Post on 02-Feb-2017
1
Nur Rashidah
lwn
Ketua Pendakwa Syarie
[Mahkamah Rayuan Syariah Selangor, Shah Alam Kes Rayuan No. 10000-114-0005-2015
(YAA Dato’ Haji Hussin Bin Hj. Harun (Pengerusi), YA Dato’ Hj. Yusof Bin Musa (Panel),
YA Dato’ Haji Mukhyuddin bin Haji Ibrahim (Panel)]
(20 Safar 1437 bersamaan 2 Disember 2015)
(Dalam perkara : Rayuan terhadap keputusan hukuman kesalahan perbuatan sebagai
persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah)
Fakta Kes
[1] Perayu ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor, telah
mengaku bersalah atas pertuduhan yang telah dipertuduhkan terhadapnya dan Perayu membuat
rayuan atas hukuman yang telah dijatuhkan terhadapnya.
[2] Kes ini adalah suatu kes Rayuan oleh Perayu terhadap keputusan hukuman yang
dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bertarikh 22 Januari 2015 di dalam kes
Jenayah No. 10400-114-0037-2015 atas pertuduhan di bawah seksyen 26, Enakmen Jenayah
Syariah (Selangor) 1995 [Enakmen 9 Tahun 1995], iaitu kesalahan “Perbuatan sebagai
persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah”.
[3] Dalam kes tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor telah
menjatuhkan hukuman dan perintah terhadap perayu seperti berikut:
i) Mahkamah menjatuhkan hukuman sebat sebanyak enam (6) kali sebatan.
2
ii) Pesalah ini hendaklah ditahan di penjara sehingga hukuman sebat dilaksanakan
sebagaimana kehendak subseksyen 125(4) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah
(Negeri Selangor) 2003.
Peguam Syarie Perayu: diwakili oleh Encik Mohamad Isa Bin Ralip dari Tetuan Mohamad Isa
& Associates
Peguam Responden: Ketua Pendakwa Syarie Selangor
Undang-undang yang dirujuk:
1. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995- s. 23.
2. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003- s. 125(4), s. 96.
Kes - kes yang dirujuk
1. Abdul Kahar Bin Ahmad lwn Ketua Pendakwa Syarie Selangor. Rayuan Jenayah No.:
10000-136-0006-2010. 10000-108-0007-2010, 10000-109-0008-2010, 10000-134-0009-
2010, 10000-107-0010-2010.
2. Muhammad Ridhwan Bin Tokiri & Seorang Lagi lwn Ketua Pendakwa Syarie (2010)
JH 34 Bhg. 2 213
Alasan Rayuan Perayu
[4] Perayu telah menfailkan petisyen rayuannya pada 12 Mac 2015. Dalam petisyen tersebut
Perayu telah mengemukakan sembilan (9) alasan bagi rayuannya, iaitu:-
i. Bahawa Yang Arif Hakim Yang Bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-
undang apabila mensabitkan Perayu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26,
Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 [Enakmen 9 Tahun 1995] dan memutuskan
bahawa Perayu dihukum sebat sebanyak enam (6) kali;
3
ii. Bahawa Yang Arif Hakim Yang Bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-
undang apabila mensabitkan Perayu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26,
Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 [Enakmen 9 Tahun 1995] dan memutuskan
bahawa Perayu hendaklah ditahan di penjara sehingga hukuman sebat dilaksanakan
sebagaimana kehendak Seksyen 125(4) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri
Selangor) 2003;
iii. Bahawa Yang Arif Hakim Yang Bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-
undang apabila Mahkamah Yang Mulia ini menyatakan di dalam Perenggan 14 Alasan
Penghakiman bahawa Perayu tidak menggunakan peluang ini bagi meyakinkan
Mahkamah Yang Mulia ini apa yang perlu dipertimbangkan berkaitan dirinya sebelum
hukuman dijatuhkan;
iv. Bahawa Yang Arif Hakim Yang Bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-
undang apabila tersilap memetik dan mentafsir kes Abdul Kahar Bin Ahmad lwn
Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Rayuan Jenayah No.: 10000-136-0006-2010. 10000-
108-0007-2010, 10000-109-0008-2010, 10000-134-0009-2010, 10000-107-0010-2010.
Dalam Perenggan 17 Alasan Penghakiman, Mahkamah Yang Mulia ini berpemdapat
bahawa isu taubat yang dibangkitkan oleh Perayu masih bergantung kepada prinsip
Hukum Syarak yang digariskan di dalam kes ini. Selanjutnya Mahkamah Yang Mulia ini
tidak bertanggungjawab untuk menilai taubat seseorang hamba Allah s.w.t mahupun
membuat kesimpulan bahawa Perayu telah insaf;
v. Yang Arif Hakim Yang Bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang
apabila terkhilaf mentafsir kes Muhammad Ridhwan Bin Tokiri & Seorang Lagi lwn
Ketua Pendakwa Syarie (2010) JH 34 Bhg. 2 213;
vi. Yang Arif Hakim Yang Bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang
apabila menyatakan di dalam Perenggan 26 Alasan Penghakiman bahawa hukuman
4
denda adalah suatu hukuman yang biasa dan tidak memberi sebarang pengajaran terhadap
mana-mana orang yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah Syariah;
vii. Yang Arif Hakim Yang Bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang
apabila mensabitkan Perayu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26, Enakmen
Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 [Enakmen 9 Tahun 1995]
berdasarkan pengakuan Perayu seperti pernyataan di dalam Perenggan 6 Alasan
Penghakiman;
viii. Yang Arif Hakim Yang Bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang
apabila Mahkamah Bicara gagal mengambil kira faktor-faktor peringanan hukuman; dan
ix. Yang Arif Hakim Yang Bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang
apabila gagal dan cuai membuat timbang tara mengenai kadar hukuman yang wajar dan
berpatutan yang dikenakan ke atas Perayu.
[5] Responden iaitu Ketua Pendakwa Syarie juga telah berhujah balas kepada Mahkamah ini
terhadap kesembilan-sembilan (9) alasan-alasan rayuan yang dikemukakan oleh Perayu tersebut.
Penghakiman YAA Dato’ Haji Hussin Bin Hj. Harun (Pengerusi), YA Dato’ Hj. Yusof Bin
Musa (Panel), YA Dato’ Haji Mukhyuddin bin Haji Ibrahim (Panel).
[6] Setelah kami meneliti petisyen rayuan dan hujahan pihak-pihak, kami dapati beberapa isu
yang timbul dalam rayuan ini iaitu;
i. Samada Yang Arif Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang
apabila mensabitkan Perayu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26, Enakmen
Jenayah Syariah (Selangor) 1995 [Enakmen 9 Tahun 1995] dan memutuskan bahawa
Perayu hendaklah ditahan di penjara sehingga hukuman sebat dilaksanakan
sebagaimana kehendak Seksyen 125(4) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri
Selangor) 2003;
5
ii. Samada Yang Arif Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang
apabila Mahkamah mengatakan Perayu tidak menggunakan peluang bagi
meyakinkan Mahkamah apa yang perlu dipertimbangkan berkaitan dirinya sebelum
hukuman dijatuhkan; dan bahawa hukuman denda adalah suatu hukuman yang biasa
dan tidak memberi sebarang pengajaran terhadap mana-mana orang yang disabitkan
bersalah oleh Mahkamah Syariah; dan
iii. Samada Yang Arif Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang
apabila Mahkamah Bicara gagal mengambil kira faktor-faktor peringanan hukuman;
dan gagal serta cuai membuat timbang tara mengenai kadar hukuman yang wajar dan
berpatutan yang dikenakan ke atas Perayu.
iv. Sama ada Yang Arif Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang
apabila menyatakan di dalam Perenggan 26 Alasan Penghakiman bahawa hukuman
denda adalah suatu hukuman yang biasa dan tidak memberi sebarang pengajaran
terhadap mana-mana orang yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah Syariah.
Isu : Bahawa Yang Arif Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang
apabila mensabitkan Perayu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26, Enakmen
Jenayah Syariah (Selangor) 1995 [Enakmen 9 Tahun 1995] dan memutuskan bahawa
Perayu hendaklah ditahan di penjara sehingga hukuman sebat dilaksanakan sebagaimana
kehendak Seksyen 125(4) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
[7] Kami mendapati bahawa Yang Arif Hakim Bicara tidak terkhilaf ketika mensabitkan
Perayu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995
[Enakmen 9 Tahun 1995] dan memutuskan bahawa Perayu hendaklah ditahan di penjara
sehingga hukuman sebat dilaksanakan sebagaimana kehendak Seksyen 125(4) Enakmen
Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
[8] Kami mendapati bahawa Yang Arif Hakim Bicara telah bertindak mengikut seksyen 96
Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen 3 Tahun 2003] ketika
6
membicarakan Perayu dan tiada kecacatan atau perlanggaran terhadap apa-apa peruntukan
undang-undang ketika perjalanan prosiding perbicaraan tersebut.
[9] Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa pensabitan kesalahan terhadap Perayu di
bawah Seksyen 26, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 [Enakmen 9 Tahun 1995] adalah
sah dan selaras dengan kehendak dan keperluan seksyen 96 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah
(Negeri Selangor) 2003 [Enakmen 3 Tahun 2003].
[10] Kami juga berpendapat bahawa Yang Arif Hakim Hakim Bicara tidak terkhilaf ketika
memutuskan bahawa Perayu hendaklah ditahan di penjara sehingga hukuman sebat dilaksanakan
sebagaimana kehendak Seksyen 125(4) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor)
2003. Ini kerana bagi pesalah jenayah Syariah apabila mereka dijatuhkan hukuman sebatan,
adalah tidak menjadi kewajipan kepada Mahkamah Syariah turut menjatuhkan hukuman Penjara.
[11] Namun demikian, pesalah boleh diperintahkan ditahan dipenjara sehingga hukuman sebat
dilaksanakan oleh pihak penjara. Perintah penahanan tersebut bukanlah suatu bentuk hukuman
dan tiada sebarang rekod hukuman pemenjaraan dibuat terhadap pesalah yang dijatuhkan
perintah penahanan dipenjara sementara menunggu hukuman sebatan dilaksanakan.
[12] Oleh yang demikian, kami berpendapat perintah yang dibuat oleh Yang Arif Hakim
Hakim Bicara yang memerintahkan Perayu hendaklah ditahan di penjara sehingga hukuman
sebat dilaksanakan sebagaimana kehendak Seksyen 125(4) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah
(Negeri Selangor) 2003 adalah sah mengikut undang-undang.
Isu: Bahawa Yang Arif Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang
apabila Mahkamah mengatakan Perayu tidak menggunakan peluang bagi meyakinkan
Mahkamah apa yang perlu dipertimbangkan berkaitan dirinya sebelum hukuman
dijatuhkan; dan bahawa hukuman denda adalah suatu hukuman yang biasa dan tidak
memberi sebarang pengajaran terhadap mana-mana orang yang disabitkan bersalah oleh
Mahkamah Syariah.
7
[13] Kami mendapati bahawa Yang Arif Hakim Hakim Bicara tidak terkhilaf ketika
menyatakan di dalam Perenggan 14 Alasan Penghakiman bahawa Perayu tidak menggunakan
peluang ini bagi meyakinkan Mahkamah Yang Mulia ini apa yang perlu dipertimbangkan
berkaitan dirinya sebelum hukuman dijatuhkan. Kami mendapati, bukan sahaja Yang Arif Hakim
Bicara tidak terkhilaf dalam pernyataannya malah ianya merupakan suatu alasan rayuan yang
remeh yang dikemukakan oleh Perayu.
[14] Ketika Perayu membuat rayuan terhadap peringanan hukuman, perayu hanya
memberikan rayuan peringanan yang ringkas sahaja. Perayu menyatakan “Saya mohon untuk
ringankan hukuman saya. Saya insaf dan taubat atas perbuatan saya. Saya mohon untuk
ringankan hukuman sebab saya tak berkerja dan baru sembuh dari sakit. Saya sakit batuk kering
limpa dalam badan. Saya ada pengesahan doktor. Saya masih ada 4 orang adik dibawah saya
dan semua masih dalam tanggungan ayah saya.”
[15] Kami dapati, jelas berdasarkan permohonon rayuan peringanan hukuman yang dibuat
oleh Perayu adalah sangat ringkas. Ini menunjukkan bahawa Perayu tidak bersungguh-sungguh
ketika mengemukakan alasan untuk peringanan hukuman ketika dihadapan Yang Arif Hakim
Bicara. Perayu tidak menggunakan peluang tersebut bagi meyakinkan Yang Arif Hakim Bicara
apa yang perlu dipertimbangkan berkaitan dirinya sebelum hukuman dijatuhkan terhadapnya.
[16] Kami menegaskan bahawa adalah suatu alasan yang sangat remeh apabila memberikan
alasan untuk membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah atas keputusan Mahkamah Tinggi
Syariah bagi sesuatu hukuman kesalahan jenayah dengan alasan bahawa Perayu tidak diwakili
oleh Peguam ketika di Mahkamah Tinggi dan Perayu tiada pengetahuan bagaimana kaedah dan
cara untuk membuat rayuan terhadap hukumannya.
[17] Alasan sedemikian menunjukkan bahawa Perayu tidak bersungguh-sungguh untuk
membuat rayuan peringanan hukuman ketika Mahkamah hendak menjatuhkan hukuman
terhadapnya. Sekiranya Perayu bersungguh-sungguh terhadap rayuan peringanan hukuman yang
bakal dijatuhkan oleh Mahkamah terhadapnya, sudah pasti Perayu bersungguh-sungguh
membuat rayuan peringanan; dan jika Perayu tiada pengetahuan bagaimana kaedah dan cara
8
untuk membuat rayuan terhadap hukumannya, maka sepatutnya perayu bersungguh-sungguh
melantik peguam untuk mewakilinya dalam perbicaraan tersebut.
[18] Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa Perayu sememangnya tiada kesungguhan
ketika membuat rayuan peringanan hukuman dan mengharapkan simpati mahkamah semata-
mata. Malah Perayu lebih bersikap sambil lewa dan terlalu yakin bahawa Mahkamah akan
menjatuhkan hukuman dengan hukuman denda yang minima semata-mata terhadapnya dan
tidak akan menjatuhkan hukuman penjara atau pun sebatan.
Isu: Yang Arif Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila
Mahkamah Bicara gagal mengambil kira faktor-faktor peringanan hukuman; dan gagal
serta cuai membuat timbang tara mengenai kadar hukuman yang wajar dan berpatutan
yang dikenakan ke atas Perayu.
[19] Mahkamah mendapati bahawa Yang Arif Hakim Bicara telah menggunakan
budibicaranya secara berhemah ketika membuat keputusan menjatuhkan hukuman enam (6) kali
sebatan terhadap Perayu walaupun ini merupakan kesalah kali pertama Perayu dan Perayu telah
mengaku bersalah.
[20] Mahkamah mendapati Yang Arif Hakim Hakim Bicara telah melihat dan
mempertimbangkan “pengakuan salah” dan “kesalahan kali pertama” Perayu sebagai sebahagian
merit ketika memutuskan untuk menjatuhkan hukuman enam (6) sebatan terhadap Perayu.
Pertimbangan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah terhadap “pengakuan salah” dan
“kesalahan kali pertama” Perayu sebelum menjatuhkan hukuman telah dinyatakan di dalam
Alasan Penghakimannya pada perenggan 20-23.
[21] Mahkamah bersetuju dan berpuashati dengan pertimbangan yang telah dibuat oleh Yang
Arif Hakim Bicara mengikut undang-undang berdasarkan panduan-panduan yang telah
digunakan seperti yang dinyatakan dalam Alasan penghakimannya ketika menjatuhkan hukuman
enam (6) kali sebatan terhadap Perayu.
9
[22] Mahkamah menegaskan bahawa peringanan atau pengurangan hukuman untuk
“kesalahan kali pertama” dan “Pengakuan Salah” hanyalah merupakan satu kenyataan bersifat
peraturan yang umum sahaja dan bukannya satu kemestian untuk semua kes.
[23] Tahap kesalahan yang telah dilakukan oleh Perayu adalah amat serius. Ini kerana
berdasarkan fakta kes yang telah dibentangkan dan di akui benar oleh Perayu ketika di hadapan
Yang Arif Hakim Bicara kami mendapati ianya suatu fakta kes yang agak serius.
[24] Mengikut keterangan yang diperolehi dari Rekod Rayuan, tangkapan dibuat terhadap
Perayu oleh pihak Pegawai Penguatkuasa Agama adalah berdasarkan aduan yang mengatakan
“terdapat penghuni-penghuni di dalam sebuah rumah yang sering membawa pasangan masuk
ke dalam rumah tersebut (iaitu rumah tempat berlakunya kesalahan Perayu).”. Ini menunjukkan
bahawa penghuni-penghuni rumah tersebut sering membawa pasangan masuk ke dalam rumah
tersebut sehinggakan orang ramai membuat aduan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama Islam
Selangor.
[25] Ketika tangkapan dibuat oleh Pegawai Penguatkuasa Agama terdapat tiga (3) orang adik
beradik seibu sebapa berada di rumah tersebut dan dua (2) darinya tidur bersama pasangan
masing-masing di bilik-bilik yang berasingan. Tiga beradik tersebut ialah Nur Rasyidah A’qyla
binti Mohamad Isa (Perayu) yang berada di bilik ketiga bersama pasangannya Muhammad
Syafiq bin Abdul Karim, Muhammad Iquan Syah Bin Mohamad Isa bersama pasangannya
Nadzatul Izzati binti Nasir dalam bilik yang pertama dan Nur Hajar Faiqsya binti Mohamad Isa
yang berada di ruang tamu tanpa pasangan dan dituduh atas kesalahan bersubahat.
[26] Kami berpendapat kesalahan Perayu adalah serius kerana Perayu tanpa ada rasa segan
silu atau malu kepada dua (2) orang adik beradik seibu-sebapanya yang turut berada didalam
rumah tersebut, tidur bersama pasangannya dalam sebuah bilik seperti sepasang suami isteri.
[27] Kami berpendapat, seburuk-buruk pelaku maksiat atau pun penjenayah, ialah apabila
mereka hilang rasa malu untuk melakukan maksiat dihadapan manusia lain, dan lebih buruk lagi
jika pelaku maksiat itu tidak pun berasa malu melakukan maksiat dihadapan keluarganya sendiri.
10
[28] Seterusnya, Kami berpendapat bahawa kesalahan dibawah seksyen 26, Enakmen Jenayah
Syariah (Selangor) 1995 [Enakmen 9 Tahun 1995], iaitu kesalahan “Perbuatan sebagai
persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah” adalah satu kesalahan yang sangat serius.
Oleh yang demikian maka Badan Perundangan Negeri Selangor telah menetapkan suatu
hukuman yang maksimum terhadap kesalahan ini dimana hukuman yang boleh dijatuhkan oleh
Mahkamah Syariah terhadap pesalah ialah denda RM 5,000.00, atau penjara 3 tahun atau enam
(6) sebatan. Hukuman yang ditetapkan bagi kesalahan ini adalah hukuman maksimum yang
diberikan oleh Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].
[29] Hukuman yang dianggap berat harus dikenakan kerana ianya bertujuan untuk menjaga
maslahah awam, walaupun ianya kesalahan pertama bagi seseorang dan dia mengaku bersalah.
Kesalahan kali pertama dan pengakuan bersalah seseorang tertuduh bukanlah suatu jaminan dari
Mahkamah untuk tidak akan menghukum dengan hukuman yang berat sekiranya kesalahan itu
merupakan jenayah yang serius dan sering berlaku dan berulang-ulang dalam masyarakat awam.
[30] Seterusnya, Perayu menyatakan pengakuan taubat yang dibuat oleh Perayu ketika
membuat rayuan peringanan sepatutnya mendapat pertimbangan dari Yang Arif Hakim Bicara
agar tidak menjatuhkan hukuman sebatan. Perayu mengatakan bahawa sebagai sebuah badan
kehakiman serta mengangkat martabat perundangan syara’, sewajarnya Mahkamah Yang Mulia
ini memberi sokongan dengan pengakuan taubat Perayu. Sekiranya Mahkamah yang Mulia ini
menjatuhkan keputusan tanpa mengambil kira pelbagai sudut dan aspek, pastinya ia akan
memberi kesan kepada psikologi dan emosi Perayu. Perkara ini boleh melarat kepada gangguan
di dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya kehidupan masyarakat.
[31] Dalam hal sedemikian, kami mendapati bahawa Yang Arif Hakim Bicara tidak terkhilaf
dalam mempertimbangkan dan menolak alasan rayuan peringanan Perayu yang menyatakan telah
bertaubat sebagai sebahagian dari rayuan peringanan hukumannya.
[32] Kami bersetuju dan berpuashati dengan pertimbangan yang telah dibuat oleh Yang Arif
Hakim Bicara berdasarkan alasan-alasan dan panduan-panduan berdasarkan aotoriti yang telah
digunakan seperti yang dinyatakan dalam Alasan penghakimannya pada perenggan 16 dan 17.
11
[33] Kami juga bersetuju bahawa untuk membuat kesimpulan Perayu telah insaf adalah suatu
risiko kerana ianya bukanlah tanggungjawab Mahkamah ini untuk menilai taubat seseorang
hamba Allah swt.
[34] Kami juga berpendapat, sekiranya Perayu benar-benar bertaubat, sudah tentu dia benar-
benar insaf dan mengakui kesalahan yang telah dilakukan olehnya. Seorang yang benar-benar
bertaubat pastinya setelah dia mengakui kesalahannya dia kemudiannya akan bersedia untuk
dihukum atas kesalahannya. Seorang yang benar-benar bertaubat juga pastinya akan berlapang
dada dan menerima apa sahaja hukuman yang ditetapkan oleh Allah serta pemerintah dan
hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah.
[35] Perayu juga sepatutnya memahami konsep sebenar taubat iaitu bertujuan untuk memohon
keampunan dari Allah swt atas dosa-dosa kemaksiatan yang telah dilakukannya. Sekiranya
Perayu tidak bertaubat, pastinya Perayu bukan sahaja rugi di dunia kerana dihukum oleh
Mahkamah, malah Perayu juga akan menjadi rugi di akhirat kelak kerana akan dihukum oleh
Allah swt disebabkan dosa maksiat Perayu yang belum di ampunkan oleh Allah kerana tidak
bertaubat.
[36] Seterusnya, Perayu tidak sepatutnya berasakan taubatnya adalah sia-sia sahaja jika tidak
mendapat pertimbangan bagi meringankan hukuman di Mahkamah. Ini kerana jika Perayu
bertaubat kerana bertujuan untuk mendapatkan simpati dan peringanan hukuman dari
Mahkamah, maka sia-sia sahaja taubat Perayu kerana taubat Perayu tidak benar-benar ikhlas
kepada Allah tetapi mengharapkan diringankan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya di dunia
ini.
[37] Oleh yang demikian, kami berpendapat setelah melihat kepada keseriusan kesalahan yang
telah dilakukan oleh Perayu, maka Mahkamah Tinggi Syariah tiada pilihan selain menjatuhkan
hukuman tersebut dan ianya setimpal. Hukuman sedemikian dijatuhkan oleh Mahkamah
bertujuan agar masyarakat awam tidak mengulangi kesalahan atau melakukan kesalahan yang
serupa. Ianya selaras dengan hasrat Badan Perundangan Negeri yang menganggap kesalahan
12
yang sedemikian adalah kesalahan yang serius dan wajar dijatuhkan dengan hukuman yang berat
dan setimpal.
[38] Sekali lagi Mahkamah menyatakan bahawa Mahkamah bersetuju dan berpuashati dengan
semua pertimbangan yang telah dibuat oleh Yang Arif Hakim Bicara berdasarkan panduan-
panduan yang telah digunakan seperti yang dinyatakan dalam Alasan penghakimannya ketika
menjatuhkan hukuman enam (6) kali sebatan terhadap Perayu.
[39] Mahkamah menegaskan bahawa peringanan atau pengurangan hukuman untuk
“pengakuan salah” dan “kesalahan kali pertama” hanyalah merupakan satu kenyataan bersifat
peraturan yang umum sahaja dan bukannya satu kemestian untuk semua kes. Mahkamah
menyatakan bahawa faktor “pengakuan salah” dan “kesalahan kali pertama” dan lain-lain rayuan
Perayu hendaklah di ukur bersetentangan dengan pemberatan dan keseriusan jenayah yang telah
dilakukan oleh pesalah.
[40] Perayu menyatakan Yang Arif Hakim Bicara tidak melihat dan mempertimbangkan
“pengakuan salah” dan “kesalahan kali pertama” dan lain-lain rayuan Perayu sebagai sebahagian
merit ketika memutuskan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Perayu.
[41] Namun demikian, kami mendapati Yang Arif Hakim Bicara hanya menjatuhkan
sebahagian dari hukuman yang ditetapkan oleh undang-undang dan tidak mengenakan hukuman
yang maksimum terhadap Perayu. Hukuman tersebut dijatuhkan setelah Yang Arif Hakim Bicara
telah membuat penelitian dan pertimbangan terhadap faktor “pengakuan salah” dan “kesalahan
kali pertama” dan lain-lain rayuan Perayu secara bersetentangan dengan faktor pemberatan dan
keseriusan jenayah yang telah dilakukan oleh Perayu.
[42] Kami menegaskan bahawa tujuan utama pelaksanaan hukuman takzir yang harus
difahami adalah bertujuan untuk pencegahan dan pengajaran disamping pemulihan dan
pendidikan. Pencegahan bererti mencegah Pesalah dari mengulangi kesalahan yang sama dan
juga mencegah orang lain dari melakukannya.
13
Isu: Yang Arif Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila
menyatakan di dalam Perenggan 26 Alasan Penghakiman bahawa hukuman denda adalah
suatu hukuman yang biasa dan tidak memberi sebarang pengajaran terhadap mana-mana
orang yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah Syariah.
[43] Kami bersetuju bahawa hukuman denda adalah suatu hukuman yang biasa dan menjadi
kelaziman. Kami juga bersetuju bahawa hukuman denda sudah kurang memberi pengajaran
terhadap kebanyakan orang yang disabitkan kesalahan di Mahkamah Syariah seperti yang
dinyatakan oleh Yang Arif Hakim Bicara.
[44] Semasa memutuskan hukuman tersebut kami percaya Yang Arif Hakim Bicara telah
dipandu oleh beberapa pertimbangan. Yang pertama dan paling utama yang menjadi panduan
Yang Arif Hakim Bicara ialah kepentingan awam.
[45] Ini kerana udang-undang jenayah dilaksanakan secara awam. Ia bukan sahaja
dilaksanakan dengan tujuan menghukum penjenayah tetapi juga dengan harapan menghalangnya.
Satu hukuman wajar dijatuhkan secara umum berkhidmat untuk kepentingan awam dalam dua
cara.
[46] Pertamanya; ia boleh menghalang orang lain yang mungkin terpengaruh untuk
menlakukan jenayah kerana kononnya ia menawarkan wang yang mudah dengan andaian
bahawa jika pesalah ditangkap akan dibawa ke muka pengadilan, hukuman yang akan dijatuhkan
adalah hanya didenda sahaja.
[47] Keduanya; Hukuman sedemikian boleh juga mendeter penjenayah tertentu daripada
melakukan sesuatu jenayah sekali lagi atau mendorongnya untuk berubah daripada penghidupan
jenayah kepada penghidupan sebenar.
[48] Kepentingan awam sememangnya dilaksana secara terbaik sekali jika pesalah didorong
untuk berubah daripada cara-cara penghidupan penjenayah kepada penghidupan yang benar;
14
Walaupun mungkin hukuman itu tidak mengubah kehidupan pesalah namun hukuman itu
sekurang-kurangnya mengurangkan kemungkinan orang lain melakukannya.
[49] Hukuman juga memberi peringatan dan amaran kepada orang lain yang sepertinya atau
yang cuba menjadi sepertinya, alasan berfikir tentang perbuatan yang mereka lakukan atau patut
mengelakkan diri dari melakukannya. Mahkamah juga menghukum sedemikian dengan tujuan
untuk melindungi masyarakat daripada kecenderungan melakukan kesalahan sedemikian.
Disamping itu juga Hukuman ini bertujuan bagi menandakan beratnya kesalahannya,
menekankan ketidaksetujuan awam atas perbuatannya, bertindak sebagai amaran kepada orang-
orang lain, menghukum pesalah dan yang paling penting sekali ialah melindungi orang awam
dari melakukannya.
[50] Akhir sekali, kami ingin menegaskan bahawa adalah menjadi hasrat mahkamah yang
lebih tinggi untuk tidak mahu masuk campur di dalam keputusan mahkamah bawahan jika
keputusan itu mengikut undang-undang.
KEPUTUSAN
Setelah membaca, meneliti, memperhalusi alasan-alasan rayuan, rekod rayuan dan setelah
meneliti hujah Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor dan hujah Peguam Syarie Responden,
MAKA kami sebulat suara memutuskan sebagaimana yang berikut:-
1. Rayuan Perayu ditolak.
2. Hukuman sebat sebanyak enam (6) kali sebatan ke atas Perayu yang dijatuhkan
oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dikekalkan.
3. Perintah perayu ditahan di penjara sehingga hukuman sebat dilaksanakan
sebagaimana kehendak subseksyen 125(4) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah
(Negeri Selangor) 2003 dibatalkan.
4. Perayu dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM 1,500.00 dengan seorang
penjamin sehingga hukuman sebatan dilaksanakan.