Bahan Presentation

20
ISU DAN CABARAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH DALAM KALANGAN GURU ¹Noorzeliana Binti Idris, ²Norazilawati Binti Abdullah, ³Saniah Binti sembak Universiti Pendidikan Sultan Idris ABSTRAK Sistem pendidikan negara kita yang berteraskan peperiksaan telah mendorong pelajar-pelajar belajar dan menghafal untuk lulus peperiksaan. Pengetahuan yang diterima dengan cara ini tidak akan kekal. Ini bermakna kejayaan dalam peperiksaan tidak memberi gambaran sebenar tentang kejayaan penguasaan sesuatu kurikulum. Maka Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan Pentaksiran Berasakan Sekolah (PBS) sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan. PBS dirancang, ditadbir, di skor dan dilaporkan secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia dan ia merupakan satu bentuk penilaian yang dilakukan oleh guru dan pihak sekolah. Namun sejak kebelakangan ini banyak keluhan dari guru-guru tentang PBS . Maka k ertas ini mengetengahkan isu dan cabaran permasalahan guru dalam pentaksiran semasa melaksanakan PBS. Kajian ini membincangkan isu- isu berkaitan ketidakyakinan dan ketidaksungguhan guru dalam menaksir, amalan birokrasi dalam pentaksiran, dan beberapa permasalahan guru sepanjang melaksanakan PBS. Kajian ini telah mengemukakan beberapa cadangan bagi penambahbaikan kualiti dalam pelaksanaan PBS. KATA KUNCI: Pentaksiran Berasaskan Sekolah, ketidaksungguhan, ketidakyakinan

description

presentation

Transcript of Bahan Presentation

ISU DAN CABARAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH DALAM KALANGAN GURU

Noorzeliana Binti Idris, Norazilawati Binti Abdullah, Saniah Binti sembak Universiti Pendidikan Sultan Idris

ABSTRAK

Sistem pendidikan negara kita yang berteraskan peperiksaan telah mendorong pelajar-pelajar belajar dan menghafal untuk lulus peperiksaan. Pengetahuan yang diterima dengan cara ini tidak akan kekal. Ini bermakna kejayaan dalam peperiksaan tidak memberi gambaran sebenar tentang kejayaan penguasaan sesuatu kurikulum. Maka Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan Pentaksiran Berasakan Sekolah (PBS) sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan. PBS dirancang, ditadbir, di skor dan dilaporkan secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia dan ia merupakan satu bentuk penilaian yang dilakukan oleh guru dan pihak sekolah. Namun sejak kebelakangan ini banyak keluhan dari guru-guru tentang PBS. Maka kertas ini mengetengahkan isu dan cabaran permasalahan guru dalam pentaksiran semasa melaksanakan PBS. Kajian ini membincangkan isu-isu berkaitan ketidakyakinan dan ketidaksungguhan guru dalam menaksir, amalan birokrasi dalam pentaksiran, dan beberapa permasalahan guru sepanjang melaksanakan PBS. Kajian ini telah mengemukakan beberapa cadangan bagi penambahbaikan kualiti dalam pelaksanaan PBS.

KATA KUNCI: Pentaksiran Berasaskan Sekolah, ketidaksungguhan, ketidakyakinan

PENGENALAN

PBS dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Ia juga merupakan penilaian holistik yang menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan aspek-aspek psikomotor (fizikal) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) atau Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Objektif utama pelaksanaan PBS adalah untuk:

i) mendapatkan gambaran keseluruhan potensi individuii) memantau pembangunan individu dan membantu untuk meningkatkan potensi individuiii) membuat laporan yang bermakna kepada pembelajaran individu (Lembaga Peperiksaan, 2012)

Komponen PBS terdiri daripada bidang akademik dan bukan akademik seperti Rajah 1. Bidang akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala bidang bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psiko metrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Kedua-dua bidang ini memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2012).

Komponen PBS

PENTAKSIRAN SEKOLAH

Pentaksiran sekolah (PS) merujuk pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, di rekod dan di lapor oleh guru sekolah yang berkenaan. Pentaksiran sekolah dilaksanakan secara formatif dan sumatif bagi melihat perkembangan pembelajaran murid serta menambah baik pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran formatif dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian. Manakala pentaksiran sumatif dijalankan pada akhir setiap unit pembelajaran, penggal, bulan dan tahun. PS berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning). PS berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning). PS mempunyai ciri-ciri berikut:a.Holistik iaitu mampu memberikan maklumat keseluruhan tentang pengetahuan dan kemahiran yang dicapai oleh muridb.Berterusan iaitu aktiviti pentaksiran berjalan seiring dengan PdPc.Fleksibel iaitu kaedah pentaksiran yang pelbagai mengikut kesesuaian dan kesediaan murid.d.Merujuk standard prestasi yang dibina berdasarkan standard kurikulum. (Lembaga Peperiksaan 2013)a.Standard prestasi

Standard prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang tahap-tahap penguasaan seseorang murid dalam sesuatu bidang atau mata pelajaran yang dipelajari. Dalam satu tempoh pembelajaran, murid ditaksir berdasarkan penanda aras (benchmark) yang terdapat dalam standard prestasi. Guru menggunakan standard prestasi sebagai rujukan untuk menentukan aktiviti pentaksiran dilaksanakan secara adil dan berfokus. Standard Prestasi juga menjadi sumber rujukan oleh semua pihak yang terlibat dalam pendidikan secara langsung dan tidak langsung seperti murid, guru, ibu bapa serta pihak yang berkepentingan untuk menunjukkan dengan jelas matlamat yang ingin dicapai dalam sistem pendidikan. Selain itu, standard prestasi juga boleh dijadikan kayu ukur untuk menentukan tahap dan standard pendidikan negara berbanding negara lain. Jadual 1 menunjukkan pernyataan dalam Standard Prestasi dan tafsirannya. Dengan menggunakan Standard Prestasi:

1. Murid tahu dengan jelas apa yang perlu dikuasai atau dicapai, apa yang ditaksir dan kualiti yang diharapkan dalam sesuatu pentaksiran.

1. Guru tahu matlamat yang akan dicapai dalam pendidikan murid di sekolah, apa yang ditaksir dan kualiti yang harus ada pada setiap murid.

1. Ibu bapa tahu apa yang telah dikuasai atau dicapai oleh anak-anak mereka selepas melalui proses pendidikan untuk satu tempoh tertentu.

1. Pihak yang berkepentingan tahu matlamat kurikulum dan kualiti murid yang melalui sistem pendidikan negara.

Standard Prestasi dan TafsirannyaPERNYATAANTAFSIRAN

BANDSatu label yang digunakan untuk menunjukkan tanda aras tertentu yang disusun secara hierarki digunakan bagi tujuan pelaporan tahap penguasaan murid

STANDARDSatu penyataan tentang suatu domain merujuk kepada tanda aras tertentu dan bersifat generik bagi memberi gambaran secara holistik tentang tahap penguasaan murid.

PERNYATAAN STANDARDPernyataan Standard bagi sesuatu mata pelajaran diguna pakai sepanjang tempoh peringkat pembelajaran (Sekolah rendah : Tahun 1 hingga Tahun 6 dan Sekolah menengah rendah : Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3) dan digubal berdasarkan Objektif Mata Pelajaran berkenaan.

DESKRIPTORDeskriptor merujuk kepada perkara yang murid seharusnya tahu dan boleh buat berdasarkan standard pembelajaran yang diterakan dalam Standard Kurikulum bagi mata pelajaran berkenaan. Deskriptor setiap pernyataan standard adalah berbeza bagi setiap tahun pembelajaran

EVIDENS(Murid)Pernyataan yang menerangkan bagaimana murid menunjukkan perkara yang diketahui dan dikuasai berdasarkan sesuatu deskriptor.

EVIDENS(Bahan)Bahan atau apa-apa bentuk bukti yang dapat ditunjukkan oleh murid yang melaksanakan sesuatu tugasan dalam bentuk produk atau proses. Eviden boleh dalam bentuk produk atau proses seperti gambar foto, grafik, artifak dan laporan

INSTRUMENAlat yang digunakan untuk menguji penguasaan/pencapaian murid bagi sesuatu domain seperti Ujian bertulis, Ujian lisan, Demonstrasi, Ujian amali, Pemerhatian, Kajian Lapangan dan sebagainya

b.Dokumen Standard Prestasi

Dokumen Standard Prestasi dibangunkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP). Dokumen yang dibangunkan ini mengandungi panduan untuk mentafsir pencapaian murid mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam Dokumen Standard Kurikulum. Dokumen Standard Kurikulum dibangunkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum yang mengandungi perkara-perkara yang patut dipelajari dan perlu disampaikan dalam proses PdP. Jadual 2 menunjukkan contoh Dokumen Standard Prestasi yang mengandungi pernyataan deskriptor dan eviden bagi mata pelajaran Sains tingkatan Satu.

Dokumen Standard Prestasi

BANDPERNYATAAN STANDARDDESKIPTOREVIDENS

1TahuB1Mengetahui konsep dan prinsip asas sainsB1D1Menyatakan kerjaya dalam sains

B1D2Mengenal pasti sel sebagai unit asas kehidupan

B1D3Menyatakan tentang benda-benda di sekelilingB1D1E1Menyenaraikan kerjaya dalam bidang sains

B1D2E1Menyatakan sel sebagai unit asas kehidupan

B1D2E2Menyenaraikan pelbagai jenis sel manusia

B1D3E1Menyenaraikan benda-benda yang mempunyai isim dan memenuhi ruang.

AMALAN DALAM PENTAKSIRAN SEKOLAH

Guru merupakan pihak utama yang bertanggungjawab dalam pentaksiran pengajaran dan pembelajaran pelajar, oleh itu kualiti pentaksiran bilik darjah yang diamalkan oleh guru amat diberi perhatian. Tujuan utama pentaksiran dalam bilik darjah adalah untuk mendapat maklumat tentang kemajuan dan pencapaian seseorang pelajar (McMillan, 2008). Pentaksiran dalam bilik darjah merangkumi aktiviti-aktiviti seperti pembentukan ujian bertulis dan pentaksiran prestasi (performance assessment), penggredan, mentafsir skor peperiksaan, memberi maklum balas tentang hasil pentaksiran dan penggunaan hasil pentaksiran dalam membuat keputusan. Namun, guru seharusnya merancang sebelum pentaksiran dilakukan supaya pentaksiran yang dilakukan lebih terancang dan telus. Guru memulakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan melakukan perancangan berikut;

a.memilih tajuk dan merancang perkara yang akan diajar dengan memilih kandungan mata pelajaran yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum (DSK).

b. tentukan kaedah pengajaran serta mengenal pasti kaedah pentaksiran seterusnya menyediakan bahan-bahan pengajaran

c. menyampaikan kandungan mata pelajaran kepada murid dengan menggunakan pelbagai strategi mengikut kreativiti guru

d. menaksir pemahaman murid tentang perkara yang diajar dan melaporkan tahap prestasi murid berdasarkan evidens yang dikemukakan oleh murid.

Guru melakukan pentaksiran dan sentiasa memastikan berlaku penjajaran strategi dan instrumen pentaksiran yang bersesuaian dengan perkara yang ditaksir. Pentaksiran boleh dilakukan secara tidak formal sebagai contoh menggunakan kaedah pemerhatian iaitu guru menilai murid secara berterusan tentang apa yang mereka tahu, faham dan boleh buat. Pelajar pula boleh memberikan eviden untuk dinilai dalam bentuk proses, produk atau diri murid itu. Sekiranya pelajar telah mencapai standard yang ditetapkan, guru akan meneruskan PdP kandungan berikutnya dalam DSK. Sekiranya murid tidak mencapai standard yang ditetapkan guru akan membuat sesi pemulihan untuk membimbing murid tersebut. Pemilihan strategi pengajaran penting bagi membantu murid mendapat pengalaman pembelajaran yang sejajar dengan DSK. Rajah 2 menunjukkan Carta alir penggunaan Standard Prestasi dalam Pentaksiran Sekolah.

Guru pilih standard kurikulum yang akan diajarGuru rancang pengajaran, pembelajaran dan menyediakan kaedah pentaksiran

Pilih standard kurikulum yang baru dan laksanakan pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran seterusnyaBelum mencapaitahap penguasaan Telah mencapaiTahap penguasaan

Penggunaan Standard Prestasi dalam Pentaksiran Sekolah

PELAPORAN

Pelaporan ialah proses guru menentukan tahap penguasaan murid dalam mata pelajaran yang diajar berdasarkan deskriptor yang terdapat dalam DSP. Pelaporan boleh dilakukan secara formatif dan sumatif.

a. Pelaporan Perkembangan Pembelajaran Murid melaporkan perkembangan murid dalam pembelajaran berdasarkan pentaksiran secara formatif (rujuk Rajah 4)

Pelaporan Formatif

b. Pelaporan Pencapaian Murid melaporkan pencapaian murid dalam pembelajaran berdasarkan pentaksiran secara sumatif (rujuk Rajah 4)

Pelaporan sumatif

ISU DAN CABARAN PBS DALAM KALANGAN GURU

Ketidakyakinan guru dalam pentaksiran

Walaupun guru-guru telah mengikuti kursus tetapi mereka tetap merasa kurang yakin dalam menaksir murid. Kekurangan pengetahuan, kemahiran dan sumber material menambahkan lagi ketidakyakinan mereka dalam pentaksiran. Hal ini pernah diutarakan oleh Raden (2008) di mana guru mengimpikan latihan yang profesional dalam pentaksiran bagi mendapatkan pengetahuan dan kemahiran pentaksiran agar mereka boleh melaksanakan PBS dengan jayanya. Guru-guru mahu dibekalkan dengan sumber material seperti Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid (PPPM), Manual Pentaksiran, contoh instrumen, contoh pemarkahan dan sebagainya. Latihan dan bengkel ini sangat penting untuk memberi kemahiran dan keyakinan kepada guru untuk merangka bentuk dan pelaksanaan PBS. Sebahagian ibu bapa juga mempertikaikan cara setiap guru mata pelajaran membuat pentaksiran. Di sebabkan sikap campur tangan ibu bapa yang hanya menuding jari, menambahkan lagi ketidakyakinan guru dalam membuat pentaksiran.

Kajian soal selidik LP yang dijalankan mengenai kesediaan guru melaksanakan PBS secara dalam talian (online) pada September 2012 mendapati guru kurang memahami mengenai cara melaksanakan pentaksiran seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran (pentaksiran formatif). Hal ini adalah kerana, kesukaran guru membina instrumen pentaksiran yang pelbagai bentuk kerana masih terikat dengan fahaman dan kebiasaan menilai pencapaian murid menggunakan ujian berbentuk kertas dan pensel.

Ketidaksungguhan guru dalam Pentaksiran

PBS berperanan menguji dan menilai prestasi murid dari semua segi secara keseluruhan. Pentaksiran merangkumi prestasi akademik, kokurikulum dan sahsiah sepanjang murid menjalani proses PdP. Guru yang bertanggungjawab dan berperanan menjalankan proses PBS ini perlu mengikuti semua langkah dan prosedur pentaksiran. Namun begitu, ketidaksungguhan guru dalam menaksir akan menjejaskan seluruh sistem pentaksiran. Kualiti pentaksiran boleh dipertikaikan oleh semua pihak jika guru mengambil sikap acuh tidak acuh semasa menaksir pelajar. Sekiranya perkara ini berlaku, di bimbangi berlaku ketidakadilan, ketelusan dan keseragaman dalam membuat pentaksiran terhadap murid, sedangkan amalan ini merupakan salah satu elemen yang penting dalam menentukan murid mendapat gred yang menepati apa yang diusahakan dan diperoleh sepanjang PdP. Perkara ini berlaku kerana kurang pemantauan dari pihak atasan. Perkara ini telah dibincangkan dalam kajian Tan Ai Mei (2010) di mana kurang pemantauan akan menjadikan guru tidak bersungguh dan leka dalam melakukan pentaksiran. Oleh itu guru perlu dipantau dengan menggunakan satu piawai atau standard pentaksiran yang sah dan sesuai digunakan terhadap murid. Manakala kajian Chan (2009) mendapati 25% guru mengatakan tiada pemantauan dari pihak pentadbir dan tiada kerjasama dengan guru senior dan pihak pentadbir juga tak hiraukan pelaksanaan PBS mereka hanya mahukan keputusan sahaja. Perkara ini berlaku juga disebabkan pemarkahan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah menyebabkan guru menaksir sambil lewa. Tidak bersungguh-sungguh kerana rasa tidak puas hati menyebabkan pemarkahan tidak telus

Amalan Birokrasi Dalam Pentaksiran

Hasil temu bual Tan Ai Mei (2010) dalam kajian beliau dengan guru PBS, mengatakan bahawa guru diminta secara am memberi gred yang baik kepada pelajar. Arahan ini secara tidak langsung mendorong pengurusan PBS ke arah sekadar mengisi keperluan markah, khasnya dalam memberi gred yang baik kepada pelajar. Perkara ini berlaku disebabkan pemantauan dari pihak atasan hanya untuk melihat hitam putih. Penyataan ini turut disokong dalam kajian Tan Ai Mei yang mendapati bahawa pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mahupun Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) ada membuat pemantauan tetapi hanya secara bertulis iaitu memeriksa laporan-laporan yang telah pun difailkan. Menurut Tan lagi pemantauan secara amali atau semasa proses pelaksanaan PBS kurang dilakukan di sekolah-sekolah. Pemantauan secara amali ini penting bagi melihat sendiri pelaksanaan PBS oleh guru-guru dan mengkaji di mana cacat celanya. Ini kerana jadual pemantauan telah pun disediakan di awal tahun lagi namun pelaksanaannya tidak mengikut seperti mana yang dijadualkan. Menurut Tan lagi, pemantauan pelaksanaan PBS oleh pihak LP dan JPN yang sekadar berfokuskan kepada laporan penulisan telah banyak mewujudkan isu mengenai akauntabiliti penilaian berkenaan. Antaranya meliputi isu perbuatan penipuan termasuk pembentukan sikap murid yang tidak serius terhadap projek dan kerja lisan yang dijalankan. Ini berlaku kerana pemantauan yang tidak dijalankan pada tahap amali, atau pun penekanan tidak diberi oleh pentaksir terhadap pemantauan pada peringkat proses.

Permasalahan Guru Sepanjang Melaksanakan PBS

Sepanjang melaksanakan PBS banyak keluhan guru diluahkan melalui media cetak mahu pun media sosial. Pernyataan ini bertambah kuat apabila kajian secara online yang dijalankan oleh KPM untuk melihat persetujuan guru dalam pelaksanaan PBS mendapati hampir 75% guru setuju ia dihapuskan. Ini juga terbukti lagi apabila wujud laman difacebook yang ingin memansuhkan PBS. Ia disokong oleh lebih 70 ribu orang guru (https://www.facebook.com/KamiMahuSPPBSDimansuhkan). Tambahan pula pihak KPM telah memberhentikan pelaksanaannya buat seketika pada bulan Februari 2013 bagi mengkaji semula semua rungutan guru tentang pelaksanaan PBS yang dikatakan agak terburu-buru. Berikut adalah permasalahan yang dihadapi oleh guru sepanjang melaksanakan PBS:

Bebanan guru yang bertambah

Baru-baru ini Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) membuatkan guru yang mengajar tingkatan tiga lebih terkesan dengan bebanan kerja. Ini adalah kerana mereka perlu mengajar, menaksir dan memberi skor kepada pelajar. Sebelum ini Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dijalankan guru hanya mengajar dan guru luar terlibat dalam penandaan kertas jawapan dan memberi markah kepada pelajar. Bebanan semakin bertambah apabila guru memegang jawatan-jawatan penting di sekolah yang memaksa guru keluar sekolah untuk berkursus atau terpaksa memberi tumpuan lebih untuk menjalankan tugasan-tugasan penting. Secara tidak langsung, guru tertinggal banyak masa untuk mengajar dan mentaksir pelajar. Acara atau aktiviti di sekolah juga sedikit sebanyak mengganggu sesi PdP guru dalam melaksanakan PBS.

CADANGAN PENGUKUHAN PELAKSANAAN PBS DALAM KALANGAN GURU

Perbanyakan latihan dan bengkel dalam pentaksiran

Ilmu pentaksiran sangat penting kepada seseorang guru bagi melaksanakan pentaksiran yang telus. Dengan ilmu ini pentaksiran guru akan mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Kajian Stiggins (2005) juga mendapati tidak ramai guru yang betulbetul bersedia dalam melakukan pentaksiran bilik darjah kerana mereka tidak berpeluang untuk mempelajari teknikteknik dan amalan pentaksiran yang betul. Selama ini wakil setiap sekolah akan dihantar untuk mendapatkan ilmu tersebut dan akan menyampaikan semula kepada guru-guru sama ada secara formal atau tidak formal. Kesannya, maklumat yang disampai mungkin bukan sepenuhnya atau mungkin berlaku kesilapan penyampaian maklumat. Dengan dapatan kajian Tan (2010) yang mendapati guru kurang yakin melaksanakan PBS disebabkan kurang pengetahuan dan kemahiran, maka pihak JPN harus turun ke sekolah-sekolah secara berperingkat untuk memberi pendedahan yang secukupnya. Guru boleh bersoal jawab dan berkongsi masalah yang dihadapi serta mendapat maklum balas serta-merta. Penyampaian ilmu ini mungkin boleh dibuat dua kali setahun memandangkan masalah akan timbul setelah melalui proses pelaksanaan. Maka proses pentaksiran akan berjalan dengan lancar apabila semua permasalahan telah dapat diselesaikan, walaupun secara perlahan-lahan.

Pemantauan yang konsisten dan bermatlamat

Pihak JPN/PPD mahu pun pentadbir sekolah seharusnya memantau semasa proses pentaksiran berlaku dan bukan memantau guru-guru dari segi lisan yang bertulis. Ini adalah kerana laporan bertulis mungkin boleh direka dan bukan dalam keadaan sebenar. Maka sebaiknya pemantauan perlu dilihat sendiri oleh pegawai yang bertanggungjawab sejauh mana pelaksanaannya. Ia juga berguna untuk mengesan masalah yang dihadapi oleh guru semasa proses pentaksiran berlaku. Dengan itu penambahbaikan boleh segera dibuat bagi mengatasi segala permasalahan yang ditanggung oleh guru. Kekerapan pemantauan juga boleh menjamin kualiti sesuatu pentaksiran. Ini adalah kerana guru-guru perlu sentiasa bersedia dengan proses sebelum, semasa dan selepas pentaksiran. Kajian secara online yang dibuat oleh LP pada September 2012, mendapati 90% guru tahun 1, 2 dan 3 serta 83% guru tingkatan 1, tidak jelas tentang konsep pentaksiran. Guru-guru ini menyatakan pentaksiran dilakukan selepas pengajaran sedangkan pentaksiran boleh dilakukan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (Stiggins 2005). Maka dengan adanya pemantauan, masalah sebegini boleh dikesan dan tunjuk ajar boleh diberikan secara langsung.

Kurangkan gangguan dalam pentaksiran

Program sekolah harus dikurangkan supaya tiada gangguan semasa pentaksiran dijalankan. Pihak pentadbir perlu memberi kerjasama dengan tidak terlalu membebankan guru dengan tugasan yang bukan melibatkan pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah kerana guru perlu lebih masa untuk yang melibatkan aktiviti pentaksiran di mana guru perlu merancang dengan teliti dan menepati objektif pengajaran yang telah ditetapkan di awal pengajaran dan pembelajaran. Program sekolah yang kerap diadakan di waktu persekolahan sedikit sebanyak mengganggu perancangan guru dalam melaksanakan pentaksiran. Kalau dilihat rasional kepada perlunya pelaksanaan PBS adalah (King & Brathwaite, 1991): i. ia menaksir sesuatu objektif yang tidak dapat ditaksir melalui ujian bertulis biasa.ii. ia memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan kebolehan atau kemahiran yang mereka kuasai.

Maka dengan ini perlunya guru dan pelajar beri penumpuan penuh kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan kualiti pentaksiran mencapai piawaian yang ditetapkan.

RUMUSAN

Guru yang melaksanakan PBS seharusnya diberi pengetahuan dalam pentaksiran supaya keseragaman dan kejituan dalam memberi skor. Pihak sekolah perlu mengurangkan aktiviti-aktiviti yang mengganggu guru dalam PdP. Pihak atasan juga perlu memantau dan sentiasa memberi penekanan dalam aktiviti pentaksiran. Pelajar dan ibu bapa perlu diberi pendedahan tentang kepentingan PBS supaya memudahkan guru bekerjasama dengan mereka.

Bibliografi

Chan Yuen Fook 2003. Pendektan Penilaian:satu tinjauan dari aspek kesesuaiannya dalam penilaian program latihan. Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Institut Aminudin Baki 13(1): 65-81

Chan Yuen Fook, Gurnam kaur Sidhu, Md Rizal Bin Md Yunus 2009. School-based Assessment. Enhancing Knowledge and best Practices. University Publication Centre UTM Shah Alam.

J. Braithwaite, 1991 The Criminal Class and the Making and Breaking of Australia, Australian and New Zealand Journal of Criminology, 24, , 99-104.

Lembaga peperiksaan 2012 . http://www.moe.gov.my/lp

Lembaga Peperiksaan 2012. Panduan Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah

Lembaga Peperiksaan 2013. Buku Informasi PBS

Mc Millen, M.D., Robert L. L. dan Norman E.G. 2000. Measurement and assessment in teaching (Fifth Edition). Pearson International Edition, Upper Saddle River, New Jersey

Radin Mohd Shamsul Zahri 2008. Penilaian Program Pentaksiran Kerja Kursus Berasaskan Sekolah. Teknologi Kejuteraan SPM. Tesis Sarjana. UKM Bangi.

Stiggins, R.J. Schafer & Hills 2005. Assessment Literacy, Phi Del Kappan (atas talian) assess. Htlm.at www.oise.on ca (20 September 2008)

Tan Ai Mei 2010 Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Malaysia. Kesediaan Guru, Isu dan Panduan Pelaksanaan. Gerak Budaya Enterprise, Kuala Lumpur. Tesis Doktor Falsafah. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi

BIODATA DAN ALAMAT PENULIS

Noorzeliana IDRIS merupakan seorang pemegang biasiswa PhD Kementerian Pendidikan Malaysia yang sedang mengikuti Falsafah Kedoktoran dalam bidang Penilaian Pendidikan di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia. Beliau merupakan guru Matematik yang berpengalaman selama 16 tahun di sekolah rendah dan menengah sebelum mengikuti PhD. Beliau juga memiliki Sijil Perguruan Asas (Sains & Matematik) di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik di Universiti Pendidikan Sultan Idris, dan Ijazah Sarjana Pendidikan Matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Noorzeliana IDRIS Fakulti Pendidikan dan Pembangunan ManusiaUniversiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, 35900 Perak Malaysia

E-mail : [email protected]

Norazilawati ABDULLAH merupakan pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan dan PembangunanManusia, Jabatan Pengajian Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia. Beliauadalah seorang guru sebelum berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Pendidikan SultanIdris, Perak. Pendidikannya sebagai pelajar Sarjanamuda Sains Dengan Pendidikan iaituPendidikan (Sains) adalah di Universiti Kebangsaan Malaysia(2002), peringkat Sarjana- Pendidikan (Sains) Universiti Kebangsaan Malaysia(2005) dan Doktor Falsafah (Ph.D) -Pendidikan (Sains) Universiti Kebangsaan Malaysia(2010). Kajian-kajian beliau banyak dibentangkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sehingga mendapat beberapa anugerah antaranya Tokoh Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Am, KESATUAN WAWASAN NUSANTARA, 2013.

Norazilawati ABDULLAH Universiti Pendidikan Sultan Idris Fakulti Pendidikan dan Pembangunan ManusiaTanjung Malim 35900 Perak MALAYSIA E. Mail: [email protected]

Saniah SEMBAK merupakan pelajar PhD secara sambilan dan berkhidmat sebagai guru di sekolah menengah di Melaka. Beliau adalah pelajar di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia dalam bidang Pengajian Kurikulum. Beliau telah berkhidmat sebagai seorang guru selama 16 tahun dan telah menamatkan Sarjana Muda Pendidikan Sains (Biologi) di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 2004 serta Sarjana Pendidikan Sains 2011di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Saniah SEMBAK Universiti Pendidikan Sultan Idris Fakulti Pendidikan dan Pembangunan ManusiaTanjung Malim 35900 Perak MALAYSIA E. Mail: [email protected]