Post on 04-Jul-2021
UCAPAN PENGARAH BAHAGIAN PENYELIDIKAN DAN PERANCANGAN, JABATAN PERKHIDMATAN AWAM DI MAJLIS
PERHIMPUNAN BULANAN JPA PADA 4 FEBRUARI 2004
TEMA: “MENJANA PERUBAHAN KE ARAH KEGEMILANGAN”
Bismillahirrahmanirrahim Yang Berusaha Saudara dan Saudari Pengacara Majlis, Yang Berbahagia Tan Sri Jamaluddin bin Haji Ahmad Damanhuri, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ismail bin Adam, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Yang Berbahagia Dato’ Zakaria bin Mohd Taib, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Pengarah-pengarah Bahagian, Y. Bhg. Dato’-Dato’/ Datin-Datin/Tuan-Tuan/Puan-Puan/Saudari Saudari Pegawai JPA yang saya hormati sekelian,
1
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
MUKADIMAH
1. Terlebih dahulu marilah kita mengucapkan setinggi-tinggi
kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T., kerana dengan limpah dan
kurnianya dapat kita bersama-sama berhimpun dalam Majlis
Perhimpunan Bulanan JPA bagi bulan Februari 2004 bersamaan bulan
Zulhijjah 1424 Hijrah. Terima kasih juga diucapkan kepada Y. Bhg. Tan
Sri, yang memberikan kepercayaan kepada Bahagian Penyelidikan dan
Perancangan (BPP) untuk menganjurkan perhimpunan pada kali ini dan
seterus untuk saya menyampaikan ucapan.
2. Sebagaimana kita semua maklum, terdapat dua peristiwa penting
dalam bulan ini yang menjadi sejarah penting dalam kalendar Islam iaitu
Hari Raya Aidil Adha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Haji atau
Hari Raya Qurban yang kita sambut baru-baru ini dan Maal Hijrah atau
tahun baru Islam yang akan disambut pada 22 Februari ini. Sehubungan
itu, saya dan seluruh pegawai BPP ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha dan Selamat Menyambut Tahun Baru 1425 Hijrah kepada semua pegawai JPA yang hadir dalam perhimpunan pada pagi
ini.
TEMA
3. Walaupun kedua-dua peristiwa ini wujud dan berlaku dalam masa
yang singkat, tetapi ia telah menjadi satu peristiwa yang agung 2
sehingga diingati dan disambut hingga ke hari ini. Perkara ini berlaku
kerana falsafah dan pengajaran yang boleh dicontohi daripada
peristiwa-peristiwa tersebut sangat banyak dan relevan sehingga ke hari
ini. Sempena dengan dua peristiwa besar tersebut, tema yang dipilih
untuk perhimpunan pada pagi ini ialah “MENJANA PERUBAHAN KE ARAH KEGEMILANGAN”. Walaupun peristiwa agung ini merupakan
sejarah Islam, namun pengajaran yang diperolehi rentetan daripada
peristiwa tersebut merupakan sesuatu yang bersifat universal dan
sesuai kepada semua kaum/golongan serta boleh dikaitkan dengan
peranan kita sebagai anggota Perkhidmatan Awam dalam
meningkatkan kecemerlangan diri dan organisasi.
4. Tema ini merupakan suatu gambaran umum bahawa dalam usaha
untuk mencapai kegemilangan dalam perkhidmatan, setiap daripada kita
selaku anggota Perkhidmatan Awam dan sebagai insan yang
mempunyai pelbagai ragam dari segi sikap, minda, emosi, dan naluri,
sewajarnya mempunyai kecenderungan untuk berubah atau berhijrah
dari segi minda dan sikap ke arah yang lebih baik daripada sebelumnya.
Dengan kata lain, dalam membina organisasi yang gemilang, ia memerlukan satu penghijrahan atau perubahan minda dan sikap oleh setiap anggota dalam organisasi itu sendiri untuk mengamalkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang telah dan sedang diamalkan sekarang. Contoh peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w
merupakan contoh yang masih relevan hingga ke hari ini kerana iktibar
yang boleh dicontohi di sebalik falsafah penghijrahan tersebut amat
banyak.
3
5. Penghijrahan ini pula tidak dapat lari atau dipisahkan daripada tuntutan melakukan pengorbanan oleh setiap individu
dalam segala aspek pembentukan diri melalui amalan sifat-sifat baik
yang akan membawa kecemerlangan dan prestasi individu serta
organisasi. Hijrah itu sendiri merupakan satu pengorbanan yang harus
dialami sama ada dalam bentuk fizikal, mental, mahupun spiritual.
Y. Bhg. Tan Sri, Dato’-Dato’/ Datin-Datin dan para hadirin sekelian,
PERUBAHAN KE ARAH KEGEMILANGAN
6. Sebagai permulaan, izinkan saya menjelaskan dahulu konsep hijrah atau perubahan ke arah kegemilangan yang boleh diterapkan
dalam pengurusan kita pada hari ini berdasarkan kepada hijrah agung
yang dilakukan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Sebelum
daripada itu, marilah kita mengimbau kembali falsafah sebenar di
sebalik penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w daripada kota Mekah al-
Mukarramah ke kota Madinah al-Munawwarah yang yang dahulunya
dikenali sebagai Yathrib dan kekal menjadi peristiwa yang akan diingati
dan disambut sehingga ke hari ini. 7. Hijrah Rasulullah s.a.w bersama-sama sahabat baginda Saidina
Abu Bakar as-Siddiq di tengah malam yang gelap gelita pada tahun 622
Masihi sebenarnya bukanlah bermaksud perpindahan untuk
memperolehi kesenangan serta takut kepada penderitaan dan
kekejaman. Dalam pengertian yang lebih luas, penghijrahan tersebut
bermaksud penghijrahan untuk keluar dari medan perjuangan 4
yang sempit ke gelanggang yang lebih luas. Selain daripada itu,
penghijrahannya juga membawa perubahan daripada yang jahil dan batil kepada yang hak atau kebenaran supaya kehidupan akan
menjadi lebih baik, lebih maju dan lebih bermakna. Konsep perlunya
perubahan diri ini telah dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya dalam
surah Ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud:
“Sesunggguhnya Alllah tidak mengubah apa yang ada pada
sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada
pada diri mereka”.
L. N. Tolstoy pula pernah berkata:
“Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of
changing himself”.
8. Berdasarkan kepada peristiwa penghijrahan ini, marilah kita
renungi beberapa iktibar dan pengajaran yang boleh dikaitkan dengan
aspek pengurusan yang melibatkan peranan kita sebagai individu dan
entiti dalam sesebuah organisasi. Terdapat lima perkara yang ingin saya
bincangkan sebagai intisari pengajaran yang boleh kita hayati bersama-
sama daripada peristiwa hijrah ini, iaitu:-
Perjuangan ke arah yang lebih baik; Perancangan yang strategik; Keberanian dan kecekalan menghadapi risiko; Perpaduan dan kerjasama; dan Keimanan dan akauntabiliti.
5
Perjuangan Ke Arah Kebaikan
9. Secara umumnya, perkara pertama yang akan dinyatakan oleh
kebanyakan orang mengenai peristiwa hijrah ini ialah penghijrahan dari sesuatu yang tidak baik kepada yang lebih baik. Setiap
penghijrahan itu sebenarnya adalah satu perjuangan. Perjuangan yang
dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah untuk memelihara akidah serta
dapat mempertingkatkan lagi keyakinan diri dan keselamatan pengikut-
pengikutnya dalam mengamalkan ajaran suci daripada fitnah musuh-
musuhnya. Ini bermakna perjuangan yang dilakukan melalui
penghijrahan adalah bertujuan mendapatkan sesuatu yang lebih baik
daripada yang sedia ada dan daripada persekitaran yang terbatas
kepada persekitaran yang lebih kondusif.
10. Sekiranya dikaitkan dengan senario kita pada hari ini khususnya
sebagai anggota Perkhidmatan Awam, perjuangan melalui penghijrahan ke arah kebaikan atau ”towards betterment” ini adalah merupakan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk kemajuan diri dan organisasi. Sebagaimana kita semua tahu, salah
satu daripada aspek yang diterapkan dalam Sistem Saraan Malaysia
ialah pembelajaran yang berterusan (life-long learning). Dalam era
globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini, setiap hari ada sahaja
perkara baru yang dicipta atau pendekatan baru yang diketengahkan
dalam apa jua bidang. Mereka yang leka dan selesa dengan kapasiti yang sedia ada tanpa berhasrat untuk mempelajari sesuatu yang baru pasti akan ketinggalan. Justeru, sikap ingin terus maju perlulah
diamalkan oleh setiap daripada kita, seiring dengan perkembangan 6
yang terus memacu di sekeliling kita. Melalui penggunaan segala
sumber-sumber dan peluang yang telah ada dengan sepenuhnya dan
melalui program latihan dan pembangunan kerjaya yang disediakan,
tidak mustahil kecemerlangan diri dapat dicapai sekiranya setiap di
antara kita sentiasa menanam dan menyalakan semangat ingin tahu,
berfikiran rasional dan positif serta ingin berbakti kepada masyarakat
amnya dan organisasi khususnya. Dalam istilah kompetensi, kecenderungan perilaku yang positif seperti keinginan untuk menimba ilmu (desire for knowledge) dan berorientasikan kejayaan (achievement orientation) merupakan kayu pengukur terhadap tahap
kompetensi seseorang.
11. Selain daripada itu, setelah kita mencapai sesuatu kejayaan dan
kemajuan, janganlah mudah berpuas hati dengan setakat pencapaian
tersebut. Kita harus berusaha untuk menguruskan kejayaan berkenaan
di samping terus mempertingkatkan lagi ke tahap yang lebih gemilang
dan terbilang. Teringat saya akan kata-kata hikmat yang berbunyi
seperti berikut:
“Sebatang tangga itu bukanlah dimaksudkan sebagai tempat
untuk meletakkan sebelah kaki si pemanjatnya, tetapi sekadar
sebagai tempat berpijak sejenak, cukup untuk membolehkan ia
meletakkan kakinya yang sebelah lagi pada suatu tempat yang
lebih tinggi”
12. Semangat untuk terus maju ini boleh dikaitkan dengan konsep
Kaizen atau melakukan penambahbaikan yang berterusan. Setiap penambahbaikan yang dilakukan walaupun sedikit, hendaklah
7
dibuat dengan penuh ketekunan, kesabaran dan dedikasi. Pepatah
Cina ada menyatakan “Be not afraid of going slowly, but only afraid of
standing still”. Seseorang pekerja yang berdedikasi ialah yang
menjalankan tugas tanpa mengutamakan dan mengharapkan upah,
ganjaran dan sanjungan, tetapi akan merasa puas sekiranya kerja yang
dihasilkan cepat, berkesan dan berkualiti. Melalui ketekunan pula, setiap
pekerjaan dan penambahbaikan yang dilakukan akan dapat ditumpukan
sepenuhnya untuk mencapai matlamat mengikut jadual perancangan
dan tahap kualiti yang dikehendaki. Oleh sebab perubahan persekitaran
sangat pantas dan kebolehan untuk beradaptasi dengan perubahan
tersebut sangat diperlukan, maka sudah pasti penambahbaikan perlu
dilaksanakan secara yang berterusan. Sekiranya kita mempunyai minat
untuk memperbaiki kerja-kerja yang dijalankan pada setiap hari, ini
menandakan kita mempunyai motivasi yang tinggi untuk terus berjaya.
13. Dalam konteks memberikan perkhidmatan kepada pelanggan
pula, kita harus sedar dan faham bahawa masyarakat yang sebahagian besarnya merupakan pengguna atau pelanggan kita semakin tinggi pengetahuan dan kemahuan mereka. Masyarakat
memberikan persepsi terhadap pegawai Kerajaan berdasarkan kepada
“point of interaction” iaitu melalui pengamatan yang dibuat dan
pengalaman yang dialami. Oleh itu, apa yang harus dilakukan untuk
memulihkan persepsi negatif terhadap pegawai Perkhidmatan Awam
ialah merupakan satu perjuangan dalam melakukan perubahan paradigma dari segi pemikiran dan tindakan. Budaya “Mesra Rakyat” dan mementingkan pelanggan yang telah, sedang dan akan terus diterapkan dalam Perkhidmatan Awam tidak
8
terbatas setakat melihat kepada sistem dan proses dalaman sahaja, tetapi haruslah menilainya melalui impak yang diterima oleh pelanggan itu sendiri. Y.A.B Perdana Menteri telah menegaskan
bahawa segala perubahan yang hendak dilakukan sama ada dari segi
sistem, prosedur, syarat dan cara berinteraksi akan menjadi lebih fokus
dan berfaedah kepada rakyat sekiranya dilakukan berlandaskan kepada
kefahaman dan keperluan mereka..
14. Alhamdulillah, penekanan yang diberikan oleh kepimpinan negara
sekarang untuk memberikan keutamaan kepada pelanggan serta
mempertingkatkan kecekapan dalam menyampaikan perkhidmatan
merupakan langkah yang selari dengan motto Jabatan kita iaitu
“Kepuasan Pelanggan Keutamaan Kami”. Bagaimanakah kita boleh
mendakwa kita telah memberi perkhidmatan yang semakin baik pada
setiap hari dan telah dapat memuaskan hati pelanggan sekiranya masih
banyak teguran dan masalah yang dilaporkan masih belum
diselesaikan. Oleh itu, tindakan penyelesaian yang segera dan
pemantauan yang berterusan terhadap segala aduan dan maklumbalas
yang diberikan oleh pelanggan haruslah diberi perhatian yang serius
dan sewajarnya.
Perancangan Strategik
15. Setiap tindakan yang hendak dilakukan perlu dirancang terlebih
dahulu. Dalam konteks peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w., perancangan yang dibuat sebelum, semasa dan selepas penghijrahan harus dilihat sebagai proses pelaksanaan terhadap satu perancangan
9
yang strategik. Berdasarkan kepada visi atau wawasan untuk
membentuk sebuah masyarakat Islam yang ideal dan menjadi contoh
untuk selama-lamanya, maka misi utama Baginda ialah mencari tempat
yang paling sesuai untuk meneruskan pengembangan ajaran Islam.
Penghijrahan yang dimulakan pada malam hari yang gelap gelita bagi
mengelakkan daripada musuh merupakan strategi yang telah difikirkan
terlebih dahulu dalam usaha mencapai objektif atau matlamat yang ingin
dicapai oleh Baginda.
16. Strategi yang terancang merupakan asas untuk kejayaan
seterusnya seperti petikan kata-kata Aristotle yang berbunyi: “Well
begun is half done”. Begitulah juga bagi kita yang berada dalam sebuah
organisasi (JPA) yang sememangnya telah mempunyai visi, misi,
objektif dan strategi yang khusus. Tetapi pernahkah kita bertanya
berapa orangkah yang benar-benar faham dan dapat menghayati visi,
misi, objektif dan strategi tersebut? Apatah lagi untuk
menterjemahkannya kepada suatu bentuk tindakan yang berkesan
dalam usaha menjadikan Jabatan ini akan benar-benar cemerlang dan
bertaraf dunia. Misi dan objektif sesebuah organisasi tidak akan berjaya dan bererti sekiranya anggota yang terlibat di dalamnya tidak memahami misi tersebut. Pemahaman di peringkat individu akan membawa kesan terhadap kumpulan pekerja dan seterusnya kepada organisasi.
17. Keadaan ini sebenarnya menuntut supaya kita sewajarnya berpandangan jauh ke hadapan melalui perancangan yang strategik dengan menilai segala kelemahan, kekuatan, peluang
10
dan cabaran dalam persekitaran yang dinamik untuk menentukan halatuju organisasi ini seterusnya. Melalui pencapaian dan kejayaan
projek-projek dan aktiviti-aktiviti yang lepas, kita harus menilai sama ada
pencapaian tersebut adalah yang terbaik dan masih relevan dengan
hasrat Jabatan masa kini. Setiap aktiviti atau projek yang dirancang
hendaklah mengambil kira segala aspek persekitaran seperti
kemampuan sumber yang ada dan kekangan yang harus dihadapi dan
tidak dapat dielakkan.
18. Sebagai contoh, dalam keadaan peruntukan yang terbatas, kita
harus berusaha dan berikhtiar untuk melaksanakan aktiviti yang telah
dirancang tanpa menggunakan kos yang tinggi. Oleh itu, kreativiti menggunakan segala sumber yang ada serta perbelanjaan yang berhemah (prudent) harus diamalkan. Dalam konteks Model Kompetensi, tingkah laku pemikiran sebegini dipanggil “pemikiran ubahsuai (adaptive thinking)”.
19. Di JPA ini, di antara langkah-langkah yang kita jalankan ke arah
perancangan strategik ini ialah Seminar Perancangan Strategik, Kajian
Separuh Penggal dan beberapa seminar dan forum lain yang
dilaksanakan di peringkat Jabatan dan Bahagian. Segala output yang
dibincangkan dalam seminar ini merupakan input yang diperolehi
daripada setiap Bahagian. Melalui analisa pencapaian yang diperolehi,
kita akan dapat mengetahui kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran
yang harus dihadapi dalam kita merancang halatuju Jabatan ini seiring
dengan kehendak dan tuntutan persekitaran semasa. Oleh itu, segala resolusi yang dicapai dalam seminar ini bukan sahaja harus
11
diketahui dan difahami di peringkat pengurusan sahaja, tetapi perlu diperjelaskan sehingga ke peringkat sokongan. Ini akan memberi
lebih kesedaran kepada mereka untuk memberikan komitmen
sepenuhnya terhadap tugasan yang diberi ke arah mencapai objektif,
misi dan visi JPA.
Keberanian dan Kecekalan
20. Peristiwa Hijrah telah mengajar kita betapa pentingnya sikap
berani dan cekal di dalam hati dalam membuat sesuatu keputusan atau
usaha tanpa merasa takut dengan segala rintangan dan risiko yang
akan ditempuhi. Kecekalan dan keberanian kaum Muhajirin menempuh
segala ranjau kepayahan, penderitaan, kehilangan harta benda dan
keluarga serta penyeksaan merupakan aset pengajaran yang penting
dalam membentuk jiwa yang kental kepada generasi masa kini.
Kecekalan yang berteraskan kepada keyakinan akhirnya menghasilkan kejayaan. Keberanian dan kecekalan yang berasaskan
perkiraan risiko (calculated risk) yang diamalkan oleh baginda
Rasulullah s.a.w dalam peristiwa Hijrah ini boleh dijadikan iktibar oleh
setiap insan di dalam sesebuah organisasi. 21. Sebagai pegawai yang telah dipilih menganggotai JPA, apakah
kita telah cukup berani untuk bersaing dengan penuh cekal dalam
memartabatkan JPA sebagai sebuah organisasi bertaraf dunia dari segi
perancangan, pembangunan dan pengurusan sumber manusia sektor
awam? Keberanian dan kecekalan yang dimaksudkan bukanlah dari segi fizikal, tetapi merupakan kecekalan mental dan
12
spiritual dalam menghadapi segala risiko serta rintangan dan halangan yang harus dihadapi. Sebagai contoh, penyertaan kita di
dalam Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM) pada tahun ini harus
dianggap sebagai menguji keberanian dan kecekalan kita untuk
menghadapi saingan daripada agensi-agensi lain yang lebih
berpengalaman dan bersedia dalam menyertai anugerah ini. Walaupun
ini merupakan penyertaan kita yang pertama, sedangkan sesetengah
agensi yang akan bersaing telah beberapa kali menyertainya, namun
kita tidak perlu takut dan mudah menyerah kalah sebelum bertanding.
Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha menggembleng seluruh usaha dan tenaga dengan menggunakan segala sumber yang ada secara optimum untuk membuat persiapan yang sewajarnya ke arah ini.
22. Keberanian kita berhujah atau memberikan pendapat dengan beradad serta fakta yang lengkap dan jitu melambangkan bahawa kita telah membuat persediaan yang rapi dengan pencarian dan penerokaan data dan maklumat yang terkini. Ini termasuklah berani
mencuba sesuatu yang baru dalam usaha meningkatkan kemajuan diri.
Seorang penulis dan ahli falsafah Jerman ada menyatakan:
“Kehilangan kehormatan adalah celaka, tetapi yang lebih celaka
lagi ialah kehilangan keberanian”. (Johann Wolfgang von Goethe)
Penggunaan data dan maklumat yang lengkap, betul dan konsisten melalui sistem yang standard akan membantu memberikan keyakinan kepada JPA dalam memberikan ulasan dan
13
maklumbalas yang diperlukan oleh pihak pelanggan atau stakeholders. Pembangunan projek-projek HRMIS dan POWER
merupakan di antara langkah positif yang dilakukan oleh JPA berhubung
dengan perkara ini.
Perpaduan dan Kerjasama
23. Di antara perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w
dalam peristiwa penghijrahan baginda ialah mendirikan masjid. Melalui masjid ini, satu institusi dibina ke arah membentuk perpaduan dan kerjasama di antara kaum Muhajirin dari Mekah dengan masyarakat tempatan Madinah iaitu kaum Ansar. Di atas kesedaran bahawa
perpaduan merupakan penyatuan tenaga, idea dan cita-cita dalam satu
ikatan yang padu, maka penyatuan di antara puak-puak yang berbeza
ini telah membawa kepada kecemerlangan Islam sehingga dapat
disebarkan ke seluruh pelusuk tanah Arab dan Eropah.
24. Jika dilihat dilihat kepada keadaan kita di JPA ini, apakah
perpaduan dan kerjasama sesama kita daripada Bahagian-bahagian
yang berlainan telah erat dan ampuh? Setiap orang mempunyai tugas
dan peranan yang berbeza mengikut di mana kita ditempatkan serta
tanggungjawab yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, visi, misi dan
objektif kita dalam organisasi iaitu JPA adalah sama. Ini
menggambarkan bahawa apa sahaja yang kita lakukan adalah untuk kejayaan organisasi dan atas nama JPA. Oleh itu perpaduan dan
kerjasama amat penting kerana adalah mustahil seorang anggota dalam
sesebuah organisasi dapat melaksanakan tugas dan 14
tanggungjawabnya dengan berkesan secara bersendirian. Budaya
bekerjasama dan bekerja sebagai sebuah pasukan harus dipupuk dan
diterapkan kerana setiap daripada kita adalah melengkapi di antara satu
sama lain. Sabda Nabi Muhammmad S.A.W yang diriwayatkan oleh
Ahmad Termizi menyatakan:
“Bandingan orang-orang mukmin yang saling sayang menyayangi
dan berlemah lembut di antara mereka adalah seperti satu tubuh
badan yang apabila satu anggota merasa sakit menyebabkan
seluruh badan berjaga malam dan merasa demam”.
25. Di antara kerjasama yang perlu ada ialah menjalankan tugas secara kolektif; menyedari bahawa idea-idea yang diperolehi secara berkumpulan akan lebih mantap dan jitu ke arah mencapai kejayaan organisasi; dan mempercayai sesuatu yang rumit dan sukar akan menjadi mudah sekiranya mendapat pandangan daripada lebih ramai individu. Penganjuran aktiviti-aktiviti bersama
seperti program Team-buiding, sambutan Hari Keluarga, Malam JPA,
Kegiatan Sukan dan Rekreasi, Senaman Bersama-Sama Tan Sri KPPA
dan lain-lain lagi adalah merupakan langkah yang dirancang dan
dilaksanakan untuk mewujudkan semangat perpaduan, bekerjasama
dan setia kawan di kalangan seluruh pegawai JPA. Oleh itu,
keengganan kita untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti ini
menunjukkan kita masih belum sedar dan menghayati sepenuhnya
objektif organisasi ke arah mewujudkan semangat “esprit de corp” di
kalangan seluruh pegawai JPA.
15
Keimanan dan Taqwa
26. Intisari yang terakhir iaitu yang kelima hasil daripada pengajaran
yang boleh diperolehi daripada peristiwa hijrah ini ialah keimanan dan
taqwa. Sesungguhnya persiapan utama yang disediakan oleh
Rasulullah s.a.w sebelum bermulanya hijrah ialah memberi kekuatan
rohani dan jasmani. Kekuatan rohani merupakan keyakinan akidah yang mantap dan teguh sementara kekuatan jasmani pula adalah dari segi keteguhan ekonomi, kekuatan ketenteraan, ketinggian disiplin dan kesempurnaan fizikal. Setelah segala persiapan dan
perancangan dibuat serta pelaksanaan dilakukan, baginda memohon
dan berserah kepada Tuhan untuk mengizinkan supaya kejayaan boleh
dicapai.
27. Kita semua harus sedar bahawa dalam konteks berorganisasi,
peranan setiap pemimpin dan yang dipimpin serta peranan anggota perkhidmatan awam mengambil tanggungjawab sepenuhnya mengurus dan mengamalkan nilai-nilai murni ke arah mencapai kecemerlangan dalam diri dan dalam organisasi adalah sangat
penting. Dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota
untuk memperolehi kesucian hidup melalui pengamalan nilai-nilai dan
etika murni.
28. Y.A.B Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad
Badawi telah menegaskan bahawa “Kita telah diberi amanah, kita mesti beramanah” atau “ We hold the people’s trust, we must therefore be trusted”. Oleh itu, sebarang kerja yang dilakukan
16
perlulah ikhlas dan penuh dedikasi dan setiap kuasa yang diberikan
dalam kapasiti masing-masing haruslah digunakan secara yang
profesional, adil dan saksama. Kita juga mempunyai akauntabiliti dan
perlu bertanggungjawab terhadap setiap apa yang dilakukan. Y.A.B
Perdana Menteri sebagai pemimpin di negara kita pernah menyatakan
bahawa kita semua adalah hamba yang wajib bertanggungjawab kepada Tuhan. Y. Bhg Tan Sri KPPA juga kerap mengingatkan supaya
setiap anggota Perkhidmatan Awam mestilah jujur (honest), berintegriti
(full of integrity), merendah diri (humality), pintar (intelligent) dan bekerja
kuat (hard-working). Kesedaran ini hendaklah ditanam di setiap sanubari
kita semua semasa menjalankan tugas dalam kapasiti dan kuasa yang
diberikan kepada kita. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Qiamah, ayat
36 yang bermaksud:
“Patutkah manusia menyangka bahawa ia akan ditinggalkan
terbiar, yakni dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak
dihidupkan semula untuk menerima balasannya”
29. Selain daripada itu, kita seharusnya bersyukur dengan segala nikmat dan kemudahan yang dikecapi selama ini. Kesyukuran boleh
berlaku dalam dua bentuk iaitu syukur yang mutlak kepada Tuhan di
atas nikmat dan anugerah yang diberikan dengan melaksanakan segala
suruhanNya serta meninggalkan laranganNya; dan syukur sesama makhluk atau manusia sesama manusia melalui kesedaran
melaksanakan tugas dengan cemerlang sebagai menghargai segala
kemudahan yang telah diperolehi dalam perkhidmatannya. Kepercayaan
bahawa setiap kebajikan dan kebaikan yang dilakukan akan dibalas
dengan kebajikan juga sama ada di dunia ataupun di akhirat 17
haruslah dijadikan pegangan hidup di sepanjang masa.
30. Kemudahan seperti rawatan kesihatan, kebajikan anggota seperti
tempat tinggal yang selesa melalui penyediaan kuarters atau pinjaman
perumahan yang diberikan, pendapatan tetap bulanan serta pemberian
bonus setiap tahun, persekitaran tempat kerja yang selamat dan selesa
serta bermacam-macam lagi haruslah diterima dengan penuh rasa
kesyukuran. Kesyukuran ini harus ditunjukkan melalui ketaatan kita
terhadap organisasi, kesungguhan untuk berkhidmat dengan gigih dan
berkualiti serta menghindari daripada melakukan segala perkara-
perkara yang dilarang atau ditegah oleh Jabatan dan Kerajaan.
Y. Bhg. Tan Sri, Dato’-Dato’/ Datin-Datin dan para hadirin sekelian,
KONSEP PENGORBANAN DALAM PENGHIJRAHAN
31. Setelah kita mengetahui segala pengajaran yang boleh diperolehi
daripada peristiwa hijrah, marilah kita merenung akan hubung kaitnya
dengan pengorbanan. Seperti yang telah saya nyatakan di awal ucapan
saya tadi, penghijrahan tidak dapat lari atau dipisahkan daripada keperluan melakukan pengorbanan dan hijrah itu sendiri adalah satu pengorbanan. Jika kita amati daripada setiap intisari pengajaran
yang dijelaskan tadi, kita akan sedari bahawa semuanya memerlukan
pengorbanan. Oleh itu, perkara seterus yang akan saya sentuh dalam
ucapan ialah menghuraikan secara ringkas sahaja mengenai apakah
pengorbanan yang dituntut ke atas kita sebagai penjawat awam
terhadap organisasi dan negara. 18
32. Ahli-ahli sains politik Islam seperti Al-Farabi, Ibnu Khaldun, Ibnu
Rusyd, al-Kindi, al-Mawardi al-Maududi dan Ahmad Shalabi pula telah
bersetuju bahawa terdapat empat (4) tugas utama yang memerlukan
pengorbanan rakyat kepada negara iaitu:
• kewajipan memberikan bai’ah (persetujuan) kepada pemimpin;
• setia dan patuh yang tidak berbelah bagi; • berkorban mempertahankan negara dari segala ancaman
musuh; dan
• bersikap “siddiq” atau benar, setia serta jujur dengan penuh kerelaan untuk bekerja dan berusaha ke arah kebajikan, kemakmuran demi kesejahteraan rakyat dan negara.
33. Dalam kontek organisasi kita, persetujuan kepada pemimpin bermakna kita harus menghormati siapa sahaja yang telah dipilih menjadi ketua. Dengan mengelakkan berlakunya sebarang konflik di
antara pihak yang memimpin dengan yang dipimpin, kita akan dapat
mewujudkan persefahaman yang harmoni dalam organisasi. Janji yang
dilafazkan dalam Ikrar Perkhidmatan Awam haruslah diamalkan kerana
setiap kata mesti dikota dan setiap janji mesti ditepati. Oleh itu, kita
haruslah berpegang teguh dengan segala janji yang dipersetujui dan
jangan sekali-kali mengkhianati atau mengingkarinya. Persetujuan ini
juga melibatkan kesedian kita untuk mengorbankan kepentingan peribadi, masa, tenaga, harta, maupun nyawa demi kepentingan perkhidmatan dan negara. Y.A.B Perdana Menteri sendiri ada
19
menyatakan bahawa pengorbanan dalam menyumbangkan tenaga dan
berkhidmat kepada negara juga adalah satu pengorbanan yang boleh
dilakukan oleh kita semua.
34. Sikap setia dan patuh yang tidak berbelah bagi perlu diamalkan, sama ada dalam perkara yang disukai atau tidak, susah
atau senang, selagi ketaatan tersebut tidak bertentangan dengan ajaran
agama dan peraturan/dasar sesebuah organisasi. Sabda Nabi
Muhammmad S.A.W yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim
yang bermaksud:
“Diwajibkan ke atas orang Islam itu dengar dan taat (kepada
pemimpin) dalam perkara yang disukainya dan dalam perkara
yang dibencinya, kecuali ia diperintah melakukan maksiat.”
35. Melalui Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam yang kita lafazkan
dalam perhimpunan bulan lalu, terkandung perkara yang menghendaki
kita berkorban mempertahankan negara dari segala ancaman musuh sama ada dari dalaman dan luaran. Sesunggguhnya musuh
ini tidak semestinya dalam bentuk yang nyata seperti pembocor rahsia
kerajaan, pengamal rasuah atau penceroboh cyber, tetapi juga meliputi
musuh yang tidak nampak dan lebih kritikal seperti malas, leka, tidak
amanah, suka membuang masa, melengah-lengahkan kerja dan
sebagainya.
36. Bersikap “siddiq” atau benar, setia dan jujur dengan seluruh jiwa raga, penuh rela untuk bekerja dan berusaha ke arah kebajikan, kemakmuran demi kesejahteraan rakyat dan negara
20
merupakan salah satu daripada pengorbanan dalam pembentukan sahsiah diri. Anggota yang bersifat positif, dinamik, inovatif dan
kompetitif akan menjadi aset penting sekiranya mereka sanggup
berkorban dengan rela hati dalam mengutamakan kepentingan
masyarakat dan organisasi. Oleh itu, jadilah seorang pekerja yang merupakan aset dan bukannya liabiliti kepada organisasi. Sekurang-kurangnya kita dapat meninggalkan satu legasi kepada
organisasi sebelum bersara dalam memberikan sumbangan ikhlas
kepada Perkhidmatan Awam.
Y. Bhg. Tan Sri, Dato’-Dato’/ Datin-Datin dan para hadirin sekelian,
RUMUSAN
37. Secara ringkasnya, apa yang dapat dirumuskan dalam ucapan
saya dalam perhimpunan ini ialah penghijrahan berasaskan kepada contoh yang dituruti daripada peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w beserta pengorbanan yang dituntut untuk dilakukan dengan sepenuh hati hendaklah diterjemahkan melalui pengamalan perlakuan oleh setiap individu dalam sesebuah organisasi. Selain
daripada itu, peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Allah
Ibrahim a.s dan putera kesayangannya Nabi Ismail a.s merupakan
simbol pengorbanan sejati yang tidak berbelah bagi kepada Yang Maha
Pencipta. 38. Iktibar atau pengajaran utama daripada kedua-dua peristiwa
Hijrah dan Korban yang telah kita perkata tadi adalah melibatkan 21
perubahan dalaman individu ke arah melakukan perubahan kepada
organisasi supaya lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Ini
mempunyai hubungan dengan pengurusan tahap kematangan emosi atau emotional quotient (EQ) atau kadangkala dikenali juga sebagai kecerdasan emosi (emotional inteligence). Kemampuan emosi
seseorang dalam membina hubungan yang prihatin terhadap diri sendiri
dan orang lain merupakan aset insan yang tidak kelihatan (invisible
human asset) tetapi memberi impak terhadap prestasi pekerja dan
organisasi. Pengurusan organisasi yang mengambil kira faktor pengurusan emosi individu ke arah mengamalkan sifat-sifat yang murni seperti perubahan minda dan sikap, keberanian, kecekalan, ketaqwaan dan lain-lain lagi dengan penuh kesedaran dan keinsafan dalam diri masing-masing akan memudahkan organisasi melaksanakan visi, misi, objektif dan strategi yang digubal. Natijahnya, kecemerlangan individu berkenaan akan mempengaruhi
kecemerlangan kumpulan pekerja/organisasi dan akhirnya menuju
kepada pencapaian kecemerlangan Perkhidmatan Awam
keseluruhannya.
39. Melalui kempen-kempen program-program pembaharuan seperti ,
Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam
Pentadbiran, Program Pengurusan Kualiti Secara Menyeluruh (TQM)
dan lain-lain lagi, Kerajaan berharap agar semua anggota Perkhidmatan Awam termasuk kita di JPA dapat bersama-sama mempamerkan budaya kerja yang mencerminkan imej perkhidmatan yang bersih dan bebas daripada rasuah dan segala bentuk penyelewengan. Di dalam perjuangan kita menentang
22
rasuah, Y.A.B Perdana Menteri kita pernah bebarapa kali menyarankan
supaya kita hendaklah berikrar kepada diri kita bahawa “Saya benci kepada rasuah”. Mudah-mudahan melalui ikrar yang diluahkan secara
bersungguh-sungguh dan berterusan ini akan dapat menghindarkan diri
daripada amalan keji tersebut. Dengan menguasai ciri-ciri murni ini, di
samping kepimpinan yang jitu, akan dapat menjadikan JPA khususnya,
dan perkhidmatan awam amnya dihormati dan disegani bukan sahaja di
mata masyarakat setempat bahkan di kalangan masyarakat
antarabangsa jua. Insya’Allah.
Y. Bhg. Tan Sri, Dato’-Dato’/ Datin-Datin dan para hadirin sekelian,
PENUTUP 40. Insya-Allah, jika kita dikurniakan umur yang panjang dan
kesihatan yang sejahtera oleh Allah S.W.T, akan kita melangkah ke
tahun 1425 Hijrah. Semoga permulaan tahun baru Hijrah ini akan turut
disertai dengan keazaman, iltizam, dan lebih bersemangat untuk kita
bersama-sama berhijrah ke arah mencorak peranan dan fungsi JPA
dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam yang disuburi
dengan nilai dan amalan murni yang utuh dan mantap demi
kesejahteraan perkhidmatan awam khususnya serta agama,
masyarakat, dan kemakmuran negara yang kita cintai ini. Kita juga
harus mengambil peluang di sini untuk melakukan muhasabah diri (self-reflection) bagi membuat penilaian terhadap sumbangan kita
kepada organisasi selama satu tahun ini dan memikirkan bagaimana
kita dapat terus memberikan sumbangan yang lebih baik dan 23
bermakna. Di bawah kepimpinan Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Haji
Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia, pengurusan JPA yang
mempunyai pemimpin yang berwawasan, serta sokongan dan komitmen
yang tinggi dari kita semua, Insya-Allah JPA akan terus mencapai
kecemerlangan yang diwarisi.
41. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima
kasih kepada Y. Bhg. Tan Sri KPPA, Dato’-Dato’ TKPPA, Pengarah-
pengarah Bahagian, tuan-tuan dan puan-puan yang hadir di
perhimpunan bulanan anjuran Bahagian Penyelidikan dan Perancangan
pada pagi ini. Saya juga merakamkan ucapan penghargaan kepada
semua pihak, khususnya pihak urusetia di BPP dan BKP yang telah
bertungkus lumus untuk menjayakan perhimpunan pada pagi ini.
42. Akhir sekali, saya bagi pihak pengurusan JPA, diri saya, dan
seluruh pegawai Bahagian Penyelidikan dan Perancangan, sekali lagi
mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha, Maaf Zahir dan Batin, dan Selamat Menyambut Maal Hijrah Tahun 1425. Mudah-mudahan
tahun hijrah yang akan datang membawa lebih nikmat, berkat dan
kebahagiaan kepada kita semua, Insya-Allah.
Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah. Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Februari 2004
24