Post on 22-Dec-2015
description
Definisi Dan Pengertian Solat Fardu
Perkataan “Solat” dalam pengertian bahasa Arab ialah “Doa memohon
kebajikan dan pujian”. Adapun pengertian solat yang dikehendaki syarak
sebagai nama ibadah yang menjadi tiang agama Islam, maka para Fuqaha (ahli
fiqih) telah beristilah dan menetapkan pengertian ini iaitu: “Beberapa ucapan
dan beberapa perbuatan yang dimulakan dengan takbir, disudahi dengan salam,
yang dengan kita beribadah kepada Allah, menurut syarat-syarat yang telah
ditentukan”. Pengertian ini menggambarkan solat yang dapat didengar dan
dilihat. Ianya tidak termasuk hakikat dan jiwa solat.
Ahlul Haqiqah mentakrifkan solat dengan pengertian yang
menggambarkan hakikat solat iaitu: “Menghadirkan hati (jiwa) kepada Allah,
secara mendatangkan takut kepadanya, serta menyemaikan di dalam jiwa rasa
keagungan kebesarannya dan kesempurnaan kekuasaannya” . Dengan erti kata
lain, solat adalah menzahirkan hajat dan keperluan kita kepada Allah yang kita
sembah, dengan perkataan dan pekerjaan atau dengan keduanya.
Ahlul Ma’rifah telah mentakrifkan solat (jiwa solat) dalam pengertian
yang menggambarkan roh solat iaitu: “Berharap kepada Allah dengan khusyuk,
ikhlas, hadir hati, baik dalam berzikir, berdoa mahupun dalam memuji”.
Lantaran inilah maka rupa solat berubah-ubah; lain Nabi lain rupa solatnya,
sedangkan roh (jiwanya) tetap dan tidak berubah-ubah.
Pengertian yang melengkapi rupa dan hakikat solat adalah: “Menyerah
hati (jiwa) kepada Allah, berserah dengan sepenuh hati, menumbuhkan rasa
kebesarannya dan kekuasaannya dengan sepenuh khusyuk dan ikhlas di dalam
beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi
dengan salam”.
Kewajipan Solat Fardu
Solat lima waktu itu difardhukan di langit, pada malam Nabi Muhammad
berisra’ (berjalan malam) dan bermikraj (naik ke alam tertinggi). Peristiwa yang
menggemparkan penduduk Makkah itu terjadi setahun sebelum Nabi
Muhammad berhijrah ke Madinah.
Seluruh fardu dan ibadah yang selain dari solat, diperintahkan Allah
kepada malaikat Jibril untuk menyampaikan kepada Nabi. Hanya solat sahaja
yang diperintahkan kepada Jibril untuk menjemput Nabi Muhammad di Makkah,
lalu membawanya berjalan malam dari Masjidil Haram ke Baitul Maqdis (Masjid
Al-Aqsha) dan terus membawa mikraj (naik) ke alam tinggi, supaya nabi
menerima sendiri dengan lansung perintah kefardhuan solat.
Pada malam sebelum nabi berisra’, para malaikat membersihkan batin
Nabi Muhammad dari segala keraguan, dan memenuhkan hati Nabi dengan iman
dan hikmah, serta membersihkan anggota-anggota Nabi yang zahir dengan
telaga Zamzam. Dan Allah memerintahkan solat kepada Nabi ketika Nabi
menghadapnya, menegaskan, bahawasanya solat itu adalah sesuatu ibadah yang
luar biasa iaitu perbuatan yang sangat terhormat.
RUKUN SOLAT
Rukun solat adalah perkara sebahagian daripada solat dan bergantung
kepadanya sah solat itu. Solat secara amnya mempunyai 13 rukun yang terdiri
daripada beberapa bahagian. Kategori itu ialah rukun qalbi, fi'li dan qauli.
Kategori rukun solat:
Rukun qalbi adalah rukun yang berasaskan kepada hati.
Rukun fi'li adalah rukun yang berasaskan kepada perbuatan anggota
badan. Pergerakan anggota badan atau tindakan tubuh itu memerihalkan
rukun tersebut.
Rukun qauli adalah rukun yang berasaskan kepada sebutan dan bacaan.
13 Rukun Solat:
1. Niat
Niat ialah kasad sesuatu berserta dengan perbuatan. Niat solat ialah
perasaan yang ada di dalam hati, yakni hendak melakukan solat. Hukum
melafazkan niat adalah harus.
Niat bagi solat fardu iaitu wajib 3 perkara:
1. Qasad – Menyahaja atau perasaan hendak solat.
2. Ta'ridh - Menyatakan fardhu
3. Ta'yiin – Menentukan waktu seperti zohor, asar, magrib, isyak atau
subuh.
Contohnya, orang yang hendak solat subuh, perlulah mendatangkan di
dalam hatinya, perasaan hendak solat fardu subuh, seperti dilintaskan didalam
hatinya “aku hendak solat fardu subuh” atau “sahaja aku solat fardu subuh”.
Maka yang dikatakan niat solat ialah kemahuan hendak mengerjakan solat,
disertakan dengan kemahuan mengerjakan fardu dan menentukan waktunya.
2. Berdiri Betul
Berdiri betul atau berdiri tegak adalah diwajibkan dalam solat bagi
mereka yang berupaya untuk berdiri tegak. Bagi yang tidak berupaya untuk
berdiri, rukhsah atau kelonggaran diberikan untuk mereka sama ada untuk solat
dalam keadaan duduk. Manakala jika tidak mampu berdiri dan duduk,
dibolehkan untuk mengiring pada rusuk kanan sambil mengadap kiblat.
Sekiranya tidak mampu berdiri, duduk mahupun mengiring, orang yang ingin
mengerjakan solat itu dibenarkan baring menelentang dengan kaki dan perut
dihalakan ke kiblat.
Syarat bagi rukun ini hendaklah ditegakkan tulang belakangnya dan
tidak boleh bongkok ke depan atau ke belakang (jika mampu).
3. Takbiratul Ihram
Takbiratul ihram ialah perbuatan yang menyempadani solat dengan
perlakuan di luar solat. Takbiratul ihram menandakan bermulanya satu
perjalanan solat itu sehingga rukun terakhir iaitu salam. Disebabkan dinamakan
rukun ini takbir ialah kerana sebutan takbir iaitu Allahu Akbar adalah wajib bagi
mereka yang boleh menuturkannya. Bagi mereka yang tidak boleh
menuturkannya ataupun tidak dapat mempelajarinya, dia diharuskan untuk
menyebutnya dengan terjemahan dalam bahasa yang lain.
Dinamakan Takbiratul Ihram kerana dengan melakukannya, kita
mengharamkan ke atas diri kita perlakuan yang akan membatalkan solat.
Sebagai contoh, pada kebiasaannya bercakap sesama manusia adalah halal. Akan
tetapi, bercakap dalam solat akan membatalkan solat. Maka, apabila kita
membuat Takbiratul Ihram sebagai tanda memulakan solat, bercakap adalah
satu halangan untuk kita selagi mana kita masih mengerjakan solat. Seperti
dalam Haji, apabila kita memakai Ihram, kita diharamkan melakukan beberapa
perkara yang pada kebiasaannya adalah halal bagi kita.
4. Membaca Surah al-Fatihah
Dalam solat, surah al-Fatihah merupakan satu-satunya surah yang
diwajibkan. Surah ini wajib dibaca pada setiap rakaat dan bacaannya hendaklah
tertib mengikut susunan ayat yang betul dan hendaklah dijaga tajwidnya. Bacaan
basmalah diwajibkan kerana ayat itu juga sebahagian daripada surah berbanding
isti'azah yang tidak diwajibkan.
Setiap ayat surah ini wajib dibaca secara berturutan dan tidak
diselangi oleh apa-apa perbuatan ataupun ayat yang lain mahupun diam yang
agak lama yang cukup untuk memutuskan bacaan alFatihah itu. Bagi mereka
yang tidak tahu atau tidak berupaya untuk membacanya dengan sempurna
kerana baru memeluk agama Islam, maka hendaklah dia membaca tujuh ayat
Quran yang berturutan atau tujuh ayat yang tidak berturutan yang tidak kurang
bilangan huruf dalam al-Fatihah. Jika masih tidak mampu membaca mana-mana
ayat Quran, dia dikehendaki membaca zikir yang sama bilangan hurufnya dengan
huruf Fatihah. Jika masih tidak mampu, hendaklah sekadar diam pada jarak masa
bacaan Fatihah itu sendiri.
Bilangan ayat dalam surah al-Fatihah ialah tujuh ayat yang kesemuanya
mempunyai dua puluh lima perkataan bersama bilangan huruf sebanyak 156
huruf. Maka, zikir yang diriwayatkan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w.
digunakan bagi menggantikan bacaan untuk orang yang tidak berupaya atau
tidak tahu membaca ayat Quran.
Subhanallah - Walhamdulillah - Wa la ilaha illallah - Wallahu akbar - Wa la
haula wala quwata illa billah - Ma sya Allahu kana - Wa maa lam yashaa u lam
yakun
Ayat tersebut hendaklah dibaca dua kali untuk menyamai bilangan huruf
surah al-Fatihah.
5. Rukuk
Perbuatan rukuk adalah membongkok ke hadapan dengan sekurang-
kurangnya hingga tapak tangannya mencapai ke lutut. Rukuk yang sempurna
ialah menyamakan belakangnya dan tengkuknya pada satu garis lurus dan
meluruskan kakinya (iaitu betis dan peha) dan memegang kedua lututnya
dengan menjarangkan antara jari-jari tangan. Bagi mereka yang solat secara
duduk, memadai rukuk itu dengan membongkok ke hadapan hingga dahinya
selari dengan kepala lututnya. Untuk lebih sempurna bagi solat duduk, rukuknya
adalah membongkok ke hadapan hingga dahinya selari dengan tempat sujud.
Rukuk adalah salah satu rukun yang disertakan dengan tama'ninah.
Tama'ninah dalam rukuk adalah dalam keadaan tetap semua anggota badannya
hingga cukup masa untuk membezakan perlakuan membongkok dan bangun
daripadanya.
6. I’tidal
I'tidal adalah kembali daripada keadaan rukuk kepada berdiri tegak iaitu
keadaan asal ketika solat. Jika keadaan asalnya ialah duduk menegak, maka
hendaklah orang itu kembali duduk menegak. Tama'ninah turut disertakan
dalam perbuatan i'tidal. Maka, untuk melengkapkan i'tidal, hendaklah
tama'ninah dengan menetapkan anggota badan pada keadaan sebelum rukuk
dalam masa yang cukup untuk membezakan keadaan selepas bangun dari rukuk
sebelum turun untuk sujud.
7. Sujud
Sujud adalah satu perbuatan yang amat menunjukkan kerendahan diri
manusia terutama di dalam solat. Setiap rakaat adalah diwajibkan dengan dua
kali sujud.
Sujud adalah memadai dengan sekurang-kurangnya bersentuhan dahi
dengan tempat solat. Lebih elok atau lengkap lagi, hendaklah ketujuh-tujuh
anggota sujud kena atau bersentuhan dengan tempat solat iaitu dahi, dua tapak
tangan (setiap muka tapak tangan dan jari-jarinya), dua lutut dan dua tapak
kakinya (iaitu muka hujung jari-jari kakinya). Wajib menekan sedikit dahi di
tempat sujud untuk lebih tetap keadannya. Keadaan yang sempurna untuk turun
bersujud adalah dengan meletakkan kedua-dua lutut dahulu dan diikuti dengan
tapak tangan lalu dahi ditetapkan di tempat sujud.
Adalah sunat untuk menghalakan kesemua jari ke arah kiblat bagi lelaki,
disunatkan juga meregangkan kedua lutut dan dua tapak kaki, menjarakkan
perut daripada peha dan menjauhkan sedikit siku daripada rusuk. Bagi
perempuan pula, sunat untuk merapatkan kedua-dua lutut dan kaki, merapatkan
perut dengan peha dan siku ke rusuk.
Wajib tama'ninah pada sujud iaitu tetap seluruh anggota badan dalam
keadaan sujud untuk satu jangka masa yang cukup untuk membezakan
perbuatan turun dan naik daripada sujud. Sujud itu tidak sah jika sujud di atas
tempat yang boleh bergerak jika orang itu bergerak seperti tilam.
8. Duduk Antara Dua Sujud
Duduk antara dua sujud adalah perlakuan yang memisahkan antara dua
kali sujud. Tidak sesuai untuk terus berdiri sebelum sujud semula, maka keadaan
duduk adalah logik. Adalah sunat untuk duduk iftirasy iaitu duduk di atas tapak
kaki kiri serta menegakkan (atau berdirikan) tapak kaki kanan. Sunat juga
meletakkan dua tangan berhampiran lutut serta menjarakkan setiap jari.
Perlakuan duduk antara dua sujud ini menjadi makruh jika terlalu lama kerana ia
memisahkan perlakuan kedua-dua sujud. Walau bagaimanapun, tama'ninah
turut disertakan bagi rukun ini.
9. Duduk Tahiyat Akhir
Duduk ketika membaca tahiyat akhir adalah jelas bahawa tahiyat akhir
hendaklah dibaca ketika keadaan duduk, bukan berdiri. Disunatkan duduk
secara tawaruk iaitu duduk dengan menghulurkan kaki kiri ke kanan dan
merapatkan punggung ke lantai. Keadaan ini berterusan ketika membaca
selawat dan salam.
10.Membaca Tahiyat Akhir
Rukun ini dinamakan tahiyyat (penghormatan) atau tasyahud
(penyaksian) kerana bacaan yang dilafazkan terdiri daripada keduanya. Bacaan
tersebut kemudiannya hendaklah disambung dengan bacaan selawat kepada
Nabi Muhammad s.a.w.
11.Selawat Keatas Nabi Muhammad
Selawat ini diucapkan selepas sempurna bacaan tasyahud akhir dan
sebelum memberi salam. Ulama sepakat menyatakan bahawa selawat hanya
wajib dalam solat dan tidak sebaliknya.
12.Salam
Ucapan atau lafaz salam adalah sebahagian daripada rukun solat.
Sekurang-kurangnya, lafaz salam itu ialah assalamualaikum (sejahtera kepada
kamu semua) tetapi untuk lebih sempurna, ucapannya ialah assalamualaikum
warahmatullah (sejahtera kepada kamu semua dan semoga dirahmati Tuhan).
Adalah disunatkan untuk memberi salam sebanyak dua kali dan sunat juga untuk
menoleh ke kanan dahulu bagi salam yang pertama dan ke kiri bagi salam yang
kedua. Turut disunatkan juga kedua-dua salam itu tidak disekalikan iaitu ada
pengasingan antara kedua-duanya.
13.Tertib
Tertib adalah rukun yang merangkumi keseluruhan rukun solat iaitu
memastikan segala perlakuan rukun berada pada turutan yang betul satu demi
satu dan yang dahulu didahului serta yang kemudian, dilakukan kemudian.
Perkara-perkara Sunat dan Adab didalam Pelaksanaan Solat Fardhu.
Terdapat perkara-perkara sunat didalam melaksanakan solat fardhu.
Begitu juga adab-adab. Walaubagaimanapun, seseorang Islam tidak lah boleh
mengada-adakan perkara baru didalam syariat pelaksanaan solat kerana syarat
ibadah solat yang diterima oleh Allah ialah segala bentuk, cara dan kaedah
bersolat itu hendaklah menepati ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Sebuah
hadis yang diriwayatkan sahih oleh dua periwayat iaitu Imam Bukhari dan Imam
Muslim: Dari A'isyah, Nabi SAW telah bersabda:
رد فهو أمرنا ليسعليه عمال عمل من
Maksudnya: "Barangsiapa melakukan perbuatan yang tidak ada dalam urusan
(sunnah)ku, maka ia ditolak."
Perkara-perkara Sunat dan Adab didalam Pelaksanaan Solat Fardhu.
Terdapat perkara-perkara sunat didalam melaksanakan solat fardhu.
Begitu juga adab-adab. Walaubagaimanapun, seseorang Islam tidak lah boleh
mengada-adakan perkara baru didalam syariat pelaksanaan solat kerana syarat
ibadah solat yang diterima oleh Allah ialah segala bentuk, cara dan kaedah
bersolat itu hendaklah menepati ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Sebuah
hadis yang diriwayatkan sahih oleh dua periwayat iaitu Imam Bukhari dan Imam
Muslim: Dari A'isyah, Nabi SAW telah bersabda:
رد فهو أمرنا ليسعليه عمال عمل من
Maksudnya: "Barangsiapa melakukan perbuatan yang tidak ada dalam urusan
(sunnah)ku, maka ia ditolak."
Perkara-perkara Sunat didalam Solat Fardhu.
Terdapat dua jenis sunat didalam pelaksanaa solat fardhu iaitu sunat
ab'adh dan sunat hai'ah. Sunat ab'adh ialah setiap perkara yang sangat dituntut
untuk dilaksanakan di mana jika ditinggalkan maka sunat diganti dengan sujud
sahwi pada akhir sembahyang (sebelum memberi salam). Manakala sunat hai'ah
pula ialah setiap perkara yang jika ditinggalkan tidak dikenakan sudud sahwi.
Sunat Ab‘adh
Tasyahhud awal, iaitu tasyahhud yang dibaca semasa duduk selepas
melakukan setiap dua raka‘at dalam sembahyang Zuhur, ‘Asar, Maghrib
dan ‘Isya’.
Salawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas
tasyahhud awal tanpa disambung dengan salawat ke atas ahli keluarga
Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.
Salawat kepada ahli keluarga Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam
selepas tasyahhud akhir.
Duduk bagi mengerjakan setiap tiga perkara sunat ab‘adh di atas.
Bacaan qunut semasa i‘tidal pada raka‘at sembahyang Subuh.
Sunat Hai’ah
Sunat hai’ah sangat banyak semasa melakukan sembahyang. Secara
umumnya, sunat hai’ah boleh diringkaskan kepada perkara-perkara berikut:
Mengangkat dua tangan ketika takbiratul ihram, mula hendak ruku‘ dan
bangkit daripadanya, dan ketika bangun daripada tasyahhud awal.
Meletakkan tangan kanan ke atas belakang tangan kiri di bawah dada, di
atas pusat sambil mengarahkan sedikit ke arah hati.
Melihat ke tempat sujud sambil menundukkan kepala sedikit.
Membaca tawajjuh atau doa iftitah secara senyap.
Membaca al-isti‘azah secara perlahan selepas tawajjuh dan sebelum Al-
Fatihah.
Menyaringkan bacaan Al-Fatihah dan surah dalam solat Jumaat, subuh,
isyak dan maghrib pada rakaat pertama dan kedua. Pada selain waktu-
waktu tersebut hendaklah memperlahankan suara.
Membaca “Amin” selepas Al-Fatihah sama ada oleh imam, ma’mum atau
bersendirian.
Membaca surah atau paling kurang tiga ayat selepas bacaan Al-Fatihah.
Disunatkan kepada imam atau persendirian dan ma’mum yang tidak
mendengar bacaan imam kecuali pada raka‘at ketiga dan keempat kepada
selain masbuq dengan dua raka‘at pertama.
Bertakbir ketika melakukan perpindahan dari satu rukun ke rukun yang
lain.
Membaca “ Samiallahhu liman hamidahu, Rabbana walakal hamdu”
semasa mengangkat kepala daripada ruku‘.
Membaca tasbih ketika ruku` dan sujud sebanyak tiga kali.
Meletakkan kedua-dua tangan pada kedua-dua paha ketika duduk
tasyahhud.
Duduk secara iftirash dalam semua tempat dikehendaki duduk kepada
selain mereka yang masbuq dan yang lupa.
Membaca salawat Ibrahimiyyah selepas tasyahhud akhir.
Berdoa dan ta‘awwuz iaitu meminta perlindungan kepada Allah selepas
tasyahhud akhir.
Memberikan salam kedua selepas salam fardhu yang pertama.
Khusyu‘, iaitu menghadirkan hati semasa mengerjakan sembahyang dan
memberi perhatian kepada setiap patah perkataan yang diucapkan.
Adab-adab didalam Pelaksanaan Solat Fardhu
Antara adab-adab didalam mengerjakan solat fardhu ialah salah satunya
memperelokkan keadaan dan pakaian kita. sepertimana firman Allah didalam
surah Al-A’raaf ayat 31 yang maksudnya:
“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-
tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah
serta minumlah dan jangan pula kamu melampau,sesungguhnya Allah tidak suka
akan orang-orang tang melampaui batas.”
Selain itu, seseorang itu perlulah berada di dalam keadaan tenang
sebelum menunaikan solat dan jangan tergopoh gapah. Memandang tempat
sujud merupakan satu adab penting didalam solat. Juga ditekankan didalam adab
melaksanakan solat fardhu ialahbersegera menunaikan solat di awal waktu, dan
menghayati setiap bait bacaan didalam solat. Dan yang paling penting ialah
kepada para lelaki agar menunaikan solat secara berjemaah di masjid.
Kelebihan Solat Fardu
Solat atau sembahyang adalah rukun kedua yang menjadi asas terbinanya
Islam. Solat juga merupakan tiang agama dan satu ibadah wajib ke atas setiap
umat Islam melakukannya dalam apa jua keadaan selagi akalnya masih waras.
Dalam al-Quran terdapat lebih 25 tempat ayat " Agama " yang merujuk kepada
makna perintah mengerjakan atau mendirikan solat dan terdapat lebih 70 kali
perkataan " Assolah " atau sembahyang diulang dan disebut dalam al-Quran.
Baginda nabi SAW telah berpesan supaya ibu bapa menyuruh dan mengajar
anak-anak tentang ibadah sembahyang sejak umur mereka 7 tahun dan pukullah
mereka jika enggan sembahyang ketika berumur 10 tahun. Kita wajib berdoa
mengharapkan anak-anak dan keturunan kita sentiasa mendirikan sembahyang.
Begitu juga kita hendaklah menyuruh kaum keluarga kita mengerjakan solat
seperti Firman Allah dalam surah Toha ayat 132 yang bermaksud : "Dan
perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan
hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki
kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!)
kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa." Di sini dapat
difahami betapa besarnya kepentingan sembahyang kepada orang-orang Islam
yang beriman, di antaranya :
1. Solat merupakan tiang agama
Rasulullah saw bersabda “Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang
mendirikannya dia menegakkan agama, sesiapa yang meninggalkannya dia
meruntuhkan agama.“Siapa yang meninggalkan sembahyang dengan
sengaja,maka sesungguhnya dia telah kufur dengan nyata”.-HR Bukhari dan
Muslim. Dalam hal ini kita dapat lihat, dalam membina sebuah bangunan yang
kukuh apa yang diperlukan adalah tiang yang kukuh untuk menyokong struktur
bangunan yang lain. Jika tiang itu lemah, maka lemahlah struktur bangunan itu,
begitulah sebaliknya. Jadi agama seseorang itu dapat dilihat dari perlakuan
solatnya samada dijaga dengan rapi ataupun tidak.
2. Solat dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati
Allah
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan
melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk
mengingati daku." (Surah Toha ayat : 14)
Berdasarkan maksud ayat tersebut sembahyang adalah jalan bagaimana untuk
kita sentiasa mengingati Allah SWT kerana di dalam sembahyang kita akan selalu
berdoa dan memohon kepada Allah. Sekaligus sembahyang juga merupakan
tanda pengabdian dan syukur seorang hamba kepada Allah SWT. Atas segala
nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kepada kita.
3. Solat dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar
Firman Allah SWT yang bermaksud : “ Sesungguhnya sembahyang itu dapat
mencegah daripada perkara-perkara buruk dan mungkar. ” (Surah Al-Ankabut
ayat : 45).
Berdasarkan ayat ini Allah telah ,emyatakan bahawasanya solat yang dikerjakan
dengan khusyuk dan menepati segala rukun-rukunnya boleh mencegah orang
yang melakukannya dari melakukan maksiat dan kemungkaran.
4. Gugur dosa
Dari Abu Huraira sabda Rasulullah S.A.W : “Bagaimana pendapat kamu jika salah
seorang daipada kamu mendapati di hadapan rumahnya ada sungai, dia mandi di
sungai itu lima kali dalam sehari, apakah ada lagi kotoran pada badannya?”
Sahabat menjawab “Tidak akan ada apa-apa kotoran lagi.” Kata Rasulullah,
“Maka demikianlah juga dengan sembahyang lima kali, Allah menghapuskan
dengannya dosa-dosa.” Juga diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bahawa
Baginda bersabda: Apabila seorang hamba bersembahyang, dibawa dosa-
dosanya lalu diletakkan di atas kepalanya ataupun tengkuknya, maka setiap kali
dia ruku’ atau sujud, maka gugurlah dosa itu daripadanya.
Maksud dosa-dosa di sini adalah dosa kecil kerana dosa besar memerlukan
kepada taubat atau keampunan dari Allah.
5. Solat dapat memberi barakah hidup dan kehidupan bahagia
Kehidupan orang yang memelihara solat jauh berbeza dengan orang yang
meninggalkannya. Ini jelas dilihat bagaimana orang yang memelihara solat
kehidupannya dipenuhi dengan keberkatan dan kebahagiaan. Sebagaimana
Firman Allah yang bermaksud : "Sesungguhnya berbahagia dan berjayalah orang-
orang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (Surah al-
Mukminun : 1-2)
Perlu diingatkan bahawa solat adalah ibadah yang diterima oleh Baginda nabi
SAW secara langsung daripada Allah SWT, ketika nabi SAW mengadap Allah SWT
di “Sidratul Muntaha” dalam peristiwa Isra’ Mikraj adalah berbeza dengan
ibadah lain seperti ibadah puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui
wahyu dengan perantaraan malaikat Jibril AS sebagai pembawa wahyu. Ini
adalah satu kenyataan bahawa ibadah sembahyang itu terlalu istimewa di sisi
Allah SWT.
Kesan Solat Dalam Kehidupan Muslim
Setiap tuntutan agama mempunyai akan memberi kesan kepada individu yang
mengamalkannya. Solat antara tuntutan utama dalam Islam dan ia turut
memberi kesan kepada individu muslim yang mentaati perintah tersebut. Kesan
solat kepada kehidupan muslim hanya akan berhasil apabila solat seseorang itu
berkualiti seperti solat diawal waktu dan khusyuk dalam.
Kesan solat yang pertama berdasarkan dalil didalam Al-Quran ialah mencegah
daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah SAW
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar” (surah Al-
Ankabut, 45). Solat dapat menjauhkan individu daripada perbuatan yang tidak
baik dan menjauhkan daripada melakukan maksiat. Kesan ini akan terhasil
apabila solat seseorang muslim itu dijaga dengan betul dan mengikuti segala
tuntutan dalam ibadat solat. Dengan menjaga kualiti solat, ia mampu menjadikan
muslim itu jauh daripada melakukan kejahatan. Solat itu mendidik hati supaya
taat dengan perintah Allah SAW. Hati yang taat akan menghindarkan diri
daripada melakukan perkara yang dilarang.
Selain itu, solat akan menjadikan seseorang individu muslim mempunyai hati
yang tenang. Untuk mendapatkan solat yang khusyuk, seseorang itu perlu
menumpukan fikiran sepenuhnya kepada mengingati Pencipta dan
mengagungkanNya. Hati yang sentiasa mengingati Pencipta akan merasai
ketenangan didalam hatinya. ‘Sembahyang itu mendidik diri supaya bersifat
tenang dan tertib. Dr Amran Kasimin,11’. Dengan mengagungkan Allah SAW,
muslim itu akan menjadi rendah diri kerana yakin akan kekuasaan adalah milik
Allah SAW. Individu yang rendah diri lebih mudah untuk mensyukuri nikmat
yang dimiliki dan mereka akan lebih berserdahana dalam kehidupan mereka.
Solat yang berkualiti juga akan menjadikan muslim itu seorang berdisiplin dalam
kehidupan seharian mereka. Solat adalah satu ibadah yang mempunyai rukun
tersendiri. Rukun solat ini perlu dipatuhi untuk menjadikan solat seseorang
muslim itu solat yang berkualiti. Seseorang muslim yang benar-benar menjaga
solat akan mempunyai sifat disiplin dalam diri mereka. Seseorang yang mampu
mematuhi setiap rukun solat akan terbawa sifat taat dalam diri mereka ke luar
solat. Dalam kehidupan seharian, kita ada peraturan-peraturan yang ditetapkan
oleh kerajaan atau pihak berkuasa, muslim yang menjaga solat akan mampu
untuk mematuhi peraturan tersebut selagi tidak bertentangan dengan ajaran
Islam.
Suci dari kotoran merupakan satu syarat sah solat. Muslim yang menjaga solat
perlu menyucikan diri daripada hadas kecil dan hadas besar. Tuntutan ini akan
menjadikan seseorang muslim itu menjaga kesucian dan kebersihan diri, pakaian
dan tempat tinggal mereka supaya solat mereka tidak sia-sia dan diterima oleh
Allah SAW. Syarat sah solat bukan hanya suci diri daripada hadas, pakaian dan
tempat solat juga perlu suci daripada najis seperti air kencing. Seseorang muslim
akan lebih selesa untuk menunaikan ibadah solat dalam persekitaran yang suci
dan bersih. Sangat bersesuaian dengan kata-kata ‘kebersihan itu sebahagian
daripada iman’.
Solat juga mampu membentuk perpaduan ummat Islam kerana solat itu boleh
dilakukan secsra berjemaah dan sangat dituntut bagi kaum adam. Solat secara
berjemaat banyak kebaikkannya selain daripada ganjaran berlipat ganda. Dari
segi sains, pengkaji mendapati solat berjemaat dapat menstabilkan cas dalam
badan seseorang. Muslim akan berkumpul di masjid atau surau untuk
menunaikan solat secara berjemaah. Hal ini menjadikan muslim lebih mengenali
saudara seagama mereka. Hanya di masjid dan surau kita boleh mengenali
individu Islam yang berbangsa selain daripada bangsa Melayu bagi penduduk di
Malaysia. Perkenalan yang lebih erat menjadikan masyarakat Islam bersatu dan
bertambah kuat.
Rujukkan
Dinie Publisher, Dr Amran Kasimin (1992), Bagaimana Mencegah Kejahatan
Melalui Sembahyang, Jilid 1, No 20 Jalan 6c/7, 43650 Bandar Baru Bangi,
Selangor : Jiwamas Printer Sdn Bhd.11,117