Post on 06-Feb-2018
MENINGKATKAN KEMAHIRAN PENYELESAIAN MASALAH BERKENAAN TOPIK
BELANJAWAN TUNAI DENGAN MENGGUNAKAN AKRONIM
Oleh
RUSILAWATI BINTI MOIN
Sekolah Sultan Alam Shah
62520 Putrajaya
ABSTRAK
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk menentukan dan mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar yang mengambil Prinsip Perakaunan SPM dalam menjawab soalan belanjawan tunai. Kajian ini dilaksanakan oleh 20 orang pelajar Tingkatan 5 terdiri daripada 10 orang pelajar 5Cita dan 10 orang pelajar 5Bestari, Sekolah Sultan Alam Shah. Tinjauan awal dilaksanakan dengan membuat pemantauan semasa ujian bulanan dan peperiksaan yang dilaksanakan di sekolah. Hasil tinjauan didapati pelajar tidak mahir dalam menyelesaikan masalah bagi topik ini dengan mengambil masa yang lama untuk menjawab soalan dan ketinggalan satu rekod. Perancangan tindakan difokuskan kepada teknik yang berkesan dan mudah difahami serta diingati oleh pelajar selama 30 minit dan kajian ini dilaksanakan selama 4 minggu. Keputusan ujian pos menunjukkan pelajar lebih mengingati, memahami dan mudah dalam menyelesaikan soalan-soalan belanjawan tunai dengan menggunakan teknik Akronim bagi formula.
1.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU
Analisa keputusan peperiksaan menunjukkan pelajar tidak mahir dan cekap
dalam menjawab soalan belanjawan tunai. Pelajar mengambil masa yang lama
dalam menjawab soalan ini. Selain itu, pelajar ramai yang tertinggal catatan
dan memperolehi jawapan yang tidak tepat. Beberapa persoalan sering
ditimbulkan oleh pelajar seperti “susah nak jawab soalan belanjawan”,
“nampak macam senang tapi kenapa tak boleh dapat markah penuh”,
“cikgu, macamana nak buat belanjawan tunai” dan lain-lain. Persoalan-
Koleksi Bahan Cg Narzuki Online
persoalan ini menyebabkan saya terfikir mencari satu alternatif baru untuk
memudahkan anak murid saya menjawab soalan belanjawan dengan mudah
dan dalam masa yang singkat.
2.0 ISU KEPERIHATINAN
Saya telah menganalisa soalan tahun-tahun lepas Prinsip Perakaunan SPM dan
mendapati bahawa item belanjawan tunai merupakan satu item yang mudah
jika ianya disoal dalam SPM. Soalan ini menyumbang antara 10 hingga 12
markah. Jadi sekiranya topik ini pelajar menguasainya dengan baik dan tepat,
peluang untuk mereka mendapatkan gred yang tinggi adalah sangat tinggi.
Masalah yang wujud dalam menjawab soalan belanjawan adalah pelajar tidak
mahir menentukan butiran penerimaan atau pun pembayaran dengan tepat
dan tidak mengingati formula dengan tepat.
Saya yakin dan percaya dapat membantu pelajar dalam menyelesaikan
masalah ini dengan mempelbagaikan dan meningkatkan kaedah pengajaran
dan pembelajaran. Menurut Gardner (1991), ketidakserasian antara kaedah
mengajar dengan profil kecerdasan pelajar boleh menyebabkan seseorang
pelajar itu gagal atau hilang minat terhadap sesuatu subjek.
3.0 OBJEKTIF KAJIAN
3.1 Objektif Am
Kajian ini untuk meningkatkan kefahaman dan ingatan pelajar-pelajar
dalam Belanjawan Tunai Prinsip Perakaunan dengan menggunakan
Akronim.
3.2 Objektif Khusus
3.2.1 Meningkatkan kemahiran pelajar dalam membuat belanjawan
tunai.
3.2.2 Meningkatkan kemahiran pelajar menjawab soalan dengan
tepat dan mudah serta dalam masa 10 minit ke bawah.
Koleksi Bahan Cg Narzuki Online
3.2.3 Membantu pelajar dalam meningkatkan prestasi individu dalam
peperiksaan.
3.2.4 Memudahkan pelajar memahami Prinsip Perakaunan dengan
lebih tepat dan menyeronokkan semasa pembelajaran.
4.0 KUMPULAN SASARAN
Kajian ini dijalankan kepada 20 orang pelajar terdiri daripada 10 orang pelajar
lelaki Tingkatan 5 Bestari dan 10 orang pelajar 5 Cita, Sekolah Sultan Alam
Shah, Putrajaya.
5.0 PELAKSANAAN KAJIAN
5.1 Tinjauan Masalah
5.1.1 Pemerhatian
Saya telah membuat pemerhatian ke atas tingkah laku pelajar
semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan.
Pemerhatian dilaksanakan sebelum dan semasa teknik Akronim
diperkenalkan.
5.1.2 Ujian Pra dan Ujian Pos
Ujian pra diberikan kepada kumpulan sasaran untuk mengesan
sejauh mana kefahaman dan ingatan pelajar dalam topik
belanjawan tunai. Item belanjawan yang diuji adalah soalan 3
SPM Kertas 2 tahun 2004. Selepas semakan jawapan, saya tidak
memulangkan jawapan kepada pelajar dan saya membuat
penerangan teknik akronim. Seminggu selepas itu, saya
membuat ujian pos 1 dengan menggunakan soalan yang sama.
Minggu seterusnya selepas itu saya membuat ujian pos 2
dengan menggunakan soalan 4 SPM Kertas 2 tahun 2007.
Koleksi Bahan Cg Narzuki Online
5.1.3 Soal Selidik
Borang soal selidik telah disediakan dan diedarkan kepada
pelajar untuk mendapatkan maklum balas pelajar berkenaan
dengan belanjawan tunai sebelum dan selepas teknik Akronim
diperkenalkan.
5.2 Analisa Tinjauan Masalah
5.2.1 Analisa Pemerhatian
Berdasarkan pemerhatian selepas kajian dilaksanakan :
a) Pelajar lebih yakin dalam menjawab soalan belanjawan tunai
dengan mudah dan cepat. Dapat menjawab soalan dalam
masa kurang daripada 15 minit.
b) Pelajar berjaya dan boleh mengesan dan membetulkan
kesalahan yang dibuat.
c) Suasana pembelajaran lebih meyakinkan dan
menyeronokan.
5.2.2 Analisa Ujian Pra dan Ujian Pos
Markah Ujian Pra Ujian Pos 1 Ujian Pos 2
Bilangan Pelajar
10 – 12 5 16 18
08 – 09 4 1 2
06 – 07 7 2 0
04 –05 2 1 0
02 – 03 1 0 0
00 – 01 1 0 0
Jadual 1 :
Perbandingan pencapaian pelajar dalam ujian pra dan ujian pos
Koleksi Bahan Cg Narzuki Online
Dapatan ujian pra dan pos menunjukkan terdapat peningkatan
dari segi pencapaian pelajar. Dapati pelajar yang pada awalnya
lemah tetapi dapat meningkatkan prestasi bagi ujian seterusnya.
5.2.3 Analisa Soal Selidik
Pelajar telah memberikan respon yang positif bagi soal selidik
yang telah dilaksanakan. Berikut adalah analisa soal selidik yang
telah dijawab oleh pelajar.
Skala : 1. Sangat tidak setuju
2. Tidak setuju
3. Kurang setuju
4. Setuju
5. Sangat setuju
Bil SKALA 1 2 3 4 5
ITEM BILANGAN PELAJAR
1. Prinsip Perakaunan adalah satu
subjek yang mudah 0 0 0 12 8
2. Belanjawan Tunai adalah tajuk yang
mudah 0 0 0 9 11
3. Teknik Akronim lebih memudahkan
saya menjawab soalan belanjawan 0 0 0 0 20
4. Saya lebih suka dengan teknik sendiri 17 2 1 0 0
5.3 Tindakan yang dijalankan
1. Selepas pelaksanaan ujian pra, saya telah membimbing serta
memberikan penerangan tentang teknik Akronim kepada pelajar-
pelajar.
Koleksi Bahan Cg Narzuki Online
2. Selepas penerangan dengan jelas, saya menjalankan ujian pos 1 dan
ujian pos 2. Jawapan pelajar dipulangkan semula dan dibincangkan
sebagai latihan pengukuhan.
3. Setiap kali latihan pembubaran, saya pasti akan mengingatkan
pelajar dengan teknik Akronim.
5.4 Pelaksanaan Tindakan Dan Pemerhatian / Penilaian
Kajian tindakan ini dilaksanakan dalam tempoh 4 minggu. Semasa
melaksanakan kajian ini saya telah menyelesaikan bab Belanjawan
Tunai. Sebelum menggunakan Teknik Akronim saya mendapati pelajar
tidak dapat memahami topik yang dipelajari dengan mudah. Ini
dibuktikan dengan ujian pra yang telah dilaksanakan pada minggu
pertama. Selepas penerangan dan pendedahan berkaitan dengan
Teknik Akronim pada minggu kedua, apa yang saya dapati pelajar telah
memahami dengan baik dan ditunjukkan dalam ujian pos 1 yang telah
dilaksanakan pada minggu kedua.
Seterusnya pada minggu ketiga saya telah menguji pelajar semula
keberkesanan Teknik Akronim dalam soalan yang lain. Penilaian
memang membanggakan kerana peningkatan dalam pemahaman
perakaunan lebih baik serta masa menjawab soalan yang diberi dengan
lebih cepat. Minggu keempat saya telah membuat tinjauan dengan
menggunakan soal selidik terhadap pelajar-pelajar dalam mempelajari
Prinsip Perakaunan dengan pendekatan Teknik Akronim.
Pelaksanaan Teknik Akronim adalah seperti berikut :
1. Pelajar diberi soalan belanjawan tunai dan sehelai kertas kosong.
2. Guru menerangkan teknik Akronim kepada pelajar iaitu “Bukit
Bintang Terang Benderang Lampu Kalimantan Hot Bangat”.
3. Guru menerangkan dengan satu per satu maksud iaitu :
Koleksi Bahan Cg Narzuki Online
a. Bukit Bintang : Baki b/b
b. Terang : Penerimaan
c. Benderang : Pembayaran
d. Lampu Kalimantan : Lebihan / Kurangan
e. Hot Bangat : Baki h/b
4. Guru menunjukkan format sebenar dalam Belanjawan tunai dan
kaitkan dengan akronim tersebut.
Nama Perniagaan
Belanjawan Tunai bagi tiga bulan berakhir .......
Butir Bulan 1 Bulan 2 Bulan 3
Baki b/b
PENERIMAAN
Jumlah Penerimaan
PEMBAYARAN
Jumlah Pembayaran
Lebihan/Kurangan
Baki h/b
5. Baca soalan yang diberi dan buat analisis dengan menulis T jika
butiran menunjukkan penerimaan dan B jika butiran menunjukkan
pembayaran.
6. Selepas selesai analisis, barulah pindahkan kepada jawapan dengan
terus merangka format yang lengkap.
7. Semasa memindahkan jawapan hendaklah ditulis untuk kesemua
bulan yang berkaitan. Jawab mengikut soalan satu per satu.
Kosongkan bahagian baki b/b, jumlah penerimaan, jumlah
pembayaran dan baki h/b.
Koleksi Bahan Cg Narzuki Online
8. Selepas semua soalan telah dipindahkan, jumlahkan bahagian
penerimaan dan pembayaran.
9. Kemudian dengan mengikut formula (Jumlah Penerimaan tolak
Jumlah Pembayaran) isikan bahagian Lebihan / Kurangan. Jika
jawapan adalah positif bermaksud Lebihan dan jika negatif
bermaksud Kurangan.
10. Seterusnya, kirakan baki h/b dengan formula (baki b/b tambah
Lebihan @ tolak Kurangan). Jika jawapan negatif tuliskan kurungan
pada jawapan.
11. Akhir sekali, jawapan yang diperoleh hendaklah dipindahkan ke
baki b/b untuk bulan seterusnya.
5.5 Refleksi Kajian
Pencapaian pelajar dalam Ujian Pos 1 dan Ujian Pos 2 menunjukkan
Teknik Akronim boleh diterima pakai dalam menjawab soalan
Belanjawan tunai Prinsip Perakaunan dengan lebih mudah. Dapatan
juga menunjukkan Teknik Akronim dapat mengurangkan masa
menjawab kepada 5 hingga 10 minit bagi soalan yang dikemukakan.
Saya berasa gembira dan terharu apabila ada pelajar yang telah
berjumpa dengan saya dan memberitahu Teknik Akronim amatlah
menyeronokkan dan sekarang dia boleh mengetahui kesilapan yang
dibuat dalam menjawab soalan dengan lebih mudah. Dengan teknik ini
juga, pelajar lebih seronok dalam mempelajari ilmu perakaunan.
6.0 CADANGAN UNTUK KAJIAN SETERUSNYA
Beberapa cadangan untuk kajian seterusnya adalah seperti berikut :-
1. Menggunakan konsep BADLEH dalam semua penerangan bagi setiap topik
Prinsip Perakaunan.
Koleksi Bahan Cg Narzuki Online
2. Mencipta kaedah dan teknik dalam mempelajari topik-topik tertentu
seperti pembubaran dan tafsiran penyata kewangan.
Semoga hasil kajian saya ini dapat dimanfaatkan dan menjadikan proses
pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, berkesan dan menyeronokkan
kepada semua pelajar dan guru.
RUJUKAN
Atan bin Long (1976). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur : Penerbit Adabi Sdn Bhd.
Kertas Kerja Seminar Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan Ke-XIII 2006, 20 – 22
November 2006, Hotel Berjaya Palace, Kota Kinabalu, Sabah.
Manual Kajian Tindakan. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan
(BPPDP), Kementerian Pelajaran Malaysia.
Koleksi Bahan Cg Narzuki Online