Dasar ict negara oleh abdul murad abd hamid

21
FALSAFAH, DASAR DAN AKTA NEGARA SERTA IMPLIKASINYA TERHADAP TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM PENDIDIKAN 1.0 Pengenalan Pelbagai takrifan telah diberikan tentang teknologi maklumat. Salah satunya menurut Senn (1998), teknologi maklumat adalah gabungan ketiga-tiga komponen komputer, komunikasi dan tahu-guna. Menurut beliau lagi ia mencipta peluang kepada manusia dan organisasi untuk lebih produktif, berkesan dan umumnya berjaya. Oleh itu, logiknya, ketiga-tiga komponen ini tidak boleh dipisahkan apabila berbicara tentang teknologi maklumat. Komputer tanpa pengetahuan untuk menggunakannya dengan bijak tentulah tidak boleh dianggap sebagai satu teknologi yang berkesan. Seterusnya, jika pengetahuan untuk menggunakan komputer ada tetapi tanpa kebolehan untuk menyebarkan maklumat untuk berkomunikasi tentu tidak membawa banyak impak terhadap proses globalisasi yang sering diperkatakan kini. Dengan itu, umumnya, seperti yang dirangkumi oleh A.Razak et al (2000), teknologi maklumat ialah satu alat utama dalam era meklumat yang digunakan untuk mencapai, menyimpan dan menyebarkan maklumat terutama maklumat yang berbentuk digital. Usaha-usaha kerajaan untuk memaklumatkan penduduknya juga menandakan proses globalisasi semakin melebarkan pengaruhnya terhadap gaya hidup masyarakat Malaysia memandangkan teknologi maklumat tidak dapat dipisahkan dengan globalisasi. Melalui proses globalisasi, alam dan manusia berada di bawah satu komponen yang tidak dibatasi oleh sempadan atau ruang geografi sesebuah negara atau kawasan. Dunia seseorang menjadi terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang mudah didapati menerusi medium komunikasi seperti internet, media elektronik dan lain-lain lagi. Pelaburan dalam

Transcript of Dasar ict negara oleh abdul murad abd hamid

Page 1: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

FALSAFAH, DASAR DAN AKTA NEGARA SERTA IMPLIKASINYA

TERHADAP TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM

PENDIDIKAN1.0 Pengenalan

Pelbagai takrifan telah diberikan tentang teknologi maklumat. Salah satunya menurut Senn (1998), teknologi maklumat adalah gabungan ketiga-tiga komponen komputer, komunikasi dan tahu-guna. Menurut beliau lagi ia mencipta peluang kepada manusia dan organisasi untuk lebih produktif, berkesan dan umumnya berjaya. Oleh itu, logiknya, ketiga-tiga komponen ini tidak boleh dipisahkan apabila berbicara tentang teknologi maklumat. Komputer tanpa pengetahuan untuk menggunakannya dengan bijak tentulah tidak boleh dianggap sebagai satu teknologi yang berkesan.

Seterusnya, jika pengetahuan untuk menggunakan komputer ada tetapi tanpa kebolehan untuk menyebarkan maklumat untuk berkomunikasi tentu tidak membawa banyak impak terhadap proses globalisasi yang sering diperkatakan kini. Dengan itu, umumnya, seperti yang dirangkumi oleh A.Razak et al (2000), teknologi maklumat ialah satu alat utama dalam era meklumat yang digunakan untuk mencapai, menyimpan dan menyebarkan maklumat terutama maklumat yang berbentuk digital.

Usaha-usaha kerajaan untuk memaklumatkan penduduknya juga menandakan proses globalisasi semakin melebarkan pengaruhnya terhadap gaya hidup masyarakat Malaysia memandangkan teknologi maklumat tidak dapat dipisahkan dengan globalisasi.

Melalui proses globalisasi, alam dan manusia berada di bawah satu komponen yang tidak dibatasi oleh sempadan atau ruang geografi sesebuah negara atau kawasan. Dunia seseorang menjadi terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang mudah didapati menerusi medium komunikasi seperti internet, media elektronik dan lain-lain lagi. Pelaburan dalam ICT telah meningkat pada kadar 9.2 peratus setahun daripada RM3.8 bilion pada tahun 1995 kepada RM5.9 bilion pada tahun 2000. Penggunaan teknologi maklumat berkembang dengan pantas sekali seperti yang dilaporkan dalam Rancangan Malaysia ke-7 (RMK-7). Begitu juga yang dijangka sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-8 (RMK-8).

Walaubagaimanapun perkembangan ini memerlukan pengawalan dan penyeliaan yang berterusan dan terjamin. Oleh itu, pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa dasar atau polisi serta meluluskan beberapa akta untuk melindungi para pelabur, pengguna dan kerajaan. Langkah-langkah ini diambil terutamanya apabila Koridor Raya Multimedia atau MSC menjadi salah satu daripada agenda besar negara untuk mencapai Wawasan 2020.

2.0 Rasional Falsafah Pendidikan Negara

Malaysia mahu melahirkan warga yang bertanggungjawab untuk

Page 2: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

memimpin dirinya dan masyarakatnya berdasarkan nilai-nilai yang terpuji. Saluran yang terbaik untuk merealisasikan kehendak ini adalah melalui satu sistem pendidikan yang memenuhi dengan seimbang tuntutan rohani, jasmani, emosi dan intelek seseorang manusia.

Oleh kerana itu, menyedari sistem pendidikan memerlukan satu strategi yang mantap untuk mendidik warga Malaysia ke arah bangsa yang berkualiti, pada tahun 1987 Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah diperkenalkan dalam sistem pendidikan Malaysia. Falsafah ini menghayati konsep sepadu dan mempunyai prinsip-prinsip yang mantap untuk menghasilkan warganagara yang berkualiti dan berjaya (Tajul Ariffin, 2002). Sehingga kini FPN ini menjadi panduan utama untuk menggubal dan melaksanakan kurikulum bagi mana-mana subjek di sekolah-sekolah mahupun di institusi-institusi pendidikan lain di Malaysia.

Antara frasa yang penting dalam FPN ialah "Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini ialah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara". Petikan ini selanjutnya menjadi tulang belakang kepada penggubalan kurikulum pendidikan di Malaysia.

Berdasarkan FPN, negara mengkehendaki keseimbangan pembangunan diri antara jasmani, intelek, emosi dn rohani. Untuk jasmani, fizikal individu haruslah cergas dan mudah bekerja dengan gigih. Pembangunan inteleknya pula fapat menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi supaya dapat membentuk etika yang baik. Dari segi emosi pula pendidikan yang diberi perlu membolehkan pelajar mengawal perasaan terhadap sesuatu kegiatan secara seimbang dan tidak prejudis sementara dari sudut pembangunan rohaninya seseorang itu hendaklah berpegang kuat dan patuh kepada agama supaya berakhlak dan bermoral tinggi. Patuh kepada agama dan berakhlak ini sebenarnya menjadi landasan terhadap sistem pendidikan bersepadu kebangsaan kerana ia selari dengan kehendak dan tabii seseorang manusia iaitu pengisian terhadap batin dan zahir perlulah seimbang.

3.0 Dasar dan Akta Teknologi Maklumat Negara

Tempoh RMKe-7 telah menyaksikan berbagai infrastruktur dan persekitaran disediakan untuk keperluan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Semua pelaburan ini telah menjana negara untuk memasuki era teknologi maklumat dengan lebih pantas. Menurut Laporan RMK-8, Agenda Teknologi Maklumat Negara atau NITA yang digubal pada tahun 1996 telah menyediakan kerangka pembangunan negara yang lebih terancang

Page 3: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

untuk menjadi sebuah masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan menjelang tahun 2020. Ini menunjukkan tahap komitmen negara untuk serius bersama-sama bersaing dengan dunia luar dalam hal teknologi maklumat dan komunikasi. Demikian jugalah dengan penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menjadi salah satu aplikasi wawasan negara untuk mempastikan Malaysia menjadi negara maju bila mencapai tahun 2020.

Untuk memantapkan lagi prasarana teknologi maklumat di Malaysia, negara turut menggubal beberapa akta yang bertujuan untuk menggalakkan peraturan yang lebih liberal, memperkemas prosedur dan kategori perlesenan serta mewujudkan pasaran yang lebih terbuka kepada persaingan (RMKe-8). RMKe-8 menetapkan untuk membuat usaha yang lebih bersepadu dengan menggunakan ICT demi mendorong pembangunan. Oleh itu, menurut laporan tersebut, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan sumber manusia dan rangkaian infrastruktur supaya masyarakat Malaysia memperolehi manfaat yang maksimum daripada kepesatan pembangunan teknologi.

3.1 Dasar Atau Polisi

Dasar berkenaan dengan teknologi maklumat dan multimedia untuk negara ini bermula dengan pembentukan National IT Council (NITC) yang telah dilancarkan pada bulan Disember 1996 (NITC, 2001). Selepas penubuhannya NITC ini berfungsi sebagai penasihat dan konsultan utama kepada kerajaan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan Teknologi Maklumat dalam pembangunan nasional negara. Ia adalah badan yang menggabungjalin, mengkoordinasi, memantau dan menilai operasi rangka kerja polisi NITC. Selain dari itu Strategic Thrusts Agenda yang telah dilancarkan oleh NITC pada tahun 1998 juga bermatlamat untuk membawa rakyat Malaysia dan institusi-institusinya kepada dunia elektronik atau e-world.

Untuk mencapai matlamat ini, dasar-dasar yang dirangka telah berfokus kepada pembangunan sumber manusia, infrastruktur dan pembentukan nilai yang memberi peluang yang sama rata kepada semua rakyat Malaysia untuk turut memajukan diri dalam era teknologi maklumat ini.

Badan tersebut juga telah mengatur dasr-dasar yang strategik di dalam membawa Malaysia kepada e-world yang melibatkan lima bidang kritikal iaitu E-Komuniti, E-Perkhidmatan Awam, E-Pendidikan, E-Ekonomi Dan E-Kedaulatan

Umumnya dasar-dasar yang telah dijalankan dalam RMK-7 iaitu mengenai

Penggunaan ICT, Agenda IT Negara, Pembangunan Koridoraya Multimedia, Aplikasi Perdana MSC,

Page 4: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

Pembangunan Infrastruktur Komunikasi, Perdagangan Elektronik, Pembangunan Sumber Manusia ICT dan Dana Untuk Industri ICT

akan diteruskan dan diperkemaskan lagi dalam RMK-8. Jika RMK-7 telah menyediakan infrastruktur dan persekitaran yang menggalakkan bagi pertumbuhan dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, RMK-8 pula memberikan prospek yang akan memperkukuhkan lagi keupayaan sumber manusia dan infrastruktur. Ia juga akan mewujudkan kumpulan kritikal untuk perusahaan kecil dan sederhana dan pengguna Internet. Semua ini bertujuan untuk menjana kemajuan Malaysia untuk menjadi negara maju yang mempunyai masyarakat berpengetahuan.

Sehubungan itu, beberapa dasar atau teras yang strategik dalam RMK-8 telah diatur untuk pembangunan ICT. Ia meliputi:

.

3.11 Menempatkan Malaysia Sebagai Hub ICT dan Multimedia Di Peringkat Global

Usaha yang bersepadu akan dibuat untuk melaksanakan dasar ini.

Tumpuan akan diberi dari sudut mutu perkhidmatan yang mampu dibayar dan produktif dalam pada masa yang sama ia adalah bertaraf dunia.

Dalam dasar ini ICT dijadikan jentera penting terutamanya dalam sektor kritikal seperti perbankan dan kewangan, logistik, pembuatan dan perkhidmatan penting.

Kerangka dasar yang baru akan dilaksanakan sebagai langkah lanjut untuk mencapai prestasi yang bertaraf dunia. Kerangka ini berasaskan kepada perubahan yang pesat ke arah persaingan penuh.

Langkah awal untuk mewujudkan kerangka persaingan ini adalah apabila Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mula berkuatkuasa.

Akta ini menjadikan faktor persaingan sebagai dasar bagi pencapaian prestasi tinggi.

Selain dari itu, langkah tambahan lain untuk melaksanakan dasar ini adalah seperti pelaksanaan dasar perlesenan yang jelas, ringkas dan praktikal serta meminimumkan keperluan perlesenan untuk perkhidmatan baru.

Langkah-langkah seperti mendirikan pusat penyelidikan dan menjadi peneraju dalam forum antarabangsa juga akan diambil selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hub di peringkat global.

Page 5: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

.

3.12 Menaik Taraf Dan Menambahkan Infrastruktur Komunikasi Untuk Meningkatkan Kebolehcapaian Di Seluruh Negara Dengan Tujuan Merapatkan Jurang Digital

Dalam tempoh RMKe-8, pelaburan akan dibuat untuk meningkatkan rangkaian komunikasi selaras dengan kemajuan teknologi.

Rangkaian teknologi penghantaran yang berkelajuan lebih tinggi dan dalam jarak yang lebih jauh akan digunakan dan dipertingkatkan.

Teknologi internet mudah alih turut diberi tumpuan bagi menggalakkan lagi perkembangan e-dagang dan penggunaan berasaskan Internet di kalangan penduduk.

Dasar ini juga menekankan perluasan infrastruktur ICT ke kawasan luar bandar seperti yang dilakukan oleh Program Pembekalan Khidmat Sejagat dan latihan serta pendedahan ICT seperti yang dilakukan oleh Program Infodesa dan Program Internet Desa.

Untuk mempastikan jurang digital yang berlaku dalam masyarakat Malaysia akibat revolusi ICT dapat dikurangkan, dasar komprehensif yang merangkumi empat aspek penting iaitu infrastruktur ICT untuk capaian sejagat, pembangunan kandungan tempatan, capaian yang saksama bagi produk dan perkhidmatan ICT yang berpatutan dan capaian kepada peluang pembelajaran sepanjang hayat akan diberikan penekanan.

.

3.13 Meningkatkan Pembangunan Sumber Manusia Dalam Bidang ICT Bagi Menambah Bekalan Tenaga Manusia Yang Berkemahiran Tinggi Dan Berpengetahuan

Dijangkakan permintaan untuk pekerja dalam bidang utama ICT akan meningkat daripada 108,000 pada tahun 2000 kepada 181,600 pada tahun 2005.

Kajian mengenai Keperluan Sumber Tenaga Bagi Menyokong Aplikasi dan Perluasan ICT di Malaysia pula menunjukkan kepakaran teknikal amat diperlukan.

Oleh itu, bagi memenuhi permintaan pekerja ICT, usaha akan dijalankan untuk memperbaiki dan memperluaskan pendidikan ICT terutamanya dalam sektor pendidikan.

Langkah-langkah seperti membekalkan kemudahan komputer, membangunkan bahan

Page 6: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

pengajaran dan pembelajaran bantuan komputer, meluaskan capaian internet, menyediakan komunikasi satelit untuk sekolah yang sukar menerima capaian internet dan pendedahan teradap kod etika penggunaan internet yang baik akan dilakukan.

Objektifnya adalah untuk meningkatkan kadar celik komputer di kalangan pelajar di samping mendedahkan mereka kepada faedah Internet

Disamping itu, lebih banyak kursus ICT dan kejuruteraan yang berkaitan akan diperkenalkan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Latihan untuk ICT akan terus diberi penekanan yang berterusan. Firma-firma juga akan digalakkan menghantar pekerja mengikuti latihan ICT bagi memperolehi kemahiran terkini yang boleh meningkatkan pengeluaran dan produktiviti mereka.

.

3.14 Menggalakkan E-Dagang Dan Meningkatkan Penggunaannya Bagi Membolehkan Malaysia Bersaing Dengan Lebih Berkesan Dalam Pasaran Global;

Dasar ini akan memberi tumpuan khas untuk mempromosi dan menggalakkan penggunaan e-dagang secara meluas sebagai satu cara baru menjalankan perniagaan melalui rangkaian digital.

Penguatkuasaan yang lebih berkesan terhadap undang-undang dan mekanisme yang telah diwujudkan akan diberi perhatian. Langkah-langkah bagi membina kepercayaan dan keyakinan dalam e-dagang seperti keselamatan, kerahsiaan pengguna, sokongan rangkaian, sistem pembayaran, logistik, program-program pelaksanaan akan turut disediakan dengan meluas disektor awam dan swasta bagi meningkatkan pembangunan e-dagang.

.

3.15 Memupuk Keupayaan Tempatan Dlm Mencipta Pembangunan Kandungan

Untuk memupuk keupayaan tempatan ini antara langkah-langkah akan diambil adalah seperti untuk mengurangkan pengawalan ke atas pengeluaran kandungan bagi televisyen dan filem bagi meningkatkan penyertaan dalam pasaran.

Bantuan kewangan dan insentif lain akan juga diberi untuk menggalakkan pengeluaran dan pengedaran kandungan ciptaan tempatan terutamanya kandungan multimedia kreatif yang

Page 7: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

berasaskan budaya tempatan. Sehubungan dengan itu, peraturan yang jelas

tentang hak harta intelek juga akan diperlengkapkan dan dikuatkuasakan dengan lebih berkesan bagi memerangi cetak rompak.

Dasar memupuk keupayaan tempatan ini juga memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran yang juga menggalakkan sektor swasta dan kerjasama asing agar pemindahan pengetahuan kepada rakyat Malaysia berlaku.

Selanjutnya pembangunan industri kandungan yang kreatif di Malaysia akan diperkukuhkan dengan pelaksanaan inisiatif E-Village yang bakal menjadi pusat serantau bagi multimedia dan pembangunan kandungan.

.

3.16 Meluaskan Pelaksanaan Aplikasi Perdana MSC Bagi Meningkatkan Lagi Momentum Pembangunan MSC;

Berdasarkan aplikasi perdana MSC dalam RMK-7, pembangunan gelombang pertama akan diperluaskan lagi dalam tempoh RMKe-8 bagi mengatasi masalah jurang digital.

Antara perluasan tersebut merangkumi perluasan konsep sekolah bestari bagi sekolah rendah dan menengah, perlaksanaan telekesihatan di pusat penjagaan kesihatan dan klinik desa dan projek E-Perkhidmatan.

Aplikasi perdana gelombang kedua juga akan dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk menarik minat pencipta teknologi terkini menyertai pembangunan MSC dan menggalakkan pemindahan teknologi serta P&P.

Ia juga akan mengatasi isu seperti penyepaduan aplikasi bagi memperbaiki projek perintis aplikasi perdana gelombang pertama sebelum ianya diperluaskan.

Pembangunan aplikasi perdana gelombang kedua adalah usaha berterusan yang akan mengambil kira perubahan terkini dalam persekitaran pelaksanaannya.

.

3.17 Memupuk Pembentukan Kumpulan Kritikal PKS Yang Berasaskan ICT;

Beberapa inisiatif bagi kumpulan kritikal perindustrian kecil dan sederhana (PKS) yang berasaskan ICT akan terus dilaksanakan bagi menjamin pembangunan ekonomi yang berasaskan pengetahuan.

Page 8: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

Penyediaan sumber kewangan dengan penubuhan dana ICT beserta beberapa garis panduan, latihan dan promosi mengenainya akan diusahakan.

Bagi menggalakkan lebih banyak syarikat PKS menggunakan aplikasi e-dagang kempen kesedaran, kursus latihan, bengkel dan program penganugerahan akan juga giat diadakan. sepanjang tempoh RMKe-8 ini.

.

3.18 Menggalakkan Kegiatan P&P Ke Atas Faktor Bukan Perkakasan Bagi Kemajuan ICT Dan Era Maklumat Yang Akan Memberi Manfaat Kepada Individu, Pertubuhan Dan Masyarakat.

Penyelidikan ke atas elemen bukan perkakasan dalam pembangunan ICT seperti pemantauan dan penilaian kesan ICT, profil penggunaan Internet, perubahan budaya kerja dan lain-lain akan dilakukan.

Ini adalah untuk mempastikan ia adalah selaras dengan pengertian sektor maklumat.

3.2 Akta-Akta

Untuk mempastikan agenda teknologi maklumat negara berjaya dan menjamin industri multimedia dan komunikasi, pihak kerajaan telah menggubal beberapa akta untuk menggalakkan perkembangan, pelaburan, perniagaan dan pengunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam negara.

Tiga akta telah digubal pada tahun 1997 (Mampu, 2002) di bawah peruntukan Akta Hakcipta 1997. Akta-akta tersebut ialah

. 3.21 Akta Tandatangan Digital 1997

Ia menyediakan satu sistem pengesahan di mana tandatangan digital boleh diterima sebagai bersamaan dengan tandatangan bertulis, cap jari atau pengenalan lain bagi pengesahan sesuatu transaksi elektronik.

.

3.22 Akta Jenayah Komputer 1997Ia adalah untuk rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan-kesalahan yang berkaitan sama ada ia berlaku di dalam atau di luar negara.

.

3.23 Akta Teleperubatan 1997Ia adalah untuk penyeliaan dan pengawalan terhadap aplikasi

Page 9: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

teleperubatan dalam Malaysia.

Dalam tahun 1998 dua lagi akta telah diluluskan iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Akta ini menggabungkan penyiaran dan komunikasi yang menggantikan Akta Telekomunikasi 1950 dan Akta Penyiaran 1988. Dengan tergazetnya akta ini, Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia telah ditubuhkan (Abd Razak Hamdan et al, 2000).

.

3.24 Akta 588 : Akta Komunikasi & Multimedia 1998Ia adalah suatu akta yang mengadakan peruntukan tentang industri komunikasi dan multimedia yang menjurus ke arah percantuman dan perkara-perkara yang bersampingan dengannya (KTKM, 2002).

Akta ini merupakan perundangan terpenting yang telah diwartakan pada 30 March 1999 oleh Dato Leo Moggie sebagai Menteri Tenaga, komunikasi dan Multimedia dan mula dikuatkuasakan pada 1 April 1999 (Banoo, 1999). Perundangan ini menyediakan dasar dan kerangka kerja bagi menyelaraskan percantuman industri-industri telekomunikasi, penyiaran dan komputer.

Matlamat Akta ini adalah untuk

menggalakkan matlamat dasar kebangsaan bagi industri komunikasi dan multimedia;

mewujudkan rangka kerja pelesenan dan pengawalseliaan bagi menyokong matlamat dasar kebangsaan bagi industri komunikasi dan multimedia;

mewujudkan kuasa dan fungsi bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia; dan

mewujudkan kuasa dan tatacara bagi pentadbiran Akta ini

Matlamat dasar kebangsaan bagi industri komunikasi dan multimedia pula ialah

menjadikan Malaysia sebagai pusat dan tumpuan utama dunia bagi perkhidmatan komunikasi, maklumat dan kandungan multimedia;

menggalakkan pewujudan masyarakat madani yang dalamnya perkhidmatan berdasarkan maklumat

mencambahkan dan memupuk sumber maklumat dan perlambangan budaya tempatan

mengawal selia bagi faedah jangka panjang pengguna akhir;

menggalakkan tahap keyakinan pengguna yang tinggi dalam penyampaian perkhidmatan

mempastikan penyediaan perkhidmatan sama rata

Page 10: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

yang mampu dibayar melalui infrastruktur kebangsaan yang sentiasa ada;

mewujudkan suasana aplikasi yang giat bagi pengguna akhir;

memudahkan pengagihan secara berkesan sumber seperti tenaga buruh mahir, modal, pengetahuan dan aset kebangsaan;

menggalakkan pembinaan keupayaan dan kecekapan dalam industri percantuman Malaysia; dan

menjamin keselamatan maklumat, kebolehpercayaan dan keutuhan rangkaian.

3.25 Akta 589 : Akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia 1998Ia adalah satu akta untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang mempunyai kuasa untuk menyelia, mengawal dan menguatkuasakan undang-undang komunikasi dan multimedia di Malaysia bagi aktiviti-aktiviti komunikasi, multimedia dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya di Malaysia.

Kuasa dan fungsi suruhanjaya yang dipertanggungkan ke atasnya di bawah undang-undang komunikasi dan multimedia adalah seperti berikut;

menasihati Menteri tentang perkara-perkara berkenaan dengan objektif dasar kebangsaan bagi aktiviti-aktiviti komunikasi dan multimedia;

melaksanakan dan menguatkuasakan peruntukan-peruntukan undang-undang komunikasi dan multimedia;

mengawal selia segala perkara yang berhubungan dengan aktiviti-aktiviti komunikasi dan multimedia yang tidak diperuntukkan dalam undang-undang komunikasi dan multimedia;

menimbangkan dan mengesyorkan reformasi-reformasi kepada undang-undang komunikasi dan multimedia;

mengawasi dan memantau aktiviti-aktiviti komunikasi dan multimedia;

menggalakkan dan meningkatkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia termasuk dalam bidang penyelidikan dan latihan;

menggalakkan dan meningkatkan pengawalan sendiri dalam industri komunikasi dan multimedia;

memupuk dan mengekalkan kewibawaan semua orang yang dilesenkan atau selainnya diberi kuasa di bawah undang-undang komunikasi dan multimedia;

memberikan bantuan dalam apa-apa bentuk kepada, dan untuk menggalakkan kerjasama dan penyelarasan di kalangan, orang yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti komunikasi dan multimedia; dan

Page 11: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

menjalankan apa-apa fungsi di bawah mana-mana undang-undang bertulis sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan yang disiarkan dalam Warta.

Seterusnya kerajaan juga memperkenalkan beberapa lagi akta berkaitan seperti Akta Perlindungan Data, Akta Penyepaduan Multimedia dan Akta Kerajaan Elektronik bagi memudahkan pelaksanaan projek MSC dan aplikasi perdananya serta memberi perlindungan kepada perniagaan di era teknologi maklumat (CMC, 1999).

4.0 Implikasi Falsafah, Dasar dan Akta Terhadap Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Pendidikan

Senario cara hidup moden yang berasaskan kepada teknologi diperkenalkan setelah arus pembangunan melanda negara dengan begitu pantas.Cara hidup yang moden ini semakin menjadi satu realiti bagi majoriti penduduk Malaysia setelah pelbagai usaha dan strategi berkaitan dengan teknologi maklumat sentiasa dirancang, dikemaskini, dimantapkan dan dilaksanakan secara berterusan.

Walaubagaimanapun, dalam pada masa yang sama pengaliran masuk maklumat tidak harus dibiarkan begitu sahaja tanpa dipastikan kehadirannya membawa kesan yang berfaedah yang besar kepada negara dan rakyat terbanyak dengan membuat penilaian yang telus dan bertanggungjawab untuk menentukan maklumat yang diterima adalah berkualiti dari segi nilainya serta manfaatnya. Penentu kualiti tersebut tidak lain dan tidak bukan akan bermula dengan kurikulum pendidikan dan pelaksananya adalah warga pendidik. Seterusnya mekanisma yang akan menggerakkan dan menapis kualiti tersebut adalah para pelajar yang menjadi pengguna dan kemungkinan besar penyumbang perkembangan teknologi maklumat. Peranan yang dimainkan oleh para pelajar ini akan bertambah besar dan penting apabila mereka memasuki alam kerjaya.

Dengan kesedaran tentang ikatan aliran tersebut, ia membawa implikasi bahawa sektor pendidikan umumnya dan institusi-institusi pendidikan di Malaysia ini khasnya mempunyai peranan yang amat besar lagi penting untuk memandu hala tuju generasi pelapis pemimpin ini agar lebih bersedia bukan sahaja dari segi intelek dan jasmaninya tetapi juga dari segi emosi dan rohaninya untuk mempastikan kecemerlangan pembangunan dan kemajuan yang bersepadu, seimbang dan adil dapat dicapai. Oleh itu sektor pendidikan perlu berdepan dengan satu cabaran untuk menghasilkan sumber tenaga manusia yang terdidik peribadinya dan tinggi pengetahuan serta kemahiran teknologi maklumat dan komunikasinya.

Sebelum itu untuk bersedia menghadapi cabaran tersebut, KPM perlu menyediakan keperluan fizikal dan bukan fizikal untuk membolehkan penggunaan ICT sebagai alat pengupaya (enabling tool) pada semua peringkat organisasi pendidikan (KPM 2001). Ini

Page 12: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

juga adalah implikasi dari dasar ICT negara yang mahu memperkukuhkan lagi keupayaan sumber manusia dan infrastruktur berkaitan ICT dengan tujuan untuk menjadi negara maju yang mempunyai masyarakat berpengetahuan. Andainya ini tercapai, ia berpotensi untuk membawa perubahan besar kepada sistem pendidikan negara dan seterusnya mengangkat kualiti pendidikan dalam dan luar negara.

Pendidikan teknologi maklumat pada dasarnya adalah subjek yang mendidik tentang teknologi. Menurut KPM (2001) teknologi maklumat dalam pendidikan dimaksudkan sebagai penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang menyokong proses teras dalam pengurusan dan pentadbiran pendidikan, pengajaran dan pembelajaran serta pendidikan sepanjang hayat. Dua komponen utama dapat dilihat bergabung di sini iaitu komponen pendidikan serta komponen teknologi. Umumnya komponen pendidikan lebih bertumpu kepada aspek falsafah dan nilai dan manakala komponen teknologi menjurus terus kepada aspek-aspek teknikal, perkembangannya dan potensinya. Jika kedua-dua komponen ini diberikan perhatian dengan sempurna, berkesan dan seimbang maka sudah tentunyalah kesannya terhadap dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara menjadi begitu mantap dan menarik sekali.

Seterusnya, dari definisi ICT dalam pendidikan tadi, dapat dilihat tiga dasar utama yang digariskan oleh kementerian mengenai ICT dalam pendidikan iaitu tentang

literasi ICT untuk semua peranan dan fungsi ICT sebagai kurikulum

dan alat p&p penggunaan ICT untuk meningkatkan

produktiviti.

Ketiga-tiga dasar ini jika diteliti sebenarnya adalah implikasi dari dasar dan akta ICT negara yang berfokus kepada

pembangunan sumber manusia pembentukan nilai dan pembangunan infrastruktur

Ini adalah kerana untuk menyediakan pembangunan sumber manusia, ia akan bermula dengan mempastikan mereka terlebih dahulu celik teknologi. Akses kepada celik teknologi memerlukan infrastuktur yang mencukupi. Seterusnya untuk menjadikan mereka bukan sahaja sumber manusia yang celik teknologi tetapi juga mempunyai nilai-nilai yang murni, peranan dan fungsi ICT sebagai kurikulum dan alat p&p penting untuk memupuk budaya yang sihat. Apabila asas ini sudah tersemat dalam setiap individu, seterusnya pembangunan infrastruktur yang pada mulanya untuk membuka jalan terhadap mendidik pembangunan manusia, akan dapat diterus diperkembangkan lagi untuk tujuan-tujuan yang lebih kompetitif dan inovatif.

Page 13: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

Ringkasnya dasar-dasar negara mengenai ICT dan akta-akta yang digubal untuk menjamin dasar-dasar tersebut sememangnya membawa impak yang menyeluruh terhadap sistem pendidikan negara. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.0, strategi-strategi yang telah diatur sememangnya membawa ke arah penyebatian ICT dalam masyarakat. Ia juga adalah kerana matlamat pembangunan pendidikan bagi 2001 hingga 2010 mengambil kira dasar Wawasan Negara yang antaranya bertujuan untuk membina bangsa yang berdaya tahan, mengekalkan pertumbuhan ekonomi, menghadapi persaingan antarabangsa, membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan memperkukuhkan pembangunan sumber manusia. Kesemua cabaran ini menggunakan mekanisma yang sama untuk mencapainya iaitu penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi. Dengan itu implikasi yang dibawa bersama-sama gelombangnya amat mempengaruhi perjalanan rancangan pembangunan pendidikan untuk tahun 2000 hingga 2010. Perancangan yang menyeluruh dari setiap aspek pentadbiran dan perlaksanaan dari peringkat bawahan hingga atasan telah dibuat oleh kementerian. Ia menyentuh tentang projek-projek ICT da ri sekolah rendah hingga universiti (seperti yang dilihat dari Jadual 2.0), pembangunan infrastruktur, akses dan ekuiti kepada kemudahan ICT, pengintegrasian ICT dalam P&P, peningkatan pengetahuan dan kemahiran ICT, penggunaan ICT dalam pengurusan pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan ICT.

5.0 Rumusan

Falsafah Pendidikan Negara sebenarnya berhasrat untuk membina negara yang mempunyai identiti nasional yang mantap. Konsep membina negara ini amat berkait rapat dengan pendidikan kerana pendidikan merupakan agen yang berkesan terhadap perubahan sosial. Oleh itu jika agenda negara mengkehendaki pakar-pakar teknokrat dan birokrat bagi melaksanakan rancangan pembangunan negara dan mentadbir organisasi serta masyarakat, pakar-pakar yang dikehendaki tersebut haruslah dilahirkan melalui sistem pendidikan yang berpayungkan dasar-dasar dalam FPN.

Perkara demikian adalah untuk mempastikan selain dari melahirkan warga yang mempunyai kepakaran atau kemahiran mengurus dan mentadbir, mereka juga harus mendokong aspirasi negara untuk melahirkan para sarjanawan dan ilmuan yang mahir berfikir dan mampu mengembangkan ilmu-ilmu yang diperolehinya dengan penuh bertanggungjawab. Perkara ini perlu terutamanya untuk menjamin negara tidak akan kekurangan pemikir-pemikir dan pemimpim-pemimpin yang berwibawa terutama di alaf baru ini.

Di sinilah dilihat gabungan ICT dan pendidikan saling membawa peranan yang besar. ICT adalah salah satu aspek yang penting yang membantu pencapaian kemajuan negara manakala pendidikan adalah aspek yang penting untuk menentukan pencapaian kemajuan negara itu adalah didasari dengan nilai-nilai yang diterima oleh budaya tempatan. Sebenarnya pendidikan boleh menjadi 'akta' atau 'polisi' yang paling berkesan dan berpengaruh terhadap agenda dan perkembangan ICT negara. Nilai-nilai yang tersirat dalam dasar dan

Page 14: Dasar ict negara oleh  abdul murad abd hamid

akta negara mengenai teknologi maklumat seperti bertanggungjawab, rajin berusaha, hormat-menghormati, adil dan lain-lain lagi menentukan perkembangan dan kemajuan yang mahu dicapai negara adalah cemerlang dalam ertikata sebenarnya. RUJUKAN

1. A. Razak et al. 2000. Teknologi Maklumat. Malaysia: McGraw-Hill (Malaysia).

2. Banoo, S. 1999. All Multimedia Laws in Place By 1 April. News Straits Times, 23 Februari.

3. CMC. 1999. Malaysia Communication and Multimedia Commission. http://www.cmc.gov.my/ (3 Ogos 2002).

4. KPM. 2001. Pembangunan Pendidikan 2001-2010. Kuala Lumpur: KPM.

5. KTKM. 2002. Communications and Multimedia.http://www.ktkm.gov.my (21 Julai 2002).

6. Mampu. 2002. Undang-Undang Siber. http://www.mampu.gov.my/ICT/Cyberlaws.htm (21 Julai 2002).

7. NITC. 2001. National IT Agenda.http://www.nitc.org.my/nita/index.shtml (21 Julai 2002).

8. Rancangan Malaysia Kelapan. 2001. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

9. Ros Alinda Alias. 2000. Teknologi dan Sistem Maklumat. Malaysia: McGraw-Hill (Malaysia).

10. Senn, James A. 1998. Information Technology In Business: Principles, Practices and Opportunities. Second Ed. New Jersey: Prentice Hall.

11. Tajul Ariffin. 2002. Pendidikan dan Pembangunan Manusia. Pendekatan Bersepadu. Bangi: As-Syabab Media