Benarkah Puasa Bermanfaat untuk Kesihatan Sains · PDF fileHealth Benefits of Ramadan Fasting,...
Transcript of Benarkah Puasa Bermanfaat untuk Kesihatan Sains · PDF fileHealth Benefits of Ramadan Fasting,...
Benarkah Puasa Bermanfaat
untuk Kesihatan – Sains
menjelaskan!
Oleh: Dr Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B. Alexandria)
Disampaikan semula oleh: En. Rozairi bin Ismail
Puasa dan Detoksifikasi (Menyahtoksin)
Matlamat puasa adalah untuk membina takwa. Untuk tujuan itu puasa perlu dilakukan dengan
cara serta adab yang betul. Apabila kesemua ini dilakukan dengan sempurna, seseorang bukan
sahaja akan memperoleh takwa, malah lebih dari itu dia juga akan memperoleh segala kebaikan
yang lain. Antara kebaikan itu ialah meningkatkan kesihatan badan melalui proses detoksifikasi.
Detoksifikasi bermaksud mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin. Mengikut
Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) dalam Adventures in Therapeutic Fasting, “Amalan yang biasa
dilakukan dalam masyarakat hari ini ialah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan
mengambil ubat untuk meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan
suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa ketika sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia
merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini
membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika berpuasa organ-organ dapat
berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping
menyegarkan sel-sel. Puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. Ia telah diamalkan oleh
orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah
satu cara rawatan untuk pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi
sering kali berpuasa. Berpandukan kajian serta testimoni pesakit-pesakit, puasa didapati mampu
menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada
sistem penghadaman serta penyakit kulit.”
Mengikut Dr. Cindy Engles (Ph.D) pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well
and What We Can Learn From Them, “Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan.
Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan
berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Ia bermanfaat bukan sahaja untuk
binatang malah juga untuk manusia. Puasa akan mencepatkan kesembuhan kerana secara
umumnya bakteria memerlukan zat besi untuk bertindak justeru dengan menghindari makanan,
bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya.”
Berpuasa dalam bentuk menghindari makan minum dalam jangka masa yang pendek memang
tidak memudaratkan. Dalam sebuah jurnal perubatan berprestij, The Lancet, disebutkan, “Puasa
selagi mana tidak menyebabkan kelemahan badan yang bersangatan adalah tidak memudaratkan.
Jika berlaku kematian ketika berpuasa, punca kematian dari sebab-sebab lain selain puasa
perlulah diterokai terlebih dahulu…” (Rujukan: Stewart, W., Fragmentation Of Cardiac
Myofibrils After Therapeutic Starvation, Lancet i:1154. 1969)
Tambahan daripada itu, kajian yang dilakukan di Universiti Utah ke atas golongan Mormon yang
berpuasa hanya sehari dalam sebulan mendapati ia merendahkan risiko mereka menghidap sakit
jantung. Hal ini dilaporkan dalam artikel bertajuk Fasting? It’s Good For The
Heart di http://www.earthtimes.org/ bertarikh 7 November 2007.
Penemuan yang sama diperoleh berdasarkan satu lagi kajian yang dikenali
sebagai Intermountain Heart Collaborative Study. Dalam kajian ini 515 pesakit telah diuji kaji di
sudut kesihatan jantung. Kajian ini mendapati mereka yang kerap berpuasa mempunyai risiko
yang rendah menghidap sakit jantung. Puasa dalam kajian ini ditakrifkan sebagai meninggalkan
jadual makanan utama, paling kurang, 2 kali berturut-turut (no food or drink for at least two
consecutive meals). (Rujukan: McClure BS, May HT, Muhlestein JB, et al. Fasting May Reduce
The Risk Of Coronary Artery Disease. American Heart Association 2007 Scientific Sessions;
November 6, 2007; Orlando, FL. Abstract 3642)
Leon Chaitow (N.D., D.O., M.R.O.), pensyarah kanan di University of Westminster, London dan
juga penulis kepada 50 buku yang berkaitan dengan kesihatan dan perubatan alternatif
merumuskan, “Walaupun puasa mempunyai risiko dan kesan sampingannya, namun berpuasa
dengan tidak menjamah makanan dan minuman dalam jangka masa yang pendek adalah amat
selamat.” (Rujukan: Fasting for Health and as an Anti-Aging Strategy, www.healthy.net)
Puasa di bulan Ramadan boleh dianggap sebagai puasa jangka pendek. Justeru, secara dasarnya ia
adalah amat selamat dan tidak memudaratkan.
Ramadan dan Kesihatan
Pada tahun 1994, kongres antarabangsa pertama bertemakan ‘Kesihatan dan Ramadan’ diadakan
di Casablanca. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50
kertas kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa di musim Ramadan tidak
mendatangkan sebarang kemudaratan malah sebaliknya ia mampu mencegah serta
menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. (Rujukan: The Spiritual and
Health Benefits of Ramadan Fasting,
Dr. Shahid Athar, M.D., www.crescentlife.com )
Walau bagaimanapun pengecualian daripada berpuasa diberikan kepada penghidap penyakit-
penyakit serius lagi kronik seperti sakit jantung, buah pinggang, migrain yang bersangatan, batu
karang dalam buah pinggang dan yang seumpamanya. Pengecualian ini memang diizinkan agama
kerana Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud, “Sesiapa antara kamu
yang sakit atau bermusafir (maka bolehlah dia berbuka puasa) dan gantikannya pada hari yang
lain.”
Jika penyakit yang menimpa seseorang begitu serius sehingga tidak ada harapan lagi untuk
sembuh, beliau tidak perlu berpuasa sama sekali. Sebagai gantinya beliau diwajibkan membayar
fidyah sebagai menggantikan puasa yang terpaksa ditinggalkannya. Hal ini telah disebutkan
dalam Fatawa Muaasirat oleh Dr. Yusof al-Qardawi.
Namun secara umumnya, berpuasa di bulan Ramadan amat menyihatkan. Sebagai contoh, pada
tahun 1984, Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman melakukan kajian ke atas 42 orang
lelaki (berumur 15-64 tahun) dan 26 wanita (berumur 16-28 tahun) yang berpuasa Ramadan.
Darah mereka diperiksa untuk mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, sodium, potassium,
urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada ketika yang sama, berat badan mereka ditimbang
di awal dan di akhir Ramadan.
Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya membuat kajian ke
atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Pemeriksaan darah untuk mengukur
kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle stimulating hormone,
thyroid stimulating hormone, testosterone, prolactin, luteinising hormone, thyroxine-4 dan
thyroxine-3 telah dilakukan sebelum Ramadan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua
puluh sembilan Ramadan. Di samping itu, berat badan mereka ditimbang. Ujian-ujian ini
menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa
mendatangkan sebarang kemudaratan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol LDL
(low density lipoprotein) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol HDL (high
density lipoprotein) meningkat. Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun.
Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa di musim Ramadan tidak memudaratkan kesihatan. Malah
sebaliknya ia memberi kesan yang baik kepada metabolisme badan sekali gus mencegah serangan
pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak. Fakta-fakta ini
dilaporkan di dalam Islamic Perspectives in Medicine oleh Dr. Shahid Athar terbitan American
Trust Publications, Indianapolis.
Dalam satu lagi kajian yang dilakukan ke atas 32 lelaki yang berpuasa Ramadan, peratus
kolesterol secara keseluruhannya (total cholesterol) didapati menurun 7.9% (7.9%, p<0.001) dan
lemak trigliserida (triglycerides) juga menurun sebanyak 30% (30%, p<0.001) berbanding paras
sebelum mereka berpuasa. Pada ketika yang sama paras kolesterol baik (serum HDL) meningkat
14.3% (14.3%, p<0.001) dan berkekalan seperti itu selama sebulan. Kolesterol keji pula (serum
LDL) menurun sebanyak 11.7% (11.7%, p<0.001) juga selama sebulan. Berat badan mereka yang
berpuasa ini pula didapati menurun sebanyak 2.6% pada hari ke-29 Ramadan. (Rujukan: Annals
of Nutrition and Metabolism, 41: 242-249, 1997) Kesemua ini menunjukkan bahawa berpuasa di
bulan Ramadan sememangnya baik untuk kesihatan.
Puasa dan Kesihatan Mental
Otak manusia mendapat banyak manfaat melalui puasa. Malah puasa juga mendatangkan kesan
yang amat positif kepada otak haiwan. National Institute on Aging (Amerika) pernah melakukan
kajian ke atas tikus-tikus. Tikus-tikus ini diberikan makanan mengikut jadual kemudian disusuli
dengan berpuasa secara berselang-seli. Selepas itu sejenis bahan kimia toksik kepada saraf
(neurotoxin) yang boleh menyebabkan penyakit seumpama Alzheimer (penyakit kelupaan)
kepada manusia diberikan. Tikus-tikus yang berpuasa dalam bentuk seperti yang dinyatakan
sebelum ini memiliki ketahanan sehingga mampu memelihara kesihatan sistem sarafnya.
Penemuan ini dilaporkan di dalam Proceedings of the National Academy of Sciences Online
Edition, April 28. (Rujukan: Fasting Benefits Glucose Metabolism, Nerve Cells,
physiciansweekly.com July 28, 2003, Vol. XX, No. 28) Bukanlah suatu yang mustahil jika
dikatakan kesan yang lebih kurang sama juga dapat dirasai oleh manusia yang berpuasa.
Kajian dari Universiti Kentucky pula mendapati berpuasa dapat mengurangkan kesan negatif ke
atas pesakit yang mengalami kecederaan sederhana di bahagian otak. Kajian yang diketuai oleh
Patrick Sullivan dari UK Spinal Cord and Brain Injury Research Center ini mendapati proses
kesembuhan ke atas otak yang cedera berlaku secara signifikan apabila pesakit-pesakit berkenaan
berpuasa selama 24 jam. Hal ini mungkin disebabkan oleh keton (ketones) yang terhasil dalam
darah orang yang berpuasa. Keton (ketones) didapati berperanan mencegah proses kerosakan
yang berlaku ke atas sistem saraf (neuro-protective). Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal
of Neuroscience Research. (Rujukan: Fasting Can Reduce Brain-Injury
Impact, http://news.uky.edu/, 14 Mac 2008)
Puasa juga merangsang pengeluaran hormon yang dikenali sebagai endorphin. Hormon tabii ini
berfungsi seperti dadah jenis candu (opiates) yang menghilangkan kesakitan serta mendamaikan
minda justeru mencegah daripada serangan penyakit mental.
Tambahan daripada itu puasa juga membantu tidur dan hal ini adalah penting terutamanya bagi
golongan tua. Oleh sebab proses pemulihan badan berlaku ketika tidur kemampuan untuk tidur
dengan nyenyak menjamin kualiti proses pemulihan itu. Berdasarkan analisis terhadap
gelombang otak melalui graf elektroensefalogram (EEG) pakar-pakar mendapati tidur adalah
lebih nyenyak di musim Ramadan berbanding di bulan-bulan lain. Perubahan-perubahan positif
ini membantu fokus dan konsentrasi umat Islam di musim Ramadan dan menjadikan mereka
lebih produktif. Penemuan-penemuan ini dilaporkan oleh Dr. Ebrahim Kazim (M.B.B.S.,
M.R.C.P.) dalam bukunya Further Essays on Islamic Topics. Beliau merupakan pengasas dan
pengarah Akademi Islam Trinidad. (Rujukan: Dr. Ebrahim Kazim, Fasting and Your Biological
Rhythms, http://www.islamonline.net/, 12 November 2002)
Bersahur dan Sains
Bersahur merupakan salah satu amalan penting di bulan Ramadan Terdapat banyak hadis nabi
yang sahih yang menekankan tentang kepentingannya. Antaranya ialah hadis nabi yang
diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah yang bermaksud,
“Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan.” Dalam hadis ini bersahur dikaitkan
dengan keberkatan. Keberkatan bermaksud rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.
Dalam riwayat yang lain oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasai, nabi bersabda,
“Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan ahli kitab ialah makan sahur.” Begitulah
status kepentingan bersahur sehingga ia menjadi pembeza antara puasa umat Islam dengan ahli
kitab.
Ketika bersahur, umat Islam disuruh melewatkannya kerana nabi bersabda, “Sentiasalah umatku
berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka
puasa.” Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad. Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika
menghampiri waktu subuh dan berhubung dengan ini Zaid bin Thabit pernah berkata, “Kami
pernah bersahur bersama nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (subuh).”
Kemudian Zaid bin Thabit disoal, “Berapa lama masa antara keduanya (yakni antara makan sahur
dan solat subuh)?” Berkata Zaid, “Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran.” Hadis ini diriwayatkan
oleh Bukhari.
Ketika merumuskan tentang kepentingan bersahur, Imam Ibn Abdil Bar berkata, “Hadis-hadis
yang menerangkan tentang kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur
kesemuanya adalah bertaraf sahih dan mutawatir.” Hal ini nyatakan di dalam Bustanul Akhbar
Mukhtasar Nailul Authar (Pustaka Bina Ilmu, Surabaya) terjemahan A. Qadir Hassan,
Mu’ammal Hamidy, Drs. Imron Am dan Umar Fanany B.A.
Penekanan nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia
menepati waktu bersarapan pagi (breakfast). Kajian semasa menunjukkan makanan yang paling
utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.
BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah amat penting untuk
memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu yang lain. Kajian
yang dilakukan oleh Dr. Mark Pereira dan rakan-rakannya dari Pusat Perubatan Harvard
mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit
jantung dan menghidap penyakit kencing manis. Kajian yang sama juga menunjukkan, mereka
yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan
yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang
bersarapan pagi.
Hal ini menjadi lebih penting ke atas kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan
sarapan pagi ke atas kanak-kanak adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil.
Kajian-kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun dari
tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi
masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.
Tambahan daripada itu, satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan
Baylor dan rakan-rakannya ke atas 700 pelajar-pelajar dari Louisiana menunjukkan, mereka yang
tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam
darah dan ini akan menyebabkan penyakit anemia (iaitu suatu penyakit yang berkaitan dengan
kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago
Tribune pada 24 September 2001.
Justeru secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur tidak akan mendapat
kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian-kajian yang dipaparkan ini. Lebih
daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunah nabi dan waktu sahur juga merupakan
waktu yang dipenuhi keberkatan.
Berhubung dengan ini Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 15-17, “Katakanlah,
‘Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu? Bagi mereka
yang bertakwa terdapat syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.
Mereka kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan
Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambanya. (Iaitu) orang-orang yang berdoa, Ya
Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah
kami dari seksa neraka. (Merekalah) orang-orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang
menafkahkan hartanya di jalan Allah dan yang memohon ampun di waktu sahur’.”
Konklusi/ Kesimpulan
Tidak syak lagi puasa adalah kuasa. Hal ini disebabkan Ramadan bermanfaat untuk manusia
moden dan kemanfaatannya pula adalah berbentuk menyeluruh lagi holistik Ia merangsang
kebaikan dalam pelbagai aspek, antaranya di penjuru:
Spiritual: Melalui ibadah seperti solat dan zikir.
Peningkatan Ilmu: Melalui kajian al-Quran.
Kesihatan Mental: Melalui tafakur, reda serta pengeluaran hormon endorphin yang
mendamaikan.
Kesihatan Fizikal: Melalui metabolisme badan yang terkawal.
Pembinaan Akhlak dan Jati Diri: Melalui latihan kesabaran, pengawalan pancaindera
serta ketabahan memikul tanggungjawab.
Amanah dan Integriti: Melalui keikhlasan dan istiqamah walaupun andai kata kita
berbuka puasa tidak ada sesiapapun yang mungkin mengetahuinya.
Mementingkan Keutamaan: Melalui fokus mengejar janji Allah berkaitan
Lailatulqadar.
Mementingkan Kualiti: Melalui kesedaran bahawa ibadah puasa perlu dihalusi kerana
ia bukan sekadar meninggalkan makan minum.
Pengurusan Masa: Melalui sistem waktu solat dan puasa yang perlu dijaga.
Keharmonian Keluarga: Melalui konsep kebersamaan ketika bersahur, berbuka puasa
dan bersolat.
Maslahat Kemasyarakatan: Melalui zakat fitrah serta solat berjemaah.
Produktiviti: Melalui peningkatan fokus dan konsentrasi.
Ekonomi: Melalui penjimatan wang serta pengawalan hawa nafsu.
Ledakan Kreativiti dan Lonjakan Paradigma: Melalui kedamaian dan kesucian hati
yang menjadi semaian kepada ilham yang meledakkan idea-idea baru.
Memang benar, puasa ialah kuasa. Kesemua ini akan terhasil jika puasa dilakukan secara yang
betul dengan memelihara segala adabnya. Jika tidak kita hanya akan mendapat lapar dan dahaga
semata-mata. Nabi bersabda, “Berapa ramai orang yang berpuasa yang tidak mendapat sesuatu
apa pun daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga.” (Riwayat Ibn Majah)
Sumber: Majalah Sains.com