Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

27
19 PENGHARGAAN Tiada selayaknya untuk saya panjatkan syukur atas segala ni’mat yang dikurniakan Allah berbentuk kemudahan dan ilmu kemahiran serta pengetahuan agama dalam menyiapkan tugasan ini. Saya sebagai hamba Tuhan yang hanya mampu merancang & berusaha dalam perancangan tersebut, akhirnya dengan usaha tersebutlah Allah menentukan penyelesaiannya. Benarlah Allah sememangnya sebaik-baik perancang. Tidak lengkap ungkapan penghargaan yang tidak disertai dedikasi kepada pembimbing saya sendiri, Ustaz Mohamad Islah Soleh juga sebagai syeikh, mursyid, ustaz, murabbi dan juga mu’allim bagi pelajar-pelajar jurusan Psikologi ambilan September 2011. Di dalam pencarian bahan rujukan untuk menyiapkan tugasan ini, saya telah menghimpunkan sekian banyak jenis bahan bacaan tentang adab murid dengan syeikh dalam ruang lingkup tasawwuf. Hal ini meningkatkan ilmu pengetahuan saya sendiri untuk

Transcript of Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

Page 1: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

PENGHARGAAN

Tiada selayaknya untuk saya panjatkan syukur atas segala ni’mat yang dikurniakan Allah

berbentuk kemudahan dan ilmu kemahiran serta pengetahuan agama dalam menyiapkan tugasan

ini. Saya sebagai hamba Tuhan yang hanya mampu merancang & berusaha dalam perancangan

tersebut, akhirnya dengan usaha tersebutlah Allah menentukan penyelesaiannya. Benarlah Allah

sememangnya sebaik-baik perancang.

Tidak lengkap ungkapan penghargaan yang tidak disertai dedikasi kepada pembimbing

saya sendiri, Ustaz Mohamad Islah Soleh juga sebagai syeikh, mursyid, ustaz, murabbi dan juga

mu’allim bagi pelajar-pelajar jurusan Psikologi ambilan September 2011. Di dalam pencarian

bahan rujukan untuk menyiapkan tugasan ini, saya telah menghimpunkan sekian banyak jenis

bahan bacaan tentang adab murid dengan syeikh dalam ruang lingkup tasawwuf. Hal ini

meningkatkan ilmu pengetahuan saya sendiri untuk menterjemahkannya dalam bentuk amalan

agar dikira Allah sebagai suatu bentuk ibadah lantas menggapai redha-Nya. Dengan peluang

membuat tugasan inilah menjadi suatu penghargaan bagi saya kepada ustaz. Moga Allah

membalasnya dengan syurga.

Segala permasalahan yang berlaku dapat saya atasi berkat bantuan do’a dari ibubapa serta

rakan sekelas yang tidak putus mendo’akan dan memberi bantuan dari segenap segi. Bimbingan

mereka dalam menyiapkan tugasan sama ada dalam bentuk teoritikal mahupun praktikal amat

saya hargai.

Page 2: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

Saya menaruh keyakinan yang tinggi terhadap hasil kerja saya ini yang bernilai bukan

dari bilangan muka suratnya, namun ilmu yang disusun semula hasil dari bacaan saya dapat

dimanfaatkan bersama terutamanya pada diri saya sendiri untuk diamalkan. Saya berusaha

sedaya mungkin mempelajari ilmu-ilmu dari bahan bacaan tersebut dengan menyampaikannya

melalui penulisan tugasan ini.

Tidaklah saya mengharapkan perkara selain dari redha-Nya dalam menyiapkan tugasan

ini, moga dengan redha Allah terhadap ibadah ini mendapat ganjaran-ganjaran sampingan seperti

penilaian markah yang tinggi dari ustaz sendiri. Mudah-mudahan tugasan ini membawa manfaat

& faedah bersama. Moga dengan ilmu-ilmu yang terkandung membentuk amal saya terutamanya

dalam menjaga adab terhadap semua pendidik.

Sekian.

Page 3: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

PENGENALAN

Konsep syeikh merupakan satu ciri yang tidak dapat dipisahkan dalam ilmu tasawuf.

Bahkan lahirnya sesebuah tariqat dalam tasawuf adalah kerana ciri syeikh tersebut. Para tokoh

ahli tasawuf & ahli sufi terbesar yang telah mengasaskan tariqat yang hidup subur sehingga

sekarang adalah hasil dari pimpinan & didikan para syeikh. Mereka sejak dari zaman awal

hinggalah sekarang sering menasihatkan kepada orang yang mempunyai persediaan rohani

menuju jalan Allah s.w.t supaya mencari seorang syeikh yang mursyid yang dapat memimpin &

mendidiknya.

Abu Yazid Bustami telah menegaskan bahawa,

“Sesiapa yang tidak mempunyai guru, maka gurunya adalah syaitan”.

Manakala Ustaz Abu Ali al-Daqqaq, guru kepada Imam al-Qusyairi menjelaskan,

“Pohon yang tumbuh dengan sendiri tanpa ada yang menanamnya akan subur berdaun rendang

tetapi tidak berbuah. Demikianlah juga murid jika tidak berguru yang dapat memandu &

memimpin tariqatnya senafas demi senafas maka ia lebih mengabdi kepada hawa nafsunya

tanpa dapat melepaskan diri daripadanya”.1

Pendapat ini telah pun diakui oleh tokoh ahli sufi sezaman & zaman berikutnya. Maka

jelaslah di sini bahawa peranan syeikh dalam perkembangan ilmu tasawuf di dalam usaha

mencapai pendidikan yang sempurna lebih-lebih lagi bidang ilmu yang bersifat batin yang sulit

lagi tersembunyi. Tanpa syeikh yang memimpin, seseorang sudah pasti terdedah kepada bahaya

besar ibarat seorang pengembara merentas hutan belantara tanpa pemandu yang mahir &

berpengalaman.

1 Mohd. Sulaiman Hj. Yasin, Mengenal Ilmu Tasawuf 2, Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, 1992

Page 4: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

Syeikh menurut Ibnu ‘Ata’illah mungkin serba sedikit dapat menggambarkan peri

pentingnya peranan syeikh atau guru dalam sesuatu tariqat:

“Syeikh anda itu bukanlah orang yang anda dengar kata-kata darinya, tetapi syeikh anda ialah

orang yang anda mengambil daripadanya. Syeikh anda bukanlah orang yang anda hadapi

(terima) kata ibaratnya, tetapi syeikh anda ialah orang yang isyaratnya menyerap ke dalam diri

anda. Syeikh anda bukanlah orang yang anda hadapi perkataannya, tetapi syeikh anda ialah

orang yang halnya itu menyedarkan anda. Syeikh anda bukanlah orang yang mengeluarkan

anda dari penjara hawa dan membawa anda tetapi syeikh anda ialah yang dapat membersihkan

cermin hatimu sehingga tersinar padanya cahaya Tuhanmu. Dialah yang memimpin anda

kepada Allah lalu anda ikutinya. Dialah yang membawa anda berjalan menuju Allah sehingga

anda sampai kepadanya. Dia adalah orang yang sentiasa seiring dengan anda sehingga

ditolaknya anda di hadapan-Nya yang berada dalam cahaya Hadrat Ilahi lalu mengatakan pada

anda: Nah! Sekarang anda bersama Tuhanmu!”

Terdapat beberapa kisah yang direkodkan sejarawan tentang beberapa tokoh Islam seperti

Imam al-Muhasibi, Iman al-Sayadhli, Jalaluddin al-Rumi & Imam al-Ghazali dalam

pencariannya untuk menemui syeikh sufi untuk menyerahkan diri mereka supaya dipimpin &

dipandu dalam menjalani perjalanan tariqat. Pencarian mereka amat jelas mentafsirkan tentang

pentingnya syeikh dalam usaha mencari ilmu. Pertemuan tersebut menjadi satu nikmat sehingga

tidak jemu mereka abadikan dalam nyanyian serta syair. 2

2 Mohd. Sulaiman Hj. Yasin, Mengenal Ilmu Tasawuf 2, Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, 1992

Page 5: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

Persoalan yang ingin diutarakan adalah mengenai adab seseorang murid atau penuntut

ilmu terhadap syeikh yang mengajarkkan ilmu. Bagi para ahli sufi, mereka meletakkan martabat

& kedudukan yang tinggi terhadap syeikh-syeikh mereka. Konsep syeikh dalam ilmu tasawuf

telah dinyatakan kepentingan serta peranannya sebagaimana petikan-petikan di atas. Hal ini

menjadi asbab seseorang guru atau syeikh sepatutnya dihormati baik dari sudut zahiriah

mahupun batiniah.

Imam Syafi’e rahimahullah merupakan tokoh yang tidak asing untuk dicontohi menerusi

pelbagai kisah beliau dalam menghormati guru. Imam Syafi’e sering menyanjungi keperibadian

& keilmuan Imam Malik yang pernah menjadi gurunya menerusi beberapa ungkapan yang

direkodkan para sarjana seperti, “Apabila sesuatu hadith yang diterima melampaui al-Haramain,

nescaya lemah pangkalnya. Apabila datang sesuatu hadith, Imam Malik adalah bintangnya.”.

Harmalah pula merekodkan Imam Syafi’e tidak akan sekali-kali mendahului Imam Malik dalam

perihal hadith. Manakala Yunus bin Abdul al-A’la pernah mendengar Imam Syafi’e

menceritakan perihal Muhammad Bin Hasan yang mempertikaikan kemampuan Imam Malik

dalam isu ijtihad. Lalu Imam Syafi’e bangun mempertahankan gurunya. 3

3 Dr. Ridzuan Ahmad, Fiqh Imam Syafie, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2012

Page 6: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

ADAB MURID DENGAN SYEIKH

Terdapat beberapa adab-adab khusus seorang murid terhadap syeikhnya. Di sini

diutarakan beberapa pendapat dari pelbagai tokoh sama ada dari kalangan ahli sufi sendiri

mahupun dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. dan tabi’in.

Menurut Muhammad Uthman el-Muhammadiy dalam karyanya Peradaban dalam Islam,

beberapa tatasusila yang digariskan ketika seseorang murid berada di dalam sesuatu majlis.

Seorang murid apabila tiba di majlis pembelajaran, hendaklah mereka memulakan salam. Di

hadapan guru tersebut, hendaklah mereka tidak bercakap banyak. Hal ini melanggar adab bahkan

membawa kepada taraf yang tidak sepatutnya dari sudut rohaniyyah. Selain itu, bilamana guru

tidak bertanyakan apa-apa, maka murid tersebut hendaklah tidak menyebut apa-apa kecuali

benar-benar murid tersebut menginginkan penerangan dari gurunya. Walaubagaimanapun, ketika

murid meminta penerangan dari gurunya, hendaklah dimulakan dengan meminta izin dan jangan

sekali-kali menyampuk gurunya.

Murid tidak sepatutnya menentang pandangan serta ajaran gurunya dengan menyebut

pandangan ulama’ lain yang menentang pandangan guru tersebut. Kalaupun murid mempunyai

sebarang masalah yang mesti diselesaikan, maka mereka boleh meminta penjelasan dari gurunya.

Sehubungan dengan itu juga, murid tidak sepatutnya menunjukkan sebarang bentuk isyarat yang

bermaksud tidak bersetuju dengan ijtihad gurunya atau dalam erti kata lain, niat ingin

menunjukkan bahawa mereka lebih mengetahui dari gurunya. 4

4 Muhammad ‘Uthman el-Muhammady, Peradaban dalam Islam, Pustaka Aman Sdn. Bhd.., Kota Bharu, Kelantan, 1982.

Page 7: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

Sewaktu guru sedang mengajar, murid tidak harus bertanya-tanya kepada rakan mereka

di hadapan guru tersebut. Sebaliknya mereka perlu diam dan menberi perhatian kepada gurunya

tanpa berpaling ke kiri dan ke kanan. Dalam etika tasawuf juga ditekankan bahawa sekiranya

guru berdiri, murid hendaklah turut sama berdiri bagi menunjukkan penghormatan. 5

Murid sepatutnya tidak berprasangka buruk terhadap guru mereka tika mana perbuatan

zahir dari guru tersebut tampak berlawanan dengan zahirnya kehendak agama. Dalam keadaan

yang demikian, penuntut ilmu tersebut hendaklah mengingatkan kisah bagaimana Nabi Musa a.s.

menentang Nabi Khidr a.s. sebagaimana yang disebut dalam al-Quran. Nabi Musa a.s.

merupakan nabi Allah yang diturunkan untuk menyampaikan risalah Islam kepada kaum Yahudi.

Oleh kerana Musa a.s. seorang rasul yang dilantik Allah, maka beliau merasakan bahawa dirinya

mempunyai ilmu & hikmah yang tidak dimiliki orang lain dalam kalangan manusia

Lalu wahyu telah menyatakan bahawa terdapat seorang lagi hamba Allah yang

mempunyai ilmu yang lebih banyak terutama ilmu yang berkaitan dengan rahsia-rahsia

ketuhanan iaitu Nabi Allah Khidr a.s. Lantas Nabi Musa a.s. mahu mempelajari ilmu kerahsiaan

tersebut daripada Khidr a.s. dengan menyuarakan kehendaknya untuk menjadi muridnya.

Namun, Musa a.s. tidak dapat bersama dengan Nabi Allah Khidr a.s. dalam tempoh masa yang

lama. Nabi Allah Khidr a.s. telah pun menasihati Musa a.s. bahawa beliau tidak mampu menahan

kesabaran mempelajari ilmu dengannya.

Hal ini kerana pada pandangan Musa a.s., terdapat banyak perbuatan zahir Khidr a.s.

semasa perjalanan mereka bertentangan dengan ajaran-ajaran zahir agama atau kehendak hukum

syariat. Oleh itu Musa a.s. menyatakan rasa tidak setuju beliau terhadap semua perbuatan Khidr

a.s. tersebut. Maka setelah kali terakhir Musa a.s. tidak tertahan dengan tindakan Khidr a.s.

tersebut, Khidr a.s. memberi penerangan & pengajaran bagi setiap tindakan beliau yang tampak

zahirnya menentang hukum syariat.

5 Muhammad ‘Uthman el-Muhammady, Peradaban dalam Islam, Pustaka Aman Sdn. Bhd.., Kota Bharu, Kelantan, 1982.

Page 8: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

Dengan itu, Nabi Musa a.s. berpuas hati dengannya dan beredar dari situ. Pengajaran

yang perlu dititikberatkan melalui kisah Nabi Allah Khidr ini adalah penuntut ilmu perlu cuba

menjauhi dari sangkaan-sangkaan buruk terhadap gurunya. 6

Sehubungan dengan itu juga, syeikh tersebut perlu mengingatkan hadith Nabi s.a.w. yang

mafhumnya:

“Sesiapa yang meringan-ringankan gurunya, maka Allah akan membalasnya dengan 3 cara. Dia

akan menjadikan kehidupannya sempit (untuknya), dia akan lupa akan apa yang dipelajarinya.

& dia akan meninggal dunia tanpa iman”.

Tentang perhubungan umum murid-syeikh, perbuatan memberi salam seorang murid

kepada gurunya harus dipraktikkan dengan ucapan Assalaamu’alaikum yang membawa maksud

sejahtera Allah ke atas kamu. Amalan ini bukan sahaja dituntut dalam perhubungan murid-guru,

malah telah direkodkan menurut sabdaan Nabi s.a.w. dari Abu Hurairah bahawa Rasululllah

s.a.w. telah bersabda yang bermaksud,

“Tidak akan masuk syurga kalian semua sehingga kalian beriman dan tidak dinamakan beriman

kalian semua sehingga engkau saling cinta-mencintai. Tidakkah engkau semua suka jika saya

tunjukkan kepadamu suatu jikalau engkau semua melakukannya, tentu kamu akan saling cinta-

mencintai? Iaitu sebarkanlah salam antara sesamamu!” 7

Dalam berbicara bab mengutamakan syeikh untuk mengimamkan solat mahupun

sebarang jemaah, dapatlah disandarkan permasalahan tersebut bersandarkan hadith Nabi s.a.w.

sebagaimana berikut:

6 Muhammad ‘Uthman el-Muhammady, Peradaban dalam Islam, Pustaka Aman Sdn. Bhd.., Kota Bharu, Kelantan, 1982.

7 Hadith Riwayat Muslim, Kitab Riyadhus Salihin.

Page 9: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

Dari Abu Mas’ud iaitu ‘Uqbah bin ‘Amr al-Badri al-Anshari r.a., katanya bahawa

Rasulullah s.a.w. telah bersabda,

“Yang berhak menjadi imamnya sesuatu kaum (waktu solat) ialah yang terbaik bacaannya

terhadap kitabullah al-Quran. Jikalau semua jamaah di situ sama baiknya dalam membaca

kitabullah, maka yang terpandai dalam Sunnah (al-Hadith). Jikalau semua sama pandainya

dalam as-Sunnah, maka yang terdahulu hijrahnya. Jikalau dalam hijrahnya sama dahulunya,

maka yang tertua usianya”. 8

Menurut Drs. Barmawie Umarie dalam bukunya, Sistematik Tasawwuf, beliau

menghuraikan tentang prinsip para ahli sufi tentang syeikh mereka. Ketaatan mereka terhadap

guru adalah berdasarkan kata-kata berikut:

“Ta’atilah guru, duduklah engkau di hujung kakinya, tidurlah engkau sesudah gurumu tidur”. 9

Sikap berlebih-berlebihan terhadap guru ini berasal dari ajaran tariqat. Terdapat murid

yang gemar memakan sisa makanan guru mereka. Hal ini selain dari menunjukkan tanda ta’at

mereka terhadap guru, jua dapat membawa maksud tabarruk atau mengambil berkat.

Perkara seperti ini juga pernah berlaku dalam sirah Rasul s.a.w. pada peristiwa

Hudaibiyah, di mana ketika Rasul s.a.w. berwudhu’, sisa airnya menjadi rebutan para sahabat

dalam maksud untuk mengambil berkat. Selain itu, pada waktu Khalid al-Walid menjadi

panglima perang dengan gelaran Saifullah (pedang Allah), beliau sering membawa rambut

Rasulullah s.a.w. di berbagai medan pertempuran yang dihadapi.

8 Hadith Riwayat Muslim, Kitab Riyadhus Salihin.

9 Drs. Barmawi Umari, Sistematik Tasawuf, Yogyakarta, 1961.

Page 10: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

Pengajaran yang boleh diteladani menerusi kisah-kisah ini bukanlah tindakan mereka

tersebut terhadap guru, namun, ta’at kepada guru selagi berlandaskan aturan Islam yang tidak

sampai tergelincir kepada syirik. 10

Terdapat beberapa adab khusus seorang murid yang digariskan Drs. Barmawi Umari

sepertimana berikut:

1. Baik sangka kepada guru & selalu mengingatinya.

2. Berbuat baik kepada keluarga guru.

3. Berdekatan dengan guru dalam hal menerima ajarannya dan beramal.

4. Bergaul dengan cara pergaulan yang disenangi guru.

5. Berterus terang kepada guru dalam segala hal.

6. Menghormati dan tidak boleh menentangnya, menurut perintah guru dengan patuh.

7. Tidak boleh banyak berbicara di hadapan guru.

8. Tidak menyiarkan rahsia-rahsia guru.

9. Pantas dalam menjalankan perintah guru.

Dalam masa yang sama, murid tersebut hendaklah menjaga dirinya agar:

1. Bergaul dengan sahabat yang baik.

2. Konsentrasi yang tinggi di kala berzikir.

3. Menjaga pancaindera sebaiknya & mengingati mati.

4. Menjauhi hal-hal yang menghambat jalan kebenaran.

5. Menjauhkan diri dari kawan yang buruk.

6. Mengambil keperluan hidup sekadar perlu dari yang halal.

7. Menggunakan sepenuh waktu dengan perkara manfaat.

8. Qana’ah & muhasabah terhadap diri sendiri.

9. Selalu mengingat & memperingatkan orang kepada akhirat.

10. Tawadhu’.

11. Tidur tidak begitu banyak dan sentiasa dalam keadaan berwudhu’.

10 Drs. Barmawi Umari, Sistematik Tasawuf, Yogyakarta, 1961.

Page 11: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

Manakala menurut kitab Haqaiq an Tasawuf telah membahagikan adab murid terhadap

syeikh kepada 2 bahagian:

1. ADAB BATIN

i. Menyerah diri kepada syeikh serta taat terhadap semua suruhannya dan

nasihatnya selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

ii. Tidak membantah guru terhadap cara atau jalan yang digunakan untuk

mentarbiyah muridnya.

Ibnu Hajar al-Haithami pernah berkata yang bermaksud:

“Sesiapa yang membuka pintu membantah syeikh, mencari keaiban dalam tingkah laku &

perbuatan mereka, maka sesungguhnya yang demikian itu merupakan petanda dia diharamkan

daripada kebaikan serta buruk kesudahannya. Sesungguhnya dia berkali-kali tidak mendapat

manfaat. Di samping itu mereka juga berkata: Sesiapa berkata kepada syeikhnya “kenapa”, dia

tidak akan berjaya selama-lamanya”. 11

Apa yang dimaksudkan dengan adab di sini ialah adab terhadap murid tarbiyyah yang

inginkan kesempurnaan serta sampai kepada Allah Taala. Bagi murid yang mengambil ilmu

daripada para ulama’ mereka, digalakkan mereka berbincang & bertanya guru mereka sehingga

tercapai faedah ilmu. Dalam mempelajari ilmu fiqh, murid yang rajin bertanya “kenapa”, maka

dia akan mudah & cepat menguasai ilmu demikian. Namun dalam tarbiyyah, dia tidak akan

mendapat sebarang manfaat.

11 http://angahtokku.blogspot.com/2010/12/adab-murid-dengan-syeikh.html

Page 12: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

iii. Tidak beri’tiqad kepada gurunya seorang ma’sum.

iv. Yakin bahawa gurunya kamil dan mempunyai keahlian yang sempurna dalam

mentarbiyyah.

v. Hendaklah bersifat jujur dan ikhlas dalam berhubungan dengan guru.

vi. Menghormati serta menjaga kehormatan syeikh sama ada dengan kehadiran atau

tanpa kehadirannya.

vii. Hendaklah murid mengasihi syeikhnya dengan kasih sayang sejati tanpa

memandang rendah kedudukan guru yang lain.

2. ADAB ZAHIR

i. Mentaati arahan syeikh sama ada berupa suruhan mahupun tegahan.

ii. Menjaga tingkah laku ketika berada di dalam majlis syeikh.

iii. Sedia berkhidmat kepada syeikh sekadar yang termampu.

iv. Sentiasa menghadiri majlisnya. Hendaklah menziarahi syeikh setakat

termampu jika dipisah oleh jarak yang jauh.

v. Sabar dengan pendirian gurunya dalam mentarbiyyah.

Ibnu Hajar al-Haithami berkata yang bermaksud:

“Banyak jiwa yang tidak mendapat taufiq & hidayah kerana apabila melihat gurunya tegas

dalam mentarbiyah, dia lari daripadanya. Selepas itu, dia melontar pelbagai keburukan &

kekurangan guru tersebut sedangkan guru tersebut tidak seperti yang dia katakan. Oleh hal yang

demikian, jauhkan diri dari terpedaya dengan tohmahan tersebut kerana nafsu sememangnya

ingin membinasakan tuannya. Janganlah mentaati nafsu untuk tidak mentaati guru”. 12

12 http://angahtokku.blogspot.com/2010/12/adab-murid-dengan-syeikh.html

Page 13: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

vi. Tidak memindahkan kalam syeikh kepada orang lain kecuali mengikut kadar

kefahaman serta akal si pendengar. Hal ini bertujuan supaya diri murid &

syeikhnya tidak disalah anggap.

Syeikh Abdul Qadir al-Jailani pernah turut sama membicarakan tentang adab murid

dengan syeikh. Menurutnya, seorang murid yang menemukan kemusykilan atau kekurangan

pada gurunya, murid tersebut tidak seharusnya membantah mahupun menolaknya dengan

mengatakan, “Guru telah salah dalam masalah ini”.

Bahkan dia harus bersyukur kepada Allah s.w.t. atas apa yang diberikan kepadanya

berupa keutamaan, ilmu serta nur yang disembunyikan dalam dirinya. Namun sekiranya

kekurangan tersebut jelas bertentangan syariat, maka murid harus memberitahukan hal tersebut

sehingga gurunya memberikan arahan yang sesuai dengannya dan mendo’akan agar guru

tersebut mendapat taufiq hidayah terhadap hal tersebut.

Selain itu, murid tidak sepatutnya banyak bergerak sewaktu mendengar pelajaran guru

kecuali mendapat isyarat darinya. Syeikh Abdul Qadir al-Jailani telah menegaskan sekian lama

tentang sikap, perbuatan atau ucapan yang tidak baik bagi seorang murid. Namun kini, perkara

tersebut sering berlaku di madrasah atau pondok-pondok mereka. Sungguh beruntung dan

tampak kesungguhan murid-murid sekiranya mereka dapat melakukan adab yang sedemikian

dengan sempurna. Natijah dari hal yang sedemikian, makna kepada sesuatu yang didengari

murid tersebut menyalakan cahaya kebenaran serta menguatkannya. 13

13 http://sufimuda.net/2008/10/05/adab-seorang-murid-kepada-guru-kedua/

Page 14: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

Murid yang bersungguh-sungguh, api kerinduannya tidak akan padam dan pancarannya

tidak akan pernah redup. Kekasihnya tidak pernah ghaib dan penghiburnya tidak akan pernah

jauh. Tiada apa yang dapat merubah keadaannya tersebut walau ditimpa pelbagai ujian

kesenangan dunia yang menurut hawa nafsu. Hendaklah dia menyerahkan semua itu kepada para

syeikh yang ada kerana mereka dalam kekuasaan guru mereka.

Apabila murid belajar dengan seseorang guru, dia harus percaya bahawa di kampung itu

tiada orang yang lebih utama dari gurunya sehingga dia berhasil mendapatkan apa yang dicita-

citakan. Dia haruslah menganggap bahawa apa yang dikatakan gurunya adalah sesuai dengan

keadaannya. “Sesungguhnya melawan guru adalah racun yang sangat berbahaya”.

Jadi, jangan sampai murid menentang guru baik secara terang-terangan mahupun yang

tersembunyi. Dia tidak boleh menyembunyikan sedikitpun keadaan dan rahsianya terhadap guru

serta tidak memperlihatkan kepada orang lain apa yang telah diperintahkan kepadanya.

Saiyidina Ali r.a. juga tidak ketinggalan menyentuh tentang soal adab murid dengan guru

dengan pesanan:

“Hak seorang alim (guru) yang wajib atas dirimu ialah memberi salam kepada semua orang

yang berada dalam majlisnya dan mengkhususkannya dengan berjabat tangan. Hendaklah

duduk berhadapan dengannya, tidak menunjukkan jari di hadapannya, tidak memandang mata

orang lain di hadapannya, tidak mencaci orang di hadapannya dan sekiranya guru melakukan

kesilapan, hendaklah murid memaafkannya. Muliakanlah dirinya kerana Allah s.w.t.dan

sekiranya memerlukan sesuatu, hendaklah segera menghulurkan bantuan kepadanya, jangan

memuji-muji orang lain di dalam majlisnya, jangan menarik bajunya, jangan memaksanya jika

dia keberatan, jangan merasa jemu dudukbersamanya. Andaikan guru tersebut laksana lebah

dan dirimu menunggu sesuatu yang akan jatuh daripadanya pada bila-bila masa saja”. 14

14 www.dakwahpdf.blogspot.com

Page 15: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

Sehubungan dengan pesanan Saiyidina Ali r.a. tersebut, Dr. Abdullah Nasih Ulwan telah

membuat beberapa kesimpulan akan adab-adab pelajar terhadap gurunya:

1. Seorang pelajar hendaklah merendahkan dirinya di hadapan guru, jangan keluar daripada

pendapat & arahannya. Merendahkan diri terhadap guru adalah satu kemuliaan dan

ketinggian. Imam Ghazali telah menyatakan,

“Ilmu itu hanya akan diperolehi dengan merendahkan diri dan memperhatikannya”.

2. Seorang pelajar hendaklah memandang gurunya dengan kemuliaan dan meyakini bahawa

gurunya memiliki darjat yang tinggi. Imam syafi’e ada menyatakan,

“Pernah aku menyemak (membuka) lembaran kertas di hadapan Imam Malik dengan

lembut kerana kewibawaanya agar dia dapat mendapat bunyi bising darinya”.

Ar-Rabi’ pula berkata,

“Demi Allah, aku tidak berani meminum air sedangkan as-Syafi’iemelihatku kerana rasa

hormat kepadanya”.

Pelajar hendaklah dilatih supaya tidak memanggil gurunya dengan kata-kata “kamu”,

tetapi dengan mengatakan “wahai guruku” atau “wahai ustazku”, kerana kata-kata

panggilan yang baik merupakan pengikat kasih sayang antara murid dan gurunya.

Page 16: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

3. Hendaklah pelajar mengetahui hak-hak terhadap gurunya dan tidak melupakan jasa

gurunya sehingga ke akhir hayat. Syu’bah berkata,

“Apabila aku mendengar hadith Rasulullah s.a.w. daripada seseorang (guru), selama

itulah aku menghormatinya”.

Sebaiknya seorang pelajar mendo’akan kesejahteraan gurunya sepanjang hayat. Jika guru

sudah wafat atau meninggal dunia, hendaklah diambil berat hal ehwal keturunan &

orang-orang yang mencintainya.

4. Jika guru menegur atau marah, maka hendaklah murid bersikap sabar. Hendaknya pelajar

menganggap bahawa kemarahan guru adalah sebagai tanda kasih sayang guru terhadap

pelajarnya. Para guru sebenarnya ingin memperbaiki kelemahan pelajarnya. Dengan

sikap sedemikian, akan lahirlah rasa sayang para pelajar terhadap guru dan bermanfaatlah

segala ilmunya bagi pelajar dalam urusan agama, dunia & akhirat. Sebahagian ahli salaf

telah berkata:

“Barangsiapa tidak sabar dalam belajar, maka dia akan buta huruf selama hidupnya.

Dan barangsiapa bersabar di dalamnya, dia akan mendapat kemuliaan dunia akhirat”. 15

5. Hendaklah pelajar tersebut duduk di hadapan gurunya dengan sopan, tenang,

merendahkan diri dan hormat sambil mendengar serta memberi sepenuh perhatian kepada

gurunya. Seorang pelajar juga haruslah menghindarkan segala perbuatan yang tidak

sopan terhadap gurunya.

15 www.dakwahpdf.blogspot.com

Page 17: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

6. Janganlah pelajar berjumpa gurunya di kelas, rumah atau tempat khusus sebelum

mendapat izin daripadanya. Sebaiknya seorang pelajar menghadap gurunya dalam

keadaan sempurna, dengan badan dan pakaian yang bersih terutama jika dia hendak ke

majlis ilmu kerana majlis ilmu adalah majlis zikir, pertemuan & ibadah.

7. Apabila seorang pelajar mendengar gurunya menyebut sesuatu tentang ilmu, hendaklah

dia mendengar dengan penuh perhatian seakan-akan dia belum pernah mendengarnya

sama sekali.

Dr. Abdullah Nasih Ulwan ada mengatakan bahawasanya memenuhi hak terhadap guru adalah

wajib lebih-lebih lagi jika guru tersebut adalah dari kalangan mereka yang bertaqwa & beriman

kepada Allah s.w.t. 16

Sebagai pengakhiran, terdapat beberapa adab khusus sekiranya murid datang ke rumah syeikh

yang diutarakan Imam al-Ghazali:

1. Ketika telah dekat dengan rumah syeikh, hendaknya meninggikan suara tahlil & zikirnya

hingga sampai di zawiah (sebuah tempat pembimbingan).

2. Bersabar menunggu hingga syeikh keluar tanpa memanggilnya, jangan sampai terburu-

buru dan langsung masuk rumah kerana hal itu tidak sopan.

3. Ketika syeikh telah keluar, segeralah mencium tangan dan kakinya jika itu telah menjadi

kebiasaan.

4. Duduk dengan penuh ketenangan, kesopanan dan ketundukan, merendahkan suara,

menundukkan kepala & memejamkan mata. Seorang murid tidak berbicara kecuali jika

diminta untuk berbicara. 17

16 www.dakwahpdf.blogspot.com

17 M. Abdul Mujieb, Syafi’ah, H. Ahmad Ismail M., Ensiklopedia Tasawuf Imam al-Ghazali, Penerbit Hikmah (PT Mizan Publika),

Jakarta Selatan, 2009.

Page 18: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

PENUTUP

Adab merupakan suatu yang amat dituntut Islam sama ada terhadap sesama manusia,

haiwan bahkan dengan Allah sendiri. Adab ini menjadi salah satu hak sesama makhluk yang

wajib ditunaikan. Dalam bab adab memuliakan guru atau syeikh, mungkin terdapat banyak

pertikaian dalam kalangan ulama’ mengenai penghormatan yang ditekankan ahli sufi terhadap

syeikh mereka.

Namun yang ditekankan dalam tasawuf sudah pastinya tidak mengabaikan konsep

wasatiyyah dalam setiap amalan. Dalam kitab Riyadhus Salihin juga telah mencatatkan beberapa

hadith serta ayat al-Quran yang memuliakan syeikh & orang-orang tua. Di antaranya jelas

dinyatakan berdasarkan firman Allah Ta’ala dan hadith Nabi s.a.w:

Maksudnya: “Katakanlah

(wahai Muhammad), adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang yang tidak

mengetahui. Sesungguhnya yang mengingat ialah orang-orang yang menggunakan fikirannya”. 18

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda (yang bermaksud):

“Pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu dengan tenang, sopan dan rendahkanlah dirimu terhadap

orang yang kamu ambil ilmu darinya”. 19

18 Al-Quran, Surah az-Zumar 39:9

19 Hadith Riwayat Thabrani.

Page 19: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19

RUJUKAN

Mohd. Sulaiman Hj. Yasin, Mengenal Ilmu Tasawuf 2, Bahagian Hal Ehwal Islam

Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, 1992.

Drs. Barmawi Umari, Sistematik Tasawuf, Yogyakarta, 1961.

Dr. Ridzuan Ahmad, Fiqh Imam Syafie, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.,

Kuala Lumpur, 2012.

Muhammad ‘Uthman el-Muhammady, Peradaban dalam Islam, Pustaka Aman Sdn.

Bhd.., Kota Bharu, Kelantan, 1982.

M. Abdul Mujieb, Syafi’ah, H. Ahmad Ismail M., Ensiklopedia Tasawuf Imam al-

Ghazali, Penerbit Hikmah (PT Mizan Publika), Jakarta Selatan, 2009.

www.dakwahpdf.blogspot.com

http://sufimuda.net/2008/10/05/adab-seorang-murid-kepada-guru-kedua/

http://angahtokku.blogspot.com/2010/12/adab-murid-dengan-syeikh.html

Page 20: Adab Murid Dengan Syeikh [Pengantar Tawasuf (EP 20713)]

19