BEBERAPA MASALAH ALAM SEKITAR MENURUT...
-
Upload
nguyendang -
Category
Documents
-
view
223 -
download
4
Transcript of BEBERAPA MASALAH ALAM SEKITAR MENURUT...
1
Beberapa Masalah Alam Sekitar Menurut Islam
Abdul Basir bin Mohamad
Universiti Kebangsaan Malaysia
ABSTRAK
Islam merupakan agama yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada makhlukNya melalui
RasulNya Nabi Muhammad SAW. Allah SWT adalah Pencipta, manakala makhluk merupakan
benda yang dicipta olehNya. Oleh itu, setelah sempurna penciptaanNya, diwahyukan kepada
makhlukNya segala peraturan dan undang-undang sebagai suatu cara hidup untuk mereka
mendapat kesejahteraan, tidak hanya di dunia sahaja, bahkan di akhirat nanti. Undang-undang
Islam yang sering diungkapkan oleh para cendikiawan Islam kebiasaannya dalam kelompok
ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji. Dilebarkan lagi ungkapan mereka berhubung
dengan isu perkahwinan, muamalat dan kelakuan jenayah. Inilah antara tajuk utama yang sering
diungkapkan oleh para pemikir Islam. Kurang kedengaran perbincangan berhubung dengan
penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar. Begitu juga isu-isu berhubung dengan pencemaran
alam sekitar dari sudut undang-undang Islam. Adakah ia tidak ada dalam perbincangan undang-
undang Islam. Sedangkan kita mengatakan Islam suatu cara hidup. Maka sudah pasti ia meliputi
semua aspek kehidupan manusia, termasuk undang-undang dan pengurusan alam sekitar. Naluri
manusia pada asasnya tidak bertentangan dengan kehendak Islam, dan begitu juga kehendak
Islam, semuanya sesuai dengan naluri manusia. Sebarang perkara yang diharamkan oleh Islam,
sebenarnya naluri manusia juga tidak berkehendakkannya. Sehubungan dengan undang-undang
dan pemeliharaan alam sekitar, didapati bahawa kehendak Islam seiring dengan kehendak dan
cita-cita manusia. Cita-cita manusia tidak mahu melihat kerosakan muka bumi dan alam sekitar,
begitu jugalah undang-undang Islam sangat memandang berat hal ehwal berkaitan dengan
pemeliharaan dan pengurusan alam sekitar. Dalam kertas ini akan dibincangkan beberapa tajuk
berhubung dengan pencemaran alam sekitar dan kemudian akan dilihat peruntukan undang-
undang semasa berkaitan dengannya. Seterusnya akan disusuli dengan pandangan undang-
undang Islam berhubung dengan setiap satu bentuk pencemaran alam sekitar tersebut. Hal ini
dikira penting bagi mendedahkan kepada masyarakat awam bahawa undang-undang Islam itu
bukan hanya menangani isu-isu berkaitan dengan ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah
sahaja, bahkan ia meliputi hingga kepada isu pemeliharaan, penjagaan dan pengurusan alam
sekitar, terutamanya hal ehwal berkaitan dengan pencemaran alam sekitar. Antara tajuk yang
akan dibincangkan dalam kertas ini ialah pencemaran air, pencemaran udara, pencemaran
sampah sarap dan pencemaran bunyi bising. Hasil daripada pembentangan kertas ini diharapkan
masyarakat awam menyedari bahawa Islam sangat mengambil berat berkaitan dengan penjagaan
Profesor Dr. dan merupakan seorang pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Bidang kajian
beliau meliputi undang-undang tort dan jenayah Islam/perbandingan.
2
alam sekitar. Oleh itu, sebarang tindakan yang boleh merosakkan alam persekitaran sangat
dilarang oleh undang-undang Islam.
Pengenalan
Apabila kita membicarakan soal alam sekitar, sebenarnya apa itu alam? Apabila disebut alam,
adakah ia terasing daripada diri kita sendiri? Adakah apabila membicarakan alam sekitar, kita
hanya memerhatikan sesuatu atau benda-benda yang wujud di sekeliling kita sahaja, tidak
kepada diri kita sendiri? Adakah ia terhenti di situ sahaja. Kemungkinan kebanyakan daripada
kita hanya terhenti di situ sahaja, iaitu alam sekeliling di satu pihak dan diri sendiri di satu pihak
yang lain. Orang sebegini merupakan manusia yang terhijab pandangannya dalam konteks
mengenal diri sendiri, mengenal alam sekeliling dan seterusnya mengenal Maha Pencipta.
Sebenarnya dari sudut ilmu hakikat, diri kita dengan alam adalah satu, diri adalah alam dan alam
adalah diri kita. Sekalipun ia tidak bercantum, tetapi berpisahpun tiada. Sebab itulah sesetengah
penulis memberi pengertian alam sebagai segala kewujudan yang selain daripada Allah SWT (al-
Jurjani 1991). Ini bermakna bahawa apabila disebut alam, ia termasuk diri kita sendiri.
Oleh itu, sebenarnya apabila kita memelihara diri kita dengan baik, bermakna dengan sendirinya
ia dikira sebagai telah memelihara alam sekitar dengan baik juga. Hal ini kerana diri kita
merupakan sebahagian daripada alam sekitar dan alam sekitar juga merupakan sebahagian
daripada diri kita. Sekiranya alam sekitar menangis, bermakna sebenarnya diri kita sepatutnya
turut menangis. Sekiranya kita merosakkan alam sekitar, bermakna kita merosakkan diri kita
sendiri. Bagaimanakah hal ini boleh terjadi? Ia mungkin terjadi bagi manusia yang tidak berhati
perut dan tidak mengenal diri sendiri. Cuba bertanya diri kita sendiri, apakah maksud alam?
Adakah diri kita ini bukan alam? Jika diri kita bukan alam, apa maksud diri kita? Jika alam itu
makhluk, adakah kita bukan makhluk? Jika lembu itu makhluk, adakah kita bukan makhluk? Jika
kita makhluk, apakah perbezaan diri kita dengan lembu? Oleh itu, sekiranya bagi orang-orang
yang berhati rohani, dia akan menjawab bahawa kita dengan lembu hanya berbeza dari sudut
rupa bentuk sahaja, tetapi dari sudut roh yang menggerakkan sifat jasad rupa bentuk kita dengan
lembu adalah sama sahaja, tiada apa-apa perbezaan. Sama jugalah kita dengan pokok, tumbuhan
dan sebagainya. Berbeza dari sudut rupa bentuk, tetapi sama dari sudut isi dalamannya, iaitu roh.
Roh itu datangnya daripada Yang Maha Esa, dan kita dengan segala makhluk ini adalah satu
sahaja, tiada beza dari sudut roh walaupun berbeza dari sudut rupa bentuk. Ini merupakan
pandangan bagi sesiapa yang memandang dari sisi ilmu hakikat. Oleh itu, sesiapa yang
memandang makhluk hanya sebagai makhluk dengan pandangan jasad semata-mata, maka dia
masih lagi berada dalam kesesatan dan kegelapan menurut ulama ahli hakikat, kerana mereka
belum lagi dapat mengenal Maha Pencipta Allah SWT. Sebenarnya kewujudan alam seluruh ini
adalah satu sahaja yang dikembalikan kepada Allah semuanya, tidak ada apa yang berbaki lagi.
Sekiranya begini kedudukannya, pastinya alam sekitar akan terpelihara dengan baik, kerana kita
dengan alam adalah satu, dan yang satu itu dikembalikan kepada Yang Maha Esa semata-mata.
Kita tidak punya apa-apa. Sekiranya kita melakukan sebarang kerosakan ke atas diri sendiri atau
ke atas alam sekeliling yang boleh dipersoalkan dari sudut tingkah lakunya, tunggulah balasan
yang amat pedih daripada Allah SWT.
3
Apabila kita lihat dan pandang kepada perkara yang tersembunyi di sebalik sifat lembu sebagai
contoh, barulah kita sedar dan barulah kita faham bahawa ia sama dan serupa dengan yang ada di
dalam diri kita, iaitu roh yang satu. Kita berbeza dengan lembu, gajah, atau monyet hanyalah dari
segi sifat fizikal atau dari segi rupa paras atau bentuk badan sahaja. Sedangkan sifat dalaman kita
dengan sifat dalaman binatang, tetap sama dan tetap satu.
Yang satu itu datangnya daripada Yang Maha Satu, Yang Maha Esa, iaitu Allah SWT. Oleh itu,
wajiblah apabila kita memandang alam ini, pandanglah ke dalam diri setiap sesuatu itu, barulah
kita boleh memahami asal usul alam ini. Pandanglah sifat rohani dan sifat batin dalaman setiap
sesuatu itu, diri kita, binatang, tumbuhan dan alam semesta, pandanglah sifat roh pada diri
masing-masing. Lihat dan pandang yang banyak kepada yang satu dan pandanglah yang satu
kepada yang banyak. Pandanglah kewujudan Allah sebelum daripada kewujudan segala makhluk
atau pandanglah kewujudan Allah selepas daripada kewujudan segala makhluk. Akhirnya, segala
kewujudan itu adalah daripada yang satu kepada yang satu. Yang kita nampak dan pandang
banyak di sekeliling kita ini sebenarnya bayangan sahaja. Semuanya milik Allah SWT yang
semestinya dijaga dengan sebaik mungkin, bukannya milik kita, malahan kita datangnya
daripada Allah SWT dan kembali kepada Allah SWT. Sebenarnya diri kita dan alam ini
datangnya daripada tiada dan akhirnya kembali kepada tiada jua. Samalah dengan seluruh alam
persekitaran ini. Jika ini boleh ditanam dalam jiwa masing-masing, mana mungkin lagi akan
terjadi kerosakan dan pencerobohan kepada alam persekitaran. Jika berlaku lagi, itu bermakna
penceroboh wajar dihukum, kerana dia beranggapan alam persekitaran ini termasuk dirinya
adalah miliknya. Sedangkan, dirinya sendiri pun bukan miliknya, mana mungkin alam sekitar ini
menjadi milknya. Oleh itu, tunggulah pembalasan yang seadil-adilnya daripada Yang Maha Adil
dan Yang Maha Memiliki alam ini.
Apabila kita telah mencapai ke tahap yang tidak lagi dapat membezakan antara sifat diri kita
dengan sifat alam sekeliling, sifat diri dengan sifat binatang, sama-sama mempunyai roh yang
sama tanpa sedikitpun berbeza, maka ketika itulah tahap kita telah mencapai ke tahap sebenar-
benar ingat kepada Yang Maha Esa. Alam diri sudah tiada, alam rupa sudah tiada, alam bentuk
sudah tiada, alam warna sudah tiada, alam makhluk sudah tiada, maka yang dipandang itu sudah
tidak lagi dipandang kepada semua itu, semuanya sudah dikembalikan kepada Yang Maha
Berkuasa dan Yang Maha Memiliki, maka ketika itu ingatan hanya tertumpu kepada Allah SWT
semata-mata. Ketika ini, bukan hanya alam sekitar tidak dicerobohi, malahan seekor semut pun
tidak sanggup dipijak. Dipijak seekor semut, seolah-olah terpijak diri sendiri. Mana mungkin
dibunuh seekor semut, sedangkan diri sendiri dengan semut merupakan diri yang satu, berdiri
dengan roh yang satu dan bergerak dengan qudrat Allah Yang Maha Satu. Oleh itu, apa beza diri
sendiri dengan diri seekor semut. Sebenarnya, tiada apa-apa perbezaan dari sudut hakikatnya.
Inilah kedudukan alam sekitar atau alam lingkungan dengan diri kita sendiri. Ia adalah satu dan
tetap satu selama-lamanya. Inilah tandanya kita berTuhan dan sentiasa mengingati Allah SWT.
Selagi kita meletakkan alam dan diri kita berasingan, masih lagi memandang kepada rupa,
bentuk, warna dan sifat-sifat makhluk, maka selagi itulah kita masih lagi jauh dengan Yang
Maha Esa. Kita masih lagi dalam kedudukan berdua, bertiga dan berempat, bukannya dalam
posisi yang betul-betul Yang Maha Esa.
Diri kita ini dengan alam sekitar sebenarnya berasal daripada yang satu. Satu pada sifat, satu
pada nama, satu pada perbuatan dan satu pada zat. Apabila kita dapat memandang roh yang
4
terkandung di dalam diri binatang dan di dalam diri manusia, di situlah kita akan memandang
dan melihat Yang Maha Esa dengan jelas dan terang. Apabila kita dapat melihat sifat dalaman
masing-masing, barulah datang sifat belas kasihan dan sifat saling memelihara kepada binatang,
tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, sungai, hutan belantara dan sebagainya, apatah lagi kepada
sesama manusia.
Dari situ kita baru tahu bahawa yang membezakan kita hanyalah sifat luaran sahaja, tetapi sifat
dalaman kita adalah satu. Bila semuanya menjadi satu, sifat kita dengan sifat makhluk binatang,
tumbuh-tumbuhan dan dengan sifat alam semesta ini, kita akan menghormati alam semesta ini,
dan Allah SWT akan merahmati kita semua. Manakan tidak, kita adalah rohNya, maka rohNya
adalah sentiasa selamat. Oleh itu, apabila memandang alam sekitar, janganlah memandang sifat
lahiriahnya- binatang, tumbuh-tumbuhan atau sifat manusia, tetapi pandanglah kepada diri
rohaninya yang satu. Maka akan hilanglah sifat dan segala kelakuan yang merosakkan dan
memusnahkan diri sendiri dan alam sekeliling.
Bagi yang berniat untuk menzalimi binatang, tumbuh-tumbuhan atau apa jua yang boleh
mendatangkan mudarat kepada sesama manusia, maka lihat dan pandanglah kepada sifat
dalaman setiap sesuatu itu. Jika kita dapat melihat dan memandang sifat dalaman antara satu
sama lain, tidak mungkin kita sampai hati untuk mengkhianati makhluk lain. Begitu juga apabila
mereka melihat diri kita, kerana diri mereka, kita dan semua makhluk itu adalah satu, iaitu
makhluk sepertimana diri kita sendiri.
Bilamana sifat dalaman kita telah menjadi satu dengan sifat makhluk lain, di situlah nanti hati
kita tidak akan sampai hati untuk menzalimi binatang, merosakkan alam sekitar, mengotorkan
sungai, membuang sisa toksik ke dalam saliran air, menebang pokok secara berleluasa dan
sebagainya, apatah lagi membuat sesuatu tindakan yang zalim sesama manusia. Apabila telah
mencapai satu alam kepada Yang Maha Esa Allah, di situlah hati kita tidak sanggup lagi
berhadapan dengan tindakan kezaliman seperti membunuh, mencuri, merogol, memukul,
menyiksa dan mengkhianati alam sekeliling. Maka kita sesama makhluk akan timbullah sifat
belas kasihan, timbang rasa, kasih sayang dan akhirnya kita akan dirahmati oleh Allah SWT
secara sebenar-benar rahmat. Maka timbullah didikan yang sangat-sangat dicari oleh orang yang
mempunyai hati nurani, iaitu bersifat sabar, tidak pemarah, pemurah, penyayang, baik hati,
saling tolong menolong dan tulus ikhlas. Bila hati sudah mengenali roh diri, maka akan timbullah
rasa bersalah dan berdosa apabila kita melakukan kebinasaan dan kerosakan ketika kita
menceroboh, mengotori dan mencemari alam sekitar. Lantaran berperasan keinsafan dan tulus
ikhlas itu, hati kita akan menjadi lembut, bertimbang rasa, belas kasihan dan hormat
menghormati sesama makhluk biarpun seekor anjing, apatah lagi alam sekitar keseluruhannya.
Roh atau rohani setiap makhluk itu adalah satu dan yang satu itu adalah milik Allah SWT.
Apabila ia menjadi milik Allah SWT, jika kita mengganggu roh bermakna kita mengganggu zat
Allah SWT. Jika kita mengkhianati roh, bererti kita mengkhianati zat Allah itu sendiri. Cuba
bayangkan balasan bagi sesiapa yang mengganggu zat Allah SWT, sudah pasti balasan neraka
yang paling dalam tempatnya. Mohon diri kita semua dilindungi daripada balasan tersebut.
5
Beberapa Masalah Alam Sekitar
Pencemaran Air
Isu pencemaran air merupakan suatu isu yang sering terpapar dalam akhbar-akhbar arus perdana
dan kadang-kadang ia menjadi isu utama dalam siaran televisyen. Walaupun isu ini sering
diperkatakan oleh pihak tertentu sama ada oleh pihak pemerintah, pihak berkuasa tempatan,
persatuan pencinta alam sekitar dan sebagainya, tetapi sekiranya ia tidak diberi kerjasama oleh
orang ramai, lebih-lebih lagi oleh pihak industri, isu ini akan sentiasa timbul. Pencemaran air
yang sentiasa terjadi adalah melalui pencemaran sungai dengan sisa toksik, sampah sarap, sisa
industri, najis haiwan dan sebagainya. Sekiranya hal ini tidak diberi perhatian serius oleh pihak
berkuasa, adalah tidak mustahil pada suatu hari nanti, kita akan kehilangan sumber air minuman
yang berkualiti di samping kita tidak akan dapat menikmati lagi keindahan sungai sepertimana
dalam tahun-tahun 60an, 70an dan awal 80an.
Apa yang perlu kita sedari ialah semua kejadian tersebut bukannya terjadi secara fitrah, tetapi ia
terjadi melalui tindakan diri manusia itu sendiri. Itulah sebabnya para Malaikat berasa hairan
apabila Allah SWT mengkhabarkan bahawa Dia ingin jadikan manusia sebagai khalifah di muka
bumi ini. Kehairanan itu muncul kerana Malaikat sudah mengetahui bahawa sikap manusia yang
dilengkapi dengan nafsu, di samping keimanan tetapi pada kebiasaannya nafsu akan mengatasi
keimanan. Ini dapat dilihat dalam dialog antara Allah SWT dengan para MalaikatNya dalam
surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak
menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu
dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang
akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa
bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku
mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.
Dalam dialog antara Allah SWT dengan Malaikat sepertimana digambarkan dalam ayat di atas
membuktikan bahawa Malaikat sudah mengetahui bahawa manusia itu adalah suatu jenis
makhluk yang amat suka melakukan kerosakan, termasuk pencemaran alam sekitar. Maka tidak
hairanlah sekiranya terjadi berbagai-bagai jenis dan bentuk kerosakan yang dilakukan oleh
tangan-tangan manusia sepertimana yang berlaku pada hari ini. Tidak hanya kerosakan dan
pencemaran alam sekitar yang terjadi, malah pembunuhan, pencurian, perompakan,
penyelewengan, penipuan, rasuah dan sebagainya sering terjadi tanpa henti. Itulah sebenarnya
kerisauan yang diungkapkan oleh Malaikat dalam ayat di atas. Sebenarnya apa yang terjadi ini
merupakan ujian dan dugaan bagi setiap manusia yang beriman. Sebab itulah Allah SWT
memberi pula khabar gembira dengan nikmatNya di dalam syurga dan khabar menakutkan
dengan azabNya di dalam neraka. Semua ini adalah bagi kita dapat menilai dengan hati sanubari
mana yang baik dan mana yang jahat dalam tingkah laku harian kita sepanjang kita berjalan
meniti dan merentasi jambatan dunia ini dalam rangka bergerak menuju ke alam akhirat.
Dengan nafsu yang ada dalam diri manusia itu, maka timbullah berbagai-bagai bentuk kerosakan
di alam ini melalui sikap kepentingan diri sendiri tanpa mempedulikan orang lain. Segala hasil
mahsul yang terdapat di atas muka bumi ini diterokai tanpa henti sehinggalah menjejaskan
6
kawasan tadahan air yang akhirnya terjadilah pencemaran sungai. Air sungai yang tercemar itu
kemudiannya akan dibawa ke dalam laut. Apabila ia ke dalam laut, ia akan menjejaskan batu
karang yang merupakan tempat pergantungan bagi berbagai-bagai hidupan marin. Pencemaran
laut dan mendakan selut sama ada di sungai atau di laut boleh mengganggu ekosistem alam yang
akhirnya kembali mengancam kehidupan manusia itu sendiri. Semua itu terjadi melalui tindakan
yang terbit daripada diri manusia sendiri. Ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT dalam surah
al-Rum ayat 41 yang bermaksud:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang
telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak
merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah
lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
Dalam Islam, sebarang tindakan yang boleh menyebabkan pencemaran air dikira sebagai suatu
bentuk kesalahan. Kesalahan di sisi Allah SWT sudah pasti akan dihukum di akhirat kelak
sebagai bersikap tidak amanah dan tidak menghormati alam sekeliling, dan tidak
menganggapkan alam sekeliling itu seumpama tidak lain daripada diri sendiri. Sebenarnya alam
dan diri kita adalah sama-sama makhluk. Alam bukan hamba kepada manusia. Ia sewajarnya
diambil faedah secara saling hormat menghormati bagi memenuhi keperluan masing-masing.
Digunakan manfaat sungai atau sumber air secara berhemah, bukannya membuat pencemaran
atau dijadikan sebagai tempat melupuskan bahan-bahan berbahaya ke dalamnya. Adakah kita
tidak mengetahui bahawa di dalam sungai itu terdapat puluhan malah ratusan atau ribuan
makhluk Allah SWT yang sedang hidup atau menjadikan sungai sebagai penempatan mereka.
Tiba-tiba kita mencemarinya dengan bahan-bahan toksik atau sisa industri berbahaya. Apakah
perbezaan diri kita dengan makhluk yang hidup di dalam sungai itu? Berbezanya kita dengan
mereka cuma dari sudut rupa bentuk sahaja, tetapi dari sudut roh tidak berbeza. Sekalipun diri
kita tidak bersatu dengan mereka, tetapi tetap tidak berpisah. Bersatu tidak, berpisahpun tiada.
Oleh itu, sekiranya kita membuat sesuatu bentuk pencemaran yang boleh membunuh makhluk di
dalam sungai, bermaksud kita telah membunuh diri kita sendiri. Sedar atau tidak sedar, bahan-
bahan pencemaran itu sebenarnya kembali kepada diri kita sendiri. Hal ini jelas terbukti,
sekiranya di dalam perut ikan yang dimakan itu mengandungi sisa toksik, sisi toksik itu akan
dapat ditemui di dalam diri manusia yang memakannya. Maka semua bentuk pencemaran itu
sebenarnya akan kembali kepada diri manusia sendiri. Maka hukuman Allah SWT adalah wajar
dan patut dikenakan ke atas pihak terlibat kerana mereka bukan tidak hanya menghormati
sesama makhluk, malah tidak menghormati Maha Pencipta yang telah menjadikan alam ini untuk
saling diambil manfaat. Pencemaran air sememangnya dilarang oleh Islam dan sekiranya ia
terjadi, pihak terlibat boleh didakwa di mahkamah. Ini jelas diperuntukkan dalam Majallat al-
Ahkam al-‘Adliyyah (1991) dalam perkara 1212:
Jika seseorang mempunyai perigi dan jirannya membina tangki najis atau parit
berhampiran dengan perigi itu, dan tindakan itu mencemari air telaga tersebut, pemilik
perigi mempunyai hak supaya pencemaran itu dihapuskan. Jika tindakan telah diambil
tetapi masih lagi wujud pencemaran, dia boleh diarahkan supaya menimbus tangki
najis atau parit yang telah digali itu.
7
Pencemaran Udara- Bau Busuk, Asap, Debu Dan Habuk
Kita telah mengetahui bahawa sebarang bentuk pencemaran alam sekitar amat dilarang oleh
Islam. Pihak yang melakukan pencemaran boleh dikategorikan sebagai penjahat dan penzalim.
Sebarang kezaliman terhadap alam sekitar yang mencakupi diri manusia sendiri sudah pasti
balasannya adalah azab seksa yang amat pedih daripada Allah SWT. Ini berdalilkan kepada
firman Allah SWT dalam surah al-Syura ayat 22 yang bermaksud:
“(Pada hari kiamat) Engkau akan melihat orang-orang yang zalim takut ngeri (akan balasan
buruk) bagi kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, sedang azab seksa itu tetap
menimpa mereka. Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh (bersenang-lenang) dalam
taman-taman syurga; mereka beroleh apa sahaja yang mereka ingini di sisi Tuhan mereka; yang
demikian itu ialah limpah kurnia yang besar”.
Antara bentuk kezaliman terhadap alam sekitar ialah melakukan pencemaran bau busuk dan
asap. Pihak yang paling hampir dengan pencemaran udara yang kita lakukan ialah jiran tetangga.
Islam sangat menitik beratkan hubungan baik antara kejiranan. Allah SWT memerintahkan
supaya manusia menghormati jirannya, di samping menghormati ibu bapa dan kaum keluarga.
Ini digambarkan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak
yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan
rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-
bangga diri”. (Surah al-Nisa': 36)
Di samping ayat al-Quran, terdapat banyak hadis Rasulullah SAW yang menggesa umatnya
supaya berbuat baik dengan jirannya. Di antaranya ialah hadis yang bermaksud:
“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya;
sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, hendaklah memuliakan tetamunya; sesiapa
yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia bercakap benar atau diam”.
(Muslim 1991; Ibn Rajab 1995)
Kita tidak boleh membuat kacau ganggu kepada jiran tetangga yang menyebabkan mereka tidak
boleh hidup dengan selesa dan aman dalam kediaman masing-masing. Sampah sarap atau apa-
apa bahan buangan yang busuk tidak boleh ditempatkan berhampiran dengan rumah jiran. Jiran
tetangga akan merasa tidak selesa dengan bau busuk tersebut, lebih-lebih lagi ketika hendak
menjamu selera bersama ahli keluarga atau tetamu. Begitu juga perlu dikawal asap yang
berlebihan sama ada yang wujud disebabkan pembakaran sampah atau daripada dapur memasak.
Jika asap tersebut tidak dikawal dan ia berterbangan memasuki rumah jiran, sudah pasti
penghuninya merasa tidak tenteram dan mereka tidak dapat hidup dengan selesa. Asap tersebut
akan mengganggu sistem pernafasan dan penglihatan di samping ia boleh menyebabkan pakaian
berbau busuk. Lebih-lebih lagi jiran kita itu mempunyai anak kecil. Sistem pernafasannya akan
terganggu dan akhirnya dia tidak dapat tidur dengan selesa.
8
Imam Abu Yusuf, iaitu seorang murid dan sahabat Imam Abu Hanifah, berpendapat bahawa jika
seseorang jiran diganggu oleh asap dengan kuantiti yang banyak yang datang daripada bilik
mandi berwap kepunyaan jiran sebelah, dia mesti diarahkan supaya mengawal asap tersebut.
Walau bagaimanapun, keadaan asap tersebut boleh dibiarkan jika kedua-dua jiran tersebut
mempunyai bilik mandi berwap dan masing-masing mengeluarkan asap dalam kuantiti yang
sama (al-Zayla`i t.t.; Ibn Abidin 1992). Ini bermakna bahawa kedua-dua pihak telah reda dan izin
secara tersirat berlakunya keadaan itu.
Sehubungan dengan kes pencemaran asap, Islam melarang pihak berkuasa daripada
membenarkan pihak tertentu membina kilang roti berhampiran dengan kawasan perumahan. Ini
kerana ia berkemungkinan boleh menyebabkan gangguan pencemaran asap kepada penduduk
setempat yang terhasil daripada dapur pembakar roti. Sekiranya kilang itu telah dibina,
sewajibnya ia dipindahkan ke tempat lain yang lebih sesuai (al-Zayla`i t.t.; Ibn Abidin 1992).
Demikian itu, apabila dibina kilang besi atau kilang pengisar padi berdekatan dengan sesebuah
rumah dan penghuninya tidak dapat mendiaminya dengan selesa disebabkan asap dan debu-debu
yang dikeluarkan oleh relau kilang besi tersebut dan juga kilang pengisar padi, kacau ganggu itu
mesti dihapuskan. Begitu juga, jika seseorang mendirikan kedai makanan di dalam kawasan
rumahnya atau di mana-mana sahaja dan asap yang terbit daripada aktiviti masakan di kedai itu
tidak menyenangkan jiran tetangga seperti menyebabkan pakaian menjadi busuk. Jirannya itu
boleh memohon supaya kemudaratan yang dia alami dihilangkan. Hal yang sama juga boleh
diambil tindakan jika bau busuk disebabkan oleh kilang minyak atau tempat menyamak kulit
binatang dan sebagainya, yang akhirnya penghuni rumah yang tinggal berhampiran dengan
kilang tersebut tidak dapat hidup dengan selesa dan tenteram (Majallat al-Ahkam al-‘Adliyyah
1991perkara 1200)
Dalam mazhab Shafi`i, Ibn Ukhuwwah menyatakan bahawa bumbung kilang roti mestilah
didirikan pada tahap ketinggian yang munasabah serta mempunyai corobong asap yang baik.
Pegawai pemeriksa kesihatan mestilah sentiasa membuat pemeriksaan dan mengarahkan supaya
ketuhar pembakar roti sentiasa bersih serta tempat menguli tepung dibasuh dan ditutupi dengan
pengalas (Ibn Ukhuwwah 1938) Cerobong kilang roti atau apa-apa kilang mestilah dibina pada
kadar ketinggian yang munasabah supaya asap dan juga debu-debu atau abuk yang keluar
melaluinya tidak mengganggu rumah-rumah jiran yang berdekatan. Pendapat ini disokong oleh
Ibn Hazm (t.t.), seorang ulama mazhab Zahiri dengan mengatakan:
Seorang Islam tidak diizinkan menyakiti jiran tetangga dengan membiarkan asap
daripada cerobong miliknya mengganggu jirannya itu.
Para ulama mazhab Maliki dan Hanbali juga menegaskan bahawa apa-apa bentuk gangguan
pencemaran udara terhadap jiran tetangga seharusnya dihentikan. Oleh kerana itu, segala bentuk
gangguan terhadap jiran, sama ada disebabkan oleh asap yang terbit daripada cerobong asap
dapur atau dapur pembakar kueh atau bilik mandi berwap; atau disebabkan oleh bau busuk yang
datang daripada tempat menyamak kulit binatang atau daripada bilik air, semuanya harus ditegah
(Khalil 1981; al-Baji 1912; Ibn Qudamah 1947; Ibn Duwayyan 1984; al-Tasuli 1991; al-
Mawwaq 1992; al-Abi t.t.; al-Bahuti 1982; Ibn Farhun 1884). Kemudaratan atau kacau-ganggu
tersebut mestilah dihapuskan dengan apa cara sekalipun (al-Bahuti 1982). Tetapi, asap yang
9
terbit daripada dapur atau tempat membakar roti secara tidak melampaui adat kebiasaan tidak
dianggap sebagai kacau ganggu terhadap jiran, kerana ia dikira sebagai aktiviti keperluan harian.
Walau bagaimanapun, jika ia melampaui batas, ia dikira sebagai kemudaratan yang keji (al-
Tasuli 1991; Ibn Duwayyan 1984). Ini bermaksud bahawa jika kuantiti asap yang terbit itu
banyak dan boleh mengganggu keselesaan kehidupan jiran tetangga, seharusnya gangguan
daripada asap itu dihapuskan.
Begitu juga dalam kes pencemaran debu atau habuk. Jika seseorang membina tempat mengisar
padi berdekatan dengan rumah orang lain atau kebun seseorang dan debu atau habuk yang
terhasil daripada tempat mengisar padi itu mengganggu tuan rumah atau kebun yang
berhampiran sehingga dia tidak dapat mendiami di dalam rumahnya atau merosakkan tanaman
dalam kebun, maka aktiviti pengilangan padi itu mesti dihentikan (al-Tasuli 1991). Begitu juga
kacau ganggu yang disebabkan oleh habuk yang diakibatkan oleh sisa jerami atau sisa jagung
kepunyaan seseorang yang dilonggokkan di hadapan rumahnya. Kacau ganggu itu mesti
dihilangkan (Khalil 1981; al-Mawwaq 1992; al-Abi t.t.).
Pencemaran Bunyi Bising
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Shurayh RA bahawa Nabi SAW
bersabda yang bermaksud (al-Bukhari 1984 Kitab al-Adab, hadis 6016):
“Demi Allah, seseorang itu tidak beriman, demi Allah seseorang itu tidak beriman, demi Allah
seseorang itu tidak beriman. Kemudian baginda ditanya, siapa (mereka itu) wahai Rasulullah?
Baginda bersabda: Orang-orang yang mengganggu jirannya dengan tindakan-tindakan salahnya”.
Daripada maksud hadis ini, kita dapat memahami bahawa sebarang tindakan yang boleh
mengganggu jiran tetangga dikira sebagai suatu perbuatan yang dilarang oleh Islam. Sekiranya
perbuatan itu diteruskan berulang-ulang kali dengan penuh sedar bahawa ia boleh mengganggu
keselesaan jiran tetangga, dari sudut undang-undang sivil ia boleh dikira sebagai kesalahan kacau
ganggu. Sekalipun jiran itu tidak mengambil tindakan undang-undang, tetapi Islam telah
menempatkan pelaku kacau ganggu ke dalam golongan manusia yang tidak beriman. Apabila
dikira sebagai tidak beriman, bermakna berdosa dan balasan bagi dosa sudah pasti perlu
dibersihkan dengan dibakar terlebih dahulu di dalam api neraka.
Oleh yang demikian, sebarang gangguan bunyi bising terhadap ketenteraman dan keselesaan
jiran tetangga amat dilarang oleh Islam. Gangguan melalui bunyi bising boleh terjadi sama ada
secara menjerit-jerit, memasang radio dengan kuat, bermain alat-alat muzik seperti gitar, piano
dan sebagainya secara tidak terkawal, dan lain-lain lagi. Kacau ganggu bising tidak boleh
dilakukan pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi di waktu malam, pada hari-hari tidak berkerja,
atau ketika jiran tetangga dikunjungi oleh tetamu, atau ketika mereka sedang beristirehat dengan
ahli keluarga, atau pada waktu itu anak kecil mereka sedang tidur dan sebagainya. Justeru, setiap
individu harus memahami hak dan kewajipan terhadap jiran tetangga demi kesejahteraan
bersama.
Walaupun dalam undang-undang Islam pada dasarnya setiap individu diberi kebebasan
menggunakan harta miliknya sepertimana yang dia kehendaki. Tetapi kebebasan itu bukanlah
kebebasan mutlak tanpa sekatan. Jika daripada penggunaan hak milik tersebut mengakibatkan
10
atau menyebabkan kemudaratan yang keji kepada jiran tetangga, pihak yang melakukannya
mesti ditegah dan dihalang. Oleh kerana itu, jika seseorang dengan sengaja menimbulkan
gangguan bising seperti meniup wisel atau memukul gendang dengan kuat tanpa henti, menjerit
dengan nyaring, memukul-mukul dinding dan sebagainya yang menyebabkan jiran bersebelahan
merasa tidak selesa dengan perbuatan itu, maka perbuatan itu mestilah dilarang. Ini adalah
kerana ia menimbulkan suatu keadaan yang tidak tenteram dan selesa. Sehubungan dengan itu,
dalam penulisan para ulama disebutkan jika sebuah bengkel besi atau kilang pemerosesan kapas
atau kedai dobi dibina berdekatan dengan kawasan perumahan atau berdekatan dengan sesebuah
rumah kediaman, dan penghuninya tidak dapat mendiaminya dengan selesa disebabkan bunyi
bising yang terbit daripada bengkel tersebut, bengkel itu semestinya ditutup atau dipindahkan ke
kawasan lain. Sehubungan dengan kes gangguan terhadap jiran ini, Ibn Qudamah mengatakan
bahawa “Seseorang itu boleh ditegah daripada menggunakan harta miliknya apabila
penggunaannya itu boleh menimbulkan kerosakan atau kemudaratan terhadap jiran tetangganya."
(al-Bahuti 1982)
Kes gangguan bising ini juga telah dibincangkan oleh Ibn ‘Uttab (Ibn Farhun 1884; al-Tasuli
1991; al-Baji 1912) dengan katanya:
Para ulama dalam negeri kami berselisih pendapat mengenai kes seseorang
melakukan sesuatu dalam rumahnya yang boleh menyebabkan kacau ganggu dan
kebisingan, seperti seorang tukang besi yang menjalankan kerja dibengkelnya.
Sebahagian daripada mereka berkata: "Tukang besi itu harus ditegah daripada
meneruskan kerjanya sama ada bunyi bising itu terjadi pada waktu malam atau pada
waktu siang hari". Sebahagian yang lain pula berkata: "Dia sepatutnya tidak ditegah".
Ibn Sa‘id berkata: "Para ulama kami bersepakat bahawa tukang besi harus ditegah
daripada melakukan kerjanya pada waktu malam jika kebisingan di bengkelnya boleh
mengganggu jiran tetangganya. Sebaliknya, dia tidak harus ditegah daripada
menjalankan kerja-kerjanya pada waktu siang hari.
Berhubung dengan kes bising ini, Ibn Rushd (Ibn Farhun 1884; al-Tasuli 1991) telah memberi
pandangan umum dengan mengatakan bahawa bunyi bising yang wujud daripada kerja-kerja
tukang besi atau tukang dobi atau tukang menggaruk kapas tidak ditegah. Pendapat Ibn Rushd ini
didapati bersamaan dengan pendapat Khalil bin Ishaq (Khalil 1981; al-Abi t.t.) yang berpendapat
bahawa undang-undang tidak menghalang gangguan bunyi bising yang terhasil daripada suara,
atau yang disebabkan oleh pekerja-pekerja yang menjalankan pekerjaan mereka, seperti tukang
dobi ketika melakukan kerja-kerja dobi. Ini juga merupakan pendapat Matraf (al-Mawaq 1992)
dan Ibn al-Majishun (al-Mawaq 1992; al-Tasuli 1991). Ia tidak ditegah sebab kebisingan yang
terhasil daripada kerja-kerja tukang dobi biasanya tidak menyebabkan kemudaratan yang
melampau dan kacau ganggu yang berterusan kepada jiran tetangga. Walau bagaimanapun, jika
ia menyebabkan kemudaratan yang melampau di samping kacau ganggu yang berpanjangan,
seperti bunyi bising daripada pekerja-pekerja yang sedang bekerja di kilang tembaga, atau
pekerja-pekerja yang sedang mendobi baju (memukul-mukul pakaian yang didobi), atau bunyi
bising daripada kilang pengisar tepung, haruslah ditegah dan dihilangkan sepertimana dalam kes
bau busuk yang juga harus dihilangkan (al-Mawaq 1992; al-Tasuli 1991). Berkenaan dengan
kacau ganggu bunyi bising ini, Ibn al-Qasim (al-Mawaq 1992; al-Baji 1912; Ibn Farhun 1884)
11
secara ringkas menyebut bahawa kebisingan yang terhasil daripada kilang pengisar tepung yang
boleh mengganggu jiran tetangga haruslah dihentikan.
Seterusnya, para ulama mazhab Maliki membincangkan bunyi bising yang wujud daripada suara
kanak-kanak sekolah yang sedang belajar. Kes ini dengan jelas tidak dianggap sebagai kesalahan
bunyi bising kepada jiran tetangga, melainkan suara atau bunyi bising itu terhasil daripada
aktiviti-aktiviti ketika bermain (al-Tasuli 1991; al-Dusuqi t.t.). Kes-kes lain yang juga boleh
menjadi kesalahan bunyi bising terhadap jiran tetangga ialah seperti bunyi bising muzik yang
datang daripada guru muzik, atau bunyi bising daripada ayam hutan yang dipelihara untuk tujuan
berkokok, atau bunyi bising daripada burung terkukur yang dipelihara untuk tujuan mendengar
suaranya (al-Dusuqi t.t.). Selain itu, gangguan bunyi bising boleh juga berlaku melalui suara dan
pergerakan binatang peliharaan yang ditempatkan berdekatan dengan rumah jiran. Akibatnya,
jiran tidak dapat tidur dengan selesa disebabkan gangguan bunyi bising daripada pergerakan
binatang itu, di samping gangguan bau busuk tahi dan air kencingnya (al-Tasuli 1991; Ibn
Farhun 1884; al-Dusuqi t.t.).
Pencemaran bunyi bising yang boleh mengganggu keselesaan orang ramai sewajibnya dihentikan
demi kebaikan bersama. Ini bertepatan dengan satu kaedah fikah yang bermaksud: "Menolak
kemudaratan atau kejahatan lebih utama daripada menarik manfaat". Ia bermaksud bahawa
seseorang itu dibenarkan menjalankan apa-apa aktiviti yang disukainya di atas tanah miliknya
selagi tidak menyebabkan kemudaratan kepada orang lain. Jika ia boleh menyebabkan
kemudaratan kepada orang lain, aktivitinya itu harus dihentikan (Majallah 1991, perkara 30).
Daripada perbincangan pencemaran bunyi bising yang telah dibincangkan oleh para ulama
sepertimana di atas, beberapa perkara utama dapat disimpulkan seperti berikut:
i. Tidak dikira pencemaran bunyi bising jika ia terhasil daripada aktiviti harian
manusia yang tidak melampaui batas kebiasaan, seperti aktiviti memasak, suara
berbual-bual dengan ahli keluarga dan termasuk juga suara kanak-kanak sekolah
yang sedang belajar.
ii. Dikira sebagai pencemaran bunyi bising bagi aktiviti yang boleh menyebabkan
gangguan keselesaan kehidupan kepada jiran tetangga, seperti bunyi bising yang
terbit daripada aktiviti kerja dalam sebuah bengkel atau kilang yang dibina dalam
kawasan perumahan.
iii. Dikira sebagai pencemaran bunyi bising bagi sebarang aktiviti yang menyebabkan
jiran tetangga tidak dapat tidur dengan selesa pada waktu malam atau pada waktu-
waktu tertentu.
Pencemaran Sampah Sarap Dan Bahan Berbahaya
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
12
“Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat
apa yang kamu lakukan”. (Muslim 1991)
Rasulullah SAW secara umumnya melarang seseorang itu daripada melakukan kemudaratan atau
kerosakan kepada jiran tetangga. Ini jelas tergambar dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu
Hurayrah RA yang bermaksud:
“Seseorang itu tidak akan masuk syurga jika jirannya tidak merasa selesa (aman) daripada
tindakan-tindakan salahnya”. (Muslim 1991; Ibn Rajab 1995).
Perkataan "tindakan-tindakan salah" dalam hadis di atas dapat dihuraikan sebagai merangkumi
kesemua jenis tindakan salah, termasuk melakukan sesuatu aktiviti yang boleh menghasilkan
bunyi bising kepada jiran tetangga. Dengan bising tersebut dia tidak dapat hidup dan
menjalankan aktiviti harian dengan selesa di dalam rumahnya.
Hal yang sama juga dapat dilihat dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Tidak beriman seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan tindakan-tindakan
salahnya”. (Ibn Rajab 1995).
Dalam undang-undang Islam, isu pencemaran sampah sarap boleh dilihat dalam banyak contoh
yang telah diutarakan oleh para ulama Islam. Walaupun begitu, hal berkaitan dengan pencemaran
sampah sarap ini semestinya bermula dengan tanggungjawab menjaga dan memelihara
persekitaran tempat tinggal masing-masing supaya hubungan kejiranan tidak tertanggu. Antara
tindakan yang tidak baik di sisi Islam ialah membuang sampah sarap merata-rata atau tidak
menempatkan sisa-sisa makanan di tempat yang sewajarnya di sekitar rumah yang menyebabkan
persekitaran menjadi kotor, jijik dan tercemar. Bagi tindakan sedemikian, pelakunya dikira tidak
beriman, sedangkan bagi seorang Islam, iman itu sangat penting dalam konteks hubungan
individu dengan Allah SWT. Sekiranya seseorang itu tidak beriman, bermakna dia seorang
Muslim yang tidak sempurna. Sebab itulah Rasulullah SAW sangat menitikberatkan hal
berkaitan dengan kebersihan sehingga baginda SAW bersabda yang bermaksud: Kebersihan itu
adalah sebahagian dari iman.
Antara catatan ulama ialah berkaitan dengan serpihan bangunan yang tidak diurus secara baik.
Hal ini banyak dibincangkan oleh dua orang anak murid dan sahabat Abu Hanifah, iaitu
Muhammad bin al-Hasan al-Shaybani dan Abu Yusuf, serta para ulama mazhab Shafi‘i.
Mereka mengatakan bahawa serpihan runtuhan bangunan tidak boleh dibiarkan di atas jalan
raya, kerana ia boleh mengganggu masyarakat awam. Jika ia dibiarkan tanpa diambil peduli,
maka ia dikira sebagai pencemaran sampah sarap. Dan jika pihak berkuasa telah meminta supaya
puin dan serpihan tersebut dipindahkan, tetapi pemunyanya tidak mengambil tindakan yang
sepatutnya dan akhirnya menyebabkan kecederaan kepada orang lain, pemunyanya
bertanggungan (al-Kasani t.t.; al-Musili t.t.; al-Marghinani t.t.; al-Shirazi 1995).
Seterusnya dalam mazhab Shafi‘i yang secara jelas menerangkan bahawa sebarang pencemaran
sampah sarap sama ada di atas tanah milik sendiri atau di atas jalan raya sewajibnya dilupuskan
oleh pemiliknya. Jika sampah sarap tersebut telah menyebabkan kemudaratan kepada orang lain,
13
pemilik sampah boleh dituntut ganti rugi. Pihak berkuasa boleh mengeluarkan kompaun dan juga
mengeluarkan notis supaya sampahnya itu dilupus secara baik dan terurus (al-Nawawi 1958; al-
Khatib 1958). Jelasnya, penekanan yang ditekankan di sini ialah jika pencemaran itu melibatkan
orang ramai dan masyarakat awam serta melibatkan harta benda awam seperti jalan raya. Maka
pihak berkuasa awam boleh mengambil tindakan sewajarnya kepada pemilik sampah sarap bagi
melupuskannya.
Membuang sampah sarap atau melupuskan bahan-bahan toksik atau bahan-bahan berbahaya
kepada kesihatan di tempat-tempat awam atau di jalan raya merupakan suatu kesalahan kerana ia
boleh mengganggu ketenteraman dan kesihatan awam. Oleh kerana itu, menurut undang-undang
Islam, sekalipun seseorang itu menggunakan haknya, tetapi ia boleh mewujudkan risiko kepada
orang lain, dia bertanggungan terhadap sebarang kemudaratan yang berlaku (al-Marghinani t.t.;
al-Khatib 1958; al-Nawawi 1958; al-Baghdadi 1890).
Begitu juga undang-undang Islam sangat melarang seseorang itu daripada menempatkan atau
meletakkan atau membuang atau membenar ditempatkan sebarang batu, kelikir, longgokan
tanah, pasir atau lain-lain benda di atas jalan raya atau di sesuatu tempat perhimpunan awam
tanpa kebenaran undang-undang. Jika tindakan tersebut dilakukan dan ia boleh menyebabkan
kecederaan atau kerosakan kepada orang lain, pemilik benda-benda itu bertanggungan (al-
Haskafi t.t.; al-Marghinani t.t.; Ibn Duwayyan 1984). Jika keadaan tersebut dilakukan oleh
seseorang, maka pihak berkuasa tempatan sewajibnya mengarahkan semua benda-benda yang
ditempatkan di tempat-tempat awam tersebut dipindahkan atau dilupuskan.
Kesimpulan
Daripada perbincangan yang lalu, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Islam telah menyediakan
platfom perbincangan yang jelas berkaitan dengan pencemaran alam sekitar. Pencemaran alam
sekitar pada dasarnya telah disentuh oleh al-Quran yang benar-benar melarang manusia daripada
melakukan sebarang kerosakan di atas muka bumi ini. Kemudian perbincangan diperluaskan lagi
oleh hadis Rasulullah SAW yang mengarahkan manusia supaya bersikap baik kepada jiran
tetangga, kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada alam persekitaran. Malah Islam
mengkategorikan sesiapa yang tidak bersikap baik dengan jiran tetangga, dia dikira sebagai tidak
beriman. Akhirnya, isu ini telah dibincangkan secara langsung oleh para ulama Islam daripada
semua mazhab muktabar. Jika dilihat perbincangan yang berkaitan dengan alam sekitar, sama
ada yang terdapat dalam al-Quran, hadis atau pendapat para ulama Islam, semuanya melarang
sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar demi kesejahteraan alam
persekitaran dan juga umat manusia sebagai penghuninya.
Rujukan
al-Abi. t.th. Jawahir al-Iklil. Dar al-Fikr.
al-Baghdadi, Abu Muhammad bin Ghanim. 1890. Majma` al-Damanat. al-Qahirah: al-Matba`ah
al-Khayriyyah bi al-Jamaliyyah.
al-Bahuti, Mansur bin Yunus. 1982. Kashshaf al-Qina` `an Matn al-Iqna`. Beirut: Dar al-Fikr.
al-Bukhari. Sahih Abu ‘Abd Allah al-Bukhari. 1984. Mekah: Maktabat al-Nahdah al-Hadithah.
14
al-Dusuqi, Shams al-Din. t.t. Hashiyat al-Dusuqi `ala al-Sharh al-Kabir li al-Dardir. al-Qahirah:
Dar Ihya' al-Kutub al-`Arabiyyah `Isa al-Babi al-Halabi.
al-Haskafi, Muhammad `Ala' al-Din. t.t. Sharh al-Durr al-Mukhtar. al-Qahirah: Maktabah wa
Matba`ah Muhammad `Ali Sabih wa Awladuh.
Ibn `Abidin, Muhammad Amin bin `Umar. 1992. Hashiyah Radd al-Muhtar `ala al-Durr al-
Mukhtar Sharh Tanwir al-Absar. Beirut: Dar al-Fikr.
Ibn Duwayyan, Ibrahim b. Muhammad. 1984. Manar al-Sabil Sharh al-Dalil. Beirut: al-
Maktabah al-Islami.
Ibn Qudamah, Muwaffaq al-Din. 1947. Al-Mughni li ibn Qudamah. Dar al-Manar.
Ibn Hazm. t.t. Al-Muhalla. Beirut: al-Maktab al-Tijari.
Ibn Farhun, Burhan al-Din. 1884. Tabsirat al-Hukkam fi Usul al-Aqdiyyah wa Manahij al-
Ahkam. al-Qahirah: al-Matba`ah al-Bahiyyah.
Ibn Rajab. 1995. Jami` al-`Ulum wa al-Hukm. Beirut: Mu'assasat al-Risalah.
Ibn Ukhuwwah. 1938. Ma`alim al-Qurbah fi Ahkam al-Hisbah. Cambridge: Matba`ah Dar al-
Funun.
al-Jurjani, Ali bin Muhammad. 1991. Kitab al-Ta`rifat. al-Qahirah: Dar al-Rashad.
al-Khatib, Muhammad al-Sharbini.1958. Mughni al-Muhtaj. Cairo: Shirkah Maktabah wa
Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladuh.
al-Kasani, `Ala' al-Din Abi Bakr b. Mas`ud. t.t. Bada'i` al-Sana'i` fi Tartib al-Shara'i`. Beirut:
Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
Khalil bin Ishaq. 1981. Mukhtasar. Dar al-Fikr.
Majallat al-Ahkam al-`Adliyyah. 1991. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
al-Marghinani, Burhan al-Din. t.t. Al-Hidayah Sharh Bidayat al-Mubtadi. al-Maktabah al-
Islamiyyah.
al-Mawwaq, Abu `Abd Allah Muhammad b. Yusuf. 1992. Al-Taj wa al-Iklil li Mukhtasar Khalil,
cetakan di tepi Mawahib al-Jalil li Sharh Mukhtasar Khalil. Dar al-Fikr.
al-Mausili, `Abd Allah bin Mahmud bin Mawdud. t.t. Al-Ikhtiyar li Ta`lil al-Mukhtar. Beirut:
Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
15
Muslim, Abu al-Husayn b. al-Hajjaj al-Nisaburi. 1991. Al-Jami` al-Sahih. English Translation by
Hamid Siddiqi. New Delhi: Kitab Bhavan.
al-Nawawi, Muhy al-Din Abu Zakariyya Yahya b. Sharaf. 1958. Minhaj al-Talibin. Cetakan
bersama Mughni al-Muhtaj. al-Qahirah: Shirkah Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi
al-Halabi wa Awladuh.
al-Shirazi, Abu Ishaq. 1995. Al-Muhadhdhab fi Fiqh al-Imam al-Shafi`i. Beirut: Dar al-Kutub al-
`Ilmiyyah.
Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Qur'an. 1988. Kuala Terengganu: Syarikat
Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn. Bhd.
al-Tasuli. 1991. Al-Bahjah fi Sharh al-Tuhfah. Dar al-Rashad al-Hadithah.
al-Zayla`i, Fakhr al-Din. t.t. Tabyin al-Haqa'iq Sharh Kanz al-Daqa'iq. al-Qahirah: Dar al-Kitab
al-Islami.
File:ALAM SEKITAR 2013