Bab 05

16
121 BAB 5 ETIKA DALAM PERLEMBAGAAN OBJEKTIF BAB Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Mendefinisikan maksud hak atau ‘rights’. 2. Mengenal pasti pentingnya penjawat awam mengetahui peruntukan tentang hak-hak atau ‘rights’. 3. Menjelas dan mengkaji peruntukan-peruntukan berkaitan hak asasi di dalam Perlembagaan. 4. Membincangkan pelaksanaan kuasa dan kuasa budi bicara. 5. Membincangkan perkaitan hak asasi dalam perlembagaan dengan etika penjawat awam. 5.1 PENGENALAN Anggota perkhidmatan awam memikul tanggungjawab yang besar dan harus melaksanakannya dengan penuh amanah demi memelihara dan mempertahankan kepentingan rakyat dan negara. Tugas dan tanggungjawab tersebut amat penting kerana ia dapat menyumbang kepada pembangunan peradaban bangsa dan negara. Menyedari akan keperluan dan kepentingan ini, maka kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha dalam bentuk program, dasar, bahan-bahan penerbitan, latihan, kempen, arahan-arahan dan sebagainya semenjak tahun 1979 sehinggalah sekarang bagi mencapai matlamat tersebut. Kebanyakan nilai-nilai dan dasar yang diperkenalkan itu telah diterangkan dalam bab sebelum ini. Dalam usaha mewujudkan sebuah Perkhidmatan Awam yang cemerlang, gemilang dan terbilang, ia bergantung kepada kualiti para anggotanya seperti mana saranan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Sarji, (INTAN, 1991) bekas ketua setiausaha negara iaitu Quality good or service begins with a quality man.” Justeru, pembentukan para penjawat awam yang berkualiti dan beretika amat penting dalam proses peningkatan tahap kemajuan sesebuah negara dan kecemerlangan bangsa.

Transcript of Bab 05

  • 121

    BAB 5

    ETIKA DALAM PERLEMBAGAAN

    OBJEKTIF BAB

    Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Mendefinisikan maksud hak atau rights. 2. Mengenal pasti pentingnya penjawat awam mengetahui

    peruntukan tentang hak-hak atau rights. 3. Menjelas dan mengkaji peruntukan-peruntukan berkaitan hak

    asasi di dalam Perlembagaan. 4. Membincangkan pelaksanaan kuasa dan kuasa budi bicara. 5. Membincangkan perkaitan hak asasi dalam perlembagaan

    dengan etika penjawat awam.

    5.1 PENGENALAN Anggota perkhidmatan awam memikul tanggungjawab yang besar dan harus melaksanakannya dengan penuh amanah demi memelihara dan mempertahankan kepentingan rakyat dan negara. Tugas dan tanggungjawab tersebut amat penting kerana ia dapat menyumbang kepada pembangunan peradaban bangsa dan negara. Menyedari akan keperluan dan kepentingan ini, maka kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha dalam bentuk program, dasar, bahan-bahan penerbitan, latihan, kempen, arahan-arahan dan sebagainya semenjak tahun 1979 sehinggalah sekarang bagi mencapai matlamat tersebut. Kebanyakan nilai-nilai dan dasar yang diperkenalkan itu telah diterangkan dalam bab sebelum ini. Dalam usaha mewujudkan sebuah Perkhidmatan Awam yang cemerlang, gemilang dan terbilang, ia bergantung kepada kualiti para anggotanya seperti mana saranan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato Seri Ahmad Sarji, (INTAN, 1991) bekas ketua setiausaha negara iaitu

    Quality good or service begins with a quality man. Justeru, pembentukan para penjawat awam yang berkualiti dan beretika amat penting dalam proses peningkatan tahap kemajuan sesebuah negara dan kecemerlangan bangsa.

  • 122

    Dalam merialisasikan matlamat di atas, Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak harus diketepikan. Perlembagaan Persekutuan harus dijadikan sebagai panduan dalam penerapan nilai dan etika kepada Penjawat awam memandangkan ia adalah undang-undang tertinggi dalam negara seperti yang diperuntukkan di dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan:

    Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.

    Dalam Perlembagaan Persekutuan juga terdapat nilai-nilai (values) penting yang harus dijadikan panduan dan diberi keutamaan memandangkan ia merupakan nilai-nilai yang dimiliki oleh setiap warganegara Malaysia. Nilai-nilai tersebut lebih dikenali sebagai hak-hak asasi dan ia terdapat dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan Malaysia. 5.2 ASAS PERLEMBAGAAN DALAM URUS TADBIR BIROKRAT Timbul persoalan di sini kenapa perlembagaan masih menjadi asas dalam urus tadbir birokrat selain dijadikan rujukan terhadap nilai-nilai yang perlu diambil kira oleh birokrat dalam urusan pentadbiran? Menurut John A. Rohr (1978), dalam bukunya Ethics for Bureaucrats menyatakan:

    ..the method of regime values proposed the constitution of the United States as the most appropriate focal point for normative reflection by American Bureaucrats. This choice was defended on the grounds that American Bureaucrats have taken an oath to uphold the constitution of the united states and that such an act should have a moral character about it that creates a moral community.

    Kenyataan di atas menunjukkan perkaitan antara perlembagaan serta peribadi, sifat atau perwatakan yang bermoral yang sepatutnya ada pada ahli birokrat di Amerika Syarikat dalam usaha untuk memartabatkan perlembagaan dalam urusan pentadbiran mereka. Ini merupakan cara atau kaedah regime values. John A. Rohr juga mencadangkan regime values di atas sebagai cara yang paling sesuai untuk mencantumkan pengajian Etika ke dalam kurikulum Pentadbir Awam. Cuma timbul persoalan di sini apakah yang dimaksudkan dengan regime values? Regime values menghuraikan kaedah pendidikan yang bertujuan untuk menggalakkan tindak balas yang normal oleh penjawat awam dan pelajar pentadbiran awam tentang bagaimana untuk mentadbir atau mengurus. Menurut John A. Rohr (1978, 59):

    Regime values refer to the values of that political entity that was brought into being by the ratification of the constitution that created the present American republic.

  • 123

    Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan bahawa penjawat awam di Amerika Syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab dalam sebuah negara demokratik bukan secara langsung bertanggungjawab kepada keseluruhan pengundi semata-mata, tetapi mereka mempunyai tanggungjawab moral (moral obligation) dalam memperingati diri masing-masing terhadap nilai-nilai (values) yang perlu diamalkan dalam mentadbir, mengurus, mengawal dan memerintah. Pemilihan untuk menjadikan Perlembagaan sebagai tumpuan utama (focal point), disebabkan mereka telah mengangkat sumpah untuk menyokong dan memartabatkan perlembagaan kerana tindakan tersebut perlu kepada ciri-ciri moral yang baik yang akhirnya dapat membentuk sebuah masyarakat yang bermoral tinggi. Seperti di Amerika Syarikat, para penjawat awam di Malaysia juga telah berikrar dalam sumpah jawatan mereka akan menunaikan kewajipan-kewajipan mereka dengan jujur, sedaya upaya yang boleh dan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang yang paling utama dalam negara. Berdasarkan sumpah taat setia tersebut, maka dalam bab ini peruntukan-peruntukan yang sesuai yang ada kaitan dalam Perlembagaan Malaysia akan dikaji. Ia tidak bertujuan untuk membincangkan apakah itu undang-undang tetapi sekadar memberi penekanan dan menggalakkan para penjawat awam untuk memikirkan nilai-nilai moral di sebalik setiap peruntukan yang terdapat dalam perlembagaan yang mungkin melibatkan tugas-tugas penjawat awam yang berkaitan. Selain itu, diharap dapat diwujudkan di kalangan penjawat awam satu kumpulan yang dapat berbincang dan berhujah tentang moral berteraskan nilai atau asas yang terdapat dalam perlembagaan.

    SOALAN DALAM TEKS

    1. Kenapa Perlembagan Persekutuan menjadi

    tumpuan utama untuk melihat isu etika berkaitan penjawat awam?

    2. Berikan maksud tanggungjawab moral (moral obligation) penjawat awam di Amerika Syarikat dalam melaksanakan tugas mereka.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

  • 124

    Pada pendapat anda adakah terdapat perbezaan antara penjawat awam di Amerika Syarikat dan di Malaysia mengenai tanggungjawab moral (moral obligation) dalam melaksanakan tugas mereka?

    5.3 ETIKA DAN PERLEMBAGAAN

    Sebelum kita membincangkan peruntukan bekaitan etika dalam perlembagaan dengan lebih mendalam lagi, apakah yang pelajar faham tentang maksud hak atau right yang selalu disebut dalam ucapan pihak pemerintah dan juga para aktivis bukan kerajaan sama ada di Malaysia dan di luar negara? 5.3.1 Maksud Hak atau Right Hak asasi penting dalam kehidupan kita. Kita bersedia untuk pertahankan hak kita dan juga sanggup untuk membuat tuntutan supaya hak tersebut diperakukan dan dilaksanakan. Selain itu, kita juga akan membantah sekiranya berlaku ketidakadilan jika hak kita dicerobohi. Maksud hak atau rights ini lebih mudah dijelaskan berdasarkan beban tanggungjawab atau kewajipan (duties) yang ditetapkan atau dikenakan. Menurut Louis (1998), hak atau rights merupakan tuntutan terhadap orang lain iaitu pada waktu yang sama termasuk kebebasan diri yang dimiliki oleh seseorang. Sebagai contoh, jika A telah berjanji untuk membayar RM30 sebagai upah membuat baju untuk B dan si B teleh melaksanakannya, oleh itu B mempunyai hak terhadap RM30 tersebut dan A bertanggungjawab atau berkewajipan (have a duty) untuk membayarnya. Hak memberi kita keistimewaan dan kelebihan tertentu. Sekiranya kita mempunyai hak, maka orang lain memerlukan justifikasi yang dapat diterima untuk menyekat atau menolak hak tersebut. Sebaliknya, sekiranya kita mempunyai hak atas sesuatu, kita juga memerlukan justifikasi untuk menyekat atau menghadkan kebebasan orang lain dalam melaksanakan hak tersebut. Sebagai contoh, A mempunyai kebebasan untuk mendengar muzik, tetapi A tidak boleh mendengar muzik sehingga mengganggu orang lain yang tinggal berdekatan kerana orang lain juga mempunyai hak untuk hidup aman damai tanpa diganggu oleh sebarang pencemaran bunyi yang terlalu kuat. Menurut Louis lagi, tedapat pelbagai jenis hak atau rights iaitu (i) Natural right : Bermaksud hak yang dimiliki oleh setiap

    manusia atau setiap yang hidup secara tabii atau semula jadi.

    (ii) Human rights : Merupakan satu terma yang tidak jelas maknanya. Ada kalanya sama maksud dengan natural right dan ada kalanya lebih kepada

  • 125

    maksud moral right. Walau bagaimanapun, ia bermaksud hak yang dimiliki oleh setiap manusia di muka bumi ini.

    (iii) Moral rights : Hak yang mendapat pengiktirafan dalam sistem moral yang mungkin dihasilkan daripada tanggungjawab (duties) atau sikap yang sempurna. Ia juga bermaksud keunggulan yang harus diteladani, tindak balas atau kesudahan yang berfaedah.

    (iv) Positive rights : Hak yang didokong oleh masyarakat, termasuk hak dari segi undang-undang (legal right) seperti hak untuk mengundi bila cukup umur.

    (v) Prima facie rights : Hak yang tidak semestinya benar dalam situasi tertentu, sekadar tanggapan.

    (vi) Absolute rights : Hak yang tidak boleh ditolak atau dinafikan. Sebagai contoh, keadilan dan juga hak untuk mendapatkan rawatan yang baik.

    SOALAN DALAM TEKS

    3. Apakah maksud hak atau rights mengikut

    pandangan Louis? 4. Apakah maksud moral rights?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    5.3.2 Peruntukan dalam Perlembagan Persekutuan Masihkah anda ingat kenapa perlembagaan menjadi asas dalam urus tadbir birokrat selain dijadikan rujukan terhadap nilai-nilai etika yang perlu diambil kira dalam urusan pentadbiran? Berdasarkan alasan-alasan yang kita pelajari sebelum ini yang ada kaitan dengan hak atau rights seseorang, maka Perlembagaan Persekutuan sendiri mempunyai perutukan tentang hak asasi. Hak asasi telah ditulis dalam Perlembagaan Malaysia dengan menggunakan perkataan kebebasan asasi dan ia terdapat dalam Bahagian 2 Perlembagaan mulai dari Perkara 5 sehingga Perkara 13. Peruntukan-peruntukan hak asasi juga terdapat dalam perlembagaan negara lain seperti di Amerika Syarikat, Perancis, Ireland dan India. Peruntukan tentang kebebasan asasi ini ditulis disebabkan oleh pengalaman politik di negara masing-masing, iaitu rakyat dalam negeri berasa bimbang kalau-kalau kuasa membuat undang-undang dan kuasa kerajaan disalahgunakan sehingga menjadi sebuah kerajaan yang zalim dan menindas rakyat. Peruntukan tentang kebebasan asasi dikatakan dapat menyekat kuasa

  • 126

    kerajaan dan Parlimen dalam melaksanakan tugasnya agar tidak menjejaskan hak setiap rakyat. Perbincangan tentang kebebasan asasi dalam Perlembagaan Persekutuan boleh dikategorikan kepada tiga bahagian, pertama; kebebasan (freedom) dan hak termasuk kebebasan diri, kebebasan daripada kerja paksa, kebabasan beragama, perlindungan daripada undang-undang jenayah yang berkuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang, kebebasan bergerak, kebebasan bercakap serta hak berkenaan dengan pelajaran, kedua; kesamarataan (equality) dan bahagian ketiga; melibatkan hak terhadap harta (property). 5.3.3 Hak Kebebasan (Freedom) Peruntukan di dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang tidak boleh diambil nyawanya atau dihapuskan kebebasannya melainkan mengikut undang-undang. Mahkamah berhak melepaskan dia, jka didapati bahawa dia ditahan kerana menyalahi undang-undang. Apabila seseorang itu ditangkap, dia hendaklah diberitahu sebab-sebab dia ditangkap, dibenarkan berunding dan dibela oleh peguam atau penasihat undang-undang yang dipilihnya sendiri. Setiap orang yang ditangkap hendaklah dibawa ke hadapan majistret dalam tempoh 24 jam bermula dari waktu dia ditangkap melainkan jika dia telah dilepaskan sebelum habis tempoh yang ditetapkan. Kebebasan yang disebut di atas dapat disekat atau dihadkan oleh kuasa-kuasa yang ada pada pihak eksekutif. Kebiasaannya kuasa untuk menghadkan kebebasan seperti di atas terdapat dalam peruntukan dalam statut atau akta-akta tertentu. Pihak eksekutif yang mempunyai kuasa seperti ini atau lebih dikenali sebagai kuasa budi bicara untuk membuat keputusan perlu melaksanakannya dengan suci hati dan penuh etika. Ini kerana kebanyakan keputusan yang dibuat boleh menjejaskan hak serta kehidupan seseorang sama ada hak kebebasan diri ataupun hak terhadap harta yang dimiliki. Sebagai contoh, kita sedia maklum bahawa prinsip asas undang-undang jenayah ialah tiap-tiap orang dianggap tidak bersalah, melainkan setelah dibuktikan bahawa ia bersalah. Tiap-tiap orang juga tidak boleh dipaksa mengaku salah atau memberi keterangan yang menunjukkan bahawa dia telah melakukan kesalahan. Sekiranya pengakuan salah atau kenyataan diberi dengan cara paksaan, maka pengakuan dan kenyataan itu tidaklah boleh diterima oleh mahkamah. Bukti atau keterangan yang lain perlu diperoleh oleh pihak yang mendakwa. Prinsip inilah yang telah diserapkan dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang disebut di atas. Selain itu, ia juga terdapat di dalam Kanun Acara Jenayah dan juga Akta Keterangan. Walau bagaimanapun, prinsip-prinsip di atas telah dihadkan apabila seseorang itu boleh ditahan tanpa bicara sekiranya perbuatan, kelakuan atau gerak-gerinya difikirkan merbahaya kepada keselamatan dalam negara dan juga ketenteraman awam.

  • 127

    Sebagai contoh, antara kuasa yang diberikan kepada pihak eksekutif oleh Akta Keselamatan Dalam Negeri di dalam Seksyen 8 ialah kuasa menahan orang tanpa bicara jika difikirkan mustahak demi menjaga keselamatan negara Malaysia, ketenteraman awam atau perkhidmatan yang penting (essential services) dalam Malaysia. Kuasa untuk menghadkan prinsip yang terpakai dalam undang-undang jenayah telah diperuntukkan di dalam Perkara 149 Perlembagan Persekutuan yang membenarkan Parlimen meluluskan undang-undang untuk mencegah perbuatan-perbuatan yang menimbulkan huru-hara, mengganggu ketenteraman dalam negara ataupun perbuatan-perbuatan yang cuba menggulingkan kerajaan dengan tidak mengikut undang-undang. Kuasa yang diberikan ini amat luas dan mungkin boleh disalahgunakan, justeru eksekutif yang mempunyai kuasa sebegini perlu kepada seorang yang beretika tinggi dan mulia serta disarankan agar melaksanakannya dengan jujur, suci hati serta tidak mempunyai niat jahat kepada mana-mana pihak. Seterusnya Perkara 7 Perlembagaan menyebut, seseorang tidak boleh diseksa kerana melakukan perbuatan yang sememangnya tidak menjadi kesalahan pada ketika ia melakukan perbuatan tersebut. Dia juga tidak boleh dihukum selain hukuman yang ditetapkan oleh undang-undang pada ketika dia melakukan kesalahan tersebut. Sekiranya seseorang telah dibebaskan daripada kesalahan, dia tidak boleh lagi dibicarakan semula atas kesalahan yang sama melainkan kesalahannya itu telah dihapuskan oleh Mahkamah Tinggi dan perbicaraan semula telah diperintahkan oleh mahkamah tersebut. Perkara 9 pula menyebut bahawa seseorang warganegara tidak boleh dibuang negeri atau ditahan masuk daripada Persekutuan. Mereka bebas dan berhak untuk bergerak di seluruh Persekutuan dan tinggal di mana-mana tempat dalam Persekutuan. Kebebasan tertakluk kepada undang-undang tentang keselamatan Persekutuan, keamanan dan kesihatan awam atau hukuman terhadap penjenayah. Sebagai contoh, wujudnya Enakmen Sekatan Tempat Tinggal yang memberi kuasa kepada menteri supaya menetapkan kediaman seseorang di sesuatu daerah atau mukim atau menegahnya daripada pergi ke sesuatu daerah atau mukim lain. Kuasa budi bicara yang luas ini telah diberikan kepada menteri atau menteri besar untuk melaksanakannya sekiranya dirasakan atau percaya bahawa wujud sebab-sebab penting untuk mengeluarkan perintah berkenaan. Begitu juga dengan wujudnya Ordinan Pembuangan Negeri 1959 yang memberi kuasa kepada Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri untuk membuang dan menghalau keluar dari Persekutuan mana-mana orang yang telah dilucutkan kewarganegaraannya kerana ia tidak membawa kebaikan kepada Persekutuan. Berkenaan dengan kebebasan bercakap dan mengeluarkan fikiran, berhimpun secara aman dan tidak bersenjata dan kebebasan menubuhkan persatuan terdapat di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Ia hanya terpakai kepada warganegara Malaysia sahaja dan kebebasan ini tidak

  • 128

    mutlak. Kebebasan ini tertakluk kepada kuasa Parlimen untuk mengenakan sekatan yang difikirkan perlu dan mustahak. Kebebasan bercakap dan mengeluarkan fikiran yang dimaksudkan di sini ialah selain daripada kata-kata yang tidak menjadi fitnah (defamation), hasutan, kata-kata yang mencerca mahkamah (contempt of court) atau kata-kata yang melanggar hak keutamaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Sekiranya kata-kata yang dikeluarkan itu dikategorikan sebagai fitnah, maka menjadi satu kesalahan mal dan kesalahan jenayah seperti yang diperuntukkan di dalam Seksyen 5000, Kanun Keseksaan. Kuasa untuk membuat sekatan kebiasaannya diberi kepada pihak eksekutif melalui peruntukan akta dan di sinilah pentingnya kepada penjawat awam untuk mengambil tahu apakah hak-hak yang ada dalam perlembagaan dan sejauh mana hak-hak tersebut dapat diaplikasikan bergantung kepada sekatan yang ada. Ini dapat membantu penjawat awam yang ada kuasa untuk membuat keputusan untuk membuat satu keputusan yang adil dan diterima oleh semua. Antara sekatan yang boleh diberikan oleh Parlimen terhadap kebebasan bercakap dan mengeluarkan pendapat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau ketenteraman awam, ialah untuk meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoalkan apa-apa hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindungkan oleh peruntukan Perlembagaan iaitu - Bahagian 3 - Berkaitan kewarganegaraan. - Perkara 152 - Mengenai Bahasa Kebangsaan dan penggunaan

    bahasa lain untuk maksud-maksud tidak rasmi. - Perkara 153 - Mengenai kuota untuk orang Melayu dan bumiputera

    Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain.

    - Perkara 181 - Mengenai kedaulatan raja-raja. Setiap warganegara juga berhak berkumpul dengan aman dan dengan tidak bersenjata selagi perbuatan mereka itu tidak mengganggu keselamatan awam dan negara. Dalam hal ini terdapat peruntukan di dalam Seksyen 27 Akta Polis 1967 yang menyatakan bahawa setiap perarakan, perkumpulan atau perjumpaan hendaklah diadakan dengan mendapat lesen daripada polis terlebih dahulu dan polis berkuasa untuk tidak mengeluarkan lesen jika difikirkan bahawa perarakan, perkumpulan atau perjumpaan itu akan menjadi mudarat kepada keselamatan negeri. Perjumpaan, perarakan dan perkumpulan yang diadakan tanpa lesen memberi kuasa kepada polis untuk menghentikannya dan setiap yang terlibat boleh dihukum atas kesalahan tersebut. Begitu juga dalam konteks menubuhkan persatuan, terdapat beberapa undang-undang yang mengawal penubuhan persatuan seperti Akta

  • 129

    Pertubuhan 1966. Seksyen 5 akta berkenaan memberi kuasa kepada Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri untuk membuat perisytiharan terhadap mana-mana pertubuhan sebagai pertubuhan haram sekiranya difikirkan pertubuhan itu digunakan untuk maksud yang memudaratkan kepentingan keselamatan negara, keamanan awam dan juga akhlak orang ramai. Perlembagaan Persekutuan seterusnya mengharamkan pengabdian atau penghambaan serta segala kerja paksa. Peruntukan ini terdapat dalam Perkara 6. Walau bagaimanapun, Parlimen boleh membuat undang-undang untuk memaksa rakyat bekerja bagi maksud negara atau kerja yang dilakukan disebabkan menjalani hukuman penjara ataupun pertukaran pekerjaan dari satu pihak berkuasa awam kepada yang lain. Kebebasan beragama terdapat di dalam Perkara 11 dan 12 Perlembagaan. Perkara 11 menyatakan tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. Setiap orang juga berhak mengembangkan agamanya tetapi undang-undang negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan, Undang-Undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa agama, iktikad atau kepercayaan agama di kalangan orang-orang yang beragama Islam. Seseorang itu juga tidak boleh dipaksa supaya membayar cukai yang pendapatan cukai itu digunakan semuanya atau sebahagiannya untuk maksud agama yang lain daripada agamanya. Perkara 11 juga memperuntukkan bahawa tiap-tiap puak agama itu berhak: (i) Mengurus hal-ehwal agamanya. (ii) Menubuhkan dan menyelenggarakan yayasan untuk agamanya. (iii) Memiliki harta dan mentadbirkan harta itu mengikut undang-

    undang. Kebebasan agama ini akan tersekat sekiranya ada mana-mana agama yang membenarkan berlakunya perbuatan yang berlawanan dengan undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam dan juga akhlak. Perkara 12 pula menekankan pengharaman pembezaan beralaskan agama, kaum, keturunan dan tempat lahir dalam hal kemasukan ke pusat-pusat pengajian yang diselenggarakan oleh pihak berkuasa awam atau dalam hal pemberian pendidikan daripada derma wang yang datang daripada pihak berkuasa awam. Tiap-tiap puak agama berhak menubuhkan yayasan untuk mengajar agamanya dan undang-undang tidak boleh membuat perbezaan beralaskan agama tentang yayasan tersebut. Tetapi pengecualian diberikan iaitu Undang-Undang Persekutuan dan Undang-Undang Negeri boleh membuat peruntukan bantuan wang bagi menubuhkan yayasan Islam atau bagi mengajar agama Islam kepada orang-orang Islam. Perkara 12 seterusnya menetapkan, seseorang yang umurnya kurang daripada 18 tahun, tidaklah boleh dikehendaki menerima ajaran atau

  • 130

    mengambil bahagian dalam adat istiadat agama yang lain daripada agamanya. Ini bermaksud, agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya. Seterusnya perbincangan kita akan diteruskan dengan meneliti kategori kedua tentang peruntukan di dalam perlembagaan berkaitan hak kesamarataan (equality). 5.3.4 Hak Kesamarataan (Equality) Perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuan menekankan tentang hak sama rata di sisi undang-undang. Semua orang mempunyai hak yang sama rata di sisi undang-undang dan juga berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang (equal protection). Peruntukan ini juga mengharamkan pembezaan atau diskriminasi dengan sebab agama, jantina, kaum, keturunan dan tempat lahir dalam perkara-perkara berikut: (i) Mana-mana undang-undang. (ii) Pelantikan jawatan/pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa

    awam (kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun). (iii) Pentadbiran undang-undang berkenaan menubuh atau menjalankan

    apa-apa tred, perniagaan, profesion atau pekerjaan. (iv) Pentadbiran mana-mana undang-undang berkenaan dengan

    memperoleh, memegang atau melepaskan harta. Walau bagaimanapun, peruntukan tentang hak sama rata ini tidak dianggap sebagai membezakan atau diskriminasi sekiranya melibatkan perkara-perkara berikut iaitu (i) Dalam undang-undang diri (personal law) berkenaan sesuatu agama. (ii) Tentang pelantikan jawatan bagi sesuatu agama atau yayasan agama

    itu. (iii) Tentang undang-undang yang bermaksud untuk memperbaiki taraf

    hidup orang asli. (iv) Tentang kediaman dalam sesebuah negeri sebagai syarat untuk

    pilihan raya bagi negeri itu atau bagi pelantikan ke sesuatu jawatan dalam negeri itu.

    (v) Tentang undang-undang askar Melayu.

    Selain daripada pengecualian yang tersebut di atas, hak sama rata di sisi undang-undang ini juga tidak mutlak kerana ia tertakluk kepada beberapa syarat atau pengecualian yang terdapat di dalam peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan. Sebagai contoh Perkara 153 Perlembagaan menetapkan warganegara boleh didiskriminasi dalam hal menjaga hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak serta Perkara 89 berkenaan dengan tanah rezab orang Melayu.

  • 131

    Peruntukan tentang hak keistimewaan ini telah memberi kelebihan dari segi mewujudkan simpanan khas bagi orang-orang Melayu dan bumiputera, beberapa kuota dalam biasiswa, jawatan dalam perkhidmatan awam, lesen berniaga serta tanah-tanah simpanan. Walaupun terdapat perbezaan antara orang Melayu dan Bumiputera dengan bangsa-bangsa lain, tetapi ia akan dapat memberi imbangan yang akan dapat menyamakan taraf kedudukan dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial kerana ia merupakan faktor penting dalam mengekalkan keamanan, kestabilan politik serta keharmonian masyarakat berbilang kaum yang wujud dan menetap di Malaysia. 5.3.5 Hak terhadap Harta (Property) Banyak juga keputusan yang perlu dibuat oleh penjawat awam yang melibatkan harta seseorang. Keputusan yang dibuat haruslah adil dan wajar. Penjawat awam juga perlu tahu Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai peruntukan yang ada kaitan dengan harta seseorang. Menurut Perkara 13, tiada seorangpun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada suatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-hartanya dengan paksa dan dengan tiada pampasan yang mencukupi (adequate compensation). Peruntukan di atas jelas memberi kebebasan kepada setiap orang untuk memiliki harta. Jika hartanya diambil oleh kerajaan dengan sebab kepentingan awam sebagai contoh untuk membuat jalan, maka pampasan yang memadai hendaklah diberikan kepadanya. Pampasan yang diberikan mestilah mencukupi atau mengikut harga pasaran (market value) semasa. Dalam Akta Pengambilan Tanah 1960, terdapat peruntukan yang mensyaratkan agar kerajaan membayar harga pasaran apabila tanah yang dimiliki seseorang telah dibuat pengambilan oleh pihak kerajaan untuk maksud atau kepentingan awam. Kebanyakan undang-undang yang wujud untuk mengawal dan menyekat kebebasan yang diberikan oleh perlembagaan memberikan kuasa yang luas kepada pihak eksekutif termasuk menteri, pihak polis, pasukan keselamatan dan para penjawat awam secara keseluruhan untuk melaksanakannya. Kuasa untuk membuat sekatan ini kebiasaannya diberi kepada pihak eksekutif melalui peruntukan akta dan di sinilah pentingnya kepada penjawat awam untuk mengambil tahu apakah hak-hak yang ada dalam perlembagaan dan sejauh mana hak-hak tersebut dapat diaplikasikan bergantung kepada sekatan yang ada. Ini dapat membantu penjawat awam yang mempunyai kuasa budi bicara dalam membuat sesuatu keputusan memberi satu keputusan yang adil dan diterima oleh semua. Timbul persoalan di sini, apakah pula yang dimaksudkan dengan kuasa budi bicara dan bagaimana kuasa budi bicara itu harus dilaksanakan agar sesuatu keputusan yang dibuat itu adil dan beretika. Bagaimana seseorang penjawat awam harus mengimbangi antara kuasa budi bicara yang dimiliki dan tanggungjawab untuk mengeluarkan satu keputusan yang adil dan dapat

  • 132

    diterima oleh semua orang. Untuk menjawab persoalan ini elok untuk kita mengkaji sedikit maklumat mengenai apa yang dimaksudkan dengan kuasa budi bicara.

    SOALAN DALAM TEKS

    5. Peruntukan mengenai hak asasi dalam

    Perlembagaan Persekutuan. 6. Kenapa peruntukan tentang hak asasi penting dan

    wujud dalam kebanyakan Perlembagaan negara-negara di dunia.

    7. Nyatakan keadaan-keadaan yang menyebabkan peruntukan tentang hak sama rata di dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan tidak dianggap sebagai membezakan atau diskriminasi.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    5.4 PELAKSANAAN KUASA DAN KUASA BUDI BICARA Dalam menuju ke arah pentadbiran yang cekap dan bersih, pelbagai langkah dan program telah dijalankan oleh pihak kerajaan bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan kuasa. Penyalahgunaan kuasa dikatakan berlaku apabila seseorang yang telah diberi kuasa terhadap seseutu perkara atau mana-mana organisasi sama ada di sektor awam atau swasta telah menyalahgunakan kuasa yang telah diberikan kepada mereka untuk kepentingan diri sendiri, malahan mempergunakan kedudukan mereka untuk mendapat kesenangan dan juga kemewahan (http://www.iim.com/PIN/Bab1. htm). Kerajaan juga telah membentuk Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan dengan meletakkan isu keutuhan dan integriti seperti rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan kerajaan sebagai fokus utama. Perbincangan kita dalam aspek ini terhad kepada masalah etika yang menjadi masalah kepada penjawat awam yang memiliki kuasa budi bicara. Kuasa budi bicara yang tidak diputuskan dengan betul boleh menyebabkan seseorang penjawat awam itu dituduh salah guna kuasa atau tidak melaksanakan kuasa budi bicara yang diberikan. Pihak yang terjejas boleh mengemukakan saman di mahkamah. Mahkamah juga mempunyai bidang kuasa untuk menyemak semula setiap keputusan atau tindakan pihak pentadbiran yang dibuat berasaskan kuasa budi bicara sehingga menjejaskan hak diri dan hartanya.

  • 133

    Kuasa budi bicara merupakan kuasa yang diberikan oleh badan perundangan melalui peruntukan statut atau akta tertentu kepada badan eksekutif untuk melaksanakannya. Kuasa budi bicara yang dimiliki oleh eksekutif membolehkan mereka membuat sesuatu keputusan dengan memilih keputusan yang terbaik daripada beberapa alternatif keputusan yang ada. Tiada ukuran atau garis panduan tertentu dan ia ialah sesuatu yang subjektif. Sebagai contoh, terdapat perkataan-perkataan yang biasa digunakan dalam statut yang boleh merujuk kepada kuasa budi bicara iaitu, jika difikirkan perlu, jika beliau berpuas hati atau jika difikirkan munasabah. Perkataan munasabah, puas hati dan perlu di sini ialah sesuatu yang subjektif. Perkataan-perkataan tersebut tidak dapat diukur dan tiada kriteria tertentu yang boleh dijadikan panduan setakat mana harus pembuat keputusan telah berpuas hati, munasabah dan merasakan satu keperluan dalam membuat sesuatu keputusan. Kuasa pentadbiran banyak melibatkan kuasa budi bicara. Sebagai contoh dari segi kuasa meletakkan harga atau sesuatu bayaran termasuklah cukai, kerja awam (public works) seperti yang kita sedia maklum bahawa ia merupakan tugas umum sesebuah kerajaan untuk memastikan peruntukan yang memadai disediakan untuk jalan raya, pengangkutan, perumahan dan sebagainya. Seterusnya kuasa untuk memberi sesuatu lesen. Oleh kerana itu, budi bicara dalam aspek pentadbiran merupakan titik tolak atau permulaan kepada tindak balas yang berasaskan etika yang dimiliki oleh seseorang individu yang ada kuasa untuk membuat sesuatu keputusan. Nilai etika ini menjadi lebih penting jika sesutu keputusan yang dibuat itu boleh menjejaskan hak diri atau harta seseorang. Melalui budi bicara, para birokrat akan turut terlibat dalam proses pentadbiran negara. Justeru, dalam usaha untuk mentadbir sesebuah masyarakat dalam sebuah negara demokrasi, sekiranya tidak wujud perasaan tanggungjawab kepada seluruh masyarakat yang telah memilih kerajaan berkenaan untuk memerintah, boleh menimbulkan satu masalah etika yang serius (John A. Rohr, 1978). Kuasa budi bicara yang luas yang diberikan kepada penjawat awam ini boleh menyebabkan berlakunya salah guna kuasa, bertindak di luar bidang kuasa (ultra vires) atau tidak melaksanakan kuasa budi bicara yang diberikan. Terdapat beberapa perkara yang membolehkan pentadbir dikatakan telah menyalahgunakan kuasa budi bicaranya. Antaranya wujud niat yang tidak baik (malafide) sewaktu membuat keputusan, keputusan yang dibuat tidak munasabah, tidak mengambil kira perkara yang sepatutnya sewaktu membuat keputusan tetapi telah mengambil kira perkara yang tidak sepatutnya dalam mencapai sesuatu keputusan. Pentadbir juga dikatakan tidak melaksanakan kuasa budi bicara yang diberikan sekiranya beliau telah menyerahkan kuasa tersebut kepada orang lain untuk membuat keputusan atau beliau membuat keputusan dengan pengaruh atau nasihat daripada

  • 134

    orang lain. Perbincangan yang lebih mendalam tentang kuasa budi bicara boleh dipelajari dalam kursus Undang-Undang Pentadbiran. Untuk menangani masalah ini, Davis mencadangkan supaya diwujudkan penstrukturan (structure) dalam melaksanakan kuasa budi bicara dan tidak perlu dihapuskan sama sekali. Fleksibiliti dalam membuat keputusan masih dapat dikekalkan seperti yang dikehendaki dalam pentadbiran negara moden (modern administrative state). Yang penting perlu ada kawalan tentang sikap untuk melaksanakan kuasa budi bicara agar tidak melepasi sempadan yang telah dihadkan. Ia boleh dilaksanakan melalui perancangan, pernyataan polisi, peraturan, keputusan, kes-kes yang menjadi ikutan, alasan serta prosedur informal yang adil dan terbuka. Selain itu, konsep urus tadbir yang baik (good governance) ialah suatu amalan yang dapat membawa sesebuah negara ke arah amalan yang baik dan berkesan dalam pentadbiran. Dalam proses ini pelbagai elemen yang efektif dan rasional jika diamalkan mampu membawa negara ke arah sebuah negara yang maju dari segi sosial, politik dan ekonomi. Terdapat lima eleman yang diutarakan oleh United Nations Development Program (UNDP Governance and Sustainable Human Development, 1997) iaitu pertama; legitimacy and voice yang merangkumi penyertaan (participation) dan suara ramai (consensus orientation), kedua; arah (direction) yang melibatkan wawasan strategik (strategic visions), ketiga; (performance) yang melibatkan responsif (responsiveness) dan kecekapan serta keberkesanan (effectiveness and efficiency), keempat; kebertanggungjawaban iaitu sikap bertanggungjawab (accountability) dan ketelusan (transparency) serta kelima; keadilan (fairness) yang melibatkan kesaksamaan (equity) dan keluhuran undang-undang (rule of laws). Jika dinilai kesemua elemen dalam good governance ini sememangnya rasional untuk diguna pakai ke arah membentuk sebuah negara yang bebas daripada masalah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Di samping itu, elemen keadilan dan kebertanggungjawaban juga perlu ditekankan dalam diri penjawat awam. Masalah-masalah pentadbiran yang berlaku dapat dikurangkan jika penjawat awam mengamalkan nilai-nilai yang beretika sepanjang menjalankan tugas sebagai penjawat awam. Gejala seperti rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa tidak boleh dibiarkan berlarutan. Ia akan menjejaskan usaha-usaha pembangunan negara malah rakyat akan mundur dan menderita. Penjawat awam juga tidak terkecuali dalam menanggung kesusahan. Justeru, matlamat yang harus kita perjuangkan ialah untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan ini untuk menjadikan perkhidmatan awam Malaysia sebuah perkhidmatan yang bertaraf dunia iaitu dalam produktiviti dan efisiensi malah bertaraf dunia dalam etika serta bebas dari gejala rasuah.

  • 135

    5.5 KESIMPULAN Kita telah membincangkan peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan tentang hak setiap orang yang ada di Malaysia. Hak-hak ini amatlah penting dipelihara dan diketahui khususnya oleh penjawat awam sendiri kerana kebanyakan kuasa yang diberikan kepada penjawat awam dalam membuat keputusan banyak melibatkan hak-hak orang awam. Sekurang-kurangnya dengan mempelajari peruntukan-peruntukan ini, penjawat awam dapat mengetahui perkara-perkara asas berkaitan hak yang sepatutnya diberikan kepada setiap orang dan sekiranya ada keputusan yang melibatkan kuasa budi bicara untuk menarik balik hak tersebut, ia dapat diputuskan dengan adil dan penuh beretika tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif atau niat yang tidak baik (mala-fide).

    SOALAN PENILAIAN KENDIRI

    1. Apakah kaitan etika dengan kuasa budi bicara yang dimiliki oleh

    penjawat awam? 2. Kenapakah hak-hak yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan

    perlu dipelihara dan diketahui oleh penjawat awam.

    Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

    JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

    1. Pemilihan untuk menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai

    tumpuan utama disebabkan penjawat awam telah mengangkat sumpah untuk menyokong dan memartabatkan perlembagaan kerana tindakan tersebut perlu kepada ciri-ciri moral yang baik dan akhirnya dapat membentuk sebuah masyarakat yang bermoral tinggi. Selain itu, penjawat awam juga telah berikrar dalam sumpah jawatan mereka untuk menunaikan kewajipan dengan jujur sedaya upaya dan menumpahkan taat setia sebenar kepada Malaysia di samping memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang yang paling tinggi dan utama dalam negara.

    2. Penjawat awam di Amerika Syarikat dalam melaksanakan tugas dan

    tanggungjawab mereka, bukan secara langsung hanya bertanggungjawab kepada keseluruhan pengundi semata-mata, tetapi mereka mempunyai tanggungjawab moral (moral obligation) di dalam memperingati diri masing-masing terhadap nilai-nilai (values) yang perlu di amalkan dalam mentadbir, mengurus, mengawal dan memerintah.

  • 136

    3. Menurut Louis, maksud hak atau rights lebih mudah dijelaskan berdasarkan beban tanggungjawab atau kewajipan (duties) yang ditetapkan atau dikenakan. Hak-hak ini merupakan tuntutan terhadap orang lain iaitu pada waktu yang sama termasuk kebebasan diri yang dimiliki oleh seseorang.

    4. Maksud moral rights: Hak yang mendapat pengiktirafan dalam sistem

    moral yang mungkin dihasilkan daripada tanggungjawab atau kewajipan (duties) atau sikap yang sempurna. Ia juga bermaksud keunggulan yang harus diteladani, tindak balas atau kesudahan yang berfaedah.

    5. Hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat dalam

    Bahagian 2 mulai dari Perkara 5 sehingga Perkara 13.

    6. Peruntukan tentang hak asasi ini penting dan dimasukkan ke dalam kebanyakan Perlembagaan negara-negara lain termasuk Malaysia kerana ia ada kaitan dengan pengalaman politik negara masing-masing. Peruntukan tentang hak asasi wujud kerana ia dapat menjamin agar kuasa-kuasa yang dimiliki oleh kerajaan tidak disalahgunakan sehingga menindas rakyat. Peruntukan ini dapat menyekat kuasa kerajaan dan Parlimen dalam melaksanakan tugasnya agar hak rakyat terbela dan tidak terjejas.

    (i) Dalam undang-undang persendirian (personal law) berkenaan

    sesuatu agama. (ii) Tentang pelantikan jawatan bagi sesuatu agama atau yayasan

    agama. (iii) Tentang undang-undang yang bermaksud untuk

    memperbaiki taraf hidup orang asli. (iv) Tentang kediaman dalam sesebuah negeri sebagai syarat

    untuk pilihan raya bagi negeri itu atau bagi pelantikan ke sesuatu jawatan dalam negeri.

    (v) Tentang undang-undang askar Melayu.