Post on 15-Nov-2020
UniSZA di Persada 40
Tahun
UniSZA di Persada
40 Tahun
Hassan Basri Awang Mat Dahan
PENERBIT UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN
KUALA NERUS • 2020
www.penerbit.unisza.edu.my
© Hak cipta / Copyright Universiti Sultan Zainal Abidin, 2020.
Hak cipta terpelihara. Tiada bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukarkan ke dalam sebarang bentuk
atau dengan sebarang alat juga pun, sama ada dengan cara elektronik, gambar
serta rakaman dan sebagainya tanpa kebenaran bertulis daripada Penerbit Universiti Sultan Zainal Abidin
terlebih dahulu.
All rights reserved. No part of this publication may be reproduced or
transmitted in any form or by any means, electronic or mechanical, including
photocopy, recording, or any information storage and retrieval system,
without permission in writing from
Universiti Sultan Zainal Abidin Press.
Diterbitkan di Malaysia oleh / Published in Malaysia by Penerbit UniSZA
Universiti Sultan Zainal Abidin
Kampus Gong Badak 21300 Kuala Nerus
Terengganu, MALAYSIA
Tel: 09-668 8772, Faks: 09-668 7867 Laman web: http://www.penerbit.unisza.edu.my
Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
Hassan Basri Awang Mat Dahan, 1962- UniSZA di Persada 40 Tahun / Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Mode of access: Internet
eISBN 978-967-2231-51-6 1. Universiti Sultan Zainal Abidin.
2. 2. Education, Higher--Malaysia--Terengganu.
3. Universities and colleges--Malaysia--Terengganu. 4. Government publications--Malaysia.
5. Electronic books.
I. Judul. 378.595122
Kandungan
Abstrak…………7
Pendahuluan…………… 9
UniSZA 40 Tahun……………9
Pencapaian Hala Tuju Utama SNC 2019……………12
Pencapaian Hala Tuju Akademik……………12
Pencapaian Hala Tuju Kecemerlangan Penyelidikan…15
Hala Tuju Graduan Holistik……………17
Pelan Sttrategik UniSZA 2020-2022……………19
Visi, Misi dan Nilai Teras Naseem……………21
S1 Graduan Kalis Masa Hadapan…23
S2 Wira Komuniti……………30
S3 Penyelidikan Bertaraf Dunia……………34
S4 Universiti Tersohor di Peringkat
Antarabangsa……37
Penjanaan Hasil Universiti Melalui UniSZA Holding Sdn
Bhd…………..40
Penutup…………………42
Tanah Ini……………………..44
Abstrak
Syarahan Tahunan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal
Abidin (UniSZA) 2020 yang bertajuk ‘UniSZA di Persada
40 Tahun’ menyaksikan visi UniSZA ‘Universiti Islam
Integrasi Kontemporari’ diolah dalam tiga tunjang lestari
yang menjadi identiti UniSZA. UniSZA sebuah universiti
Islam yang berasaskan paradigma Tauhid merupakan
tunjang lestari yang pertama. Tunjang lestari kedua ialah
UniSZA sebuah institusi pengajian berkonsepkan Integrasi
Ilmu. Tunjang lestari ketiga ialah UniSZA sebagai sebuah
institusi pengajian yang memenuhi keperluan
kontemporari. Bagi mencapai visinya, UniSZA telah
menetapkan satu misi iaitu melahirkan insan holistik yang
dilengkapi dengan nilai-nilai Naseem melalui pendidikan
cemerlang dan penyelidikan berimpak tinggi ke arah
memperkasa masyarakat. Visi dan misi UniSZA akan
dipandu oleh lapan nilai teras Naseem iaitu i) ilmu; ii)
iman dan akhlak; iii) amal; iv) kepimpinan atau qiyaadah;
v) kolaborasi atau ta’awun; vi) keusahawanan atau
tijarah; vii) transformasi atau taghyir; dan viii) inovasi
atau ibtikaar. Pelan Strategik UniSZA 2020-2022 pula
menggariskan empat objektif strategi iaitu i) Graduan
Kalis Masa Hadapan; ii) Wira Komuniti; iii) Penyelidikan
Bertaraf Dunia; dan iv) Universiti Tersohor di Peringkat
Antarabangsa.
بسم الله الرحمن الرحيم. الحمد لله رب العالمين، والصلاة
والسلام على الرسول الأمين س يدنا محمد وعلى آله وأصحابه
أجمعين.Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh dan
salam sejahtera.
Pendahuluan
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,
Sukacita, saya mengalu-alukan kehadiran sahabat-
sahabat warga Universiti Sultan Zainal Abidin
(UniSZA) sekalian, ke Majlis Syarahan Naib
Canselor 2020 dan Pelancaran Pelaksanaan Pelan
Strategik UniSZA 2020–2022 di Dewan Al-Muktafi
Billah Shah yang penuh bersejarah ini. Moga
kehadiran kita semua pada pagi ini dihitung sebagai
amal jariah dan santunan budi buat seluruh warga
bumi Dataran Abidin, sekali gus mengeratkan lagi
ikatan ukhuwah yang terjalin sesama kita.
UniSZA 40 Tahun
Pada hari ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan
syabas kepada seluruh warga UniSZA, atas genapnya
usia 40 tahun kewujudan institusi kita yang tercinta
ini. Mengenang kembali permulaan kita 40 tahun
yang lalu, pada hari Rabu 22 Oktober tahun 1980,
kerajaan Negeri Terengganu telah meluluskan
Enakmen Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin bagi
10 / Syarahan Naib Canselor 2020
penubuhan sebuah Kolej Universiti. Pada tahun
tersebut, kumpulan pertama mahasiswa KUSZA telah
memulakan pengajian dan ditempatkan sementara di
Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal
Abidin di Batu Buruk, Kuala Terengganu. Setahun
selepas itu KUSZA kemudiannya berpindah ke Jalan
Hiliran, Kuala Terengganu, sebelum berpindah ke
kampus kita sekarang di Gong Badak, pada akhir
Disember 1982. Sejak dari itu, Dataran Abidin yang
berakar-umbikan ilmu, iman, akhlak dan amal terus
subur membesar menjadi pohon ilmu, yang akarnya
tetap kukuh mencengkam bumi, pucuknya berterusan
menjulang tinggi. Buah yang dihasilkannya sentiasa
segar dan masak ranum, untuk dikecapi dan
dinikmati bersama, sesuai dengan gagasan ‘Ilmu
Demi Faedah Insan’ yang menjadi moto UniSZA
semenjak awal penubuhannya setelah dinaik taraf
daripada KUSZA lebih sedekad yang lalu.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Ibrahim, ayat
24 – 25, yang bermaksud: “Tidakkah engkau melihat
(wahai Muhammad), bagaimana Allah
mengemukakan satu perumpamaan bagi kalimah
toyyibah (yang baik) adalah seperti sebatang pohon
yang baik, pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh
dan puncak dahannya menjulang ke langit. Ia
mengeluarkan buahnya pada setiap ketika dengan
izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan
perumpamaan-perumpamaan tersebut supaya
manusia dapat mengambil peringatan
(pengajaran)”. Inilah perumpamaan bagi kita dan
institusi yang kita dukungi; seumpama kalimah
toyyibah yang kukuh akar umbinya, tinggi dan murni
visi serta misinya. Buah yang dihasilkannya dapat
UniSZA di Persada 40 Tahun / 11
dimanfaatkan oleh seluruh khalayak berkepentingan
termasuk masyarakat sekitar.
Kalimah toyyibah inilah yang masih menjadi
amalan dan budaya dalam kalangan warga UniSZA
selama tempoh 40 tahun ini. Ia seumpama pohon
besar yang menaungi warga dan persekitarannya
dalam bentuk biah solehah. Bumi Dataran Abidin ini
makmur dengan manusia-manusia yang santun
peribadi dan nuraninya. Terdidik dari sudut
keterampilan, pergaulan dan amalan. Biah solehah
inilah yang menjadi sumber inspirasi kepada
kejayaan dan kecemerlangan yang telah terlakar di
bumi bertuah sepanjang empat dekad yang
lalu. Selama 40 tahun kita telah berjaya melahirkan
tokoh-tokoh agamawan, profesional, pemimpin, dan
manusia yang kemenjadiannya terserlah di persada
negara dan dunia.
Kejayaan dan kecemerlangan yang kita kecapi
dan nikmati bersama ini, termasuk biah solehah,
rezeki yang melimpah, pimpinan beramanah, warga
bermaruah dan kehidupan yang sejahtera; adalah
kurniaan daripada Allah s.w.t. yang boleh
diungkapkan sebagai Hayatan Toyyibah. Firman
Allah s.w.t. dalam surah an-Nahl ayat 97, yang
bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan amal soleh,
baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan
beriman, maka sesungguhnya akan Kami kurniakan
kepadanya hayatan toyyibah (kehidupan yang baik);
dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada
mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang
telah mereka kerjakan”. Justeru, dengan hati yang
tulus, marilah kita mengucapkan setinggi-tinggi rasa
12 / Syarahan Naib Canselor 2020
syukur kepada Allah atas nikmat kejayaan dan
pencapaian yang kita peroleh selama ini. Selamat
datang ke persada 40 tahun UniSZA.
Pencapaian Hala Tuju Utama SNC 2019
Sahabat-sahabat yang saya muliakan,
Dalam Syarahan Naib Canselor 2019 yang lalu, saya
telah menggariskan tiga hala tuju utama iaitu
kecemerlangan akademik, kecemerlangan
penyelidikan, dan graduan holistik. Kita di UniSZA
telah merancang dan melaksanakan aktiviti mengikut
hala tuju yang digariskan. Aktiviti-aktiviti ini
mempunyai kesan dan impak kepada semua
pemegang taruh universiti seperti pelajar, pensyarah,
staf pentadbiran dan masyarakat setempat.
Pencapaian Hala Tuju Kecemerlangan Akademik
Dalam usaha mendepani segala cabaran dalam dunia
pendidikan hari ini, alhamdulillah dan tahniah saya
ucapkan kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik
dan Antarabangsa), Pusat Pengurusan
Kecemerlangan dan Inovasi Akademik (CoMAE-I)
dan seluruh fakulti kerana telah melaksanakan
pelbagai aktiviti ke arah penambahbaikan kandungan
mengikut kurikulum tersedia masa hadapan atau
Future Ready Curriculum (FRC).
UniSZA di Persada 40 Tahun / 13
Seminar Future Ready Curriculum (FRC)
pada tahun lalu telah menyaksikan ucaptama seminar
yang telah disampaikan oleh Pengarah Bahagian
Kecemerlangan Akademik, Kementerian Pendidikan
Malaysia. Seminar tersebut merupakan salah satu
langkah dalam memberi pendedahan kepada
pensyarah UniSZA berkenaan kerangka kurikulum
tersedia masa hadapan. Selain itu, Bengkel Outcome
Based Education (OBE) dan High Impact
Educational Practices (HIEPs) juga telah
dilaksanakan kepada semua pensyarah secara
berperingkat bagi memastikan pelaksanaan FRC
dalam program akademik yang ditawarkan dapat
dilaksanakan dengan jayanya.
Dalam syarahan saya yang lepas juga, saya
ada menyentuh berkenaan penerapan kemahiran abad
ke-21 dalam bidang pendidikan. Kita perlu tekankan
bahawa selain cemerlang dalam bidang akademik,
generasi muda juga perlu mempunyai kemahiran
seperti kreatif dan inovatif, fleksibiliti, mempunyai
pemikiran yang kritis dan mampu menyelesaikan
masalah, mampu berkomunikasi dan menjalankan
kolaborasi dengan baik serta berkepimpinan dan
bertanggungjawab.
Sekali lagi tahniah saya ucapkan kepada
pihak CoMAE-I kerana telah menganjurkan Karnival
e-Pembelajaran UniSZA (UniCeL) pada bulan Julai
2019 seterusnya menyertai Karnival e-Pembelajaran
peringkat Kebangsaan iaitu IUCEL. Selain
pensyarah, pelajar turut terlibat dalam penyertaan
Karnival e-Pembelajaran ini sekali gus mendedahkan
pelajar kepada kemahiran komunikasi, kolaborasi,
14 / Syarahan Naib Canselor 2020
dan pemikiran yang kritis serta mampu
menyelesaikan masalah. Tahun 2019 menyaksikan
penyertaan warga UniSZA dalam IUCEL dan kita
telah berjaya memperoleh empat pingat emas, tiga
pingat perak, dan tiga pingat gangsa.
Selain itu, pada tahun lepas juga, tiga
Geran Scholarship of Teaching and Learning (SoTL)
berjumlah RM20,000 telah dianugerahkan kepada
pensyarah bagi melaksanakan kajian berimpak dalam
menaik taraf kaedah pengajaran dan pembelajaran
kita. Selaras dengan usaha untuk menerapkan
kemahiran abad ke-21, Bengkel Heutagogi, Sibergogi
dan Paragogi turut diadakan kepada pensyarah pada
bulan Disember 2019.
Tahniah saya ucapkan kepada pensyarah yang
terlibat kerana rentetan daripada bengkel itu,
beberapa kursus telah dibangunkan menggunakan
Augmented Reality dan boleh dicapai di pelantar
ocw.unisza.edu.my. Selain itu, saya amat berbangga
apabila UniSZA menjadi universiti pertama di
Malaysia yang memperkenalkan teknologi
Blockchain sepenuhnya kepada kesemua graduan
diploma, ijazah dan pasca ijazah, bagi mengesahkan
ketulenan skrol graduan mereka.
Melalui aplikasi yang dikenali sebagai
myBLOCKCERTS, yang menggunapakai teknologi
blockchain, data skrol para graduan akan terjamin
dari segi kesediaan data, telus, integriti dan dapat
meningkatkan kebolehpercayaan umum terhadap
kesahihan skrol yang kita keluarkan.
UniSZA di Persada 40 Tahun / 15
Pencapaian Hala Tuju
Kecemerlangan Penyelidikan
Sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian,
Umum mengetahui bahawa dunia akademia sarat
dengan aktiviti penyelidikan. Tahun 2019
menyaksikan UniSZA telah melaksanakan pelbagai
usaha dalam memastikan hala tuju kecemerlangan
penyelidikan dicapai. Tahniah saya ucapkan kepada
Pusat Pengurusan Kecemerlangan dan Inkubator
Penyelidikan (CREIM) kerana telah mempergiatkan
usaha ke arah penyelidikan translasi dan
transdisiplin. Dua kaedah penyelidikan ini tertumpu
kepada ilmu penyelidikan yang memberi manfaat
kepada masyarakat dan merentasi disiplin.
Pada tahun 2019, Translational University
Grant (TUG) telah diperkenalkan, dan telah
dianugerahkan kepada tiga kumpulan penyelidikan
dengan jumlah sebanyak RM 61,500.
Selain geran dalaman universiti dan KPM,
tahun 2019 menyaksikan UniSZA telah berjaya
memperoleh geran lain seperti Geran Penyelidikan
Ilmiah, dan geran yang ditaja oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM). Tahniah saya ucapkan
kepada Dr. Mohd Razif Shahril dari Fakulti Sains
Kesihatan (FSK) kerana berjaya memperoleh geran
khas dibawah KKM berjumlah RM200,000 dengan
projek bertajuk Development and Feasibility of
Nutrition Education and Promotion Strategies among
Household with Children Under Two Years at Risk
for Stunting in Terengganu. Projek ini dijalankan di
Terengganu kerana masalah kanak-kanak bantut di
16 / Syarahan Naib Canselor 2020
Terengganu adalah antara tertinggi di Malaysia
selepas Kelantan. Dalam projek penyelidikan ini,
penyelidik UniSZA akan membantu Kementerian
Kesihatan Malaysia untuk membangunkan strategi
pendidikan pemakanan dan kesihatan bagi
mengurangkan risiko bantut pada kanak-kanak di
negeri Terengganu. Ini akan memberi limpahan
manfaat kepada semua isi rumah di Terengganu
dalam menerima pendidikan pemakanan yang sesuai
dengan sosiobudaya masyarakat setempat dan
seterusnya mengurangkan beban penyakit akibat
masalah bantut.
Manakala dalam aktiviti inovasi dan
pengkomersialan, UniSZA telah meneruskan
kecemerlangan melalui PECIPTA 2019, dengan
kejayaan memperoleh pencapaian seratus peratus
pingat, dengan tujuh emas, lima perak, dan satu
gangsa. Tahniah diucapkan kepada semua pensyarah
yang membantu melonjakkan nama UniSZA melalui
aktiviti inovasi dan penyelidikan.
Sebagai langkah memposisikan UniSZA
sebagai tempat rujukan dunia, kita telah mengambil
langkah menubuhkan beberapa Special Interest
Group (SIG). Fakulti Pengajian Kontemporari Islam
(FKI) UniSZA, telah menubuhkan tiga SIG; (i) Fiqh
Kontemporari, (ii) Penyusuan Susu Ibu Patuh Syariah
(PSIPPS), dan (iii) Unit Kelestarian Keluarga,
Kejiranan dan Komuniti (U4K). Manakala
SIG Kanak-kanak Kelainan Upaya (OKU) telah
ditubuhkan oleh Fakulti Sains Sosial Gunaan
(FSSG). Penubuhan SIG-SIG ini adalah satu inisiatif
dalam menggalakkan penyelidikan translasional
UniSZA di Persada 40 Tahun / 17
berfokus yang akan menumpukan kajian dalam
menyelesaikan masalah-masalah sebenar yang ada
dalam komuniti, seterusnya memberi penyelesaian
secara lebih langsung.
Hasil daripada keseluruhan aktiviti
penyelidikan dan inovasi yang telah berbudaya di
UniSZA, para pensyarah kita telah melangkah
setapak lagi menuju ke arah pengkomersialan
produk-produk penyelidikan. Sebagai contoh, projek
i-Wudhu’ yang telah dibangunkan oleh penyelidik
dari Fakulti Perubatan, telah bersedia untuk
dikomersialkan melalui Perjanjian Perlesenan Produk
i-Wudhu’ dengan Syarikat Duta Edge Sdn. Bhd.
Manakala produk Virtual Speaking Buddy (VirSbud)
pula akan dilesenkan kepada Syarikat Teacherfiera
Resources untuk dikomersialkan. Virtual Speaking
Buddy merupakan sebuah aplikasi bantuan
pengajaran yang direka khas oleh penyelidik Fakulti
Bahasa dan Komunikasi, untuk meningkatkan
kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris di
peringkat sekolah. Tahniah diucapkan kepada
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi,
Pusat Pengurusan Kecemerlangan dan Inkubator
Penyelidikan (CREIM) dan seluruh warga penyelidik
UniSZA atas segala pencapaian ini.
Hala Tuju Graduan Holistik
Hadirin yang dikasihi sekalian,
UniSZA merupakan gedung ilmu yang telah
melahirkan ramai graduan dalam pelbagai bidang
ilmu. Ia menjadi medan yang mematangkan graduan
18 / Syarahan Naib Canselor 2020
secara holistik. Pelbagai aktiviti dan usaha telah
dijalankan dalam meningkatkan daya saing pelajar di
peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Antaranya UniSZA merupakan universiti
awam (UA) pertama di Malaysia yang melantik dua
orang pelajar menjadi Ahli Senat Universiti,
manakala dua orang lagi sebagai pemerhati.
Pelantikan ini merupakan langkah strategik UniSZA
yang menyahut seruan Kementerian Pendidikan
Malaysia, yang mahu memberi nafas baharu dalam
proses student empowerment. Selain itu, pihak
pengurusan universiti juga telah memberi peluang
kepada pelajar untuk menguruskan sepenuhnya
Pilihan Raya Kampus, Karnival Mahabbah (Pesta
Konvokesyen) dan Minggu Mesra Siswa (MMS)
bermula sesi kemasukan September
2019. Pencapaian hala tuju graduan holistik
menunjukkan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK)
juga komited menjayakan pelbagai aktiviti komuniti
dan kemasyarakatan. Program Hospitalku Sekolahku
yang melibatkan aktiviti bahasa Melayu, bahasa
Inggeris dan bahasa Arab giat dilaksanakan oleh FBK
sejak tujuh tahun yang lepas di Hospital Sultanah Nur
Zahirah oleh para pensyarah dan pelajar FBK untuk
pesakit kanak-kanak hospital tersebut.
Sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian,
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan
Alumni, dekan-dekan fakulti dan pusat, serta Pusat
Alumni, Keusahawanan dan Jaringan Masyarakat
(PAKAT), kerana telah menyahut cabaran saya bagi
meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan
UniSZA di Persada 40 Tahun / 19
UniSZA. Alhamdulillah, bersumberkan data sistem
kajian pengesanan graduan 2019 (SKPG 2019) yang
dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) pada 15 Disember 2019 yang lalu, seramai
92.4 peratus graduan yang bergraduat pada Majlis
Idul Ilmi Konvokesyen tahun lepas telah
dikategorikan sebagai bekerja. Definisi bekerja yang
digunapakai oleh SKPG termasuklah bekerja dengan
majikan/makan gaji, menjalankan perniagaan sendiri,
terlibat dengan gig economy, menunggu penempatan,
melanjutkan pelajaran atau sedang mengikuti mana-
mana kursus kemahiran. Secara perbandingan antara
universiti awam, UniSZA berada di tangga ke-3,
selepas Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
(UPNM) dan Universiti Malaysia Pahang
(UMP). Sekali lagi, syabas dan tahniah saya ucapkan
kepada semua warga UniSZA.
Pelan Strategik UniSZA 2020 - 2022
Sahabat-sahabat seperjuangan yang saya kasihi
sekalian,
Selama 40 tahun, kita telah melakar pelbagai
kejayaan dan kecemerlangan sama ada di peringkat
negeri, negara, bahkan di peringkat dunia. Apa yang
kita ada pada hari ini bukanlah sesuatu yang dapat
dikecapi dalam sekelip mata. Ia merupakan hasil
usaha gigih pemimpin-pemimpin dan sahabat-sahabat
kita yang terdahulu. Namun, kita tidak patut leka dan
berpuas hati dengan apa yang kita ada pada hari
ini. Landskap dunia sedang berubah dengan
pantas. Zaman masa depan adalah suatu zaman yang
20 / Syarahan Naib Canselor 2020
penuh dengan ketidaktentuan, kompleks, rentan dan
berubah-ubah. Natijahnya, adalah amat sukar untuk
kita menjangka apatah lagi menentukan masa depan
sebagaimana yang kita kehendaki. Ini kerana, faktor-
faktor yang menjadi pemacu masa depan seperti
perubahan demografi dan perkembangan teknologi
amat sukar untuk dikawal. Justeru, masa depan
pendidikan tinggi negara juga sukar untuk
diramal. Pastinya kita tidak boleh mengawal masa
depan. Namun, kita mampu mengawal tindakan dan
berusaha, serta melakukan perubahan bagi
memastikan kita berada dalam keadaan terbaik untuk
terus relevan memberi khidmat kepada pelajar,
masyarakat dan negara.
Atas dasar itu, alhamdulillah kita telah pun
sama-sama membangunkan Pelan Strategik UniSZA
2020-2022 bagi menyiapkan diri dalam menghadapi
segala cabaran mendatang, dan memastikan agar
masyarakat mendapat impak yang
bermanfaat. Kekuatan Pelan Strategik UniSZA pada
kali ini adalah terletak kepada semangat kerjasama
dan saling melengkapi dalam pelaksanaan segala
strategi dan inisiatif yang telah dirancang. Apa yang
saya maksudkan ialah, sebagai contoh, jika dahulu
segala usaha dalam memastikan kecemerlangan
akademik hanya dilaksanakan oleh pusat-pusat
tanggungjawab yang berkaitan akademik sahaja,
terutamanya pihak fakulti. Namun kini, usaha ini
akan dilaksanakan oleh pelbagai pihak termasuk
Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar
dan Alumni, Pusat Sukan dan Rekreasi, Kolej
Kediaman dan Kesihatan Pelajar, bahkan Jabatan
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Semuanya
akan berganding bahu dalam memastikan
UniSZA di Persada 40 Tahun / 21
kecemerlangan akademik dan kurikulum kita berada
di tahap yang terbaik. Kini, kita tidak mahu lagi
bekerja secara bersendirian (in silo), tetapi mulai
sekarang, kita akan saling membantu dan
bekerjasama dalam setiap tindakan agar visi dan misi
yang telah kita tetapkan akan dapat kita capai secara
bersama.
Visi, Misi dan Nilai Teras Naseem
Visi kita ialah untuk menjadi sebuah Universiti Islam
Integrasi Kontemporari atau Contemporary
Integrated Islamic University. Islam, integrasi dan
kontemporari merupakan tiga tunjang lestari yang
bakal menjadi identiti UniSZA:
1. Tunjang Identiti Lestari Pertama: Bahawa
UniSZA adalah sebuah universiti Islam
berasaskan paradigma tauhid. UniSZA secara
sistematik telah melahirkan warga dan mahasiswa
yang terdidik dalam zon ibadah dan khilafah. Ia
mewacanakan sebuah institusi pengajian yang
makmur dengan konsep tarbiyyah, ta'alim, ta’dib
dan tazkiyyah yang kini akan diperkasakan dalam
jenama baharu iaiatu ‘Flexible Education with
Soul’.
2. Tunjang Identiti Lestari Kedua: Bahawa UniSZA
adalah sebuah institusi pengajian berkonsepkan
integrasi ilmu. Konsep Pendidikan Bersepadu
yang tercatat pada legasi ilmuannya dicatatkan
sebagai Kesepaduan ilmu Wahyu (al-Quran dan
22 / Syarahan Naib Canselor 2020
al-Sunnah) sebagai teras kepada ilmu akal yang
menjadi tonggak kepada Falsafah Pendididkan
Negara. Justeru dalam aktiviti pendidikan,
penyelidikan mahupun pembangunan masyarakat
akan menekankan aspek keseimbangan dan
keharmonian kerana menyedari semua elemen
kehidupan adalah suatu ekosistem peradaban
yang saling melengkapi.
3. Tunjang Identiti Lestari Ketiga: Bahawa UniSZA
adalah sebuah institusi pengajian berkonsepkan
memenuhi keperluan
kontemporari. Kontemporari dalam erti kata
medium penyambung kebijaksanaan silam dan
cabaran masa depan dalam pembinaan peradaban.
Justeru UniSZA akan selamanya bersedia
menangani hari ini, apatah lagi mendepani masa
hadapan sama ada dalam konteks cabaran
keagamaan, kemasayarakatan mahupun sains dan
teknologi. Identiti kontemporari ini akan
dijelmakan dalam bentuk inovasi pendidikan,
penyelidikan mahupun inovasi pembangunan
masyarakat yang memintas masa hadapan.
Bagi mencapai visi tersebut, kita telah
menetapkan satu misi yang mulia, iaitu untuk
melahirkan insan holistik yang dilengkapi dengan
nilai-nilai Naseem melalui pendidikan cemerlang dan
penyelidikan berimpak tinggi ke arah memperkasa
masyarakat. Visi dan misi kita ini akan dipandu oleh
lapan nilai teras Naseem iaitu: (i) ilmu, (ii) iman dan
akhlak, (iii) amal, (iv) kepimpinan atau qiyaadah, (v)
kolaborasi atau ta’awun, (vi) keusahawanan atau
UniSZA di Persada 40 Tahun / 23
tijarah, (vii) transformasi atau taghyir, dan (viii)
inovasi atau ibtikaar.
Apa yang telah kita tetapkan dan zahirkan ini
adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara,
yang berhasrat memperkembang potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan
insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek (JERI), yang dapat
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan tinggi, berakhlak mulia,
bertanggungjawab, berketrampilan, dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Warga UniSZA yang saya kasihi sekalian,
Dalam memastikan kita dapat mencapai visi
dan misi yang ditetapkan, empat objektif strategi
telah kita gariskan iaitu: (i) Graduan Kalis Masa
Hadapan, (ii) Wira Komuniti, (iii) Penyelidikan
Bertaraf Dunia dan (iv) Universiti Tersohor di
Peringkat Antarabangsa.
S1 Graduan Kalis Masa Hadapan
Persiapan yang paling ampuh dalam mendepani
cabaran masa hadapan adalah melalui pendidikan
yang cemerlang. Pendidikan yang cemerlang
bermaksud ia tidak hanya berpaksikan kepada
kekuatan aqliah sahaja tetapi pendidikan yang
komprehensif dan holistik serta berorentasikan masa
depan. Ia akan menjadi azimat kepada graduan kita
24 / Syarahan Naib Canselor 2020
untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan pada
masa depan. Kita tidak ada pilihan melainkan untuk
bekerja secara luar biasa bagi mentransformasikan
agenda akademik ini dalam usaha kita untuk
melahirkan Graduan yang Kalis Masa
Hadapan. Bagi mencapai hasrat tersebut lima
inisiatif akan dilaksanakan seperti; (i) pembentukan
kurikulum tersedia masa hadapan, (ii) penyediaan
ekosistem pembelajaran yang komprehensif dan
lestari, (iii) Flexible Education with Soul (FlexS), (iv)
Graduan kehendak industri serta (v) Pemerkasaan
pelajar yang aktif dan efektif. Pusat Pengurusan
Kecemerlangan Akademik dan Inovasi Akademik
(CoMAE-I), Pusat Alumni, Keusahawanan dan
Jaringan Masyarakat (PAKAT), Fakulti Pengajian
Kontemporari Islam (FKI) dan Majlis Perwakilan
Pelajar (MPP) akan berganding bahu dalam
menyelaraskan segala inisiatif ini agar ia dapat
dilaksanakan secara berkesan.
Kurikulum Tersedia Masa Hadapan
mempunyai tiga komponen yang dijadikan asas
dalam pembangunan program baharu dan
pelaksanaan program sedia ada, iaitu:
Pertama, kurikulum yang dibangunkan
mestilah bersifat boleh lentur, mudah berubah dan
organik serta bersedia untuk menerima sebarang
pembaharuan yang relevan dengan kehendak
pemegang taruh tanpa terlalu terikat dengan
kebiasaan dan peraturan lapuk. Program yang bersifat
multi-disiplin dan rentas-disiplin mestilah
dibangunkan berteraskan paradigma tauhid (with
soul). Fakulti tidak boleh lagi bekerja secara
UniSZA di Persada 40 Tahun / 25
sendirian (in silo) dalam sebarang pembangunan dan
pelaksanaan program akademik, namun perlu
sentiasa berhubungan terus dengan semua pemegang
taruh bagi memastikan kurikulum yang disediakan
kekal relevan.
Kedua, kurikulum tersedia masa hadapan juga
menuntut pensyarah untuk meneroka pendekatan
pembelajaran yang bersifat transformatif. Pensyarah
perlu bersedia untuk meningkat, memperbanyak serta
mempelbagaikan kemahiran pengajaran dan
pembelajaran bersesuaian dengan kemahiran
pedagogi abad-21 termasuklah heutagogy, paragogy
dan cybergogy. Pedagogi abad-21 menekankan
empat tonggak iaitu belajar untuk menguasai ilmu,
belajar untuk menguasai kemahiran, belajar untuk
menjadi insan berguna dan belajar untuk hidup
bersama secara harmoni dan berkerjasama.
Ketiga, pentaksiran alternatif, pada masa yang
sama pentaksiran pelajar juga harus berubah sifatnya
kepada pentaksiran yang lebih sahih (authentic
assessment) iaitu pentaksiran yang diadakan dalam
konteks sebenar atau sekurang-kurangnya
menghampiri konteks sebenar serta memenuhi
kehendak pemegang taruh. Pentaksiran berasaskan
tempat kerja, pentaksiran berteraskan projek,
pentaksiran yang bersifat cabaran (challenge-based
assessment) dan seumpamanya akan diperkasakan.
Sahabat -sahabat yang dikasihi sekalian,
Bagi menyokong pembangunan kurikulum
pembelajaran ini maka eksositem pendidikan yang
komprehensif dan lestari akan dibangunkan. Talian
26 / Syarahan Naib Canselor 2020
internet berkapasiti 2 GigaByte yang khusus bagi
tujuan pembelajaran atas talian akan dipertingkatkan.
Kelajuan jalur lebar kepada 500 MegaByte serta
peningkatan spesifikasi pelayan sistem e-
pembelajaran UniSZA akan menjadi pemangkin
untuk merancakkan lagi agenda e-pembelajaran.
Lebih banyak ruang pembelajaran yang bersifat
futuristik termasuk ruang pembelajaran maya seperti
bilik darjah global (global class room) dan pusat
simulasi pembelajaran mendalam (Immersive
Experiential Learning centre) akan diwujudkan
dalam usaha penambahbaikan kemudahan Pengajaran
dan Pembelajaran.
Satu ungkapan yang disebut oleh Muhammad
Qutb dalam Manhaj al-Tarbiyah; “Cara Islam
mendidik manusia ialah memupuk seluruh keadaan
manusia dengan pemupukan yang komprehensif yang
tidak meninggalkan apa-apa pun daripadanya dan
tidak pernah lupa apa-apa dari segi jasadnya, akalnya,
dan rohnya termasuk kehidupan material dan bukan
material, malah seluruh kegiatannya di atas dunia”.
Flexible Education with Soul atau FlexS
merupakan satu inisiatif UniSZA yang unik dan
asli. Ia akan dibangunkan bagi mengimbangi
perubahan landskap dunia, mengejar kepesatan
kemajuan teknologi, serta bertindak balas terhadap
kemerosotan nilai dan budaya yang sedang meracuni
dunia zaman sekarang. Kebergantungan kepada
panduan hidup bertamadun yang ditanzilkan oleh
Allah s.w.t. mestilah menjadi kerangka pembentukan
pelajar yang syumul. Justeru, FlexS telah
diintegrasikan dengan nilai-nilai Naseem yang
menjadi nilai teras perjuangan warga
UniSZA di Persada 40 Tahun / 27
UniSZA. Terdapat empat elemen penting yang akan
diberikan penekanan dalam FlexS; iaitu Hubungan
Insaniah, Ilmu dan Tarbiyyah, Gaya Hidup Sihat dan
memperkasa peranan pensyarah sebagai mua’alim,
mu’adib dan murrabi. Nilai-nilai Islam yang murni
dan bersifat sejagat akan diterapkan dalam
pelaksanaan kurikulum melalui modul hubungan
insaniah, ko-kurikulum, program sokongan, ilmu dan
tarbiyah, serta gaya hidup sihat. Pelbagai program
telah dirangka bagi menyokong usaha ini
termasuklah program UniFit yang memfokuskan
kesihatan jasmani, UniMind yang memfokuskan
kesihatan minda dan UniQalb yang memfokuskan
kesihatan rohani. Program-program ini akan
dilaksanakan secara kerjasama melibatkan pelbagai
pusat tanggungjawab dan diselaraskan oleh Fakulti
Pengajian Kontemporari Islam (FKI).
Bagi usaha membangunkan insan holistik ini,
wajar kita merenung semula pesan daripada Raja Ali
Haji dalam gurindam 12 yang dinukilkan lebih 150
tahun yang lampau;
Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihat kepada budi dan bahasa. Jika hendak mengenal orang yang berbahagia, sangat memeliharakan yang sia-sia. Jika hendak mengenal orang mulia, lihatlah kepada kelakuan dia. Jika hendak mengenal orang yang berilmu, bertanya dan belajar tiadalah jemu. Jika hendak mengenal orang yang berakal, di dalam dunia mengambil bekal. Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
28 / Syarahan Naib Canselor 2020
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.
Bagi melahirkan Graduan Kehendak Industri,
UniSZA perlu melakukan transformasi modal insan
‘minda kelas pertama’, sejajar dengan Wawasan
Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan
oleh YAB Perdana Menteri Tun Mahathir
Mohammad baru-baru ini. Khazanah Research
Institute dalam kajiannya berjudul The School to
Work Transition of Young Malaysian memperihalkan
profil graduan yang dihajati oleh majikan. 50 peratus
daripada majikan berhasratkan graduan yang
mempunyai soft skill, 30 peratus majikan
berhasratkan graduan yang mempunyai pengalaman
pekerjaan dan 27 peratus pula berhasratkan hard
skill. Maka ketiga-tiga faktor ini akan menjadi
tumpuan utama kita dalam merancang dan
melaksanakan sebarang aktiviti dan program sama
ada bersifat akademik dan bukan akademik.
Kemudahan Taman Usahawan Muda Pelajar
UniSZA (TUMPU) perlu dimanfaatkan sebaik
mungkin oleh para pelajar sebagai satu medium bagi
menimba pengalaman keusahawanan dan
membangunkan soft skills secara praktikal dan
langsung dengan masyarakat. Pelajar perlu
meningkatkan keterlibatan mereka dalam aktiviti
keusahawanan melalui ruang-ruang yang telah
disediakan oleh UniSZA. Penubuhan Career
Development Centre dan penambahan inkubator
keusahawanan perlu menjadi usaha strategik dalam
menyediakan graduan yang bersedia untuk menerajui
industri negara, bersesuaian dengan slogan ‘Industry
Ready Graduates’. Ketiga-tiga prasarana ini
UniSZA di Persada 40 Tahun / 29
sewajarnya menjadi one stop centre dan gateway
kepada pelajar dalam mempersiapkan diri mereka
dengan kemahiran yang dihajati oleh
majikan. Aktiviti-aktiviti pembangunan kemahiran
insaniah pelajar pula mesti dijalankan secara
bermodul dan bersistematik.
Hadirin-hadirat sahabat saya sekalian,
Sehingga 2019, UniSZA telah berjaya
melahirkan seramai 43,057 orang alumni. Angka ini
menjadikan alumni sebagai pemegang taruh yang
cukup signifikan dalam menyokong dan memperkasa
segala usaha UniSZA ke arah masa hadapan. Kita
perlu kerjasama erat dalam kalangan alumni UniSZA
yang sedang menjadi peneraju industri, agar dapat
memainkan peranan dalam meningkatkan mutu dan
kualiti pelajar UniSZA, sesuai dengan kehendak
industri. Bagai irama dan lagu, begitu juga harapan
saya ‘alumni dan alma mater, berpisah tiada’. Tanpa
menafikan penglibatan aktif alumni terhadap
pembangunan UniSZA dan warganya selama ini,
namun masih terdapat lakuna yang perlu diisi oleh
anak didik UniSZA ini.
Dalam usaha pemerkasaan pelajar, insya
Allah, tahun 2020 bakal menyaksikan satu perubahan
yang cukup signifikan dalam sejarah 40 tahun
UniSZA dalam pembangunan kepimpinan
pelajar. Perubahan yang saya maksudkan adalah,
penubuhan Kesatuan Pelajar atau Student Union bagi
menggantikan struktur Majlis Perwakilan Pelajar
(MPP) yang sedia ada. Student Union akan diberikan
autonomi dan kebebasan untuk menentukan hala tuju
dan pembangunan kemahiran insaniah pelajar-pelajar
yang diwakili oleh mereka. Melalui Student Union,
30 / Syarahan Naib Canselor 2020
pelajar UniSZA bakal merancang, menentu serta
menguruskan sendiri segala aktiviti dan program
berkaitan hal ehwal pelajar. Ini akan memberi ruang
dan peluang seluas-luasnya kepada semua pelajar
UniSZA untuk menimba pengalaman menjadi
pelaksana, pengurus, pembuat dasar dan pemimpin di
lapangan sebenar. Dengan menjadikan UniSZA
sebagai lapangan latihan dan kajian, pelajar UniSZA
bakal keluar ke dunia sebenar bersama masyarakat
dan industri berbekalkan pengalaman serta
pengetahuan yang lebih praktikal dan
relevan. Sasaran program yang akan diuruskan oleh
Student Union pada tahun 2020 adalah 50 peratus
daripada keseluruhan program yang dianjurkan oleh
Hal Ehwal Pelajar dan Alumni
(HEPA). Kemuncaknya Student Union diberikan
cabaran untuk melahirkan pemimpin pelajar yang
bakal menerima anugerah kepimpinan tertinggi di
peringkat KPM pada tahun 2020. Namun, kebebasan
yang diberikan ini tidaklah bersifat mutlak bahkan ia
haruslah diseimbangkan dengan maklum balas tahap
kepuasan pelajar-pelajar di samping pemantauan
yang berkala dan sistem audit yang berkesan.
S2 Wira Komuniti
Sahabat-sahabat warga Abidin sekalian,
Menerusi Pelan Strategik UniSZA 2020-2022,
kita komited untuk terus menjadi sebuah institusi
pengajian tinggi yang bukan sahaja dapat melahirkan
graduan yang terbaik, bahkan kita juga ingin menjadi
Wira Komuniti yang dapat memberi manfaat secara
langsung dan berimpak kepada masyarakat dan
negara. UniSZA harus berperanan menjadi institusi
UniSZA di Persada 40 Tahun / 31
pengajian tinggi yang dapat menjana ilmu untuk
kesejahteraan masyarakat setempat. Bagi mencapai
hasrat ini, dua inisiatif utama telah ditetapkan iaitu;
(i) Penubuhan Hub Pembangunan Komuniti dan (ii)
Pelaksanaan Projek Penyelidikan berasaskan
Komuniti yang Mampan. Pejabat TNC (HEPA) dan
Fakulti Sains Sosial dan Gunaan (FSSG) telah
dipertanggungjawabkan dalam menyelaras segala
aktiviti yang bakal dilaksanakan di bawah kedua-dua
inisiatif ini.
Penubuhan Hub Pembangunan Komuniti atau
Community Development Hub dilihat sangat relevan
dalam mewujudkan sinergi antara seluruh pusat
tanggungjawab dalam melaksanakan interaksi dan
kerjasama pintar antara UniSZA dengan
komuniti. Melalui inisiatif ini, beberapa fakulti juga
akan dipilih bagi menganjurkan program komuniti
perdana atau Community Flagship Programme yang
akan menghubungkaitkan antara teori dengan praktis
dalam penyelesaian masalah sebenar yang dihadapi
oleh masyarakat. Pengetahuan dan kemahiran
berkaitan kerohanian, perubatan dan kesihatan,
pengurusan kewangan, sains pertanian, dan teknologi
maklumat haruslah diadun dengan bijak dan murni
seterusnya diintegrasikan ke dalam program komuniti
yang bakal dilaksanakan. Ia sebagai medium bagi
merungkai masalah masyarakat seterusnya dapat
mewujudkan penyelesaian yang mampan dan
saksama untuk memenuhi keperluan masyarakat.
Integrasi teori dan amali dalam program-program
komuniti ini diharap dapat menyediakan mereka
berdaya tahan dalam menghadapi isu-isu mendatang.
32 / Syarahan Naib Canselor 2020
Pelaksanaan program-program komuniti ini
bukan sahaja perlu digalas oleh kakitangan akademik
dan bukan akademik sahaja. Pelajar juga seharusnya
dilibatkan secara menyeluruh bermula daripada
perancangan, pelaksanaan sehinggalah bersama-sama
menilai keberkesanan setiap program komuniti yang
dilaksanakan. Umum menyedari bahawa universiti
adalah tempat penyebaran, pentarbiahan serta
pemerkasaan pelbagai ilmu dan amali kepada pelajar
yang juga merupakan sebahagian daripada
masyarakat dari segenap pelusuk rantau. Tidak
dinafikan juga bahawa saban tahun pelajar-pelajar
UniSZA gah melaksanakan pelbagai program
khidmat komuniti di dalam dan di luar negara, namun
persoalannya adakah kita telah secukupnya
membimbing mereka secara sistematik dan
berstruktur? Adakah mereka aktif bertindak sebagai
agen perubahan komuniti atau sekadar bersikap pasif
melaksanakan aktiviti berdasarkan permintaan
komuniti? Oleh itu, sudah sampai masanya kita
membangunkan satu program perantis pelajar
berasaskan komuniti yang berupaya mencapai
objektif yang dinyatakan sebelum ini. Kita perlu
melahirkan pelajar-pelajar yang bijaksana merancang
bahkan cemerlang melaksanakan program komuniti
daripada isu-isu komuniti setempat
sehingga antarabangsa, berjaya dirungkai dan
diselesaikan.
Sahabat-sahabat yang saya hormati sekalian,
UniSZA senantiasa menyokong penuh hasrat
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar
penyelidikan translasional terus diperkasa dan
memberikan impak serta manfaat kepada kerajaan,
UniSZA di Persada 40 Tahun / 33
akademia, industri dan komuniti. Kesejahteraan
rakyat harus diutamakan dengan mengambil manfaat
daripada perkembangan teknologi dan kepakaran
dalaman yang sedia ada dalam UniSZA. Pelaksanaan
Projek Penyelidikan berasaskan Komuniti bukan
hanya dilihat sebagai penyelesaian jangka pendek
kepada masalah komuniti, malah lebih daripada
itu. Ia diharap akan menjadi pencetus kepada
perubahan sosio ekonomi jangka panjang. Konsep
inovasi sosial akan diterapkan secara menyeluruh
bagi memastikan pemindahan ilmu dan teknologi
dapat dilakukan dengan berkesan. Oleh itu, pada
tahun ini kita mensasarkan untuk menghasilkan tiga
penyelidikan translasional yang mampan dan
komersial.
Program pemindahan ilmu juga merupakan
salah satu inisiatif KPM bagi memastikan segala hasil
penyelidikan universiti dapat diadaptasikan ke dalam
komuniti secara mampan dan
sistematik. Pelaksanaan program pemindahan ilmu
ini amat penting bagi tujuan pengukuhan ilmu dalam
komuniti dan industri di Malaysia dan secara
langsung akan meningkatkan taraf hidup dan
pendapatan sesebuah komuniti dan
industri. Program-program yang dirancang dan
dilaksanakan mestilah yang berimpak, lestari dan
mempunyai hasil yang boleh diukur. UniSZA
sebagai sebuah universiti komuniti mesti terus
melipatgandakan usaha untuk melakukan
penyelidikan mentoring dan coaching yang lestari
kepada masyarakat iaitu; kita wajib membantu
komuniti dan kelompok fakir dan miskin, OKU,
penagih rokok dan dadah, orang asal, warga tua dan
34 / Syarahan Naib Canselor 2020
seumpamanya. Usaha ‘enggagement and
collaboration’ dengan penyedia dana kerajaan dan
industri mesti dilipatgandakan. Harapan saya,
penyelidikan dan latihan keusahawanan ini mampu
membantu masyarakat dalam kerangka memperkasa
taraf hidup dan keusahawanan sosial mereka.
S3 Penyelidikan Bertaraf Dunia
Sahabat sahabat sekalian,
Penyelidikan merupakan asas kepada perkembangan
ilmu yang menjadi tunjang kepada penubuhan
sesebuah institusi pengajian tinggi. Dalam
memastikan penyelidikan yang dijalankan di UniSZA
bertaraf dunia, pelbagai inisiatif telah dirancang
menerusi pelan strategik ini. Inisiatif ini dirangka
bertujuan menangani cabaran dengan cara terbaik
serta hasilnya dapat dimanfaatkan selayaknya oleh
masyarakat. Bagi mencapai hasrat dan objektif ini,
kita telah merangka pelbagai aktiviti dan
perancangan sepanjang tahun 2020-2022. Antara tiga
inisiatif utama ialah; (i) menghasilkan warga
penyelidik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,
(ii) merancakkan kerjasama penyelidikan bersama
pihak industri dan (iii) mengeluarkan hasil
penyelidikan yang berkualiti tinggi. Segala inisiatif
ini akan diselaraskan secara bersama oleh Pusat
Kecemerlangan dan Inkubator Penyelidikan
(CREIM), Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai
Timur (ESERI) dan Pusat Pengurusan Makmal
Berpusat (CLMC).
UniSZA di Persada 40 Tahun / 35
Bagi melahirkan warga penyelidik yang
diiktiraf di peringkat antarabangsa, serta
mengeluarkan hasil penyelidikan yang berkualiti
tinggi, UniSZA mensasarkan setiap fakulti/COE
untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu
perjanjian persefahaman (MoU/MoA) penyelidikan
dengan universiti di dalam dan di luar negara atau
institusi terkemuka. Melalui perjanjian persefahaman
tersebut, kita harus memanfaatkannya melalui
kerjasama projek-projek penyelidikan dan penerbitan.
Pada tahun ini, kita mensasarkan sebanyak 120
artikel berimpak tinggi yang diterbitkan bersama
dengan universiti atau institut terkemuka luar negara.
Sasaran ini dijangka meningkat sehingga 180 artikel
menjelang tahun 2022. Selain itu, penyelidik
UniSZA juga disarankan agar membentangkan hasil
penyelidikan mereka di persidangan antarabangsa
bagi membuka ruang hubungan kerjasama yang lebih
luas dengan universiti antarabangsa. Sebagai
sokongan, pihak CREIM telah menyediakan geran
perjalanan khas bagi penyelidik yang tidak
mempunyai geran menghadiri persidangan
antarabangsa.
Bagi merancakkan aktiviti penyelidikan, pada
tahun ini sejumlah RM400,000 geran dalaman telah
diperuntukkan. Antara peruntukan yang disediakan
termasuklah Dana Penyelidikan Universiti (DPU),
Special Research Grant Scheme (SRGS), LabMat
Research Grant, Translational University Grant
(TUG) dan geran Graduate on Time (GOT). Selain
itu, kita akan terus menumpukan usaha dalam
menyokong dan memperkasa kumpulan Special
Interest Group (SIG) yang telah dibentuk agar terus
36 / Syarahan Naib Canselor 2020
aktif dalam menjalankan penyelidikan yang
berfokus. Penubuhan SIG-SIG ini bakal
melonjakkan bidang penyelidikan berfokus dan
berimpak, dan akhirnya akan melonjakkan nama
UniSZA sebagai pakar dalam bidang-bidang
tersebut.
Bagi menyokong inisiatif Kerjasama
Penyelidikan bersama Pihak Industri pula, beberapa
aktiviti telah dikenal pasti untuk dilaksanakan dengan
kadar segera. Program sangkutan di industri bagi staf
akademik dilihat sebagai satu wadah yang baik dalam
meningkatkan kerjasama dua hala bersama pihak
industri, di samping memberi pendedahan dan
pengalaman kepada pensyarah dan penyelidik
kita. Dalam pelan strategik ini, kita merancang untuk
menghantar lebih ramai ahli akademik untuk keluar
menimba pengalaman dan ilmu dari industri untuk
dibawa pulang ke UniSZA. Pembangunan makmal
penyelidikan yang mendapat akreditasi (ISO
17025:2017) juga dilihat amat penting bagi
meningkatkan kualiti penyelidikan bagi penyelidik
dalaman serta pihak industri dan
komuniti. Kewujudan makmal yang berakreditasi
mampu melonjakkan nama UniSZA sebagai salah
sebuah universiti yang dapat menyediakan servis
pengujian sampel kepada pihak industri dan komuniti
yang memerlukan pengesahan tepat dengan
mudah. Kerja-kerja perundingan atau kontrak
penyelidikan bersama Pihak Industri bakal
ditingkatkan kerana ia dilihat mampu menyerlahkan
keupayaan kepakaran penyelidik UniSZA dalam
bidang sains dan teknologi.
UniSZA di Persada 40 Tahun / 37
S4 Universiti Tersohor di Peringkat Antarabangsa
Hadirin hadirat yang saya hormati sekalian,
Strategi utama yang keempat adalah untuk
menjadikan UniSZA sebagai sebuah universiti
tersohor di peringkat antarabangsa. Strategi ini
memerlukan gerak kerja yang aktif dan
terancang. Justeru, tiga inisiatif utama telah
digariskan iaitu; (i) Pembangunan Bakat Berasaskan
Kompetensi, (ii) Memperhebatkan program-program
bertaraf antarabangsa dan (iii) Memperluas dan
memantapkan jaringan global melalui kolaborasi
strategik. Bagi memastikan segala inisiatif ini dapat
dilaksanakan dengan berkesan, Pusat Pengurusan
Latihan dan Bakat (CenTTM), Pusat Pengurusan
Penjanaan Pendapatan dan Pelaburan (P4P) dan Pusat
Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan
(CCoRM) telah diamanahkan untuk merancang dan
menyelaras segala aktiviti yang berkaitan.
Pengurusan bakat berasaskan kompetensi
(CBTD) merupakan satu pendekatan yang terkini
dalam usaha meningkatkan kualiti pengurusan dan
pembangunan sumber manusia di universiti awam
(UA). Kompetensi yang bertunjangkan kepada tiga
elemen penting kompetensi iaitu pengetahuan
(knowledge), kemahiran (Skill) dan perilaku
(behaviour) dilihat mampu meningkatkan keupayaan
bakat supaya mampu berdaya saing di peringkat
antarabangsa. Justeru, di sinilah terletaknya peri
pentingnya sumber manusia untuk dipilih dalam
38 / Syarahan Naib Canselor 2020
menguruskan pembangunan bakat berasaskan
kompetensi secara berterusan.
Andrea Eisenberg, seorang pakar dalam
bidang “HR retention and development”, telah
menyatakan “the optimal investment of human
resources dollars happens when we allocate
resources to developing those people who will be
successful rather than allocating dollars to people
without requisite competencies.”. Oleh itu, dalam
usaha untuk memastikan UniSZA diperakui di
peringkat global, maka usaha-usaha bagi
meningkatkan kompetensi staf akan difokuskan
melalui Penyediaan Sistem Profail yang
komprehensif serta Penyediaan Program Kepimpinan
yang sistematik dan terancang. Kita juga telah dan
sedang menghantar beberapa pegawai bagi menyertai
Program Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi
(CBTM) yang dianjurkan oleh Akademi Kepimpinan
Pengajian Tinggi (AKEPT). Program ini bertujuan
meningkatkan keupayaan pengurusan bakat di
UniSZA, yang antara lain menjadi salah satu agenda
utama pengurusan kompetensi bakat di negara kita.
Antara usaha dalam memperhebatkan
program-program bertaraf antarabangsa, sebuah
kampus cawangan di luar negara bakal ditubuhkan
selewat-lewatnya pada tahun 2022. Bermula tahun
2019, UniSZA telah memulakan program pesisir
bersama rakan strategik di Mauritius dalam bidang
bahasa Arab. Program akademik secara pesisir yang
julung kali diadakan ini mendapat sambutan yang
amat positif, dan akan diperluaskan lagi dengan rakan
UniSZA di Persada 40 Tahun / 39
strategik baharu di United Kingdom dan India dalam
masa terdekat.
Agenda pengantarabangsaan terus
diperkemaskan lagi dengan pemantapan jaringan
global melalui kolaborasi bersama rakan strategik di
luar negara. Pemantapan jaringan ini akan
diperkukuhkan dengan mengaktifkan MoU dan
MoA yang telah ditandatangani sebelum ini melalui
aktiviti-aktiviti akademik, penyelidikan dan mobiliti.
Kita mensasarkan peningkatan program mobiliti
berkredit dan tidak berkredit bagi merealisasikan
pemerkasaan pelajar di peringkat antarabangsa. Pada
tahun ini, secara keseluruhannya sebanyak RM1 juta
telah pun diperuntukkan bagi merancakkan aktiviti
mobiliti pelajar ke luar negara. Namun program
mobiliti tidak akan terhenti dalam kalangan pelajar
sahaja, bahkan dalam kalangan staf. UniSZA
menggalakkan program pertukaran staf akademik,
program latihan serta penempatan staf UniSZA di
luar negara yang akan turut dipergiatkan demi
keterlihatan UniSZA di peringkat global. Pada tahun
ini juga kita telah menyediakan peruntukan khas
sebanyak RM550,000 bagi menggalakkan sebarang
aktiviti yang dapat meningkatkan jaringan hubungan
antarabangsa antara pihak fakulti dengan universiti
atau organisasi pilihan masing-masing di luar negara.
Saya menyeru kepada semua fakulti agar dapat
merebut peluang ini dan menyahut saranan saya
dalam meningkatkan kolaborasi bersama rakan
strategik di peringkat global.
Bagi memastikan peningkatan pelajar dan staf
antarabangsa, pada tahun 2020, UniSZA
40 / Syarahan Naib Canselor 2020
mensasarkan sepuluh peratus daripada keseluruhan
pelajar UniSZA adalah pelajar antarabangsa. Ini
akan dapat direalisasikan melalui pelaksanaan aktiviti
promosi yang lebih terancang melalui pelbagai
medium. Kita mensasarkan peningkatan pelajar
daripada negara-negara ASEAN, Timur Tengah dan
negara-negara Asia lain selain dapat menembusi
pasaran di negara-negara Eropah. Selain
pengambilan pelajar antarabangsa, UniSZA turut
memberi penekanan terhadap pengambilan staf
akademik antarabangsa. Sehingga kini, terdapat 51
staf antarabangsa dari 18 buah negara yang sedang
berkhidmat di UniSZA iaitu 8.7 peratus daripada
jumlah staf akademik UniSZA. UniSZA
mensasarkan peningkatan jumlah staf antarabangsa
sehingga sepuluh peratus daripada keseluruhan staf
akademik di UniSZA pada tahun 2022.
Penjanaan Hasil Universiti Melalui UniSZA Holding Sdn.
Bhd.
Sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian,
Kebergantungan universiti awam terhadap dana
kewangan kerajaan harus dikurangkan dari semasa ke
semasa, sehinggalah pada satu hari nanti, kita mampu
bergerak sendiri tanpa sebarang bantuan kerajaan,
bahkan mungkin kita pula yang akan menyumbang
dana kepada kerajaan. Selaras dengan saranan KPM
tersebut, usaha ke arah menambah dan
memperkukuhkan dana sentiasa dijadikan agenda
utama kita. Dalam menyahut usaha ini, kepelbagaian
UniSZA di Persada 40 Tahun / 41
sumber perlulah diperhebatkan serta segala aset yang
kita ada perlulah digunakan dengan bijak agar dapat
memberikan pulangan yang optimum. Inisiatif ini
hendaklah diperkasakan dengan sokongan UniSZA
Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) sebagai sebuah badan
yang berperanan khusus bagi menjana hasil bagi
universiti. Beberapa aktivti penjanaan hasil yang
berpotensi besar telah dikenal pasti iaitu;
1. Penjanaan hasil melalui hospital UniSZA, sebuah
hospital awam yang akan diuruskan secara
korporat;
2. Penjanaan hasil program-program akademik
melalui UniSZA SPACE yang akan ditubuhkan
di bawah kelolaan UniSZA Holding, dengan
kerjasama erat dari semua fakulti;
3. Penjanaan hasil melalui projek pembangunan
hartanah dan prasarana UniSZA, di mana kita
akan menggunakan segala kemudahan dan fasiliti
yang kita ada bagi tujuan penjanaan hasil;
4. Pengkomersialan produk-produk penyelidikan
UniSZA melalui UniSZA Venture yang juga akan
ditubuhkan di bawah UniSZA Holding, dengan
kerjasama Pusat Kecemerlangan dan Inkubator
Penyelidikan (CREIM).
Saya berharap agar kerjasama antara UniSZA
Holding dengan pusat-pusat tanggungjawab UniSZA
akan ditambah baik dan diperhebatkan lagi, bagi
menyokong segala usaha melestarikan kewangan
universiti bagi membolehkan kita menempuh cabaran
pada masa akan datang dengan lebih berautonomi.
42 / Syarahan Naib Canselor 2020
Penutup
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Usia 40 tahun bukanlah suatu pengakhiran. Bahkan
ia merupakan permulaan kepada sebuah perjalanan
meniti usia kedewasaan dalam meneruskan
kelangsungan perjuangan generasi terdahulu. Ia
menuntut kita untuk bersedia berubah, daripada apa
yang telah kita ada sekarang, ke arah yang lebih baik
pada masa akan datang. Nasib dan masa depan kita
terletak di tangan dan bahu kita sendiri. Firman
Allah s.w.t. dalam surah ar-Ra’d, ayat sebelas yang
bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan
mengubah apa yang ada (nasib) pada sesuatu kaum,
kecuali kaum tersebut sendiri yang mengubah apa
yang ada pada mereka”.
Atas semangat itu, saya menyeru kepada
sahabat-sahabat sekalian, marilah kita semua
berganding bahu dan saling bekerjasama untuk
mencorakkan masa depan yang lebih gemilang untuk
UniSZA yang kita sayangi ini. Kita semua umpama
jasad yang satu, saling melengkapi, saling bergantung
dan memerlukan antara satu sama lain, dalam
menjayakan visi dan misi kita, yang telah kita
terjemahkan dalam Pelan Strategik UniSZA 2020-
2022. Apa yang kita telah rancangkan sememangnya
agak tinggi untuk dicapai, namun berkat kerjasama
dan usaha ikhlas daripada diri kita semua, ia
bukanlah sesuatu yang mustahil.
Bak kata peribahasa Melayu: “Perahu sudah
di air, dayung sudah di tangan”. Justeru, sudah
sampai masanya kita bertindak untuk terus
UniSZA di Persada 40 Tahun / 43
melangkah ke hadapan menggalas visi dan misi suci
kita ini, untuk merealisasikan moto yang menjadi
obor pembakar semangat kita semua selama ini,
“Ilmu Demi Faedah Insan”.
Akhir kata, saya sudahi syarahan ini dengan
sebuah sajak hasil nukilan dua orang sahabat kita dari
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Prof.
Madya Dr. Wan Mohd Yusof Wan Chik dan Ustaz
Zulkifli Mohd, yang dikarang khas bersempena 40
tahun umur kematangan UniSZA.
44 / Syarahan Naib Canselor 2020
Tanah Ini (UniSZA di Persada 40 Tahun)
Tanah ini, Tanah Abidin
Sempena Baginda Tuanku, Raja berjiwa abidin
Tersohor bijaksana orangnya alim
Terkenal bersopan tingkahnya halim
Dibantu para ulama lagi ‘amilin
Tokku-tokku rohaninya mukhlisin
Tok sheikh-tok sheikh nuraninya ‘arifin
Rakyat jelata pula setia dipimpin
Tanah ini, Tanah Abidin
Resolusi Muktamar Persidangan Islam Sedunia
Cetusan idea Profesor Syed Naquib al-Attas
pemikir bijaksana
Gagasan Al-Marhum Profesor Ismail al-Faruqi
ilmuwan Islam sedunia
Berkat usaha gigih Ayahanda Tan Sri Wan Mokhtar
pemimpin berjasa
Teraju Al-Marhum Dr. Wan Shamsuddin sebagai nakhoda
Dengan moto keramat ‘Ilmu, Iman dan Takwa’ ia
mengembara
Melahirkan ilmuwan, agamawan dan para karyawan
Membangun ummah demi faedah insan
Tanah ini, Tanah Abidin
Dulu KUSZA, UDM dan kini UniSZA
Biar bertukar rupa dan nama
namun isi dan kualiti jangan kompromi
Tradisi ilmu aqli dipandu ilmu naqli, diadun, diintegrasi
Ilmuan nusantara sampai ke dunia arab, disaring, dicari
Para murabbinya tulus mendidik dengan hati dan nurani
Dari kurikulum, muqarrar, sampai tingkah laku diteladani
Barakah dan sanad ilmu mereka
boleh sahaja diperbaharui
Tapi jangan sampai terputus
bertukar ganti selang sehari
UniSZA di Persada 40 Tahun / 45
Tanah ini, Tanah Abidin
UniSZA juara dalam rahmah, bitara dalam istiqamah
Anak-anaknya ada di mana-mana
menjadi khadimul ummah
Di sekolah, di universiti dialah ilmuan berhemah
Di skrin TV, di corong radio dialah selebriti dakwah
Dalam sektor awam
dialah pegawai yang dedikasi beramanah
Dalam bisnes, dialah jutawan lagi pemurah
Dalam masyarakat, bahagia dan derita ummah
dia sama mencecah
Tanah ini, Tanah Abidin
40 tahun kita di angkasa gilang-gemilang
Atas usaha bersama, kita masih di sini
meneruskan perjuangan
Apapun, kita tetap sederap
senafas menyanyi dalam girang
bertasyahhud tanpa kumandang
dalam hela nafas nan panjang
Kita bina jiwa dan nurani, sebelum kebendaaan
Kita bina akhlak dan adab, sebelum keterampilan
Kita bina integriti dan amanah, sebelum kebijaksanaan
Kita bina keilmuan, sebelum canang kemasyhuran
Kita bina insan, sebelum kita berkarya bertulisan
Kita bina dan bina sayap keyakinan dan kepasrahan
dalam doa-doa kudus yang terus berpanjangan
bahawa seorang Abdaniyy adalah jua seorang pejuang
yang tak sekali akan menyerah kecundang
walau pelbagai rintangan mendatang
Tanah ini, Tanah Abidin,
Madrasah barakah, tempat kita berdiri
Tanah budiman, dataran budi, ilmu dan iman bersendi
Untuk kita, seluruh warganya berbakti membina generasi
Mewariskan amanah ilmu para guru yang kita saksi
untuk kita realisasikan secara bersama dan abadi
bahawa UniSZA ini, akan terus terbang tinggi
46 / Syarahan Naib Canselor 2020
mencapai visi luhur
Universiti Islam Integrasi Kontemporari
melahirkan insan holistik berteraskan
nilai Naseem dalam diri
melalui pendidikan cemerlang dan
penyelidikan berimpak tinggi
dalam memperkasakan masyarakat sebagai misi
dengan restu-Mu Ilahi
atas jejakmu wahai Nabi Ilahi!
Anta Maqsudi wa Ridaka Matlubi
Nukilan:
Wan Mohd Yusof Wan Chik
Zulkifli Mohd
Wabillahittaufik wal hidayah wassalamualaikum
warohmatullahi wabarokaatuh.
Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan
YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan
secara rasminya dilantik sebagai Naib Canselor
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 1
Februari 2019. Sebelum ini beliau adalah Timbalan Naib
Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM) dari tahun 2015 hingga
2018. Beliau juga menyandang jawatan sebagai
Profesor Pengajian Bahasa Arab di Universiti
Perguruan Sultan Idris (UPSI). Bidang kepakaran beliau
adalah pengajian Bahasa Arab, kaedah Pengajaran Bahasa
Arab dan Pengujian Bahasa. Beliau juga adalah seorang
pensyarah dan Profesor Madya di Universiti Malaya
(UM) daripada tahun 1987 hingga 2011. Beliau juga
pernah menyandang jawatan Pengarah, Jabatan
Pengajian Malaysia di Universiti Cairo, Mesir daripada
Januari 2007 sehingga Jun 2011.
Pada tahun 2004, beliau telah dilantik oleh
ISESCO, sebuah organisasi di bawah UNESCO sebagai
Pakar Rujuk Luar dalam kurikulum Bahasa Arab sebagai
bahasa asing di Jakarta, Indonesia. Pada tahun 2007 pula,
belilau telah dilantik sebagai felo oleh Fulbright
Foundation, Amerika Syarikat, di bawah program ‘Visiting
Fulbright Scholars: An Access to Muslim Worlds’ bagi
menyampaikan syarahan kepada komuniti di Aurora,
Denver, dalam bidang Islam dan Pengajian Bahasa Arab.
Dari tahun 2003 sehingga tahun 2004, beliau
telah terlibat memberi latihan kepada guru-guru bagi
pengajaran Bahasa Arab sebagai bahasa kedua di Singapura
yang telah dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura
(MUIS) dan Madrasah Al-Junaid, Singapura. Bketika
berkhidmat dengan universiti-universiti terdahulu, beliau
turut diberi kepercayaan sebagai Koordinator kepada
Program Pertukaran Pelajar bagi Pengajian Bahasa Arab
dengan universiti-universiti di Timur Tengah seperti di
Yaman, Oman ada Emiriyah Arab Bersatu, Qatar, Arab
Saudi dan Mesir.
Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri juga adalah Ahli
Lembaga Pengarah Program Pengajian Bahasa Arab di
universiti-universiti di dalam negara seperti Universiti
Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin,
Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia
Kelantan, Medinah International University, Institut
Kemahiran Ikhtisas Pahang, Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor dan lain-lain.
Beliau dilantik sebagai ahli Kluster Pendidikan,
Majlis Perundingan Islam (MPI) lantikan Perdana
Menteri Malaysia bermula dari 2014 hingga 2016,
seterusnya dilantik sebagai Ketua Kluster Pendidikan MPI
lantikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.