Bab 2 Tesis Siap

10
BAB 2 KAJIAN LITERATUR Bab ini akan menghuraikan secara ringkas kajian-kajian yang berkaitan dengan kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran sama ada dari dalam mahupun luar negara. Perkara utama yang akan disentuh ialah kajian-kajian berkaitan pendekatan kontruktivisme dan mengapa saya memilih pendekatan konstruktivisme sabagai kaedah pengajaran dan pembelajaran saya dalam topik Trigonometri II.

description

tesis

Transcript of Bab 2 Tesis Siap

28

BAB 2

KAJIAN LITERATUR

Bab ini akan menghuraikan secara ringkas kajian-kajian yang berkaitan dengan kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran sama ada dari dalam mahupun luar negara. Perkara utama yang akan disentuh ialah kajian-kajian berkaitan pendekatan kontruktivisme dan mengapa saya memilih pendekatan konstruktivisme sabagai kaedah pengajaran dan pembelajaran saya dalam topik Trigonometri II.

2.0Pengenalan

Pendekatan penggunaan teori pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu pengajaran dan pembelajaran dalam bidang pendidikan. Menurut Arif Sukardi (1987) teori pembelajaran memainkan peranan yang penting kepada guru kerana menerusi teori-teori ini guru akan memahami proses pembelajaran yang berlaku di dalam diri pelajar, memahami faktor yang mempengaruhi dan mempercepatkan proses pembelajaran para pelajar. Selain itu guru akan dapat membuat ramalan yang tepat tentang hasil yang diharapkan dari proses pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan dengan itu salah satu teori yang berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah teori konstruktivisme. Teori ini pada umumnya adalah merupakan pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Kajian ini bertujuan untuk melihat keberkesanan pendekatan konstruktivisme dalam mengatasi kesilapan konsep topik Trigonometri II dalam kalangan Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah daerah Kuala Selangor.

2.1Pengertian Konstruktivisme

Konstruktivisme dalam bahasa Inggeris constructivism berakar daripada perkataan construct yang bermaksud membina (Poh, 2000). Konstruktivisme merupakan teori yang mengganggap bahawa pengetahuan tidak boleh wujud diluar minda pelajar tetapi dibina berdasarkan pengalaman yang diterima.

Nik Azis Nik Pa (1996) menerangkan bahawa konstruktivisme adalah tidak lebih daripada satu komitmen terhadap pandangan bahawa manusia membina pengetahuan sendiri. Oleh itu, ini bermakna suatu pengetahuan yang dipunyai oleh seseorang individu adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh individu tersebut dan bukan suatu maklumat atau pengajaran yang diterima secara pasif dari luar.

Teori konstruktivisme mengatakan bahawa murid membina makna mengenai dunia dengan mengintesis pengalaman baru terhadap apa yang mereka telah fahami sebelumnya. Mereka membentuk peraturan melalui refleksi mengenai interaksi mereka dengan objek dan idea. Apabila mereka bertemu dengan objek, idea atau perkaitan yang tidak bermakna kepada mereka : mereka akan sama ada menginterpretasi apa yang mereka lihat supaya sesuai dengan peraturan sedia ada atau akan menyesuaikan dengan peraturan mereka sendiri untuk menerangkan maklumat baru tersebut dengan lebih baik (Brooks & Brooks, 1993).

Sehubungan itu, pembelajaran secara konstruktivisme akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid sementara guru hanya berperanan sebagai fasilitator yang membimbing mereka membina ilmu pengetahuan ataupun menyelesaikan masalah yang dihadapi. Guru juga sebagai pereka bentuk bahan pengajaran yang menyediakan peluang kepada murid untuk membina ilmu pengetahuan baru.

Oleh itu, kaedah konstruktivisme memainkan peranan yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran matematik khususnya di sekolah menengah. Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru perlu menganbil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kekuatan mereka, barulah bentuk baru tentang sesuatu ilmu pengetahuan dapat dibina. Dalam kajian Chong Lih Shuan (2008), pengetahuan guru pelatih tentang konstruktivisme yang amat sesuai dengan kehendak pendidikan Sains dan Matematik kini.

Berdasarkan kepada pandangan-pandangan di atas maka pengertian pembelajaran secara konstruktivisme bolehlah dirumuskan di mana konstruktivisme adalah satu fahaman bahawa pelajar membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Dalam proses ini, pelajar akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baharu.PengetahuanIdeaKonsepKemahiranMaklumat

Pengetahuan baru yang telah dibinaPengetahuan sedia adaPengetahuan yang diterima

(Tran Vui, 2000)Rajah 2.1 : Gambaran Pengertian KonstruktivismeSalah satu model pengajaran yang menggunakan pendekatan pembelajaran Konstruktivisme ialah Model Needham Lima Fasa (Needham, 1987). Model ini mencadangkan lima fasa yang berturutan dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu fasa orientasi idea, fasa pencetusan idea, fasa penstrukturan semula idea, fasa aplikasi idea dan fasa refleksi.

Dalam fasa orientasi idea, pelajar-pelajar berfokus kepada topik pengajaran hari itu melalui segala deria mereka. Dalam fasa pencetusan idea, pelajar-pelajar mencetuskan idea mereka yang berlainan dan mungkin berbeza daripada idea saintifik. Inilah fasa bagi guru mengecam miskonsepsi pelajar ataupun kerangka alternatif pelajar dan memperbetulkan miskonsepsi pelajar ataupun kerangka alternatif pelajar dan memperbetulkan miskonsepsi pelajar melalui aktiviti hands-on dan minds-on seterusnya. Dalam fasa penstrukturan semula idea, segala miskonsepsi ataupun kerangka alternatif pelajar diperbetulkan melalui pelbagai aktiviti, penyiasatan ataupun eksperimen. Dalam fasa aplikasi idea, segala idea baru peajar digunakan dalam suatu situasi baru ataupun kegiatan sehari-harian. Dalam fasa refleksi, pelajar dapat membuat refleksi terhadap perubahan idea kerangka alternatif mereka kepada saintifik melalui penulisan jurnal (Needham & Hills, 1987).Orientasi

Pencetusan Idea

Penstrukturan Semula Idea

Aplikasi Idea

Refleksi

Rajah 2.2 : Model Konstruktivisme Lima Fasa Needham

2.2Kajian-Kajian Lepas Berkaitan Konstruktivisme

Terdapat beberapa kajian lepas mengenai konstruktivisme, antaranya ialah dengan pendekatan konstruktivisme, murid terlibat secara aktif di dalam kelas. Hal ini disokong oleh Meor Ibrahim (2001) dalam Chong Lih Shun (2008) telah menyatakan bahawa salam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik, penekanan perlu diberikan pendekatan konstruktivisme, dengan memberi peluang kepada murid supaya terlibat secara aktif. Sebagai contoh, jika guru ingin mengajar topik Poligon Tingkatan 1, guru telah meminta supaya murid membentuk lima kumpulan. Kemudian, guru akan memberikan setiap kumpulan satu bentuk poligon dan meminta pelajar berbincang di dalam kumpulan dengan menyatakan bilangan bucu, bilangan sisi dan bilangan segi tiga yang boleh dibentuk daripada poligon berkenaan. Cara ini akan menjadikan murid bergerak dan dapat mengelakkan murid menjadi pasif apabila berada dalam kelas.

Selain itu, konstruktivisme juga menyebabkan murid dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain di dalam kelas. Ini secara tidak langsung menjadikan komunikasi dua hala antara murid dan guru. Konstruktivisme menganggap bahawa murid adalah sentiasa aktif dalam membina pengetahuan dan pengalaman yang telah mereka kuasai sebelum ini (Billet 1996 ; Kerka 1997 dalam Chong Lih Shuan 2008). Aktiviti perbincangan dalam kumpulan menjadikan para murid di dalam kelas bercakap antara satu sama lain dan ini dapat mengelakkan murid bersikap pasif di dalam kelas.

Pendekatan konstruktivisme juga akan menggalakkan murid berfikir secara kritis dan kreatif. Menurut Ahmad Rami (2002), pengajaran dan pembelajaran berdasarkan konstruktivisme dapat menggalakkkan dan memberi ruang kepada murid untuk mengamal dan memperkembangkan kemahiran proses dains an kemahiran berfikir. Sebagai contoh, apabila seorang guru ingin mengajar topik Geometri Pepejal II Tingakatan 2, guru telah meminta supaya murid membentuk lima kumpulan. Kemudian, guru meminta setiap kumpulan berbincang untuk melukis rumah atau bangunan daripada beberapa bentuk pepejal geometri yang telah dipelajari. Oleh itu, murid dapat menyumbang idea dan pandangan masing-masing dan dari sini juga guru menggalakkan murid berfikir bagaimana mengaplikasikan apa yang mereka belajar. Guru juga boleh mengaitkan bentuk-bentuk bangunan yang sedia ada dengan menunjukkan gambar bangunan yang mengaplikasikan Geometri Pepejal.

Di samping itu, melalui pendekatan konstruktivisme murid dapat menghayati apa yang mereka belajar dengan mendalam menurut Confrey (1985) dalam Fadhlina Mohd Azizuddin (2008), konstruktivisme membantu murid-murid dalam pembelajaran untuk memperkenalkan pembinaan yang lebih berkesan di mana murid akan menghayati mata pelajaran secara mendalam. Maksudnya ialah murid dapat memahami dan merasai apa yang telah mereka belajar dengan lebih jelas dan mendalam kerana mereka sendiri membuat aktiviti yang dilakukan di dalam kelas. Ini secara tidak langsung akan membuatkan murid mudah mengingati dan memahami sesuatu topik yang mereka belajar.

2.3Mengapa Penyelidik Memilih Pendekatan Konstruktivisme?

Pendekatan konstruktivisme memberikan impak yang besar terhadap pembelajaran kanak-kanak dari zaman-berzaman. Ia melihatkan keupayaan pelajar untuk berfikir dan kebijaksanaan untuk menyelesaikan masalah mereka dan orang lain. Teori ini juga diguna pakai pada masa kini dan juga di Malaysia. Pada zaman sekarang, teori ini dilihat diguna pakai oleh majoroti guru untuk mendidik. Jika seseorang guru itu menggunakan teori ini mengikut peringkat-peringkat yang dikemukakan oleh tokoh teori, ia amatlah sesuai dengan gaya perkembangan pendidikan zaman sekarang.

Pelajar yang belajar secara konstruktivisme diberi peluang untuk membina sendiri kefahaman mereka tentang sesuatu. Ini menjadikan mereka lebih yakin kepada diri sendiri dan berani menghadapi dan menyelesaikan masalah dalam situasi baru. Pelajar yang berkemahiran sosial boleh bekerjasama dengan orang lain dalam menghadapi sebarang cabaran dan masalah. Kemahiran sosial ini diperoleh apabila pelajar berinteraksi dengan rakan-rakan dan guru dalam membina pengetahuan mereka. Dalam pembelajaran secara konstruktivisme, pelajar membina sendiri pengetahuan, konsep dan idea secara aktif. Ini menjadikan mereka lebih faham, lebih yakin dan lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayatt walaupun menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran. Oleh itu, penyelidik ingin melihat keberkesanan pendekatan konstruktivisme ini sesuai ataupun tidak untuk digunakan dalam topik Trigonometri II bagi mengatasi kesilapan konsep pelajar Tingkatan Empat.

2.4Kesimpulan

Daripada kajian-kajian lepas, penyelidik mendapati bahawa kesan penggunaan pendekatan konstruktivisme terhadap pencapaian akademik dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan di Malaysia. Ini disebabkan masih terdapat pro dan kontra penggunaan pendekatan konstruktivisme terhadap pencapaian akademik di kalangan pelajar dalam kajian-kajian yang telah dijalankan. Di samping itu, aktiviti-aktiviti dalam kaedah konstruktivisme dan maklum balas pelajar selepas sesi kaedah konstruktivisme dilaksanakan juga turut menarik minat penyelidik untuk mengetahui sajauh manakah keberkesanan penggunaan kaedah konstruktivisme dalam pengajaran matematik dalam kalangan pelajar sekolah menengah.