Hbec3603(Malaysian Folktales)

download Hbec3603(Malaysian Folktales)

of 17

description

tugasan Malaysian Folktales sebagai rujukan

Transcript of Hbec3603(Malaysian Folktales)

1.0 PENGENALAN

Cerita rakyat didefinisikan sebagai cerita-cerita yang disampaikan secara lisan dalam satu kelompok masyarakat pada zaman dahulu bertujuan sebagai hiburan, menyampaikan nasihat, berkongsi ilmu dan sebagainya. Sumber daripada Melayu Online.com ada menulis menyatakan bahawa cerita rakyat sebagai ekspresi budaya suatu masyarakat melalui bahasa tutur yang berhubung langsung dengan berbagai-bagai aspek budaya, seperti agama dan kepercayaan, undang-undang, kegiatan ekonomi, sistem kekeluargaan dan susunan nilai sosial masyarakat tersebut. Cerita-cerita yang disampaikan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya dan telah menjadi warisan di dalam kelompok itu. Cerita rakyat biasanya disampaikan oleh orang-orang yang lebih tua seperti datuk, nenek, ibu bapa, atau ketua masyarakat. Namun demikian, terdapat juga cerita-cerita rakyat yang telah menjadi global kerana dikongsi dengan kelompok masyarakat lain di seluruh dunia sebagai contoh cerita Anjing dengan Bayang-bayang.Terdapat beberapa ciri yang dikaitkan dengan cerita rakyat iaitu yang pertama ialah cerita rakyat ini merupakan satu cerita yang disebarkan dan diwariskan secara lisan oleh masyarakat dahulu kepada masyarakat sekarang. Cerita-cerita yang disampaikan diturunkan secara turun temurun dan masih berada di dalam ingatan sehinggalah sekarang. Cerita rakyat juga bersifat tradisional serta bersifat lisan yang mana biasanya cerita-cerita yang disampaikan lebih berlatar belakangkan kehidupan pada zaman dahulu dan biasanya cerita rakyat disampaikan secara lisan. Ismail (1986) menyatakan bahawa cerita rakyat lazimnya disampaikan secara lisan dari satu generasi kepada generasi yang lain. Generasi tua akan menyampaikan sesebuah cerita kepada anak cucu mereka. Ahli anggota keluarga atau masyarakat akan berkumpul untuk mendengarkan cerita yang disampaikan oleh penutur yang arif mengenai cerita rakyat. Oleh sebab penyampaian cerita rakyat ini adalah secara lisan, maka terjadi proses-proses tokok tambah bergantung pada kreativiti pencerita. Justeru, cerita rakyat tidak ada pemilik khusus, tetapi merupakan khazanah yang dimiliki bersama masyarakat itu sendiri dan cerita rakyat wujud merupakan milik bersama masyarakat (Taib, 1974). Cerita rakyat juga mempunyai fungsinya yang tersendiri sebagai contoh berfungsi sebagai media pendidikan, pengajaran moral, hiburan serta sebagai satu proses sosial terhadap golongan-golongan yang tertentu. Cerita rakyat juga bersifat pralogis yang bermaksud mempunyai logik tersendiri dan tidak sesuai jika dikaitkan dengan logik pengetahuan.Terdapat beberapa bentuk cerita rakyat iaitu cerita-cerita binatang, cerita jenaka, cerita penglipur lara serta cerita pengalaman. Setiap bentuk-bentuk cerita rakyat tersebut mempunyai tujuan-tujuannya yang tersendiri. Berikut merupakan beberapa tujuan umum cerita rakyat disampaikan:1) Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan cerita rakyat pelbagai kaum.2) Sebagai teladan dan nasihat kepada generasi muda.3) Sebagai warisan budaya yang amat membanggakan.4) Memupuk semangat bangga dengan cerita rakyat.Perbincangan seterusnya ialah berkaitan dengan tajuk-tajuk serta tema cerita rakyat yang terdapat di dalam masyarakat kita yang masih diperdengarkan sehingga sekarang. Perbincangan dibuat berdasarkan tajuk-tajuk cerita rakyat yang seterusnya diperjelaskan akan kenapa cerita tersebut diceritakan, kesimpulan berdasarkan tema cerita rakyat yang dipilih, mesej yang ingin disampaikan serta dikaitkan dengan kesesuaian di dalam pendidikan awal kanak-kanak.

2.0 CERITA RAKYAT

Ada terdapat empat bentuk cerita rakyat yang disampaikan iaitu cerita binatang, cerita jenaka, cerita penglipur lara dan cerita pengalaman. Bahagian seterusnya akan membincangkan berkaitan dengan setiap bentuk cerita-cerita tersebut dengan disertakan dengan contoh bagi setiap bentuk cerita rakyat tersebut.

2.1 Cerita BinatangCerita binatang terdiri daripada cerita rakyat yang menggunakan binatang sebagai watak utama. Watak-watak yang terkandung di dalam sesebuah cerita binatang tersebut diberikan sifat-sifat yang sama dengan sifat yang ada pada manusia seperti boleh berkata-kata, berfikir dan bertindak seperti manusia. Terdapat tiga jenis cerita binatang iaitu cerita Binatang Asal Usul yang mengisahkan asal usul kejadian binatang misalnya cerita Mengapa Harimau Mengaum, Mengapa Gagak Berbulu Hitam, Mengapa Ular Sawa Hilang Bisa, Mengapa Puyuh Tidak Berekor dan banyak lagi. Selain itu juga, jenis cerita binatang yang seterusnya ialah cerita Binatang Fable (Pengajaran) yang berunsurkan pengajaran seperti cerita Anjing dengan Bayang-bayang, cerita Kera dengan Kura-kura, cerita Bangau dengan Ketam dan lain-lain lagi manakala jenis cerita binatang yang ketiga ialah cerita Binatang Epik (Beast Epic) yang berunsurkan hikayat seperti Hikayat Pelanduk Jenaka dan Hikayat Sang Kancil. Berikut merupakan beberapa contoh cerita binatang serta pengajaran yang ingin disampaikan berdasarkan kepada cerita-cerita tersebut.

CERITA KATAK MEMBUNUH GERGASI(Dipetik daripada : http://pencintakatakhijau.blogspot.com/2010/12/katak-membunuh-gergasi.html)

Sinopsis : Cerita ini mengisahkan berkenaan dengan seekor gergasi yang telah menyebabkan banyak binatang-binatang di hutan cedera malahan ada yang mati disebabkan oleh gergasi tersebut berlari menyelamatkan diri daripada ribut taufan yang telah melanda. Setelah ribut reda, gergasi tersebut pulang ke rumahnya untuk berehat namun tidak tenang kerana diganggu oleh bunyi bising sekumpulan katak yang tinggal berhampiran dengan tempat tinggalnya. Keadaan tersebut menyebabkan gergasi tersebut marah lalu menuju ke tempat katak tersebut. Ketika ke tempat katak, gergasi tersebut telah memijak dan membunuh banyak binatang kecil termasuk semut api, ular sawa, dan burung. Setibanya di tempat katak, gergasi tersebut membunuh katak-katak yang ada di situ kecuali seekor katak betina yang menjaga telurnya di dalam lubang. Kejadian tersebut telah mengundang kesedihan dan kekecewaan katak tersebut dan katak tersebut telah meminta kerjasama rakan-rakan yang sama nasib dengannya. Dengan kepandaian dan kerjasama yang diberikan oleh semua binatang tersebut, gergasi tersebut berjaya ditewaskan.

Nilai murni:1) Jangan mementingkan diri sendiri Sikap gergasi di dalam cerita ini tidak wajar dicontohi kerana mementingkan diri merupakan satu sikap yang tidak baik. Dalam cerita ini, gergasi bertindak mementingkan dirinya sendiri kerana merasakan dirinya lebih besar serta mempunyai kekuatan yang lebih daripada binatang-binatang lain. Oleh yang demikian, gergasi tersebut telah menganiayai serta menzalimi binatang-binatang lain yang lemah dan kecil seperti ular, burung, sang harimau dan semut api. Akibatnya, banyak binatang yang tercedera dan ada yang mati.

2) Bekerjasama atau tolong-menolong Kerjasama dan tolong-menolong adalah wajar dicontohi di dalam cerita ini. ini dilihat daripada watak binatang-binatang kecil yang bekerjasama dan tolong membantu dalam usaha untuk mengusir gergasi daripada kawasan tempat tinggal mereka kerana gergasi tersebut telah menzalimi mereka serta rakan-rakan mereka yang lain. Disebabkan oleh sikap bekerjasama yang diberikan oleh mereka, mereka berjaya mengusir gergasi yang bersaiz jauh lebih besar daripada mereka.3) Jangan berlaku zalim atau kejam terhadap golongan yang lemah Perbuatan yang zalim atau kejam hendaklah dijauhi sama sekali terutama terhadap golongan yang lemah. Sebagaimana yang terdapat di dalam cerita ini, sikap gergasi yang telah menzalimi binatang-binatang kecil yang lain tidak boleh sama sekali dicontohi kerana perbuatan menzalimi orang lain kelak akan mendatangkan keburukan kepada diri sendiri.

4) Kasih Sayang Kasih sayang ialah perasan kasih dan sayang setiap individu terhadap diri seseorang individu yang lain. Kasih sayang ini bukan sahaja terhadap diri sesama manusia bahkan kasih sayang terhadap binatang juga sama. Keadaan ini di mana, kasih sayang terhadap keluarga, kekasih, binatang dan lain-lain. Sifat kasih sayang adalah sifat yang terpuji perlu ada dalam diri setiap individu sebagai contohnya, katak betina dan binatang-binatang lain merasa sedih dan kecewa kerana kehilangan kaum keluarganya yang disayangi. Atas sifat kasih sayang inilah binatang tersebut bertindak membalas dendam terhadap gergasi yang telah melakukan kezaliman terhadap binatang-binatang tersebut serta kaum keluarganya.

GAJAH YANG SETIA(muka surat 4, himpunan 366 cerita rakyat Malaysia)

Sinopsis : cerita Gajah Yang Setia mengisahkan tentang kesetiaan dua ekor gajah, gajah betina dan gajah jantan yang setia hidup bersama sehingga ke hujung nyawa. Hal ini berlaku apabila gajah jantan sakit dan tidak dapat bergerak untuk mencari makanan. Dalam masa yang sama, gajah betina berusaha untuk mendapatkan makanan untuk dikongsi bersama dengan gajah jantan. Lama kelamaan, penyakit gajah jantan semakin tenat dan gajah jantan mati. Disebabkan terlalu sedih dengan kematian gajah jantan, gajah betina tidak makan dan minum untuk beberapa hari dan telah menyebabkan gajah betina sakit dan lama kelamaan gajah betina pun mati. Kesetiaan yang telah dibuktikan oleh kedua-dua ekor gajah betina dan gajah jantan ini telah membawa satu nama kepada setia kawan dan disebut setiawan, sebuah daerah di Perak.

Nilai murni:1) Setia Sikap setia yang ditunjukkan oleh gajah betina kepada gajah jantan wajar dicontohi. Setia yang dimaksudkan ialah apabila melihat kepada keadaan gajah jantan yang sakit. Walaupun gajah jantan sakit, namun, gajah betina masih setia membantu gajah jantan mencari makanan kepada mereka. Sehinggalah gajah jantan mati dan menimbulkan kesedihan kepada gajah betina.2) Jangan mudah berputus asa Sikap gajah jantan yang berputus asa sebaik sahaja jatuh sakit tidak boleh diambil sebagai pengajaran bahkan perlu ditukar kepada sikap yang positif iaitu sikap tidak mudah berputus asa. Walaupun ketika sakit, kita haruslah berusaha untuk menguatkan diri untuk mencari makanan atau rezeki selagi mana terdaya dan jangan menyusahkan orang lain dalam masa yang sama.

KERA DENGAN KURA-KURA(muka surat 90, himpunan 366 cerita rakyat Malaysia)

Sinopsis : Cerita ini mengisahkan tentang seekor kura kura yang inginkan hati kera untuk mengubati penyakit isterinya. Sedang ia berfikir tentang masalahnya itu, ia ternampak seekor kera yang berada di atas pokok sedang makan buah jambu air. Kura kura telah berbohong kera dengan mengatakan ada buah jambu air yang lagi sedap seberang sungai. Kera gembira dan terus naik ke atas kura kura. Selepas itu, kura kura memberitahu bahawa ia inginkan hati kera. Kera itu telah memberitahu bahawa hatinya telah tertinggal di atas pokok jambu air tadi. Kura kura tanpa berfikir panjang membawa kera itu ke pokok yang dikatakan oleh kera. Akhirnya kura kura itu dibohongi oleh kera. Nilai murni yang diperoleh daripada cerita ini ialah jika kita mempunyai niat yang tidak baik segala rancangan pasti akan gagal.

Nilai murni :1) Jangan sesekali berniat tidak baik Pengajaran yang dapat diperoleh dalam cerita ini ialah kita jangan sesekali berniat tidak baik kepada orang lain. Dalam cerita ini, kura-kura berniat untuk mendapatkan hati kera untuk mengubati penyakit isterinya. Tetapi cara kura-kura iaitu dengan cara menipu kera bahawa ada buah jambu yang sangat manis rasanya adalah salah dan tidak wajar dicontohi.

2) Jangan menipu orang lain atas kepentingan diri sendiri Kita tidak boleh mencontohi kura-kura yang telah menipu kera kononnya ada buah jambu yang sangat manis rasanya. Dalam masa yang sama kura-kura berniat jahat yakni untuk mendapatkan hati kera. Oleh yang demikian, jangan sesekali kita memperdayakan orang lain untuk kepentingan diri sendiri.

2.2 Cerita JenakaCerita jenaka adalah cerita rakyat yang mengandungi unsur-unsur humor, lucu atau jenaka yang boleh menimbulkan kegembiraan atau menggeletek hati pendengar. Watak-watak di dalam cerita jenaka diberikan sifat dan peranan yang melucukan. Cerita jenaka terbahagi kepada dua jenis iaitu cerita jenaka tempatan dan cerita jenaka pengaruh asing. Contoh bagi cerita jenaka tempatan ialah Pak Pandir, cerita Pak Kaduk, cerita Lebai Malang, cerita Pak Belalang dan cerita Si Luncai manakala contoh bagi cerita jenaka pengaruh asing terdiri daripada cerita Mat Jenin (hindu) dan cerita Musang Berjanggut dan cerita Abu Nawas (Arab/Parsi/Islam).Biasanya, watak-watak dalam cerita jenaka tempatan terbahagi kepada tiga golongan iaitu watak bodoh-pintar seperti Pak Pandir, watak bodoh-sial seperti Pak Kaduk dan Lebai Malang dan watak pintar-lucu seperti Pak Belalang dan Si Luncai. Berikut merupakan beberapa contoh cerita jenaka yang boleh diambil sebagai pengajaran kepada pendidikan awal kanak-kanak.

PAK BELALANG(muka surat 54, himpunan 366 cerita rakyat Malaysia)

Sinopsis : cerita ini mengisahkan tentang kisah Pak Belalang yang berangan-angan mahu hidup senang sehinggalah pada suatu hari, dia mendapat ilham menyuruh anaknya menyembunyikan kerbau dan lembu di belakang rumah dan memberitahu kepada semua orang kampung bahawa Pak Belalang pandai bertenung. Berita Pak Belalang pandai bertenung telah sampai kepada pengetahuan raja dan raja telah memanggil Pak Belalang untuk melihat siapakah yang telah mencuri emas baginda. Pak Belalang secara tidak sengaja telah dapat menangkap pencuri tersebut dan mengembalikan emas tersebut kepada raja.

Nilai murni:1) Jangan menipu untuk kepentingan diri Sikap Pak Belalang yang menyuruh anaknya menyembunyikan binatang adalah tidak wajar dicontohi. Pak Belalang bersikap mementingkan diri sendiri sehingga menyebabkan pemilik binatang tersebut risau akan kehilangan binatang-binatang peliharaan mereka.

2) Jangan mengharapkan balasan atas pertolongan yang dilakukan Jangan sesekali mengharapkan balasan atas apa yang telah kita laksanakan. Pak Belalang mahu kehidupan yang lebih senang. Dengan cara mudah, iaitu dengan cara menipu, dia diberikan hadiah yang sangat lumayan. Pak Belalang bernasib baik dapat menemui emas-emas raja.

PAK PANDIR MANDIKAN ANAK(muka surat 39, himpunan 366 cerita rakyat Malaysia)

Sinopsis : cerita ini mengisahkan tentang kehidupan Pak Pandir dan Mak Andeh dengan anaknya. Kisah berlaku apabila Mak Andeh meminta Pak Pandir untuk memandikan anaknya di dalam air suam. Disebabkan oleh kebebalan Pak Pandir, anaknya telah meninggal dunia kerana Pak Pandir memandikan anaknya di dalam air panas.

Nilai murni:1) Kita haruslah mendengar pesanan dengan baik Kita seharusnya tidak boleh meniru aksi Pak Pandir. Di dalam cerita ini dijelaskan bagaimana Pak Pandir melakukan perbuatan yang berlainan dengan apa yang diarahkan oleh Mak Andeh iaitu untuk memandikan anaknya dengan menggunakan air suam tetapi Pak Pandir telah meletakkan anaknya di dalam kawah yang berisi air panas. Oleh yang demikian, mereka telah kehilangan anak mereka. Oleh itu, kita harus mendengar pesanan daripada orang lain dengan baik supaya tidak berlaku kesilapan.

2) Kita harus berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara Sebelum melaksanakan sesuatu benda, kita haruslah berfikir terlebih dahulu akan kesan dan akibat daripada perbuatan yang akan kita lakukan. Dalam cerita ini, Pak Pandir yang bebal telah memandikan anaknya dengan air panas. Dia tidak berfikir terlebih dahulu akan kesan yang akan diterima oleh anaknya apabila dimandikan dengan air panas.

PAK PANDIR MEMBAIKI RUMAH(muka surat 188, himpunan 366 cerita rakyat Malaysia)Sinopsis : cerita mengisahkan tentang Pak Pandir dan Mak Andeh yang tinggal di sebuah rumah yang sudah usang. Mak Andeh risau akan keadaan rumahnya dan disebabkan oleh itu, dia meminta Pak Pandir untuk membetulkan rumahnya itu. Namun disangkal pula oleh Pak Pandir kerana dia mengatakan itu ialah kerja tukang rumah. Oleh sebab itu, Mak Andeh membuat satu helah di mana dia mengatakan ada orang ingin mengupah tukang rumah. Pak Pandir telah terkena helah yang dirancang oleh Mak Andeh dan akhirnya tanpa disedari, Pak Pandir rupa-rupanya telah membetulkan rumah sendiri.Nilai murni:1) Berusaha bersungguh-sungguh Kita haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu impian yang dihajati. Di dalam cerita ini, Pak Pandir bersungguh-sungguh membaik pulih rumah yang kononnya tempat dia bekerja padahal itu ialah rumahnya sendiri. 2) Jangan mengharapkan sesuatu balasan apabila membuat sesuatu pekerjaan Pak Pandir pada mulanya tidak mahu membaiki rumahnya sendiri sehinggalah dijadikan helah oleh Mak Andeh yang mengatakan ada orang ingin mengupah tukang rumah. Disebabkan oleh adanya upah, Pak Pandir bersetuju untuk membaiki rumah tersebut.

2.3 Cerita Penglipur LaraCerita penglipur lara ialah cerita rakyat yang paling popular. Cerita ini melibatkan cerita roman yang mengandungi unsur-unsur percintaan putera-puteri raja diikuti dengan pengembaraan, peperangan dan berakhir dengan kegembiraan.Cerita penglipur lara disampaikan oleh tukang-tukang cerita yang biasanya diiringi dengan alat-alat bunyian seperti rebab, belanga, selampit dan sebagainya. Dari segi penceritaannya pula, cerita penglipur lara diselang-seli dengan puisi Melayu tradisional dan bahasa berirama. Contoh cerita penglipur lara ialah Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan sebagainya. Berikut merupakan beberapa cerita penglipur lara yang dipilih berdasarkan kesesuaian kepada pendidikan awal kanak-kanak.

HIKAYAT MALIM DEMAN(dipetik daripada Hikayat Malim Deman, Pawang Ana/Raja Haji Yahya, Fajar Bakti 1998)Sinopsis : cerita ini mengisahkan tentang kisah pengembaraan Malim Deman dalam mencari isteri. Baginda telah mendapat kebenaran daripada ayah dan bondanya untuk mengembara dan berburu ke hulu negeri. Dalam perjalanan, baginda telah diiringi oleh sekalian rakyat jelata dan hulubalang. Namun pengiringnya semua telah mati akibat kebuluran, penyakit, sesat dan ada juga di antaranya yang berpatah balik. Oleh itu, tinggallah baginda keseorangan menempuh pelbagai kesusahan dan penderitaan sehingga menemui sebiji batil emas berisi sebentuk cincin dan sehelai rambut. Di dalam kisah ini memperlihatkan kisah percintaan antara Malim Deman dengan seorang puteri kayangan, Puteri Bongsu. Selain itu juga, hikayat Malim Deman juga turut menceritakan di saat baginda berperang dengan bekas tunang Puteri Bongsu demi untuk mendapatkan kembali Puteri Bongsu.

Nilai murni:1) Pentingnya kasih sayang dan hubungan keluarga dalam institusi kekeluargaan Kasih sayang sangat penting dalam hubungan kekeluargaan. Ini dapat dilihat daripada kisah Malim Deman yang mencari isteri untuk dijadikan sebagai teman hidupnya. Namun, baginda tidak menjaga hubungan baginda dengan Puteri Bongsu dan telah menyebabkan Puteri Bongsu merajuk dan pulang ke kayangan.

2) Bertanggungjawab Kita haruslah sentiasa menjadi seorang yang bertanggungjawab. Sikap Malim Deman yang meninggalkan negara pemerintahannya merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh ditiru oleh kita semua. Sebagai pemimpin, kita haruslah bertanggungjawab menjaga kebajikan sesiapa sahaja di bawah pimpinan kita. 3) Sentiasa berusaha bersungguh-sungguh Kesungguhan ini dapat dilihat dalam watak Malim Deman ketika usaha baginda untuk mendapatkan kembali Puteri Bongsu yang telah lari ke kayangan. Baginda sanggup berperang dengan bekas tunang Puteri Bongsu untuk mendapatkan kembali Puteri Bongsu.

2.4 Cerita Pengalaman / Teladan

Cerita pengalaman atau cerita teladan merupakan sejenis cerita rakyat yang terdapat di dalam kesusasteraan rakyat atau sastera lisan. Cerita pengalaman yang dimaksudkan ini biasanya mengisahkan tentang golongan rakyat biasa yang mengetengahkan gagasan bahawa watak yang baik itu akhirnya akan mendapat pembelaan, sebaliknya watak yang jahat akan mendapat pembalasan yang setimpal dengan perbuatan yang dilakukan oleh mereka.Cerita pengalaman atau cerita teladan ini adalah cerita yang penuh dengan unsur didaktik dan pendidikan moral yang mana banyak diterapkan nilai-nilai murni. Antara contoh cerita pengalaman atau cerita teladan ialah cerita Bawang Putih Bawang Merah, Batu Belah Batu Bertangkup dan cerita Si Tanggang. Berikut adalah beberapa penjelasan yang lebih terperinci berkaitan dengan cerita pengalaman atau cerita teladan yang mana difikirkan sesuai untuk pembentukan sahsiah yang baik dalam kalangan kanak-kanak.

NAKHODA TANGGANG(muka surat 150, himpunan 366 cerita rakyat Malaysia)

Sinopsis : cerita yang mengisahkan berkaitan dengan seorang anak yang derhaka kepada ibunya. Si Tanggang telah bertindak derhaka dengan ibu bapanya apabila telah berjaya di dalam kehidupannya sebagai seorang nakhoda kapal. Kesannya, dia telah disumpah menjadi batu oleh ibunya.

Nilai murni:1) Jangan menderhaka terhadap ibu bapa Kita jangan sesekali menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Jangan mencontohi Si Tanggang yang derhaka kepada ibu bapanya setelah memperoleh kejayaan. Walau setinggi mana pun kejayaan yang telah dicapai, jangan sesekali lupa akan pengorbanan ibu bapa yang telah menjaga dan membesarkan kita.

2) Tuhan akan membalas setiap perbuatan manusia yang baik mahupun jahat Setiap perbuatan yang kita laksanakan mesti ada balasannya sama ada balasan itu diterima dengan segera atau pun pada lain hari atau bentuk. Dalam cerita ini, Si Tanggang telah bertukar menjadi batu kerana sikapnya yang derhaka kepada kedua ibu bapanya.

BAWANG PUTIH, BAWANG MERAH(muka surat 174, himpunan 366 cerita rakyat Malaysia)Sinopsis : cerita yang mengisahkan tentang perjalanan hidup bawang merah yang mempunyai seorang adik tiri iaitu bawang putih. Ibu tirinya bertindak jahat kepadanya sehinggakan selalu membuatkan bawang merah menangis dan sentiasa memberikan layanan yang buruk kepada bawang merah. Berbeza dengan layanan yang diberikan kepada anaknya bawang putih yang ditatang bagai minyak yang penuh. Sehinggalah pada suatu hari, seorang putera raja telah mendengar suara bawang merah menyanyi dan baginda terpikat dengan bawang merah.Nilai murni :1) Jangan bersikap tidak adil Mak tiri kepada Bawang Merah tidak berlaku adil kepada anak-anaknya. Disebabkan oleh Bawang Merah Cuma anak tirinya, dia bertindak melayan Bawang Merah dengan kasar dan langsung tidak mempunyai belas kasihan terhadap Bawang Merah.

2) Orang yang baik akan diberikan balasan baik Sikap Bawang Merah yang sentiasa bersabar akan nasib yang menimpa dirinya diakhiri dengan kegembiraan di mana dia berkahwin dengan seorang putera mahkota. BATU BELAH BATU BERTANGKUP(muka surat 52, himpunan 366 cerita rakyat Malaysia)Sinopsis : cerita mengisahkan tentang kehidupan tiga sekeluarga iaitu Mak Tanjung bersama dua anaknya, Melur dan Pekan. Mak Tanjung teringin untuk makan ikan tembakul dan meminta anaknya Melur untuk menyimpan telur ikan tembakul itu. Akan tetapi, Pekan telah makan kesemua telur ikan tembakul tersebut. Disebabkan itu, Mak Tanjung merajuk dan masuk ke dalam batu belah batu bertangkup. Semenjak itu, Melur dan Pekan tinggal bersama dengan nenek kebayan. Setelah masa berlalu, Melur telah berkahwin dengan putera raja dan telah menghentikan puaka batu belah batu bertangkup.Nilai murni :1) Jangan terlalu berkira dengan anak-anak Di dalam cerita ini, Mak Tanjung bersikap terlalu berkira dengan anak-anaknya sehinggakan disebabkan oleh telur ikan tembakul, dia bertindak menyerahkan dirinya kepada batu belah batu bertangkup.

2) Bertanggungjawab Kita haruslah bertanggungjawab dengan apa yang terjadi. Dalam cerita ini, Melur dan Pekan bertanggungjawab atas apa yang telah mereka lakukan dan mereka haruslah menerima tindakan yang dilakukan oleh ibu mereka. Namun demikian, sikap Mak Tanjung adalah tidak bertanggungjawab kerana sanggup meninggalkan kedua-dua anaknya yang masih kecil.

3.0 ULASAN KESELURUHAN

Berikut merupakan ulasan keseluruhan berkaitan dengan cerita rakyat yang dikaji. Ulasan ini dibuat di dalam bentuk jadual untuk memudahkan pemahaman pembaca berkaitan dengan ulasan bagi setiap tajuk cerita rakyat yang dipilih.

Tajuk cerita rakyatWatak dalam ceritaPengajaran

CERITA KATAK MEMBUNUH GERGASI Katak, Binatang-Binatang Kecil, Gergasi1) Jangan mementingkan diri sendiri2) Bekerjasama atau tolong-menolong3) Jangan berlaku zalim atau kejam terhadap golongan lemah4) Kasih sayang

GAJAH YANG SETIA Gajah Betina, Gajah Jantan1) Setia2) Jangan mudah berputus asa

KERA DENGAN KURA-KURAKera, Kura-Kura1) Jangan sesekali berniat tidak baik2) Jangan menipu orang lain atas kepentingan diri sendiri

PAK BELALANGPak Belalang, Belalang, Raja, Mak Belalang1) Jangan menipu untuk kepentingan diri sendiri2) Jangan mengharapkan balasan atas pertolongan yang diberikan

PAK PANDIR MANDIKAN ANAKPak Pandir. Mak Andeh, Anak Pak Pandir1) Kita harus mendengar pesanan dengan baik2) Kita harus berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara

PAK PANDIR MEMBAIKI RUMAHPak Pandir. Mak Andeh1) Berusaha bersunggung-sungguh2) Jangan mengharapkan sesuatu balasan apabila membuat sesuatu pekerjaan

HIKAYAT MALIM DEMANMalim Deman. Puteri Bongsu, Nenek Kebayan, Tunang Puteri Bongsu1) Kasih sayang dan hubungan kekeluargaan2) Bertanggungjawab3) Sentiasa berusaha bersungguh-sungguh

NAKHODA TANGGANGSi Tanggang, Ibu Bapa Si Tanggang, Anak Kapal, Isteri Si Tanggang1) Jangan menderhaka terhadap kedua-dua ibu bapa2) Tuhan akan membalas setiap perbuatan manusia yang baik mahupun jahat

BAWANG PUTIH, BAWANG MERAHBawang Putih, Bawang Merah, Mak Bawang1) Jangan bersikap tidak adil2) Orang yang baik akan diberikan balasan baik

BATU BELAH BATU BERTANGKUPMak Tanjung, Melur, Pekan1) Jangan terlalu berkira dengan anak-anak2) bertanggungjawab

4.0 KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, cerita rakyat dapat memberikan satu pendidikan secara tidak langsung kepada kanak-kanak sama ada melalui pembacaan atau pendengaran. Ini akan membolehkan kanak-kanak untuk mengenal erti kehidupan, sama ada realiti atau fantasi. Melalui cerita rakyat ini, kanak-kanak dapat mempelajari pelbagai nilai murni yang terkandung di dalam sesebuah cerita rakyat yang disampaikan.Cerita rakyat juga memiliki fungsi sebagai penggalang rasa kesetiakawanan di antara warga masyarakat yang menjadi pemilik cerita rakyat tersebut. Cerita rakyat adalah sebagai berfungsi sebagai nilai-nilai sosial budaya yang berlaku dalam masyarakat. Dalam cerita rakyat, terkandung ajaran-ajaran etika dan moral yang boleh dipakai dan digunakan sebagai pedoman bagi masyarakat. Di samping itu di dalamnya juga terdapat larangan dan pantang larang yang perlu dihindari.Melalui cerita rakyat, ini akan dapat menarik minat kanak-kanak untuk belajar secara tidak langsung berkaitan dengan nilai-nilai murni yang harus disemai di dalam diri mereka. Selain itu juga, warisan budaya tidak dipinggirkan. Memandangkan cerita rakyat ini adalah merupakan cerita yang telah diturunkan sejak zaman dahulu kala lagi, warisan tersebut haruslah dikekalkan walaupun zaman telah menjalani perubahan yang pesat. Tambahan lagi, pengajaran di dalam setiap cerita rakyat yang disampaikan haruslah dijadikan sebagai satu iktibar dan pedoman kepada kanak-kanak khususnya. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Sebagai usaha untuk mencapai objektif yang sewajarnya dalam cerita rakyat ini, semua pihak terutama ibu bapa dan guru haruslah memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah diri kanak-kanak.

5.0 RUJUKAN

Awang Sariyan. 2007. Falsafah dan Logika Melayu. Selangor : synergymate Sdn Bhd

Hashim Musa. 2001. Falsafah, Logika, Teori nilai dan Etika Melayu. Kuala Lumpur : Akademi Pengajian Melayu.

Mutiara Sastera Melayu Tradisional (Longman), Ab. Rahman Ab. Rashid, Rosli Saluhudin, dan Zakaria Perngis.

Mutiara sastera Melayu Moden (Federal Marshall Cavendish), Mohd. Pauzi. Dewan Bahasa Dan Puastaka.

Othman Puteh/ Aripin Said. Himpunan Cerita Rakyat Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 1995.Halimah Hassan. Kesusasteraan Rakyat Melayu. Serdang: Pusat Pendidikan Luar Universiti Putra Malaysia, 2006.

http://kmtppuintan.blogspot.com/2011/08/sastera-rakyat-sastera-lisan-sastera_05.html

http://pencintakatakhijau.blogspot.com/2010/12/katak-membunuh-gergasi.html