Akhirnya Kutemui Nilai Ukhuwwah.doc

14
Akhirnya Kutemui Nilai Ukhuwwah July 22nd, 2009 | by Abu Saif | 5,364 views | Print | Email | KEJUTAN DI BURSA “Boleh saya tahu, awak dari negara mana?” tanya lelaki itu kepada kami berdua. Saya dan Nushi sedang khusyuk menghabiskan nasi untuk makan malam. Cuaca sungguh sejuk dan kami baru sahaja turun ke bumi selepas puas melayan salji dan ski di puncak Uludag. Demi menjimatkan bajet, kami tidak makan tengah hari. Masalahnya, makan malam sepinggan menjadi dua pinggan. Tidak ke mana juga jimatnya. “Malezya,” saya menjawab. “Muslimkah kamu?” soal seorang lagi lelaki di sisi. “Muslim, Alhamdulillah,” saya menjawab lagi. “Masya Allah… Alhamdulillah….” lelaki yang bertanya itu bersama dengan rakan-rakannya semua melonjak gembira. Seperti mendengar pengumuman Hari Raya lagaknya.

Transcript of Akhirnya Kutemui Nilai Ukhuwwah.doc

Akhirnya Kutemui Nilai Ukhuwwah

Akhirnya Kutemui Nilai Ukhuwwah

July 22nd, 2009 | by Abu Saif | 5,364 views |

Print |

Email |

KEJUTAN DI BURSABoleh saya tahu, awak dari negara mana? tanya lelaki itu kepada kami berdua.

Saya dan Nushi sedang khusyuk menghabiskan nasi untuk makan malam. Cuaca sungguh sejuk dan kami baru sahaja turun ke bumi selepas puas melayan salji dan ski di puncak Uludag.

Demi menjimatkan bajet, kami tidak makan tengah hari. Masalahnya, makan malam sepinggan menjadi dua pinggan. Tidak ke mana juga jimatnya.

Malezya, saya menjawab.

Muslimkah kamu? soal seorang lagi lelaki di sisi.

Muslim, Alhamdulillah, saya menjawab lagi.

Masya Allah Alhamdulillah. lelaki yang bertanya itu bersama dengan rakan-rakannya semua melonjak gembira. Seperti mendengar pengumuman Hari Raya lagaknya.

Pelbagai soalan lagi ditanya dan kebanyakannya kami jawab dengan senyuman. Itik belum belajar bahasa ayam. Bahasa itik jauh sekali menjadi silibus hidup ayam. Selepas beberapa ketika, mereka beredar kerana mahu ke masjid sejurus azan Isyak dilaungkan.

Selesai makan, saya dan Nushi pergi ke kaunter untuk membayar.

Tamam semua sudah dibayar, kata lelaki di kaunter restoran itu.

Nasil (bagaimana)? saya terkejut. Nushi juga terkasima.

Onlar (mereka itu), jelas lelaki tersebut sambil menunjuk arah kepada sekumpulan lelaki yang menegur kami semasa makan tadi.

Subhanallah. Terkejut sungguh kami dengan kemurahan hati mereka.

Terasa rugi pula tidak mengambil ayam golek!

Itu kenangan kami di Bursa.

JAKET KULIT DI ISTANBUL

Cukupkah bajet kita ni? Berapa banyak sudah kedai yang kita tanya, belum ada yang di bawah paras USD150! saya mengeluh.

Munawwar mengirim kepada saya agar membelikannya jaket kulit labuh di bawah paras pinggang. Ada khabar-khabar angin memberitahu bahawa harga barangan kulit di Turki sangat murah. Dalam keadaan bajet kami yang terhad, Munawwar meminta kami cuba mendapatkannya dengan bajet USD100 sehelai.

Puas kami merayau di semua kedai di sepanjang laluan tram. Bermula dari Sirkeci hinggalah ke Laleli, kami gagal.

Selam aleykum! tiba-tiba kami ditegur oleh seorang anak muda Turki.

Wajahnya bersih berhias dengan jambang yang dirapi kemas.

Wa alaikum al-Salaam wa Rahmatullaah, kami serentak menjawab.

Kamu boleh berbahasa Arab? tanya beliau. Tertib orangnya.

Tentu, Alhamdulillah. Kami pelajar Malaysia di Jordan, kata Nushi kepada beliau sambil memperkenalkan diri kami.

Oh begitu. Gembiranya saya bertemu anda. Saya Furkan, pelajar Turki di Al-Azhar jelas beliau dengan Bahasa Arab Fusha yang ada sedikit sentuhan Mesir.

Sungguh ajaib.

Ketika kami hampir berputus asa dan tidak mahu hari terakhir kami di Istanbul dihabiskan di kedai jaket, muncul pula seorang rakan yang sudi membantu. Furkan mengajak kami mengikut beliau dan anak muda itu cuba melakukan tawar menawar di dalam Bahasa Turki. Hasilnya masih mengecewakan.

USD120 adalah harga terbaik yang mampu saya dapatkan. Itu pun kualitinya tidak bagus mana, kata Furkan.

Tak apalah kalau begitu. Maaf menyusahkan awak. Kami pun sekadar mencuba. Rakan yang mengirim pun sekadar meminta kami mencuba. Memang sebuah jaket kulit di bawah USD100 itu sukar untuk diperolehi, saya memberitahu Furkan.

Tak apa. Jangan sedih. Mari ikut saya, Furkan mengajak kami mengikutnya.

Saya dan Nushi tanpa banyak soal terus mengikut beliau. Seorang manusia asing yang kami tidak kenal asal usulnya. Mungkin sahaja seorang penipu yang mahu memerangkap kami. Tetapi segalanya berlangsung mengikut suara hati. Tidak terlintas adanya perasaan buruk dalam sangkaan kami terhadap lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Furkan al-Azhari itu.

Satu demi satu anak tangga kami panjat. Suasana bangunan di kawasan Beyazid itu seperti gudang gayanya.

Kita sudah sampai. Jemput masuk, Furkan mempersilakan kami masuk ke sebuah gudang yang penuh dengan jaket kulit.

Selam aleykum! beliau memberi salam kepada kira-kira 10 lelaki yang berada di dalam kedai tersebut.

Aleykum selaaaam!!! kesemua mereka bangun dan serentak menjawab salam Furkan.

Furkan memperkenalkan kami sebagai pelajar Malaysia yang menuntut di bidang Syariah di Jordan. Mereka kelihatan sangat teruja dan menariknya, kesemua yang berada di bilik itu berbahasa Arab.

Bahasa kami.

Barulah saya dan Nushi tahu rupa-rupanya kebanyakan mereka adalah pelajar Turki di Universiti al-Azhar. Gudang itu adalah tempat mereka berkumpul dan berhalaqah, ala-ala usrah. Mereka adalah aktivis Parti Refah.

Tuan punya gudang itu sudah mencecah usia pertengahan. Beliau nampaknya seseorang yang amat dihormati oleh kumpulan anak muda tersebut.

Ambillah mana-mana jaket kulit yang kamu mahu. Harganya jangan dikhuatirkan, katanya yang tidak memperkenalkan nama.

Eh, jangan begitu. Beritahulah kami berapa harganya, Nushi menegaskan permintaan kami.

Pilih dulu jaket mana yang kamu mahu! ujar beliau lagi.

Kami serba salah.

Kalau murah, bukan sahaja saya mahu membeli untuk Munawwar bahkan saya juga berhajat sama.

Bagaimana dengan yang ini? saya menyoal beliau.

Pilihan yang bagus. Berapa harga yang kamu ada dalam fikiran? beliau bertanya pula kepada saya.

USD80, bagaimana? saya sekadar mencuba.

USD50 cukuplah! jawab beliau.

Wah, sungguh luar biasa. Saya hampir tidak percaya dengan harga yang ditawarkan. Disebabkan oleh harga yang murah, saya juga membeli sehelai untuk diri sendiri.

Selepas selesai urusan berjual beli, kami sempat berbual seketika tentang perkembangan Islam di antara Malaysia dan Turki. Mereka begitu ingin tahu tentang suasana politik di Malaysia, terutamanya perihal negeri Kelantan, yang saya rasa lebih terkenal berbanding Malaysia sendiri.

Kami tidak duduk lama. Ada tempoh masa beberapa jam lagi sebelum matahari tenggelam dan kami mahu menghabiskan lawatan ke beberapa tempat. Saya dan Nushi meminta izin untuk beredar sambil mengucapkan terima kasih.

Boleh saya bertanya? saya menyoal Furkan semasa beliau menemankan kami keluar.

Silakan, jawabnya penuh sopan.

Bagaimana kamu percaya dengan kami untuk memperkenalkan kami kepada usrah kamu? saya ingin tahu.

Ohh, itu. Hmm Bagaimana kamu boleh percaya dengan saya hingga berani mengikut saya ke belakang bangunan itu? beliau pula menyoal saya.

Err saya dan Nushi tergamam dengan soalan beliau.

Itulah nilai firasat Mukmin! katanya sambil memeluk kami tanda berpisah.

Sebuah kenangan di kota Istanbul.

KERAIAN DI ANTALYA

Bersiar-siar di pelabuhan Alanya, di persisiran Mediterranean kira-kira 80km daripada AntalyaSedap juga ikan bakar tadi ya Nushi berbual diselang sendawa tanda kekenyangan.

Ikan segar. Kita datang dari Jordan, lagilah terasa nikmat makan ikan segar, saya membalas.

Saudara! Saudara! tiba satu suara menjerit memanggil kami.

Alamak dia nak apa tu. Cepat-cepat! saya dan Nushi mempercepatkan langkah. Bimbang dengan peminta sedekah.

Saudara-saudara! lelaki itu masih terus berhambat mengejar kami.

Beliau akhirnya menepuk bahu kami dari belakang. Saya dan Nushi pura-pura terkejut.

Kenapa kamu lari? lelaki itu menyoal kami dengan Bahasa Inggeris yang tersangkut-sangkut.

Err, tidak dengar saya menjawab.

Alamak, menipu pula di tengah hari itu. Astaghfirullah.

Saya sekadar mahu tahu, kamu dari negara mana? soal beliau.

Oh, kami dari Malezya Nushi menjawab.

Lelaki itu menggaru kepalanya. Seakan-akan memberitahu kami bahawa beliau tidak pernah mendengar tentang sebuah negara bernama Malaysia yang disebut sebagai Malezya itu.

Tak apalah. Err, kamu Muslim? tanya beliau pula.

Ya, kami Muslim, saya memberikan jawapan.

Tiba-tiba lelaki itu memeluk saya dan Nushi. Beliau menangis.

Ehh, kenapa? saya kehairanan.

Saya berasa sangat terharu mendapat tahu yang kamu datang dari sebuah negara bernama Malezya yang saya tidak tahu di mana, kemudian rupa-rupanya kamu Muslim. Sungguh, saya terasa yang kami Muslim tidak sendirian di Turki ini! kata beliau dengan bahasa yang tersekat-sekat.

Saya berasa sungguh terharu.

Lelaki itu memaksa kami menerima pelawaan beliau untuk makan tengah hari di kedai rakannya. Oleh kerana kami sudah menjamah sedikit nasi dan ikan bakar, beliau membelanja kami makan kentang lenyek yang dibakar bersama tomato, daging hancur dan rempah ratus.

Hidangan tengah hari itu sungguh banyak kuantitinyaSungguh menyelerakan.

Makanan tengah hari itu adalah suatu keraian.

Meraikan makna sebenar Ukhuwwah Fillaah.

Sebuah kenangan di bandar Antalya.

PAKCIK MISTERI DI CANAKKALESelesai solat Subuh di sebuah masjid di Canakkale, saya dan Nushi bersandar di dinding masjid keletihan.

Kami baru tiba dari Bursa dengan bas malam yang dipilih untuk menjimatkan duit hotel.

Tiba-tiba kami ditegur oleh seorang pakcik tua.

Selam aleykum. Anak-anak dari mana? tanyanya. Wajah beliau putih bersih dan suaranya juga lembut ketika bertanya.

Kami dari Malezya. Belajar Ilahiyat di Jordan saya bertatih-tatih menjawab.

Alhamdulillah. Kamu sudah sarapan pagi? pakcik tua itu menyoal kami.

Err belum lagi saya menjawab lurus. Tidak mungkin kami hendak berbohong.

Oh, kalau begitu, marilah ikut saya ke rumah. Tak jauh, hanya di sudut sana., beliau menjelaskan.

Saya dan Nushi mengikut pakcik tersebut ke rumahnya. Beliau menceritakan sesuatu kepada kami, dan saya tidak dapat menangkap butir-butir perkataannya. Mungkin beliau sedang menceritakan kepada kami tentang jiran-jirannya.

Setibanya saya dan Nushi di rumah pakcik tersebut, kami dihidangkan dengan bubur dadih bersama French Bread yang masih panas dan lembut. Saya memang suka dengan bubur dadih. Yoghurt digaul bersama tepung gandum, dan dimasak di dalam periuk bersama air. Sedikit isi ayam, dan daun pudina kering dicampur, menaikkan lagi selera kami.

Buah zaitun hitam yang disalut dengan minyak zaitun dan perahan lemon juga melengkapi hidangan kami. Tidak lupa, telur goreng separuh masak yang dicampur dengan sucuk (sosej berempah kering) dan keju kambing, sungguh menyelerakan.

Teh panas, menghilangkan kesejukan tubuh badan kami terhadap cuaca musim sejuk di luar sana.

Pakcik yang baik hati ini memperkenalkan dirinya sebagai Said tetapi beliau meminta kami membahasakan dirinya sebagai Amca sahaja. Amca disebut sebagai am-ja di dalam Bahasa Turki yang memberikan maksud Pakcik.

Selepas kami selesai bersarapan, Pakcik Said tersenyum.

Kamu berdua mahu berehat di mana? Saya beri pilihan. Di sinikah atau di hotel? tanya beliau kepada kami.

Hmm, susah juga kami mahu membuat keputusan. Kalau berehat di rumah, kasihan pula kami kepada keluarga Pakcik Said. Tentu isteri dan anak perempuannya susah hendak keluar masuk kerana kami. Jika di hotel, macam mana pula jika Pakcik Said menghantar kami ke hotel yang mahal-mahal? Bajet saya hanya USD200 untuk seluruh perjalanan kami di Turki. Nushi juga tidak banyak berbeza.

Tak apalah Hasrizal. Kalau pakcik hantar kita ke hotel yang mahal, beritahulah dia yang bajet kita kecil. Apa yang nak disegankan, betul tak? Nushi cuba meyakinkan saya.

Baiklah saya mengangguk. Saya memberitahu pakcik yang kami mengambil keputusan untuk berehat di hotel.

Baik, saya hormati keputusan kamu. Tapi jika kamu mahu berehat di sini, rumah ini rumah kamu. Pakcik Said bangun sambil membetulkan pakaiannya.

Kami melangkah keluar bersama beg galas masing-masing. Pakcik Said menyuruh kami masuk ke dalam keretanya.

Tidak sampai lima minit, kami sudah berhenti di hadapan sebuah hotel. Saya kira hotel ini mungkin bertaraf 3 bintang. Seperti kebanyakan hotel yang kami singgah sebelum ini.

Ketibaan kami disambut dengan penuh kesungguhan oleh pekerja di hotel tersebut.

Hurmetler! kata mereka apabila Pakcik Said masuk menuju ke kaunter. Ia adalah ucapan hormat kita terutamanya kepada orang yang lebih tua.

Subhanallah!

Rupa-rupanya Pakcik Said adalah tuan punya hotel ini. Patutlah beliau mengajak kami dengan begitu bersahaja untuk ke hotel.

Kami diberikan sebuah bilik dan Pakcik Said memberitahu, berehatlah kamu sehari dua di sini. Kalau nak lama lagi pun, silakan. Selama mana yang kamu mahu.

Bagaimana dengan bayarannya? saya bertanya.

Wajah Pakcik Said sedikit berubah. Pipinya merah seperti terkejut dengan soalan saya.

Tanyalah apa sahaja, kecuali yang itu katanya.

Sedikit sebanyak saya dapat menangkap apa yang diperkatakan oleh Pakck Said. Beliau memberitahu kami bahawa adalah menjadi kewajipan kepadanya melayan tetamu seperti kami.

Ia agama kita! kata Pakcik Said kepada kami.

Ajaib sungguh Turki ini.

Itu kenangan kami di Canakkale.

MUNGKINKAH TIDAK?

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkeinginan terhadap apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. [al-Hasyr 59: 9]

Islam mengajar kepada kita bahawa setinggi-tinggi nilai ukhuwwah adalah pada seseorang itu mengutamakan saudaranya melebihi keutamaan dirinya sendiri (al-ithaar ala al-nafs). Manakala serendah-rendah nilai yang masih boleh dikategorikan sebagai ukhuwwah adalah pada salaamatus-sadr iaitu berlapang dada.

Saya jatuh cinta dengan Turki kerana banyak bertemu dengan makna al-ithaar ala al-nafs. Namun dalam lingkungan kehidupan saya sendiri, sudah sejauh manakah wujudnya nilai salaamatus-sadr?

Jika dalam tempoh 10 hari kami berkelana, hampir setiap hari kami dikurniakan Allah dengan pengalaman seindah ini, maafkan saya jika ada yang tidak faham, mengapa saya jatuh cinta dengan Turki, pada pertemuan pandang pertama.

Demikianlah nilai persaudaraan Islam yang jelas terpancar pada jawapan setiap kali soalan ini ditanya:

Kamu siapa?Saya Muslim, AlhamdulillahABU SAIF @ www.saifulislam.com68000 AMPANG