang digubal di IKM dalam memenuhi kehendak sektor
perindustrian di Malaysia. Berdasarkan kepada persoalan kajian yang telah dibina,
diharapkan objektif kajian yang dinyatakan akan dapat dicapai.
1.6 Kerangka Teori
Kerangka teori yang dibina dalam kajian ini adalah untuk mengkaji
kesesuaian kurikulum matematik di IKM dalam konteks kemahiran penyelesaian
masalah dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Melalui reka bentuk,