Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedaheseminar.dbp.gov.my/bengkelmanuskrip/jelani.pdf · yang lahir dalam...
Transcript of Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedaheseminar.dbp.gov.my/bengkelmanuskrip/jelani.pdf · yang lahir dalam...
1
Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman Sebuah Karya Agung Melayu
Oleh
Dr. Jelani Harun Universiti Sains Malaysia
Pengenalan
Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman tergolong sebagai sebuah karya historiografi
yang berisi sejarah asal-usul raja-raja dan pembentukan negeri Kedah yang dilihat melalui
kacamata seorang pengarang istana yang terlibat secara lansung dengan pentadbiran negeri
ketika itu. Pengarang yang dimaksudkan ialah Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani
Muhammad Arshad yang berkhidmat sebagai Kerani Rahsia kepada Sultan Abdul Hamid
Halim Syah (1881-1943). Karya yang dihasilkan pada tahun 1927 tersebut masih mengekalkan
ciri-ciri penulisan sejarah tradisi di samping memperlihatkan berapa asas penulisan sejarah
yang lebih moden. Bahagian akhir naskhah banyak memberikan catatan tentang hubungan dan
konflik kerajaan Kedah dengan Siam dan bagaimana campur tangan pihak Inggeris dalam
kemelut politik pemerintahan raja-raja Kedah sehingga terbentuknya Perjanjian Bangkok pada
tahun 1909. Hal ini menjadikan karya historiografi tersebut sebagai sebuah sumber maklumat
sejarah sosio-budaya yang penting dalam perkembangan institusi kesultanan Kedah yang masih
wujud sehingga ke hari ini.
Pelbagai kajian awal terhadap Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman telah pun
dilakukan oleh sarjana yang meneliti sejarah Kedah masa silam. Sebuah kajian terbaharu boleh
ditemui dalam Malay Kingship in Kedah oleh Falarti (2013: 31) yang melihat Al-Tarikh
Salasilah Negeri Kedah Darul Aman sebagai sebuah sumber sejarah Kedah yang banyak
menerima pengaruh daripada sebuah buku yang lebih awal berjudul Salasilah atau Tarikh
Kerajaan Kedah yang dihasilkan oleh Wan Yahya bin Wan Muhammad Taib pada tahun 1911.
Walau bagaimanapun, Falarti (2013: 27) juga tidak menafikan akan ciri pembaharuan
pentarikhan yang terdapat dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman yang
2
mengandungi “several key dates for events mentioned in Hikayat Merong Mahawangsa and
Wan Yahya’s Salasilah atau Tarikh Kerajaan Kedah.”
Di samping nilai sejarah, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman turut
mengandungi berbagai-bagai catatan penting tentang adab kenegaraan negeri Kedah yang
merangkumi peraturan adat-istiadat, undang-undang dan panduan pemerintahan yang pernah
menjadi amalan istana kesultanan Kedah pada masa lalu sebagai sebahagian daripada asas
warisan ketamadunan raja-raja Melayu. Beberapa catatan awal tentang pembinaan negeri, kota,
pelabuhan, bangunan, sungai dan jalanraya yang masih ada di Kedah pada masa kini turut
tersurat dalam karya tersebut. Kekayaan dan kepentingan maklumat yang tersurat dan tersirat
dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman menjadikan naskhah tersebut sangat
berharga dalam sejarah kesultanan Kedah dan sewajarnya diketengahkan sebagai salah sebuah
Karya Agung Melayu yang lahir pada awal abad ke-20 yang lalu, malah juga perlu
diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi sebagai sebuah Warisan Dunia.
Manuskrip dan Pengarang
Sehingga ke hari ini, satu-satunya manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman
yang diketahui wujud adalah sebuah manuskrip Jawi yang tersimpan di Pusat Dokumentasi
Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur (MS 100). Manuskrip tersebut terdiri
daripada 146 halaman, berukuran 32 sm x 21 sm, bertulisan Jawi dengan menggunakan dakwat
berwarna hitam dan merah. Manuskrip berada dalam keadaan yang kurang memuaskan akibat
daripada dakwat hitam yang telah kembang dan meresapi ke beberapa bahagian kertas. Kertas
mempunyai tanda tera air “Guthrie & Co. Ltd”. Pemilikan manuskrip asal oleh pihak Dewan
Bahasa dan Pustaka ini sangat penting dalam konteks kewujudan naskhah Al-Tarikh Salasilah
Negeri Kedah Darul Aman yang masih dapat dibaca dalam bentuknya yang asli tanpa apa-apa
tokok-tambah daripada pengarang yang lain. Manuskrip telah dipindahkan ke bentuk digital
sepenuhnya oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2016.
3
Ketiadaan salinan lain bagi manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman
mungkin berhubungan dengan kemunculan institusi percetakan di Pulau Pinang sekitar akhir
abad ke-19 dan awal abad ke-20. Tidak lama selepas siap ditulis oleh Muhammad Hassan pada
tahun 1927, manuskrip Jawi tersebut telah dicetak oleh Jelutung Press, Pulau Pinang, pada
tahun 1928. Jelutung Press ialah syarikat percetakan milik Syed Syeikh al-Hadi yang aktif di
Pulau Pinang ketika itu dan beralamat di No. 555, Jelutung Road, Pulau Pinang. Naskhah
tersebut dicetak dalam tulisan Jawi pada 7 Rabiulawal 1347 (1928) yang terdiri daripada 440
halaman. Pada tahun 1968, manuskrip yang terdapat dalam simpanan Dewan Bahasa dan
Pustaka telah ditransliterasi ke huruf Rumi oleh Mohd. Zahid Mohd. Shah dan diterbitkan oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman.
Menurut catatan daripada Mohd. Zahid Mohd. Shah (Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah
Darul Aman, 1968: xxi), manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman diperolehi
oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka daripada Encik Soda bin Muhammad Hassan yang
merupakan anak kepada pengarang tersebut. Oleh itu, besar kemungkinan karya historiografi
tersebut adalah manuskrip yang asal daripada tulisan tangan Muhammad Hassan bin Dato’
Kerani Muhammad Arshad.
Nama pengarang Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman tercatat dengan jelas
pada bahagian kolofon manuskrip sebagai Muhammad Hassan anak Dato’ Kerani Muhammad
Arshad. Muhammad Arshad adalah Kerani Rahsia kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram
Syah (1854-1879). Malah pada bahagian kolofon tersebut, pengarang mencatatkan salasilah
keturunannya yang berasal dari Yaman seperti berikut (Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah
Darul Aman, 1928: 419): “Adapun yang menjunjungkan titah menzahirkan Tawarikh Salasilah
ini Muhammad Hassan anak Dato’ Kerani Muhammad Arshad Rahsia al-Marhum Sultan
Ahmad Tajuddin Mukarram Syah Yang Maha Mulia bin Tuan Syeikh Abu Bakar Kadhi bin
Tuan Syeikh Abdul Kadir Mufti bin Tuan Syeikh Abdul Jalil Mufti bin Tuan Syeikh Abdul
Wahab bin Tuan Syeikh Ahmad al-Mahdani, Yaman, bandar Sana’ah adanya.”
4
Pada bahagian mukadimah naskhah, pengarang mencatatkan bahawa perintah
mengarang telah diterimanya daripada Tengku Ibrahim pada 1 Rejab 1345, bersamaan dengan
5 Januari 1927. Hal ini memperlihatkan penulisan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul
Aman masih mengikut tradisi kepengarangan istana Melayu masa silam dalam mana pengarang
masih berada di bawah naungan raja-raja dan menulis sejarah berasaskan permintaan pihak
istana. Muhammad Hassan dilahirkan di Alor Setar, Kedah, pada tahun 1868 pada zaman
pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah. Setelah kematian bapanya, Dato’
Kerani Muhammad Hassan telah dilantik menjadi Kerani Rahsia kepada Sultan Abdul Hamid
Halim Syah (1881-1943) dan juga semasa pemerintahan Tengku Ibrahim selaku Pemangku
Sultan Kedah (1913-1934).
Tugas selaku Kerani Rahsia kepada Sultan Kedah memberi ruang yang besar kepada
Muhammad Hassan untuk mengetahui pelbagai sejarah pemerintahan negeri Kedah. Hal
tersebut banyak diceritakan oleh Muhammad Hassan dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah
Darul Aman, termasuk kehadiran beliau dalam beberapa siri lawatan Sultan Kedah ke luar
negara. Kerani Muhammad Hassan memiliki banyak pengetahuan tentang hal-ehwal kesultanan
Kedah pada zamannya dan berperanan sebagai sejarawan istana Kedah awal abad ke-20 itu.
Muhammad Hassan meninggal dunia pada 30 September 1942 sewaktu Kedah berada di bawah
pemerintahan Jepun.
Karya Agung Melayu
Negeri Kedah telah melahirkan beberapa buah karya besar yang berperanan dalam sejarah
persuratan Melayu, antara lain terserlah melalui Hikayat Merong Mahawangsa, Undang-
Undang Kedah dan Syair Sultan Maulana. Hikayat Merong Mahawangsa sudah pun diterbitkan
oleh pihak Yayasan Karyawan sebagai sebuah Karya Agung Melayu pada tahun 1998 selaras
dengan kekuatan dan keunikan isi kandungan karya historiografi tersebut. Naskhah seperti
Undang-Undang Kedah juga memiliki keistimewaannya yang tersendiri dan boleh
diketengahkan sebagai Karya Agung Melayu yang tidak kurang pentingnya. Pada tahun 2001,
5
sejumlah 2,951 pucuk warkah bertulisan Jawi daripada Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-
1943) kepada Raja Chulalongkorn telah diiktiraf sebagai Memory of the World Register oleh
UNESCO.
Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman turut memiliki kedudukannya yang
tersendiri dalam sejarah persuratan Kedah, sebuah karya yang lahir pada awal abad ke-20 tetapi
masih berada dalam lingkungan tradisi kepengarangan istana Melayu. Terdapat banyak ciri
yang memungkinkan karya tersebut dapat dikemukakan sebagai sebuah Karya Agung Melayu
yang tidak kurang nilainya berbanding dengan Karya Agung Melayu yang lain. Malah, ciri-ciri
Karya Agung Melayu yang terdapat dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman
adalah ciri-ciri yang selaras dengan kekuatan naskhah tersebut untuk diketengahkan sebagai
sebuah Warisan Dunia. Antara ciri yang dimaksudkan boleh diringkaskan seperti berikut:
1. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman merupakan sebuah karya berbahasa Melayu
yang lahir dalam zaman kegemilangan institusi kesultanan Melayu di Negeri Kedah pada awal
abad ke-20, khususnya di bawah naungan tradisi persuratan istana Melayu. Karya yang lahir
dalam tempoh tersebut memperlihatkan ciri-ciri persuratan yang telah menerima pengaruh yang
jelas daripada agama Islam sebagai sumber peradaban Melayu. Istana ialah pusat peradaban,
tempat berkembangnya ilmu pengetahuan dan tempat berkumpul cendekiawan dan intelektual
dalam menghasilkan karya terbaik dalam sejarah peradaban bangsa Melayu.
2. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman memiliki suatu kesatuan struktur yang jelas
dan kukuh dari permulaan sampai ke akhir dan mengandungi bahagian mukadimah dan
kolofonnya. Karya tersebut juga mengandungi pernyataan pengarang yang jelas tentang apakah
tujuan, untuk siapa, bila dan di mana tempat karya dihasilkan.
3. Isi kandungan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman menampilkan sejarah
kesultanan Kedah yang selaras dengan sejarah negara. Walau bagaimanapun, konsep
pensejarahan Kedah tersebut tidak semestinya sama dengan prinsip-prinsip penulisan sejarah
moden. Kewujudan beberapa aspek mitos, legenda dan cerita luar biasa pada bahagian awal
6
karya tersebut memberi latar kepada pembentukan sejarah Kedah dan boleh diterima sebagai
citra warisan yang memperkaya Karya Agung Melayu.
4. Di samping rentetan peristiwa sejarah, kekuatan Karya Agung Melayu juga tampil melalui
kisah hidup peribadi tertentu sebagai tokoh agung dalam sejarah bangsa. Tokoh yang lahir pada
satu-satu zaman ialah penanda kepada keunggulan peradaban bangsa yang merentasi zaman,
model, ikon atau contoh tauladan kepada generasi yang seterusnya. Al-Tarikh Salasilah Negeri
Kedah Darul Aman banyak memerikan riwayat hidup raja-raja, pembesar dan alim ulama yang
tersohor di negeri Kedah, antara lain termasuklah Sultan Mahmud Syah 1, Sultan Muhammad
Jiwa, Tengku Anom dan Syeikh Abdul Jalil.
5. Karya Agung Melayu menampilkan ketinggian falsafah bangsa, kehalusan seni bahasa dan
persuratan Melayu yang sangat istimewa, kaya dengan makna tersurat dan tersirat, metafora
dan kias ibarat yang melambangkan akal budi, adab dan sopan santun kepengarangan Melayu
warisan zaman. Ciri-ciri penulisan sejarah dan adab kenegaraan yang terdapat dalam Al-Tarikh
Salasilah Negeri Kedah Darul Aman mampu mencetuskan pelbagai tafsiran terhadapnya dan
sentiasa malar segar dalam penghayatan masyarakat sepanjang zaman.
6. Ciri mahakarya sesebuah Karya Agung Melayu semakin terserlah sekiranya menampilkan
nama pengarangnya dengan jelas berbanding dengan karya yang tidak mencatatkan nama
pengarangnya. Sebuah karya besar seharusnya lahir daripada kepengarangan seorang
pengarang yang juga hebat, kaya dengan daya kreativiti, berilmu dan berpengalaman luas pada
zamannya. Pengarang Karya Agung Melayu juga ialah tokoh dan ikon kepimpinan Melayu
yang tidak kurang cendekianya. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman adalah karya
nukilan Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arshad yang berkhidmat selaku
Kerani Rahsia kepada sultan Kedah.
7. Dalam konteks politik kenegaraan Melayu, karya yang memiliki ciri Karya Agung Melayu
sewajarnya menampilkan prinsip-prinsip asas pembinaan kerajaan dan negara yang berteraskan
7
budaya hidup masyarakat Melayu, nilai murni dan semangat patriotik, rasa cinta dan bangga
akan bangsa. Karya dapat memperlihatkan ciri asas pembentukan institusi kesultanan Melayu
dengan jelas, aturan kestabilan tadbir urus kerajaan, kuasa perundangan dan pautannya dengan
ciri kenegaraan Islam. Semua hal ini dapat ditemui dengan ketara dalam Al-Tarikh Salasilah
Negeri Kedah Darul Aman, terutamanya ketika Kedah menghadapi konflik dengan pihak Siam,
Bugis, Aceh dan Inggeris.
Pensejarahan Kedah
Sebagai sebuah historiografi, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman mencatatkan asal-
usul negeri Kedah yang bermula dengan nama Qalha, tempat pertemuan empat buah kuala
sungai, iaitu Sungai Qilah (Kuala Merbok), Kuala Bahang (Kuala Kedah), Kuala Merpah
(Kuala Murpah) dan Kuala Bara. Raja Kedah pula bermula dengan Maharaja Derbar Raja yang
berasal dari Parsi. Setelah mengalami kekalahan dalam perang, Maharaja Derbar Raja
melarikan diri sehingga sampai ke Qalha lalu mengasaskan pemerintahan baginda di situ.
Maharaja Derbar Raja juga dicatatkan telah membuka Kota Langkasuka. Sumber dan tarikh
berlakunya peristiwa yang berhubungan dengan kedatangan Maharaja Derbar Raja dari Parsi
tiada dinyatakan oleh Muhammad Hassan, dan hal ini boleh menimbulkan tanda tanya kepada
pembaca. Dalam Hikayat Terung Pipit, ada tercatat nama Kedah sebagai Negeri Lindung Bulan
Kedah Tua.
Selepas kemangkatan Maharaja Derbar Raja, pemerintahan Qalha diteruskan oleh
beberapa orang zuriat baginda sehinggalah ke zaman pemerintahan Seri Paduka Maha Jiwa
yang meramaikan Pulau Langkawi. Seri Paduka Maha Jiwa digantikan oleh putera baginda
yang bernama Seri Paduka Derbar Raja. Pada tahun 531 Hijrah, Syeikh Abdullah tiba di Qalha
dari Yaman dan mengislamkan Seri Paduka Maharaja Derbar Raja serta menukar nama baginda
kepada Sultan al-Muzaffar Syah. Nama Qalha pula ditukar menjadi Kedah Darul Aman.
Kedatangan Syeikh Abdullah dari Yaman merupakan suatu peristiwa yang sangat penting
8
dalam sejarah Kedah terutamanya dari sudut pengislaman raja Kedah dan penukaran nama
Kedah yang berkekalan sehingga ke hari ini. Tarikh 531 Hijrah tersebut adalah bersamaan
dengan tahun 1136 Masihi, suatu tarikh yang jauh lebih awal daripada Batu Bersurat
Terengganu (1303) atau kedatangan Islam ke Melaka sekitar awal abad ke-15. Syeikh Abdullah
kemudian telah membina sebuah menara di puncak Gunung Jerai dan akhirnya meninggal dunia
di situ (Padang To’ Syeikh).
Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman seterusnya menceritakan beberapa
peristiwa penting yang berlaku dalam zaman pemerintahan zuriat sultan Kedah mengikut
kronologi masa lengkap dengan catatan tarikhnya. Pembangunan Kedah tergambar melalui
pembukaan bandar yang baharu, pembinaan bangunan, jalan raya, sungai, parit, sawah, dan
demikian juga dengan kemajuan dalam urusan perdagangan, pendidikan, agama, dan
sebagainya. Sultan Muhammad Jiwa telah membuka Kota Setar pada tahun 1148 Hijrah (1735)
dan Kota Anak Bukit pada tahun 1151 Hijrah (1738). Sultan Abdullah Mukarram Syah
menitahkan pembinaan kota batu di Kuala Bahang (sekarang Kota Kuala Kedah).
Pada tahun 1205 Hijrah (1790) Sultan Abdullah Mukarram Syah membuat surat
perjanjian dengan Kapten Light untuk menyerahkan Pulau Pinang kepada Syarikat Hindia
Timur “selagi ada matahari dan bulan”. Syarikat Hindia Timur akan membayar sebanyak 6000
ringgit setahun kepada sultan Kedah. Sementara, Sultan Dhia’uddin Mukarram Syah pada tahun
1217 Hijrah (1802) telah membuat surat perjanjian dengan Sir George Leith Baronet untuk
menyerahkan Seberang Perai kepada Syarikat Hindia Timur. Syarikat tersebut berjanji akan
membayar 4000 ringgit setahun kepada Sultan Abdullah Mukarram Syah hingga anak cucunya
“selagi ada matahari dan bulan”. Kedua-dua perjanjian yang sudah berusia melebihi 200 tahun
tersebut sewajarnya diberi penilaian semula oleh kerajaan Negeri Kedah pada hari ini.
Di samping itu, raja-raja Kedah tidak terlepas daripada berbagai-bagai ancaman
peperangan terutamanya dengan Aceh, Siam, dan Inggeris. Ada pembesar yang tertuduh
sebagai pengkhianat (seperti Tengku Yaakob) dan ada pembesar yang disanjung sebagai
pembela kerajaan (seperti Tengku Anom). Penceritaan berakhir sehingga ke zaman
9
pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Syah yang menaiki takhta Kedah pada tahun 1881
dalam mana kuasa dan pengaruh Inggeris semakin kuat mencengkam pentadbiran istana
kesultanan Kedah. Beberapa siri perang antara Kedah-Siam ada diceritakan oleh Muhammad
Hassan yang memiliki persamaan dan perbezaannya berbanding dengan cerita perang Kedah-
Siam seperti tersurat dalam Syair Sultan Maulana.
Sebagai seorang pengarang pada awal abad ke-20, Muhammad Hassan masih kuat
terikat dengan konvensi penulisan sejarah istana kesultanan Melayu, menulis berdasarkan
sumber-sumber yang ada di istana, malah juga perlu mengikut kehendak raja pemerintah
kerajaan. Dalam hal ini ternyata Muhammad Hassan telah meninggalkan penulisan yang
berasaskan hikayat dan mitos seperti yang banyak muncul dalam Hikayat Terung Pipit dan
Hikayat Merong Mahawangsa. Sebaliknya beliau lebih berpusat kepada menceritakan sejarah
kesultanan Kedah mengikut kronologi masa dengan memberikan tumpuan kepada raja,
pembesar dan alim ulama yang berperanan dalam sejarah Kedah pada satu-satu masa itu. Nilai
sebenar penulisan sejarah yang tersurat dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman
memerlukan pelbagai kajian yang lebih mendalam daripada para sarjana, termasuk secara
membandingkannya dengan dokumen-dokumen sejarah Kedah yang lain.
Adab Kenegaraan
Di samping nilai sejarah, naskhah Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman memiliki
suatu sisi penulisan adab kenegaraan yang tidak kurang pentingnya, terutamanya dalam konteks
istana kesultanan Kedah pada awal abad ke-20 yang lalu. Adab kenegaraan yang dimaksudkan
berhubungan dengan berbagai-bagai panduan dan nasihat pemerintahan yang baik yang
diberikan oleh pengarang kepada raja-raja dan para pembesar khususnya yang berteraskan
keadilan dalam Islam. Muhammad Hassan banyak memberi panduan kepada raja-raja Kedah
supaya mengamalkan keadilan dalam pemerintahan, antaranya muncul dalam sebuah “wasiat”
Syeikh Abdullah kepada Sultan Muzaffar Syah sewaktu syeikh tersebut hampir meninggal
dunia seperti berikut (Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, 1928: 35):
10
Hendaklah Syah Alam berbanyak sabar dan ihsan dan insaf di atas sekalian hamba Allah isi negeri maka itulah makam segala raja.
Wasiat adalah salah satu medium nasihat adab kenegaraan yang berkesan kepada para
pemerintah, seperti yang telah muncul lebih awal dalam Hikayat Raja Pasai dan Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu). Raja yang adil harus sentiasa memelihara keamanan dan
kesejahteraan negara dan rakyat. Perkara tersebut sangat diberikan perhatian oleh Muhammad
Hassan, antara lain melalui gambaran tentang pemerintahan Sultan Mahmud Syah I (1280-
1321). Baginda telah membuat peraturan timbangan dan sukatan di Kedah bagi kemudahan
urus niaga segala rakyat. Peri keadilan Sultan Mahmud Syah I tergambar seperti berikut (Al-
Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, 1928: 36):
Maka tetaplah Sultan Mahmud Syah di atas takhta kerajaan memerintah kerajaan negeri Kedah dengan segala menteri-menteri penggawanya dengan adilnya serta sangat kasih akan segala menteri-menteri penggawanya dan sentiasa mengambil insaf di atas segala rakyat isi negeri.
Sultan Muhammad Jiwa mendapat perhatian yang lebih khusus lagi daripada
Muhammad Hassan sebagai seorang sultan yang dikatakan suka mengembara ke luar negeri
mencari ilmu pengetahuan. Sejak zaman muda, baginda menyamarkan diri pergi ke Palembang
berguru dengan Syeikh Abdul Jalil, malah mengikut syeikh tersebut berkelana ke Jawa dan
India. Selepas kemangkatan ayahanda baginda (Sultan Abdullah al-Muazzam Syah), Sultan
Muhammad Jiwa menaiki takhta kesultanan Kedah dan melantik Syeikh Abdul Jalil sebagai
mufti kerajaan. Syeikh Abdul Jalil adalah moyang kepada Muhammad Hassan. Dalam Al-
Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, keperibadian Sultan Muhammad Jiwa tampil
sebagai contoh seorang pemerintah yang dikasihi oleh pembesar dan rakyat.
Kekuatan dan kesempurnaan pemerintahan seorang raja sangat bergantung kepada
kebijaksanaan para pembesar yang membantu baginda melaksanakan urusan kerajaan. Naskhah
Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman banyak memuatkan kisah pelantikan para
pembesar dan peranan mereka dalam pentadbiran istana terutamanya Raja Bendahara,
Temenggung, Mufti, Kadi dan para menteri yang lainnya. Berbagai-bagai nasihat turut
11
diberikan kepada para pembesar bagi memantapkan keperibadian mereka dan meningkatkan
ilmu pengetahuan siasah. Salah satu contoh yang ketara dapat ditemui sewaktu Syeikh Abdul
Jalil menasihati Sultan Muhammad Jiwa tentang keinginan baginda untuk mencari keuntungan
perniagaan dengan cara membeli padi daripada rakyat dan kemudian menjualkannya semula
kepada rakyat. Sebelum keinginan itu dilaksanakan, Sultan Muhammad Jiwa terlebih dahulu
meminta pendapat Syeikh Abdul Jalil, lalu dijawab oleh syeikh tersebut seperti berikut (Al-
Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, 1928: 137):
Adalah adat segala raja-raja itu tiada boleh sekali-kali jadi saudagar seperti berniaga jual beli. Adalah pekerjaan itu dikerjakan oleh segala saudagar-saudagar juga, bukan pekerjaan raja-raja dan menteri-menteri yang besar-besar. Jika raja-raja dan menteri-menteri di dalam negeri itu jadi saudagar, maka pada ketika itu segala saudagar dan rakyat isi negeri pun menjadi kesusahan dengan sebab menteri-menteri dan raja-raja sudah menjadi saudagar. Apakala rakyat sekalian miskin, maka kuranglah hasil negeri itu. Apakala kurang hasil, maka ketika itu hampalah khazanah. Apakala hampa khazanah, maka raja pun lemahlah...
Adalah adat menteri-menteri itu tiada boleh sekali-kali berjalan mencari makan kerana yang demikian itu jadi jahat nama raja. Dan lagi adalah adat segala menteri-menteri yang besar-besar itu duduk muafakat sama menteri akan pekerjaan negeri serta mencari jalan yang kebajikan di atas rajanya dan di atas negeri dan di atas segala rakyat isi negeri itu supaya bertambah-tambah hasilnya.
Berdasarkan petikan itu, nyata sekali bahawa Syeikh Abdul Jalil tidak bersetuju dengan
keinginan sultan untuk menjalankan perniagaan jual beli padi dengan rakyat. Syeikh Abdul Jalil
turut memanjangkan nasihatnya kepada para menteri yang juga dilarang daripada melakukan
perniagaan dengan rakyat, sebaliknya perlu sentiasa berusaha membawa kebaikan kepada
negara, raja, dan rakyat. Beliau seterusnya menyatakan bahawa setiap menteri perlu memiliki
sekurang-kurangnya 13 syarat yang merupakan “aturan raja-raja dan menteri-menteri daripada
Bani Abbas di dalam Tanah Arab” seperti berikut (Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul
Aman, 1928: 138-202):
Pertama-tama, hendaklah menteri itu jangan meninggalkan pekerjaan yang difardhukan Allah dan rajanya.
Yang kedua, hendaklah menteri itu membawa tiap-tiap suatu pekerjaan dengan sebenar-benarnya menghasilkan harta.
12
Yang ketiga, hendaklah menteri itu sangat menjagakan hukum rajanya supaya jangan bersalahan dengan hukum Allah dan adat yang telah diadatkan di dalam undang-undang negeri.
Yang keempat, hendaklah menteri-menteri itu melihat bahawa orang yang di bawahnya yang mengerjakan perkerjaan yang bida’ah yang bersalahan dengan hukum syarak atau adat, dan hendaklah dibicarakan dengan sedaya upayanya supaya terbuang perbuatan yang salah itu dan keadaan aib segala raja-raja dan menteri-menteri. Jika dibiarkan perkara ini berlaku, akan terjadi kecelakaan negeri itu.
Yang kelima, hendaklah menteri itu jangan sekali menunjukkan kerasnya atas segala rakyat daripada membesarkan dirinya.
Yang keenam, hendaklah menteri itu sentiasa menyuruhkan orang yang harap pada pihak-pihak negeri membawa khabar.
Yang ketujuh, hendaklah menteri itu memeliharakan segala dagang, fakir dan miskin yang kedatangan daripada kejahatan orang yang kuasa di dalam negeri.
Yang kedelapan, hendaklah menteri itu barang pekerjaan itu dengan ingat dan hemat.
Yang kesembilan, hendaklah menteri itu apabila melihat akan orang yang perbuat baktinya akan raja atau atas negeri, hendaklah dipinta penaikkan orang itu, jangan menteri itu takut kalau-kalau orang itu besar daripadanya.
Yang kesepuluh, apabila menteri itu melihat orang yang melalui titah raja atau melalui undang-undang, hendaklah menteri itu memberi nasihat kepadanya dengan halus. Jika ia tiada menurut nasihat itu hendaklah dihukumkan supaya jangan orang yang lain menurut dia.
Yang kesebelas, hendaklah menteri itu mencari taulan yang baik akal dan budi pekerti di dalam menteri yang banyak itu dijadikan sahabat.
Yang keduabelas, hendaklah menteri itu jangan sekali-kali beri berselisihan antara segala menteri-menteri sama menteri dan antara segala hulubalang dan penggawa sekalian.
Yang ketigabelas, hendaklah menteri itu minta doa akan rajanya dimasukkan Allah taala adil dan insaf di atas segala isi negeri.
Sehingga ke hari ini, tiada pernah ditemui sebuah karya adab kenegaraan yang khusus
daripada pengarang Kedah pada masa lalu, karya seperti Taj al-Salatin, Bustan al-Salatin atau
Nasihat al-Muluk, yang isinya mengandungi pelbagai nasihat dan panduan pemerintahan
kepada raja-raja. Hal ini menjadikan kewujudan beberapa unsur penulisan adab kenegaraan
dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman sebagai suatu hal yang penting dan
menambahkan lagi nilai kekuatan karya tersebut sebagai Karya Agung Melayu. Suatu contoh
13
lain tergambar sewaktu Muhammad Hassan menceritakan kisah Sultan Dhiauddin al-Mukarram
Syah I (1661-1688) yang ingin melantik Tengku Sulaiman sebagai Temenggung. Baginda
bermesyuarat dengan para pembesar tentang hal pelantikan tersebut. Sebelum pelantikan
dibuat, Raja Menehara (Raja Bendahara) menyampaikan sembah kepada sultan tentang syarat
dan tugas Temenggung yang dapat diringkaskan seperti berikut (Al-Tarikh Salasilah Negeri
Kedah Darul Aman, 1928: 93):
i. Adapun orang yang menyandang pangkat Temenggung itu adalah orang yang
sangat-sangat diharap kerana sekalian pekerjaan itu terserah kepadanya, dan
segala alat senjata, hulubalang, panglima perang dan kota parit sekalian itu
adalah di dalam hukumnya.
ii. Dan lagi, pekerjaan Temenggung itu ialah menangkap barang siapa membuat
pekerjaan derhaka khianat dan melanggar hukum-hukum.
iii. Dan lagi, Temenggung itu hendaklah sentiasa menyuruh orang-orang yang
diharapnya di dalam hal-ehwal negeri supaya membawa perkhabaran yang
diketahuinya mengenai bahaya dan juga mengenai fitnah yang datang dari mana-
mana jua. Temenggung hendaklah tahu bagaimana hendak menolak bahaya-
bahaya dan fitnah itu.
iv. Dan lagi, Temenggung itu sekali-kali tiada boleh berubah hatinya, hatinya
mahulah suci dan tulus ikhlas, dan setia kepada rajanya.
Nasihat Peperangan
Pengarang Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman membuat beberapa catatan penting
tentang peperangan Kedah dengan kerajaan luar, terutamanya dengan Bugis, Siam dan Aceh.
Misalnya, pada 1098 Hijrah (1686 Masihi) berlaku peperangan antara Kedah dengan Bugis
kerana perebutan takhta oleh Tengku Ngah Putra (waris Kedah daripada keturunan Bugis).
Peperangan berkesudahan dengan kekalahan pihak Bugis. Peristiwa perang yang lebih besar
14
diceritakan oleh Muhammad Hassan tatkala Siam menyerang Kedah pada zaman Sultan Ahmad
Tajuddin Mukarram Syah yang dikatakan berpunca daripada Tunku Yaakob yang tidak berpuas
hati terhadap sultan yang tidak mahu merajakannya di Kayang. Tunku Yaakob meminta
bantuan raja Ligor untuk menyerang Kedah sehingga menyebabkan Sultan Ahmad Tajuddin
Mukarram Syah terpaksa melarikan diri ke Melaka. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul
Aman turut memberikan beberapa catatan tentang penghantaran “bunga emas” oleh pemerintah
Kedah ke Siam demi memelihara hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Perang boleh menyebabkan keadaan negara berada dalam bahaya, kemusnahan nyawa
dan harta benda, hatta melupuskan kuasa dan takhta raja-raja. Oleh itu, setiap negara harus
mengelakkan diri daripada perang, sebaliknya mengukuhkan hubungan damai dan diplomatik
antara kerajaan. Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, nasihat adab
kenegaraan tentang perang terserlah melalui peristiwa Aceh ingin menyerang Kedah.
Diceritakan, Sultan Sulaiman Syah II (1602-1619) mendengar khabar bahawa Sultan Iskandar
Mahkota Alam dari Aceh akan datang menyerang Kedah. Baginda lantas mengadakan
mesyuarat dengan pembesar bagi menghadapi serangan tentera Aceh yang terkenal dengan
kekuatan armada lautnya itu. Dalam mesyuarat tersebut, seorang pembesar bernama Dato’
Seraja Imam berdatang sembah dengan mengatakan bahawa isyarat berperang itu terdiri
daripada “101 isyarat”, dalam mana 100 daripada isyarat itu ialah berusaha dan berikhtiar
menghindarkan berlakunya peperangan. Seandainya segala usaha menemui kegagalan, maka
pada ketika itu haruslah raja berpegang kepada isyarat yang ke-101, iaitu berperang sehingga
ke titisan darah yang terakhir (Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, 1928: 61-62):
“Tetapi adalah isyarat melawan musuh itu seratus satu isyarat. Yang satu itulah yang berperang hingga tiada sayang akan nyawanya. Yang seratus itu ialah dengan kira bicaranya dan ikhtiar. Tiada juga binasa seteru itu, maka sampailah kepada yang satu isyarat maka iaitu berperang hingga berbuang nyawa. Ampun Tuanku, jikalau boleh lagi kita ikhtiar dengan jalan yang lain daripada berperang itu terlebih baiklah daripada kita berperang, kerana tiada terlebih jahat patik-patik hamba sekalian membawa Syah Alam kepada pekerjaan perang, kerana banyak lagi yang dapat dibicarakan lain daripada pekerjaan perang itu dengan ikhtiar atau dengan harta.”
15
Dato’ Seraja Imam kemudian mengukuhkan nasihatnya dengan mencadangkan agar
sultan menyambut kedatangan Sultan Iskandar Mahkota Alam dengan segala kebesaran dan
kemuliaan serta disediakan istana khas untuk baginda. Sultan Sulaiman Syah II berkenan
menerima cadangan itu lalu menitahkan rakyat membuat persiapan besar-besaran bagi
menyambut ketibaan sultan Aceh. Apabila Sultan Iskandar Mahkota Alam sampai di Kedah
dan menerima sambutan besar-besaran daripada sultan Kedah, maka “pada ketika itu layulah
hati Sultan Iskandar hendak meneruskan maksudnya.” Baginda kemudian tinggal beberapa
lama di Kedah, berburu dan bersuka ria. Kedah akhirnya terselamat daripada serangan tentera
Aceh walaupun terpaksa mengalah dan membelanjakan harta benda bagi menggembirakan hati
sultan Aceh tersebut.
Atas kebijaksanaan seorang penasihat raja, Dato’ Seraja Imam, rakyat Kedah terhindar
daripada bencana perang dengan tentera Aceh. Nasihat tersebut bukan pula bermakna sultan
Kedah akan sentiasa mengalah dengan musuh, sebaliknya memberi panduan agar sultan
sentiasa mendahulukan perundingan dan perdamaian sebelum terlibat dalam apa-apa
peperangan. Sumber nasihat yang diberikan oleh Dato’ Seraja Imam tersebut tiada dinyatakan
dengan jelas oleh Muhammad Hassan, tetapi besar kemungkinan berdasarkan bahan bacaan
tentang strategi perang yang terdapat dalam kitab-kitab yang tertentu.
Di Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM), Kuala Lumpur, terdapat sebuah
manuskrip yang diberi judul sebagai Hikayat Nabi-nabi dan Raja-raja dan Peraturan
Memimpin (PKMM MS 2063) yang masih baik keadaannya. Isi kandungan manuskrip terdiri
daripada berbagai-bagai kisah dan panduan pemerintahan kepada raja-raja seperti yang lazim
ditemui dalam karya adab kenegaraan seumpama Taj al-Salatin atau Bustan al-Salatin.
Manuskrip berukuran 20 sm x 16 sm tersebut terdiri daripada 153 halaman tetapi tanpa memiliki
halaman yang mencatatkan nama judul, nama pengarang dan tarikh penulisannya. Apa yang
menariknya, pada halaman 86-88 terdapat beberapa huraian pengarang tentang nasihat
peperangan, antara lain tertera seperti berikut:
Kata ahl al-hikmat, jika dapat memegang ular dengan tangan orang lain, maka tiada harus memegang dengan tangan sendiri. Yakni maksud perkataan itu, jika dapat
16
menolakkan seteru itu dengan tipu atau dengan arta atau barang sesuatu yang dapat menjauhkan fitnah itu, maka jangan dengan perang.
Bermula berlawan dengan seteru itu seratus asa perkaranya. Maka yang seperkara itu perang, dan yang seratus perkara itu jua bicara dan kira-kira dengan yang mengetahui pekerjaan itu.
Petikan di atas mengandungi beberapa nasihat peperangan yang hampir-hampir sama
maksudnya dengan apa yang tersurat dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman,
dalam mana setiap pemerintah sangat dinasihati supaya menghindari peperangan. Musuh yang
datang menyerang harus terlebih dahulu diatasi dengan berbagai-bagai usaha perundingan,
termasuk yang melibatkan harta benda dan strategi diplomatik yang sepatutnya. Ada
kemungkinan Muhammad Hassan telah menggunakan suatu sumber yang sama seperti yang
digunakan oleh pengarang manuskrip Hikayat Nabi-nabi dan Raja-raja dan Peraturan
Memimpin. Di sebalik usaha perundingan, apabila keadaan memaksa, raja-raja Melayu
dinasihati agar sentiasa bersedia berperang sehingga ke titisan darah yang terakhir, demikian
falsafah tentang peperangan yang tersurat dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul
Aman dan Hikayat Nabi-nabi dan Raja-raja dan Peraturan Memimpin.
Kesimpulan
Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman memberikan suatu gambaran penting tentang
evolusi penulisan historiografi daripada kalangan penulis istana kesultanan Melayu di negeri
Kedah pada awal abad ke-20 yang lalu. Bermula dengan penghasilan Hikayat Merong
Mahawangsa yang masih kuat dipengaruhi unsur mitos, Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani
Muhammad Arshad telah membawa beberapa unsur pemodenan dalam pensejarahan Kedah.
Nilai sejarah bukan hanya berkisar kepada catatan peristiwa demi peristiwa pembangunan
sosio-budaya negeri Kedah, tetapi terjalin indah melalui sisipan-sisipan adab kenegaraan yang
membangunkan kesedaran terhadap raja-raja akan kepentingan ilmu pengetahuan dalam
melaksanakan pemerintahan kerajaan. Gabungan antara kedua-dua unsur sejarah dan adab
kenegaraan tersebut menjadi Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman sebuah Karya
17
Agung Melayu yang istimewa dan relevan sepanjang masa. Adalah amat wajar sekali karya
tersebut diterbitkan semula oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, atau Yayasan Karyawan,
atau pihak istana kesultanan Kedah sebagai sebuah Karya Agung Melayu dalam bentuk yang
sebaik-baiknya. Malah, usaha pihak Dewan Bahasa dan Pustaka dan Muzium Negeri Kedah
untuk mengenengahkan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman sebagai sebuah
Warisan Dunia adalah amat wajar sekali dan perlu mendapat sokongan daripada semua pihak,
Malah, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman sangat perlu diketengahkan ke peringkat
antarabangsa melalui cadangan pencalonan sebagai sebuah Warisan Dunia.
18
Salinan Digital Manuskrip Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, (DBP MS 100)
19
Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arshad
20
Bibliografi
Falarti, Maziar Mozaffari, 2013. Malay Kingship in Kedah: Religion, Trade, and Society. Petaling Jaya: SIRD.
Hikayat Terong Pipit oleh Panglima Ali Mudin bin Panglima Hasan, 2016. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Jelani Harun, 2006. “Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah: Muhammad Hassan dan Kepengarangan Istana Melayu Awal Abad ke-20” dlm. Rogayah A. Hamid & Mariyam Salim (peny.). Kesultanan Melayu Kedah. Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 15-52.
Jelani Harun, 2017. Karya Agung dan Politik Kenegaraan Melayu. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Mariyam Salim (peny.), 2005. Undang-Undang Kedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Isa Othman, 1995. “Salasilah atau Tarikh Kerajaan Kedah dalam Konteks Pensejarahan Awal Abad ke-20” dlm. Rogayah A. Hamid & Mariyam Salim (peny.). Kesultanan Melayu Kedah. Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 1-14.
Muhammad Hassan, 1928. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman (Jawi). Pulau Pinang: The Jelutung Press.
Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Mohd. Arshad, 1968. Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Yusoff Hashim, 1980. Syair Sultan Maulana. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan, 2000. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.
Siti Hawa Haji Salleh, 1991. Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.