1. Lampu Hijau - skkgtitingan.com
Transcript of 1. Lampu Hijau - skkgtitingan.com
1. Lampu Hijau
Andai menongkah arus pelangi ini
Lampu hijaukan hatimu
Meneroka warna ilmu
Menyusur onak profesionlisme
Demi membina generasi baharu
Melengkapkan diri usah jemu
Agar rembulan insan bergemerlapan
Andai telah hijau hatimu
Bertanyalah usah malu
Agar tidak sesat haluannya
Jalannya tidak buntu
Biar asli biar jitu
Berwibawa mudah diterima
Bagai adat padi
Makin berisi makin tunduk ke bumi
Tapi bererti
Usah kuningkan Lampu hatimu
Dek keraguan bertalu palu
Tiada kejayaan seorang muridmu
Tanpa usaha doa cahaya tuntunanmu
Justeru
Binalah empayarmu seikhlas mahu
Selagi menyala membara lampumu
Usah merahkan Lampu hatimu
Tatkala ada yang menggigit cemuh
Sebarkan bintang bintang ilmuan
Selari hasrat falsasfah pendidikan
Yang mampu mereka cipta
Demi keutuhan negara tercinta
Lampu hatimu hijaukan
Untuk generasi masa hadapan
Tanamkan suluhan ilmu kecintaan
Agar terkota madah
Berguru demi ilmu
Bina generasi baharu
Hati ini selamanya
Telah kulampukan hijau
Hingga ke akhir hayatku
Kerana Dia
Kerana bangsa dan agama
Kerana negara memerlukan kita
Kerana di sana
Menanti kebun Syurga.
2. Boyot
Tiap detik degupan jantung
Adalah rona-rona riak wajah
Cerminan darah sebuah kegemuruhan
Akankah roh di tiup pada jasad
Dalam menggalas beban di bahu
Masih cekal mencanai karenah
Kecerewetan along
Aksi kerentanan angah
Sekeping hati kian tabah
Memboyot saksi kasihmu
Melunaskan janji seorang insan
Tak pernah berkeluh kesah
Melayan menanti kehadirannya
Bonda,
Ribuan pedihmu kausimpan
Kisah lelah kaupendam
Jerit perih kauhadam
Bagai berat mata memandang
Berat lagi bahu memikul
Dalam usapan dan drama titisan airmata
Tatkala suaramu kedengaran
Meski sarat mengandung
Segalanya kauterjang
Terima kasih bonda
Dalam boyotmu kurniaan-Nya, syukur!
3. Angin Malam
Senja menitis berlalu pergi
Balik awan dicengkam kesepian
Mega berlabuh bersembunyi
Malam nenyusup
Ke dalam hati
Angin malam berlayar
Menerpa cerita silam
Menusuk jiwa terungkai rahsia
Sang unggas berdendang duka
Angkara manusia lupa alpa
Malam makin larut
Gelap kelam likat
Sedang bayu berbisik bungkam
Masihkah ada setitik penyesalan
Agar diri terlepas hukuman
Angin malam berhembus bisa
Menghirup kisah luka
Duka sendu
Moga ada jalan pengakhiran
Antara sinar dan kelam.
4. Apa Lagi Yang Kita Cari
Saat nada bergetaran
Jeritan kasih menyatu insan
Kita bertemu dengan alam
Sarat dengan muatan
Irama merdu dan songsang
Irama kasih dan tergoncang
Kita memilihnya
Bangga melalui arus kedewasaan
Jalan berliku merintangi ketenangan
Kekadang terjatuh di gaung kesakitan
Kekadang kita rangkul kebahagiaan
Ribut taufan silih berganti bermusim
Kita rasakan nikmat pemberian Tuhan
Kehilangan menjadi peneman
Bonda melawan kesakitan kini diam
Anak bersendirian menongkah lautan
Tanpanya mengalirkan kasih sayang
Bonda terima kasih melahirkan
Kelembutan bonda darah kekuatan
Hanya tinggal kenangan
Ayahanda gagah membina empayarnya
Butir keringat berharga
Berjatuhan terhenti sudah
Raut wajah membisu
Senyap seribu bahasa
Ayah,
Rindu sering menerpa
Meski kasih terlerai sudah
Dalam sujud Kukuduskan doa
Saat begini mengimpikan di sisi
Terima kasih duhai insani
Lindungan Illahi
Apa lagi yang kita cari
Semua akan ke sana nanti.
5. Bagaikan Si Kunang-kunang
Pernah dulu,
Gelak tawamu menghiasi laman jiwa
Saat itu Terukir wajah ceria
Dengan tekad ingin berjaya
Kaukudoakan
Untuk menggenggam piala cita
Tanpa ragu menyusun senjata
Yakin usaha berbalas bahagia
Engkau semangat menghadapinya
Ingin melihat kauterus tertawa
Bulan beredar melangkah
Bebintang di sampingnya bersinar indah
Meski gerimis panas menyimbah
Namun karang di lautan
Teguh tiada leburnya
Bagai si kunang-kunang keriangan
Terbang mengibar sayap
Tersenyum melewati alam
Walau jauh
Semoga beroleh kemenangan.
6. Bahagia Seperti Kita
Ditanah ini, kita tersenyum bergembira
Ditanah ini, kita bersenda bersuka ria
Di sana mereka berduka melara
Dihimpit derita sengsara
Di sini kita di sisi ibu bapa tercinta
Di sini kita menyemai rasa kasih sayang selamanya
Di sana mereka terluka menanggung bencana
Tersiksa direnggut kematian dan ketakutan
Air mata gaza rancak berjatuhan
Dibinasa angkara kekejaman manusia
Manusia yang zalim merobek kejiwaan
Air mata Gaza menyimpan impian
Bertahun berguguran hingga kekeringan
Impikan kebahagiaan bertaut harapan entah berakhirnya
Namun masih tabah menghadapi ujian Daripada-Nya...
Marilah kita marilah berdoa
Kepada Yang Maha Segala
Hentikan penindasan hentikan pendarahan
Hentikan kedukaan hentikan kematian
hentikan Air mata Gaza
Bahagialah seperti kita.....
7. Kanvas Harapan
Aku bekas kanvas harapan
Tempatmu melukis keriangan
Dengan pensil warna indahmu
Hingga melenyapkan seribu duka
Yang membebat pekat
Hilang.
kala itu
kaumengukir tawa riang
bersama temanmu
mencipta memori
namun berlalu bak pelangi
hadir selepas hujan
muncul seketika
lenyap begitu saja
tanpa jejak
yang tak mungkin singgah lagi
di daerah senda tawamu
kerana warna pensil itu berubah pudar
tapi berseri di hati melekat.
warna pensil itu
masih tersimpan kemas erat
di ruang hati yang paling dalam
terima kasih kerana pernah singgah
di kanvas harapa using ini.
8. Dentingan
Benarkah
Tika silam mengetuk minda
Bergetar ion rindu dalam kalbu.
Benarkah
Tatkala bumi menangis
Titisannya menerbangkan
Ke daerah illusi
Masih benarkah
Hirup udara pantai
Bisa menenangkan jiwa
Andai
Silam menerpa
Rindu berbicara
Genggamlah
Pasti wujud talian kasih
Bertunjang kejujuran
Andai
Alam berbisik
Tangisan hujan merintih sayu
Berbicara tentang siang dan malam
Sekalian dan isi alam
Mencoretkan kenangan
Kemas ikat simpul rapikan
Pasti terserlah kemanisan
Kebenaran
Bersihnya kemanusiaan
Memang realitinya
Bersimpuh di bawah pohon kerinduan
Menyaksikan gigi-gigi lautan
Anak-anak pantai berkejaran
Riang tertawa kegembiraan
Putih suci kedamaian
Khabarkanlah
Pada cucu cicit Adam
Tentang jalinan kasih sayang
Tentang indahnya sebuah kejujuran
Bukan muka syiling berdenting-denting
Hadapan berdenting
Belakang berdenting
Bangun berdenting
Jatuh terdenting-denting
Ting ting ting
Usahlah hadir muka syiling
Kerana kita hidup
Bukan menjadi bak muka syiling
Berdenting-denting
Ting ting ting muka syiling.
9. kelahiran cinta
Berlalu mentari menganyam musim
Berpaut di dahan kemerdekaan
Dalam tak sedar melangkah di tasik kegembiraan
Kita dibuai alunan kemenangan
Hingga lupa lubuk pemikiran dijajah kebaratan
Angin keasyikkan terus berlagu
Remaja kita disiat siat kecurangan
Curang pada yang Satu
Miskin pada rantai kemuliaan
Tali silaturrahim dicengkam penghinaan
Sering bertelagah sesama insan
Entah bila berakhir kemasaman sebuah persaudaraan
Di sini lahirnya sebuah cinta
Dek lenyapnya kolam kasih kemesraan
Ingin daku menyemai bayu syurga
Di daerah ini yang penuh kemurungan
“Daku bukanlah seorang perwira….
Gagah menghunus senjata….
Namun rela berjuang dengan cara sendiri
Demi cinta suci….”
Kembalikan talian kasih yang telah lama terjalin
Kembalikan mustika rindu yang pernah kita lagukan
Kembalikan tautan kemesraan yang telah dilonggarkan
Kembalikan hamparan kemenangan yang kita genggam
Kerana kemerdekaan ini terus menerus berterusan
Kerana kemerdekaan ini tak bisa lenyap ditelan zaman
Kerana kemerdekaan ini anugerah dari Allah Yang Maha Penyayang
Kerana kemerdekaan ini tetaplah merdeka, merdeka merdeka selamanya…
Di sini lahirnya sebuah cinta dek kemerdekaan kita pemilik sebenarnya…
10. Dialah
Dialah seorang ibu
Hatinya secekal akar mencengkam bumi
Melayani karenah insani membentuk pengharapan
Tak pernah digelut putus asa
Tak pernah dirantai kecewa
Dialah seorang guru
Nalurinya tulus sesuci air mawar mewangi
Membimbing anak bangsa
Tak pernah leka tak pernah alpa
Dialah seorang pemimpin
Jiwanya seteguh karang dilautan
Menggapai visi impiannya murni
Menggenggam bara hingga debunya
Tak pernah mengalah
Apatah lagi beralah
Dialah seorang manusia biasa
Terkadang tercabar terkadang terasa
Namun masih berdiri hebat melawan taufan
Takkan rebah walau gelombang menerpa
Kini,
Apa lagi yang tinggal
Sepotong nama terpahat abadi di memori
Indah perkasa menghiasi persada pendidikan
Ibu, guru, pemimpin dan insan
Kaugalas sepenuh hati
Luka terluka duka ceria
Duka menghampiri tersungkur dihina terhina
Permainan hidupmu kautempuh jua
Terima kasih Guru, Ibu, Pemimpin dan Insan
Dialah…..
11. Generasi Tenat
Tika berjalan di muka bumi ini
ngin bertiup membawa perkhabaran
Tentang generasiku yang hidupnya tenat dan kelam
Generasiku kini dalam ketenatan
Menggalas amanah tidak lagi mampu memikulnya
Hanyut dengan khayalan najis dadah
Kononnya membahagiakannya
Sedang dia lupa racun kesengsaraan menusuk jantungnya
Hanya menunggu masa
Wahai ibu,
Kasihmu perlu agar anak-anakmu tidak leka
Peluklah sentiasa
Meski jarak usia meningkat dewasa
Keprihatinanmu memanjangkan usianya
Hidupnya akan bahagia
Tanpa najis dadah
Wahai ayah,
Usah biarkan anakmu melepak meraja
Kenalilah insan yang sentiasa didampinginya
Meski jiran sebelah menyebelah
Kerana kasihmu itu akan membina dunianya
Yang lebih maju dan bergemerlapan
Tanpa menyentuh dan hadirnya najis dadah.
Untuk generasiku yang belum tenat
Bingkaslah dari keasyikkanmu
Hati-hati siapa di sebelahmu
Bergurulah pada ilmu yang benar
Agar kelak hidupmu bersinar
Bak pelangi sedap mata memandang
Sandarkan resahmu di bahu yang Maha Mendengar
Pasti kaubertemu kejayaan.
.
12. Masih Teratas
Dari lorong kelam hati
Yang merintih
Usah cintamu pergi
Tinggalkan aku sendiri
Meniti hari
Cukuplah jiwa merana
Menongkah arus derita
Meninggalkan kasih di lembah duka
Kini inginku kembali
Mengutip cinta yang suci
Setelah lama terbiar sepi
Bagaikan pelangi mengindahkan wajah bumi
Tidak seperti sebelum ini.
Andai khilafku menggunung ke angkasa
Rela kusujud maaf dipinta
Mengertilah diriku yang kerdil lagi hina
Dan Kau masih teratas yang bertakhta
Sesungguhnya cintamu kekal suci dan abadi
13. Tajuk: Hujung Nyawa
Kesedihanmu itu pernah kurasakan
Sakitnya diterjah diusik ujian
Pada Allah tempat taruh harapan
Usah seperti yang dibayangkan....
Manusia memang banyak keinginan
Merancang mengatur bercabang tujuan
Takkan indah walau sesen
Tanpa insan yang amat disayang...
Oh Tuhan Yang Maha Kuasa
Dengarkanlah rintihan jiwa
Masih ingin bersama mereka
Hingga hujung nyawa
Allahuakbar!
Pedih jika kehilangan
Subhanallah!
Indah perancangan-Mu Tuhan
Alhamdulillah!
Setiap nikmat yang diberikan
Astagfirullahhulaaziim!
Tegur jika daku kealpaan....
14. Tajuk: Aidi
Dalam sendu terpaksa kumerelakan
Sebutir mutiara yang ditinggalkan
Telah digilap bergemerlapan
Membawa seribu kebahagiaan
Dialah mentari dialah ketenangan
Mengisi tiap detik kekosongan
Ditatang dengan kesabaran
Dibelai penuh kasih sayang
Setelah hujan hadirnya pelangi
Namun sebaliknya kesedihan menanti
Bagai petir merobek sanubari
Kau pergi ke sangkar tak kembali
Andai ini takdir Illahi
Angkara manusia tiada hati
Kuredai
Kerana kupasti
Hanya Tuhan Yang Esa Maha Mengerti
Perjalanan hidup ini
Syurga menanti
Untukmu Aidi..
15. Seputih Salji
Indah irama rentak kehidupan
Segalanya aku lepaskan
Untukku lenyapkan duri kekesalan
Yang lama bersarang di sanubari
Tak mungkin berpaling lagi
Acap kali restu dipinta
Dihamparan kasih-Nya Yang Esa
Namun kesal dek kekalutan fikiran
Rapuh jiwa menyobek iman
Bergunakah air mata yang berderaian
Dia Yang Maha Mengerti
Sedang diri hina teraba-raba mencari
Selalu hanyut di muara kealpaan
Resah aib menyelinap ke batin
Lantaran rebah kendatipun dipertahankan
Hitam kelamkah cahaya nirmala
Rentetan sebuah perjalanan insan
Tidak sunyi dari gelombang dugaan
Hati ini yang mahu seputih salji
Dapatkah mengubah tingkah diri
Atau tersisih dari sinar kekudusan Illahi
Mencuba dan menyelongkar gali
Aku gapai pasti
Akankah realiti.