Bab 03

22
41 BAB 3 ETIKA DALAM PERKHIDMATAN AWAM OBJEKTIF BAB Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Menerangkan Tonggak 12. 2. Menjelaskan Teras Perkhidmatan Awam dalam dasar-dasar kerajaan. 3. Membezakan Etika Perkhidmatan Awam di Amerika Syarikat dan Malaysia. 3.1 PENGENALAN Peranan dan nilai etika kerja penting dalam pentadbiran sesebuah negara kerana kedua-duanya mempunyai pengaruh yang besar ke atas pembinaan peribadi yang berakhlak tinggi. Bagi menjamin amalan dan pencapaian nilai dan etika kerja itu, maka setiap individu dalam Perkhidmatan Awam bertanggungjawab memahami dan mengamalkan nilai dan etika kerja dalam semua tindakan dan tingkah laku mereka semasa menjalankan tugas masing- masing. 3.2 USAHA-USAHA PEMBENTUKAN DAN PENERAPAN NILAI DAN ETIKA KERJA Program penerapan nilai dan etika dalam Perkhidmatan Awam ada dinyatakan dalam Tonggak 12 juga merangkumi lima aspek berikut: (i) Nilai-nilai peribadi asas iaitu amanah, bertanggungjawab, ikhlas, berdedikasi, berdisiplin, bekerjasama, bersih, tekun dan sederhana. (ii) Nilai-nilai yang mengutamakan pelanggan iaitu berbudi mulia, bersabar, sopan santun dan peramah. (iii) Nilai-nilai kepimpinan iaitu adil, berani dan syura. (iv) Nilai-nilai profesionalisme, iaitu produktiviti dan kualiti. (v) Nilai-nilai keagamaan iaitu bersyukur, beriman dan bertakwa. 3.2.1 Tonggak 12 Tonggak 12 mengandungi 12 prinsip yakni menghargai masa, ketekunan membawa kejayaan, keseronokan bekerja, kemuliaan kesederhanaan, ketinggian peribadi, kekuatan sifat baik hati, pengaruh teladan, kewajipan menjalankan tugas, kebijaksanaan berkhidmat, keutamaan kesabaran, peningkatan bakat dan nikmat mencipta.

Transcript of Bab 03

  • 41

    BAB 3

    ETIKA DALAM PERKHIDMATAN AWAM

    OBJEKTIF BAB

    Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Menerangkan Tonggak 12. 2. Menjelaskan Teras Perkhidmatan Awam dalam dasar-dasar

    kerajaan. 3. Membezakan Etika Perkhidmatan Awam di Amerika Syarikat

    dan Malaysia.

    3.1 PENGENALAN Peranan dan nilai etika kerja penting dalam pentadbiran sesebuah negara kerana kedua-duanya mempunyai pengaruh yang besar ke atas pembinaan peribadi yang berakhlak tinggi. Bagi menjamin amalan dan pencapaian nilai dan etika kerja itu, maka setiap individu dalam Perkhidmatan Awam bertanggungjawab memahami dan mengamalkan nilai dan etika kerja dalam semua tindakan dan tingkah laku mereka semasa menjalankan tugas masing-masing. 3.2 USAHA-USAHA PEMBENTUKAN DAN PENERAPAN

    NILAI DAN ETIKA KERJA Program penerapan nilai dan etika dalam Perkhidmatan Awam ada dinyatakan dalam Tonggak 12 juga merangkumi lima aspek berikut: (i) Nilai-nilai peribadi asas iaitu amanah, bertanggungjawab, ikhlas,

    berdedikasi, berdisiplin, bekerjasama, bersih, tekun dan sederhana. (ii) Nilai-nilai yang mengutamakan pelanggan iaitu berbudi mulia,

    bersabar, sopan santun dan peramah. (iii) Nilai-nilai kepimpinan iaitu adil, berani dan syura. (iv) Nilai-nilai profesionalisme, iaitu produktiviti dan kualiti. (v) Nilai-nilai keagamaan iaitu bersyukur, beriman dan bertakwa. 3.2.1 Tonggak 12 Tonggak 12 mengandungi 12 prinsip yakni menghargai masa, ketekunan membawa kejayaan, keseronokan bekerja, kemuliaan kesederhanaan, ketinggian peribadi, kekuatan sifat baik hati, pengaruh teladan, kewajipan menjalankan tugas, kebijaksanaan berkhidmat, keutamaan kesabaran, peningkatan bakat dan nikmat mencipta.

  • 42

    (a) Menghargai masa Amalan positif di bawah prinsip pertama ini adalah seperti menepati masa, menyegerakan tugas yang dipertanggungjawabkan, mempunyai perancangan waktu yang sistematik, bijak menguruskan tempoh masa yang diberikan, menumpukan masa pada kerja-kerja yang produktif dan kreatif, menetapkan tarikh sasaran (target date) untuk menyiapkan kerja dan menyelesaikan tugas dalam masa yang ditetapkan. Manakala amalan negatifnya termasuk berbual-bual kosong, tidak menyegerakan tugas, tiada sense of urgency, tidak merancang pekerjaan, tidak ada keutamaan (priority), melayan tetamu yang tidak berkenaan, meninggalkan pejabat untuk urusan peribadi dan ke kantin dalam waktu bertugas. (b) Ketekunan membawa kejayaan Amalan positif yang disenaraikan di bawah prinsip kedua pula ialah gigih dalam melaksanakan tugas yang mencabar, rajin dan sentiasa berusaha, sabar dalam menghadapi cabaran pekerjaan, berpandangan jauh, bersemangat dalam melaksanakan tugas yang diarahkan, dedikasi dalam mencapai matlamat organisasi, sanggup berkorban, cekal menghadapi kesulitan semasa bertugas, tidak patah semangat dan bercita-cita tinggi. Sementara amalan negatifnya ialah mudah tersinggung, kurang berdisiplin, mudah putus asa, tidak tekun, mudah mengalah, tidak bercita-cita tinggi, tidak bersemangat, tidak tahan dimarahi, tiada inisiatif, tidak kreatif, suka bertangguh dan buat bila diarah saja bukan sebaliknya. (c) Keseronokan bekerja Amalan positifnya ialah menganggap kerja sebagi ibadat, mempunyai inisiatif sendiri, menghasilkan sesuatu yang berfaedah, mempunyai komitmen terhadap kerja dan sedia memberi kerjasama. Amalan negatifnya pula termasuk menganggap kerja sebagai beban, tidak komited, hanya menunggu arahan, tidak suka menolong dan tidak boleh dipercayai dan justeru itu selalu dicurigai. (d) Kemuliaan kesederhanaan Amalan positifnya ialah jelas dan jitu dalam pemikiran, penulisan dan percakapan, tidak tamakkan pangkat dan kedudukan, tidak membazir dalam perbelanjaan pejabat, bersifat pemaaf dalam pergaulan, boleh menerima teguran, berlaku adil dalam semua tindakan, menepati janji, sedia menerima cadangan dan nasihat, jujur dan ikhlas, merendah diri, bijaksana dalam membuat pertimbangan dan bermaruah serta berhemah tinggi.

  • 43

    Amalan negatifnya pula ialah menonjol-nonjolkan diri, bercakap dengan menggunakan perkataan bombastik, berkelakuan mengada-ngada, sombong dan meninggi diri, menyukarkan persoalan yang mudah, membesar-besarkan perkara kecil, kedekut atau berlebihan dalam memenuhi keperluan organisasi, berlebihan mengampu ketua, memperagakan kemewahan dan merosakkan harta kerajaan, kerap menghias diri di pejabat, dan bersifat melampau dan keterlaluan dalam semua hal. (e) Ketinggian peribadi Amalan positifnya termasuklah teguh beriman dan bertakwa dalam setiap tindakan, menyempurnakan tugas dan amanah, bersifat ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab, berilmu dan berpengetahuan luas, mengutamakan keadilan dalam setiap perbuatan, sedia berkorban, berlumba-lumba membuat kebajikan, kemas dalam berpakaian, pemikiran dan tindakan, bersifat penyayang, sabar dan teguh menghadapi cabaran, bertimbang rasa tetapi tegas, bersopan santun serta sederhana dalam kelakuan, taat setia dan patuh kepada arahan, bersyukur dan menghargai kebaikan, bersih daripada sifat dengki, bertanggungjawab dan sedia berbakti, jimat cermat dalam segala aspek, tertib dan baik budi bicara, cergas dan cekap dalam menjalankan tugas, cekal menghadapi cabaran, bekerjasama dan saling hormat-menghormati dan berani serta berpendirian teguh. Amalan negatif pula termasuklah selalu berpura-pura dalam tindakan, bersikap sombong dan suka menunjuk-nunjuk, sukar untuk membuat kebajikan, suka mengumpat dan memfitnah rakan sejawat, tamak dalam mengejar pangkat dan kedudukan, gopoh dalam bertindak, mengampu untuk mendapat pujian dan sanjungan, mungkir janji, suka menghina dan merendahkan usaha orang lain, pemarah dan tidak sabar, khianat dalam melaksanakan tugas, berdendam serta hasad dengki, bersungguh-sungguh mempertahankan kelemahan dan keburukan diri, suka membangkang tanpa cadangan untuk memperbaikinya, mementingkan diri sendiri, lembap dan malas berusaha, pengotor dan selekeh dalam pembawaan, tidak boleh dipercayai dan tidak amanah, tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri, suka membuat janji palsu, bersikap birokratik dan autokratik dalam membuat keputusan. (f) Kekuatan sifat baik hati Amalan positifnya termasuklah bersopan santun setiap masa, pemaaf dan berhemah tinggi, simpati kepada kesusahan dan masalah orang lain, ikhlas dan bertimbang rasa, pemurah dalam usaha kebaikan, mudah mesra dan bekerjasama, merendah diri, berbudi mulia, boleh menerima teguran, berlaku adil dalam semua tindakan dan sedia menerima cadangan. Amalan negatifnya pula termasuklah kasar dan kurang sopan, berdendam apabila tidak mendapat sesuatu kemahuan, bersikap tidak peduli terhadap teguran dan nasihat, tidak bertimbang rasa, mementingkan diri sendiri,

  • 44

    sombong, bongkak dan membesar-besar diri, bermuka-muka, cepat menghukum tanpa siasatan, cepat menuduh tanpa siasatan, suka mencaci, tidak boleh menerima kritikan, cepat membuat kritikan dan suka menghina orang. (g) Pengaruh teladan Amalan positifnya termasuklah sentiasa berkelakuan baik, tidak tamak kepada harta dan kedudukan, bermoral dan berakhlak tinggi, tertib dan beradab sepanjang masa, rajin dan kuat bekerja, amanah dan bertanggungjawab, jujur dan ikhlas dalam setiap usaha, mengutamakan masyarakat lebih daripada diri sendiri, berpandangan jauh, berdisiplin dalam semua tindakan, sanggup berkorban setiap ketika, gemar dan cintakan ilmu yang bermanfaat. Amalan negatifnya pula termasuk buruk perangai dan tingkah laku, jahil, tidak suka membaca, hasad dengki dan buruk sangka, mempersendakan agama, kedekut dan bakhil, suka mencari helah untuk mengelak tanggungjawab, suka mengumpat dan mengadu domba, terlalu sensitif dan cepat marah, tidak kenal budaya sendiri, hipokrit serta berpura-pura dan tidak berpandangan jauh. (h) Kewajipan menjalankan tugas Amalan positifnya termasuk sentiasa bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan, tekun dan sabar menjalankan tugas, selalu mempunyai inisiatif sendiri, boleh diharapkan untuk menyempurnakan tugas, mementingkan kualiti, cergas dan pantas bekerja, cermat, berdisiplin dalam segala perkara, bertanggungjawab (accountable), sentiasa belajar daripada kesalahan, bersikap profesional dan cekap. Amalan negatifnya ialah mudah menyeleweng daripada tanggungjawab, tidak boleh diharapkan, suka membangkang atau berdalih apabila diberi tugas, tidak taat kepada arahan, tidak bersungguh-sungguh, suka bertangguh, mengelak daripada tanggungjawab, tidak peka kepada kualiti, bekerja sambil lewa dan sentiasa membuat kesilapan kerja. (i) Kebijaksanaan berhemat Amalan positifnya ialah berhati-hati apabila berbelanja, tidak membazir harta kerajaan, tahu membezakan antara keperluan dengan kemewahan, menyelenggara harta benda kerajaan dengan baik, bertanggungjawab terhadap perbelanjaan yang dilakukan, mengadakan sistem kewangan yang berkesan dan menyedari bahawa hasil kerajaan datang daripada rakyat. Amalan negatifnya pula ialah boros dan suka membazir, memperaga kehebatan dan kemewahan, suka bermewah dengan harta kerajaan, tidak

  • 45

    cermat dengan harta kerajaan, suka berbelanja besar tidak kena pada tempatnya, kurang peka dan bakhil kepada keperluan awam.

    (j) Keutamaan kesabaran Amalan positifnya ialah tenang menghadapi masalah rumit, mempunyai perhitungan jauh, tahan menerima cabaran, tidak putus asa, pemaaf dan berhemah tinggi, serta cermat dalam tutur kata. Amalan negatifnya pula ialah selalu mengubah pendirian dan keputusan, tidak sanggup berkorban, takut kepada cabaran, lekas mengalah, berpandangan sempit dan tidak tahan menghadapi kesusahan. (k) Peningkatan bakat Amalan positifnya ialah memberi dorongan terhadap kreativiti, memberi pengiktirafan kepada usaha-usaha original, memberi galakan kepada pemikiran baru, berani mencuba idea-idea baru, memperkenalkan bakat-bakat yang ada, memupuk bakat-bakat yang ada dan menyediakan persekitaran serta suasana yang dapat melahirkan idea-idea kreatif. Amalan negatifnya ialah menyekat pemikiran baru, tidak menggalakkan percubaan, tidak mencuba sesuatu yang baru, tidak menghargai bakat yang ada, memperkecilkan usaha-usaha original, mengekalkan suasana yang tidak menggalakkan kreativiti dan berpuas hati dengan tahap bakat yang ada. (l) Nikmat mencipta Amalan positifnya temasuk berasa puas kerana sesuatu idea atau cadangan dapat dilaksanakan dan dimanfaatkan, sentiasa berada dalam cabaran intelektual, sentiasa mencari idea dan kaedah baru dalam menyelesaikan masalah, bersemangat (overzealous) dalam pekerjaan, gembira melihat wujudnya idea dan kaedah baru dalam pentadbiran dan senang bermain dengan idea dan berani mencuba. Amalan negatifnya termasuk berpuas hati dengan kedudukan yang sedia ada, takut menemui kegagalan, memandang remeh usaha orang lain, pemikiran tidak dinamik, mempertahankan status quo secara membuta tuli, tidak suka pembaharuan dan tidak sabar dalam penciptaan baru. 3.2.2 Nilai-Nilai Peribadi Asas Nilai-nilai amanah, bertanggungjawab, ikhlas, berdedikasi, berdisiplin, bekerjasama, bersih, tekun dan sederhana merupakan nilai asas yang perlu ada pada setiap anggota Perkhidmatan Awam. Seandainya nilai-nilai ini diketepikan sudah tentu ia akan merosakkan seluruh perjalanan pentadbiran negara. Seseorang anggota Perkhidmatan Awam dikehendaki melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya secara amanah, ikhlas dan bersih; amanah dan

  • 46

    ikhlas ialah satu nilai yang dapat dilihat melalui tindakan seperti menggunakan masa dengan sebaik-baiknya, membelanjakan harta awam mengikut peraturan yang ditentukan dan jauh sekali melakukan pembaziran dan rasuah serta menyiapkan kerja mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Seseorang anggota yang dapat menyempurnakan tugas dan tanggungjawabnya tanpa pengawasan merupakan seorang yang menghayati nilai amanah. Bersih pula dimaksudkan sebagai kebersihan moral atau fizikal. Kebersihan moral bermakna sentiasa berfikiran bersih dalam apa jua tugas yang dilakukan. Segalanya dilakukan dengan niat yang baik dan murni, tidak sombong, angkuh ataupun terlibat dengan sebarang jenayah dan rasuah. Nilai-nilai tekun, dedikasi, berdisiplin, bekerjasama dan sederhana merupakan asas penting untuk menghasilkan kerja yang cemerlang. Melalui pengamalan nilai-nilai ini, anggota Perkhidmatan Awam akan dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja yang cemerlang. Nilai tekun juga merupakan faktor yang menentukan kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi. 3.2.3 Nilai-Nilai Keagamaan Nilai-nilai yang berteraskan ajaran agama sebenarnya merupakan tunjang kepada nilai-nilai lain. Penjawat awam yang berpegang teguh kepada agama masing-masing akan dapat mencegah dan menghindarkan diri mereka daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai murni. Malahan ia akan mendorong mereka untuk bekerja dengan lebih gigih dan tekun ke arah peningkatan produktiviti dan kualiti. 3.2.4 Nilai-Nilai yang Mengutamakan Pelanggan Penjawat awam yang berurusan dengan orang ramai terutama yang berkhidmat di kaunter, dikehendaki memiliki sifat-sifat tertentu seperti ceria, peramah, sabar dan sentiasa kelihatan bersedia melayani pelanggan. Nilai-nilai yang perlu diamalkan oleh penjawat awam ialah bersopan-santun, berbudi mulia, bersabar, peramah dan bertimbang rasa. Mereka dikehendaki bersedia membantu orang ramai atau pelanggan dan dapat memberikan perkhidmatan yang cekap, pantas dan berkualiti. Selaras dengan itu Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bil 10 Tahun 1991 Panduan mengenai Peningkatan Kualiti Perkhidmatan Kaunter dan PKPA Bil 3 Tahun 1993 Piagam Pelanggan telah dilaksanakan. Anggota-anggota Perkhidmatan Awam harus memberi keutamaan kepada nilai-nilai bersopan-santun, berbudi bahasa, berbudi mulia, bekerjasama, cekap, pantas serta memenuhi dan mengutamakan kehendak pelanggan. 3.2.5 Nilai-Nilai Kepimpinan Seseorang pemimpin yang baik bukan hanya terletak kepada kuasa mutlak atau perundangan yang ada padanya atau keupayaan mendorong,

  • 47

    merancang, membangun dan menggembleng kerja dan kepakaran bagi mencapai matlamat organisasi. Tetapi pemimpin juga harus memiliki nilai dan etika kerja yang menampilkan keunggulannya sebagai pemimpin. Pemimpin yang berakhlak tinggi mempunyai nilai-nilai seperti adil, bijaksana, tegas, berani, bertanggungjawab, sabar, boleh dipercayai dan baik hati. Setiap pemimpin perlu menunjukkan teladan yang baik kepada orang di bawahnya. Seperti kata-kata sahabat Rasulullah s.a.w. Saidina Ali bin Abi Talib yang pernah berpesan:

    Barangsiapa yang menjadikan dirinya pemimpin, maka hendaklah ia mengajar dirinya terlebih dahulu sebelum ia mengajar orang lain. Hendaklah ia membentuk mereka dengan contoh perbuatannya sendiri sebelum membentuk mereka dengan lidahnya.

    Manakala Saidina Omar Al-Khatab r.a pula pernah mengatakan

    Pegawai yang paling baik ialah di mana orang-orang di bawahnya gembira dengannya dan yang paling buruk ialah di mana orang-orang di bawahnya merungut dengannya."

    3.2.6 Nilai-Nilai Profesionalisme Nilai profesionalisme yang sangat penting ialah berilmu atau berpengetahuan dan mempunyai kemahiran dalam bidang-bidang tertentu seperti pengurusan, teknologi maklumat, komunikasi dan sebagainya. Di samping itu, mereka juga perlu memiliki nilai-nilai seperti kreatif, inovatif, bermotivasi, akauntabiliti dan intergriti. Bagi mewujudkan anggota Perkhidmatan Awam yang mempunyai nilai-nilai tersebut, Perkihdmatan Awam menggalakkan dan menganjurkan berbagai kursus dan seminar serta membuka peluang kepada anggotanya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti Diploma, Sarjana dan Doktor Falsafah, PKPA Bil 3 1991 menyentuh mengenai Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam dan PKPA Bil 6 Tahun 1991 tentang Panduan mengenai peningkatan produktiviti dalam Perkhidmatan Awam bertujuan untuk mendorong penjawat awam supaya lebih kreatif, inovatif, produktif dan bermotivasi tinggi. Di samping itu, PKPA Bil 3 Tahun 1992 mengenai Garis panduan Sistem Perakaunan Mikro bertujuan untuk membantu meningkatkan akauntabiliti dan intergriti dalam pengurusan kewangan di agensi-agensi kerajaan. Konsep akauntabiliti yang ditekankan ini penting bagi menentukan supaya pelaksanaan tugas dapat dijalankan mengikut peraturan dan arahan yang ditetapkan.

  • 48

    Perkhidmatan Awam terus memberi penekanan kepada program Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada individu-individu yang memberikan perkhidmatan cemerlang. Ia dilaksanakan melalui PKPA Bil 2 Tahun 1993 Panduan mengenai pemberian anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perkhidmatan Awam. Program ini bertujuan mendorong serta menggalakkan penjawat awam untuk meningkatkan usaha dan menjalankan tugas dengan bersunguh-sungguh supaya dapat mewujudkan Perkhidmatan Awam yang cemerlang. Perkhidmatan Awam juga terus memberi penghargaan kepada individu dan agensi kerajaan yang memberikan perkhidmatan cemerlang melalui pemberian anugerah. Program ini bertujuan untuk menggalakkan penjawat awam bekerja dalam satu pasukan dan bekerjasama dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

    3.2.7 Nilai Produktiviti dan Kualiti Perkhidmatan Awam menjalankan pelbagai usaha untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti. Usaha-usaha dilihat melalui perlaksanaan PKPA Bil 4 Tahun 1991 iaitu Garis panduan mengenai strategi-strategi peningkatan Kualiti Dalam Perkhidmatan awam dan PKPA Bil 1 Tahun 1992 mengenai Panduan Pengurusan Kualiti Menyeluruh. Semua ini memberi panduan dan menganjurkan penjawat awam supaya berusaha meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan masing-masing secara berterusan dan penambahbaikan kualiti secara menyeluruh iaitu meliputi sikap dan nilai, sistem prosedur, amalan-amalan operasi, struktur organisasi dan sebagainya. Bagi menentukan sejauh manakah kejayaan individu atau organisasi dalam usaha menambahkan produktiviti dan meningkatkan kualitinya, arahan telah dikeluarkan supaya setiap agensi mengukur prestasi masing-masing di peringkat individu dan organisasi. Dengan cara ini setiap penjawat awam akan berusaha menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan lebih cekap dan berkesan. Pada masa ini usaha-usaha mengesan pelaksanaan pengukuran prestasi di agensi-agensi kerajaan sedang dijalankan.

    SOALAN DALAM TEKS

    1. Senaraikan 12 prinsip yang terkandung dalam

    Tonggak 12. 2. Nilai dan etika dalam Perkhidmatan Awam

    merangkumi lima aspek. Jelaskan aspek-aspek tersebut.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

  • 49

    3.3 TERAS PERKHIDMATAN AWAM DALAM DASAR-DASAR KERAJAAN

    Sebuah jentera pentadbiran kerajaan yang kemas dan sistematik serta menggunakan kaedah sains dan teknologi tidak semestinya dapat menjamin kewujudan sebuah pentadbiran yang cekap dan efektif serta dapat memberi kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat. Kerajaan mungkin dapat mewujudkan disiplin dalam perkhidmatan awam menerusi peraturan dan kawalan ke atas tatalaku setiap kakitangan Perkhidmatan Awam. Tetapi ada pihak-pihak yang menganggap cara ini ialah negatif. Ia mungkin dapat menjamin kewujudan satu Perkhidmatan Awam yang bersih, cekap dan berkesan. Unsur yang penting terletak pada peribadi dan nilai-nilai yang dipegang oleh setiap kakitangan kerajaan yang menganggotai sektor Perkhidmatan Awam. Ia bermula dari pucuk pimpinan hinggalah kepada kakitangan bawahan. Sistem sosio politik dan ekonomi yang wujud memberi kesan yang besar terhadap perilaku seseorang anggota Perkhidmatan Awam. Nilai-nilai mutlak yang berteraskan agama yang menjadi pegangan setiap anggota perkhidmatan awam merupakan elemen yang amat penting yang dapat menegakkan nilai universal iaitu jujur, amanah dan berdedikasi. Dalam konteks ini, setiap kakitangan atau anggota Perkhidmatan Awam mesti memahami betapa pentingnya Etika Perkhidmatan Awam. Kesedaran ini timbul daripada keinsafan bahawa semua pelaksanaan rancangan pembangunan negara adalah untuk faedah rakyat Malaysia. Rancangan dan program pembangunan kerajaan tidak akan membawa faedah sekiranya sistem penyaluran dan penyampaiannya pincang dan cacat. Jika setiap anggota perkhidmatan tidak mempunyai sifat dedikasi maka segala peruntukan kerajaan yang dibelanjakan kepada rakyat adalah sia-sia saja. Etika Perkhidmatan Awam diwujudkan berdasarkan kepada beberapa perkara: (i) Permintaan rakyat terhadap Perkhidmatan Awam semakin

    meningkat. (ii) Rakyat Malaysia mahukan sebuah pentadbiran yang dapat memberi

    dan menyalurkan perkhidmatan yang sistematik, cekap dan berkesan.

    Ini mengakibatkan anggota perkhidmatan awam terpaksa menanggung beban kerja yang kian bertambah. Di samping itu, terdapat teguran dan aduan mengenai kemampuan dan keupayaan jentera pentadbiran Perkhidmatan Awam. Kelambatan menunaikan permintaan rakyat dan sikap tidak mementingkan permohonan dan kepentingan rakyat adalah sebahagian daripada aduan-aduan yang diutarakan oleh rakyat melalui media massa. Tuduhan-tuduhan bahawa terdapat penyelewengan dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan telah melahirkan rasa syak wasangka dan sifat curiga rakyat terhadap keupayaan dan kemampuan Perkhidmatan Awam dalam menunaikan permohonan rakyat. Walaupun terdapat sebilangan kecil kakitangan kerajaan yang cuai dalam menunaikan hasrat dan matlamat

  • 50

    kerajaan, namun pihak kerajaan berazam untuk meningkatkan lagi prestasi dan kecemerlangan Perkhidmatan Awam. Tindakan tegas telah diambil untuk membanteras gejala-gejala ini supaya ia tidak berleluasa. Etika Perkhidmatan Awam telah digubal akibat daripada beberapa faktor luar iaitu kemelesetan ekonomi dunia pada ketika itu, ancaman keselamatan di kawasan serantau dan gejala-gejala sosial yang tidak sihat. Jika faktor-faktor ini tidak dikawal dengan ketat, maka ia boleh mempengaruhi segolongan kakitangan kerajaan dengan menyalahgunakan kuasa yang telah diamanahkan kepada mereka. Faktor-faktor ini merupakan alasan utama bagi pembentukan etika dalam Perkhidmatan Awam supaya keselamatan dan kestabilan negara tidak tergugat. Etika Perkhidmatan Awam bertujuan untuk (i) Menyerapkan kepada semua kakitangan kerajaan semangat bekerja

    dengan penuh dedikasi bagi menentukan supaya mutu prestasi Perkhidmatan Awam dapat dipertingkatkan lagi.

    (ii) Mewujudkan satu perhubungan yang mesra antara semua kakitangan Perkhidmatan Awam bagi mencapai matlamat perpaduan negara berdasarkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru.

    (iii) Menimbulkan kesedaran di kalangan semua kakitangan kerajaan mengenai tanggungjawab mereka kepada rakyat untuk membolehkan tercapainya janji-janji yang telah dibuat oleh kerajaan yang berjiwa rakyat.

    Sehubungan dengan itu, Panduan Perkhidmatan Cemerlang telah dilancarkan mengandungi teras-teras perkhidmatan awam dan mempunyai enam tujuan: (i) Meninggikan mutu Perkhidmatan Awam dari semasa ke semasa. (ii) Mengekalkan dan memelihara kepercayaan yang diberi dalam

    menjalankan tugas yang telah diserahkan. (iii) Memupuk tanggungjawab bersama dalam Perkhidmatan Awam. (iv) Mewujudkan suasana yang sihat dan cekap dalam Perkhidmatan

    Awam. (v) Mengeratkan perhubungan antara semua golongan kakitangan

    kerajaan. (vi) Membentuk sikap dan kewibawaan kakitangan kerajaan bersesuaian

    dengan semangat Rukun Negara. Perkhidmatan kerajaan ialah sebahagian daripada kewajipan asasi rakyat terhadap negara mereka. Oleh itu seseorang yang diberi amanah untuk memikul tanggungjawab tertentu dalam jawatan kerajaan mestilah memahami dengan jelas akan hasrat, dasar dan matlamat kerajaan. Di samping itu, setiap kakitangan kerajaan berkewajipan penuh untuk membantu dan menjayakan hasrat, dasar dan matlamat kerajaan. Negara Malaysia hanya memerlukan rakyat yang ingin berbakti kepada nusa dan bangsanya. Sebarang perkhidmatan yang mendatangkan faedah bagi pihak

  • 51

    lain dan bertentangan dengan dasar negara ialah satu penyelewengan. Sifat ini sudah tentu menjejaskan keutuhan negara dan boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan. Berkhidmat untuk negara ialah satu tugas murni yang patut dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia. 3.3.1 Teras Perkhidmatan I Berazam Meninggikan Mutu Perkhidmatan Menjadi tanggungjawab seseorang kakitangan kerajaan untuk memperbaiki mutu perkhidmatannya dengan meningkatkan kemahiran menerusi latihan-latihan tertentu, pembacaan dan perbincangan mengenai aspek pekerjaannya antara rakan sejawat. Kesediaan seseorang kakitangan kerajaan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan dirinya tanpa diingatkan oleh Ketua Pejabat ialah satu sikap yang terpuji. Seseorang kakitangan kerajaan yang cekap ialah seorang yang mengetahui dan faham akan tugas-tugasnya. Beliau mempunyai kemahiran menjalankan kerja-kerjanya dan mempunyai sikap baik dalam melaksanakan tugas dan kewajipannya. Jika wujud ketiga-tiga ciri ini maka organisasi akan dapat mencapai mutu perkhidmatan yang cemerlang. Selain itu, mutu perkhidmatan dapat ditingkatkan jika wujud usaha-usaha positif dan sikap kreatif dalam menyelesaikan masalah sama ada daripada peringkat atasan mahupun peringkat bawahan. Ini boleh dilakukan dengan cara mengemukakan buah fikiran atau idea-idea bernas untuk kebaikan organisasi. Pembaharuan (inovasi) dalam kaedah bekerja juga menyumbang kepada faktor memodenkan pentadbiran dalam pelbagai aspek. Dengan usaha-usaha yang dibuat oleh semua golongan pekerja, maka mutu perkhidmatan awam dapat ditingkatkan. Secara langsung jabatan itu akan dapat memberi khidmat yang lebih cekap dan berkesan kepada negara. 3.3.2 Teras Perkhidmatan II- Bekerja dengan Penuh Tanggungjawab Setiap kakitangan kerajaan yang diambil bekerja diberi satu surat pelantikan jawatan yang mengandungi tangga gaji dan syarat-syarat perkhidmatan. Ini ialah satu kontrak yang diikat antara pekerja dengan pihak kerajaan Malaysia sebagai majikan. Kebanyakan daripada syarat dan rujukan kepada Perintah-Perintah Am serta aturan-aturan lain ialah mengenai perkara-perkara yang memberi panduan apa yang sepatutnya dibuat dan tidak patut dibuat oleh seseorang kakitangan kerajaan ketika menjalankan tugasnya. Tanggungjawab ini boleh dilaksanakan dengan pelbagai sikap dan cara. Seseorang kakitangan kerajaan mungkin boleh memenuhi waktu pejabat dengan hanya menjalankan setakat daya usaha yang minimum. Seseorang kakitangan lain mungkin boleh menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan dengan sikap yang rela menyumbangkan tenaga yang lebih supaya dia dapat membereskan tugas-tugasnya. Di samping itu, dia rela

  • 52

    membuat kerja yang berlebihan bagi faedah organisasinya. Ada dua cara bagaimana seseorang kakitangan kerajaan menghadapi tanggungjawabnya. Jika dua orang pekerja menjalankan satu jenis tanggungjawab dalam organisasi, maka sudah tentulah prestasi yang ditunjukkan oleh mereka berbeza antara satu dengan yang lain. Begitu juga dengan daya pengeluaran (produktiviti) mereka berdua, sudah tentu berlainan. Oleh kerana semua kakitangan kerajaan dibiayai oleh rakyat, maka rakyat tentu tidak berpuas hati melihat daya pengeluaran kakitangan kerajaan tidak mencapai tahap maksimum yang diharapkan. Pekerja yang mempunyai sikap penuh dedikasi sentiasa menunjukkan inisiatif untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Beliau tidak hanya menunggu arahan daripada pihak atasan. Beliau akan cuba menggunakan kebijaksanaan untuk memikirkan penyelesaian supaya keputusan dapat dibuat dengan adil. Banyak masalah yang dihadapi oleh sesebuah jabatan kerajaan yang perlu diselesaikan dengan cepat dan berkesan untuk perkhidmatan yang sempurna kepada rakyat. Setiap kakitangan kerajaan perlu sedar sekiranya tanggungjawab itu tidak disempurnakan, maka ia akan memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara. Oleh itu, prinsip bekerja dengan penuh tanggungjawab hendaklah dianuti oleh semua kakitangan kerajaan di semua lapisan perkhidmatan. 3.3.3 Teras Perkhidmatan III Berusaha Mengikis Sikap

    Mementingkan Diri Sikap mendalam untuk berkhidmat dengan jujur hendaklah menjadi sifat utama setiap kakitangan kerajaan. Setiap kakitangan kerajaan perlu menganggap diri mereka sebagai penggerak masyarakat ke arah kemajuan tanpa menggunakan kedudukan mereka untuk mencari keuntungan sendiri. Sikap sombong dan meninggi diri hendaklah dihapuskan dan setiap kakitangan kerajaan harus bersifat insaf, sopan dan berhemah tinggi. Setiap kakitangan kerajaan mempunyai tanggungjawab dan kuasa tertentu, dan sebahagiannya terlibat dalam urusan kewangan. Kuasa dan wang ialah amanah besar yang mesti digunakan dengan cermat dan saksama. Oleh itu, setiap kakitangan kerajaan mesti bertanggungjawab penuh ke atas setiap wang yang dibelanjakan. Perkhidmatan kerajaan tidak boleh digunakan sebagai jalan ke arah pencapaian cita-cita sendiri. Kakitangan yang menggunakan kuasa untuk faedah diri sendiri dianggap menyeleweng daripada tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. 3.3.4 Teras Perkhidmatan IV- Berkhidmat dengan Penuh Muhibah

    dan Kemesraan Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum. Keadaan ini menjadi faktor yang penting kepada kakitangan kerajaan untuk membentuk sikap yang sesuai dalam menjalankan tugas rasmi.

  • 53

    Suasana muhibah di kalangan kakitangan kerajaan harus disalurkan kepada masyarakat sepanjang masa supaya dapat dicontohi dan diteladani oleh masyarakat tersebut. Sebahagian besar jabatan-jabatan di negara ini dikunjungi oleh rakyat setiap hari bagi urusan rasmi. Ada pejabat yang tugas utamanya melayan permintaan dan permohonan orang ramai yang inginkan perkhidmatan. Dalam melaksanakan urusan ini, terdapat pelbagai watak dan kelakuan orang ramai yang terpaksa dihadapi kakitangan kerajaan. Dalam situasi ini, sifat sabar, bertimbang rasa, simpati, cekal menghadapi perasaan orang ramai mesti disemai dan diamalkan oleh semua kakitangan kerajaan yang berurusan dengan orang ramai. 3.3.5 Teras Perkhidmatan V- Bekerja ke Arah Memajukan

    Pemikiran Rakyat dan Pembangunan Negara Kakitangan kerajaan dipilih kerana kelebihan mereka dalam bidang masing-masing, terutama pegawai-pegawai yang bertanggungjawab memberi bimbingan kepada rakyat. Setiap kakitangan kerajaan mempunyai kewajipan untuk membantu rakyat memahami dasar kerajaan dan program-program kerajaan yang hendak dilaksanakan. Mereka perlu menyedarkan rakyat mengenai rancangan dan projek pembangunan yang disediakan untuk rakyat. Setiap kakitangan kerajaan hendaklah sedar bahawa tidak ada pembangunan tanpa penyertaan dan penglibatan rakyat. Oleh itu, menjadi tanggungjawab mereka untuk berusaha memajukan pemikiran rakyat. Pembangunan negara hanya boleh berlaku dengan adanya pembangunan individu dalam sesebuah masyarakat. 3.3.6 Teras Perkhidmatan VI Bekerjasama dalam Membanteras

    Kelemahan dan Musuh-Musuh Negara Kerjasama merupakan alat yang penting. Tanpa kerjasama, keburukan dan kerumitan akan timbul dan penyelarasan terlalu sukar untuk dicapai. Sikap kerjasama ini boleh menjadikan Perkhidmatan Awam satu perkhidmatan yang berkesan dengan berpandukan objektif yang sama. Tetapi pentadbiran yang berkesan belum boleh dianggap sebagai pentadbiran bersih jika penyelewengan dan rasuah dibiarkan berleluasa. Kecekapan ini hendaklah berlandaskan satu kaedah perkhidmatan dan pentadbiran yang bersih. Semua pihak yang terlibat dalam usaha untuk membanteras kelemahan negara seperti kemiskinan, kejahilan dan rasuah. Jika wujud kerjasama yang kukuh dalam semua lapangan, negara akan bertambah kuat dan musuh-musuh negara dapat dihapuskan. Unsur subversif dan idoelogi komunis tidak dapat diterima oleh rakyat negara ini kerana ia bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukun Negara. Elemen-elemen ini hendaklah diawasi kerana ia merupakan musuh utama yang akan melemahkan perpaduan dan keutuhan negara.

  • 54

    3.3.7 Teras Perkhidmatan VII Berpegang Teguh kepada Ajaran Agama

    Satu daripada lima prinsip Rukun Negara ialah Kepercayaan kepada Tuhan. Dalam Perkhidmatan Awam, perkara ini perlu diberi penekanan dengan tujuan supaya semua kakitangan kerajaan berpegang teguh kepada ajaran agama.Tanggapan yang didapati daripada penekanan ini ialah hakikat bahawa sebarang sikap menuju ke arah tidak beragama ialah satu sikap yang bertentangan dengan kehendak Perkhidmatan Kerajaan Malaysia. Jika terdapat kakitangan kerajaan yang tidak mempunyai pegangan kepada nilai-nilai kesucian, maka tentulah mudah pengaruh anti-agama meresap masuk dalam pemikiran mereka. Keadaan ini dengan sendirinya menjadikan jentera pentadbiran kerajaan lemah. 3.4 PERBANDINGAN ETIKA DALAM PENTADBIRAN

    AWAM AMERIKA SYARIKAT DAN MALAYSIA Bagi menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang maju dan berdaya saing dan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, salah satu cabaran negara ialah untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika. Sehubungan itu, Perkhidmatan Awam yang merupakan jentera pentadbiran negara perlu mendokong cita-cita ini. Tanggungjawab memupuk kesedaran dan penghayatan nilai dan etika kerja yang tinggi di kalangan anggota Perkhidmatan Awam banyak juga dipengaruhi oleh etika Perkhidmatan Awam di Amerika Syarikat (AS). Justeru itu, bagaimana Etika Pentadbiran Awam diserapkan di AS harus difahami dan dicontohi sebaik mungkin. Bab 3 memberi gambaran bagaimana etika perkhidmatan awam di Malaysia harus diterapkan. Manakala Bab 4 pula, menghurai lanjut mengenai bagaimana AS menjadikan etika sebagai alat kawalan kepada tindakan pentadbir-pentadbir awam yang mana boleh diikuti oleh Malaysia. Hal ini penting kerana kefahaman etika di kalangan pentadbir awam yang agak rendah dikhuatiri akan mempengaruhi produktiviti, prestasi dan imej Pentadbiran Awam keseluruhannya. Hasrat Malaysia adalah untuk melahirkan negara yang bersatu dengan masyarakatnya yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur. Oleh itu, diharapkan dengan kefahaman yang jitu dan penggunaannya yang mantap cita-cita tersebut akan dapat dicapai.

    SOALAN DALAM TEKS

    3. Terangkan dua perkara utama yang menjadi asas

    kepada pembentukan Etika Perkhidmatan Awam.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

  • 55

    3.4.1 Etika Pentadbiran Awam di Amerika Syarikat Rasuah banyak mempengaruhi pembangunan Perkhidmatan Awam moden di Amerika. Pada awal abad ke-20 satu struktur dan polisi kerajaan Amerika telah banyak diubah hanya untuk mengurangkan kadar rasuah. Perubahan ini melibatkan dua jenis: (i) Untuk mengurangkan secara prosedur sebarang tindakan rasuah

    melalui konsep pengurusan seperti memberi kontrak kepada bidder yang terendah, pengauditan sebelum dan selepas, council-manager government dan larangan kepada konflik berkepentingan (conflict of interest).

    (ii) Memperkenalkan kepada Perkhidmatan Awam sistem merit untuk pentadbir awam dan melalui konsep seperti sifat berkecuali dan larangan kepada pengambil bahagian dalam politik.

    Reformasi pentadbiran di Amerika Syarikat (AS) yang berhubung dengan etika, banyak didorong oleh rasuah. Program dan struktur seperti whistleblowing, aduan hotline, lembaga dan suruhanjaya etika, program pendidikan etika bagi pegawai politik dan pentadbiran yang dilantik dan dipilih serta kod etika profesional adalah simbolika kepada pendekatan moden menangani serta mengurangkan gejala rasuah. Dalam kehidupan awam moden bukan saja isu mengenai etika asyik timbul tetapi penguatkuasaan terhadap perlaksanaan etika juga tiada noktahnya. Di AS contohnya, kepimpinan dalam menggerakkan reformasi tertumpu di universiti. Hampir keseluruhan universiti besar di AS mempunyai institut atau pusat bagi etika atau nilai-nilai kemanusiaan. Pembangunan sains politik sebagai landasan sains sosial yang praktikal dan kemunculan pentadbiran awam sebagai disiplin dalam sains sosial, kesemuanya menjurus kepada pergerakan reformasi kerajaan. Kesannya, kajian kontemporari mengenai etika di universiti lebih banyak diperoleh daripada kajian sains sosial. Berbekalkan alat moden sains sosial, adalah tidak mustahil untuk menilai perlakuan etika. Contohnya dalam kerajaan demokrasi, kewujudan nilai dalam perlembagaan dan undang-undang, boleh dilihat sebagai penerimaan nilai-nilai yang dipersetujui bersama. Kelakuan individu dan kumpulan dinilai melalui konvensyen sosial, undang-undang dan perlembagaan, kepatuhan dikatakan beretika, dan jika tidak patuh, maka perbuatan tersebut boleh dikatakan tidak beretika. Di AS rasuah dalam jabatan kerajaan ialah fenomena yang sentiasa berlaku. Oleh itu, mengapa tiba-tiba etika menjadi begitu penting dan mendominasikan polisi pada 1990-an? Ini disebabkan oleh faktor-faktor berikut: (i) Tahap rasuah dalam kerajaan meningkat dengan banyaknya. Di Los

    Angeles Datuk Bandar yang telah lama berkhidmat di situ,

  • 56

    dipenjarakan atas tuduhan menerima wang ganjaran dari sebuah syarikat yang berurus niaga dengan bandar tersebut. Los Angeles mengamalkan undang-undang etika yang paling ketat di AS. Governer Tenneesse juga dipenjara kerana menjual pardon dan parole kepada banduan. Di peringkat negeri kempen melibatkan politik wang ialah suatu perkara yang rutin. Walaupun kelihatan banyak perlanggaran etika yang melibatkan skandal besar tidak kurang juga beratus-ratus yang lain kurang mendapat publisiti. Ini berlaku di semua peringkat kerajaan. Melihat kepada kesemuanya, rasuah dan etika ialah dua perkara penting yang sentiasa akan timbul dan sesuatu yang tidak boleh dinafikan pertaliannya juga suatu perkara yang membebankan isu awam.

    (ii) Rakyat tidak boleh berkompromi dengan rasuah dalam kerajaan. Bagi mereka rasuah adalah salah dan menentang sekeras-kerasnya perbuatan ini.

    (iii) Rasuah dalam kerajaan membawa impak yang serius. Kes rasuah yang berulang-ulang kali disiarkan sudah mencapai tahap climax. Kecaman rakyat yang mengandungi teguran pedas terus-terusan menjadi drama yang diulang-ulang buat tontonan awam.

    (iv) Dalam kancah politik, kebaikan dan keburukan beretika sedia difahami. Jadi penggunaan etika sebagai simbol kebaikan menjadi modal yang kuat dalam politik. Keadaan ini adalah suatu fenomena yang biasa.

    (v) Etika kerajaan telah dibangunkan dalam bandar, negara dan negeri, masing-masing mengeluarkan undang-undang etika yang baru. Institusi etika ini membekalkan kaedah yang berterusan. Perbuatan rasuah dalam kerajaan boleh sentiasa diletakkan dalam perhatian awam.

    (vi) Etika menyeberangi pelbagai lapangan polisi. Etika perubatan adalah signifikan dalam polisi kesihatan terutama sekali pengguguran bayi, penamatan hayat, insuran dan perkhidmatan perubatan yang diberikan. Manakala etika perniagaan dalam dunia perdagangan yang juga tidak kurang signifikan ialah mengenai kemusnahan dalam simpanan dan pinjaman. Begitu juga perumahan, pengangkutan, pelajaran, keselamatan awam, pertahanan negara dan hubungan luar kesemuanya mendorong kepada perlunya etika. Etika kini, seolah-olah berada di mana-mana saja.

    3.4.2 Etika Perkhidmatan Awam di Malaysia Amalan etika di Malaysia juga telah menunjukkan banyak perubahan. Kesedaran kepada perlunya etika dalam perkhidmatan awam bermula sejak 1940-an apabila berlakunya usaha-usaha pembaharuan dalam perkhidmatan awam. Terdapat banyak strategi pembaharuan era pemerintahan Dr. Mahathir yang diketengahkan oleh Dr. Ahmad Atory (1998), tetapi strategi yang banyak berkait rapat dengan etika ialah konsep bersih, cekap dan amanah. Pembaharuan lebih cenderung untuk melihat aspek-aspek kelakuan dalam organisasi dan memberi tumpuan kepada individu dan kumpulan

  • 57

    kecil daripada ke atas organisasi secara keseluruhan dan dengan itu menekankan satu pendekatan pembaharuan mikro. Oleh itu, konsep Bersih, Cekap dan Amanah di bawah pentadbiran Dr. Mahathir memang selari dengan perspektif kelakuan atau psikologi budaya yang bertujuan untuk penyebaran etika dan nilai-nilai moral. Dr. Mahathir begitu prihatin dengan penerapan satu set etika di kalangan pegawai-pegawai kerajaan sebagai tambahan kepada kod-kod prosedur dalam Perintah Am (General Orders) yang diperkenalkan oleh kerajaan kolonial dahulu. Penekanan diberi kepada nilai-nilai moral dan sikap-sikap kakitangan kerajaan, manakala Perintah Am lebih menitikberatkan prosedur-prosedur kerja umum. Garis panduan etika kerja baru mengenai sikap kakitangan kerajaan yang seharusnya diamalkan ialah Bersih, Cekap dan Amanah. Slogan ini telah dilancarkan pada tahun 1982. Rasionalnya diperkenalkan konsep Bersih, Cekap dan Amanah ialah semata-mata untuk menerapkan nilai-nilai moral yang tinggi dan positif di kalangan kakitangan kerajaan yang perlu mereka amalkan dalam perkhidmatan mereka. Objektif lahiriah konsep ini ialah hasrat untuk mewujudkan etika kerja yang baik dan sikap-sikap baru di kalangan kakitangan awam dengan keutamaan yang tinggi diberikan kepada produktiviti dan kualiti kerja. Istilah-istilah dalam slogan konsep kerajaan Bersih, Cekap dan Amanah telah ditakrifkan seperti berikut: (i) Slogan Bersih bererti bahawa seseorang penjawat awam itu

    seharusnya mempunyai satu moral, nilai-nilai etika dan disiplin kerja yang tinggi. Ia juga menerangkan pentingnya sikap berkecuali di pihak pegawai kerajaan dan sepatutnya tidak berat sebelah dalam apa jua keputusan yang melibatkan orang awam. Bersikap Bersih juga bererti seseorang pegawai kanan itu tidak harus mementingkan diri sendiri, menjauhkan diri daripada bersikap dengki khianat dan benci-membenci.

    (ii) Manakala Cekap pula bererti seseorang penjawat awam itu hendaklah berani dan cepat mengambil sebarang tindakan. Seseorang pegawai awam juga harus berhadapan dengan sebarang krisis dengan tenang. Pegawai-pegawai kerajaan diberitahu supaya kekal dengan prinsip dan tegas serta berkeyakinan diri sendiri (self confident). Selain itu, ciri-ciri lain termasuklah Cekap, iaitu kreatif dalam kerja, produktif, mempunyai kualiti kerja yang baik, berpandangan jauh, mempunyai sikap yang proaktif, berpengalaman dan pakar dalam beberapa bidang.

    (iii) Amanah bererti seseorang penjawat awam itu hendaklah rela menjalankan tanggungjawab dan tugasnya dalam bidang kuasanya dengan keyakinan diri dan amanah supaya mencapai objektif yang dikehendaki dalam organisasi itu. Selain itu, seorang penjawat awam juga diharapkan berkelakuan jujur, amanah dan ikhlas sama ada kepada dirinya, rakan-rakan sekerjanya atau organisasinya.

  • 58

    (a) Strategi pelaksanaan etika Dalam mempromosikan slogan Bersih, Cekap dan Amanah tersebut, kerajaan telah melancarkan berbagai-bagai usaha ke arah menggilap sikap pegawai kerajaan dengan menyuntik keadah-kaedah atau strategi-strategi baru yang pada asasnya bersifat struktur dan prosedur. Ciri-ciri pembaharuan struktur dan prosedur yang dikaitkan dengan konsep Bersih, Cekap dan Amanah itu dibahagikan kepada beberapa prosedur pentadbiran, teknik dan kaedah-kaedah kerja seperti berikut: I. Memperbaiki sistem kerja dan prosedur:

    (i) Sistem punch card. (ii) Pengenalan tanda nama. (iii) Konsep ruang dan pejabat terbuka. (iv) Manual prosedur kerja. (v) Sistem fail meja. (vi) Garis panduan kiriman pos. (vii) Pengurusan melalui mesyuarat. (viii) Program pengukuhan produktiviti.

    II. Memperbaiki perkhidmatan kepada orang awam:

    (i) Pusat bayaran setempat (one stop payment centre). (ii) Pusat perkhidmatan setempat (one stop service centre). (iii) Pusat bayaran lesen setempat. (iv) Perkhidmatan kaunter cekap dan mesra. (v) Kotak cadangan. (vi) Sistem GIRO.

    III. Penggunaan automasi dan teknologi. IV. Kawalan pengurusan kewangan. V. Penerapan nilai-nilai dan etika-etika kerja di kalangan pegawai-

    pegawai kerajaan.

    Penerapan nilai-nilai positif di kalangan pegawai kerajaan telah dimasukkan ke dalam program pembaharuan. Antaranya ialah

    (i) Kebertanggungjawaban (accountability). (ii) Pengurusan diri sendiri (self management). (iii) Kerjasama. (iv) Pembangunan diri (self development). (v) Rajin dan dedikasi. (vi) Kejujuran intelektual. (vii) Semangat berpasukan. (viii) Berjimat-cermat. (ix) Integriti.

  • 59

    (x) Sikap yang responsif. (xi) Disiplin diri. (xii) Berorientasikan pelanggan. (xiii) Berorientasikan prestasi. (xiv) Sikap keusahawanan (enterprising). (b) Penilaian terhadap pembaharuan etika Sejak konsep ini dijalankan lebih kurang lima tahun yang lalu, percubaan mempromosikan konsep kerajaan Bersih, Cekap dan Amanah telah dibayangi dengan wujudnya suasana politik wang serta amalan membeli undi yang berleluasa berlaku semasa mesyuarat UMNO di semua peringkat iaitu daripada cawangan, bahagian dan majlis tertinggi. Selain itu, terdapat begitu banyak isu skandal kewangan seperti isu BMF, tiga projek gergasi iaitu jambatan Pulau Pinang, Bangunan Daya Bumi dan Proton Saga (yang jelas sama sekali kini telah menjadi antara kejayaan besar Malaysia) dan lain-lain skandal kewangan yang melibatkan syarikat kawalan kerajaan iaitu Sports Toto, KWSP, syarikat kepunyaan UMNO seperti United Engineering, Fleet Group dan Zainecon Bumi Sdn. Bhd. Pada masa yang sama, berlaku salah pengurusan ekonomi yang membawa kepada kemerosotan ekonomi negara. Meskipun wujud keadaan persekitaran seperti yang disebut di atas, usaha-usaha pembaharuan terpaksa dihadapi. Segala prosedur dan teknik baru yang diperkenalkan dalam perkhidmatan awam dikatakan berkait rapat dengan slogan Bersih, Cekap dan Amanah. Umpamanya, beberapa pembaharuan dikatakan telah berjaya menyelamatkan keadaan krisis politik yang berlaku pada 1987. Sebahagian besar pegawai-pegawai kerajaan mengambil sikap berkecuali dan tidak mempedulikan krisis politik tersebut. Mereka telah menjalankan tugas seperti biasa, sama seperti sebelum krisis berlaku. Dengan itu, terhindarlah daripada dikenal pasti sebagai kumpulan pembangkang dalam UMNO. Terdapat satu pendapat yang popular bahawa negara akan berada dalam keadaan huru-hara sekiranya pegawai kerajaan tidak bersikap berkecuali semasa berlaku krisis kepimpinan UMNO tersebut. Satu lagi sebab ialah bahawa institusi-institusi yang berkuasa di Malaysia seperti perkhidmatan awam, mahkamah-mahkamah dan elit-elit politik dikatakan lebih kuat daripada institusi berpenyertaan seperti Parlimen, parti-parti politik atau badan-badan bukan kerajaan. Oleh itu, diandaikan bahawa pembaharuan pentadbiran secara relatifnya memang disokong oleh pegawai-pegawai kerajaan yang tidak membuat sebarang percubaan untuk menghalang sebarang usaha pembaharuan yang diperkenalkan. (c) Kepimpinan melalui teladan Konsep kepimpinan melalui teladan ini juga merupakan satu slogan yang bertujuan untuk menggilapkan moral dan sikap pegawai kerajaan. Ini telah

  • 60

    dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1983. Pemimpin kerajaan sama ada ahli-ahli politik atau pegawai kerajaan tidak syak lagi dikehendaki menunjukkan satu set contoh yang baik. Amat penting bagi mereka untuk memahami dan mengamalkan standard-standard yang baik supaya contoh-contoh baik mereka akan ditiru oleh kakitangan bawahan mereka dan juga orang awam. Kepimpinan melalui teladan menjelaskan lagi konsep Bersih, Cekap dan Amanah. (d) Penilaian terhadap konsep kepimpinan melalui teladan Slogan ini telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada pegawai-pegawai kerajaan. Setahun selepas perlaksanaannya, satu bengkel telah dianjurkan bagi menilai keberkesanannya. Objektif utama bengkel tersebut ialah untuk memperbanyakkan lagi bilangan aktiviti kempen mengenai kepimpinan melalui teladan. Penilaian bengkel bersama dengan satu tinjauan mengenai kepimpinan melalui teladan yang dikendalikan INTAN telah mengeluarkan beberapa hasil dapatan. Satu daripada dapatan itu ialah orang awam dan pegawai-pegawai kerajaan berpendapat bahawa keseluruhan kualiti perkhidmatan kerajaan telah bertambah baik dengan pesatnya sejak perlaksanaan slogan tersebut. Satu daripada cara untuk memberikan contoh yang baik kepada orang awam ialah dengan membaca lebih banyak buku pengurusan yang akan memberi panduan kepada pembaca memperbaiki sikap yang baik. Usaha-usaha untuk menerap perubahan sikap pegawai-pegawai kerajaan melalui program di atas tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang betul-betul berjaya dalam jangka pendek sebab ia melibatkan pembinaan suatu sikap atau rasa komitmen yang menyeluruh daripada individu-individu dan juga perkhidmatan awam keseluruhannya.

    SOALAN DALAM TEKS

    4. Jelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi

    kemunculan etika sehingga menjadikannya begitu penting dan mendominasikan polisi pada 1990-an di United State.

    5. Terangkan konsep slogan kerajaan Bersih, Cekap dan Amanah dalam usaha kerajaan menerapkan nilai-nilai moral yang tinggi dan positif kepada kakitangan kerajaan dalam perkhidmatan awam.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

  • 61

    3.5 KESIMPULAN Etika perkhidmatan awam lahir daripada kesedaran bahawa profesionalisme perkhidmatan awam perlu ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi dan kakitangannya hendaklah bekerja dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Ini amat penting kerana perkhidmatan awam sedang memikul beban untuk melaksanakan pembangunan yang pesat dalam konteks sebuah negara yang sedang membangun dan maju seperti negara ini. Konsep meninggikan prestasi perkhidmatan awam yang diharapkan akan memberi kesan langsung dan nyata kepada rakyat berikutan dengan perlaksanaan Etika Perkhidmatan Awam. Ini selaras dengan hasrat kerajaan yang berjiwa rakyat untuk melayan dan menunaikan semua permintaan dan aspirasi rakyat di negara ini.

    SOALAN PENILAIAN KENDIRI

    1. Panduan Perkhidmatan Cemerlang yang mengandungi teras-teras

    perkhidmatan awam telah dilancarkan atas beberapa tujuan. Senaraikan tujuan-tujuan tersebut.

    2. Dalam usaha meningkatkan sikap baik kakitangan awam, strategi-strategi baru telah disuntik dalam konsep Bersih, Cekap dan Amanah. Senaraikan ciri-ciri pembaharuan tersebut.

    3. Penerapan nilai-nilai positif di kalangan pegawai kerajaan telah dimasukkan ke dalam program pembaharuan. Terangkan nilai-nilai tersebut.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

    1. Tonggak 12 mengandungi 12 prinsip, iaitu

    (i) Menghargai masa. (ii) Ketekunan membawa kejayaan. (iii) Keseronokan bekerja. (iv) Kemuliaan kesederhanaan. (v) Ketinggian peribadi. (vi) Kekuatan sifat baik hati. (vii) Pengaruh teladan. (viii) Kewajipan menjalankan tugas. (ix) Kebijaksanaan berkhidmat. (x) Keutamaan kesabaran. (xi) Peningkatan bakat. (xii) Nikmat mencipta.

  • 62

    2. Aspek-aspek tersebut ialah

    (i) Nilai-nilai peribadi asas iaitu amanah, bertanggungjawab, ikhlas, berdedikasi, berdisiplin, bekerjasama, bersih, tekun dan sederhana.

    (ii) Nilai-nilai yang mengutamakan pelanggan iaitu berbudi mulia, bersabar, sopan santun dan peramah.

    (iii) Nilai-nilai kepimpinan iaitu adil, berani dan syura. (iv) Nilai-nilai profesionalisme iaitu produktiviti dan kualiti. (v) Nilai-nilai keagamaan iaitu bersyukur, beriman dan bertakwa.

    3. Etika Perkhidmatan Awam diwujudkan berdasarkan kepada

    beberapa perkara:

    (i) Permintaan rakyat terhadap Perkhidmatan Awam semakin meningkat.

    (ii) Rakyat Malaysia mahukan sebuah pentadbiran yang dapat memberi dan menyalurkan perkhidmatan yang sistematik, cekap dan berkesan.

    4. Faktor-faktor tersebut ialah

    (i) Tahap rasuah dalam kerajaan meningkat dengan banyaknya. (ii) Rakyat tidak boleh berkompromi dengan rasuah dalam

    kerajaan. Bagi mereka rasuah adalah salah dan menentang sekeras-kerasnya perbuatan ini.

    (iii) Rasuah dalam kerajaan membawa impak yang serius. (iv) Dalam kancah politik, kebaikan dan keburukan beretika

    sedia difahami. Jadi, pengunaan etika sebagai simbol kebaikan menjadi modal yang kuat dalam politik.

    (v) Etika kerajaan telah dibangunkan dalam bandar, negara dan negeri, masing-masing mengeluarkan undang-undang etika yang baru.

    (vi) Etika menyeberangi pelbagai lapangan polisi. 5. Slogan Bersih bererti bahawa seseorang penjawat awam itu

    seharusnya mempunyai satu moral, nilai-nilai etika dan disiplin kerja yang tinggi. Ia juga menerangkan pentingnya sikap berkecuali di pihak pegawai kerajaan dan sepatutnya tidak berat sebelah dalam apa jua keputusan yang melibatkan orang awam. Manakala Cekap pula bererti bahawa seseorang penjawat awam itu haruslah berani dan cepat mengambil sebarang tindakan. Seseorang pegawai awam juga harus berhadapan dengan sebarang krisis dengan tenang dan Amanah pula bererti bahawa seseorang penjawat awam itu hendaklah rela menjalankan tanggungjawab dan tugasnya dalam bidang kuasanya dengan keyakinan diri dan amanah supaya mencapai objektif yang dikehendaki dalam organisasi.