Post on 02-Sep-2021
1
KESUSASTERAAN KEBANGSAAN: PENULIS BUKAN MELAYU
SEMAKIN MENJAUH
Saravanan P. Veeramuthu Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan
Universiti Sains Malaysia (saravanan@usm.my)
Pendahuluan
Perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama dalam era
pascakemerdekaan telah merintis jalan untuk kemunculan golongan bukan penutur
jati menggiatkan diri dalam usaha pengkaryaan dalam dunia kesusasteraan Melayu.
Hal ini berlaku kerana masyarakat bukan Melayu mula memahami hakikat bahawa
Tanah Melayu bukan merupakan destinasi sementara mereka akibat daripada
pelbagai pengalaman hidup terutamanya pengalaman semasa Zaman Pendudukan
Jepun (Saravanan, 2010). Lantaran itu, tanggapan mereka mula berubah
berhubung bahasa Melayu. Dalam masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan
dan kemerdekaan memberikan bahasa Melayu pengiktirafan sebagai bahasa
kebangsaan. Keadaan ini ditambah pula oleh polisi sistem pendidikan kebangsaan
pascakemerdekaan yang bertunjangkan penekanan terhadap bahasa kebangsaan
sebagai alat perpaduan. Hal ini pernah dinyatakan dengan menarik oleh Mohd. Arifin
Mohd. Arif (2015) yang berpendapat bahawa:
Masyarakat pelbagai etnik dan sastera, memang merupakan dua entiti yang
berbeza, tetapi saling berhubungan antara satu sama lain, terutama dalam
konteks hala tuju pembinaan transformasi sastera kebangsaan. Sasterawan
bukan sahaja membicarakan hal yang berlaku dalam masyarakat majmuk
Malaysia, tetapi pandangan, sikap, idea dan pemikiran mereka biasanya
membantu pemimpin merangka dasar, mencorakkan cara kepimpinan dan
terdapat juga kata-kata golongan penulis atau sasterawan itu terpilih
menjadi slogan penting dalam konteks kehidupan bermasyarakat dan
bernegara.
2
Dalam konteks ini, Dasar Bahasa Kebangsaan yang dimaktubkan dalam DEB
(1970-1990) telah menjadi cita-cita kerajaan untuk membentuk bahasa Melayu
sebagai bahasa penyatuan kaum di Malaysia melalui sistem pendidikan
kebangsaan. Hal ini memberi kita petanda bahawa bahasa Melayu mula
memantapkan dirinya dalam persekitaran kemajmukan masyarakat Malaysia dengan
caranya yang tersendiri. Malahan penguasaan bahasa penulis bukan Melayu sudah
tidak menjadi rintangan lagi bagi penghasilan karya kesusasteraan kerana penulis
berkenaan sudah melepasinya dengan kemampuan berbahasa yang jauh lebih baik.
Keadaan ini menjanjikan satu keadaan baru dalam dunia persuratan Melayu.
Harapan ini jelas melalui pendirian Ismail Hussein dalam satu artikelnya yang tersiar
dalam majalah Dewan Sastera (1982b: p. 21) yang menekankan bahawa “bahasa
Melayu akan memainkan peranan pertama dan utama dalam penghidupan dan
pengucapan kebudayaan bagi rakyat kita yang pelbagai kaum dan bahasa itu”.
Hakikat ini memperlihatkan pertalian antara bahasa dan perpaduan amat penting
terutamanya dalam masyarakat majmuk. Hal ini demikian kerana hubungan antara
bahasa dan perpaduan melahirkan sikap bekerjasama yang menjadi petanda yang
sangat penting untuk kelangsungan kepada sesebuah negara yang terdiri daripada
masyarakat majmuk. Lebih-lebih lagi, sikap ini sebenarnya mengukuhkan semangat
muhibah antara kaum dan seterusnya memantapkan perpaduan.
Kesan Kehadiran Penulis Bukan Melayu
Kehadiran karya penulis bukan Melayu merupakan perkara yang paling ditunggu-
tunggu dalam pembangunan sastera kebangsaan (Fadhli al-Akiti, 2014). Penglibatan
golongan ini dalam kesusasteraan kebangsaan amatlah penting dan bermakna
dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia. Satu lagi kelebihan kehadiran penulis
3
pelbagai kaum ini turut merangsang berlakunya pemindahan pengetahuan yang
berlaku secara langsung dan akan melahirkan kesusasteraan yang mempunyai nilai
seni yang tinggi. Secara tidak langsung golongan penulis ini dapat mentafsirkan dan
menyalurkan alam fikiran bukan Melayu yang mereka ketahui dengan erat ke dalam
kesusasteraan kebangsaan.Ismail Hussein (1982, p.21) berpendapat secara tidak
langsung keadaan ini akan mempercepat proses pengertian dan penyebatian
bangsa baharu di negara kita. Seiring dengan ini, kesusasteraan di Malaysia
hendaklah bermatlamat untuk mewujudkan satu identiti kebangsaan yang dilihatnya
sebagai usaha untuk membentuk negara bangsa Malaysia yang berdaulat,
berwibawa, bermaruah, berkeperibadian dan maju.
Lantaran itu, kita juga perlu mengakui bahawa penglibatan penulis pelbagai
kaum di persada kesusasteraan Melayu tanah air merupakan satu perkembangan
yang sihat. Menurut Rozninah Abd. Azib (2004, p. 91), perkembangan ini merupakan
sesuatu yang menarik dan wajar disambut baik oleh masyarakat Melayu khususnya
tanpa sebarang prejudis. Tambahan pula, penyertaan penulis bukan Melayu,
multietnik atau pelbagai kaum dalam kesusasteraan berbahasa Melayu atau
Malaysia kini sudah merata.
Selain itu, kehadiran penulis pelbagai kaum ini memperlihatkan satu lagi
kelebihan. Hakikat kehadiran mereka mula melunturkan keadaan pemonopolian
penulis Melayu dalam dunia kesusasteraan Melayu moden. Lebih-lebih lagi penulis
Melayu itu sendiri telah berusaha untuk menyelitkan unsur kebudayaan kaum lain
atau sekurang-kurangnya watak kaum lain dalam karya mereka walaupun
pencitraan ideologi itu tidak menepati cita rasa sesuatu kaum yang disentuh itu.
Menurut Mohamad Saleeh Rahamad, (2003, p. 18) berlaku pemesongan ideologi
yang disebabkan oleh keadaan diri penulis itu sebagai orang yang berada di luar.
4
Natijahnya, penampilan kebudayaan atau watak kaum lain itu adalah dalam bentuk
‘yang lain’ (the other) dan lebih berkecenderungan untuk memuaskan kehendak
peribadi penulisnya, bukan kehendak kaum yang disentuh. Hal ini tidak membantu
pembaca untuk menyedari realiti kemajmukan masyarakat Malaysia secara jelas.
Pengkarya generasi muda golongan penulis bukan Melayu yang
mengutarakan karya-karya mereka dalam pelbagai genre juga mampu duduk sama
rendah dan berdiri sama tinggi dengan penulis generasi muda yang berketurunan
Melayu itu sendiri. Boleh disimpulkan bahawa kemunculan golongan ini memberi
sumbangan dalam memperkasakan kesusasteraan Malaysia, khususnya pada
sedekad terakhir ini. Hasilnya lahir satu identiti baharu dalam konteks kesusasteraan
Malaysia. Kedudukan identiti ini penting kerana pemahaman terhadapnya akan
membantu kita mengukuhkan nilai perpaduan kaum dalam masyarakat majmuk
Malaysia ini. Oleh hal yang demikian, kehadiran tentang golongan penulis-penulis
pelbagai kaum ini wajar diberi perhatian terutamanya dalam pembicaraan
kesusasteraan Malaysia. Hal ini penting kerana pemerhatian seumpama ini dapat
membuahkan pemahaman yang lebih luas tentang sesuatu bangsa, bak kata
pepatah tak kenal maka tak cinta.
Memang tidak dapat disangkal bahawa kehadiran golongan penulis ini
merupakan satu wahana baharu yang merintis jalan ke arah evolusi kesusasteraan
Melayu menjadi kesusasteraan Malaysia dalam peta kesusasteraan Melayu. Hal ini
dikatakan demikian, kerana kehadiran mereka semakin bermakna dan memberi
corak dan jalur dalam jagat penulisan cerpen dengan mengungkap pelbagai isu
kehidupan, konflik, integrasi, sosioekonomi dan politik (Othman Puteh, 2003).
Walaupun sumbangan penulis ini masih kecilan dalam jagat kesusasteraan Malaysia
namun kewujudan mereka menjanjikan satu persekitaran baharu yang sihat kepada
5
negara kita. Ghalibnya, kehadiran mereka menjadikan kesusasteraan tanah air
kembali diberikan nafas semula dan usaha ini wajar kerana mempunyai matlamat
yang lebih besar dan bersifat nasional. Karya mereka harus menjadi suara besar
yang mampu membawa sesuatu pada diri, pada bangsa, pada negara dan pada
agama. Hal ini demikian kerana mereka ialah golongan generasi baharuyang
berusaha dengan serius dan yakinmelakukan deviasi serta eksperimen bagi
menemukan pencarian dan jati diri.
Selain itu, kehadiran mereka ini telah menimbulkan satu persekitaran baharu
dalam iklim dunia Kesusasteraan Melayu. Ismail Hussein (1982, p. 21) cuba
meramalkan kesan keadaan ini berkemampuan untuk “memecahkan dunia
kesusasteraan Melayu di Malaysia yang agak homogen sekarang, yang buat sekian
lama terkurung dalam tradisi alam pemikiran Melayu-Islam. Kesannya yang paling
penting nanti ialah kesusasteraan atau persuratan berbahasa Melayu itu tidak akan
menjadi heterogen sifatnya, mengucapkan juga alam pemikiran Cina-Buddha, Tamil-
Hindu dan tidak kurang pentingnya alam pemikiran Barat-Kristian dengan lebih
terbuka”. Perkembangan ini perlu dilihat dalam konteks mengintegrasikan
masyarakat kita yang berbilang kaum dan istimewanya dalam konteks membina
serta memperkembangkan kesusasteraan nasional kita yang dapat dihayati oleh
seluruh rakyat. Malahan, penyertaan golongan ini sebenarnya membawa pengertian
yang amat besar dalam bidang persuratan Melayu.
Ringkasnya, kemunculan penulis pelbagai kaum menandakan penghasilan
kesusasteraan Melayu tidak lagi merupakan monopoli kaum Melayu semata-mata.
Sebenarnya, kehadiran mereka bermakna dan memberikan sumbangan yang
penting dalam menyuburkan lagi kesusasteraan nasional kita. Lim Swee Tin
menegaskan bahawa jika dilihat dari sudut mutu tulisan, kemampuan golongan
6
penulis ini tidak jauh bezanya dengan penulis-penulis berketurunan Melayu itu
sendiri. Malahan, karya-karya mereka memiliki keistimewaan kerana turut
mencorakkan satu identiti yang berasaskan kepelbagian masyarakat Malaysia.
Lebih-lebih lagi, kesan kemasukan penulis pelbagai kaum telah menjadikan
dunia kesusasteraan Melayu menjadi lebih luas serta pelbagai. Sebagai akibatnya,
unsur ‘kemelayuan’ yang selama ini amat menonjol dalam kesusasteraan Melayu
akan beransur-ansur kabur. Malahan, kehadiran mereka sebenarnya melahirkan
satu harapan yang baharu dan murni serta menunjukkan sedikit sumbangan
golongan penulis pelbagai kaum dalam persada kesusasteraan Melayu. Keadaan ini
mampu menyumbang kepada proses evolusi kesusasteraan Melayu menjadi
kesusasteraan keabngsaan yang beridentiti Malaysia.
Selaras dengan ini, penampilan baharu kesusasteraan Melayu ini jelas
berkemampuan untuk menyumbang kepada kelahiran identiti baharu yang bersifat
kemalaysiaan. Sesungguhnya, penglibatan dan peranan penulis bukan Melayu ini
wajar diberi perhatian kerana usaha mereka ini turut memberi impak kepada
perkembangan kesusasteraan Malaysia di negara kita.
Konsep Kesusasteraan Kebangsaan
Isu tentang kesusasteraan Kebangsaan amat penting dalam konteks negara kita,
lebih-lebih lagi setelah lebih enam dekad kita mencapai kemerdekaan. Hal ini
demikian kerana kesusasteraan kebangsaan merupakan satu medium yang
berpengaruh dalam membentuk hubungan antara etnik yang harmoni dan muhibah
selain daripada mengikis sikap prasangka. Namun demikian, salah satu persoalan
yang sering berlegar-legar dalam gawang minda kita ialah apakah yang
dimaksudkan sebagai kesusasteraan kebangsaan?
7
Wujud pelbagai pendapat tentang definisi Kesusasteraan Kebangsaan.
Persidangan Penulis-penulis Malaya bahagian Melayu (1962, p. 26) mendefinisikan
kesusasteraan nasional dalam konteks Malaysia sebagai segala kesusasteraan
yang dihasilkan dalam bahasa Melayu. Sebaliknya, bahagian Cina dan Tamil dalam
persidangan yang sama berpendirian bahawa kesusasteraan Malaya
menggambarkan kehidupan Malaya dan ditulis dalam bahasa-bahasa yang
digunakan di Malaya (Laporan Persidangan Penulis-penulis Malaya, 1962: p. 29).
Jelas bahawa wujud perbezaan pendapat yang ketara antara dua kelompok ahli
pemikir tersebut. Pendapat perwakilan Persidangan bahagian Melayu turut
ditegaskan oleh Lloyd Fernando (1971, p. 165), Mohd. Taib Osman (1971, p. 20),
Syed Naguib al-Attas (Hamzah Handani, 1988, p. 234) dan Ismail Hussein (1971, p.
32).
Persidangan Bengkel Seni Kesusasteraan dalam Kongres Kebudayaan
Kebangsaan telah mentakrifkan kesusasteraan kebangsaan sebagai hasil karya
yang ditulis dalam bahasa Malaysia dan isi kandungannya haruslah
berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat di Malaysia serta bertujuan untuk
mewujudkan satu identiti kebangsaan (Eh Chot Cha Chan, 2015). Dalam
membicarakan pengisian kesusasteraan Kebangsaan, Chew Fong Peng (2006: 274)
pula berpendapat bahawa kesusasteraan kebangsaan sepatutnya melakarkan
cerita-cerita tentang orang, masyarakat dan kebudayaan kebangsaan yakni
memperlihatkan kehidupan lahir batin orang di Malaysia. Pendapat yang seiring
juga telah dikemukakan oleh M. Noor Azam (1981: 211). Menurutnya kesusasteraan
kebangsaan ialah hasil karya yang melukiskan latar belakang Malaysia.
Jika ditinjau daripada aspek fungsinya, salah satu peranan yang didukung
oleh kesusasteraan kebangsaan ialah sebagai wahana pembentukan perpaduan
8
nasional. Kesusasteraan kebangsaan yang berpaksi kepada perpaduan ialah satu
mekanisme untuk mewujudkan perpaduan antara kelompok masyarakat pelbagai
latar belakang berdasarkan prinsip-prinsip yang dikongsi bersama dari segi sosial
dan kebudayaan sehingga terbentuknya perasaan toleransi dan perkongsian hidup
bagi menyatukan masyarakat berbilang kaum.Seterusnya, menurut Chew Fong
Peng (2006: 285) melahirkan satu sentimen kebangsaan di negara ini. Jasni Mat
Lani (2017) pula berpendapat bahawa sastera kebangsaan merujuk:
Hasil karya sastera moden yang ditulis dalam bahasa Melayu yang tujuannya
untuk menyemai semangat kebangsaan, cinta akan bangsa dan negara.
Selanjutnya, sastera kebangsaan mempunyai wacana pemikiran yang menjurus
kepada pembangunan peradaban manusia dan menghala kepada peningkatan
kualiti hidup manusia, peningkatan mobiliti sosial dan mencetuskan semacam
gerakan semangat patriotik terpimpin, beketerampilan dan menggerakkan
ketamadunan bangsa itu sendiri dari segi prestij keilmuan dan pertumbuhan
masyarakatnya secara menyeluruh.
(2017, p. 10)
Definisi ini mengungkapkan beberapa ciri kesusasteraan kebangsaan.
Definisi ini melihat kesusasteraan sebagai wadah perpaduan dalam masyarakat
majmuk kita. Selain itu, prinsip perkongsian bersama merupakan prinsip kedua.
Prinsip ketiga pula menegaskan perasaan toleransi. Matlamat terakhir
kesusasteraan perpaduan adalah untuk melahirkan satu sentimen kebangsaan di
negara kita. Menurut Eh Chot Cha Chan (2015) pula hasil karya picisan tidak boleh
diterima sebagai kesusasteraan kebangsaan Malaysia.
Secara mudahnya kita boleh menyimpulkan bahawa kesusasteraan
kebangsaan ialah kesusasteraan yang menggunkan bahasa Melayu sebagai
medium pengungkapannya. Di samping itu, kesusasteraan kebangsaan
menggambarkan kehidupan masyarakat yang menjadi sebahagian daripada wilayah
geografi Malaysia dan menjadi latar karya dalam sesebuah hasil karya tersebut.
9
Selain itu, karya ini bertujuan untuk memperlihatkan kepelbagaian masayarakat
Malaysia dan berfungsi untuk mengukuhkan perpaduan.
Penulis Bukan Melayu
Sebelum kita melihat kedudukan penulis bukan Melayu di persada kesusasteraan
Malaysia, kita perlu memahami konsep penulis bukan Melayu itu. Ada juga pihak
yang menggunakan istilah penulis pelbagai kaum, umpamanya Azli Lee Abdullah
untuk merujuk kepada penulis bukan Melayu. Penulis bukan Melayu ini boleh
didefinisikan sebagai sesiapa sahaja warganegara Malaysia yang bukan keturunan
Melayu yang menulis karya kesusasteraan atau kreatif dalam bahasa Melayu (Azli
Lee Abdullah, 2005: 30). E Pian Pro Poul (1990: 1) pula berpendapat penulis-
penulis bukan berketurunan Melayu atau dengan kata lain boleh dikatakan bahawa
penulis yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu, meskipun ada antara
mereka yang lebih banyak berbahasa Melayu daripada bahasa ibundanya.
Danial Jebon Janaun (2006: 327) pula memberikan enam ciri yang digunakan
untuk mengkategorikan seseorang penulis itu sebagai seorang penulis bukan
Melayu. Antaranya ialah mereka itu bukan berbangsa Melayu, tidak mengamalkan
kebudayaan Melayu tetapi mengamalkan kebudayaan etnik masing-masing serta
bukan beragama Islam (ada antara mereka yang kemudiannya memeluk agama
Islam). Di samping itu, bahasa ibunda mereka bukan bahasa Melayu dan mereka ini
memiliki atau menguasai kemahiran berbahasa lebih daripada satu bahasa serta
menulis karya mereka dalam bahasa Melayu. Ringkasnya, wujud pelbagai pendapat
tentang penulis bukan Melayu. Namun, untuk kajian ini hanya penulis yang bukan
berketurunan Melayu yang menulis karya kesusasteraan dalam bahasa Melayu dan
berwarganegara Malaysia sahaja dilihat sebagai penulis bukan Melayu.
10
Jika ditinjau di Sarawak pula, barisan penulis bukan Melayu yang telah
memahatkan nama mereka dalam jagat penulisan kesusasteraan Melayu ialah Jong
Chian Lai, Paul Nanggang, Douglas Jaga, Harry Usup Umbar, Jaya Ramba, Tega
Bilang, Lukas Takip, Lawrence Atof David Belulok, Johnny ak Chuat, Jiso Rutary
William Chan, dan Jais Sahok. Barisan ini mula disokong oleh penulis muda yang
mula menonjol seperti Frankie Latit, Belaja Anyai, Zaini Bilong, Sudan Ajang, dan
Lemambang Lemai. Di Sabah pula, penulis seperti Danial Jebon Janaun, Kathirina
Susanna Tati, Ramlee Jalimin Jainin, Monsu Gilung, Juilis Mokujal, Jelison Jupin,
Ramzah Dambul, Raymond Majumah, Witer Gunik, Gabriel Kim Chuan, Lina
Mohamed Lin@Siti Noorsabah, Sunita Sahidin, Nelson Dino, Jasni Yakub, Adhwa
Maddah@NIABADRU dan Mohd Syaifudin Duakim bin Abdullah adalah antara nama
yang sering menghiasi dunia penulisan kreatif.
Terdapat juga beberapa nama penulis bukan Melayu daripada kaum Cina (A.
Rahim Abdullah, 2016, p. 105). Antaranya ialah Goh Then Chye, Teo Huat, Cheng
Poh Hock, Siow Siew Sing, Wu An, Awang Abdullah, Goh Teck, Lee Cheong Beng,
Lai Choy Amir Tan (Tan Soon Ann), Mohd Ghazali Abdullah (Onn Ah Guan), Awang
Abdullah (Pui Tiong Gee), Lim Swee Tin, Mohd. Azlee Lee (Lee Chong Beng) Tan
Loo Chai, LC Fang, Ong Bong Tech Lee Keok Chih, Iren Tan Ai Leng, Salena SF
Lee, Jimmy Roriguez (Mohd. Ridhuan Abdullah), Ting Len Siong, Kho Thong Eng,
Lee Keok Chih, Chai Loon Guan, PeterAugustine Goh dan Chu E Liang.
Begitu juga dengan penulis bukan Melayu daripada kaum India seperti
Joseph Selvam, Saroja Theavy Balakrishnan, Uthaya Sankar SB dan Raja
Rajeswari Seetha Raman, Ramakrishnan Ramasamy, Retna Devi Balan, Sreevalli,
Kamala Suppiah, Mahendran, Sreetharanee, Sanisha Bogaraja, Elavarassan
11
Suppiah, Thanusya Shanmuganathan dan sebagainya yang giat menulis di
Malaysia.
Kemunculan penulis berketuruan Siam pula mula melihatkan bibit permulaan
pada tahun 1950-an melalui penulis yang bernama K Bali atau Tenh Beng Chuan
(Nama Islam beliau ialah Abdul Rahim Abdullah). Barisan penulis bukan Melayu
berketurunan Siam yang turut menempa nama di persada sastera Malaysia adalah
seperti Eh Deng Eh Chik, Eh Chot Cha Chan, Siri Neng Buah, Suwanlerd Pro Poul,
E Pian Pro Poul, dan Eh Pon Praphan Krungnit. Di samping itu, ada juga penulis
daripada kalangan orang Asli seperti Akiya yang turut menyemarakan sastera
kebangsaan kita.
Keperluan untuk menobatkan Kesusasteraan Kebangsaan
Memandangkan keadaan ini, kesusasteraan Melayu sebagai tunjang kesusasteraan
kebangsaan menuntut penggiat kesusasteraan menghasilkan karya kesusasteraan
dengan rasa tanggungjawab serta konsisten untuk membantu individu, kelompok
dan masyarakat kita dan lain untuk lebih memahami kaum-kaum lain dengan
rencam kepercayaan, kebudayaan dan kehidupan mereka. Hal ini bukan sahaja
membolehkan komunikasi menjadi lebih mantap, tetapi juga mempercepat dan
meningkatkan integrasi nasional yang sekali gus merapatkan jurang antara satu
sama lain.
Dalam keadaan sekarang, pengarang Melayu yang mendominasi
kesusteraan yang ditulis dalam bahasa Melayu sering terjebak ke dalam kancah
pemikiran yang stereotaip. Gambaran yang jelas dalam karya-karya mereka ialah
kecenderungan dakwah Islamiah (Lim Kim Hui, 2006, p.344-354) yang biasanya
bersifat stereotaip. Tambahan pula, perpaduan nasional versi Islam merupakan
12
stereotaip yang lazim terlalu menonjol dalam karya-karya penulis Melayu. Keinginan
untuk berdakwah yang menonjol dalam kesusasteraan Melayu tersebut secara tidak
langsung membuat masyarakat bukan Melayu semakin jauh daripada kesusasteraan
kebangsaan.
Jika ditinjau dari perspektif yang berbeza, wujud kecenderungan dalam
kalangan penulis bukan Melayu untuk mengajukan permasalahan masyarakat yang
serasi dan dekat dengan diri mereka. Karya-karya seumpama ini dapat memberikan
kefahaman dan pentafsiran kebudayaan sesuatu kaum dan membantu kefahaman
kaum lain. Hasilnya, karya tersebut membantu khalayak pembaca untuk mendalami
sisi-sisi kemanusiaan yang dimiliki oleh kaum dan etnik tersebut. Hal ini seiring
dengan saranan Perdana Menteri kita Tun Dr. Mahathir Mohamed (Utusan Malaysia,
29 Mei 2003). Beliau pernah menggagaskan bahawa pembaca-pembaca dalam
bahasa Melayu harus didedahkan kepada denyut hati serta suka duka dan pahit
manis kehidupan masyarakat bukan Melayu. Menurutnya lagi, dalam konteks inilah
karya-karya berbahasa Melayu yang dihasilkan oleh penulis-penulis pelbagai kaum
dapat memainkan peranannya dengan berkesan.
Penulis bukan Melayu yang menulis dalam bahasa Melayu juga boleh
dijadikan agen atau tali penghubung antara kesusasteraan dengan perpaduan di
negara kita kerana mereka terus-menerus mempertahankan identiti dan kebudayaan
masyarakat dalam karya yang dihasilkan oleh mereka. Di samping itu, karya-karya
mereka juga menyumbang ke arah membentuk persefahaman dalam kalangan
masyarakat majmuk. Lantaran itu, penulis pelbagai kaum mampu menjadi alternatif
baharu untuk membuka ruang baharu kepada golongan pembaca multietnik di
negara kita yang kini dahagakan penulisan yang memecahkan belenggu
13
konvensional dan seterusnya memahami masyarakat majmuk Malaysia yang kini
menjadi realiti yang perlu difahami dan dihayati.
Kesusasteraan Kebangsaan merupakan refleksi sebuah negara majmuk yang
dihuni oleh penduduk berketurunan Melayu, Cina, India dan sebagainya. Walaupun
demikian dalam dunia kesusasteraan kebangsaan wujud jurang yang jelas.
Kecenderungan stereotaip yang biasanya mewarnai cerpen-cerpen yang ditulis
dalam bahasa Melayu sebenarnya tidak menggambarkan realiti identiti
kemalaysiaan yang sebenar. Namun demikian, ada pendapat yang menyatakan
bahawa etnik bukan Melayu berpendapat bahawa hubungan muhibah dalam karya
kesusasteraan Melayu bersifat idealis dan berbau propaganda. Dari segi lain, watak-
watak utamanya terdiri daripada orang Melayu, sedangkan bukan Melayu hanya
sebagai watak sampingan atau watak sisipan yang tidak penting. Jika nama mereka
ditukarkan kepada nama etnik lain, seperti Melayu, India atau lain-lain, hal itu tidak
akan menjejaskan plot dan persoalan cerita.
Ada pihak tertentu yang berpendapat bahawa karya-karya penulis Melayu
tidak begitu memberi keutamaan kepada watak bangsa lain. Sebagai contohnya,
kajian Krishanan Maniam (1993, p. 192-193) menegaskan bahawa penggunaan
watak daripada bangsa yang lain dalam karya-karya penulis Melayu agak terbatas
dan hanya sebagai watak sampingan semata-mata. Kehadiran watak bangsa lain
langsung tidak diberi keutamaan kecuali dalam cerpen yang melibatkan tema
percintaan antara dua orang yang berlainan bangsa. Penulis-penulis Melayu juga
sering menggunakan watak-watak bangsa lain untuk mewakili stereotaip. Amsalnya,
watak India sebagai buruh kasar. Hal ini berlaku kerana para penulis Melayu
berusaha mencari jalan keluar atau mengatasi jurang perkauman dengan
mengemukakan akomodasi. Akomodasi ini dilihat sebagai satu sikap jujur demi
14
kesedaran pembangunan negara (A. Rahim Abdullah, 1990: p. 5). Selain itu, usaha
untuk mengkaji penulis Melayu dalam konteks identiti Malaysia jelas melalui kajian
A. Wahab Ali (1989) bertajuk “Imej Manusia dalam Sastera”, dan kajian Mohd Thani
Ahmad (1990) berjudul “Integrasi Sosial dalam Kesusasteraan Melayu”. Usaha
untuk mengkaji peranan penulis berketurunan Cina pula jelas melalui usaha Thock
Ker Pong (1997) melalui kajian bertajuk, “Transformasi pemikiran Pengarang
Keturunan Cina dalam Cerpen Melayu” dan Chong Fah Hing (2003) dengan tajuk
“Citra Cina dalam Karya Sastera Melayu”.
Prakrasa Untuk Menginklusifkan Penulis Bukan Melayu
Jika ditinjau dari sudut usaha untuk menerima dan memberi ruang kepada penulis
bukan Melayu dalam dunia kesusasteraan Melayu, usaha pertama tersuguh melalui
Dasar Kebudayaaa Nasional 1961. Walapuan usaha ini tidak berjaya mencari kata
sepakat tetapi telah merintis jalan untuk kita mengorak ke depan menyerapkan
golongan jagat kesusasteraan Melayu selepas itu. Usaha ini turut disemarakkan
oleh majalah Balai Muhibbah. Menurut Suppiah (2003, 179) Balai Muhibbah
merupakan majalah penerbitan Kementerian Perpaduan sejak Thaun 1972 yang
dikeluarkan dua kali sebulan dalam tiga bahasa diketuai oleh editornya Shaari Mohd
Noor (Shaari Mohd. Nor 2015, 68). Selain itu, di bawah pimpinan Usman Awang,
majalah Dewan Budaya juga turut menyemarkkan penulisan yang cuba
mendekatkan dunia penulisan Melayu dengan penulisan bukan melayu melalui
karya terjemahan. Namun demikian, usaha tersebut terbengkalai setelah Usman
Awang tidak memimpin majalah tersebut. (Krishanan Maniam, 2006)
Menurut Krishanan maniam (2006, p. 550) Persatuan Penulis Tamil Malaysia
di bawah pimpinan M. Dorairaj juga telah merintis usahasama dengan mengadakan
15
pertemuan dengan pihak Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pertemuan ini merupakan satu usaha yang
bermatlamat untuk mengeratkan hubungan antara kelompok penulis Melayu dan
penulis Tamil. Namun demikian, pertemuan seumpama ini tidak berjaya
menghasilkan ruang untuk penulis bukan Melayu untuk menulis karya kreatif yang
kukuh (Krishanan Maniam, 2006, p. 550)
Menjelang penghujung tahun lapan puluhan dan awal sembilan puluhan,
penubuhan Majlis Pelbagai Kaum di bawah naungan Dewan Bahasa dan Pustaka
berjaya menyuntik semangat baharu kepada penulis bukan Melayu. Majlis ini
menjadi bukti komitmen DBP untuk menyemarakkan lagi golongan penulis bukan
Melayu dalam arena kesusasteraan negara kita. Pada peringkat awal, satu ruangan
khas dalam akhbar-akhbar tempatan yang berjudul “Titian Sastera” telah
diwujudkan. Ruangan ini menampung karya-karya terjemahan daripada bahasa
Melayu akan disiarkan dalam akhbar Tamil dan Cina dan sebaliknya akhbar Melayu
menyiarkan karya-karya terjemahan bahasa Tamil dan Cina
(KrishananManiam,2006). Rentetan itu, melalui majlis ini, penganjuran peraduan
mengarang cerpen Hadiah DBP dan Maybank dimulakan pada tahun 1987 (Raja
Rajeswari, 2017 p. 13). Krishanan Maniam, 2006, melihat pertandingan ini sebagai
satu usaha yang “cukup bermakna kepada Penulis-penulis Angkatan Baharu kerana
peraduan ini merupakan tapak semaian kepada mereka untuk mengukir nama dan
terserlah pada masa hadapan”. Malangnya, menjelang hujung tahun sembilan
puluhan peraduan ini telah dimansuhkan. Bermula tahun 2000, pihak Dewan Bahasa
dan Pustaka di bawah naungan Majlis Penulis Pelbagai kaum telah mula anjurkan
Peraduan mengarang cerpen dan sajak untuk penulis-penulis bukan Melayu dengan
hadiah-hadiah yang menarik (Krishanan Maniam, 2006).
16
Program Sastera Pelbagai Kaum turut menjadi jambatan untuk penulis serta
penggiat sastera bukan Melayu berhubung. Program ini diperkenalkan “untuk
kelompok penulis bukan Melayu yang mahu berdiri sendiri di pentas yang khusus”
(Jaya Ramba,2014 p. 6). Satu soalan yang telah diutarakan ialah adakah program
ini sebenarnya telah membuahkan hasil? Namun demikian, Jaya Ramba mengakui
bahawa gerakan ini perlu diteruskan “sebagai perangsang pertumbuhan karya bakat
baharu susastera dan bukannya untuk mencari identiti penulisan yang tersendiri”
(2014, p. 10).Melalui program ini banyak aktiviti yang telah diadakan seperti Seminar
Sastera Pelbagai Kaum.
Adakah Penulis Bukan Melayu Semakin Menjauh?
Sebelum kita membuat penilaian tentang kedudukan penulis bukan Melayu, mari kita
meninjau terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan frasa semakin menjauh.
Jika dilihat secara lebih khusus, Kamus Dewan (2014) mendefiniskan perkataan
menjauh itu sebagai menjadi jauh, menghindar (agar jauh). Dalam konteks ini, frasa
ini merujuk kepada tanggapan golongan penulis bukan Melayu yang dikatakan
semakin menjarakkan diri mereka dalam aliran sastera kebangsaan. Persoalan ini
perlu dinilai terlebih dahulu. Adakah benar golongan ini semakin jauh dalam peta
kesusasteraan kebangsaan Malaysia?
Mohd. Arifin Mohd. Arif (2015) berpendapat bahawa penulis bukan Melayu
turut berperanan untuk mengisi aliran perdana “sungai besar” sastera kebangsaan
yang semakin memperlihatkan keunggulannya. Tambahan pula, kehadiran golongan
penulis bukan Melayu mencipta suatu bentuk pengiktirafan tersendiri dalam dunia
sastera.Kita perlu akui bahawa sastera Melayu bukan sahaja ditulis dan dibaca oleh
orang Melayu tetapi juga turut ditulis dan dibaca oleh kaum lain di Malaysia. Jika
17
ditinjau dari sudut sejarah, penglibatan golongan penulis bukan Melayu dapat
dikesan seawal tahun 1960-an dengan Amir Tan dalam bidang cerpen dan novel,
Goh Thean Chye dalam bidang puisi dan terjemahan dan Joseph Selvam. Keadaan
ini berterusan pada tahun 70-an dan 80-an. Pada ketika ini muncul nama-nama
penulis bukan Melayu yang kebanyakan karya mereka diakui bermutu dan
menerima pelbagai hadiah serta anugerah di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa (Zainal Abdul Kadir, 2012). Sejak beberapa dekad lalu memang agak
banyak penulis bukan Melayu yang memberi sumbangan dalam bahasa dan sastera
Melayu, sama ada sebagai penyusun kamus, sarjana, atau penulis kreatif genre
puisi, cerpen dan novel.
Malahan penglibatan penulis bukan Melayu dalam dunia persuratan
kebangsaan mencapai puncak kegemilangan pada dekad 90-an. Jika ditelusuri jejak
sejarah, dalam dekad tersebut, bilangan penulis bukan Melayu yang menyuburkan
persuratan kebangsaan ialah seramai 87 orang dan daripada 87 orang yang
berkarya, sebanyak 43 orang telah memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (Raja
Rajeswari, 2012: p. 4). Namun demikian, ada pandangan yang menyatakan bahawa
dalam landskap sastera Melayu mutakhir ini, golongan penulis bukan Melayu
terutamanya sumbangan daripada penulis Cina dan India semakin berkurangan
berbanding beberapa dekad yang lalu. Hal ini pernah disuarakan oleh Anwar Ridwan
dalam sebuah artikel yang disiarkan dalam Berita Harian (16 Disember 2014).
Kegemilangan yang mewarnai dekad 90-an tidak kekal atau berterusan. Hakikat ini
dibuktikan oleh perangkaan bilangan penulis bukan Melayu yang terus berkarya
dalam bahasa Melayu terus merosot dan merudum. Pada era kegemilangan
tersebut dalam dekad 90-an, wujud seramai 87 orang penulis. Bilangan tersebut
merosot kepada 63 pada tahun 2000 dan dikatakan merudum menjadi 23 orang
18
pada tahun 2012 (Raja Rajeswari, 2012: p. 6). Malahan, dikatakan bahawa jumlah
mereka yang aktif boleh dibilang dengan jari tangan sahaja (Anwar Ridwan, 2014).
Situasi ini agak membimbangkankerana bahasa dan sastera Melayu yang berstatus
kebangsaan sepatutnya sentiasa menerima sumbangan daripada pelbagai kaum.
Keresahan yang hampir sama pernah dirakamkan oleh Jaya Ramba. Menurutnya:
Hingga hari ini, nasib penulis pelbagai kaum masih tidak ke mana-mana. Mereka tetap menjadi kelompok yang terpinggir walaupun istilah "sama rata" selalu diungkapkan, tetapi yang diharapkan tidak semudah itu. (2014, p. 10)
Malahan Raja Rajeswari (2012) berpendapat bahawa keadaan ini sangat kritikal dan
wajar diberi perhatian oleh semua pihak. Hal ini dikatakan demikian kerana kerana
kemerosotan bilangan penulis bukan Melayu akan membantutkan hasrat kerajaan
untuk mengintegrasikan kaum melalui bahasa dan sastera.
Anwar Ridwan (2014) berpendapat bahawa dengan kehadiran penulis kreatif
daripada 'Negeri Di bawah Bayu' dan 'Bumi Kenyalang' itu, termasuk yang datang
daripada etnik Iban, Kadazandusun dan sebagainya telah banyak membantu dalam
meningkatkan penulisan penulis bukan Melayu di Malaysia. Sumbangan mereka
meluaskan pemahaman kita terhadap atmosfera budaya yang pelbagai, termasuk
adat serta kepercayaan.
Untuk melihat sejauhmanakah benar bahawa penulis bukan Melayu semakin
menjauh, kita perlu melihat perangkaan untuk mendapat gambaran yang lebih tepat.
Untuk itu, dalam makalah ini, saya telah menggunakna beberapa data untuk melihat
sama ada penulis bukan Melayu sememangnya semakin menjauh atau tidak. Jika
ditinjau daripada penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka senarai buku terbitan
baharu dan terbitan cetak ulang bahagian buku sastera kita dapat melihat dengan
jelas akan keadaan ini. Lihat jadual di bawah ini:
19
Tahun Bilangan bukupenulis
bukan Melayu
Bilangan penulis bukan Melayu
2012 4 1
2013 2 2
2014 3 2
2015 10 6
2016 5 5
2017 6 5
2018 7 4
Jumlah 37 25
Jadual 1: Penerbitan Penulis Bukan Melayu dalam Dewan Bahasa dan Pustaka Sumber: Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan, DBP
Sebanyak 37 buku yang diterbitkan oleh DBP dari tahun 2012 hingga 2018
telah dinukilkan oleh penulis bukan Melayu. Seramai 25 orang penulis telah
mendapat peluang untuk menerbitkan karya mereka dan jumlah sebenar ialah 21
orang penulis kerana ada penulis yang mendapat peluang untuk menerbitkan lebih
daripada sebuah buku.
Selain itu, penglibatan penulis bukan Melayu juga akan dilihat daripada
penerbitan di Tunas Cipta. Untuk itu hanya penulisan puisi sahaja yang telah
diberikan perhatian kerana kekangan masa. Pada tahun 2015 seramai 15 buah puisi
telah disiarkan dan pada tahun 2017 merosot menjadi 11 sahaja.
Tahun
Bilangan sajak penulis
bukan Melayu
Bilangan penulis
bukan Melayu
2015 15 15
2017 11 8
Jadual 2: Penglibatan penulis bukan Melayu dalam Tunas Cipta Sumber:Tunas Cipta 2015 dan 2017
Jika ditinjau akan penglibatan penulis bukan Melayu dalam majalah Dewan
Sastera, boleh dikatakan penglibatan penulis bukan Melayu masih terbatas juga.
Jika dilihat kepada karya kreatif, drama, cerpen dan puisi berikut ialah bilangan
20
penulis bukan Melayu yang telah menghasilkan karya mereka. Dalam dua tahun
yang ditinjau, terdapat 34 karya yang telah dihasilkan oleh 25 orang penulis bukan
Melayu dalam majalah Dewan Sastera bagi tahun 2016 dan 2017.
Tahun Bilangan karyapenulis
bukan Melayu
Bilangan penulis
bukan Melayu
2016 19 13
2017 15 12
Jumlah 34 25
Jadual 3: Penglibatan penulis bukan Melayu dalam majalah Dewan Sastera Sumber:Dewan Sastera 2016 dan 2017
Selain itu, untuk membuktikan kedudukan penulis bukan Melayu dalam dunia
penulisan kesusasteraan Melayu satu tinjuan ringkas telah dilakukan terhadap puisi
yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia bermula tahun 2014 hingga 2017.
Daripada tinjauan tersebut sebanyak 894 buah sajak telah disiarkan. Namun
demikian, hanya 56 buah sajak sahaja yang dihasilkan oleh penulis bukan Melayu,
yakni 6.26 peratus yang hanya melibatkan 29 orang penulis. Hal ini jika ditinjau
dengan lebih mendalam kita akan dapati bahawa hanya 11 orang penulis bukan
Melayu yang sebenarnya berkarya dalam empat tahun tersebut. Lihat perincian
dalam jadual berikut:
Jadula 4: Kedudukan puisi penulis bukan Melayu dalam Mingguan Malaysia
Sumber: Puisi dalam Mingguan Malaysia 2014- 2017
Tahun Bilangan Sajak yang disiarkan
Bilangan sajak penulis Bukan
Melayu
Peratus Penulis bukan
Melayu
Bilangan penulis bukan
Melayu
2014 144 9 6.25 8
2015 215 10 4.65 5
2016 226 11 4.87 5
2017 309 26 8.41 11
Jumlah 894 56 6.26 29
21
Walaupun bilangan penulis bukan Melayu semakin merosot, kita perlu akui
bahawa ada antara mereka yang telah mencapai tahap yang membanggakan.
Sebahagian daripada mereka telah berjaya menghasilkan karya yang bermutu tinggi
setara dengan penulis nasional yang lain. Mereka ini termasuk Lim Swee Tin dan
Jong Chian Lai (Anwar Ridwan, 2014). Jika dilihat senarai penerima Anugerah SEA
Write Award dua nama penulis bukan Melayu iaitu Lim Swee Tin (2000) dan Jong
Chiang Lai (2006) yang memberi sumbangan yang konsisten dan bermutu telah
melayakkan mereka menerima SEA Write Award iaitu anugerah sastera paling
berprestij di peringkat pertubuhan negara ASEAN. Malahan Raja Rajeswari pernah
memenangi Anugerah Alam Sekitar (Ekologi) dari Nicaragua, Amerika Tengah pada
2017. Ramai lagi penulis yang telah memahat nama mereka dalam penerima
pelbagai anugerah kebangsaan seperti Hadiah Sastera Perdana. Boleh dikatakan
bahawa pencapaian penulis bukan Melayu dalam sastera tidak perlu dipertikaikan
lagi. Ada pihak yang kelihatan agak selesa dengan pendirian mereka yang
beranggapan bahawa karya sastera kebangsaan telah mencerminkan hubungan
antara etnik dalam masyarakat negara. Selain itu, bagi mereka, golongan etnik
bukan Melayu hanya merupakan golongan minoriti. Lantaran itu, aspek ini dianggap
tidak perlu diberi penegasan dalam penghasilan karya mereka. Kebiasaannya,
mereka hanya melakarkan tentang gambaran kehidupan yang harmonis dan
sejahtera dalam karya-karya mereka.
Walaupun bilangan penulis bukan Melayu semakin merosot, kita perlu akui
bahawa ada antara mereka yang telah mencapai tahap yang membanggakan. Jika
dilihat senarai penerima Anugerah SEA Write Award, dua nama penulis bukan
Melayu iaitu Lim Swee Tin (2000) dan Jong Chiang Lai (2006) turut diperakui dalam
bidang sastera Melayu di peringkat antarabangsa. Malah, ramai lagi penulis yang
22
telah memahat nama mereka dalam penerima pelbagai anugerah kebangsaan
seperti Hadiah Sastera Perdana. Boleh dikatakan bahawa pencapaian penulis bukan
Melayu dalam sastera tidak perlu dipertikaikan lagi.
Melalui kesusasteraan kebangsaan ini diharapkan terbentuk keperibadian
Malaysia tanpa berselindung di bawah bayangan kebudayaan asing. Namun di
sebalik ini, wujud beberapa pihak yang agak pesimistik terhadap perkembangan
kesusasteraan kebangsaan. Mereka berpendapat bahawa konsep kesusasteraan
kebangsaan ialah sesuatu yang sempit lebih-lebih lagi dalam konteks pembinaan
bangsa. Kita sedari bahawa sebagai sebuah negara yang menjadi tumpuan para
penghijrah yang kemudiannya menganggap Malaysia sebagai sebuah negara
kelahiran mereka, maka tidak hairanlah jika Malaysia muncul sebagai sebuah
negara multiras. Realiti kepelbagaian bangsa dan etnik di Malaysia ini pasti
melahirkan pengaruh budaya dan pemikiran yang rencam tersebut pula mewarnai
dunia kesusasteraan negara Malaysia.Hampir keseluruhan penulis dari ‘dunia luar’
yang bergiat dalam dunia kesusasteraan Malaysia memberikan gambaran yang
berteraskan pelbagai tema dan suara yang mewakili masyarakat majmuk Malaysia
dalam karya-karya kreatif mereka.
Dalam konteks ini, kita memerlukan lebih banyak penulis bukan Melayu
memberi sumbangan kepada perkembangan bahasa dan sastera Melayu melalui
hasil penulisan mereka. Kita perlukan penulis prolifik seperti Jong Chian Lai, Saroja
Thevi, Jaya Ramba, Lim Swee Tin, Chan Guan Lon, Uthaya Sankar, Raja Rajeswari
dan sebagainya. Hal ini kerana bahasa dan sastera yang berstatus kebangsaan
memerlukan sumbangan berterusan daripada semua bangsa, kaum dan etnik di
negara ini. Dengan cara itu produk budaya bernama bahasa dan sastera
23
kebangsaan menemukan jati diri sebuah kebudayaan negara bangsa (Anwar
Ridzwan, 2014).
Kesimpulan
Memang kita akui bahawa penglibatan penulis bukan Melayu dalam jagat
kesusasteraan Melayu boleh dikatakan menyeluruh lagi. Keadaan ini
menggambarkan kepada kita bahawa kesusasteraan kebangsaan sejak zaman
tradisional sehingga mutakhir masih bersifat dikotomi Melayu. Ringkasnya,
kesusasteraan Melayu ini belum berjaya menbolos dirinya daripada sempadan atau
batasan etnik. Namun, keadaan ini perlu disegerakan memandangan isu
kesusasteraan kebangsaan sudah lama diperkatakan. Lantaran itu, kewujudan
kesusasteraan kebangsaan perlu dimanfaatkan demi perpaduan negara kita dan
perlu dieksploitasi oleh para khalayak penulis sebaik mungkin demi mencapai
persefahaman budaya, toleransi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat
majmuk negara kita.
Jika kita meninjau akan faktor yang menyebabkan kepada kewujudan jurang
dalam hasrat dan amalan kesusasteraan kebangsaan, kita dapat mengesan bahawa
sebenarnya dikotomi Melayu dalam dunia kesusasteraan Melayu sebenarnya
dipengaruhi oleh ruang, masa dan milieu.Keadaan ini menunjukkan bahawa
sebenarnya pendapat yang menyatakan bahawa kesusasteraan Melayu hanya
berkisar kepada dunia Melayu mula luntur. Bibit-bibit awal telah jelas kelihatan
dengan penglibatan golongan penulis bukan Melayu. Mereka kelihatan tidak lagi
bergantung kepada golongan penulis Melayu untuk mengupaskan hal-hal serta tema
yang berkaitan dengan masyarakat bukan Melayu. Kemunculan golongan ini
memberi nafas baharu kepada dunia kesusasteraan Melayu yang kini bukan hanya
24
menjadi milik eksklusif penulis berketurunan Melayu semata-mata. Kemunculan
penulis bukan Melayu ini membuka ruang baharu dalam dunia kesusasteraan
Melayu. Hal ini mula memecahkan penguasaan golongan Melayu yang selama ini
begitu dominan dalam kesusasteraan Melayu. Namun demikian, usaha ini masih
kelihatan di peringkat awal dan perlukan perjuangan yang lebih menyeluruh.
Selain itu, kini golongan bukan Melayu tidak lagi bergantung kepada penulis-
penulis Melayu semata-mata untuk mengupaskan isu-isu berkaitan dengan
kewujudan dan masyarakat mereka. Mereka kelihatan telah mengambil alih tugas
tersebut. Lantaran itu, golongan bukan Melayu yang terlibat dalam dunia
kesusasteraan Melayu telah mengambil pendirian bahawa mereka juga mempunyai
tangungjawab dalam mengungkapkan isu-isu bangsa, budaya dan masalah mereka.
Hal ini menjelaskan kepada kita satu perkembangan sihat yang memperlihatkan
rakyat bukan Melayu kini terpanggil untuk membicarakan masalah, budaya dan isu-
isu tentang diri mereka dengan lebih mendalam dalam konteks kesusasteraan yang
lebih luas. Jelaslah bahawa sistem pendidikan dan usaha-usaha yang dilakukan
selama ini untuk membentuk kesusasteraan sudah memperlihatkan kejayaan.
Selain itu, penglibatan golongan bukan Melayu ini juga menunjukkan kepada
kita bahawa bahasa Melayu sememangnya berkemampuan untuk menjadi
bahasayang berkebolehan untuk menyuarakan isu-isu yang berkaitan dengan
masyarakat bukan Melayu dalam dunia kesusasteraan Melayu. Selama ini ada
pihak yang agak pesimis terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar untuk mengupaskan realiti masyarakat majmuk di negara kita. Lantaran
itu, kehadiran golongan bukan Melayu ini harus diberi perhatian dalam pembinaan
Kesusasteraan Melayu.
25
Di samping itu, hal ini juga menunjukkan bahawa kesusasteraan Melayu kini
telah mula memperlihatkan tunas-tunas perpaduan dan menuju ke arah
pembentukan kesusasteraan Malaysia. Seperti yang kita impikan, bibit-bibit,
kesusasteraan Melayu yang mula berubah menjadi kesusasteraan Malaysia agak
jelas melalui penglibatan golongan bukan Melayu dalam penulisan dunia
kesusasteraan Melayu ini. Kini, kesusasteraan Melayu perlu memberi perhatian
kepada hakikat kemajmukan yang telah mewarnai negara Malaysia. Lantaran itu,
langkah-langkah perlu diambil demi mencapai integrasi nasional. Konsep
kesusasteraan kebangsaan perlu diberi pertimbangan yang baharu setelah 61 tahun
kita mencapai kemerdekaan. Pembicaraan tentang pelbagai etnik dalam karya
kesusasteraan sesuatu negara bukan sahaja perlu dilihat daripada kaca mata milik
kelompok etnik tersebut yang menjadi warganegara sebuah negara. Hal ini
demikian kerana, pembicaraan budaya etnik boleh membantu khalayak pembaca
dan umum memahami serta menyedari tentang masyarakat tersebut.
Jika diteliti dalam konteks negara kita, penulisan golongan bukan Melayu
hanya muncul sebagai karya-karya itu dihasilkan untuk menyertai sayembara
semata-mata. Hakikat ini mempengaruhi persoalan yang disentuh dalam karya-
karya tersebut.Hasilnya, karya sedemikian dikongkong oleh keinginan yang berbau
propaganda dan bersifat idealis. Lantaran itu, usaha perlu digiatkan untuk
membentuk hala tuju yang lebih luas dalam konteks penglibatan masyarakat bukan
Melayu dalam ujana kesusasteraan Melayu. Hal ini boleh mengekang kehadiran
penulis bukan Melayu muncul dengan penulisan bersifat bermusim.
Selain itu, badan-badan penggalak kesusasteraan juga perlu memberi
peluang kepada penyertaan golongan penulis bukan Melayu dengan lebih giat lagi.
Nampaknya, usaha seperti mengadakan Simposium Pelbagai Kaum dan Festival
26
Kemerdekaan tidak memadai untuk menarik golongan bukan Melayu bergiat cergas
dalam dunia penulisan Melayu. Lantaran itu, badan-badan kesusasteraan juga
boleh memainkan peranan mereka dalam memberangsangkan penglibatan penulis
daripada pelbagai etnik demi kepentingan kesusasteraan yang bersifat Malaysia ini.
Golongan ini merupakan cabang baharu dalam pohon kesusasteraan Melayu
semasa. Ramai antara mereka telah membuktikan ketokohan mereka melalui
karya-karya mereka. Malah ada antara mereka yang pernah menerima Hadiah
Sastera Perdana dan kini kelihatan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah
dengan penulis-penulis Melayu itu sendiri. Kemunculan mereka perlu diberi
perhatian yang sewajarnya kerana potensi penulis-penulis baharu ini membawa
banyak kelebihan. Selain itu, kelompok penulis ini juga perlu diberi dorongan serta
galakan untuk terus giat berkarya pada masa depan demi menobatkan imej sastera
kebangsaan kita.
Sebagai usaha untuk mematangkan dan memperkasakan kesedaran tentang
kesusasteraan Malaysia dalam bentuk yang lebih progressif dan dinamik bagi
menghadapi cabaran dunia globalisasi sekarang harus dijalankan dengan lebih giat
lagi. Usaha ini boleh dianggap sebagai usaha yang penting yang berpaksi kepada
keinginan untuk memperbaiki kelemahan yang wujud dalam masyarakat kita dalam
konteks kesusasteraan kebangsaan. Dalam konteks ini, kerajaan Malaysia telah
bersikap reseptif terhadap tuntutan dan gagasan gerakan kebangkitan
kesusasteraan kebangsaan dan hal ini boleh dilihat daripada pelbagai program
yang dijalankan secara meluas dalam masyarakat kita dan didorong oleh keinginan
pemerintah untuk membentuk kesusasteraan nasional.Tahap muthakir dalam era
globalisasi pulamenyaksikan khalayak penggiat kesusasteraan menjadi semakin
27
tertekan dan memerlukan formula penyelesaian baharu untuk memartabatkan
kesusasteraan Malaysia dalam konteks masyarakat majmuk.
Setelah kita menghirup udara kemerdekaan selama 61 tahun, kini,
kesusasteraan Melayu telah mula menonjolkan dirinya sebagai kesusasteraan
Malaysia yang mampu menghadapi hegomoni globalisasi dengan memberi ruang
kepada kebudayaan lain merakamkan persoalan mereka dengan selesa dalam
dunia pengkaryaan yang bertunjangkan bahasa Melayu. Hal ini perlu dialu-alukan
kerana menawarkan ruang kepada gagasan kesusasteraan kebangsaan yang lebih
luas, demi untuk meneruskan agenda perpaduan yang telah lama berjalan di dalam
masyarakat Malaysia.
28
Rujukan
A. Rahim Abdullah. (2000). “Karya Puisi Penulis Pelbagai Kaum: Antara Kreativiti dan Masa Hadapan”. Dewan Sastera. April,2000: 17-22.
A. Rahim Abdullah, (2016) Pengibatan Penulis-penulis Tionghua dalam pembinaan
Kesusasteraan Nasional dalam Chew Fong Peng Himpuanan Esei Kritikan
Pertembungan Kebudayaan Cina-Melayu.Petaling Jaya: Persatuan
Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia.
A. Wahab Ali. (1989). Imej manusia dalam sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Anwar Ridwan (2014). “Sumbangan sasterawan Cina, India” Berita Harian (16
Disember 2014).
Azli Lee Abdullah, 2005. “Penulis Pelbagai Kaum: Arah, Sumbangan dan Masa
Hadapan” dalam Mohamed Saleeh Rahaman dan Luqman Hakim (ed.).
Idealisme Penulis Muda: Antologi Esei. Kuala Lumpur: Persatuan Penulis
Nasional Malaysia (PENA).
Chong Fah Hin. 2006. Cerpen Mahua dan Cerpen Melayu: Suatu Perbandingan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Daniel Jebon Janaun. 2006. “Penulis bukan Melayu dalam Konteks Pembinaan
Sastera Nasional” dalam Mohamaed Saleeh Rahamad, S. M Zakir dan
Shamsuddin Othman (peny.) Persuratan Dan Peradaban Nasional. Kuala
Lumpur: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). 323-344.
E Pian Pro Poul (1990). “Analisis tema dan struktur cerpen-cerpen karya penulis
bukan Melayu, Malaysia”. Tesis BA Universiti Malaya.
Eh Chot Cha Chan (2015). “Peranan sastera kebangsaan: ke arah memupuk perpaduan kaum di Malaysia”. Seminar Sastera Pelbagai Kaum 2015 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), bertempat di ASWARA.
Fadhli al-Akiti, (2014). “Penulis Bukan Melayu Tabah dan Terus Melangkah”. Dewan
Sastera, Bil 6 2014
Hamzah Hamdani. (1988). “Kesusasteraan Malaysia: masa depannya”. Dewan
Sastera. Februari : 22-24.
Ismail Hussein (1971). “Kesusasteraan Nasional Malaysia dan Beberapa Masalah
Pembentukannya”. Dewan Sastera. September, 1971: 29, 32-34.
Ismail Hussein. (1982). “Perkembangan Sastera Kebangsaan: Peranan Gerakan
Masyarakat, Institusi dan Penerbitan”. Dewan Sastera. Jun, 1982: 19-22.
Jasni Mat Lani (2017). “Sastera Kebangsaan Penjana Ketamadunan Bangsa dan Negara”. Dewan Sastera 8, 2017:9-16.
29
Jaya Ramba, (2014). “Penulis Pelbagai Kaum dan Sastera 1Malaysia”. Dewan
Sastera: 9-14.
Krishanan Maniam. (1993). Cerpen Tamil dan Melayu: Perbandingan Tema dan Struktur (1957-1970). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Krishanan Maniam. (2006). “Penulis Bukan Melayu dalam Konteks Pembinaan
Sastera Nasional” dalam Mohamaed Saleeh Rahamad, S. M Zakir dan
Shamsuddin Othman (peny.) Persuratan Dan Peradaban Nasional. Kuala
Lumpur: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). 545-560.
Laporan Persidangan Penulis-penulis Malaya. 1962. Singapura: Dewan Bahasa dan
Kebudayaan Kebangsaan.
Lim Kim Hui. “Penulis Bukan Melayu dalam Konteks Pembinaan Sastera Nasional di
Malaysia: Antara Harapan dengan Cabaran Globalisasi” dalam Mohamaed
Saleeh Rahamad, S. M Zakir dan Shamsuddin Othman (peny.). Persuratan
Dan Peradaban Nasional. Kuala Lumpur: Persatuan Penulis Nasional Malaysia
(PENA). 345-366.
Lim Swee Tin. (1991). “Sumbangan Penulis Bukan Melayu Dalam Sastera Nasional”. Mastika. September, 1991: 52-54.
Mohamed Saleeh Rahamad. (2003). “Cereka Penulis Pelbagai Kaum di Semanjung, Retrospektif Selepas Tiga Dekad.” Dewan Sastera. Februari, 2003: 18-29.
Mohd Taib Osman. (1971). “Konsep Kesusasteraan Malaysia” Dewan Sastera.
Februari, 1971: 32-43.
Mohd Thani Ahmad (1990) berjudul “Integrasi Sosial dalam Kesusasteraan Melayu”. Thock Ker Pong (1997) melalui kajian bertajuk, “Transformasi pemikiran Pengarang Keturunan Cina dalam Cerpen Melayu”
Mohd. Arifin Mohd. Arif (2015). “Kepelbagaian Etnik Penjana Transformasi Sastera
Kebangsaan” Ucap utama yang disampaikan dalam Simposium Penulis
Pelbagai Kaum 2015 anjuran Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan
Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur dengan
kerjasama DBP Cawangan Sabah dan Badan Bahasa dan Sastera, Sabah
(BAHASA), pada 7 – 8 Ogos 2015 di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah
Othman Puteh. (2003). “Menelusuri Jalur Kepengarangan Uthaya Sankar SB”. Kertas Kerja Simposium Penulis Pelbagai Kaum V. di Kota Kinabalu, Sabah pada 23-24 Ogos, 2003.
Paul Nanggang. (2006). “Penulis Bukan Melayu dalam Kesusasteraan Nasional”.
dalam Mohamaed Saleeh Rahamad, S. M Zakir dan Shamsuddin Othman
(peny.) Persuratan Dan Peradaban Nasional. Kuala Lumpur: Persatuan
Penulis Nasional Malaysia (PENA).
30
Raja Rajeswari, (2017). Kolonialisme dan Etnosentrisme: Suatu Retrospeksi Penulis
India Malaysia. Dewan Sastera 4 2017: 9-15.
Raja Rajeswari, (2012). “Antara persepsi dengan Realiti”. Tunas Cipta. Bil 10,
2012:4-8.
Rozinah Abd. Azib. (2004). “Penulis Kaum India mula menyengat”. Dewan Sastera. Februari, 2004: 91-92.
Saravanan, (2010). “Citra identiti budaya masyarakat India: satu pembicaraan
cerpen Melayu karya satu cerpenis India” Tesis Phd Fakulti Sastera dan Sains
Sosial, Universiti Malaya.
Shaari Mohd. Nor, (2015).Memori Memanjat Tangga, ITBM: Kuala Lumpur.
Suppiah, Ummadevi (2003). Tun V.T. Sambanthan: peranannya dalam politik dan
kemajuan orang India di Malaysia / Ummadevi a/p Suppiah. Tesis Sarjana:
Universiti Malaya.
Thock Ker Pong. (1997). “Transformasi Pemikiran Pengarang Keturunan Cina dalam Cerpen Melayu”. Tesis Sarjana Sastera: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Thock Ker Pong. (1998). “Tiga Dekad Penglibatan Cerpenis Cina dalam Jagat Pencepenan Melayu: Perubahan Tema dan Persoalan”.Dewan Sastera. November: 80-86.
Utusan Malaysia. 29 Mei 2003. Mahathir Mohamed “Ucapan Hadiah
Sastera Kumpulan Utusan 2002”.
Zainal Abdul Kadir, 2012) Sasterawan Negara bukan Melayu?
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sastera/20121125/sa_02/Sasterawan-
Negara-bukan-Melayu#ixzz5P4Wskt6N [Dicapai pada 15 Ogos 2018]