Guru bekerja sambilan

32
GURU BEKERJA SAMBILAN Mohd Yusoff bin Ishak PENGENALAN Pembangunan sahsiah merangkumi penampilan fizikal, sikap, tingkah laku, pemikiran, perasaan sosial dan rohani individu. Perkataan bahasa Arab yang membawa maksud keperibadian atau peribadi (Kamus Dewan, 2011). Maksud peribadi pula ialah manusia sebagai diri sendiri. Sifat- sifat (kelakuan, sikap) seseorang yang sudah sebati dengan diri sendiri untuk membawa watak dirinya. Pembangunan sahsiah juga membawa makna membina akhlak. Manakala makna akhlak pula ialah respon atau tindakan secara spontan tanpa berfikir. Menurut Shahabuddin Hashim & Rohizan Yaacob (2007), sahsiah juga bermaksud akhlak dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu akhlak terpuji (mazmudah) dan akhlak tercela (mazmumah). Kerja ialah mengusahakan sesuatu atau melibatkan diri dalam kegiatan tertentu untuk mencari nafkah. (Kamus Dewan,

Transcript of Guru bekerja sambilan

Page 1: Guru bekerja sambilan

GURU BEKERJA SAMBILAN

Mohd Yusoff bin Ishak

PENGENALAN

Pembangunan sahsiah merangkumi penampilan fizikal, sikap, tingkah laku,

pemikiran, perasaan sosial dan rohani individu. Perkataan bahasa Arab yang membawa

maksud keperibadian atau peribadi (Kamus Dewan, 2011). Maksud peribadi pula ialah

manusia sebagai diri sendiri. Sifat-sifat (kelakuan, sikap) seseorang yang sudah sebati

dengan diri sendiri untuk membawa watak dirinya. Pembangunan sahsiah juga membawa

makna membina akhlak. Manakala makna akhlak pula ialah respon atau tindakan secara

spontan tanpa berfikir. Menurut Shahabuddin Hashim & Rohizan Yaacob (2007), sahsiah

juga bermaksud akhlak dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu akhlak terpuji

(mazmudah) dan akhlak tercela (mazmumah).

Kerja ialah mengusahakan sesuatu atau melibatkan diri dalam kegiatan tertentu

untuk mencari nafkah. (Kamus Dewan, 2011). Menurut pandangan Islam kerja

merupakan amal soleh dan dituntut melakukannya mengikut tatacara yang digariskan

oleh Islam. Peringatan Allah kepada para pekerja ialah kita mestilah mensyukuri nikmat

Allah.

Pekerjaan sebagai seorang guru merupakan satu bidang tugas yang dipandang

mulia, jadi sudah semestinyalah guru mempunyai landasan yang betul dalam

melaksanakan tanggungjawab yang diberi iaitu Etika Perguruan. Kod Etika Perguruan

diterima sebagai suatu panduan untuk mempertingkatkan profesion perguruan ke taraf

kesusilaan yang paling tinggi. Panduan ini penting untuk digunakan dalam proses

Page 2: Guru bekerja sambilan

pengajaran dan pembelajaran, khususnya dalam memperkembangkan potensi maksimum

pelajar. Matlamat ini selaras dengan asperasi membentuk sebuah Negara yang progresif

selaras dengan asperasi Wawasan 2020. Guru yang mempunyai komitmen, daya saing

dan semangat yang tinggi perlu diberi galakan. Kod Etika Perguruan melibatkan empat

aspek, iaitu perhubungan antara guru dengan pelajar, guru dengan rakan sejawat, guru

dengan ibu bapa, dan guru dengan masyarakat dan Negara.

Kerja sambilan pula bermaksud kerja yang dibuat secara sambilan di samping

kerja biasa atau kerja tetap yang lain. Ia merupakan usaha yang bertujuan untuk

menghasilkan sesuatu sama ada untuk menambahkan pendapatan atau sebagai satu hobi

di masa senggang. Golongan guru juga tidak terkecuali menjalankan kerja sambilan ini,

ada di antaranya mengajar kelas tambahan di pusat tuisyen, menjadi jurujual produk

barangan tertentu, menyertai syarikat jualan langsung, menjadi agen insurans dan

sebagainya.

Guru-guru yang menjalankan kerja sambilan ini tentulah mempunyai alasan

masing-masing. Tapi yang pentingnya niat melakukan kerja tersebut. Rasulullah s.a.w

bersabda yang bermaksud,”Setiap amalan adalah dengan niat.” (Riwayat Bukhari dan

Muslim daripada Sayyidina Umar al-Khattab). Oleh itu kalian harus sentiasa memasang

dan membetulkan niat sebelum memulakan apa jua pekerjaan, sama ada yang berbentuk

ibadah atau pun amal kebiasaan. Niat ini adalah semata-mata untuk mencari keredhaan

Allah s.w.t.

Sesuatu perlakuan atau tindakan semestinya ada kebaikan dan keburukan.

Begitulah juga dengan guru-guru yang menjalankan kerja sambilan ini. Kebaikan dan

keburukan dari gejala ini adalah sesuatu yang subjektif, iaitu berbeza pandangan dan

Page 3: Guru bekerja sambilan

pendapat dari kacamata atau amatan orang ramai. Apapun yang diperkatakan oleh orang

ramai tentang guru-guru yang menjalankan kerja sambilan ini yang pentingnya guru

tersebut tahu tanggungjawabnya mengikut etika keguruan iaitu :

1. Tanggungjawab Terhadap Pelajar

2. Tanggungjawab Terhadap Ibu bapa Pelajar

3. Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara

4. Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat dan Profesion Keguruan.

NILAI BAIK BEKERJA SAMBILAN

Sesuatu perkara yang kita lakukan tentulah mempunyai perkara-perkara yang baik

atau niat yang baik ketika kita lakukannya atau hasil dapatan dari kerja tersebut.

Begitulah juga dengan seseorang guru yang melakukan kerja sambilan. Hal ini ada

kaitannya dengan nilai harga diri guru tersebut. Menurut Azizi Yahaya, Yusof Boon,

Jamaludin Ramli, Jaafar Sidek Lati, Fawziah Yahya & Amir Hamzah Abdul (2004):

Harga diri boleh ditakrifkan sebagai penilaian menyeluruh diri sendiri iaitu secara positif

mahupun negatif. Harga diri ini pula dapat dilihat dari dua sudut dimensi iaitu harga diri

rendah dan harga diri tinggi. Kepentingan harga diri inilah yang merupakan faktor

terpenting yang mempengaruhi kejayaan seseorang.

Seperti yang telah diterangkan di atas tentang maksud bekerja sambilan iaitu

membuat sesuatu kerja tambahan untuk menambahkan hasil pendapatan. Disinilah

seorang guru itu akan menilai harga dirinya dalam membahagiakan kehidupan diri sendiri

dan keluarganya. Dalam kehidupan zaman sekarang yang serba maju dan pantas tentulah

Page 4: Guru bekerja sambilan

seseorang itu memerlukan pendapatan yang memuaskan untuk menyaingi kehidupan

yang pantas ini. Bila seseorang guru itu melakukan kerja sambilan tentulah ia bertujuan

untuk menambahkan hasil pendapatan terhadap diri dan keluarganya. Pertambahan

pendapatan ini mungkin dapat membantunya dalam membina sebuah keluarga yang

harmoni dan bahagia. Ia dapat menaikkan taraf ekonomi keluarga dalam menyediakan

pelbagai keperluan asas yang diperlukan dalam sesebuah keluarga. Maka di sini nilai

harga dirinya dari kacamata isteri dan anak-anaknya sangat tinggi.

Selain dari nilai harga diri kita juga boleh gambarkan nilai tanggungjawab yang

dimiliki oleh guru yang bekerja sambilan terhadap keluarganya sebagai seorang ketua

keluarga. Muhammad Nasri Md Hussain & Ab. Aziz Yusoff (2005), manusia perlu sedar

bahawa tiada pembahagian (dichotomy) antara usaha yang dibuat untuk tujuan

menjayakan pembangunan di dunia dengan kejayaan di akhirat nanti. Kejayaan manusia

melunaskan tanggungjawab ini akan membolehkan mereka mendapat keberkatan

daripada Allah s.w.t yang maha penyayang lagi maha pengasihani.

NILAI BURUK BEKERJA SAMBILAN

Apabila guru mempunyai kerja sambilan, banyak perkara yang tidak sihat atau

nilai buruk akan berlaku seperti ia boleh menjejaskan prestasi kerja dan kredebiliti guru

tersebut kerana ia kurang dapat memberi tumpuan terhadap bidang tugas yang

diamanahkan. Ini adalah kerana kerja sambilan tersebut mungkin menuntut masa

senggangnya melakukan aktiviti tersebut. Guru yang melakukan kerja sambilan terpaksa

menumpukan dua bidang dalam satu masa. Dimana bagi dirinya kedua-dua bidang itu

Page 5: Guru bekerja sambilan

sama-sama penting padahal tugas utama yang telah diamanahkan kepadanya ialah

mengajar. Di sinilah konsep amanah itu penting. Menurut Razzi Armansur (1999):

“Setiap orang tanpa mengira bangsa, agama, pekerjaan adalah memikul

Amanah. Ramai orang tidak menyedarinya. Amanah tidak dapat dilihat

Tetapi hasilnya jelas kelihatan _ bila terjadi kehancuran, setelah disemak

semula pasti punca kehancuran adalah kerana mengabaikan amanah. Beri

peringatan kepada diri sendiri bahawa segala apa yang dilakukan,

setiap pergerakan setiap hari adalah kerana memikul amanah. Cukup

dengan mengingati begitu, secara otomatik anda akan menjadi orang yang

mengutamakan amanah”. (hlm.67)

Amanah utama yang terpaksa dipikul oleh seorang guru adalah untuk memastikan murid

di bawah jagaannya mendapat pendidikan yang sewajarnya. Guru tersebut juga tidak

boleh mengabaikan tanggungjawabnya terhadap jabatannya, rakan sejawat dan juga

masyarakat serta negara.

Faktor sampingan lain juga mungkin berlaku seperti tidak dapat memberi

tumpuan dan kasih sayang terhadap keluarga terutama anak-anak yang memerlukan

perhatian yang lebih. Seperti yang telah dinyatakan tujuan kerja sambilan ini adalah

untuk menambahkan pendapatan, oleh itu faktor kasih sayang terhadap anak-anak selalu

diabaikan. Keperluan anak-anak dari segi material mungkin akan tercapai tetapi yang

penting sekali kasih sayang itu yang sangat diperlukan oleh mereka dalam proses

perkembangan mereka ke alam dewasa.

Page 6: Guru bekerja sambilan

KAITAN DALAM BIDANG PENDIDIKAN

Pada tahun 1971, Laporan Suruhanjaya DiRaja Mengenai Perkhidmatan

Perguruan Malaysia Barat telah mengemukakan cadangan bahawa suatu kod etika harus

dibentuk untuk profesion perguruan. Menurut laporan tersebut (1971:189-190)

`…guru sekolah tidak hidup secara berasingan dan terpencil daripada

masyarakat; beliau tidak boleh memisahkan pengajarannya daripada

kehidupan hariannya. Beliau hidup di kalangan pelajarnya semasa di

sekolah, dan bersama pelajar serta ibu bapa mereka pada setiap waktu……

Jawatannya…. memerlukan satu tahap tingkah laku yang sangat tinggi`

Cadangan oleh Suruhanjaya DiRaja telah diterima dan hasilnya suatu kod etika

profesion perguruan telah dibentuk. Kod etika ini telah disediakan dalam bentuk ikrar dan

menggariskan objektif utama pendidikan Negara, iaitu untuk melahirkan seorang

warganegara yang mempunyai nilai-nilai seperti bertanggungjawab, taat setia dan

berilmu. Objektif pendidikan juga termasuk membantu pelajar memahami kebudayaan,

memperoleh pengetahuan, dan menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran masa

hadapan. Bidang profesionalisme guru yang baru melibatkan pembentukan corak

perhubungan guru dengan pelajar, rakan sejawat, ibu bapa dan masyarakat yang baru dan

bukan lagi berdasarkan autonomi dan autoriti berbentuk tradisional.

Apabila seseorang guru mempunyai pekerjaan lain selain tugas yang

diamanahkan kepadanya ia telah melanggar Kod Etika Perguruan. Ini adalah kerana Kod

Page 7: Guru bekerja sambilan

Etika Perguruan menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru sebagai

pemegang amanah dalam bidang pendidikan. Apabila guru menjalankan tugas lain di

samping profesion perguruannya, ia akan melibatkan kesan yang kurang baik terhadap

diri sendiri, pelajar, rakan sejawat serta ibu bapa pelajar dan masyarakat setempat.

KESAN KEPADA DIRI SENDIRI

Kesan kepada diri sendiri selalunya melibatkan tentang penerampilan guru sama

ada dari segi kebersihan diri, etika berpakaian dan juga cara berkomunikasi dengan

murid, ibu bapa atau rakan sejawatan. Manakala bagi bidang tugas kerja beliau tidak

dapat memberi tumpuan yang baik terhadap tugasnya terutama dalam proses pengajaran

dan pembelajaran serta lemah dalam pengurusan masa terutama dalam kegiatan

KoKurikulum.

Guru yang melakukan kerja sambilan selalunya tidak mempunyai masa yang

cukup dalam memikirkan penerampilan mereka dengan murid-murid. Ini adalah kerana

mereka selalunya lebih mementingkan penerampilan mereka dengan pelanggan dalam

kerja sambilan mereka itu. Padahal pelanggan utama mereka adalah murid-murid atau

pelajar mereka sendiri.

Menurut Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (2002): Sebagai seorang guru

penerampilan adalah sangat penting, ini adalah kerana ia melambangkan guru tersebut.

Para pelajar akan membuat pandangan pertama tentang kredibiliti guru mereka

berdasarkan cara penerampilan guru itu. Hasan Langgulung (2002), menyatakan: Sebagai

sebuah kerjaya keguruan, ia tertakluk kepada pelbagai syarat yang dikenakan seperti kod

Page 8: Guru bekerja sambilan

etika dan sebagainya yang bertujuan melahirkan modal insan guru yang berkualiti,

berketerampilan, terpuji dan dapat menjadi model yang unggul kepada pelajar-pelajarnya.

Etika berpakaian adalah mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 6/1985: Peraturan

Pakaian Guru Di Sekolah/Pensyarah Di Maktab Perguruan, Politeknik, Lain-lain Pegawai

Dan Kakitangan Perkhidmatan Pelajaran Daerah Atau Bahagian, Jabatan Pelajaran

Negeri dan Kementerian Pelajaran. Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2/1985: Pakaian Masa

Bekerja Dan Semasa Menghadapi Upacara-upacara Rasmi Bagi Pegawai-pegawai

Kerajaan. Diantaranya ialah memakai kemeja berlengan panjang, berseluar slack,

bersarung kaki, berkasut sarung kulit dan digalakkan bertali leher bagi guru lelaki. Bagi

guru perempuan pula baju yang mendedahkan tubuh badan seperti baju tidak berlengan

dan skirt pendek: berjubah, pakaian vietnam/siam bukan pakaian kebangsaan adalah tidak

dibenarkan. Yang penting juga adalah memakai tanda nama bagi guru lelaki dan juga

perempuuan.

Manakala dalam bidang tugas pula, guru mungkin tidak dapat menjalankan

tanggungjawab asas guru iaitu menyediakan Rancangan Tahunan berdasarkan Sukatan

Pelajaran mengikut Peraturan Umum (A) 531 Seksyen 8(1) dan Rancangan Harian

mengikut Peraturan Umum (A) Peraturan 11 yang terkini dan sedang digunapakai.

Tanpa Rancangan Tahunan dan Rancangan Harian yang mengikut Sukatan Pelajaran,

sudah tentulah proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dalam keadaan yang tidak

tersusun dan tidak mencapai objektif yang dikehendaki.

Seterusnya dalam Etika Pengurusan Masa seperti yang terkandung dalam Surat

Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1982, yang menyentuh tentang waktu hadir ke sekolah, waktu

hadir ke kelas, mengajar ikut jadual waktu, semak buku latihan dan memberikan

Page 9: Guru bekerja sambilan

bimbingan. Apabila seseorang guru itu melakukan tugas tambahan, masa rehat beliau

adalah sangat terhad. Ini menyebabkan dia akan cepat berasa letih. Faktor inilah yang

akan menyebabkan guru tidak dapat menepati masa yang telah ditetapkan atau lebih tepat

datang lewat. Yang menjadi kebiasaan adalah waktu hadir ke sekolah dan waktu hadir ke

kelas terutamanya apabila guru itu dihubungi oleh pelanggan kerja sambilannya itu. Ini

akan menyebabkan masa murid terbuang begitu sahaja di mana sepatutnya mereka

mendapat bimbingan yang secukupnya dari guru mereka.

Di sebabkan kekurangan masa rehat, maka selalunya guru akan merasa

mengantuk dan ini akan menjejaskan proses pengajaran meteka. Guru juga tidak dapat

menyediakan Alat Bantu Mengajar yang baik dan boleh membantu mereka dalam

pengajaran. Selain itu akan berlaku lunggukan kerja murid yang tidak diperiksa oleh guru

kerana tiada ruang masa untuk menyemak buku murid.

Paling ditakuti adalah kesihatan diri guru tersebut mungkin terjejas. Ia bukan

sahaja akan melibatkan pelajar, bila guru melenting kerana kepenatan tetapi

bayangkanlah apa akan berlaku kepada isteri atau suami dan anak-anaknya jika berlaku

sesuatu penyakit yang tidak disangka-sangka. Ia bukan sahaja menjejaskan reputasi diri

dan rasa hormat pelajar tetapi juga memberi masalah kepada keluarganya. Ini adalah

sama atau bertepatan dengan catatan oleh Chek Mat (2000) : Bagi mereka yang tamak,

hasad dengki, tidak dapat melawan hawa nafsu dan berasa ada peluang untuk

menggunakannya akan bertindak secara bijaksana dan terhormat untuk menjahanamkan

etika profesional. Guru haruslah peka dengan Etika Perguruan demi membendung

perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Sesungguhnya tiada siapa yang dapat

mengubah individu itu kecuali di atas kemahuan dan usaha individu itu sendiri.

Page 10: Guru bekerja sambilan

KESAN KEPADA PELAJAR

Semasa berhadapan hubungan dengan pelajar atau murid, guru hendaklah

menjalankan tugas dengan penuh dedikasi di bilik darjah termasuk mematuhi masa dalam

jadual waktu serta melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mengikut kaedah dan

teknik yang berkesan. Seorang guru yang mematuhi Kod Etika Perguruan Malaysia

mestilah mengutamakan kemajuan, kebajikan dan keselamatan murid-murid berbanding

hal-hal lain. Fokus utama guru adalah murid. Guru juga hendaklah bersikap adil dan jujur

terhadap pelajar tanpa mengira bangsa, agama, faktor jasmani, emosi, mental, politik,

sosial dan sebagainya. Azhar Hj. Wahid & Zawawi Jahya (2009), menyatakan :

Hubungan jujur yang ternurani antara pelajar dengan guru berdasarkan kepada pegangan

prinsip bahawa guru mempamerkan sikap dan perlakuan yang selari serta berusaha

mengotakan setiap yang dikata. Di samping itu para guru juga seharusnya mendekati dan

bergaul dengan para pelajarnya.

Dalam pada itu guru turut juga membimbing dan mengajar murid-murid di bilik

darjah tanpa meminta apa-apa bayaran atau hadiah. Keutamaan kerja guru termasuk

tingkah lakunya hendaklah menjurus kepada memberi contoh teladan yang baik dengan

berpakaian kemas, berbudi bahasa dan bersopan santun semasa bertugas. Menurut

Smahadzir & Jaafar Man (2007):

”Untuk menentukan kehendak ciri-ciri pelajar berkualiti dapat dihasilkan

maka para pendidik dan guru-guru perlulah dilengkapkan dengan ciri-ciri

berikut :

Page 11: Guru bekerja sambilan

1. menguasai subjek (kandungan kurikulum)

2. mahir dan berketerampilan dalam pedagogi (pengajaran

&pembelajaran)

3. memahami perkembangan murid dan menyayangi mereka

4. memahami psikologi pembelajaran

5. memiliki keyakinan terhadap peranan dan sumbangan pendidikan”

Dengan menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi serta menjaga

profesionalisme guru, maka guru itu akan menjadi seorang yang dihormati. Jika berlaku

sebaliknya, maka sudah tentu guru itu akan dipandang serong, dibenci dan tidak lagi

dihormati oleh muridnya. Hilanglah maruahnya sebagai seorang guru.

W.A. Dodd (1970) menyatakan, Guru yang jahil, pemalas dan bebal menerima ini

sebagai pembelajaran, tetapi tidak ada pembelajaran yang sebenar berlaku. Murid yang

menjadi mangsa proses ini kerana menerima sahaja apa yang telah dinyatakan oleh guru.

Ini sudah semestinya akan merugikan pelajar itu sendiri. Bayangkanlah apa akan berlaku

kepada negara kita pada masa akan datang jika pelapis pemerintah dilakukan sebegini.

Tentulah kita tidak mahu mereka ini menjadi pemerintah yang kurang ilmu

pengetahuannya.

Penglibatan guru yang bekerja sambilan di dalam bidang sukan dan KoKurikulum

juga akan menurun di sebabkan faktor kesuntukan masa dan kesibukan guru itu dalam

tugas sampingannya. Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan bahawa 10 %

markah ke Sekolah Berasrama Penuh dan Pusat Pengajian Tinggi adalah diambil dari

kegiatan Sukan dan KoKurikulum. Generasi yang berkualiti bukan hanya harus lengkap

Page 12: Guru bekerja sambilan

dengan pendidikan dan ilmu-ilmu berguna dan sempurna, tetapi harus juga cerdas

fizikalnya. Generasi yang berkualitilah yang akan mewarisi kemajuan, meningkatkan

kemakmuran dan kecemerlangan negara Malaysia yang kita cintai. Justeru itu, untuk

memikul tanggungjawab seberat ini, generasi yang berkualiti juga haruslah memiliki

jasmani yang sihat kerana minda yang cerdas lahir dari tubuh yang cergas. Di sinilah kita

dapat lihat betapa jelasnya peranan yang dimainkan oleh unit Sukan dan KoKurikulum.

KESAN KEPADA RAKAN SEJAWATAN

Seseorang guru itu hendaklah mengelakkan diri dari memberi sebarang masalah

atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau

ibubapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru. Adalah

menjadi langkah bijak jika guru tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh

menjejaskan kecekapan sebagai guru. Guru juga perlu dan wajib berusaha dengan

sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh

dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial. Guru juga dituntut

sentiasa bersedia membantu rakan sejawat terutamanya mereka yang baharu dalam

profesion perguruan.

Di sinilah dapat dilihat saling membantu itu merupakan satu aspek yang sangat

penting dalam pengurusan sesebuah sekolah. Jika terdapat guru yang sering ponteng pada

waktu kerja berkumpulan seperti mengendalikan pasukan unit beruniform pada waktu

Kokurikulum, tentulah ia mendatangkan rasa tidak puas hati atau perasaan yang kurang

elok terhadap guru itu oleh rakan sejawatannya dalam unit beruniform tersebut. Selama

Page 13: Guru bekerja sambilan

mana seorang rakan sanggup menanggung beban kerja rakannya yang sering

mengabaikan tugas, tambahan pula beliau mendapat ganjaran luar akibat ketidak

hadirannya.

Ada setengah guru, pada awal tahun ketika mesyuarat guru kali pertama bagi

tahun tersebut bersetuju dan sanggup memikul tanggungjawab untuk mengendalikan satu

pasukan permainan sekolah bagi kejohanan anjuran Kementerian Pelajaran. Tapi

sayangnya segala projek hanya di pertengahan jalan. Bayangkanlah minat dan

kesungguhan murid-murid di dalam permainan tersebut terbantut dek sikap guru seperti

ini. Prof. Dr. Hamka (2007) menyatakan: berani bertanggungjawab dan tidak mengelak

daripada pikulan yang telah disanggupi dan sudi memikul akibat pekerjaan yang telah

dimulai, itulah alamat yang pasti daripada kepercayaan pada tenaga diri sendiri. Kerana

sayangkan bakat dan kesungguhan murid-murid tersebut, ada rakan sejawatan yang

menyanggupi meneruskan aktiviti yang telah ditinggalkan oleh guru yang tidak

bertanggungjawab itu.

Kebanyakan aktiviti di sekolah memerlukan kreativiti dan idea-idea dari guru-

guru semua bukan hanya dari seorang guru sahaja. Bukan sahaja untuk aktiviti

KoKurikulum tetapi juga aktiviti yang melibatkan akademik atau Kurikulum seperti

aktiviti Panitia, soalan-soalan peperiksaan, pertandingan akademik dan sebagainya. Jika

guru yang terlibat dengan kerja sambilan asyik memikirkan hal-hal kerja sambilannya itu,

maka berkuranglah satu idea bernas untuk sesuatu program. Zahir Zainudin & Amaludin

Ab. Rahman (2008), menyatakan: jika gambaran dalam minda adalah pemikiran yang

lembab dan mudah mengalah, itulah hakikatnya diri kita. Lembab berfikir kerana kurang

Page 14: Guru bekerja sambilan

berfikir. Lama kelamaan akan terbentuk apa yang dipanggil bebal. Jika ini tidak diatasi,

bertambah karutlah idea dan tindakan.

Ini tidak dikira lagi, rakan sejawatan yang terpaksa menggantikan kelas guru yang

tidak hadir ke sekolah. Lambat menerima markah ujian atau peperiksaan bagi kertas

matapelajaran guru tersebut, walhal pihak pentadbiran sentiasa mahukan kerja yang

berkualiti dan segera. Jikalau guru yang membuat kerja sambilan seperti agen insurans

atau menjual barangan produk, rakan sejawatan tentu tidak akan tahan untuk menadah

telinga mereka mendengar celoteh guru tersebut. In bukan sahaja mendatangkan rasa

tidak keselesaan kepada rakan sejawatan tetapi juga merugikan masa bagi melaksanakan

tanggungjawab mereka dalam bidang pendidikan seperti menanda buku latihan murid

atau membuat alat bantu mengajar untuk proses pengajaran yang seterusnya.

KESAN KEPADA IBU BAPA PELAJAR

Guru perlu bertindak bijak dalam mengadakan hubungan dengan ibu bapa yang

menjadi pelanggan utama sekolah. Dengan menghormati tanggungjawab utama ibubapa

terhadap anak-anak mereka dan berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama

yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumahtangga. Guru juga perlu

menggangap  semua maklumat yang diberikan oleh ibubapa mengenai keadaan

rumahtangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkan

kepada sesiapa kecuali mereka yang berhak mengetahuinya. Tanggungjawab seterusnya

ialah memberi maklumat kepada ibubapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan

menggunakan maklumat yang diterima daripada ibubapa secara  teliti dan bijaksana.

Page 15: Guru bekerja sambilan

Guru perlu bijak mengelakkan diri dari menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan

sosiol dan ekonomi pelajar. Guru juga perlu mengelakkan diri daripada mengeluarkan

kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap

ibubapa atau penjaga mereka. Menurut Mohd. Sofian Omar Fauzee (2006), Dalam

usaha mempelajari bagaimana mempertingkatkan daya konsentrasi, kita juga harus

mengetahui faktor-faktor yang sering mengganggu dalam melakukan konsentrasi.

Terdapat dua faktor utama yang mengganggu konsentrasi, iaitu faktor dalaman dan

luaran. Faktor dalaman berpusatkan sekolah dan faktor luaran berpusatkan pihak ibu dan

bapa.

Apakah perasaan anda sebagai seorang ibu atau bapa, jika anak anda yang baru

pulang dari sekolah menceritakan tentang gurunya yang tidak masuk ke kelas atau masuk

lewat ke kelas? Sudah pasti, apa yang bermain di fikiran anda ialah di mana

tanggungjawab guru tersebut dalam mendidik anak anda. Betapa ruginya anak anda pada

hari tersebut padahal apa yang anda harapkan tidak tercapai. Tentulah timbul perasaan

tidak puas hati dan ini akan merenggangkan institusi sekolah dengan pihak waris.

Terdapat juga guru-guru yang hanya menceritakan tentang kerjaya sambilannya

kepada waris pelajar daripada menceritakan tentang perkembangan dan pencapaian

pelajar itu sendiri. Ini akan membantutkan perasaan waris untuk bertanyakan hal

pelajaran anaknya. Mungkin juga ada waris yang keberatan untuk membenarkan anak

mereka menyertai aktiviti luaran sekolah, takut guru tidak dapat menjaga anak mereka,

Ini bukan sahaja merugikan bakat anak didik kita tetapi juga pihak sekolah.

Segala tindak tanduk guru sememangnya menjadi perhatian atau pengawasan oleh

pihak ibu bapa. Tambahan pula mereka ada platform untuk menyampaikannya iaitu

Page 16: Guru bekerja sambilan

melalui Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), tentulah perkara yang boleh mendatangkan

keburukan kepada anak-anak mereka akan menjadi perhatian. Tambahan pula jika

keburukan itu adalah disebabkan oleh guru sendiri. Harus diketahui bahawa segala aduan

yang disampaikan oleh PIBG akan diambil berat oleh pihak atasan sama ada Pejabat

Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mahupun Kementerian Pelajaran

Malaysia (KPM) sendiri. Oleh itu kerjasama yang erat perlu ada di antara pihak guru dan

juga pihak ibu bapa.

KESAN KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA

Mengelakkan diri dari menyebarkan sesuatu ajaran yang yang boleh

merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang bertentangan

dengan Rukunnegara. Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai nilai yang  boleh

membantu dan membimbing mereka menjadi warganegara yang yang taat setia,

bertanggungjawab dan berguna menghormati orang tuan dan menghormati

adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama. Menghormati masyarakat tempat

kami berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai warganegara dan sentiasa

sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.

Ini semua hanya dapat dilaksanakan jika guru betul-betul menjalankan tugas dan

memikul tanggungjawab mereka. Jika kita berfikiran negatif tentang kerja kita maka

negatiflah hasilnya. Menurut Glynn Bedington (1996), ”Psychologist have field days with

all the reason we relate to ourselves negatively. Many of their theories are useful tools

for helping us change ourselves. One of these is that it is important for us to become

Page 17: Guru bekerja sambilan

aware of what we are doing to ourselves. For now, the realization makes change and

progress possible”. Ini semua adalah di atas diri kita sendiri sama ada ingin berubah atau

sebaliknya. Bak kata pepatah Melayu ”Tepuk dada tanya selera”.

PENUTUP

Seseorang guru haruslah memahami tanggungjawabnya yang sebenar. Dengan

penghayatan yang sepenuhnya tentang akauntabiliti dan Etika Perguruan, maka guru itu

akan dapat meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Ini kerana penghayatan

tersebut membolehkan guru dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh

komited dan dedikasi.

Tanggungjawab guru merangkumi terhadap dirinya sendiri, pelajar atau murid-

muridnya, rakan sejawatan, ibu bapa pelajar serta masyarakat dan Negara. Guru juga

dapat meningkatkan taraf profesionalisme perguruan jika melaksanakan tugas yang di

amanahkan bersungguh-sungguh tanpa melakukan kerja sambilan. Sekiranya kita tidak

menjalankan amanah yang diberi bersungguh-sungguh, maka kita akan gagal melahirkan

modal insan seperti yang dicita-citakan oleh negara. Ini akan menyebabkan masyarakat

memandang rendah akan kredibiliti profesion perguruan.

Untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, perkara yang paling penting sekali,

hendaklah mendidik dan memperbaiki diri sendiri hingga ke tahap memiliki sifat-sifat

mahmudah iaitu sifat warak, sabar, amanah, jujur, ikhlas, bertanggunghjawab dan

syukur . Pada masa yang sama membuangkan sifat mazmumah iaitu sifat suka marah,

hasad dengki, ujub, riak,sombong, takabur dan tamak. Tanpa adanya sifat yang mulia ini

tidak mungkin seseorang itu akan mampu menjadi cemerlang. Ini adalah kerana sifat

Page 18: Guru bekerja sambilan

yang keji atau mazmumah adalah sifat negatif yang akan mendorong kepada kegagalan

dan kekecewaan.

Akhir kata jadikanlah diri kita insan cemerlang di dunia ini dengan mendapat

kejayaan dalam kerjaya dan perjuangan hidup dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Sama-samalah kita mengembalikan martabat keguruan yang kini semakin dipandang

rendah oleh masyarakat. Patuhilah Etika Perguruan, agar kita menjadi seorang guru yang

berdedikasi dan komited dan dapat melahirkan bakal pemimpin pada masa akan datang

yang cemerlang, gemilang dan terbilang dari segi sahsiah dan akademiknya.

SAJAK

’GURU O GURU’

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Page 19: Guru bekerja sambilan

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG

1979.

Page 20: Guru bekerja sambilan

RUJUKAN

W.A.Dodd. 1970. Guru Dengan Tugasnya. (Terjemahan). Hulu Kelang. Dewan Bahasa

dan Pustaka.

Smahadzir & Jaafar Man. 2007. Membentuk Sahsiah Positif. Ampang. Pekan Ilmu

Publications Sdn. Bhd.

Mohd. Sofian Omar Fauzee. 2006. Membentuk Sikap Cemerlang. Kuala Lumpur. Utusan

Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Glynn Bedington. 1996. Who Do You Want To Be. Kuala Lumpur. Synergy Book

International.

Chek Mat. 2000. Pengurusan Kerjaya. Kuala Lumpur. Utusan Publications &

Distributors Sdn. Bhd.

Azhar Hj. Wahid & Zawawi Jahya. 2009. Pendidikan Pembangunan Modal Insan.

Tanjong Malim. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Page 21: Guru bekerja sambilan

Razzi Armansur. 1999. Susah dan Senang. Kuala Lumpur. SN Future Enterprise Sdn.

Bhd.

Prof. Dr. Hamka. 2007. Peribadi. Shah Alam. Pustaka Dini.

Zahir Zainudin & Amaludin Ab. Rahman. 2008. 19 Tabiat Kuasa Perubahan. Kuala

Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Muhammad Nasri Md Hussain & Ab. Aziz Yusof. 2005. Pengurusan Sumber Manusia

Dari Perspektif Islam. Petaling Jaya. Prentice Hall.

Kamus Dewan. 2011. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shahabuddin Hashim & Rohizan Yaacob. 2007. Teori Personaliti Dari Perspektif Islam,

Timur, dan Barat. Kuala Lumpur. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Hasan Langgulung. 2002. Peralihan Paradigma Dalam Pendidikan Islam dan Sains

Sosial. Jakarta. Gaya Media Pratama.

Surat-surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia.

Azizi Yahaya, Yusof Boon, Jamaludin Ramli, Jaafar Sidek Latif, Fawziah Yahya & Amir

Hamzah Abdul. 2004. Psikologi Sosial. Skudai. Universiti Teknologi Malaysia.

Page 22: Guru bekerja sambilan

Abdullah Hassan & Ainon Mohd. 2002. Kemahiran Interpersonal Untuk Guru. Bentong.

PTS Consultants Sdn. Bhd.