Cerpen

7
Latihan Cerpen - Memori Seorang Tua Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri. Pak Itam mengiring langkah Tuk Mat yang bertubuh sasa itu dengan perasaan yang penuh kesyukuran. Budi Tuk Mat bukan sedikit, kalau Tuk Mat tidak ada, hajat dan niatnya sudah tentu tidak akan tercapai. Kalau harapkan dia untuk menguruskan segala-galanya, manakan terdaya.Usahkan untuk ke sana ke mari, mahu mengheret punggung sendiri pun rasanya sudah tidak terdaya. Tuk Mat dan keluarganya dirasakan sudah jadi bukan orang lain lagi. Rogayahlah yang menjaganya. Halimah anak gadisnya, bersama-sama Rokiah, selang berganti, menghantar nasi dan mengambil kain bajunya untuk dicuci. Yang memeningkan kepala Pak Itam, apabila dibagi duit, baik Tuk Mat, isterinya, Halimah dan Rokiah semuanya menolak. Moga-moga Tuhan sahaja yang akan membalas budi Tuk Mat sekeluarga. Selepas sembahyang asar, ketika Pak Itam menghulur kepala ke luar tingkap, semua khemah sudah terdiri, kain belon yang berwarna-warni, biru, merah, kuning dan hijau, semuanya ada lapan buah, beralun dan berombak ditiup angin petang. Isa, Latif, dan Jali tersengih di bawah khemah dekat busut jantan yang dikelilingi oleh rumpun pohon pisang lemak manis. Mereka berhenti rehat setelah habis menampal dan menyusun atur segala potongan akhbar, majalah, buku-buku, dan gambar-gambar Pak Itam untuk pameran. “Pak, cantik tak?” laung Jali kepada Pak Itam yang masih terjenguk di jendela. Cantik, maksud Jali ialah susun atur segala karya dan gambar-gambar Pak Itam di bawah khemah pameran itu. (Dipetik daripada cerpen ‘Memori Seorang Tua’ karya Zahari Affandi, dalam antologi Harga Remaja) i. Nyatakan pertolongan yang telah diberikan oleh keluarga Tuk Mat kepada Pak Itam? [2 markah] ii. Pada pendapat anda, apakah kebaikan melakukan kerja secara bergotong-royong? [3 markah] iii. Huraikan satu perwatakan Pak Itam dalam petikan cerpen di atas

Transcript of Cerpen

Page 1: Cerpen

Latihan Cerpen - Memori Seorang Tua

Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

    Pak Itam mengiring langkah Tuk Mat yang bertubuh sasa itu dengan perasaan yang penuh kesyukuran. Budi Tuk Mat bukan sedikit, kalau Tuk Mat tidak ada, hajat dan niatnya sudah tentu tidak akan tercapai. 

    Kalau harapkan dia untuk menguruskan segala-galanya, manakan terdaya.Usahkan untuk ke sana ke mari, mahu mengheret punggung sendiri pun rasanya sudah tidak terdaya. Tuk Mat dan keluarganya dirasakan sudah jadi bukan orang lain lagi. Rogayahlah yang menjaganya. Halimah anak gadisnya, bersama-sama Rokiah, selang berganti, menghantar nasi dan mengambil kain bajunya untuk dicuci. Yang memeningkan kepala Pak Itam, apabila dibagi duit, baik Tuk Mat, isterinya, Halimah dan Rokiah semuanya menolak. Moga-moga Tuhan sahaja yang akan membalas budi Tuk Mat sekeluarga. 

   Selepas sembahyang asar, ketika Pak Itam menghulur kepala ke luar tingkap, semua khemah sudah terdiri, kain belon yang berwarna-warni, biru, merah, kuning dan hijau, semuanya ada lapan buah, beralun dan berombak ditiup angin petang. 

    Isa, Latif, dan Jali tersengih di bawah khemah dekat busut jantan yang dikelilingi oleh rumpun pohon pisang lemak manis. Mereka berhenti rehat setelah habis menampal dan menyusun atur segala potongan akhbar, majalah, buku-buku, dan gambar-gambar Pak Itam untuk pameran. 

    “Pak, cantik tak?” laung Jali kepada Pak Itam yang masih terjenguk di jendela. Cantik, maksud Jali ialah susun atur segala karya dan gambar-gambar Pak Itam di bawah khemah pameran itu.

(Dipetik daripada cerpen ‘Memori Seorang Tua’ karya Zahari Affandi, dalam antologi Harga Remaja)

i.   Nyatakan pertolongan yang telah diberikan oleh keluarga Tuk Mat kepada Pak Itam? [2 markah] 

ii.  Pada pendapat anda, apakah kebaikan melakukan kerja secara bergotong-royong? [3 markah] 

iii. Huraikan satu perwatakan Pak Itam dalam petikan cerpen di atas dan satu perwatakan Pak Itam yang lain daripada keseluruhan cerpen. [4 markah]

Page 2: Cerpen

Latihan Cerpen - Israk

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

    Israk menekan punat televisyen. Malangnya tiada apa-apa pada skrin. Kaca TV hitam sahaja. Israk mencebik.        “TV pun rosak!” Sengaja ditinggikan suaranya seperti ‘injak naik’ yang menaikkan jumlah voltan arus yang mengalir.      Dengan sopan kerusi ditolak ke bawah meja. Mikraj menapak ke ruang tamu seluas 4 m x 6 m itu. Mata bundarnya memandang Israk yang mundar-mandir di situ. Bagaikan cacing kepanasan. Sesungguhnya dia tidak serasi dengan situasi di situ, di rumah Wah, Kampung Sayong.      “Bukankah Wah lebih tua daripada kita. Lagipun dia nenek kita. Tentu orang cerdik seperti abang tahu tanggungjawab!”      Israk melemparkan pandangan ke luar jendela. Daun pokok pisang melambai-lambainya seolah-olah mengejinya. Dia mengetap bibir.      “Abang, kalau tanpa Wah, pa tidak lahir ke dunia. Sekali gus kita berdua pun tidak melihat dunia seperti sekarang.”      “Teori pembiakan manusia itu abang sudah tahu. Tak perlu diajar lagi!”      “Ini peluang bagi abang... rebutlah. Jangan pula abang menyesal kemudian hari.”

                                                  (Dipetik daripada cerpen ‘Israk’ dalam antologi Harga Remaja)

(i)   Nyatakan tiga tingkah laku negatif yang ditunjukkan oleh Israk dalam petikan di atas. [3 markah] 

(ii)  Pada pendapat anda, apakah perkara yang wajar dilakukan oleh tetamu apabila berada di rumah orang? [3 markah] 

(iii)  Huraikan satu nilai murni dalam petikan cerpen di atas dan satu nilai murni lain daripada cerpen tersebut secara keseluruhan. [3 markah]

Page 3: Cerpen

Latihan Cerpen - Pahlawan Buntung

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan rnenggunakan ayat anda sendiri.

    “Pindah!” 

   Sepatah ucapan itu tersembur daripada mulutnya. Dia jugalah dinihari tadi yang melaungkan nama ayahku. Pak Husain! 

   Ayahku masih termangu-mangu juga. 

    “Pindah sekarang juga, waktu belum cerah!” Pak Husain membongkok ke arah ayahku. “Semua orang kampung sudah berada di sana,” tambah Pak Husain sambil mengarah ke sebelah hulu, di pangkalan. 

   Seperti tidak mempunyai kekuatan apa-apa, kami mengekor di belakang Pak Husain. Dia tidak bersenjata apa-apa. Berkain pelekat, berbaju gelap, tidak berkasut. Pak Husain meninggalkan kami di suatu selekoh batas dan pokok-pokok pandan yang lebat. Barangkali mengatur orang lain pula. Barangkali. Ketika kami tiba di pangkalan, perahu sudah berasak-asak dengan orang. Ketika kami melangkah naik perahu, sebuah ledakan betul-betul jatuh di hadapan kami. Kudengar suara pekikan berhampiran. Ya Tuhan! Rumah Mak Esah terbakar. Berkecai. Korban pertama Kampung Pak Amat. Mak Esah dua beranak telah hilang bersama-sama rumahnya. 

   Ketika itu juga kudengar laungan dari darat, arah laut. Kulihat beberapa orang sedang mengusung sesuatu. Dalam permulaan matahari terbit ini, sesuatu berbalam-balam oleh bayang-bayang atau lindungan pokok kelapa yang banyak. Terdengar suara tangisan dan raungan. Kami semua bangun sambil menajamkan pandangan dan pendengaran. Lembaga-lembaga itu kian hampir. Menapak terus ke arah kami. Kelihatan Pak Ngah mendahului usungan itu. Kami masing-masing hanya menyebut nama Allah, mengucap dan beristighfar. Jarah, anak Pak Ngah ditembusi peluru sesat di atas bahunya ke belakang. Jarah belum mati. Tetapi dia menyumbatkan air matanya dalam tiap-tiap mata kami. Dia terlantar tanpa sedarkan dirinya.

(Dipetik daripada ‘Pahlawan Buntung’ oleh S. Othman Kelantan dalam antologi Dirgahayu Bahasaku)

(i) Perihalkan keadaan Jarah. [3 markah] 

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah peperangan antara negara dapat dielakkan daripada tercetus? [3 markah] 

(iii) Nyatakan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas dan dua pengajaran yang lain dalam keseluruhan cerpen. [3 markah]

Page 4: Cerpen

Latihan Cerpen - Ibu dan Ceper

Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri. 

Ibu terus lumpuh dan tidak boleh bergerak lagi. Hanya mata ibu dan mulut ibu yang rancak bergerak seperti arus Ceper pada usia yang lebih muda. Semenjak itu bapa tidak berdenak ketitir lagi meskipun keliling rumah masih tersangkut sangkar-sangkar ketitir yang berbagai-bagai bentuk.

Itulah zaman menderita yang amat pedih bagi kami sekeluarga. Aku sudah kahwin waktu itu dan sudah pun memperoleh dua orang anak. Mujur juga aku peroleh isteri anak kampung yang tidak pantang turun ke sawah dan tidak takut pada lintah dan pacat. Kami berdualah menggantikan tempat ibu.

Meskipun bapa tidak lagi menjadi kaki burung ketitir, bapa sudah agak tua dan tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Bapa hanya berada di rumah makan dan tidur sahaja. Sikit-sikit boleh juga jaga cucu dan picit-picit tubuh ibu, tetapi bapa sebenarnya sudah dimakan tua waktu itu.

Bapa tidak dapat ampu ibu lagi. Pasti juga tidak boleh angkat ibu ke tandas lagi. Mujurlah yang lumpuh cuma ibu seorang. Kalau bapa juga lumpuh, entahlah. Aku tidak dapat membayangkan masalahnya.

Suatu hari, entahlah bagaimana, aku menjerit kuat sedikit sewaktu ibu sedang berak kerana lama sangat najisnya tidak terbit-terbit. Aku sudah naik kejang kaki tangan kerana lama ampu ibu. Dan aku lihat pipi ibu basah kerana air mata meleleh turun. Isteriku menerpa dan apabila melihat air mata ibu sedang mengalir melalui retak-retak di pipi ibu yang kendur hodoh itu, dia mengambil tempatku.

Itulah detik-detik yang tidak dapat aku lupakan. Aku menyesal dan memohon ampun banyak-banyak daripada ibu. Aku sendiri tidak sedar sewaktu aku menjerit itu.

(Dipetik daripada cerpen 'Ibu dan Ceper' oleh Shahnon Ahmad dalam antologi Harga Remaja)

(i) Nyatakan penilaian penulis terhadap bapanya. [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah anak-anak dapat membalas jasa ibu bapa? [3 markah]

(iii) Jelaskan satu pengajaran dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran dalam keseluruhan cerpen. [4 markah]

Page 5: Cerpen

Latihan Cerpen - Penanggungan

Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dia bergerak dan sedar semula. Kemudian dia bersungut tidak tentu hujung pangkal, hanya dapat difaham, “Sakit kepala,” katanya. Mukanya terlalu pucat, tetapi matanya liar. Sangka isteri Kapten Mamat, dia dirasuk polong. Dirasanya nadi Masnah berdenyut lebih cepat, nafas pendek-pendek, badannya sejuk berpeluh. Kapten Mamat menyuruh isterinya memberi air panas. 

Lama-lama Masnah pulih seperti sediakala. Kapten Mamat berkata, “Engkau jangan susah, Masnah. Selagi aku masih hidup, engkau dan anak-anak engkau tidak akan disia-siakan. Engkau mesti banyak rehat.” 

“Saya akan balik ke kampung, Abang Mat.” Dia memeluk anaknya Bahar kemanja-manjaan. 

“Bagus. Di sana engkau akan menempuh hidup baru. Sekarang orang kampung sedang membangun.” 

“Tetapi saya rasa penyakit saya tidak akan pulih. Sejak beberapa hari ini, rasanya ngilu tulang-tulang saya dan jantung saya terasa bagai ditikam-tikam.” 

“Kalau begitu baik pergi berjumpa doktor. Engkau jangan malu menyatakan sakit itu. Siapa juga manusianya sama saja. Merah warna darah masing-masing, tanda adik-beradik belaka. Malangnya masing-masing ada dengan penyakitnya.” (Dipetik daripada cerpen “Penanggungan” oleh Wijaya Mala dalam antologi Dirgahayu Bahasaku) 

(i) Buktikan bahawa Kapten Mamat mengambil berat tentang Masnah. [2 markah] 

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah golongan yang tidak berkemampuan seperti Masnah dan anak-anaknya dapat dibantu? [3 markah] 

(iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan dan satu latar masyarakat yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4 markah]