Post on 06-Feb-2018
LHDN Tidak Boleh Laksana BEPS Di Malaysia
Tidak semua Pelan Tindakan Penghakisan Asas Cukai dan Pemindahan
Keuntungan (BEPS) yang dicadangkan oleh OECD boleh dilaksanakan di Malaysia
kerana matlamat dasar dan sistem percukaian di negara ini berbeza dengan negara
lain.
Bagaimanapun, kebergantungan hasil kerajaan terhadap cukai pendapatan korporat
khususnya daripada syarikat multinasional menjadikan isu pindahan harga dan
BEPS tidak boleh dipandang ringan.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam kenyataannya berkata,
pihaknya akan sentiasa mengikuti dengan rapat perkembangan isu pindahan harga
dan BEPS ini, agar jurang dalam peruntukan undang-undang percukaian dapat
diatasi dan seterusnya memelihara asas percukaian serta mengurangkan ketirisan
hasil.
BEPS ini merupakan isu bersama yang dihadapi oleh setiap pentadbir cukai seluruh
dunia kerana masalah ini sering digunakan oleh syarikat multinasional untuk
mengurangkan cukai yang dibayar malah mengelak daripada dikenakan cukai .
Isu pindahan harga ini wujud berikutan kepesatan urusniaga rentas sempadan yang
tidak selari dengan perkembangan undang-undang cukai antara negara-negara di
dunia.
Kelemahan ini membuka peluang syarikat-syarikat multinasional memanfaatkan
jurang dan perbezaan peraturan cukai sedia ada bagi mengalihkan keuntungan
mereka kepada negara lain yang mempunyai kadar cukai yang rendah atau bebas
cukai.
LHDNM dalam menambah, dalam menangani isu itu, antara tindakan yang diambil
ialah penetapan peruntukan am pengelakan cukai telah diperkenalkan di bawah
Seksyen 140 Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 bagi membendung kes
pengelakan.
Entiti kutipan cukai itu juga memperkenalkan satu perundangan pindahan harga
yang khusus di bawah Seksyen 140A ACP 1967 pada tahun 2009 yang turut
dilengkapi dengan Peraturan-Peraturan Akta Cukai Pendapatan (Pindahan Harga)
2012 untuk menangani isu berkaitan pindahan harga.
LHDNM juga telah mengeluarkan Garis Panduan Pindahan Harga Malaysia 2012
pada 20 Julai 2012 bagi menggantikan Garis Panduan Pindaan Harga yang asal
yang telah dikeluarkan pada tahun 2003.
"Garis panduan terbaharu ini memberi panduan selanjutnya bagi sebarang
pelaksanaan undang-undang pindahan harga di Malaysia serta keperluan yang
ditetapkan oleh LHDNM kepada pembayar cukai untuk menyimpan rekod dan
dokumen bagi urusan percukaian," katanya dalam kenyataan itu sempena
Persidangan Teknikal Tahunan ke-36 Pertubuhan Pentadbir Cukai Negara-Negara
Komanwel (CATA).
LHDNM akan sentiasa mengemaskini dan menambahbaik Akta Cukai Pendapatan
(ACP) atau mana-mana peruntukan berkaitan dan pada masa kini LHDNM dalam
proses mengkaji undang-undang cukai yang berkaitan agar sentiasa seiring dengan
perubahan dan perkembangan BEPS di bawah mandat OECD.
Jawatankuasa Tindakan BEPS turut diwujudkan di LHDNM bagi menyelaraskan
hasil perbincangan daripada mesyuarat BEPS dan mengambil tindakan susulan
terhadap isu-isu tertentu, dan kesan ke atas undang-undang domestic serta
memberikan cadangan berkaitan kepada kerajaan.
- MalaysiaGazette
Sumber Daripada :
http://malaysiagazette.com/ms/ekonomi/lhdn-tidak-boleh-laksana-beps-di-malaysia