Post on 05-Feb-2016
MELAYU SPM KERTAS 1
BAHAGIAN B (Karanan Respon Terbuka)
Dimensi Diri
Latihan 1:
Seorang rakan anda telah terlibat dengan gejala sosial yang serius sehingga rakan
anda itu mengabaikan pelajaran.
Huraikan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu rakan anda itu.
Baru-baru ini, seorang rakan sekelas saya telah terlibat dengan gejala sosial yang serius.
Rakan saya itu kerap memonteng kelas, terlibat dengan vandalisme dan sering tidak
hadir ke sekolah. Sebenarnya rakan saya ini seorang pelajar yang cemerlang dalam
akademik dan kokurikulum. Namun, guru-guru di sekolah berasa hairan kerana sejak
akhir-akhir ini rakan saya itu sering mengabaikan pelajarannya. Sebagai seorang
sahabat, saya bertanggungjawab untuk membantu rakan saya itu supaya dia insaf bak
kata pepatah sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Saya berharap, usaha-usaha
yang saya lakukan itu akan menyedarkan rakan saya tentang tanggungjawabnya sebagai
seorang remaja dan sebagai seorang pelajar. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang
dapat saya lakukan untuk membantu rakan saya itu?
Usaha pertama yang saya lakukan untuk membantu rakan saya itu ialah saya
akan menasihatinya supaya tidak menjerumuskan diri dalam kancah gejala sosial. Saya
akan mengingatkan sahabat saya itu tentang akibat sekiranya rakan saya itu terlibat
dengan gejala sosial. Saya akan menyedarkan rakan saya akan tanggungjawabnya
sebagai seorang anak agar tidak menghampakan harapan ibu bapanya. Rakan saya perlu
sedar bahawa dia pernah mencapai kecemerlangan dalam akademik dan pernah
menerima anugerah pelajar terbaik PMR. Saya berharap nasihat-nasihat saya itu dapat
menyedarkan rakan saya dan rakan saya akan berubah sikap serta insaf akan kesalahan
yang dilakukan sebelum nasi menjadi bubur. Saya tidak mahu rakan saya berasa
menyesal pada kemudian hari kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna.
Selain itu, saya juga akan berjumpa dengan kedua-dua ibu bapa rakan saya itu
dan memberitahu mereka tentang pembabitan rakan saya dalam gejala sosial. Saya
berbuat demikian kerana kemungkinan ibu bapa rakan saya itu tidak tahu tentang
penglibatan anak mereka dalam kegiatan yang tidak sihat di sekolah. Saya berharap, ibu
bapa rakan saya itu dapat mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak
mereka. Besar kemungkinan, faktor kekurangan kasih sayang daripada kedua-dua ibu
bapa yang menyebabkan rakan saya terjebak dalam gejala sosial. Apabila ibu bapa
rakan saya sudah mengetahui masalah anak mereka, saya berharap ibu bapa rakan saya
1
dapat memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang terhadap rakan saya itu. Ibu
bapa rakan saya mungkin akan lebih bertanggungjawab dan mengadakan perbincangan
dengan anaknya untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi. Jelasnya,
tanggungjawab saya untuk memberitahu ibu bapa rakan saya itu diharapkan dapat
membantu rakan saya untuk kembali ke pangkal jalan.
Di samping itu, saya akan mengajak rakan saya untuk berjumpa dengan guru
kaunseling untuk menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling. Saya akan memberitahu
guru kaunseling tentang penglibatan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berharap guru
kaunseling dapat membantu dan membimbing rakan saya dengan menasihatinya supaya
berubah sikap. Sesi kaunseling ini amat penting kerana menerusi sesi kaunseling,
diharapkan rakan saya itu akan sedar dan insaf tentang perbuatannya yang salah selama
ini. Rakan saya juga dapat mengenali identiti diri dan bermotivasi untuk berubah
apabila guru kaunseling memberi nasihat dan dorongan kepada rakan saya itu. Saya
juga berharap, rakan saya dapat membina keyakinan diri dan menyedari betapa
pentingnya pembinaan sahsiah diri dan akhlak dalam kalangan remaja sebagai benteng
supaya tidak mudah terpengaruh oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Tegasnya, menerusi
sesi kaunseling ini, rakan saya sebagai remaja dapat menginsafi dan menyedari
peranannya sebagai remaja yang mewarisi pewaris kepimpinan negara pada masa
hadapan. Hujatul Islam Imam Al-Ghazali dalam bukunya ’Ihya’ Ulumuddin’
mengatakan bahawa sekiranya kita ingin melihat masa depan remaja maka lihatlah
pada diri remajanya. Seandainya baik diri remaja, maka baiklah masa depan negara.
Sebaliknya, jika buruk diri remaja maka buruklah masa depan negara.
Seterusnya, saya juga akan mengajak rakan saya itu menyertai program-
program yang berfaedah. Saya akan membawa rakan saya menghadiri majlis-majlis
ilmu seperti program yang berunsurkan agama dan motivasi diri. Sebagai contoh, saya
akan mengajak rakan saya menghadiri ceramah agama, Majlis Tazkirah, kelas mengaji
al-Quran, Kem Bina Insan dan Kecemerlangan Diri. Menerusi majlis ilmu yang dihadiri
itu, saya berharap rakan saya akan insaf dan lembut hatinya serta menyesal dengan apa
yang pernah dilakukannya selama ini. Menerusi Kem Kecemerlangan Diri dan Bina
Insan pula, rakan saya pasti membina keyakinan diri dan mempunyai motivasi untuk
berubah terutamanya dalam proses pembentukan minda dan akhlak. Hasil daripada
pergaulan dengan rakan-rakan yang baik dalam majlis-majlis ilmu itu, rakan saya itu
dapat membezakan dan mengenali antara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik.
Jelasnya, rakan saya itu tidak akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang
tidak baik dan dia juga tahu menghargai masa kerana masa itu emas.
2
Akhir sekali, saya juga akan sentiasa membantu rakan saya dalam pelajaran.
Saya akan mengajak rakan saya menghadiri kumpulan perbincangan. Saya juga akan
membantu rakan saya menerangkan tajuk-tajuk bagi memahami topik-topik pelajaran
yang ketinggalan selama ini. Saya akan mengajak rakan saya mengulang kaji pelajaran
di perpustakaan dan mencari rujukan serta berbincang tentang topik-topik yang kurang
difahami. Saya juga akan mengajak rakan saya menghadiri kelas-kelas tambahan yang
diadakan di sekolah atau di luar sekolah. Saya akan menasihati rakan saya tentang
kepentingan pelajaran dalam kehidupan. Tanpa pelajaran, masa depan seseorang itu
gelap. Pada masa yang sama, saya akan mengajak rakan-rakan yang lain untuk
membantu dan sudi mengadakan perbincangan dengan rakan saya ini. Tujuan saya
berbuat demikian adalah untuk memastikan rakan saya benar-benar insaf dan tidak
mengabaikan pelajaran.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha
membantu rakan yang terlibat dalam gejala sosial adalah sesuatu yang murni dan perlu
diteruskan. Saya berharap, usaha yang saya lakukan ini dapat membantu rakan saya
supaya tidak melibatkan diri dalam gejala sosial. Saya juga berharap, rakan saya benar-
benar insaf dan bertanggungjawab terhadap masa hadapannya kerana ’sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Rakan saya perlu ingat bahawa sekiranya
dia tidak berubah, tidak ada sesiapa pun yang akan membantunya untuk berubah.
Sebagai remaja, rakan saya perlu mempunyai jati diri agar tidak mudah dipengaruh oleh
ajakan rakan sebaya yang tidak baik. Tegasnya, rakan saya perlu berusaha gigih untuk
mencapai kecemerlangan kerana pepatah mengatakan rajin dan usaha tangga kejayaan
dan yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Latihan 2 (Dimensi Diri)
Setiap murid mempunyai cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup
termasuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan.
Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan.
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat
dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai
sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya. Murid-
murid tidak sepatutnya mengganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah
kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar.
Oleh itu, pelajar janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat
memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bak kata pepatah “ sesal
3
dahulu pendapatan , sesal kemudian tidak berguna.” Oleh itu, saya sebagai seorang
calon Sijil Pelajaran Malaysia, saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan. Persoalannya, apakah modus operandi dan perancangan dan persediaan
awal yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan
nanti?
Langkah pertama yang saya ambil ialah sentiasa memberikan perhatian ketika
guru sedang mengajar di kelas. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru
sedang mengajar, sudah tentu sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk
ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa
“Lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka
memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang
dijalankan agar dapat mewujudkan suasana bilik darjah bilik darjah yang ceria supaya
saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat mengingati apa-
apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya
ulangi. Saya juga menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya
saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga akan
bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang
faham kerana berdasarkan satu kajianyang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa
kebanyakan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-
pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk
yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya memberi tumpuan ketika guru mengajar
dan menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru merupakan satu langkah dan
persediaan yang sedang saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan.
Selain itu, saya menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan
menyediakan jadual waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya
saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana
berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar
menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang
mencukupi untuk mengulangkaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia
untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual waktu belajar yang
telah saya tetapkan apabila peperiksaan sudah tiba, hal ini diibaratkan nasi sudah
menjadi bubur. Kita haruslah sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula,
kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah
membuat persiapan awal. Manakala pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal
kerana mereka terlalu leka membuang masa dan tidak berpegang kepada pepatah “masa
itu emas” dan “masa lalu tidak akan kembali”, maka mereka tidak dapat menghabiskan
semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan dan ini haruslah dielakkan. Jelasnya,
pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat
4
persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang
akan saya duduki nanti.
Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru di
sekolah, barulah saya bertanya kepada guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya
juga haruslah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah bak
kata pepatah “ malas berkayuh perahu hanyut” , “segan bertanya sesat jalan.” Malahan,
jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen,
maka bolehlah saya bertanya kepada guru di tuisyen. Tambahan pula,jika terdapat
sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga boleh
mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala program yang
dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,
Teknik Menjawab Soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai program yang
dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan
latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya
dalam program sekolah dan mengikuti kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi
saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan
mempunyai keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila
dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang
bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan
membezakan antara kaca dengan permata dan sentisasa memikirkan akan masa depan
saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang
mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu
dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan
membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan
oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan
meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan
dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan
persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar
dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan
tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan
sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakan–rakan yang baik ini apabila
saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan sesuatu cabaran dalam hidup.
Mereka tentu akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula
dengan memberi dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya
menyuruh saya melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat
mengurangkan tekanan jiwa dan stress. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh
5
dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan.
Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak
akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya.
Akhir sekali, saya akan mematuhi segala nasihat ibu bapa saya dan saya juga
akan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang –orang tua, “Tuhan hanya akan
menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa.” Kenyataan ini pasti
benar kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa
patuh pada nasihat dan asuhan ibu kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak
kaki ibu. Misalnya, ibu saya selalu menasihatkan saya untuk belajar bersungguh-
sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang
cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu walaupun betapa tabah atau
bijak mana saya sekalipun, saya tidak mungkin dapat memperoleh kejayaan yang
cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa
saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoakepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh
sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang
menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan saya
juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberiannya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah
dan segala perbincangan yang saya rancangkan. Saya perlu mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu
kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh
kepada kita pada malam-malam yang gelap gelita. Tanpa kecemerlangan dalam
peperiksaan terutamanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, hidup kita sudah tentu
teraba-aba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk
mencapai kecemerlangan tanpa berputus asa ibarat genggam bara api biar sampai jadi
arang.
6
LATIHAN 3 (DIMENSI DIRI)
Salah satu cara yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk menggembirakan ibu
bapa adalah dengan menjaga nama baik mereka.
Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk menjaga nama baik
ibu bapa anda.
Tidak ada ibu bapa di dunia ini yang tidak sayang akan anaknya. Mereka sanggup
berkorban apa-apa sahaja untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat dan sihat. Ibu
bapa juga sanggup berkorban dan bersengkang mata berjaga malam semata-mata untuk
menjaga terutamanya ketika anak-anak sakit. Bagi ibu bapa, tiada detik yang paling
menggembirakan mereka melainkan ketika melihat anak-anak membesar sebagai
seorang yang berguna dan berjaya dalam hidup. Sebagai seorang anak yang
bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan
membalas jasa mereka walaupun mereka tidak pernah mengharapkan sebarang balasan
daripada kita. Sebagai seorang anak, saya bertanggungjawab menggembirakan ibu bapa
saya dan menjaga nama baik mereka kerana saya sedar bahawa tiada ibu bapa, tiadalah
saya. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang harus saya lakukan untuk menjaga
nama baik mereka?
Langkah utama yang akan saya lakukan untuk menjaga nama baik ibu bapa saya
adalah dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat kejayaan yang
cemerlang. Ibu bapa saya pasti akan gembira apabila saya mendapat keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan dalaman sekolah atau peperiksaan awam. Untuk
mencapai kejayaan dalam peperiksaan , saya akan menumpukan sepenuh perhatian saya
semasa guru sedang mengajar. Sekiranya saya tidak memahami sesuatu tajuk dalam
pelajaran tertentu, saya tidak akan malu bertanya kepada guru saya kerana pepatah
menyatakan bahawa malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Selain
itu , saya akan mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan bersama-sama rakan
sekelas ketika ada masa yang terluang. Saya juga akan menyediakan jadual belajar
secara sistematik dan efisyen. Semua kerja rumah yang diberikan oleh guru akan saya
siapkan mengikut ketetapan masa yang diberi oleh guru. Saya juga akan sentiasa
membuat persediaan lebih awal dengan mengulangkaji pelajaran sebelum menghadapi
peperiksaan yang sebenar kerana pepatah menyatakan sediakan payung sebelum hujan.
Kejayaan yang akan saya peroleh hasil usaha saya yang bersungguh-sungguh ini
tentulahkan akan menaikkan nama baik ibu bapa saya. Reputasi ibu bapa saya sebagai
contoh dalam kalangan masyarakat akan terselah dan nama baik mereka juga akan
terbina. Jelasnya, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan
yang cemerlang untuk menjaga nama baik ibu bapa saya.
7
Selain itu, untuk menjaga nama baik ibu bapa, saya akan bergaul dan berkawan
dengan rakan-rakan yang baik dan dapat membimbing saya menjadi seorang insan yang
berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Hal ini demikian kerana, saya akan
memastikan diri saya tidak terlibat dengan rakan-rakan yang bermasalah yang boleh
mempengaruhi saya terjebak dalam kancah gejala sosial seperti merempit, melepak ,
ponteng sekolah , melakukan vandalime dan melibatkan diri dalam penagihan najis
dadah. Saya akan sentiasa berpegang pada pepatah yang menyatakan bahawa “jika kita
berkawan dengan seorang tukang besi, baju kita akan tercarik kerana terkena percikan
api, tetapi jika kita berkawan dengan seorang penjual minyak wangi, tubuh badan kita
akan turut berbau harum”. Saya juga akan membezakan anatara rakan yang baik dengan
rakan yang tidak baik. Saya akan berkawan dengan rakan-rakan yang mengutamakan
pelajaran agar saya dapat bertukar-tukar pandangan dan ilmu dengan mereka. Hal ini
penting bagi menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya, agar mempunyai
semangat dan motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Ibu bapa saya pasti
bersyukur sekiranya sebagai seorang anak saya tidak melakukan sesuatu yang boleh
menconteng arang ke muka mereka. Jelasnya , saya akan bergaul dengan rakan-rakan
yang berakhlak baik agar saya tidak tersilap langkah demi menjaga nama baik ibu bapa
saya.
Di samping itu , bagi menjaga nama baik ibu bapa, saya akan menjaga akhlak
dan tingkah laku saya sendiri agar tidak mencemarkan maruah ibu bapa saya. Setiap ibu
bapa pasti berasa bangga seandainya anak-anak yang lahir mengamalkan nilai-nilai
murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan. Kecemerlangan yang dicapai oleh anak-
anak dalam bidang akademik bukan jaminan untuk ibu bapa gembira sekiranya anak-
anak yang cemerlang ini tidak memiliki akhlak yang terpuji dan berbudi bahasa.
Sebagai seorang anak, saya akan sentiasa menghormati ibu bapa dan bercakap dengan
lemah lembut terhadap mereka. Saya juga akan sentiasa mendengar nasihat mereka dan
tidak sekali-kali menjadi anak derhaka seperti cerita si Tanggang. Akhlak akan seiring
dengan kejayaan yang saya miliki . Sebagai seorang murid sekolah pula, saya akan
mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Saya akan
mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah disiplin seperti ponteng kelas , tidak
menghormati guru dan tidak menyiapkan kerja sekolah. Saya sedar sekiranya saya
melanggar peraturan sekolah dan terlibat dengan salah laku di sekolah, ibu bapa saya
akan di panggil dan mereka akan berasa malu akibat perbuatan saya ini. Oleh itu, saya
akan sentiasa menghormati guru-guru di sekolah dan menghormati orang yang lebih tua
daripada saya apabila berjumpa dengan mereka di mana-mana sahaja. Hal ini demikian
kerana masyarakat pasti bertanya “Anak siapakah yang berbudi bahasa itu?” Secara
tidak langsung, ibu bapa saya akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana mendidik
anaknya dengan baik. Hadis Riwayat Al-Tarmizi menyatakan bahawa ibu bapa yang
baik terdiri daripada ibu bapa yang melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.
8
Tambahan lagi , saya akan menjaga nama baik ibu bapa dengan manjalinkan
hubungan yang baik dengan ahli keluarga , jiran tetangga dan masyarakat setempat.
Sebagai seorang anak yang baik, saya sentiasa menjalinkan hubungan dengan ahli
keluarga dan saudara mara yang jauh dan dekat sama ada di sebelah ibu mahupun di
sebelah bapa walaupun mereka telah meninggal dunia. Saya akan meneruskan jalinan
kasih sayang dengan ibu bapa saudara dan sepupu-sepupu saya termasuklah mereka
yang mempunyai hubungan bau-bau bacang dengan saya. Hubungan yang terjalin ini
dapat mengeratkan ikatan kekeluaargaan dan tali persaudaraan yang mungkin hampir
terputus kerana tinggal berjauhan serta tidak mengenali antara satu sama lain. Sebagai
contohnya, saya akan membawa ibu bapa saya menziarahi sanak saudara dan kaum
kerabat saya pada musim perayaan atau majlis kenduri-kendara. Saya yakin hubungan
saya ini dapat menjaga nama baik ibu bapa saya kerana menjalinkan hubungan baik
dalam kalangan keluarga. Selain itu, saya juga akan menjaga hubungan baik dengan
jiran tetangga seperti selalu bertegur sapa dengan mereka, menziarahi mereka sekiranya
mereka sakit , membantu mereka apabila mereka memerlukan bantuan dan
mengunjungi rumah mereka pada hari perayaan. Sebagai seorang anggota masyarakat,
saya akan menyertai setiap program kemasyarakatan yang dianjukan oleh masyarakat di
kawasan tempat tinggal saya. Ibu bapa saya pasti gembira apabila saya melibatkan diri
dalam program kemasyarakatan kerana mereka tidak perlu berasa bimbang sekiranya
saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak baik. Penglibatan saya dalam program
kemasyarakatan juga membuktikan saya menjadi lebih matang dan berminda terbuka
dan tidaklah seperti katak di bawah tempurung.Tegasnya, nama baik ibu bapa dapat
dijaga dan dapat dipelihara sekiranya saya menjalinkan hubungan yang baik dengan
masyarakat setempat. Bak kata pepatah, “hidup kayu biar berbuah, hidup manusia biar
berjasa.”
Akhir sekali, saya akan sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama demi menjaga
nama baik ibu bapa saya. Sebagai anak yang baik, saya akan sentiasa mengamalkan
ajaran agama dalam kehidupan saya agar saya mempunyai benteng keimanan yang
kukuh dan ampuh serta dapat mengelakkan diri daripada terjebak dan terpengaruh oleh
perkara-perkara yang tidak baik. Sekiranya saya berpegang teguh pada ajaran agama,
saya dapat membezakan perkara yang salah dan benar. Hal ini amat penting untuk
menentukan kejayaan saya pada masa hadapan. Saya akan sentiasa menjaga nama baik
ibu bapa dan tidak menghampakan harapan mereka terhadap saya , kerana saya sedar,
“siapalah saya tanpa ibu bapa”. Saya akan mempraktikkan didikan agama yang saya
terima agar saya mempunyai matlamat hidup yang jelas. Saya sedar akan kepentingan
masa hadapan saya. Untuk meningkatkan nilai kerohanian dalam diri , saya akan
menghadiri kelas-kelas agam a atau kelas fardhu ain serta majlis-majlis ilmu agar dapat
membentuk jiwa saya kearah melakukan perkara-perkara baik. Hal ini penting untuk
melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya untuk melakukan
9
perkara yang tidak baik. Tegasnya, didikan agama yang saya terima hasil asuhan ibu
bapa akan saya praktikkan dalam kehidupan saya supaya saya dapat membentuk
keperibadian yang baik dalam diri saya sekali gus dapat menjaga nama baik ibu bapa
saya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menjaga nama
baik ibu bapa atau menggembirakan mereka menjadi satu tanggungjawab anak-anak
yang hidup di dunia. Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua remaja dan anak-anak
sentiasa menjaga nama baik masing-masing dan jangan sesekali melukakan perasaan
ibu bapa mereka atau melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan imej mereka. Kita
perlu ingat bahawa harta benda boleh dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya.
Tegasnya, berbuat baiklah kepada ibu bapa selagi hayat mereka masih ada dan sebelum
terlambat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
LATIHAN 4 (DIMENSI DIRI)
Semua orang berusaha untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.
Huraikan sumbangan yang akan anda berikan kepada ibu bapa jika anda telah
berjaya dalam kerjaya pada satu masa nanti.
Kejayaan merupakan satu anugerah bagi orang yang berusaha. Orang tua-tua
pernah menyebut bahawa usaha tangga kejayaan. Pakar Motivasi, Dr.Shukri Abdullah
berkata bahawa, pemisahan antara orang yang berjaya dengan orang yang gagal adalah
sikap rajin. Orang yang rajin akan berjaya manakala orang yang gagal akan kecewa.
Kejayaan bukan bergantung kepada nasib tetapi kerjaya akan dapat direalisasikan jika
ada usaha yang padu dalam keluarga. Ibu bapa merupakan orang yang terpenting di
sebalik kejayaan seseorang. Ibu bapa berkorban jiwa raga , masa dan wang ringgit untuk
memastikan anak-anak mereka berjaya. Ibu bapa jugalah yang memberi panduan
kepada anak-anak agar tidak terpesong daripada landasan kejayaan. Persoalannya,
apakah sumbangan yang akan saya berikan kepada ibu bapa jika saya telah berjaya
dalam kerjaya pada suatu masa nanti?
Jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti, saya akan
membalas jasa ibu bapa dengan memberikan wang kepada ibu bapa saya setiap bulan
tidak kira ibu bapa saya berkedudukan atau berjawatan dan mempunyai pendapatan
yang baik. Ibu bapa saya boleh menggunakan wang tersebut untuk keperluan harian dan
perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan mereka seperti kesihatan. Saya akan
memastikan wang yang saya berikan itu mencukupi untuk kegunaan harian dan
kebajikan mereka. Saya akan bertanya kepada ibu bapa saya berkaitan jumlah wang
yang diperlukan oleh mereka. Sekiranya, pemberian saya tidak memadai dan
mencukupi, saya akan sentiasa menambahkan kiriman tersebut sesuai dengan
10
pendapatan yang saya peroleh.. Saya akan menggunakan pelbagai cara untuk
memberikan wang kepada mereka. Contohnya, saya akan memasukkan wang tersebut
ke dalam akaun bank ibu bapa saya secara terus kepada mereka atau pun mengirimkan
wang menerusi kiriman wang pos dan sebagainya. Dengan adanya wang di tangan
mereka, hati mereka akan tenang dan kehidupan mereka akan senang. Jadi, pemberian
wang merupakan salah satu sumbangan saya kepada ibu bapa jika saya telah berjaya
pada suatu masa nanti untuk menggembirakan mereka.
Selain memberikan wang tunai secara tetap. saya juga akan membawa ibu bapa
saya menunaikan haji atau umrah serta melancong ke tempat-tempat yang disukai
mereka jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti. Selama ini, Ibu
bapa saya mungkin tidak berpeluang untuk menunaikan haji dan umrah atau makan
angin serta melancong ke mana-mana kerana pendapatan mereka yang terhad ketika
membesarkan saya dan adik-beradik yang lain. Pada hemat saya, inilah masa yang
sesuai untuk membawa ibu bapa saya menunaikan umrah dan haji atau melancong
sambil menggembirakan mereka. Setiap ibu bapa pasti gembira dan bersyukur
seandainya anak-anak dapat memenuhi impian mereka untuk pergi ke Tanah Suci
menunaikan rukun Islam yang ke-5. Selain itu, saya juga akan membawa ibu bapa saya
melancong dan mengunjungi tempat-tempat bersejarah seperti mengunjungi Bumi
Anbiya’ di Jordan, Syria, Turki dan Mesir untuk melihat sendiri kesan peninggalan dan
penyebaran Islam di sana. Oleh itu, menghantar ibu bapa menunaikan haji atau umrah
dan melancong bersama ibu bapa merupakan sumbangan saya jika saya telah berjaya
pada suatu masa nanti.
Di samping itu, saya juga akan membelikan insurans kesihatan kepada ibu bapa
saya jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti. Saya berpendapat
bahawa insurans sebegini sangat penting kepada ibu bapa kerana peribahasa Melayu
sering menyebut, sediakan payung sebelum hujan. Jika ibu bapa saya menghadapi
masalah kesihatan, mereka tidak perlu risau kerana melalui pembelian insurans
kesihatan, mereka akan mendapat rawatan terbaik. Sebagai contohnya, jika ibu bapa
saya sakit, saya akan membawa mereka ke hospital swasta yang terbaik dan merawat
mereka segera melalui skim insurans yang di tawarkan. Saya tidak mahu ibu bapa saya
menunggu terlalu lama sebelum mendapatkan rawatan untuk dirinya di hospital biasa.
Kita faham bahawa nisbah seorang doktor dan pesakit di hospital biasa ialah 1:100.
Bilangan rakyat yang memerlukan rawatan di hospital terlalu ramai. Sebagai seorang
anak yang bertanggungjawab, saya akan menyediakan insurans kesihatan untuk ibu
bapa saya agar mereka mendapat rawatan terbaik pada hari tua mereka. Jadi jelaslah
bahawa pembelian insurans kesihatan merupakan sumbangan yang dapat saya berikan
kepada ibu bapa saya jika saya telah berjaya pada suatu masa nanti.
11
Seterusnya, jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti, saya
akan membina sebuah rumah yang indah dan lengkap dengan segala kemudahan untuk
kedua-dua ibu bapa saya nanti. Rumah tersebut akan didirikan di kawasan pinggir
bandar yang berdekatan dengan masjid atau surau dan pusat membeli belah. Rumah
yang disediakan ini mempunyai beberapa buah bilik. Selain bilik tidur yang dilengkapi
perabot, saya juga akan menyediakan bilik-bilik khas untuk ibu bapa saya menjalankan
aktiviti harian tanpa sebarang gangguan seperti bilik riadah, bilik ibadat, dan bilik
bacaan. Dengan adanya bilik-bilik khas ini, ibu bapa saya akan dapat menjalankan
aktiviti dalam suasana yang kondusif. Mereka juga dapat melakukan senaman untuk
menjaga kesihatan walaupun ketika hujan. Salah satu contoh rumah agam yang menjadi
idaman saya untuk disumbangkan kepada ibu bapa saya adalah seperti rumah yang
dimiliki oleh Datuk Yusuf Haslam yang bernila RM6 juta. Jadi, rumah agam yang
lengkap merupakan sumbangan saya kepada ibu bapa jika saya telah berjaya satu masa
nanti.
Akhir sekali, saya akan menyumbangkan sebuah dusun seluas beberapa ekar
kepada ibu bapa jika saya telah berjaya dalam kerjaya suatu masa nanti. Ibu bapa saya
telah bersusah payah mengerjakan tanah yang tidak sampai suku ekar sewaktu
membesarkan saya. Mereka sanggup membanting tulang berbakti kepada tanah untuk
mencari rezeki dalam membesarkan saya adik-beradik. Sebagai cara untuk membalas
jasa mereka, saya akan menyediakan dusun bersama-sama pembantu khas. Di dalam
kawasan dusun tersebut, saya akan membina sungai kecil yang mengalir perlahan. Di
dusun tersebut juga, saya akan menanam pokok buah-buahan kegemaran ibu bapa saya.
Dusun tersebut merupakan contoh dusun yang akan saya sumbangkan agar mereka
dapat menikmati keindahan alam semula jadi . Saya yakin bahawa sumbangan ini akan
menyebabkan ibu bapa saya ceria dan gembira. Sebagai orang tua yang sudah lama
tinggal di kampung, saya faham tentang jiwa ibu bapa saya yang tidak akan
meninggalkan rumah dan tanah tempat kelahiran mereka. Sudah terang lagikan
bersuluh, sumbangan dusun seluas beberapa ekar akan saya sempurnakan untuk ibu
bapa saya nanti jika saya telah berjaya dalam kerjaya suatu masa nanti.
Berdasarkan huraian berkaitan sumbangan saya terhadap ibu bapa jika saya telah
berjaya dalam kerjaya suatu masa nanti, saya yakin impian ini akan terlaksana dalam
tempoh sepuluh tahun lagi. Hal ini demikian kerana pencapaian saya dalam bidang
akademik sangat terserlah. Kejayaan dalam bidang akademik akan membolehkan saya
membina kerjaya yang cemerlang. Kecemerlangan dalam kerjaya akan membolehkan
saya memberikan sumbangan yang bermakna kepada kedua-dua ibu bapa saya yang
telah bersusah payah memelihara, mengasuh dan mendidik saya tanpa jemu. Jika
ditakdirkan saya kurang berjaya sekalipun, saya akan tetap memberikan sumbangan
mengikut kemampuan saya. Kata-kata hikmah yang sering diucap, harta benda boleh
12
dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya. Kesimpulannya, saya perlu belajar
bersungguh-sungguh agar impian untuk memberi sumbangan kepada ibu bapa akan
terlaksana.
Latihan 5 (Dimensi Diri)
Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat
anda lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah
anda.
Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan
pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir
ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan
dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini
membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal
menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan
efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar
yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat
sumber sekolah?
Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya
lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya.
Salah satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan
kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain
untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat
sumber akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan
bersih . Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur dengan kemas di atas rak-
rak buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa
dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar
semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih
dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program
Nilam untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya
boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk
kegunaan para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat
dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam
kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan
13
Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar.
Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa.
Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai
pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan
program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk
mengunjungi pusat sumber.
Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan
kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak
pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk
kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan komputer yang
boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan pelbagai
informasi terkini.Saya akan membantu dari segi penyediaan buku-buku yang baharu
dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat
meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan
pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak langsung
keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para pelajar
berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan
budaya mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi
pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan
sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama , bak kata
peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada pengawas
menggembirakan para pengunjung dan merupakan salah satu kunci untuk menarik para
pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak sekolah
mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar. Saya juga
perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya mereka lewat
atau sengahaja tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh yang
ditetapkan.
Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak
sekolah agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk
membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya
penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku
dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah
bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang
memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara ‘ scaning’.
Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana
para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan
14
buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan efektif adalah penting untuk
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber
pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi
pengguna yang bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang
pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk dada tanyalah
minda. . Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan
pusat sumber sekolah bak kata peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia
kerana muafakat.
Latihan 6 (Dimensi Diri)
Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.
Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan permainan
tradisional di negara kita.
Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat
berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan
disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah
merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat
untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan
pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.
Antara jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah
panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya.
Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda. Hal ini
membayangkan bahawa permainan tradisional berkenaan akan lenyap ditelan zaman
jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai
khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya
mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?
Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional
adalah dengan memupuk minat diri sendiri terhadap permainan tradisional. Remaja
pada masa ini banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan.
Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman.
Oleh itu, sebagai generasi muda, saya harus sedar bahawa saya berperanan
memartabatkan permainan tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri
sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan tradisional. Saya
akan mengakses maklumat tentang permainan tradisional agar dapat memahami dengan
lebih jelas setiap permainan tradisional yang ada di negara kita. Terdapat banyak laman
web yang memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan tradisional
15
berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam diri sendiri
untuk memartabatkan permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan
moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.
Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan permainan
tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan
sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan
moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-
cara permainan tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan
memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan
permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan kerjasama
sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai remaja daripada
terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan
persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya lebih baik mengisi masa dengan bermain
permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak kebaikan kepada generasi muda
masa ini.
Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional, saya sebagai pelajar
sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan
tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan
menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan
tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah. Hal ini secara
tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya
juga akan menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah
semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh
dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkaka dan
demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik
minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional dapat
dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah,
tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan
dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam
secara semula jadi. Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah
memartabatkan permainan tradisional.
Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat
cinta akan budaya terutama permainan tradisional. Hal ini adalah kerana, permainan
tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan
dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu
dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh
16
biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini
tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional. Alah
bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa
jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap
permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang
dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional
terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan
terhadap permainan tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara
Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan
tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati
masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda
perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan
tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti.
Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur.
Karangan Dimensi keluarga
Latihan 1
Kes pembuangan bayi sering menjadi tajuk utama dada akhbar tempatan saban
hari. Peningkatan kes pembuangan bayi perlu dibendung sebelum menjadi ‘trend’
masyarakat untuk mencari penyelesaian mudah menyelesaikan masalah kelahiran
anak tidak sah taraf terutama dalam kalangan remaja.
Pada pendapat anda apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa
untuk menangani masalah ini.
Saban hari, terdapat pelbagai berita yang terpapar di dada-dada akhbar harian
tentang jenayah pembuangan bayi. Kadar pembuangan bayi yang tidak berdosa kian
meningkat. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita penemuan seorang mayat bayi
yang dimasukkan ke dalam beg pakaian dan dibuang ke dalam perigi dan juga bayi yang
baru lahir dicampakkan dari tingkat dua di satu kawasan perumahan. Perkara yang
menyedihkan kita jenayah ini melibatkan golongan remaja yang diharapkan akan
mencorak kegemilangan negara kelak. Persoalannya, di manakah letaknya sikap
bertanggungjawab dan belas kasihan serta perikemanusiaan remaja yang berani
membuang bayi mereka begitu sahaja. Remaja ini seharusnya mengikut akal fikiran
yang waras dan bukannya bertindak mengikut hati dan hawa nafsu serakah semata-
mata, bak kata pepatah, ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’.
17
Pelbagai strategi telah dijalankan oleh kerajaan dalam usaha membendung
masalah ini. Namun, masalah ini gagal diatasi. Dalam hal ini, ibu bapa adalah golongan
yang paling hampir dengan remaja. Oleh itu ibu bapa perlu memainkan peranan yang
besar dalam menangani masalah pembuangan bayi ini. Ibu bapa perlu bijak
membahagikan dan meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak.
Ibu bapa perlu menyediakan ruang untuk bermesra dengan anak-anak serta memberikan
kasih sayang secukupnya terutamanya anak-anak yang sedang meningkat remaja kerana
anak remaja sebenarnya memerlukan perhatian dan layangan yang lebih daripada ibu
bapa kerana mereka akan rasa lebih dihargai. Contohnya, ibu bapa perlu
memperuntukkan masa untuk membawa anak-anak bersiar-siar pada hujung minggu
atau melakukan aktiviti yang melibatkan ahli keluarga bersama-sama. Selain dapat
mengeratkan hubungan antara anak-anak dengan ibu bapa aktiviti yang dilakukan ini
dapat menghalang anak-anak daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah di luar
pengetahuan ibu bapa.
Dalam melayari kehidupan remaja yang penuh cabaran, remaja sering mencari
model yang boleh dicontohi. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan contoh teladan yang
positif kepada anak-anak. Ibu bapa perlu menjadi model yang boleh diikuti dan
dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh, sekiranya Si ayah atau Si ibu mahu anak-
anak mereka berakhlak mulia, tidak meninggalkan solat, maka sebagai orang tua,
hendaklah melakukannya terlebih dahulu, seperti kata peribahasa, ‘bagaimana acuan
begitulah kuihnya’. Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di
peringkat awal, sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik, maka akan baik dan
eloklah akhlak anak itu. Sekiranya hitam corak yang dilakar, maka akan hitamlah
kehidupan anak-anak itu kelak. Mendidik anak biarlah dari kecil, bukannya bila dah
menjadi buluh baru hendak dilentur, akan pecah dan patahlah buluh tersebut. Begitu
juga dengan anak-anak, bila sudah besar amat sukar untuk dididik seandainya pada
asasnya tidak dimulakan, bak kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari
rebungnya’. Ibu bapa berperanan besar memastikan anak-anak tergolong dalam
golongan yang berakhlak mulia, lalu tidak sesekali akan melakukan maksiat yang
menyebabkan kesudahan yang mengaibkan dalam menutup episod hitam yang berlaku.
Mereka tidak akan sanggup untuk menconteng arang ke muka kedua- dua ibu bapa
mereka kerana anak yang berakhlak akan sentiasa menjaga maruah diri mereka dan juga
maruah keluarga.
Di samping itu, ibu bapa juga perlu prihatin terhadap kehidupan sosial anak-
anak. Sepertimana yang kita ketahui , rakan merupakan golongan kedua yang paling
hampir dan rapat dengan remaja selain ibu dan bapa.Pepatah arab ada menyebut,
sekiranya kita berkawan dengan penjual minyak wangi, nescaya kita berbau harum, dan
sekiranya kita berkawan dengan pembuat besi, kita juga turut terkena percikan apinya.
18
Ibu bapa tidak seharusnya membiarkan anak-anak tidak kira lelaki atau perempuan
mengamalkan pergaulan bebas. Ibu bapa seharusnya mengetahui dan memastikan
dengan siapa anak mereka berkawan. Ibu bapa perlu menasihati dan memberi kesedaran
kepada anak tentang batas-batas pergaulan antara lelaki dengan perempuan bagi
mengelakkan berlakunya hubungan intim dan keterlanjuran yang secara tidak langsung
menyumbang kepada berlakunya jenayah pembuangan bayi ini. Berkawan antara lelaki
dengan perempuan tidak mengapa, asalkan tahu batas-batas pergaulan. Jangan sampai
mendorong melakukan maksiat, melakukan zina seterusnya mengandung anak luar
nikah. Akhirnya, untuk menutup malu, lalu remaja yang terlibat sanggup membuang
bayi yang tidak bersalah di masjid, di depan rumah atau dibuang ke dalam sungai. Ibu
bapa perlu menasihati anak-anak agar berkawan dengan kawan yang mempunyai akhlak
yang baik, berwawasan dan mendorong melakukan aktiviti yang berfaedah. Kawan
yang baik dan berakhlak akan mengelakkan diri daripada menghampiri maksiat dan
kejahatan. Mereka akan sentiasa menjaga adab pergaulan.
Agama teras kehidupan dan merupakan panduan kepada setiap penganutnya.
Oleh itu, ibu bapa perlu memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak.
Didikan agama merupakan benteng yang ampuh untuk untuk mengelakkan golongan
remaja terjebak dalam kancah maksiat. Mereka akan dapat membezakan antara baik dan
buruk, halal dan haramnya tindakan serta perlakuan yang akan dilakukan. Anak-anak
akan mempunyai jati diri yang utuh bagi melawan serangan-serangan pemikiran dan
budaya negatif. Oleh itu, ibu bapa perlu menghantar anak-anak mendalami bidang
agama seawal usia tujuh tahun. Apabila pegangan agama menguasai diri, seseorang itu
akan berfikir berulang kali sebelum melakukan sesuatu yang menyalahi ajaran agama.
Namun, ibu bapa kini lebih cenderung untuk menghantar anak-anak mereka menghadiri
kelas-kelas yang mengajar anak-anak ilmu keduniaan berbanding dengan program-
program kerohanian dengan alasan unsur-unsur kerohanian tidak memberi sumbangan
yang besar kepada perkembangan dan kemajuan seseorang. Didikan agama yang
kurang akan menipiskan tahap keimanan seseorang. Akibatnya mereka tidak takut untuk
membuat dosa dengan beranggapan perbuatan tersebut tidak mendapat balasan Alllah
SWT pada masa itu juga. Remaja yang nipis imannya tidak dapat bertindak secara
rasional dan lebih suka bertindak mengikut emosi untuk mengatasi sesuatu masalah.
Lantaran itu, bagi remaja yang melahirkan anak tidak sah taraf ini, mereka sanggup
membuang bayi mereka kerana bertindak mengikut emosi dan tidak memikirkan
bahawa perbuatan mereka ini akan menambahkan lagi dosa yang sedia ada. Seandainya
anak yang dibuang itu masih hidup dan ditemui oleh orang lain, akan selamatlah anak
tersebut, tetapi seandainya bayi itu mati, jadilah dia seorang pembunuh.
19
Seterusnya langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah
pembuangan bayi ini adalah mengubah tanggapan dan persepsi mereka terhadap anak-
anak. Jangan memberikan kebebasan yang keterlaluan kepada anak-anak. Ibu bapa
perlu membuat ketetapan dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh anak-anak terutamanya
kepada anak-anak perempuan kerana gejala pembuangan bayi ini lebih melibatkan
golongan remaja perempuan. Tetapkanlah peraturan, anak-anak perempuan tidak
dibenarkan keluar malam atau pulang lewat malam. Selain itu, ibu bapa perlu menegur
anak-akan perempuan agar tidak memakai pakaian yang terlalu mencolok mata
sehingga menimbulkan keghairahan orang lain untuk menghampiri mereka dan
melakukan sesuatu yang tidak baik kepada mereka. Keadaan ini bukan hanya berlaku di
luar rumah, malahan mungkin akan berlaku di dalam rumah sendiri yang boleh
menyebabkan berlakunya sumbang mahram yang akhirnya melahirkan zuriat. Ibu bapa
perlu mengawasi pergerakan anak jika sekiranya ada sesuatu yang meragukan. Sebab
pernah terjadi, anak yang masih bersekolah mengandung tanpa disedari oleh ibu bapa
disebabkan kurang berkomunikasi dengan anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga jangan
terlalu mengongkong anak-anak. Sekiranya mereka berpeluang hidup berjauhan dengan
keluarga, mereka akan melakukan apa-apa sahaja yang terlintas difikiran mereka tanpa
berfikir panjang. Anak-anak akan berubah sikap seperti membujur lalu melintang patah
dengan bertindak liar tanpa pengawasan ibu bapa. Hal ini berlaku terutamanya bagi
anak-anak gadis yang berpeluang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi kerana
beranggapan mereka bebas melakukan apa-apa sahaja. Jangan sampai, ‘sudah terhantuk
baru terngadah’ dan ‘nasi sudah menjadi bubur’. Sesungguhnya, ‘sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’.
Intihanya, gejala pembuangan bayi yang serius tiada penghujung sekiranya tidak
ada kesedaran dalam kalangan masyarakat sarwajagat untuk mengubah sikap kerana
untuk menangani masalah pembuangan bayi ini bukan hanya menjadi tanggunggjawab
ibu bapa sahaja tetapi memerlukan kerjasama semua pihak. Langkah-langkah yang
diambil sewajarnya akan menjadi anjakan paradigma dalam kehidupan agar setiap
remaja yang terdedah kepada gejala negatif ini perlu mempunyai semangat yang kuat
untuk menghadapi cabaran. Gejala tersebut merupakan satu kesalahan yang amat kejam.
Sedangkan haiwan pun tidak berlaku kejam kepada anaknya. Anak itu satu anugerah
daripada Tuhan. Oleh itu, kita mesti menghargainya dengan baik dan penuh kasih
sayang. Sesungguhnya masih ada ruang untuk ibu-ibu muda yang mengandung anak
luar nikah ini mencari jalan pulang, bak kata pepatah Melayu, ‘sesat di hujung jalan,
kembali ke pangkal jalan’. Walaupun di depan jalan amat berliku, namun remaja yang
terlibat perlu menguak halangan untuk mencari sinar kehidupan.
20
Latihan 2: (Dimensi Keluarga)
Menabung amat penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan.
Apakah peranan ibu bapa dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya
masyarakat kita?
Hidup ibarat roda, sekejap di atas, sekejap di bawah, begitulah lumrah manusia
dalam kehidupan. Menjelang era milieu yang sarat dengan informasi dan teknologi,
momentum arus terus bergerak ke depan dengan tidak berlengah-lengah. Oleh itu,
generasi muda perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai sejak anak-anak
masih kecil lagi. Amalan menabuing ini diharapkan terbawa-bawa sehingga dewasa.
Menabung merupakan tabiat menyimpan wang. Tanggungjawab untuk memupuk
amalan ini dalam sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa. Dengan itu, ibu bapa
perlu memainkan peranan mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut di dalam
tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Persoalannya, apakah peranan yang
perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memastikan amalan ini menjadi budaya
masyarakat kita?
Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi menerapkan amalan
berjimat-cermat dalam diri anak-anak adalah dengan menjadikan amalan ini sebagai
budaya keluarga. Hal ini kerana suasana keluarga merupakan cara yang paling cepat dan
efektif bagi membentuk keperibadian anak-anak. “Anak ibarat sehelai kain putih, ibu
bapa yang bakal mencorakkannya menjadi putih atau hitam”. Ibu bapa merupakan orang
yang pertama berpeluang untuk berinteraksi dengan anak-anak. Anak-anak telah dibawa
ke dunia ini oleh ibu bapa. Anak-anak datang ke dunia yang berwarna-warni ini dengan
otak yang kosong. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengisikan tempat kosong yang ada
dalam minda anak-anak. Dengan kesempatan ini, ibu bapa boleh menyemai amalan
menabung dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak menabung
dengan menyimpan sebahagian daripada wang perbelanjaan harian sekolah anak-anak.
Ajarlah anak-anak berjimat-cermat dan tidak membelanjakan semua wang perbelanjaan
harian yang diberi agar anak-anak tahu akan kepentingan menabung. Jelasnya, ibu bapa
perlu memupuk tabiat ini dalam kalangan kanak-kanak “sebelum kudis menjadi tokak”.
Selain itu, ibu bapa wajar menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak
sejak bangku prasekolah lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sewaktu anak-anak masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu
bapa. Oleh itu, ibu bapa mudah memberitahu dan mendidik mereka amalan yang
berunsur positif seperti amalan menabung. Anak-anak mudah dipengaruhi ketika
mereka masih kecil. Mereka tidak akan mengingkari nasihat ibu bapa dan mengikut
segala ajaran ibu bapa mereka. Dengan cara ini, amalan menabung, secara tidak
21
langsung, mudah berakar umbi dalam hati anak-anak. Sekiranya didikan dan ajaran
seperti ini diberikan sewaktu belia, anak-anak yang berdarah muda tidak akan
mempedulikan ibu bapa lagi dan nasihat ini bagai mencurahkan air ke daun keladi. Ibu
bapa yang melahirkan anak-anak dan membawa mereka ke alam fana ini, sekiranya
mangajar kanak-kanak bukan tanggungjawab mereka, siapakah yang mampu
bertanggungjawab dalam hal ini lagi? Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan amalan
sedikit demi sedikit dalam jiwa anak-anak sejak kecil kerana sedikit-sedikit, lama-
lama jadi bukit.
Selain itu, ibu bapa mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak menunjuk-
nunjuk. Anak-anak perlu diterapkan dengan gaya hidup yang sederhana dan tidak
membazir. Sebagai contohnya, jenis rumah dan perkakas di dalamnya menjadi penanda
aras paling senang bagi menilai taraf hidup sesebuah keluarga. Oleh itu, ibu bapa
perlulah bersederhana dalam pembelian peralatan di rumah dan setiap pembelian perlu
dibayar tunai tanpa berhutang. Kadangkala, terdapat keluarga yang sanggup berhutang
bagi membeli perabot dan perkakas rumah yang bergaya supaya mendapat
"pengiktirafan"orang berada oleh orang-orang di sekeliling walaupun hakikat
sebenarnya mereka tidak berkemampuan .Mereka inilah yang berpegang pada prinsip
biar papa asal bergaya. Jika ada ibu bapa yang menjadikan hal ini sebagai budaya
keluarga, diharapkan mereka dapat menukar perspektif tersebut bagi memudahkan
proses penerapan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak.
“Adat usang pusaka lama”, amalan menabung merupakan tabiat yang bijak dan
harus diwariskan secara turun-temurun. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak
menguruskan wang dengan cekap. Mereka harus memberitahu anak-anak cara
penggunaan wang dan cara penyimpanannya. Mereka perlu kerap menggalakkan anak-
anak mengamalkan tabiat menabung. Membuka akaun bank untuk anak-anak
merupakan perkara pertama yang boleh diambil bagi menyiapkan anak-anak ke arah
berjimat-cermat. Malah, langkah ini boleh diambil sejak usia mereka masih bayi. Ibu
bapa dapat menaikkan semangat anak-anak untuk menabung dengan meminta mereka
membayangkan wang simpanan yang bakal digunakan untuk masa depan mereka kelak.
Kata orang tua, “semua orang memerlukan pujian”. Dengan hal tersebut, ibu bapa boleh
memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang baik. Pujian dengan
batasan tertentu boleh mewujudkan keyakinan anak-anak. Oleh itu, mereka akan
menerima nasihat dan ajaran ibu bapa dengan hati terbuka. Mereka akan belajar
pengurusan wang dengan cekap. Amalan menabung mudah ditanamkan. Dengan itu, ibu
bapa harus memuji anak-anak dan cara ini dapat memudahkan penerapkan amalan
menabung sudah terang seperti “murai berkicau hari siang”.
22
Pada hakikatnya, ibu bapa berperanan untuk menunjukkan contoh teladan
yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa sendiri harus mengamalkan sikap menabung.
Mereka harus menabung wang bersama dengan anak-anak. Anak-anak mudah terikut-
ikut oleh tingkah laku ibu bapa dan mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa.
Oleh itu, ibu bapa perlu menujukkan contoh yang baik. Mereka harus mengamalkan
tabiat menabung juga. Cuba anda bayangkan, macam mana anak-anak akan rela hati
untuk menabung sekiranya ibu bapa mereka sendir iseorang yang boros dan tidak
pandai menguruskan wang? Hal ini jelas menunjukkan betapa pentingnya imej
yang diberikan oleh ibu bapa di depan anak-anak. Pepatah Melayu juga mengatakan
bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
“Jika berkawan dengan tukang besi, baju kita akan tercarik terkena percikan api;
jika berkawan dengan penjual pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum”, kawan
merupakan ‘magnet sakti’ yang boleh mempengaruh anak-anak yang berusia seumur
jagung. Ibu bapa harus menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan
dengan mereka yang kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah anak-anak mudah
runtuh sekiranya kegembiraan dan kemewahan mengaburi mata, bak kata pepatah, “ikut
hati mati, ikut rasa binasa”. Oleh itu, ibu bapa harus mengurangkan peluang anak-anak
untuk bercampur dengan golongan tidak bermoral. Anak-anak mudah terjerumus ke
dalam lembah maksiat. Anak-anak hanya tahu menghabiskan wang dan tidak tahu
betapa susah payahnya ibu bapa memperoleh wang untuk perbelanjaan anak-anak.
Dengan itu, amalan menabung akan dialpakan dan diketepikan oleh anak-anak. Oleh itu,
ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak berkawan dengan mereka yang kurang
bersahsiah.
Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memang memainkan peranan dominan
dalam memastikan amalan menabung manjadi budaya masyarakat kita. Pepatah cina
mengatakan “Jikalau tiada wang semua kerja tak terjadi”. Peribahasa Melayu pula
menunjukkan “ada padii semua jadi, ada beras semua deras”. Gambaran ini
menunjukkan betapa pentingnya wang dalam zaman globalisasi yang mengutamakan
kebendaan dan material. Kita harus menyemai sifat menabung dan menjadikan amalan
ini sabagai satu tabiat hidup. Pembentukan generasi muda barakhlak yang merupakan
tonggak aspirasi untuk menerajui negara pada masa depan amat diperlukan untuk
merealisasikan kelahiran masyarakat madani. “Air bersih, ikannya jernih”.
23
Latihan 3: (Dimensi Keluarga)
Ibu bapa merupakan dua insan yang banyak berjasa bagi memastikan kejayaan
anak-anak dalam kehidupan.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh anak-anak untuk membalas
jasa kedua-dua ibu bapa mereka.
Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak
belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Situasi sebeginilah yang sedang berlaku pada
zaman ini. Ibu bapa ditinggalkan hidup merempat di jalan oleh anak – anak yang tidak
berperikemanusiaan. Mereka sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua-
tua dalam keghairahan mengejar kemewahan dan kemajuan materialisme. Kita
seharusnya ingat bahawa si ibu yang telah mengandungkan kita selama sembilan bulan
sepuluh hari dan membawa kita ke muka bumi ini. Si bapa pula telah bersengkang mata
untuk mencari nafkah bagi membesarkan kita. Mereka sanggup mengetepikan
kegembiraan mereka semata-mata untuk membahagiakan kita. Bagi mereka, kesusahan
yang dilalui oleh mereka tidak bererti apa-apa sekiranya anak- anak mereka hidup
bahagia. Oleh itu, kita perlu menghargai dan membalas jasa ibu bapa kerana mereka
merupakan insan yang paling penting dalam hidup kita. Tanpa ibu bapa, siapalah kita?
Persoalannya, apakah langkah- langkah yang dapat diambil oleh anak-anak untuk
membalas jasa kedua-dua ibu bapa mereka?
Sebagai seorang anak yang taat, kita seharusnya menghormati kedua-dua ibu
bapa kita. Apabila usia sudah lanjut, ibu bapa mudah tersinggung dengan apa-apa yang
diperkatakan oleh anak- anak. Dalam hal ini, kita seharusnya menjaga pertuturan dan
pengucapan kita apabila berbual dengan ibu bapa agar mereka tidak berasa tersisih.
Menurut pujangga “ sekiranya engkau tidak menghormati ibu bapamu, maka suatu hari
nanti, anak-anakmu tidak akan menghormatimu”. Sekiranya kita menghormati ibu bapa
kita dan sentiasa bersopan santun dengan mereka, mereka akan merasakan bahawa diri
mereka disayangi dan dihargai. Sebagai contoh, ketika kita berjalan di hadapan orang
tua kita, kita seharusnya tunduk sebagai tanda hormat. Hal ini menunjukkan bahawa kita
sentiasa bersikap merendah diri di hadapan ibu bapa kita. Ibu bapa hanya mengharapkan
diri mereka dihormati sejajar dengan usia mereka. Kita janganlah sesekali menyakitkan
hati ibu bapa kerana kesedihan dan kekecewaan mereka boleh memusnahkan kita dalam
sekelip mata. Kita harus mengambil iktibar daripada kisah “Si Tanggang dengan
ibunya” agar tidak menerima nasib seperti Si Tanggang yang bertukar menjadi batu
akibat sumpahan ibunya. Anak yang derhaka tidak akan mendapat keredaan Allah
kerana menyakiti hati ibu bapa merupakan kesalahan yang tidak boleh dimaafkan. Oleh
itu, wajarlah kita menghormati ibu bapa untuk membahagiakan mereka.
Di samping itu, kita juga perlu menjaga ibu bapa kita yang sudah uzur. Kita
24
janganlah bersikap seperti kacang lupakan kulit setelah memperoleh kesenangan dengan
menghantar mereka ke rumah orang tua. Hal ini kerana mereka telah membesarkan dan
menjaga kita dengan baik sehingga kita berjaya dalam hidup . Oleh itu, kita perlu
menjaga ibu bapa kita sehingga mereka menemui ajal mereka. Falsafah Cina ada
menyebut “menyimpan seorang tua di dalam rumah umpama kita memiliki suatu barang
yang amat berharga”. Ibu bapa yang sudah tua mengharapkan anak- anak mereka ada
bersama-sama mereka kerana mereka tiada tempat bergantung melainkan kita. Kitalah
menjadi tempat mereka mengadu, menangis, bergembira dan berkongsi segala
perasaan mereka. Hal ini kerana hubungan yang terjalin antara seorang ibu dengan
anaknya ialah hubungan yang ditentukan oleh Tuhan di dunia dan akhirat. Selain itu,
kita juga perlu menyediakan segala keperluan dan permintaan ibu bapa kita. Pada usia
yang semakin lanjut, mereka mudah lupa tentang apa-apa yang diperlukan oleh mereka.
Dalam hal ini, kita perlu menyediakan segala keperluan ibu bapa kita seperti makanan,
pakaian, tempat tinggal yang selesa dan ubat-ubatan. Ada ketikanya, ibu bapa berasa
segan untuk meminta sesuatu daripada kita sebagai anak kerana mereka merasakan
bahawa hal ini akan membebankan kita. Kita seharusnya ingat bahawa suatu ketika
dahulu, ibu bapa kita telah menyediakan segala keperluan untuk kita tanpa diminta.
Mereka sanggup memakai pakaian yang lama untuk membeli pakaian yang baharu
untuk kita. Oleh itu, kita harus menjaga segala keperluan ibu bapa kita bagi membalas
segala penat lelah mereka. Ulama ada mengatakan bahawa seseorang yang tidak
mendapat keredaan ibu bapa tidak akan mencium bau syurga. Sekiranya kita gagal
menjaga kebajikan ibu bapa kita, maka kita telah melakukan dosa. Jelasnya, kita harus
melaksanakan kewajipan kita sebagai anak yang saleh dengan menjaga ibu bapa kita
dengan baik.
Selain itu, kita juga harus belajar bersungguh-sungguh untuk menggapai
kejayaan dalam pelajaran. Setiap ibu bapa mengharapkan anak- anak mereka agar
berjaya dalam hidup. Mereka sanggup bertungkus lumus demi menyekolahkan kita agar
kita hidup senang pada kemudian hari. Dalam hal ini, kita seharusnya berusaha
bersungguh-sungguh dalam mencapai kejayaan untuk membalas jasa ibu bapa kita. Kita
janganlah membiarkan hasrat ibu bapa kita berkecai seperti kaca terhempas ke batu.
Hal ini akan meletakkan ibu bapa kita dalam keadaan yang sedih sekiranya kita gagal
menunaikan hasrat mereka. Mereka tidak mengharapkan wang ringgit daripada kita
tetapi hanya mendoakan agar kita menjadi insan yang berilmu dan berguna serta
dipandang mulia oleh masyarakat. Ibu bapa akan berasa bangga dan gembira apabila
melihat anak- anak mereka memperoleh segulung ijazah. Kita juga tidak harus
melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat. Kita harus mengikuti jalan yang betul
untuk menjaga perasaan ibu bapa kita. Meraka sudah tentu akan berasa sedih sekiranya
melihat kita melakukan aktiviti yang tidak sihat. Tegasnya, kita harus belajar
bersungguh-sungguh agar pengorbanan ibu bapa kita tidak menjadi sia- sia.
Seterusnya, kita perlu meluangkan masa bersama-sama ibu bapa kita.
25
Walaupun sibuk dengan kerjaya, kita harus meluangkan masa untuk bergaul dan
beramah mesra dengan mereka. Apabila semakin tua, ibu bapa kita mudah diselubungi
perasaan kesunyian. Pada ketika inilah, mereka memerlukan teman untuk berbual-bual.
Kita seharusnya menemani mereka ketika mereka berasa sunyi dan sepi. Memang tidak
dapat dinafikan apabila telah berkerjaya, kita lebih banyak menghabiskan masa dalam
kerjaya. Namun begitu, pada masa lapang, kita perlu menziarahi mereka dan berbual-
bual dengan mereka. Kita juga perlu bergurau senda dengan mereka untuk
menghiburkan hati mereka. Ilmuwan Islam ada menyatakan “ sekiranya kita lupa akan
jasa ibu bapa, maka kita juga telah lupa akan diri kita”. Bagi anak-anak yang tinggal
berjauhan, mereka boleh berhubung dengan ibu bapa mereka melalui telefon. Ketika
berbual dengan mereka, kita perlu menggunakan pertuturan yang bersopan dengan
mereka agar tidak menggores perasaan mereka. Bukan itu sahaja, kita juga boleh
membantu ibu bapa kita melakukan kerja-kerja rumah untuk meringankan beban
mereka. Sebagai contoh, kita boleh membantu ibu kita untuk memasak, mencuci
pakaian, mengemas rumah dan sebagainya. Jelasnya, komunikasi yang baik antara
anak-anak dengan ibu bapa dapat menjamin keharmonian keluarga.
Sejajar dengan konteks perbicaraan, kita juga perlu menyambut sesuatu
perayaan bersama-sama ibu bapa kita. Kita perlu ingat bahawa syurga terletak di bawah
tapak kaki ibu bapa. Menjelang musim perayaan, kita perlu balik ke kampung untuk
menyambut sesuatu perayaan. Ketika musim perayaan, kita dapat meluangkan masa
yang lama bersama-sama mereka. Kita juga perlu meraikan Hari Bapa dan Hari Ibu
sebagai tanda menghargai jasa mereka. Dengan itu, ibu bapa kita akan merasakan
bahawa diri mereka dihargai kerana kita sudi mengadakan majlis untuk mereka . Malah,
kita juga boleh mengadakan majlis sempena ulang tahun perkahwinan ibu bapa kita.
Melalui majlis sebegini, ibu bapa kita dapat mengimbau kembali kenangan manis
mereka sewaktu muda. Walaupun ibu bapa kita sudah tua, kita juga boleh menyambut
hari jadi mereka. Masa itu emas, jikalau kita meluangkan masa untuk ibu bapa kita
dalam mengadakan majlis khas untuk mereka, masa itu bagaikan permata, lebih mahal
daripada emas. Bukan itu sahaja, kita juga perlu meraikan kejayaan kita bersama- sama
ibu bapa kita. Hal ini kerana kejayaan itu sebenarnya hasil titik peluh ibu bapa kita.
Walaupun sudah berkahwin, kita perlu memberikan keutamaan kepada ibu bapa kita
kerana jasa mereka tidak ternilai.
Akhir sekali, kita perlu mendoakan kesejahteraan hidup ibu bapa kita di dunia
dan di akhirat. Doa kita akan termakbul sekiranya permintaan kita ikhlas. Bayangkanlah
sekiranya ibu bapa kita telah meninggal dunia, adakah kita akan berpeluang untuk
melihat mereka semula? Maksud Al-Quran ada menyatakan “ Dan ucapkanlah doa :
Wahai Tuhanku, kasihanilah kedua-dua ibu bapaku, sebagaimana mereka mendidik dan
mengasihani aku sewaktu aku kecil”. Oleh itu, kita harus berdoa agar ibu bapa kita
26
dikurniakan dengan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur. Bagi ibu bapa yang
sudah meninggal, kita juga boleh berdoa agar mereka ditempatkan bersama-sama
orang-orang yang mulia. Setiap anak digalakkan membaca ayat-ayat suci al-Quran
untuk disedekahkan kepada arwah ibu bapa mereka. Orang India pula akan mengadakan
upacara sembahyang pada setiap ulang tahun kematian ibu bapa mereka. Bagi
masyarakat Cina, mereka akan menyembah roh arwah ibu bapa dan nenek moyang
mereka pada setiap Tahun Baru Cina dengan melawati kubur orang tua mereka. Dalam
hal ini, setiap agama menyeru kepada bangsanya untuk berdoa agar roh ibu bapa
mereka tenteram.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak
harus melaksanakan kewajipan mereka dengan menjaga ibu bapa dengan baik. Selagi
ibu bapa kita hidup di muka bumi ini, kita perlu memenuhi segala permintaan dan hajat
mereka sebagai tanda menghargai pengorbanan mereka. Hal ini kerana apabila mereka
sudah tiada di dunia, kita tidak berpeluang melakukan sesuatu bagi membalas jasa
kedua-dua orang tua kita. Ketika itu, kita akan menyesal namun pepatah menyatakan
bahawa “ sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”. Oleh itu, marilah
kita menyahut slogan “ Sayangilah Ibu Bapa kita” dan berbakti kepada ibu bapa kita
agar hidup diberkati. Kita janganlah melakukan dosa dengan menyakitkan hati ibu bapa
kita. Tegasnya, setiap insan harus mendukung kewajipan sebagai anak yang soleh dan
solehah serta melaksanakan kewajipan tersebut dengan baik agar hidup diberkati.
Latihan 4: (Dimensi Keluarga)
Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting bagi menggalakkan anak-
anak menggunakan barangan buatan Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak
dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.
Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju
menjelang 2020, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan
pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita
agar tidak lagi mengagung-agungkan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini
sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk
keluaran negara kita dijamin lebih baik. Walaubagaimanapun, masih ramai lagi yang
tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar barangan buatan
negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya mempunyai cita rasa
yang tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam
menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?
Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu
27
bapa perlulah menjadi role model kepada anak-anak mereka kerana anak-anak akan
sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan
bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang paling
dikagumi kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Anak-anak
diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai
dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan bersinar.
Walaubagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti ketam mengajar anaknya
berjalan dengan betul kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang rasa kagum dan
kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah membeli kereta buatan
Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic,
Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-
anak mereka dengan menyokong barangan buatan Malaysia yang berkualiti ini.
Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-
anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini
terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja
supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab
mereka. Ibu bapa juga boleh menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia
melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik nilai cinta akan negara, taat setia
kepada raja dan negara, dan sanggup berkorban untuk negara kepada generasi muda
kita. Ibu bapa patut menyeru anak-anak untuk mencontohi warganegara Jepun dan
Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka
sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan
produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut
seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat
malalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain
yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah
diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan
ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan
remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga
merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti
akan laris di pasaran.
Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa
membawa anak-anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa
bolehlah membawa anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan
oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara.
Karnival sebegini telah ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai tawaran
28
potongan harga yang istimewa. Sebagai contoh, kraf tangan dan batik, yang
merupakan budaya yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan
anak-anak dengan pelbagai barangan tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk
dan keunikannya yang tersendiri. Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak
keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah
merupakan barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan
pelbagai jenis pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-
anak menyertai pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan
menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat
mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan
Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak
kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan Malaysia
untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.
Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan
buatan Malaysia kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-
faedahnya, menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah
memberitahu anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja
kualitinya setanding dengan produk-produk luar negara, malah harganya juga cukup
murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan kempen-kempen
yang telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada anak-anak untuk
memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-barangan
Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah barangan tempatan dari sudut pemikiran
juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak harus diwujudkan pada
anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya, membinakan semangat Malaysia Boleh dari
serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa
berperanan penting dalam menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia
kepada anak-anak supaya mereka sedar dan bijak memilih benda yang baik dan
mendatangkan kebaikan kepada mereka.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang
merupakan insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya
yang amat penting dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan
menggunakan barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara
kita bukan sahaja mengimport barangan luar negara malah juga mengeksport barangan
buatan Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih
murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti
yang baik. Walalau bagaimanapun, usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak
mencukupi. Rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia
Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai
29
satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan
Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat
agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.
LATIHAN 5 (Dimensi Keluarga)
Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat.
Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga
menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan
kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-
baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita
dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain
dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia,
agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran Sepakat
Membawa Berkat”. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan
mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan
sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai
pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat semakin
meluntur. Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil
langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya,
apakah langkah-langkah yang elektif wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk
semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?
Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh
masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai
yang berharga ini tidak lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa
haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau
masyarakat setempat. Dalam hal ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai
aktiviti tersebut bersama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat
dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan.
Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan berkenal-
kenalan antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati
budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui
pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “ tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh,
aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan
taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti
yang dijalankan secara bergotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai
aur dengan tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik.
30
Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran.
Mereka juga sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti . Apabila
dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan ikatan
kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat
memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik
kepada anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam
diri sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti ‘aur dengan tebing’ atau
‘ ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati
kuman sama dicecah’ untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam
sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan
terhadap jiran mereka.. Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah
bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu hal rumah
tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran
dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh
jiran. Hal ini demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan
menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan
bantuan orang lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, maka ahli-ahli keluarga
itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital,
memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan daripada mereka, mendapatkan
bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap keprihatinan yang
ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut
mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi suri
teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-
majlis rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan
sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan
semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa
boleh membawa anak-anak bersama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat
berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga
berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar
sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat
akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini.
Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri,
Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan.
Kehadiran ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja
dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya
malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak dan
31
mengamalkan semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah
diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka
dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi
dalam kalangan masyarakat sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan
semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa
digalakkan membawa anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa
yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan
yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini
akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan harmoni walaupun dalam keadaan yang
serba kekurangan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke
hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana
menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk
sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap
mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan ‘ seperti enau di dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa
‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya’, namun sebagai jiran, kita
mestilah berpegang teguh pada prinsip “cubit peha kiri, peha kanan terasa juga”. Jadi,
melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang
dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih
selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa
masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan
budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat
kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan
diri dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan
aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat
setempat. Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi
pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh
menyertai permainan yang disediakan. Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada
anak-anak tentang kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang
mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah
melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan
sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga ,
Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan
sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat
secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk
mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh,
32
merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu,
iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau
saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan
penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial
sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat
kejiranan dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang
prihatin dan mmmembentuk perpaduan kaum. Walau apa pun keadaan dan di mana-
mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang
menjadi tempat untuk memohon bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan
sentiasa menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita
senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita
sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran,
maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata “ Jiran Sepakat Membawa
Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa
susah dalam usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas,
barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan
semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap
masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa
terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman
yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada
seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan
bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”.
LATIHAN 6 (Dimensi Keluarga)
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak.
Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah
membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang
kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang
terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat
membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman
damai kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri
mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan
perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam diri
mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan
tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti
33
Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini
kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh
itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat
patriotik dalam jiwa masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang
utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang
bersejarah. Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah,
Melaka. Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini
dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang
dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam
jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota
Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti
lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata
kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat
mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke
tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu
bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan
sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan
negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-
anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku
sejarah dan novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-
anak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme.
Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang
sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-
buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat.
Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat
diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah
dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila
anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka
membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke
udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi ‘role model’ atau suri teladan
34
kepada anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan,
pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian,
ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai
contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang
boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa
protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam
mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa harus
sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya
kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian
1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa
haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat
menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa
perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang
berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai
peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi
melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, “pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk
tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada
anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau,
Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehlah juga
menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu, betapa mereka menderita
dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan Jepun di negara kita sehingga terpaksa
makan ubi kayu sahaja. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan
kehidupan mereka sekarang berbanding kehidupan yang ditempuhi oleh nenek moyang
mereka dahulu. Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak
kerana anak-anak akan insaf dan sedar bagaimana susahnya kehidupan pada zaman
penjajahan dan lahirnya perasaan mensyukuri nikmat kemerdekaan yang ada sekarang.
Ibu bapa juga boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang
diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang
tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan
sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui
sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah
sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau
berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah
dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba
mengingati setiap cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara.
Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk
35
jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-
sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16
September dan sebagainya. Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini,
semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya, anak-anak
dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak
kemerdekaan, mendengar perkisahan cerita-cerita tentang kesengsaraan pengorbanan
para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara, dan sama-sama menyaksikan
perbarisan yang boleh menyemarakkan semangat cinta akan tanah air. Anak-anak dapat
melihat sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif
sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian
negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri
mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat
Malaysia berdiri megah seperti sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga,
kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan
berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum
akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik.
Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari
Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat
dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa ‘ tiada anugerah yang
dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti
yang mulia’. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang
ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah
melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bersemangat
patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.
Pastikan anda mencapai A+ yang diimpi-impikan...Yezahhh
Percubaan SPM 2014 – 12(Kuantan/1)
36