Baju Kebaya
-
Upload
muhammad-adib -
Category
Documents
-
view
188 -
download
2
description
Transcript of Baju Kebaya
1.0 Pengenalan
Baju kebaya ialah pakaian tradisional yang dipakai oleh wanita Malaysia dan Indonesia. Baju
kebaya ini diperbuat daripada kain kasa dan biasanya dipasangkan dengan sarung, batik atau
pakaian tradisional yang lain seperti songket dengan motif yang berwarna-warni.
Baju kebaya ini dipercayai berasal daripada negara Arab. Orang Arab membawa baju
kebaya ke Nusantara ratusan tahun yang lalu dan telah tersebar ke Melaka, Jawa, Bali,
Sumatera dan Sulawesi. Pada masa itu, asimilasi budaya telah berlaku dan masyarakat
setempat telah mula memakai baju kebaya.
Sebelum tahun 1600, baju kebaya adalah pakaian yang hanya dipakai oleh kaum
kerabat diraja Pulau Jawa sahaja. Apabila Belanda menjajah Pulau Jawa, wanita-wanita
Eropah menjadikan baju kebaya sebagai pakaian rasmi. Lama-kelamaan, baju kebaya telah
diubah daripada yang hanya menggunakan barang tenunan mori menggunakan sutera dengan
sulaman yang berwarna-warni.
1.1 Asal Usul Kebaya Nyonya
Denys Lombard (1996) telah menyatakan bahawa perkataan “kebaya” berasal daripada bahasa
Arab “habaya” yang bererti pakaian labuh yang berbelah di hadapan. Pada masa itu, kebaya
merupakan baju yang dipakai oleh wanita Indonesia.
Terdapat juga pendapat lain yang menyatakan bahawa kebaya berkaitan dengan
pakaian panjang wanita pada masa empayar Ming di Tiongkok. Pengaruh dalam gaya
pemakaian ini merebak ke Asia Tenggara dan Asia Selatan sekitar abad ke-13 melalui
penyebaran penduduk daratan Tiongkok. Pengaruh ini kemudiannya menyebar ke Melaka,
Jawa, Bali, Sumatera dan Sulawasi.
Perkembangan kebaya ini juga mempunyai hubungan yang erat dengan penyebaran
agama Islam di Indonesia pada sekitar abad ke-15. Pergeseran budaya berpakaian kelihatan
pada perkembangan kerajaan-kerajaan Jawa kuno ke era Kesultanan atau Kerajaan Islam di
Pulau Jawa.
Kebaya nyonya pertama kali diciptakan oleh masyarakat Peranakan iaitu Baba dan
Nyonya. Mereka merupakan satu kaum yang wujud dalam kalangan masyarakat Cina di Tanah
Melayu khasnya di negeri-negeri Selat iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura di mana
British mendirikan penempatan perdagangan mereka. Ramai ahli sejarah percaya bahawa
fenomena ini berlaku menerusi perkahwinan campur yang berlaku di antara pedagang Cina
yang datang berniaga di Tanah Melayu dan kemudiannya telah berkahwin dengan wanita
Melayu. Ada juga yang menyatakan bahawa baju kebaya nyonya ini dibawa oleh Portugal ke
Melaka.
Pada zaman kegemilangan Melaka juga merupakan zaman kegemilangan Peranakan
Cina. Hal ini dikatakan demikian kerana sekumpulan pedagang Cina telah menggabungkan
pengaruh Cina dan Melayu ke dalam budaya dan gaya hidup mereka. Mereka merupakan
masyarakat yang unik kerana kumpulan ini adalah sebahagian daripada kaum Cina tetapi
mengamalkan budaya dan cara hidup campuran Cina dan Melayu. Oleh sebab itu, kaum
peranakan ini mempunyai persamaan dengan kaum Melayu dan kaum Cina.
Budaya inilah yang melahirkan baju kebaya nyonya. Mengikut fakta sejarah, wanita
peranakan Cina memakai kebaya nyonya sebagai pakaian harian seawal 1930-an. Kini, baju
kebaya nyonya bukan hanya digayakan oleh wanita Asia sahaja, malah diterima pakai di serata
dunia.
Gambar 1 : Contoh Kebaya Nyonya
1.2 Ciri-ciri Kebaya Nyonya
Kebaya nyonya ini biasanya dihasilkan dengan satu jenis fabrik yang dikenali sebagai kasa
rubia. Kasa rubia ialah kain tenunan kosong yang jarang, ringan dan diperbuat daripada
benang pintal yang halus. Benang yang digunakan untuk menjahit fabrik ini biasanya ialah
benang sulaman mesin daripada kapas, sutera atau polister. Pada zaman dahulu, fabrik dan
benang yang digunakan adalah daripada jenis yang bermutu tinggi dan selalunya diimport dari
Eropah.
Pada asalnya, baju kebaya nyonya ini direka labuh sehingga ke paras lutut atau lebih
dan bahagian tangannya panjang dan lebar manakala bahagian badannya mengikut potongan
badan serta melebar ke bawah. Bahagian depan baju kebaya nyonya ini pula berbelah dan
berkolar sampai ke kaki baju.
Gambar 2 : Kebaya Nyonya
Bahagian depan baju kebaya nyonya yang berbelah akan disemat dengan tiga
kerongsang berasingan dan berangkai dengan rantai halus. Kerongsang yang besar di atas
sekali dikenali sebagai ibu kerongsang manakala dua lagi kerongsang yang kecil di bawah ibu
kerongsang dipanggil anak kerongsang.
Gambar 3 : Kerongsang
Menurut Pepin Van Roojen (1993), sulaman pada kebaya nyonya biasanya
menggabungkan corak bunga, lakaran atau geometri dan menggunakan jahitan satin, jahitan
zigzag, jahitan lubang butang dan jahitan tebuk lubang. Teknik ini memerlukan tusukan jarum
berulang kali pada kain kasa. Jahitan zigzag dan jahitan butang digunakan untuk corak seperti
sarang labah-labah pada kasa rubia yang menyediakan rangka bagi corak kerrawang yang
rumit. Fabrik di celah sulaman kerawang ini dipotong untuk mewujudkan lubang-lubang yang
menambah sentuhan kecantikan dan keanggunan kebaya nyonya ini.
Ibu Kerongsang
Anak Kerongsang
Gambar 4 : Sulaman pada Kebaya Nyonya
Menurut Tan Chee Beng (1988), biasanya, baju kebaya nyonya ini digayakan dengan
kain batik dan kasut bermanik yang cantik. Kain batik adalah kain yang memiliki ragam khas
atau corak yang dibuat dengan canting dan cap dengan menggunakan malam sebagai bahan
perintang warna. Kain batik dihasilkan melalui teknik batik tulis, teknik batik cap dan teknik
batik lukis. Kain batik yang dipakai bersama kebaya nyonya selalunya mempunyai pelbagai
ragam corak dan warna. Kasut bermanik pula ialah hasil kraf tangan peranakan Baba dan
Nyonya yang diwarisi secara turun-temurun. Rekaan kasut bermanik tradisional sering
memperlihatkan motif bunga Eropah dan warnanya dipengaruhi oleh tembikar Peranakan dan
sarung batik.
Gambar 5 : Kebaya Nyonya dengan Kain Batik dan Kasut Bermanik
1.3 Fungsi Kebaya Nyonya
Baju kebaya nyonya mempunyai banyak fungsi. Secara amnya, kebaya nyonya ini sesuai
dipakai dalam semua situasi terutamanya semasa majlis perkahwinan ataupun pertunangan.
Pada waktu dulu, kebaya nyonya bukan sahaja dipakai setiap hari malah juga akan dipakai
semasa menyambut perayaan oleh masyarakat nyonya. Selain itu, pada masa kini, kebaya
nyonya ini juga merupakan pakaian formal dan sesuai dipakaikan dalam semua majlis rasmi.
Walau bagaimanapun, menurut Tan Chee Beng (1988), dalam masyarakat Peranakan
corak dan rekaan kebaya nyonya adalah berlainan mengikut majlis yang dihadiri. Dalam majlis
keramaian, nyonya akan memakai baju panjang dengan sarung batik dan memakai barang-
barang emas yang direka khas untuknya. Golongan muda pula akan memakai kebaya nyonya
pendek bersulam dengan warna yang terang.
Kebaya nyonya untuk keluarga berkabung kebanyakannya adalah berwarna lembut
seperti putih dan biru. Corak dan ketebalan sulaman pada fabrik tidak terhad.
Pakaian basahan biasanya menggunakan kain rubia berpetak, bergaris atau berbintik
dan dihiaskan dengan sulaman berkelok. Barang-barang kemas yang dipakai adalah minimum
dan pratikal.
2.0 Rumusan
Secara ringkasnya, dapat disimpulkan bahawa kebaya nyonya merupakan pakaian tradisional
masyarakat Peranakan di Melaka. Mereka merupakan satu kaum yang wujud dalam kalangan
masyarakat Cina di Tanah Melayu melalui perkahwinan campur masyarakat Cina dengan
masyarakat Melayu. Pada dasarnya, kebaya nyonya ini dicipta oleh masyarakat Peranakan
dan nyonya telah memakai kebaya nyonya sebagai pakaian harian seawal 1930an.