Artikel Ekonomi Dan Pengurusan Kewangan

download Artikel Ekonomi Dan Pengurusan Kewangan

of 8

Transcript of Artikel Ekonomi Dan Pengurusan Kewangan

ARTIKEL-ARTIKEL EKONOMI DAN PENGURUSAN KEWANGAN

Berikut adalah beberapa artikel mengenai ekonomi dan kewangan untuk rujukan kita semua.

ARTIKEL 1 - LANGKAH LANGKAH PENGURUSAN KEWANGAN Merancang perbelanjaan adalah langkah pengurusan kewangan yang bijak tidak kira sama ada gaji anda besar ataupun kecil. Di antara kesilapan yang sering dilakukan berkaitan duit ialah terlalu banyak berhutang, lambat membayar bil dan tidak menyimpan wang untuk kegunaan masa depan. Anda boleh mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama dengan mengawasi tabiat berbelanja anda. Urus wang anda dengan bijak melalui langkah berikut :LANGKAH 1 - MENENTUKAN MATLAMAT KEWANGAN ANDA Matlamat kewangan anda seharusnya menggambarkan perkara yang anda ingin kecapi dengan wang anda dalam jangka masa tertentu. Penetapan matlamat ini akan membantu anda memahami nilai sebenar wang dan menggalakkan anda untuk berbelanja dengan lebih bijak. Tetapkan jangka masa untuk merancang dan melaksanakan setiap matlamat anda, sama ada matlamat itu berjangka masa pendek, sederhana atau panjang. Adakah anda merancang untuk .... > Membeli rumah > Membeli kereta > Memulakan keluarga > Menabung untuk pendidikan anak anda > Melancong > Menyediakan perbelanjaan perubatan > Menyimpan wang untuk digunakan setelah bersara LANGKAH 2 - MENJEJAKI KE MANA PERGINYA WANG ANDA Selepas anda menentukan matlamat anda, mulakan dengan membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik agar matlamat anda mudah dicapai. Ingat bahawa matlamat anda buat masa yang terdekat ini bukanlah untuk mengurangkan perbelanjaan tetapi mengenal pasti tabiat berbelanja anda. Melalui pemerhatian ini, anda dapat mengetahui : > Ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang anda > Berapa banyak hutang anda setiap bulan

> Berapa baki wang anda yang masih tinggal di penghujung bulan LANGKAH 3 - MENILAI TABIAT BERBELANJA ANDA Jika wang anda tidak berbaki pada penghujung setiap bulan, sudah tiba masanya anda menilai tabiat berbelanja anda. Teliti semula semua perbelanjaan anda dan tentukan sama ada apa yang telah anda beli ialah barangan yang anda benar-benar perlukan atau hanyalah memenuhi kemahuan anda. Perhatikan sama ada : > Anda menggunakan simpanan untuk membayar bil semasa > Anda memohon pinjaman baru untuk melangsaikan hutang pinjaman lama > Hutang anda lebih besar daripada pendapatan > Anda membeli sesuatu tanpa memikirkan sama ada anda mampu atau tidak LANGKAH 4 - MENULIS RANCANGAN PERBELANJAAN ANDA Pelan perbelanjaan membantu anda merancang kewangan. Anda boleh mengesan ke mana duit anda dibelanjakan seterusnya mengelakkan kebanyakan perbelanjaan tersebut dan mula merancang simpanan anda. Mulakan pelan perbelanjaan anda dengan panduan mudah berikut : > Tentukan jumlah pendapat bulanan anda > Tambah jumlah perbelanjaan termasuklah bil bulanan, bayaran balik pinjaman, sewa, perbelanjaan seharian dan lain lain > Ketepikan sejumlah wang untuk kecemasan dan perbelanjaan bermusim (seperti yuran sekolah, musim perayaan, cukai jalan, pembaharuan insurans dan lain-lain) Sekiranya anda tidak mempunyai lebihan wang tunai untuk disimpan, anda mungkin perlu menyemak semula tabiat berbelanja anda dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan.

ARTIKEL 2 - MENANGANI HUTANG Anda mungkin perlu meminjam daripada institusi perbankan untuk pembelian aset seperti rumah atau kenderaan. Walaupun amalan berhutang tidak semestinya sesuatu yang buruk, anda dinasihatkan agak mengurus wang dan hutang anda secara bijak untuk mengelak daripada mengalami masalah kewangan pada masa hadapan.

APAKAH TAHAP HUTANG ANDA? Untuk mengetahui sama ada anda terlalu banyak berhutang, gunakan nisbah di bawah yang membandingkan nisbah pendapatan bulanan anda dengan pinjaman perumahan, bayaran kad kredit dan ansuran pinjaman kenderaan anda.

Anda harus ingat bahawa pemiutang akan sentiasa merujuk kepada nisbah pendapatan/hutang anda untuk memastikan kedudukan kewangan anda. Oleh itu sentiasa kawal pendapatan dan hutang anda dengan tip-tip berikut : Meminjam secara berhemat Jangan meminjam lebih daripada apa yang anda mampu bayar dengan pendapatan anda. Jika anda mengira tahap kemampuan kewangan anda, jangan lupa untuk menyertakan kos-kos tambahan yang mungkin ada. Contohnya jika anda ingin membeli kereta, anda juga perlu mengambil kira perbelanjaan untuk minyak, bayaran tol dan penyelenggaraan. Urus kad kredit anda dengan bijak Cuba jelaskan baki anda setiap bulan untuk mengelakkan daripada dikenakan faedah. Caj faedah kad kredit selalunya lebih tinggi berbanding jenis-jenis pinjaman lain. Kurangkan hutang anda Cuba kurangkan jumlah hutang anda jika mempunyai wang tambahan untuk mengurangkan caj faedah. Gunakan kaedah pembayaran bil secara automatik. Cari kemudahan pembayaran automatik agar bil anda sentiasa dibayar tepat pada waktunya. Buat belanjawan Sediakan satu belanjawan dan berbelanjalah mengikut pelan itu. Mulakan pelan simpanan anda untuk mengurangkan keperluan untuk meminjam bagi sebarang pembelian kecil. Pelan simpanan ini juga berguna pada waktu kecemasan atau kesusahan, seperti untuk menampung hidup anda jika anda kehilangan kerja.

ARTIKEL 3 - 7 KESILAPAN LAZIM DALAM PENGURUSAN KEWANGAN JIKA anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenal pasti terlebih dulu kesilapan pengurusan kewangan yang lazim dilakukan supaya anda dapat belajar daripadanya. Gagal Merancang Alasan yang selalu diberikan oleh mereka yang tidak merancang kewangan ialah "Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak sempat untuk menguruskan kewangan saya". Sebenarnya, walaupun anda hanya tergolong dalam golongan berpendapatan sederhana, tabiat `merancang kewangan' akan membolehkan anda menjadi seorang berjaya mengumpul kekayaan di kemudian hari kelak. Berbelanja Melebihi Kemampuan Dewasa ini, kita sering berbelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan dan juga iklan di sekeliling kita. Ramai yang sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman. Akibatnya, ramai yang hanya mempunyai baki yang amat sedikit dalam akaun bank di hujung bulan selepas ditolak bayaran pelbagai pinjaman, kad kredit, bil dan sebagainya. Berbelanja Menggunakan Kad Kredit Tabiat beli dulu dan bayar kemudian adalah perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai yang memiliki lebih daripada satu kad. Dengan bayaran minimum setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minimum terbabit, dan tidak menyedari bahawa lama kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung di kemudian hari. Jika tersilap langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian. Justeru, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat. Lewat Menabung Untuk Hari Tua Untuk memulakan persaraan, kita mesti memastikan yang kita mempunyai wang mencukupi bagi menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Bagaimanapun, masih ramai terutama mereka yang sudah hampir bersara, masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan diperlukan. Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah setiap kali gaji naik, perbelanjaan pula yang bertambah. Melabur dalam Produk yang Tidak Bersesuaian Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Untuk memastikan kita melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko dan ganjaran yang diinginkan, kita memerlukan ilmu pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan. Justeru, pastikan anda meneliti ciri sesuatu produk pelaburan berkenaan dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur. Tidak Menabung untuk Waktu Kecemasan Sesetengah orang beranggapan yang membeli insurans adalah perbuatan membazir wang. Tetapi tahukah anda bahawa tanpa

insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama jika kita hilang pendapatan/pekerjaan. Tanpa insurans atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar segera. Terlampau Memikirkan Pasal Wang Dalam usaha memupuk tabiat merancang kewangan, janganlah pula terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa akan perkara lain yang amat bermakna dalam hidup kita seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan dan taulan. Akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri mengenai kepentingan merancang kewangan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada kita. Artikel ini disediakan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC). Sila layari laman web Pelabur Malaysia, www.min.com.my untuk mendapatkan tip pelaburan bijak.

ARTIKEL 4 - PENYALURAN HARTA TIDAK PATUH SYARIAH KE BAITULMAL DAN INSTITUSI ISLAM LAIN Keputusan: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa : Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut: 1. Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya; 2. Diserah kepada golongan fakir miskin; atau 3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. Keterangan/Hujah: 1. Imam al-Nawawi di dalam kaedah penyelesaian harta haram telah menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserah (dibelanjakan) kepada maslahah-maslahah umum umat Islam seperti (membiayai pembinaan atau menyelenggara) jambatan, masjid-masjid, dan seumpamanya yang bersangkut-paut dengan urusan orang Islam. Sekiranya tidak digunakan untuk tujuan kemaslahatan umat Islam, harta haram tersebut diserahkan kepada golongan fakir. 2. Sheikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika ditanya bagaimana mengurus faedah yang terkumpul di dalam bank konvensional, sama ada hanya perlu dibiarkan sahaja berada di dalam bank konvensional tersebut atau sebaliknya, telah menyatakan bahawa: a. Faedah-faedah bank yang terkumpul hukumnya adalah sama seperti harta- harta lain yang diperolehi melalui jalan yang haram. b. Tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan seumpamanya. c. Meninggalkan wang faedah itu di dalam bank konvensional adalah haram secara muktamad. Dasar ini telah dipersetujui di dalam Muktamar Bank Islam Kedua di Kuwait oleh ulama secara ijma. Tindakan tersebut hanya akan mengukuhkan lagi ekonomi bank riba dan dikira sebagai menolong dalam urusan maksiat. Menolong perkara yang haram adalah haram.

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/penyaluran-harta-tidak-patuh-syariah-ke-baitulmal-dan-institusiislam-lain

ARTIKEL 5 - JERANGKAP KAD KREDIT@NAFSU HUTANG KONSEP KAD KREDIT Jika dilihat definisi kad kredit, kita akan memahami ia adalah sekeping kad plastik yang diberikan oleh pengeluarnya sama ada bank atau Institusi Kewangan setelahd iyakini pemohon mempunyai kemampuan untuk membayar hutang-hutang yang bakal dibuat melalui penggunaan kad tersebut. Melalui kad tersebut, pemilik kad boleh berbelanja sehingga tahap kredit bulanan (monthlycredit limit) yang dibenarkan. Hubungan di antara pengguna dan pengeluar kad adalah hutang. Pihak pengeluar akan membayar jumlah pembelian yang dibuat kepada penjual (peniaga). Kemudian, sebagai balasan, pihak peniaga perlu membayar kepada pengeluar kad sebanyak 1 hingga 3 % dari jumlah barang yang dibeli sebagai komisyen, manakala pengguna pula perlu membayar semula hutang tadi beserta caj riba yang mahal, iaitu17.5 % setiap tahun. Kredit kad adalah sama seperti Ah Long (Loan Shark) Itulah yang dikatakan oleh Dr. Elizabeth Warren, Professor Undang-undang yang pakar di dalam bidang kewangan di Havard University, USA. Bezanya,ia diatur secara lebih tersusun dan professional, tidak seperti Ah Long yang beroperasi secara gelap dan berbau jenayah. Namun hakikatnya, kedua-duanya adalah sama dari sudut caj dan kezalimannya. KAD KREDIT ADALAH KAD NAFSU Darisudut objektif, kad ini boleh dikatakan amat tidak menepati kehendak Islam kerana :1) Menggalakkan Leverage Melampau (menggandakan kemampuan pembelian melalui hutang) Kewujudan kad kredit hanya menggalakkan pengguna untuk berbelanja melebihi kemampuan kewangan bulanannya. Manakan tidak, saya masih ingat seorang rakan saya yang berpendapatan sekadar RM 4,000 sebulan, dengan tanggungan rumah, keluarga dan kereta setiap bulan, masih diluluskan oleh bank untuk menerima kad kredit dengan had penggunaan (credit limit) sebanyak RM 8,000 sebulan. Sebagaimana disebutkan oleh Professor Elizabeth juga, pengeluar kad juga biasanya mensasarkan golongan pertengahan (middle class) yang berpotensi besar untuk menangguh bayaran serta tidak berkemampuan membayar penuh setiap bulan. Hari ini, individu yang berpendapatan RM 2,500 sudah layak memilik sekeping kad kredit. Kredit limitnya sudah pasti melebih jumlah pemdapatan bulanannya. Belum lagi ditolak lain-lain beban kewangan bulanannya. Kad ini juga boleh dianggap sebagai sekeping kad plastik untuk melayan nafsu berbelanja secara tidak terkawal., Ini kerana ia tentunya merangsang nafsu berbelanja ramai pemiliknya, pada awalnya mungkin mereka mampu mengawal perbelanjaan namun lama-kelamaan mereka tewas dalam mengawal nafsu membeli belah dan menangguhbayaran. Kad kredit ini tidak ubah seumpama sebuah perangkap dan jerangkap samar yang hanyamenunggu sedikit kelalaian pengguna, tatkala itu kesakitan yang akan ditinggalkannya adalah pedih dan amat sukar diubati. 2) Kad yang sengaja menggalakan pemilik melewatkan bayaran ; Kad ini juga sememangnya direka cipta untuk memerangkap pengguna. Saya mengatakan demikian kerana, kerangka asas kad ini adalah pengguna HANYA diminta untuk membuat bayaran bulanan hanya 3-5 % dari jumlah penggunaan bulannnya. Jika semua jumlah yang digunakan dilangsaikan sebelum tempoh grace period (biasanya 20 hari), pengguna tidak akan dikenakan sebarang caj. Sebarang tangguhan bayaran melebihi 20 hari, caj interest RIBA yang tinggi akan dikenakan. Di Malaysia cajnya hasil peraturan yang dikenakan oleh bank Negara Malaysia, caj interest kad kredit di Negara ini seperti berikut :-

No. of prompt Interest Rate payment in the past 12 months Tier 1 12 consecutive 13.5% months at least 10 Others 16% 17.5%

Tier 2 Tier 3

Keterangannya Tier-1 : Caj tahunan yang dikenakan bagi pemegang kad yang secara konsisten melangsaikan bayaran minimum secara berturut-turut selama 12 bulan yang sebelumnya dalam tempoh dibenarkan. Tier-2 : Caj interest tahunan yang dikenakan bagi pemegang kad yang melangsaikan bayaran minimum selama 10 bulan dalam setahun, Tier-3 : Caj yang dikenakan bagi semua pemeganga yang tidak menepati dua ciri di atas. Boleh difahami dari jadual di atas, bagi mereka yang gagal melangsaikan bayaran minimum secara konsisten akan menderita dengan kadar riba yang lebih tinggi berbanding mereka yang konsisten membayar. Pun begitu, kadar caj interest terendah bagi bank-bank pengeluar kad di Malaysia adalah 13.5 % dan tertinggi adalah 17.5 %. Itu adalah setelah peraturan baru yang dikeluarkan oleh bank Negara Malaysia. Perlu disedari caj tersebut amat lah tinggi dan tersangat merugikan. Pembaca boleh melihat sendiri bagaimana caj yang dikenakan oleh HSBC bank di link INI. Manakala Standard Chartered Bank seperti berikut PULA Perlu difahami, jumlah yang dituntut bayar setiap bulan oleh pihak bank biasanya hanya 5 peratus dari jumlah penggunaan bulanan, manakala jumlah interest sebanyak 1.46 peratus setiap bulan (atau 17.5 % tahunan) itu akan dikenakan kepada semua pokok hutang atau jumlah tertunggak. Sekarang cuba bayangkan, ruginya mereka yang membeli belah dengan menggunakan kad kredit dan kemudian membiarkan caj berbelas peratus itu dikenakan ke atas mereka. Jika pengguna faham dan sedar, bermakna setiap pembelian pengguna akan lebih mahal berbanding pembayaran yang dibuat secara tunai atau menggunakan debit kad. CONTOH KIRAAN MUDAH Sekali lagi, ini bermakna, pembeli yang membeli menggunakan kad kredit membayar secara purata adalah 17.5 % tahunan (iaitu sama dengan 1.46 peratus bulanan) berbanding pembeli secara tunai. Sebagai contoh kiraan mudah faham, katalah Ah Chong berbelanja menggunakan kad kredit sebanyak RM 10,000 (nilai pokok pinjaman) pada bulan Januari, dia perlu membayar semula jumlah tersebutditambah 1.46 peratus setiap bulan iaitu RM 146. Memang benar, ia kelihatan kecil, tetapi cuba fahamkan bahawa jumlah tersebut bersifat compounding atau akan masuk di dalam jumlah pokok. Katalah Ah Chong tidak membayar jumlah minima wajib 5 % setiap bulan. Maka akibatnya pada bulan Januari, jumlah pokok yang perlu dibayar meningkat kepada RM 10,146. Pada bulan Februari, jika jumlah tersebut dibiarkan, lagi 1.46 peratus dikenakan dari jumlah baki terkumpul yang baru iaitu 1.46 peratus x RM 10,146 = RM 148.13. Pada bulan Mac, jumlah pokok terkumpul sudah berubah menjadi RM 10,146 + RM 148.13 = RM 10,294.13. Begitulah kiraan dipermudah bagi caj interest bulanan sehinggalah semua jumlah tertunggak itu diselesaikan. Akibat dari cara kiraan sebegini sekitar 30 peratus pemilik kad kredit jatuh muflis, kebanyakkannya dari kalangan eksekutif muda yang tidak dapat mengawal runtunan nafsu berbelanja dan kurang displin dalam membayar hutang.

Menurut statistik yang diperolehi oleh BNM, jumlah hutang kad kredit ini bertambah 20 peratus pada setiap tahun.Dengan kadar faedah 1.5 peratus sebulan. Bank-bank Malaysia dengan mudah mendapat keuntungan faedah berjumlah RM159 juta setiap tahun tidak termasuk caj-caj untuk perkhidmatan lain seperti caj pengeluaran tunai (5%) dan caj lambat bayar (RM5). Mujurlah di Malaysia, BNM menghadkan caj interset maksimum kepada 17.5 % setahun sahaja, bayangkan di Negara lain seperti Amerika, caj tersebut boleh meningkat kepada 40 %, malah pihak bank di sana sentiasa mendesak kerajaan agar menghapuskan kadar maksimum interest bagi kad kredit. Bayangkah betapa ruginya menggunakan kad kredit dari sudut kiraan duit, lebih mendukacitakan, mereka juga dikira terjebak dengan dosa riba yang maha besar setiap kali penggunaannya. Sudahlah rugi dari perspektif kewangan, rugi juga dari sudut spiritual. Kerana itu, saya tidak sama sekali menggunakan kad kredit. Sehingga hari ini, saya tidak memilik satu pun kad kredit walaupun ia kad kredit yang diolah secara Islam. Cukuplah memadai dengan kad caj Islam dan kad debit Islam saya gunakan bagi segala macam urusan. TIADA LAGI 20 HARI GRACE PERIOD TANPA RIBA Kalau dahulu, pihak pengeluar kad memberikan tempoh 20 hari setiap bulan sebagai tempoh NO CAJ NO INTEREST jika dibayar jumlah minimum 5 peratus. Namun bermulahujung tahun 2008, Bank Negara Malaysia telah memansuhkan undang-undang terbabit bagi merendahkan kadar interest yang lain. Justeru kini, hanya mereka yang membuat full repayment sebelum tamat tempoh 20 hari itu sahaja yang terkecuali dari caj interest dalam jadual di atas. Yang lain tidak lagi terselamat sebagaimana dahulu. Baca di SINI CAJ LAIN Selain dari caj-caj utama yang disebutkan di atas, caj lain juga adakalanya perlu disemak sebaiknya. antara caj yang dikenakan oleh pengeluar kad kredit adalah : Caj kelewatan pembayaran iaitu 1 % dari jumlah tertunggak atau maksimum RM 100. Yuran tahunan, namun sebahagian pengeluar kad menyerap kos ini bagi menjadikan kad mereka lebih menarik. Caj bagi pembelian antarabangsa samada jika pengguna membeli di luar Negara atau membeli barangan luar Negara melalui internet. HSBC dan Maybank mengenakan caj sebanyak 1.25 % dari nilai harga belian luar negara terbabit. Caj 5 % apabila membuat belian terlebih dari had kredit yang dibenarkan. Di Amerika Syarikat, difahamkan ada pihak pengeluar sengaja merendahkan jumlah had kredit tanpa memaklumkan kepada pelanggan dengan niat sengaja memerangkap pelanggan dengan caj ini. Di Malaysia saya tidak pasti, namun ada baiknya pembaca menyemak sendiri dengan pengeluar kad masing-masing. Ia dipanggil overlimit fees. HSBC mengenakan kos caj sebanyak RM 25 sebulan. Sebahagian pengeluar mengenakan cash advances fees. HSBC mengenakan caj sebanyak 5 % dari jumlah tunai yang dikeluarkan atau RM 5 minimum. Selain cash advance fee, cash advances itu sendiri dikenakan caj yang tersendiri iaitu 18 % dari jumlah yang dikeluarkan, itu adalah caj yang dikenakan oleh HSBC sebagai contoh.

KESIMPULAN Demikian sifat sekeping kad kredit yang sering dibanggai oleh pemiliknya bagi menunjuk kemewahan diri namun hakikatnya ia hanya sekeping kad hutang yang menunjukkan potensi diri pemiliknya untuk jatuh muflis, atau menunjukkan pemiliknya yang lebih suka membayar sesuatu dengan harga yang lebih mahal, suka berhutang, cenderung berbelanja melebihi pendapatan. Itulah juga kad kredit, sekeping kad yang disediakan untuk melayan kebuasan nafsu membeli dan berhutang manusia dan mengambil kesempatan atas kelemahan itu. Diberinya kemudahan membeli sehingga melebih kemampuan pendapatan, malangnya dikenakan caj yang tinggi, adakalanya kurang difahami cara kiraannya oleh pengguna itu sendiri, lalu bertambahlah malang. Akhirnya, saya nasihatkan hentikanlah penggunaan kad kredit dan berpindahlah kepada Kad Caj Islam dan Debit kad Islam sahaja.

Hapuskanlah kad kredit anda, khususnya apabila ia sekeping kad kredit dari bank konvensional kerana ia adalah riba menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa. Walau hutang diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh 20 hari yang diberi, riba tetap mengenai pengguna, ia adalah kerana setiap penggunaan menyebabkan peniaga perlu membayar komisyen 1-3 peratus kepada pengeluar kad. Hasilya, setiap penggunaan kad kredit konvensional dianggap bantuan dan sokongan secara langsung kepada industri kad nafsu berteraskan riba. Insafilah dan beringatlah sebelum terlambat. Moga kita diberikan kekuatan untuk bertindak dan memotong kad-kad kredit kita.