Apa Itu Solat

13
APA ITU SOLAT ? ( Syariat, Hakikat, Makrifat ) Solat dari takrif bahasa merupakan doa. Pengertian solat dalam syarak pula ialah "beberapa ucapan dan beberapa perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam dan dengannya kita beribadah kepada Allah, menurut syarat-syarat yang telah ditentukan." Takrif solat dari pandangan Ariffbillah pula ialah "solat itu suatu perhubungan yang menghubungkan antara hati dengan Tuhan. Tujuannya untuk MENYATAKAN Tuhan." Ada tiga perkataan penting yang perlu perhatian : 1. Perhubungan 2. Hati 3. Tuhan

Transcript of Apa Itu Solat

APA ITU SOLAT ? ( Syariat, Hakikat, Makrifat )Solat dari takrif bahasa merupakan doa.

Pengertian solat dalam syarak pula ialah "beberapa ucapan dan beberapa perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam dan dengannya kita beribadah kepada Allah, menurut syarat-syarat yang telah ditentukan."

Takrif solat dari pandangan Ariffbillah pula ialah "solat itu suatu perhubungan yang menghubungkan antara hati dengan Tuhan. Tujuannya untuk MENYATAKAN Tuhan."

Ada tiga perkataan penting yang perlu perhatian :

1. Perhubungan2. Hati3. Tuhan

Huraian tafsiran solat dari pandangan Ariffbillah:

Solat itu suatu PERHUBUNGAN.

Apa yang hendak dihubungkan? Menghubungkan Hati dengan Tuhan.

Apa maksud hati? Hati itu Qalbu/Roh. Maka yang hendak dihubungkan adalah Roh dengan TuhanNya.

Siapa yang menghubungkan? Tuhan itu sendiri melalui perantaraan Roh. Tuhan menyatakan diriNya melalui Roh. Roh menyatakan diriNya melalui makhluk (manusia). Manusia menyatakan dirinya melalui jasad. Jasad menyatakan dirinya melalui sel. Sel menyatakan dirinya melalui nukleus. Nukleus menyatakan dirinya melalui atom dan atom itu kembali menyatakan diri TuhanNya. (Tujuh Martabat : Bermula dengan Tuhan dan berakhir dengan Tuhan )

Perhubungan itu boleh membawa maksud menyaksikan, bertemu, berkomunikasi atau berinteraksi. Komunikasi yang baik adalah komunikasi dua hala. Apalah erti komunikasi jika hanya satu pihak saja yang berkomunikasi? Apalah erti pertemuan jika tidak bertemu? Apalah erti berinteraksi jika satu pihak sahaja yang beri reaksi? Apalah erti saksi, jika tidak kenal saksi dan tidak pernah menyaksikan saksi?

Bila telah berkomunikasi, bila telah berinteraksi, bila telah bertemu antara Roh dengan Tuhan, maka akan nyatalah Penyaksian itu. Nyata penyaksian bermakna, nyatalah Tuhan itu. Bila nyata Tuhan, maka tiadalah segala sesuatu melainkan DIA.

Apa tugas makhluk manusia? Untuk beribadah kepada Tuhan.

Apa itu ibadah? Merendahkan, menundukkan dan melenyapkan diri makhluk hingga tidak lagi kelihatan segala sesuatu, zahir dan batin melainkan Allah.

Bagaimana nak merendahkan diri?Buang segala sesuatu yang bersifat makhluk. Bila mati sifat makhluk, maka nyatalah sifat Tuhan. Bila Tuhan telah nyata, maka berhubunglah.

Bagaimana untuk berhubung? Lakukan solat.

Apa itu solat? Suatu perhubungan yang menghubungkan antara hati dengan Tuhan. Tujuannya untuk menyatakan Tuhan.

Bagaimana bersolat (berhubung)? Matikan diri daripada segala sesuatu. Buang segala sifat makhluk. Buang segala nama yang bernama. Buang segala sifat yang bersifat, Buang segala perbuatan yang memperbuat. Buang segala zat yang berzat. Bila segalanya telah dibuang, pulangkan segala sifat itu kembali kepada pemilikNya (Tuhan). Tuhan itulah Nama (Asma') bagi segala yang bernama. Tuhan itulah Sifat bagi segala yang bersifat. Tuhan itulah yang memperbuat segala Perbuatan (Af'al). Tuhan itulah Zat bagi segala yang mempunyai zat. Sebab itulah bila sampai di "haiya alaasolah" kita pun menjawab "laa hau lawala quwwata illa billah..."

Hubung kait pengertian solat syarak dan solat makrifat

Di dalam pengertian syarak, ia lebih menerangkan perihal kaedah atau cara perlakuan solat dari zahir kepada batin, manakala pengertian ariffbillah lebih tertumpu kepada perhubungan dari batin kepada diri batin, tetapi kedua-duanya bermatlamat menuju kepada tujuan yang sama iaitu, Allah.

Syarak atau syariat itu bermakna peraturan, hukum atau undang-undang. Peraturan itu untuk manusia yang bertubuh berjasad yang bersifat zahir ini. Justeru itu pentakrifan syariat itu lebih menyentuh perihal sesuatu yang bersifat zahir kepada manusia. Sesuatu yang zahir itu tidak dapat dizahirkan melainkan ada yang batin. Perkara batin tidak dapat dihuraikan oleh perkara zahir. Hanya batin yang dapat menghuraikan perkara batin. Justeru itu istilah syariat banyak mengandungi kias dan perumpamaan yang perlukan ilmu untuk difahami. Solat dalam takrifan syarak itu ada sedikit kias.

Kiasannya ialah bagaimana perkara zahir (Beberapa ucapan dan beberapa perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam) boleh bersama dengan perkara batin (beribadah kepada Allah)?Hanya perkara batin yang dapat bersama perkara batin. Hanya batin yang mengenal batin. Bagaimana yang zahir boleh mengenal yang batin? Perkara zahir adalah perkara nampak. Perkara batin adalah perkara tak nampak. Bagaimana perkara nampak hendak melihat perkara tak nampak?

Contohnya begini :

Dengan keadaan sedar dan jaga, cuba kita bayangkan sebiji buah manggis yang ranum. Sekarang, cuba kita gerakkan tangan dan cuba kita ambil buah manggis yang dibayangkan itu dengan tangan yang ada. Boleh? Nescaya tidak boleh ! Tangan itu perkara zahir, mana mungkin boleh ambil manggis yang wujud hanya dalam bayangan atau hayalan.

Sekarang, cuba pula kita letakkan diri kita dalam gelombang Alpha atau Theta (berhayal atau mimpi). Dalam hayalan itu, cuba kita ambil manggis tadi, kemudian kita kupas kulitnya, kita makan isinya dan kita rasa sedapnya. Kalau hayalan atau mimpi kita kusyuk, nescaya kita dapat merasakan yang kita benar-benar mengambil, mengupas dan memakan buah manggis itu. Malah, sedapnya rasa manggis itu, seolah-olah benar-benar terasa di tekak.

Contoh ini menyatakan bahawa, mana mungkin perkara batin boleh dirasa oleh perkara zahir. Hanya batin yang dapat mengenal batin. Buah manggis dalam hayalan atau mimpi itu hanya boleh dirasa oleh orang yang berkhayal atau bermimpi. Mana mungkin orang yang sedar boleh merasa manggis yang wujud dalam hayal atau mimpi.

Jika dibawa ke persoalan solat, takrif ariffbillah (makrifat), lebih mirip kepada perkara batin dan takrif syarak (syariat), lebih mirip kepada perkara zahir. Namun kedua-duanya menuju tujuan yang sama, iaitu kepada Allah! cuma, jalannya sahaja yang berbeza.

Perlu diingat, meskipun tujuan jalan syariat dan jalan hakikat itu sama, namun ramai pengikut-pengikut aliran syariat dan ramai juga pengikut-pengikut aliran hakikat tersesat ketika mencari jalan. Sebabnya? kerana mereka itu, kurang ilmu, hanya penuh dengan maklumat sahaja!

Bagaimana kita tahu kita tersesat jalan? Kita tahu kita tersesat, bila kita rasa kita masih tidak kenal dan tak jumpa akan apa yang kita cari. Kita tahu kita tersesat bila kita rasa kita masih tak sampai-sampai ke tempat dituju. Bila kita masih tidak tahu apa itu ikhlas. Bila kita tak pernah rasa dan masih tercari cari apa itu kusyuk. Bila kita masih mengaku, ini aku punya, itu aku buat. Kita tahu kita tersesat bila kita rasa kita "mampu" untuk mengucapkan syukur kepada Allah!!

Makanya, bila kita tahu yang kita telah tersesat dihujung jalan, maka, hendaklah kita balik ke pangkal jalan. Balik ke pangkal jalan itu, adalah balik ke tempat asal, tempat bermulanya perjalanan kita...

Bagaimana kita boleh tersesat jalan? Kita tersesat kerana kita tidak tahu jalan. Tidak tahu jalan kerana kita tidak tahu mencari jalan. Tidak tahu mencari jalan kerana kita tidak faham akan ilmu. Kebanyakan daripada kita menganggap maklumat itu sebagai ilmu. Maklumat tidak akan dapat mengenal dan tidak akan sampai ke tempat tuju (Allah). Untuk maklumat menjadi ilmu, kita perlu tahu teknologi memproses ilmu. Bila kita faham akan teknologi ilmu, maka barulah kita boleh memproses maklumat untuk dijadikan ilmu. Bila tahu cara memproses maklumat, maka barulah makna atau maksud oleh dihasilkan. Bila makna terhasil, maka barulah kita beroleh faham. Bila beroleh faham, barulah mengenal jalan. Bila mengenal jalan, baru tak sesat. Bila tak sesat, barulah sampai ke tempat tujuan. Maka, belajarlah! Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China. Walaupun ulama hadis mengatakan hadis ini palsu dan daif, itu tidak menjadi soal, anggap saja ianya sebagai kata-kata mutiara, kerana kita cuma ingin mengambil ilmu di sebalik kata-kata itu.

Apakah Solat Itu Yang Menjadi Tujuan?

Solat itu bukan menjadi tujuan. Yang menjadi tujuan ialah Allah, tetapi solat (perhubungan) itu WAJIB dilakukan dan tidak boleh ditinggalkan kerana solat adalah perhubungan yang perlu dilakukan untuk menyatakan Allah. Allah menyatakan diriNya melalui perantaraan roh dan roh menyatakan diriNya melalui perantaraan tubuh jasad manusia. Tubuh jasad manusia itu hanya penzahiran atau pantulan (reflextion) roh dan roh itu pula bersumberkan Allah. Maka kalau tidak bersolat, bagimana kita boleh menyatakan Allah? Maka bersolatlah. Jangan tinggalkan solat. Solatlah samada di dalam solat atau di luar solat. Solatlah samada solat di dalam takrifan syariat atau solat di dalam takrifan ariffbillah (makrifat).

Bila nyatanya Allah,maka tertunduklah diri, rendahlah diri, hapuslah diri. Yang Tinggi dan yang Wujud hanya Allah. Inilah ibadah! Inilah solat. Solat yang sentiasa tidak putus. Inilah Solat Daim (Perhubungan yang sentiasa tidak putus). Inilah solat yang tidak berkesudahan bermula dari subuh, habis subuh, sambung ke zohor, habis zohor, sambung ke asar, sambung, ke maghrib,sambung ke isyak dan berbalik ke subuh, tanpa batasan waktu!

Cuma, dalam hendak menyatakan Allah itu, kita perlu ada ilmu bagaimana hendak berhubung. Perlu faham setiap takrifan syariat. Perlu tahu dan faham juga takrifan hakikat dan makrifat. Sebab itu kita perlu kepada banyak guru. Sebab itu kita perlu kepada banyak buku. Guru mengenal Tuhan, tidak semestinya guru agama. Buku mengenal Tuhan juga tidak semestinya buku agama. Guru mengenal Tuhan tak semestinya fasih berbahasa Arab. Guru mengenal Tuhan tidak semestinya bernama ala Arab. Apakah nama Sustarjo, Yuduyono, Kulup, Lebar, Timah, Kiah, Jack, Daniel, Ma Ye Tze, atau Mutthu, itu tidak Islamik? Guru mengenal Tuhan tidak semestinya bergelar al-Ustaz, as-Syeikh, al-Fadhil, al-itu atau al-ini.