Etnisiti Di Tempat Kerja: Menghormati Perbezaan, Meraikan ... · PDF fileHubungan etnik di...

download Etnisiti Di Tempat Kerja: Menghormati Perbezaan, Meraikan ... · PDF fileHubungan etnik di Malaysia adalah dinamik sifatnya. Semenjak mencapai kemerdekaan 58 tahun dahulu, hubungan

If you can't read please download the document

Transcript of Etnisiti Di Tempat Kerja: Menghormati Perbezaan, Meraikan ... · PDF fileHubungan etnik di...

  • Research Journal of Social Sciences 2016. 9(3): 52-58

    ISSN: 1815-9125

    EISSN: 2309-9631

    Journal home page: http://www.aensiweb.com/RJSS/

    RSEARCH ARTICLE

    Open Access Journal

    Published BY AENSI Publication

    2016 AENSI Publisher All rights reserved

    This work is licensed under the Creative Commons Attribution International License (CC BY).

    http://creativecommons.org/licenses/by/4.0/

    To Cite This Article: Azlina Abdullah, PhD, Mohd Mahadee Ismail, PhD, Mansor Mohd Noor, PhD., Etnisiti Di Tempat

    Kerja: Menghormati Perbezaan, Meraikan Kepelbagaian. Research Journal of Social Sciences, 9(3): 52-58, 2016

    Etnisiti Di Tempat Kerja: Menghormati

    Perbezaan, Meraikan Kepelbagaian 1Azlina Abdullah, PhD, 2Mohd Mahadee Ismail, PhD, 3Mansor Mohd Noor, PhD 1Senior Lecturer, School of Social, Development and Environmental Studies, Faculty of Social Science and Humanities, National

    University of Malaysia, 43600 Bangi Malaysia. 2Senior Lecturer, Department of Government and Civilisation Studies, Faculty of Human Ecology, University Putra of Malaysia, 43400

    Serdang Malaysia. 3Senior Research Fellow, Institute of Ethnic Studies, National University of Malaysia, 43600 Malaysia.

    Address For Correspondence:

    Azlina Abdullah, Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti

    Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor, Malaysia. +6012-2611491; Email: [email protected].

    Received 1 March 2016; accepted 22 May 2016; published 28 May 2016

    A B S T R A C T

    Hubungan etnik di Malaysia adalah dinamik sifatnya. Semenjak mencapai kemerdekaan 58 tahun dahulu, hubungan etnik

    secara umumnya adalah baik. Namun begitu, ada juga berlaku beberapa ketegangan sosial di antara etnik yang berakhir dengan

    konflik. Ketegangan dan konflik ini lebih diperhatikan berlaku di kawasan bandar berbanding dengan kawasan luar bandar dan di

    kawasan golongan berpendapatan rendah jika dibandingkan dengan kawasan bandar dalam kalangan orang berada. Justeru itu,

    mengukur persepsi hubungan etnik adalah penting bagi menjamin kestabilan dan pembangunan negara ini. Hakikatnya hubungan

    etnik terserlah di kawasan kediaman, dalam ruang awam, media dan juga tempat kerja. Melalui hubungan bersemuka terbina pola

    hubungan sosial yang berulang sifatnya. Kekerapan pergaulan akhirnya membina satu kesepaduan dalam masyarakat sebagai satu

    unit sosial. Dari itu pengurusan kepelbagaian budaya, mengiktiraf dan menghormati kehadiran pelbagai kumpulan dalam

    organisasi atau masyarakat, mengakui dan menghargai perbezaan norma sosial antara mereka serta menggalakkan dan

    membenarkan sumbangan berterusan setiap anggota secara inklusif merupakan acuan penting dalam membina hubungan etnik

    yang baik. Dalam organisasi, pengurusan kepelbagaian muncul apabila berlakunya suatu proses berterusan dengan pelbagai bakat

    dan keupayaan yang wujud dalam masyarakat yang pelbagai itu diiktiraf dan dibawa masuk menjadi budaya organisasi. Proses ini

    bertujuan mewujudkan persekitaran yang sihat, inklusif, 'selamat untuk perbedaan', meraikan kepelbagaian, dan

    memaksimumkan sepenuhnya potensi semua orang dalam konteks budaya yang memastikan semua orang mendapat faedah.

    Key words: Etnik, Etnisiti, Kepelbagaian, Hubungan sosial

    INTRODUCTION

    Etnisiti merupakan persoalan yang sangat penting lebih-lebih lagi dengan peningkatan kesedaran etnik dan

    juga politik identiti yang mengutamakan kelompok. Etnik dapat didefinisikan sebagai sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam, termasuk adat resam, pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi. Manakala etnisiti merujuk kepada rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik tertentu. Wujudnya satu kebudayaan atau sub budaya yang jelas dan dapat menyatukan anggotanya berasaskan satu sejarah, nilai, sikap dan tingkah laku yang sama. Etnik menerangkan keturunan, warisan, agama, budaya, bangsa, bahasa dan wilayah. Oleh itu, kita semua mempunyai identiti kaum-kaum etnik. Perubahan sifat migrasi dengan peningkatan penghijrahan dan kemajuan pengangkutan menjadi cabaran besar kepada idea bahawa etnik adalah sesuatu yang tetap.

  • 53 Azlina Abdullah, PhD et al, 2016/ Research Journal of Social Sciences 9(3), May, Pages: 52-58

    Penganalisaan etnik membolehkan pengkaji melihat tingkah laku manusia hingga terbina hubungan sosial rentas kumpulan. Ikatan sosial yang terbina melahirkan pelbagai lapisan identiti, merentas kumpulan dan melunturkan batas kumpulan etnik tertentu. Pengaruh etnik dan batas etnik yang meningkat disebabkan oleh peningkatan sentimen etnik atau wujud persaingan antara kumpulan etnik untuk mendapat akses kepada pemilikan kebendaan dan kedudukan sosial dalam masyarakat. Hal ini bermakna pembangunan, perubahan dan transformasi sosial dalam masyarakat dapat mempengaruhi pembinaan hubungan sosial antara kumpulan etnik serta bentuk dan keamatan hubungan etnik yang akan berlaku dalam sesebuah masyarakat pelbagai etnik itu [1].

    Terdapat pelbagai perspektif tumpuan kajian tentang etnik dan etnisiti. Dalam kajian sosiologi, aspek kepelbagaian etnik dan budaya sering digunakan seiring untuk merujuk kepada bahasa yang berbeza, adat dan tradisi termasuk kod tingkah laku, kod pakaian, dan orientasi nilai. Guibernau dan Rex [2] dalam bukunya bertajuk The Ethnicity Reader Nationalism, Multiculturalism and Migration telah meringkaskan perspektif kajian etnik oleh sarjana terkenal seperti Weber, Smith, Brubaker, dan Eriksen. Max Weber menekankan watak subjektif etnik dan mengetengahkan peranan masyarakat politik dalam memupuk rasa ethnie dan perpaduan. Kumpulan etnik merupakan kumpulan manusia yang mempunyai kepercayaan subjektif dalam keturunan yang sama kerana persamaan jenis fizikal atau budaya, atau kedua-duanya, atau kerana mempunyai kenangan sejarah penjajahan dan migrasi yang sama.

    Manakala Smith [3] menekankan bahawa ethnie berperanan sebagai pelopor negara atau bangsa. Kuasa simbol, ritual, tradisi dan cara hidup merupakan komponen utama dalam pandangan beliau. Ethnie merujuk kepada kumpulan yang berkongsi sifat-sifat budaya yang sama tetapi bukanlah satu kemestian bagi individu untuk mempunyai kesedaran identiti etniknya dan mesti berbeza dengan kumpulan yang lain. Di samping itu, ethnie tidak menimbulkan tuntutan untuk autonomi politik sebagai sebuah negara. Menurutnya lagi, asal-usul bangsa etnik dapat dikesan dengan kembali kepada zaman silam, walaupun konsep negara moden dan nasionalisme muncul pada akhir abad ke-18. Malah, bagi sesetengah ahli sosiologi sejarah dan ahli teori nasionalisme, etnik adalah peringkat sejarah yang mendahului kelahiran sebuah negara.

    Berbanding Weber dan Smith, pendekatan kajian etnik oleh Thomas H. Eriksen dan Rogers Brubaker pula adalah dari perspektif pasca-moden dan dekonstruksionis. Brubaker [4] menyimpulkan bahawa groupness harus dianggap sebagai event, sesuatu yang berlaku dan bukan sebagai satu fenomena yang tetap dan tertentu. Brubaker mengkritik reifikasi konsep-konsep seperti suku, bangsa, negara dan kelas. Menurutnya they are often treated as if they enjoyed a discrete existence, boundedness, coherence, identity interest and agency, when these attributes are in fact characteristics of organizations [4]. Bagi Eriksen [5] tumpuannya pula kepada kajian tentang identiti dan hubungannya dengan budaya sebagai komponen utama etnik. Beliau mendefinisikan etnik sebagai aspek dalam hubungan sosial antara agen yang menganggap diri mereka mempunyai budaya tersendiri dari ahli-ahli kumpulan lain yang mana mereka jarang berinteraksi dengannya. Menurut Eriksen, etnik juga boleh ditakrifkan sebagai identiti sosial yang ditandai dengan methaphoric atau kekerabatan yang dibuat-buat. Pada pandangannya, etnisiti merujuk kepada untung dan rugi dalam interaksi, dan juga aspek makna dalam penciptaan identiti.

    Menurut Wimmer [6] perdebatan tentang etnisiti telah menghasilkan pemahaman etnisiti dalam beberapa kerangka yang sempit. Primordialist menegaskan bahawa keanggotaan dalam komuniti etnik diperoleh melalui kelahiran dan kerana itu mempamerkan ciri tertentu dalam dunia sosial. Menurut Instrumentalists, pada sudut yang lain menyatakan bahawa individu memilih antara identiti yang berbeza yang dilihat sebagai patut bagi dirinya. Essentialists pula menegaskan bahawa budaya etnik dan identiti menyediakan kestabilan di seluruh konteks sosial yang berbeza. Manakala Situationalist menunjukkan bagaimana individu mengenal pasti kategori etnik yang berbeza adalah bergantung kepada logik perubahan keadaan. Perennialists pula menegaskan bahawa etnik diwakili salah satu daripada prinsip-prinsip organisasi sosial yang paling stabil dalam sejarah manusia, dan banyak komuniti etnik yang terselamat selama beribu tahun. Pada sudut pandangan lain, golongan modenis pula mengaitkan pemahaman ciri-ciri etnik dengan kebangkitan negara-bangsa sejak dua tiga abad yang lalu.

    Memahami etnisiti dan identiti etnik dianggap sebagai kunci untuk memahami banyak perkara tentang perubahan sosial dan ekonomi semasa. Tugas dan tanggungjawab pengkaji serta sarjana hubungan etnik bukanlah hanya membela atau menafikan identiti etnik dan juga batas etnik tetapi juga mengenalpasti dan mengiktiraf sifat fluidity kedua-dua dimensi tersebut dalam kalangan masyarakat berstrata baik sebagai individu mahupun kolektif [7]. Kedua-dua kaedah analisis; pilihan individu dan juga kumpulan harus digabungkan bagi melihat dinamika interaksi antara etnik, dan juga menonjolkan pengaruh aktor sosial. Melalui kaedah ini juga akan dapat membantu kita memahami proses yang berterusan dan kompleks tentang kestabilan dan ketidakpastian hubungan etnik sama ada ketegangan dan pengukuhan,