Post on 25-Dec-2019
1
PERHIMPUNAN
USAHAWAN BUMIPUTERA 2013
AGENDA TRANSFORMASI EKONOMI BUMIPUTERA
PEMBENTANGAN
OLEH
TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
SIME DARBY
CONVENTION CENTRE
BUKIT KIARA, KUALA LUMPUR
4 MAC 2013
2
Bismillahirrahmanirrahim.
YB Saudara Khairy Jamaluddin
Pengerusi
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad;
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam sejahtera dan selamat pagi.
Alhamdulillah, marilah kita bersama merafak setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat
Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya jua dapat kita bersama di Majlis
Perhimpunan Usahawan Bumiputerapada hari ini. Saya ingin mengalu-alukan hadirin
dan hadirat sekalian ke Majlis yang ulung kalinya diadakan,hasil usaha bersama
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan
Perdana Menteri.
2. Tujuan utama Perhimpunan ini ialah bagi kita bersama berfikir mendalam dan
juga jika perlu, secara di luar kotak,untuk berkongsi pandangan, bersama mengcungkil
dan melahirkan idea dan initiative bagi kita melipat gandakan lagi usaha kearah
mencapai matlamat memperkasakan lagi ekonomi Bumiputera.
3. Harapan Kerajaan ialah semoga Perhimpunan ini menjadi satu forum untuk
usahawan dan agensi-agensi kerajaan bergabung tenaga kearah meningkatkan
penglibatan Bumiputera dalam perniagaan dan perusahaan, supaya misi kitauntuk
mewujud serta membangunkan satu Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian
Bumiputerayang berdaya maju, lagi berdaya saing dapat dicapai. Misi kita ini menjadi
lebih mendesak memandangkan kini kita mempunyai hanya 7 tahun lagi, sebelum
matlamat kita untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun
2020tercapai.Sesungguhnya, kita tidak sekali-kali mahu melihat Bumiputera tercicir dari
menikmati manfaat pembangunan apabila negara menjadi sebuah negara maju.
Hadirin sekalian,
3
4. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mula dilaksanakan pada tahun 1971, telah
banyak membawa kemakmuran kepada Bumiputera di negara ini. Juga, tidak dapat
dinafikan bahawa DEB telah berjaya meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam
bidang ekonomi melalui pendekatan serampang dua mata, iaitu membasmi kemiskinan
dan menyusun semula masyarakat.
5. Dari segi pembasmian kemiskinan, matlamat Kerajaan mempastikan semua
rakyat tanpa mengira kaum untuk bersama menikmati taraf dan kualiti hidup yang
tinggi, telah berjaya dicapai. Kalau pada tahun 1957, sebanyak 75 peratus dari kaum
Melayu hidup dalam suasana kedhaifan dan kemiskinan, kini dalam tempoh hanya dua
generasi, kadar kemiskinan tegar negara hampir dapat dihapuskan. Paling ketara ialah
pencapaian bagi isi rumah Bumiputera.Pada tahun 1970, hampir dua per tiga daripada
isi rumah Bumiputera merupakan isi rumah miskin. Kini, kadar kemiskinan isi rumah
Bumiputera telah dapat dikurangkan kepada hanya 5.3 peratus. Seiring dengan ini,
kadar kemiskinan luar bandar, dimana terdapat sebahagian besarnya penduduk
Bumiputera, juga telah berkurangan daripada hampir 59 peratus kepada 8.4 peratus
dalam tempoh yang sama.
6. Pencapaian Bumiputera dalam bidang pembangunan sumber manusia dan
gunatenaga juga memberangsangkan.Pada tahun 1970, bilangan Bumiputera
professional, seperti arkitek, jurutera, akauntan dan peguam amatlah kecil.Kini,
bilangan golongan professional Bumiputera telah meningkat sehingga 44.6 peratus
pada 2008 berbanding hanya 4.9 peratus pada tahun 1970. Bilangan profesional
Bumiputera juga merupakan yang terbesar dalam profession akitektur, kedoktoran,
kejuruteraan, peguam dan juruukur.
7. Pemilikan korporat Bumiputera juga telah meningkat, walaupun matlamatnya
belum tercapai sepenuhnya.Pegangan ekuiti korporat Bumiputera telah meningkat lebih
10 kali ganda, dari 2 peratus pada tahun 1970 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010
Dasar affirmative yang telah dilaksanakan telah dapat melahirkan banyak usahawan
Bumiputera yang mempunyai kemahiran dan keupayaan menerajui urusniaga dengan
4
cemerlang. Kini terdapat syarikat-syarikat Bumiputera yang berjaya dalam industri
moden, seperti kewangan, automobil, pembinaan serta juga perladangan.
Hadirin sekalian,
8. Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan memperkukuhkan lagi penyertaan
Bumiputera dalam ekonomi, supaya matlamat DEB dicapai sepenuhnya, InsyaAllah. Di
dalam persekitaran ekonomi global semasa yang lebih kompetitif, kita perlu mencari
satu pendekatan dan mekanisma yang lebih agresif dan berkesan yang boleh
mempastikan penyertaan Bumiputera menjadi lebih efektif dan kekal mapan. Kita
seharusnya menambah baik dan merangka instrumen-instrumen yang lebih efektif.
Malahan, setelah lima puluh enam tahun kemerdekaan, kita harus lebih matang dan
bijak memperbaiki segala kelemahan masa lalu dan berazam membina kejayaan yang
telah kita perolehi setakat ini, supaya dapat membawa kita ketahap kejayaan yang lebih
tinggi dan mantap.
9. Kearah ini, Kerajaan senantiasa berusaha menambahbaik instrumen dasar dan
sistem penyampaian dalam pembangunan ekonomi Bumiputera. Satu tindakan
strategik yang telah diambil ialah penubuhan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera
(MTAB) yang bertujuan untuk menggubal dasar, hala tuju strategik serta memantau rapi
keberkesanan pelaksanaan program serta inisiatif dibawah Agenda Pembangunan
Ekonomi Bumiputera. Majlis ini dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri dan
disertai oleh Timbalan Perdana Menteri, beberapa Menteri kanan, pegawai-pegawai
tinggi Kerajaan dan tokoh-tokoh GLC.
10. Berikutan penubuhan MTAB, Blueprint Hala Tuju Transformasi Ekonomi
Bumiputera telah dirangka dan dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 26
November 2011. Hala Tuju ini menggariskan dasar, strategi serta initiatif khusus untuk
mempastikan penyertaan Bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara
dipertingkatkan, terutamanya dalam mendapat manfaat daripada pelaksanaan Program
Transformasi Ekonomi Negara. Secara khusus, Hala tuju ini akan mempastikan
pengwujudan gagasan Bumiputera yang akan sama-sama mendapat manfaat daripada
5
pertumbuhan pesat sektor-sektor ekonomi negara, penjanaan pekerjaan
berpendapatan tinggi serta pemilikan kekayaan negara.
Hadirin sekalian,
11. Pembangunan tenaga manusia melalui pendidikan dan latihan adalah kunci
kepada menyelesaikan masalah tahap pendapatan rendah. Aksesibiliti kepada
pendidikan dan latihan kemahiran merupakan instrumen penting dan berkesan yang
boleh mempercepatkan upward mobility Bumiputera kedalam golongan berpendapatan
tinggi. Kita juga perlu membina talent base Bumiputera bertaraf dunia yang kita
perlukan untuk menjadi sebuah negara maju.
12. Oleh itu, satu matlamat utama Blueprint Hala Tuju Transformasi Ekonomi
Bumiputera adalah untuk membina keupayaan (capacity) melalui pendidikan yang
berkualiti bagi membolehkan modal insan Bumiputera meraih pendapatan yang lebih
tinggi.Kearah ini, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) telah ditubuhkan
untuk memberi fokus kepada usaha meningkatkan kualiti dan kuantiti tenaga kerja
Bumiputera melalui pembiayaan pendidikan dan latihan berkualiti tinggi. Alhamdulillah,
walaupun baru setahun ditubuhkan, YPPB telah berjaya melaksanakan lima program
teras.
13. Secara ringkasnya, program pertama ialah Peneraju Tunas Potensi merupakan
program biasiswa untuk pelajar lepasan SPM dan STPM untuk memasuki institusi
pengajian tinggi. Peserta-peserta yang layak dibawa keluar dari kelompok kemisikinan
dan kedaifan hidup, dan dengan itu mengubah nasib keluarga dan komuniti sekitar
mereka. Setakat ini, 210 pelajar sedang melanjutkan pelajaran dipelbagai bidang di
institusi-institusi berkualiti di dalam negeri, sebelum ditempatkan di institusi pengajian
tinggi terkemuka di dalam dan luar negara.
14. Kedua, Peneraju Profesional Akauntan bertujuan melahirkan lebih ramai
golongan akauntan profesional Bumiputera bertauliah, iaitu ICAEW, ACCA dan MICPA.
Dengan kerjasama MARA, peserta-peserta Program ini akan memperolehi sijil
6
professional ini, sambil diberikan bimbingan dan pekerjaan oleh firma-firma perakaunan
terkemuka di Malaysia, iaitu the Big 5 (Ernst & Young, KPMG,
PricewaterhouseCoopers, Deloitte dan BDO). Seramai 58 akauntan sedang mengikuti
Program ini.
15. Ketiga, Peneraju Tunas Geliga merupakan program berbentuk biasiswa kepada
pelajar lepasan UPSR, bertujuan meletakkan pelajar-pelajar ini di dalam persekitaran
pembelajaran yang lebih kondusif supaya mereka berdaya mencapai kecermelangan
pembelajaran. Setakat ini, 100 pelajar telah dipilih untuk mengikuti program ini.
16. Keempat, Peneraju Skil Jurukimpal merupakan program yang membolehkan
jurutimpal Bumiputera memperolehi pensijilan antarabangsa bagi skil kimpalan
berteknologi tinggi. Dengan pensijilan antarabangsa, mereka akan memperolehi
pendapatan bulanan sehingga 9,000 ringgit berbanding 1,000 ringgit tanpa pensijilan
antarabangsa. Setakat ini, seramai 100 peserta telah berjaya mendapat pensijilan
antarabangsa dan akan diempatkan disyarikat - syarikat minyak dan gas.
17. Kelima, Peneraju Skil – Elektrikal merupakan program pensijilan elektrikal
‘chargeman’. Dengan tahap pensijilan yang mereka bakal perolehi melalui program ini,
pendapatan bulanan mereka boleh meningkat daripada 4,000 ringgit hingga 6,000
ringgit kepada 7,000 hingga 10,000 ringgit.
18. Secara keseluruhan, lebih dari 450 orang telah mendapat faedah dari semua
program-program ini. Kerajaan berhasrat meningkatkan sebanyak tiga kali ganda
peserta bagi tahun ini dari jumlah di tahun 2012. Di samping itu, program-program baru
sedang dalam perancangan, termasuk program biasiswa Peneraju Tunas Iltizam, iaitu
untuk pelajar menengah rendah yang lebih cenderung kearah bidang vokasional dan
juga program-program untuk bidang kejuruteraan, CFA dan sebagainya.Sementara itu,
program biasiswa Peneraju Tunas Potensi akan di tambah lagi kepada 500 biasiswa
lagi.
Hadirin sekalian,
7
19. Dari segi matlamat menambah penguasaan ekuiti korporat, pelbagai pendekatan
telah diambil. Ini termasuk mewujudkan syarikat Bumiputera baru yang berskala besar,
membangun serta mengembangkan syarikat Bumiputera yang sedia ada dan melabur
ekuiti dalam syarikat yang berpotensi melalui institusi pelaburan Bumiputera.
20. Satu instrumen baru ialah penubuhan Ekuinas yang telah ditubuhkan pada tahun
2009 sebagai syarikat pengurus dana ekuiti persendirian yang bertujuan untuk
meningkatkan penglibatan ekonomi Bumiputera secara saksama dan berkekalan,
menerusi pengwujudan syarikat-syarikat peneraju generasi baru. Ekuinas
melaksanakan pelaburannya secara mesra-pasaran, berdasarkan merit dan telus.
21. Setelah lebih tiga tahun beroperasi, dengan bermodalkan dana dari Kerajaan
sebanyak 1.8 bilion ringgit, kini, Ekuinas mempunyai 12 syarikat portfolio di bawah
program pelaburan langsungnya dan tiga syarikat portfolio pelaburan di bawah program
penyumberan luarnya, dengan jumlah pelaburan komited melebihi 1.6 bilion ringgit.
Bersama-sama dengan modal dari rakan-rakan pelabur swasta, Ekuinas berjaya
menjana kemasukan modal melebihi 2.1 bilion ringgit ke dalam ekonomi Malaysia sejak
penubuhannya.
22. Menerusi pelaburan langsungnya, Ekuinas telah berjaya membantu dalam
meningkatkan nilai ekuiti Bumiputera melebihi 1.6 bilion ringgit dan syarikat-syarikat
pelaburannya kini telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 4,000 orang
kakitangan serta pengurusan professional di kalangan Bumiputera.
23. Industri yang diceburi oleh Ekuinas meliputi sektor-sektor Peruncitan Makanan
dan Minuman (F&B), Barangan Pengguna Laris (Fast Moving Consumer Goods),
Pendidikan, Logistik serta Minyak dan Gas. Tumpuan Ekuinas adalah untuk menjadikan
syarikat-syarikat pelaburannya ini menjadi syarikat-syarikat gergasi Malaysia pada
masa akan datang. Setakat ini, perancangan Ekuinas berada di landasan yang betul di
mana pelaburan-pelaburan besar yang dilaksanakan di dalam syarikat-syarikat dari
8
sektor Pendidikan, F&B dan O&G kini adalah merupakan di antara kumpulan ketiga
teratas di dalam industri masing-masing.
24. Alhamdulillah, Ekuinas telah mencapai prestasi yang kukuh, dengan
mencatatkan jumlah pulangan portfolio sebanyak 165.7 juta ringgit bagi tahun
kewangan keduanya berakhir 31 Disember 2011. Kadar Pulangan Dalaman (IRR) kasar
sebanyak 32.3 peratus dan IRR bersih sebanyak 20.6 peratus setahun, adalah lebih
tinggi berbanding sasaran minimum 12 peratus dan sasaran aspirasi 20 peratus yang
telah ditetapkan. Ekuinas juga telah berjaya meningkatkan nilai ekuiti Bumiputera
sebanyak 806.5 juta ringgit.
25. Ekuinas juga memberi tumpuan kepada usaha menarik professional Bumiputera
yang berkebolehan dan berkalibre menerajui pengurusan syarikat serta memainkan
peranan yang lebih agresif dan berkesan dalam pengurusan syarikat, dan bukan hanya
sebagai rakan kongsi hakmilik yang tidak efektif (silent equity partners). Dengan ini,
dapat kita membina lebih banyak syarikat dimana Bumiputera mempunyai penguasaan
hakmilik dan pengurusan syarikat. Hanya dengan ini juga, dapat kita memperkukuhkan
daya saing Bumiputera berasaskan kompetensi dan meritokrasi. Sesungguhnya, hanya
dengan ini dapat kita mewujudkan syarikat-syarikat Bumiputera generasi baru yang
akan mempastikan penyertaan Bumiputera yang lebih bermakna dan mapan.
Hadirin sekalian,
26. TERAJU ditubuhkan sebagai agensi untuk memacu dan menyelaras penyertaan
Bumiputera. Dalam usahanya meningkatkan pencapaian usahawan Bumiputera,
Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi atau TeraS telah dilancarkan pada
bulan Julai 2011. Program ini bertujuanuntuk membantu syarikat Bumiputera berpotensi
tinggi mencapai peningkatan perniagaan. Matlamatnya ialah untuk membantu 1,100
syarikat Bumiputera mengembangkan perniagaan mereka. Setakat ini, sebanyak 300
syarikat telah dikenalpasti sebagai syarikat TeraS.
9
27. Program Pembiayaan TERAS (TERAS Fund) telah dilancarkan oleh TERAJU
dengan kerjasama bersama SME Bank dan RHB Islamic. Kemudahan pinjaman yang
berjumlah 1.02 bilionringgitini adalah khusus untuk syarikat-syarikat TeraS bagi
pembiayaan yang berbentuk modal kerja tanpa cagaran serta pembelian aset. Salah
satu manfaat untuk pembiayaan ini termasuk, syarikat yang merekodkan bayaran balik
yang cemerlang sepanjang tahun akan diberikan pembayaran rebet.
28. Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah 20 bilion ringgit dalam Rancangan
Malaysia Ke-10 sebagai Dana Mudah Cara (Facilitation Fund) menerusi Unit Kerjasama
Awam Swasta (UKAS). Daripada jumlah ini, 2 bilion ringgit diperuntukkan kepada
Dana Mudahcara Bumiputera untuk menyediakan pembiayaan kepada syarikat
usahawan Bumiputera yang berkelayakan melaksanakan projek-projek sektor swasta
yang berimpak tinggi. Di samping itu, sejumlah 100 juta ringgit daripada Dana inijuga
diperuntukan kepada setiap wilayah ekonomi TERAJU@Koridor, iaitu Wilayah Koridor
Ekonomi Utara, Wilayah Koridor Ekonomi Pantai Timur, Iskandar Malaysia, Koridor
Pembangunan Sabah dan Koridor Tenaga Diperbaharui bagi tahun 2012/2013.
Peruntukan ini ialahuntuk membiayai projek di lima koridor tersebut. Sehingga
penghujung tahun 2012, sebanyak 223.8 jutaringgit telah diluluskan kepada 37 projek
bernilai 1.64 bilion ringgit..
29. Satu lagi langkah Kerajaan ialah mempastikan syarikat-syarikat berkaitan
Kerajaan atau GLCs terus meningkatkan peranan mereka membangunkan usahawan
Bumiputera dalam menyediakan lebih banyak peluang perniagaan kepada usahawan
Bumiputera yang benar-benar tulen dan berdaya maju. Baru-baru ini, beberapa GLC
telah mengumumkan inisiatif Pelupusan Aset (divestment) yang bertujuan untuk
menyelaras dan memperkemaskan peranan Kerajaan dalam perniagaan, disamping
menggalakkan pembangunan usahawan Bumiputera. Melalui insiatif ini, aset bukan
teras (non-core) syarikat berkaitan Kerajaan akan dilupuskan dan ditadbir urus serta
diserah milik kepada syarikat yang berkelayakan. Terkini, Khazanah Nasional telah pun
mengumumkan cadangan pelupusan 5 milik syarikat pelaburannya dan 5 lagi oleh
Permodalan Nasional Berhad (PNB).
10
30. Selain dari itu, program carve out and compete telah dilaksanakan untuk
memberi peluang penyertaan syarikat Bumiputera dalam beberapa projek mega.
Projek-projek tersebut ialah:
i. Projek Transit Pantas Massa (MRT) melalui MRT Corporation Sdn Bhd. Sehingga kini, 47 peratus atau 9 bilion ringgit daripada jumlah keseluruhan pakej, ditawarkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera, termasuk kontraktor kelas D, E dan F;
ii. Pembangunan Menara Wawasan yang di miliki oleh PNB Merdeka Ventures Sdn
Berhad, dimana sebanyak 50 peratus dari jumlah kos pembangunan kasar (GDC) berjumlah 9.9 bilion ringgit disediakan untuk penyertaan syarikat Bumiputera;
iii. Pembangunan tanah RRI di Sg. Buluh, yang di miliki oleh KWASALAND Sdn
Bhd, anak syarikat KWSP, dimana sekurang-kurangnya 30 peratus dari jumlah GDC sebanyak 6 bilion ringgit di sediakan untuk syarikat Bumiputera; dan
iv. Pembangunan Pusat Bandar Bukit Bintang, yang di miliki oleh UDA, dimana
sekurang-kurangnya 40 peratus dari jumlah GDC sebanyak 5 bilion ringgit di sediakan untuk penyertaan syarikat Bumiputera.
Hadirin sekalian,
31. PUNB merupakan antara sebuah agensi penting dalam membangunkan
usahawan Bumiputera. Semenjak memulakan operasi pada 1992, PUNB telah
menyediakan beberapa kemudahan bagi membantu usahawan di semua peringkat
rantaian bekalan, sama ada peruncitan, pemborongan atau pembuatan. PUNB kini
mempunyai beberapa skim utama, termasuk Skim PKS untuk sektor pembuatan, Skim
PROSPER Pemborong, PROSPER Runcit dan PROSPER Usahawan Muda untuk
sektor peruncitan dan pengedaran. Sementara itu untuk memastikan usahawan
Bumiputera yang terlibat dalam sektor peruncitan dan pengedaran di tempatkan di
lokasi yang strategik, PUNB terlibat dalam pembelian hartanah komersial melalui Skim
PROSPER Hartanah. Setakat ini, PUNB telah memberi bantuan kepada 4,167 syarikat
Bumiputera.
11
32. Saya yakin PUNB, dibawah kepimpinan Pengerusinya YB saudara Khairy
Jamaluddin, akan diperkukuhkan lagi. Selain memberi fokus kepada peranannya
sebagai rakan niaga kepada usahawan melalui latihan, pembangunan perniagaan,
jaringan, khidmat nasihat dan pemantauan, PUNB berpotensi memperluaskan bantuan
kepada usahawan di sektor-sektor yang bepotensi tinggi, seperti teknologi, kesihatan,
pelancongan dan logistik. PUNB juga perlu meningkatkan kerjasama dengan agensi-
agensi Kerajaan yang lain yang terlibat dalam pembiayaan usahawan, seperti SME
Bank, Bank Pembangunan, EXIM Bank, MDV,MARAdan AMANAH IKHTIAR, serta
syarikat-syarikat pelaburan seperti MAVCAP, Malaysian Biotechnology Corporation
danMTDC, bagi mempastikan usahawan Bumiputera yang berjaya dapat melonjak
ketahap perniagaan yang lebih besar.
Hadirin sekalian,
33. Sesungguhnya, perjuangan kita untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera
masih belum selesai. Kita perlu melipat gandakan usaha supaya boleh membuat
lonjakan besar kearah mencapai matlamat kita. Usahawan-usahawan sendiri perlu
meningkatkan keupayaan, mengikis kelemahan untuk menjadi lebih berdaya maju.
Setiap kita harus memainkan peranan membimbing usahawan dalam meraut peluang-
peluang yang disediakan. Usaha juga perlu dipergiatkan untuk memperkukuhkan lagi
kompetensi melalui usaha bimbingan, latihan kemahiran, perkongsian pengalamandan
networking. Kita mahu melihat lebih ramai usahawan berkualiti dan berdaya saing
sehingga ke persada antarabangsa.
34. Insya Allah, agensi-agensi Kerajaan yang bersama-sama kita pada hari ini akan
meningkatkan lagi usaha untuk membantu usahawan Bumiputera yang berkelayakan
dan berpotensi untuk maju kehadapan dengan inisiatif dan program pembangunan
usahawan yang disediakan. Secara keseluruhannya, Kerajaan sentiasa peka dengan
keperluandan cabaran yang dihadapi oleh usahawan dan akan terus menekankan
kepada aspek pelaksanaan yang efektif dan memudahkan akses kepada kemudahan
yang ada. Kita tidak mahu perancangan baik Kerajaan tidak mencapai objektifnya
disebabkan pelaksanaan yang kurang efektif. Sehubungan itu, Kerajaan mengalu-
12
alukan maklum balas daripada para usahawan supaya keberkesanan program dapat
dipertingkatkan lagi.
35. Kerajaan yakin kita semakin menghampiri sasaran yang telah ditetapkan. Dan
saya juga percaya, apabila fajar menyingsing menjelang tahun keramat 2020, apabila
Malaysia menjadi sebuah negara maju, Bumiputera juga akan diiktiraf sebagai satu
bangsa yang berjaya dan berdaya maju.
36. Diakhir kata, saya berdoa semoga usahawan Bumiputera akan terus maju dan
bersama menyumbang kepada usaha Kerajaan memantapkan lagi ekonomi negara.
Gunung sama didaki, lurah sama di turuni, cabaran sama kita tangani.Semoga Allah
SWT memberkati dan merahmati usaha kita semua, InsyaAllah.
Sekian, terima kasih.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Putrajaya. 4 Mac 2013