Anak Saya Bakal CEO -...
Transcript of Anak Saya Bakal CEO -...
1. Tanamkan dalam diri anak anda tentang kepentingan matlamat dan
cita-cita
Pertama sekali, anak-anak harus faham tentang matlamat hidup mereka. Jelaskan pada
anak-anak anda tentang pentingnya penetapan matlamat untuk kejayaan masa
hadapan. Bincangkan dengan mereka tentang matlamat yang baik atau sebaliknya.
Pastikan juga matlamat tersebut seimbang dan harus selari dengan ajaran agama kita.
Kemudian, beritahu mereka apa yang perlu dilakukan bagi memastikan matlamat
tersebut tercapai.
Bagaimana ?
Berikan mereka kebebasan untuk menyenaraikan keinginan atau matlamat yang
mereka mahukan. Bahagikan kepada matlamat jangka panjang dan jangka pendek.
Bantu mereka pilih satu matlamat jangka pendek dan jangka panjang yang paling
sesuai, cetak dan tampalkan di bilik mereka supaya anak-anak anda dapat membaca
dan mengingatinya setiap hari. Beri mereka sedikit reward sekiranya matlamat itu
dapat mereka capai.
2. Beri pemahaman yang betul tentang konsep perniagaan
Setelah anak anda menetapkan matlamat hidupnya, cuba kaitkan ia dengan perniagaan.
Ceritakan padanya bagaimana perniagaan boleh membantu mereka mencapai
matlamat tersebut. Terangkan juga bahawa perniagaan bukan semestinya bertujuan
untuk menjadi kaya semata-mata, sebaliknya ia harus bertujuan untuk menyelesaikan
masalah ramai orang.
Sebagai contoh, matlamat hidupnya ingin membantu orang-orang yang disayanginya.
Di sekolah, dia mempunyai ramai kawan-kawan yang mempunyai masalah berbahasa
Inggeris. Jadi, dia boleh membantu kawan-kawannya itu dengan membuka sebuah
pusat bahasa yang boleh mengajarkan bahasa Inggeris dengan cepat dan berkesan.
Bukankah itu satu perniagaan yang baik?
Bagaimana?
Minta anak anda menyenaraikan beberapa masalah orang-orang yang rapat dengannya.
Fikirkan satu idea yang boleh membantu menyelesaikan masalah tersebut. Kemudian,
kembangkan idea tersebut sehingga ia boleh menjadi sebuah perniagaan. Terangkan
padanya bagaimana perniagaan tersebut telah membantu menyelesaikan masalah
orangramai dan menjana pendapatan di dalam masa yang sama.
3. Didik mereka tentang wang dan cara menguruskannya
Beri peluang kepada anak-anak anda untuk mendapatkan wang mereka sendiri atau
benarkan mereka membantu anda dalam perniagaan. Juga ajarkan mereka tentang
kepentingan menabung untuk pelaburan masa hadapan dan daftarkan satu akaun bank
untuk mereka.
Anak-anak juga harus tahu untuk membezakan keperluan dan kehendak, serta belajar
menangguhkan kehendak sehingga mereka telah benar-benar mampu. Ini dapat
menghindarkan mereka dari amalan suka berhutang atau meminta-minta. Pada zaman
yang serba moden ini, kebanyakan ibubapa terlalu mudah memberi wang kepada anak-
anak sehinggakan mereka tidak terfikir tentang keperluan menjana wang sendiri atau
kepentingan untuk menyimpan wang.
Bagaimana?
Berikan sedikit cabaran kepada mereka supaya mereka terdidik untuk mendapatkan
wang bukanlah semudah yang mereka sangka. Ajak mereka membantu anda di kedai
atau berikan kerja rumah yang agak berat daripada biasa dan berilah sedikit gaji untuk
menghargai usaha mereka itu. Anak-anak akan lebih menghargai wang yang didapati
hasil dari titik peluh mereka sendiri.
4. Kaji perwatakan diri anak anda
Sebelum membentuk anak-anak menjadi usahawan, ibubapa perlu mengenalpasti
apakah perwatakan mereka benar-benar sesuai untuk menjadi seorang usahawan. Ini
kerana keusahawanan merupakan satu bidang yang penuh dengan cabaran dan
memerlukan kecekalan dan kesabaran yang tinggi.
Di antara sifat dan ciri-ciri yang boleh dijadikan garis panduan dalam menentukan
kemampuan anak-anak anda adalah sikap bertanggungjawab, rajin, jujur &
amanah, bersedia menerima pendapat dan kritikan dari orang lain, berdisiplin, sentiasa
bersikap positif, berani & boleh bercakap dengan orang yang kurang dikenali, serta
mempunyai sikap kepimpinan yang baik.. Sekiranya ciri-ciri ini masih tidak kelihatan
dalam diri anak-anak, ibubapa perlu memulakan langkah dan berusaha menerapkan
supaya anak-anak anda mempunyai ciri-ciri itu terlebih dahulu.
Bagaimana?
Berikan beberapa tugasan mudah kepada anak-anak untuk menguji perwatakan
mereka. Sebagai contoh, membuat kerja rumah, menjaga adik-adik atau membeli
barang di kedai. Dari situ ibubapa dapat mencungkil perwatakan mereka melalui cara
mereka menyelesaikan tugasan tersebut. Selain itu, aktiviti yang menyeronokkan
contohnya bermain board game seperti Saidina & Monopoli juga boleh membantu
mencungkil perwatakan mereka.
5. Kenalpasti bakat dan potensi diri anak anda
Selepas mencungkil perwatakan anak-anak, seterusnya ibubapa harus mengenal pasti
bakat dan potensi diri mereka pula. Ibubapa adalah orang yang paling dekat dan
memahami anak-anak, maka seharusnya andalah yang paling layak untuk mengenali
dan menilai potensi dan kemampuan diri mereka. Ini penting agar anda dapat
membantu anak-anak memilih kerjaya atau perniagaan berdasarkan bakat dan potensi
diri masing-masing. Seterusnya, anda harus tunjukkan sokongan terhadap bakat dan
minat mereka, serta terus mendorong mereka dalam mengembangkan lagi potensi
tersebut.
Bagaimana?
Potensi diri lebih kepada kekuatan atau kelebihan yang terdapat dalam diri anak.
Kadangkala kekuatan diri tersebut muncul tanpa disedari oleh mereka sendiri. Kenal
pasti potensi atau keupayaan diri anak dengan bertanyakan beberapa soalan mudah
kepada mereka. Sebagai contoh: Apa yang mereka suka lakukan? Jenis bahan bacaan
yang mereka minati? Permainan yang menyerlahkan kehebatan mereka? Dalam
keadaan apakah yang akan memotivasikan diri mereka?
6. Cadangkan beberapa idea bisnes yang mampu dijalankan oleh anak-
anak, sesuai dengan umur dan bakat mereka
Terdapat banyak idea bisnes mudah yang dapat dijalankan oleh anak-anak sesuai
dengan umur mereka. Sebagai ibubapa anda seharusnya memberi galakan, sokongan
serta pendapat anda untuk membantu mengembangkan idea bisnes mereka. Idea bisnes
untuk anak-anak sepatutnya yang mudah dijalankan, bersesuaian dengan umur, minat
dan bakat mereka serta mampu dilakukan oleh anak-anak supaya mereka tidak berasa
tertekan dengan bisnes tersebut.
Di antara beberapa idea bisnes mudah yang mampu dilakukan anak-anak adalah bisnes
dadih, bisnes buah potong, bisnes aiskrim, bisnes kerepek atau snek dan pelbagai jenis
makanan ringan yang lain. Selain daripada bisnes makanan, anak-anak yang lebih
kreatif boleh menjalankan bisnes kraftangan mudah seperti gelang manik, pemegang
kunci serta cekak rambut yang menarik. Sekiranya anak anda adalah peminat kucing,
bisnes perkhidmatan seperti menjaga kucing kawan-kawannya sewaktu mereka pergi
bercuti juga sangat menarik dan sesuai.
Bagaimana?
Berikan kebebasan untuk anak-anak anda mengeluarkan seberapa banyak cadangan
untuk idea bisnes mereka. Idea bisnes yang terbaik sepatutnya adalah perkara yang
paling diminati oleh anak-anak anda.
7. Bantu anak anda untuk menyediakan pelan perniagaan yang mudah
Setelah anak anda mengenalpasti bisnes apa yang ingin dijalankannya, bantu mereka
untuk menzahirkan segala idea dan perancangannya itu di atas kertas. Mulakan dengan
tujuan sehinggalah kepada perancangan kewangan yang ringkas. Pastikan dia telah
mengambil kira perkara pokok seperti “4P” (product, price, place, & promotion) dan
aspek kewangan yang asas seperti kos, margin, dan sasaran keuntungan. Ini semua
perlu bagi mengetahui sama ada bisnes yang bakal dijalankan nanti adalah berpotensi
atau sebaliknya.
Bagaimana ?
Duduk bersama anak anda dan bincangkan semua elemen-elemen penting yang harus
ada di dalam sesebuah pelan perniagaan. Kenal pasti siapa sasaran pelanggannya dan
rancang berapa jumlah jualan yang harus dibuat bagi memastikan bisnes ini menjana
keuntungan. Sekiranya pelan yang dihasilkan tidak menampakkan potensi yang baik,
bisnes ini mungkin tidak sesuai untuk diteruskan kerana bisnes yang sudah jelas tidak
menguntungkan akan hanya membuang masa dan melemahkan semangat anak anda.
8. Ajarkan tentang pemasaran melalui apa yang dilihat di sekeliling
mereka
Minta anak-anak anda untuk mula memerhatikan bahan-bahan pemasaran di sekeliling
mereka seperti papan iklan, banner promosi, flyers, iklan di dalam majalah,
televisyen, radio dan sebagainya. Bincangkan tentang kelebihan dan kekurangan setiap
produk tersebut. Dan jelaskan juga bagaimana iklan tersebut telah menarik minat bakal
pembelinya.
Bagaimana?
Tanya mereka apa yang menarik perhatian mereka tentang mesej yang ingin
disampaikan serta berikan mereka kebebasan untuk menyampaikan idea-idea mereka.
Dengan cara ini anda dapat memupuk kreativiti dan inovasi anak-anak anda.
9. Fahamkan anak anda tentang risiko dalam perniagaan dan
kepentingan membuat keputusan.
Setiap perniagaan sememangnya mempunyai risiko masing-masing. Berani
mengambil risiko adalah salah satu ciri-ciri usahawan yang berjaya. Penerangan
mengenai risiko dapat mengurangkan rasa kecewa mereka sekiranya perniagaan
mereka kurang mendapat sambutan. Terangkan kepada mereka bahawa semangat
untuk terus mencuba amat penting sekiranya menghadapi kegagalan kerana gagal
sekali bukan bererti gagal selamanya. Ketelitian sebelum membuat keputusan boleh
mengurangkan risiko yang bakal dihadapi.
Bagaimana?
Jalankan satu aktiviti yang memerlukan anak anda untuk memilih antara dua benda
dan sejauh mana benda yang dipilih memberi kesan kepada mereka. Dengan memberi
pilihan akan melatih mereka membuat keputusan dan selepas memilih, kesan positif
atau negatif adalah risiko yang perlu dihadapi.
10. Beri galakan kepada anak-anak anda untuk menyertai aktiviti-
aktiviti keusahawanan
Hantarkan anak-anak anda untuk menyertai aktiviti-aktiviti keusahawanan yang
dianjurkan oleh pihak sekolah atau pihak-pihak tertentu, sebagai contoh program
MyCEO (rujuk www.myceo.com.my). Dari situ mereka dapat belajar pelbagai
kemahiran baru sambil berseronok bertemu dengan rakan-rakan yang baru. Selain itu,
mereka juga dapat membina keyakinan diri dan belajar bagaimana untuk mengenal
pasti peluang serta mencipta kejayaan melalui pendidikan keusahawanan yang bakal
diterapkan.
Bagaimana ?
Ibubapa boleh melakukan pencarian melalui internet, iklan-iklan di televisyen,
majalah ataupun suratkhabar mengenai program keusahawanan yang sesuai untuk
anak anda. Program yang terbaik adalah yang menggabungkan aspek teori dan
praktikal supaya anak anda dapat merasai sendiri pengalaman berniaga. Melalui
pengalaman sebenar dalam aktiviti keusahawanan yang mereka sertai, mereka dapat
merasai sendiri cabaran untuk menarik perhatian pelanggan dan teknik terbaik untuk
menjana pendapatan.
11. Kongsikan kisah inspirasi tentang tokoh perniagaan yang telah
berjaya di dalam bisnes mereka
Kongsikan tentang kisah-kisah jutawan dan tips bagaimana mereka mampu sampai ke
tahap tersebut. Terdapat banyak kisah-kisah usahawan yangberjaya di Malaysia dan di
luar negara yang mampu dicontohi oleh anak-anak. Contoh terbaik dan yang paling
dekat dengan kita adalah junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. sendiri.
Antara kisah-kisah tokoh perniagaan yang boleh dicontohi di Malaysia adalah seperti
Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari, jutawan internet Irfan Khairi, jutawan
penerbitan Dato' Hussamuddin Yaacub, jutawan masakan Dato' Chef Wan dan ramai
lagi.
Bagaimana?
Melalui pencarian di dalam internet ataupun majalah bisnes, terdapat pelbagai kisah
tentang ahli perniagaan yang berjaya. Bacakan anak-anak tentang kisah tersebut dan
minta anak anda untuk menyenaraikan sikap positif mereka atau tips yang telah
diberikan oleh ahli perniagaan tersebut sehingga mampu sampai ke tahap yang telah
mereka capai sekarang. Bincangkan juga, apakah rintangan atau dugaan yang
terpaksa dilalui oleh tokoh perniagaan ini sebelum mereka berjaya.
12. Terapkan nilai-nilai murni dalam menjalankan perniagaan
Apabila disebut tentang wang dan perniagaan, tentulah anak-anak anda akan mula
terfikir dan terbayang tentang kekayaan. Nasihatkan kepada mereka supaya
menghindari sifat tamak dan jangan sampai menipu dalam perniagaan. Jangan lupa
ajarkan juga bahawa perniagaan bukanlah untuk mengejar kekayaan semata-mata,
tetapi untuk memperbaiki kehidupan orang lain. Ibubapa juga boleh mendidik anak-
anak supaya rajin bersedekah dan menderma meskipun dengan jumlah yang sedikit.
Tanamkan prinsip-prinsip yang baik serta etika & kerohanian di dalam diri anak-anak
supaya mereka tidak tersasar dari landasan hidup yang betul. Yang pasti, kita bukan
mahukan anak-anak yang hebat di dunia semata-mata, tetapi kita ingin mendidik dan
membentuk anak-anak yang berjaya di dunia dan akhirat.
Bagaimana?
Pada setiap hujung minggu apabila pergi beriadah atau membeli belah, galakkan anak-
anak untuk menderma kepada orang-orang yang memerlukan. Selepas itu tanyakan
jumlah yang mereka dermakan dan bayar dua kali ganda kepada mereka. Ini dapat
mengajar mereka tentang konsep “lebih banyak anda beri, lebih banyak ganjaran yang
anda akan dapat”.
Penutup
Semoga E-book yang ringkas ini dapat membantu ibubapa dalam menggalakkan serta
mendidik anak-anak tentang ilmu asas keusahawanan. Ilmu ini penting untuk diajarkan
kepada anak-anak kerana ianya bukan sahaja menjadi nilai tambah untuk anak-anak anda
tetapi juga dapat membuka minda mereka untuk melihat keusahawanan sebagai satu
pilihan kerjaya yang utama selepas mereka tamat belajar nanti. Ini diharap dapat
mengurangkan kerbergantungan mereka kepada pihak kerajaan atau pihak-pihak lain untuk
menyediakan peluang pekerjaan, sekaligus dapat membantu meningkatkan ekonomi
bangsa dan negara sekiranya dilakukan secara serius.
Jom ikuti kami untuk terus mendapatkan tips-tips berguna tentang bisnes:
Mentor Niaga
Website: http://www.mentorniaga.com/
Like Facebook Page : https://www.facebook.com/MentorNiaga?ref=hl
MyCEO
Website: http://myceo.com.my/
Like Facebook Page : https://www.facebook.com/myceo2015
Rujukan:
Adam, T., & Matthew, T.5 Ways to Teach Your Children to be Kidpreneurs
(Infographic). Sprires, D. (n.d.). 10 Steps to Teaching Your Kids to Become
Entrepreneurs