Cerpen Dalam Berjuta-juta

11
Cerpen – Rahsia Hatimu : Dewan Siswa Mac 2007 RAHSIA HATIMU OLEH : AINUNL MUAIYANAH MUHAMMAD SULAIMAN DEWAN SISWA MAC 07 Jangan datang dalam hidup ini jika sekadar mahu mengulang kenangan lama dan menambahkan luka yang sedia ada. Aku mengulang ayat itu beberapa kali dalam hati ini. Ingin aku laungkan dan jeritkan di telinganya agar kata-kata ini bersemi untuk kesekian kalinya. Malangnya nasihat bonda teguh menghalang. Nasihat bonda menjadi tembok yang begitu teguh dan payah untuk aku runtuhkan kerana aku tidak pernah di ajar untuk menjadi anak derhaka. “ Anak ayah sihat?.” Aku sekadar membalas soalannya dengan senyuman yang hambar yang cuba aku gulakan. Aku punya nama. Nama yang indah yang dipilih olehmu. Mengapa sekadar membahasakan diri ‘anak ayah’. Mengapa tidak memanggil nama itu?. Tak perlu hendak hebohkan di sini aku anakmu kerana semua orang tahu kenyataan itu. Bentak hati kecilku lagi. “Mengapa. Anak ayah tak suka ayah datang?” Sekali lagi panggilan itu memualkanku. Menyesakkan ruang nafasku dengan sebu. Tolonglah panggil namaku, bukannya ‘anak ayah’. Aku benci sungguh.

description

cerpen

Transcript of Cerpen Dalam Berjuta-juta

Page 1: Cerpen Dalam Berjuta-juta

Cerpen – Rahsia Hatimu : Dewan Siswa Mac 2007

RAHSIA HATIMU

OLEH : AINUNL MUAIYANAH MUHAMMAD SULAIMAN

DEWAN SISWA MAC 07

Jangan datang dalam hidup ini jika sekadar mahu mengulang kenangan lama dan

menambahkan luka yang sedia ada.

Aku mengulang ayat itu beberapa kali dalam hati ini. Ingin aku laungkan dan jeritkan di

telinganya agar kata-kata ini bersemi untuk kesekian kalinya. Malangnya nasihat bonda

teguh menghalang. Nasihat bonda menjadi tembok yang begitu teguh dan payah untuk

aku runtuhkan kerana aku tidak pernah di ajar untuk menjadi anak derhaka.

“ Anak ayah sihat?.”

Aku sekadar membalas soalannya dengan senyuman yang hambar yang cuba aku

gulakan. Aku punya nama. Nama yang indah yang dipilih olehmu. Mengapa sekadar

membahasakan diri ‘anak ayah’. Mengapa tidak memanggil nama itu?. Tak perlu

hendak hebohkan di sini aku anakmu kerana semua orang tahu kenyataan itu. Bentak

hati kecilku lagi.

“Mengapa. Anak ayah tak suka ayah datang?”

Sekali lagi panggilan itu memualkanku. Menyesakkan ruang nafasku dengan sebu.

Tolonglah panggil namaku, bukannya ‘anak ayah’. Aku benci sungguh.

“ Safi………” mataku hampir berkaca apabila bonda menegurku. Bonda mengapa harus

dibela lelaki ini lagi?. Dari kecil hingga aku dewasa tidak pernah aku mendengar yang

buruk-buruk tentang lelaki di hadapanku ini. Lelaki yang malu untuk aku panggil ayah

sekalipun. Segalanya yang baik-baik belaka. Sedangkan hati bonda telah hancur luluh

dengan kelakuannya. Itu kata hatiku

“ Maaf ya. Mungkin Safi letih. Maklumlah ‘orang kuat’ sekolah kan.” bonda mengusikku

tetapi mata bening bonda tidak boleh menyembunyikan hakikat. Bonda marah benar

dan tersinggung dengan kelakuanku. Itu aku tahu.

Page 2: Cerpen Dalam Berjuta-juta

Bonda mengertilah aku bukan pelakon yang hebat. Aku tidak pandai bermuka-muka di

hadapan orang yang aku tak suka. Yang lebih tepat lagi yang aku benci sekian lama.

“Bonda tidak pernah mengajar anak bonda untuk kurang ajar dengan sesiapa.”

Sebaris kata bonda biarpun dalam nada mendatar itu cukup mengesan di hatiku. Kata-

kata bonda biarpun seakan berbisik pada diri sendiri tetapi aku tahu kata-kata untuk

aku. Siapa lagi anak bonda kecuali aku. Aku yang bernama Safi Mawaddah.

Aku seakan ingin menghamburkan air mata yang cuba aku tahan derasnya. Aku yang

tabah dan sukar menumpahkan titisan keramat ini benar-benar tersentuh dengan kata-

kata bonda kerana dalam dunia ini hanya bonda yang aku sayang serta aku hormati.

Senada katanya bisa menghiris ketabahan ini dan mengalirkan kelukaan dan air mata.

Ayah pulang ke Kuala Lumpur usai menghantar aku dan bonda ke rumah. Sepanjang

yang aku tahu, bonda tidak pernah mempelawa ayah melangkah masuk ke dalam

rumah dan ayah pula seakan tahu batas adabnya. Ayah tidak pernah melangkah kaki

ke kawasan rumah kami. Garis sempadan ayah hanya di pintu pagar sahaja.

Sememangnya seharusnya begitu, jerit hatiku dan tentunya tidak pernah aku luahkan di

hadapan bonda.

“ Safi…,” aduh bonda, jangan memanggil aku dengan nada begitu. Nada itu bersifat

ingin mengajar aku. Aku sudah menjadi anak bonda hampir 17 tahun. Aku juga bijak

membaca nada suaramu, bonda.

Aku merenung wajah hening bonda.

“Safi, biar apa pun yang terjadi, dia tetap ayah Safi. Safi berbintikan namanya dan dia

jugalah yang akan mewalikan Safi suatu hari nanti. Bonda harap Safi mengerti maksud

kata-kata bonda. Safi sudah cukup dewasa untuk memahaminya.”

“ Maka Safi juga sudah cukup dewasa untuk mengetahui mengapa agaknya kasih

Bonda pada ayah tidak pernah berkalih. Ayah sudah ada hidupnya sendiri. Tetapi

bonda…,” bonda tunak merenungku sehingga mematikan semarak semangatku untuk

bertanya. Aku menekur bisu kembali. Aku tahu aku sudah melampau batas adabku.

Page 3: Cerpen Dalam Berjuta-juta

Bonda bangun perlahan-lahan dari sofa. Memandangku sejenak. Kemudian berlalu

pergi ke dalam biliknya. Aku terus diterpa salah.

Bonda kembali padaku dan menyerahkan sebungkus hadiah yang dibalut kemas.

“Hadiah dari ayah.” Itu sahaja kata bonda padaku. Hanya sebaris kata dan langsung

masuk ke biliknya. Kemudian aku terdengar sayup-sayup lagu kegemaran bonda. Lagu

klasik itu biarpun hanya serangkap cuma tetapi benar-benar menusuk kalbu.

Lagu itu hanya berkumandang apabila bonda sedang berwalang hati. Aku menyeka air

mata yang mengalir dipipiku. Air mata yang menjadi saksi kekesalan aku meruntun

sedih bonda.

Tudung periuk pandai menari

Menari lagu putera mahkota

Kain buruk berikan kami

Buat menyapu si air mata

Bait lagu itu menguasai suasana petang yang hening ini. Aku membuka bungkusan

hadiah dari orang yang aku benci sekian lama.

Untuk anak ayah

(Yang dewasa tanpa ayah dapat melihatnya)

Selamat hari lahir anakku..

ayahmu 

Ucapan ayah yang ringkas itu aku tenung dalam sebak. Hadiah ayah adalah telefon

bimbit Nokia dari model yang terbaru. Handphone ini memang aku suka benar namun

bukan berniat untuk memilikinya kerana aku tidak mahu menyusahkan bonda. Aku

sekadar menyatakan kesukaanku tanpa niat apa-apa

Itulah ayah yang tidak pernah membiarkan aku hampa. Ada sahaja hadiahnya untukku.

Apa sahaja yang aku inginkan pantas sahaja ayah tunaikan. Mungkin kerana dia tidak

disampingku untuk melihat aku dewasa (seperti yang tertulis dalam ucapannya) maka

Page 4: Cerpen Dalam Berjuta-juta

dia tidak banyak soal untuk memberi aku apa-apa. Tetapi sayangnya kebencianku yang

menjadi nanah ini telah menutup kebaikannya.

Masakan aku boleh lupakan peristiwa itu. Ketika itu aku kecil lagi. Masih di sekolah

rendah. Suatu hari bonda menyuruh aku bersiap cepat.

“ Kita akan ke rumah nenek”

Rumah nenek?. Aku jadi pelik metah. Kami tidak pernah ke rumah nenek sepanjang

aku hidup di dunia ini. Sehingga aku menyangka dalam hidupku hanya bonda dan ayah

sahaja.

Ayah diam sahaja apabila bonda kata kami akan ke rumah nenek. “Ayah sakit” itulah

jawapan bonda kepadaku sekiranya aku bertanya mengapa ayah diam sahaja apabila

aku cuba untuk bercakap dengannya.

Ayah sudah lama jatuh sakit. Sakit ayah pelik dan tidak kebah. Ayah hanya baring di

atas katil seperti mayat hidup. Bondalah yang bersusah payah melayan kerenah ayah.

Aku tidak berani untuk bermesra dengan ayah seperti selalu lantaran ‘amaran’ bonda.

Apabila sampai di rumah nenek, kedatangan kami di sambut dingin sahaja. Nenek

(emak sebelah ayah) menjeling bonda dan aku tajam. Dia langsung tidak menyambut

salamku.

Di rumah nenek, aku diam tidak berkutik sedangkan aku kanak-kanak yang riang dan

gemar bergurau.

“ Kau bukan cucu rumah ini. Jangan nak berani makan apa-apa di rumah ini,” aku jadi

segan apabila sepupu perempuanku yang sering bertocang dua merampas biskut yang

aku ambil di atas para.Aku terasa mahu menamparnya sahaja. Siapa dia untuk

menuduh sebegitu rupa. Kami setaraf sahaja. Berani dia lancang berkata sebegitu rupa.

Aku mengambil tindakan drastik merampas kembali biskut itu dan berlari menuju

bonda. Sepupuku mengejar aku sekeliling rumah. Bonda cuba untuk

mempertahankanku. Iyalah aku ini kan anak bonda, tentulah bonda akan melindungi

aku.

Page 5: Cerpen Dalam Berjuta-juta

Suasana kecoh seketika apabila sepupuku yang tidak tahu adab menengking bonda

seperti bonda ini babu di rumah ini. Geram sungguh aku melihatnya. Aku sering diasuh

oleh bonda agar jangan kurang ajar dengan orang tua tetapi sepupuku terlebih ajar

pula.

Nenek muncul di tengah-tengah kekecohan itu. Sepupuku yang tidak malu itu mengadu

entah apa-apa dengan nenek. Bonda cuba untuk melindungi aku tetapi nenek hanya

menyorot tajam wajah bonda.

Langsung nenek menampar bonda. Bonda tersungkur jatuh. Tidak cukup dengan itu,

nenek menghentak kepala bonda ke tiang dengan segala sumpah seranah

dihamburkan. Aku menjerit ketakutan dan menangis apabila melihat kepala bonda

berdarah.

Ayah pula dimana?. Hanya baring di katil memerhatikan kami tanpa sebarang reaksi.

Ayah adalah saksi perbuatan nenek. Aku jadi cukup benci dengan ayah ketika itu.

Mengapa ayah tidak menyelamatkan bonda dari nenek yang kejam itu?. Nenek yang

sedang mencederakan bonda?.

Tidak cukup dengan itu, nenek mengheret bonda di hadapan ayah. Nenek memaki

hamun bonda yang katanya tak tahu malu merosakkan kebahagiaan orang lain.

Kebahagiaan siapa? . Neneklah yang merosakkan kebahagiaan kami?. Aku menjerit

dalam hati. Aku terperosok duduk ketakutan di bucu rumah.

Ayah pula masih begitu. Memandang nenek dan bonda tanpa reaksi. Apa yang aku

tahu, selepas itu wajah nenek puas dan bonda pula menangis tersedu-sedu. Nenek

menarik aku dan bonda keluar rumah rumah dan mencampakkan beg pakaian kami.

Kami telah dihalau!!!!.

Bonda tidak menangis merayu untuk masuk ke rumah ‘puaka’ itu. Bonda terus

menahan teksi dan meninggalkan ayah dan rumah itu serta isinya.

Semenjak itu aku tidak pernah melihat ayah. Sememangnya aku tidak sudi pun.

Ayahkah dia jika hanya berdiam sahaja melihat isterinya di seksa oleh emaknya

sendiri?. Manusiakah dia melihat kekejaman di hadapan mata sendiri?. Bertahun-tahun

Page 6: Cerpen Dalam Berjuta-juta

benci itu bertamu di atma ini sehingga wajah ayah yang kubenci itu muncul tiba-tiba di

hadapan rumah baru kami beberapa tahun lalu

Walaupun aku kagum dengan kesetiaan bonda yang tidak pernah tergugah walaupun

ramai lelaki datang menyerah namun pada hakikatnya kesetiaan bonda seringkali

mengundang amarah dan rajukku. Lantaran kesetiaan dan kasih bonda untuk lelaki

yang paling aku benci seluruh penghidupanku. Lelaki yang tidak dapat aku kikis walau

sesaat lantaran dia adalah ayahku

Mengapa setelah pelbagai ranjau dan onak kami tempuhi, hati bonda masih seteguh

karang untuk lelaki itu?. Masakan aku tidak dapat menekanya. Jikalau tidak tentulah

bonda telah menerima kehadiran lelaki lain dalam hidup kami. Sekurang-kurang apabila

begitu aku dapat mengisytiharkan kemenangan kepada ayah bahawa hati bonda bukan

lagi untuk ayah.

Dalam hidup kami hanyalah ada aku, bonda dan adik bonda. Kami tiada saudara mara

lain. Adik bonda yang aku panggil Auntie Miera sudah bertahun lamanya membawa

hatinya yang lara ke Jerman. Semuanya kerana lelaki durjana yang mengkhianati

perjanjian cinta mereka. Mengapa kehadiran lelaki hanya menyusahkan kaum kami

sahaja?. Aku semakin membenci golongan tersebut

Suatu petang Auntie Miera pulang dalam remang senja merah. Aku sungguh gembira

lantaran selama ini kami sering berhubung dengan email sahaja. Aku sering meluahkan

rasa kebencianku pada ayah kepada Auntie Miera.

Namun petang itu menjadi saksi pada lafaz kata-kata Auntie Miera yang menyentak

girangku.

“Auntie akan berkahwin tak lama lagi.”

KAHWIN!. Perkataan itu bagai halilintar membelah bumi. Dahulu kata Auntie hatinya

telah lama tertutup untuk mana-mana lelaki. Lalu mengapa dibuka hatinya lagi untuk di

lukai.

Page 7: Cerpen Dalam Berjuta-juta

Semalaman aku berkurung dalam bilik tanda memprotes Auntie Miera. Namun ketika

tengah malam, aku terlalu lapar dan cuba menyelinap keluar dari bilik. Akhirnya aku

tertangkap oleh Auntie Miera.

”Sayang…”syahdu hatiku mendengar Auntie Miera memanggil nama timbanganku.

Mawaddah yang bererti kasih sayang

Auntie meraih tanganku.

”Mengapa terlalu marah pada keputusan Auntie?. Bersungguh benar sayang benci

pada perkahwinan. Mengapa perasaan benci yang keterlaluan ini membenih dalam jiwa

sayang?.”

Bahasa Auntie Miera memang puitis biarpun bertahun di luar negara. Aku membisu

namun jawapan yang bergema dalam hatiku lelaki adalah pemusnah kehidupan bonda

dan Auntie Miera!.

”Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu di bakar. jangan kerana marahkan ayah,

sayang benci pada lelaki.”

Aku tetap begitu. Diam membeku namun sorot mataku jelas mencerminkan keteguhan

pendirianku.

”Nampaknya rahsia yang berkurun ini harus di bongkarkan juga. Moga benci dan marah

tidak lagi bertamu di hati sayang.”

Auntie Miera terus merencanakan cerita. Punca kehancuran perkahwinan ayah dan

bonda lantaran kasih mereka tidak direstui oleh nenek, ibu kepada ayah. Lantaran

bonda bukan dari keturunan syed-syarifah. Namun mereka teguh hati. Perkahwinan

tetap di teruskan biarpun badai melanda

Malangnya selepas beberapa tahun aku lahir, ayah jatuh sakit yang tenat. Penat bonda

menyusung ayah ke sana ke mari untuk berubat. Sehingga suatu hari, seorang bomoh

memberitahu ayah terkena penyakit santau. Walaupun tanpa sumber yang kukuh,

bonda tahu itu adalah perbuatan nenek. Lantaran itu, ayah di hantar ke rumah agam

nenek kembali. Biarpun hati bonda terluka, namun demi ayah pulih kembali bonda rela.

Natijahnya, bonda terpaksa di ceraikan untuk membayar harga kesihatan ayah.

Page 8: Cerpen Dalam Berjuta-juta

” Ini adalah rahsia yang perlu Auntie simpan. Tetapi auntie tidak mahu jiwa sayang

rosak lataran terlalu benci ayahmu sendiri. Malah satu rahsia terbesar mengapa bonda

merelakan dirinya di ceraikan ayah masih tersimpan dalam laci cendana dalam bilik

bonda. Pergilah sayang lihat sendiri.”

Air mataku mengucur jatuh mendengar kisah tragis bonda dan ayah. Itukah punca ayah

tidak menolong bonda ketika nenek menghina dan mendera bonda?. Ayah yang

terkena santau bagaikan tiada punya hati dan perasaan. Lalu apakah kemunculan ayah

pada ketika ini untuk menebus kembali penderitaan kami?

Bilik bonda adalah bilik terlarang. Aku sememangnya tidak selalu masuk ke bilik bonda.

Malah aku tidak mahu pun lantaran bilik itu penuh dengan kenangan terhadap ayah.

Semasa aku melangkah masuk ke bilik bonda, bau semerbak cendana menerpa.

Bonda tidur pulas dengan wajah yang tenang. Dengan tangan yang terketar-ketar, aku

membuka laci cendana itu. Usai aku membaca dokumen yang aku temui. Air mataku

mengucur laju tanpa segan silu. Ya Allah berdosanya aku membenci ayah selama ini

dan mempertikaikan kesetiaan bonda.

Patutlah bonda tidak pernah menerima sesiapa lagi dalam hidupnya. Bonda wanita

tanpa rahim. Bonda telah menjalankan pembedahan lantaran kanser rahim selepas

kelahiranku. Sedang kasihnya pada ayah masih bersisa, bagaimana mahu menyemai

kasih yang lain pula.

Bonda terjaga lantaran terdengar senduku. Saat itu, aku sujud di kaki bonda memohon

ampun. Ampunkan aku bonda atas kelancanganku!