hubunganetnik-140525130032-phpapp02

download hubunganetnik-140525130032-phpapp02

of 130

Transcript of hubunganetnik-140525130032-phpapp02

  • 1

    BAB 1

    KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

    OBJEKTIF BAB

    Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Memahami konsep asas hubungan etnik. 2. Memahami definisi dan asal usul manusia. 3. Memahami definisi, kemunculan dan ciri masyarakat. 4. Memahami definisi dan unsur berkaitan dengan kebudayaan.

    1.1 PENGENALAN Hubungan etnik mempunyai konsep asasnya yang tersendiri. Yang utama ialah tentang definisi dan asal-usul manusia, definisi dan kemunculan etnik, definisi kemunculan dan ciri masyarakat dan konsep kebudayaan, sikap terhadap kepelbagaian kebudayaan. 1.2 MANUSIA 1.2.1 Definisi Manusia

    Dalam bahasa Melayu, manusia berasal dari bahasa Sanskrit. Manu membawa maksud berfikiran dan berakal budi (Ismail Yusof, 2003: 37). Kamus Dewan mendefinisikan manusia sebagai insan dan makhluk yang mempunyai akal (T.Iskandar, 1970: 714). Dalam bahasa Inggeris human berasal perkataan latin humo yang membawa erti yang

    dilahirkan dari tanah. Human akhirnya membawa maksud sebagai manusia yang boleh berfikir dan berkreativiti (Collins, 1983: 263). Dalam bahasa Arab ins, al-insan, an-nas dan al-basyar digunakan. Ia membawa maksud sebagai sejenis haiwan yang boleh berfikir dan bertutur (Mustafa Daud, 1991:28).

    Al-Quran menjelaskan bahawa perkataan al-insan dan an-nas berasal dari perkataan nasiya yang memberi erti lupa. Inilah salah satu sifat manusia yang ada pada setiap individu iaitu sifat terlalu terlupa. Sifat ini pertama kalinya dimiliki oleh Adam a.s. apabila baginda sendiri terlupa terhadap janjinya dengan Allah SWT iaitu tidak memakan buah khuldi. Hal ini disandarkan kepada firman Allah SWT di dalam ayat terjemahannya:

  • 2

    Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa perintah itu dan Kami tidak dapati padanya kemahuannya yang kuat

    (Surah Taha 20: 15)

    1.2.2 Asal Usul Manusia

    Teori asal usul manusia yang popular adalah yang dikemukakan oleh pakar sosiologi Barat seperti Charles Darwin (1802-1889) dan Jean Baptiste Come de Lamarck (1749-1829). Mereka memperkenalkan satu teori evolusi yang berakhir dengan pembuktian bahawa manusia berasal dari monyet. Teori ini nampaknya begitu berpengaruh di Eropah dalam abad ke-19M, awal abad ke-20M dan kian merosot dalam alaf baru ini (Sulaiman Nordin, 1978: 50).

    Sebenarnya teori Darwin tentang evolusi ini bukanlah satu perkara yang baru, malah telah terlebih dahulu diperkenalkan oleh ahli-ahli falsafah Greek seperti Aristotle, Anazimander, Empidocles dan lain-lain lagi dalam abad ke 4, 5 dan 6 S.M. Teori evolusi mulai luntur dan menjadi lapuk apabila pakar sains Barat sendiri menyanggah tentang kebenaran teori evolusi ini kerana tidak bersifat saintifik dan tidak dapat dibuktikan kesahihannya.

    Pakar sains semasa membuat kesimpulan bahawa Darwin dan pengikut-pengikutnya sahaja yang berasal dari monyet, sedangkan manusia yang lain berasal dari Adam a.s. sepertimana yang disarankan oleh al-Quran. Ia lebih bersifat ideologi bukan fakta apabila berjaya diperalatkan oleh golongan anti agama dan anti ketuhanan seperti Karl Marx bagi menafikan kebenaran wahyu dan agama yang dianggap sebagai khayalan (Sulaiman Nordin, 1978: 50).

    Setelah Darwinisme tidak dapat dipertahankan, al-Quran menjelaskan bahawa asal usul kejadian manusia adalah daripada Adam a.s. sepertimana yang dijelaskan di dalam ayat al-Quran yang bermaksud:

    Hai sekalian manusia! Bertakwalah kepada tuhanmu (Allah) yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri (Adam) dan daripadanya pula Allah menciptakan isterinya (Hawa). Daripada keduanya Allah memperkembang-biakkan lelaki dan perempuan yang banyak

    (Surah al Nisaa 4: 1)

  • 3

    SOALAN DALAM TEKS

    1. Menurut bahasa Arab, manusia membawa maksud

    sejenis haiwan yang boleh berfikir dan bertutur. Betul/Salah

    2. Charles Darwin mengemukakan teori bahawa manusia itu berasal daripada beruk. Betul/Salah

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    1.3 ETNIK 1.3.1 Definisi Etnik Perkataan etnik berasal daripada perkataan Inggeris iaitu ethnic. Kamus Collins Gem English Dictionary mendefinisikannya sebagai ras (race). Ilmu yang mengkaji berkaitan dengan etnik dikenali sebagai ethnology iaitu klasifikasi manusia berasaskan kepada faktor sosial dan kebudayaan. Kajian berkaitan hubungan etnik dengan faktor geografi dan kependudukan dikenali sebagai ethnography (Collins, 1983:185). Perkataan ini dipinjam oleh bahasa Melayu yang membawa pengertian yang sama sepertimana yang digunakan di dalam bahasa Inggeris (T. Iskandar, 1970: 272). 1.3.2 Kemunculan Etnik Teori evolusi asal usul manusia menjelaskan bahawa jenis Homo Sapiens berkembang menjadi tiga etnik utama iaitu etnik Caucasoid, etnik Mongoloid dan etnik Negroid. Setiap satu etnik itu mempunyai bentuk tubuh badan dan warna kulit yang berlainan yang disebabkan oleh faktor mutasi, seleksi dan random genetic drift. Klasifikasi Kroeber (1948) membahagikan manusia kepada empat etnik utama (Ismail Yusof, 2003:38):

    (i) Caucasoid yang terdiri daripada Nordik (Eropah Utara sekitar Laut Baltik), Alpine (Eropah Tengah dan Timur), Meditterranean (sekitar Laut Tengah, Afrika Utara), Armenia, Arab, Iran dan India.

    (ii) Mongoloid yang terdiri daripada Asiatic Mongoloid (Asia Utara, Asia Tengah, Asia Timur), Malayan Mongoloid

  • 4

    (Asia Tengah, kepulauan Indonesia, Malaysia, Filipina), American Mongoloid (dari Eskimo di Amerika Utara hingga penduduk Terra del Fuego di Amerika Selatan).

    (iii) Negroid mengandungi African Negroid (benua Afrika), Negrito (Afrika Tengah, Semenanjung Tanah Melayu, Filipina, Malanesian (Irian, Malanesia).

    (iv) Etnik-etnik yang tidak dapat diklasifikasikan seperti Bushman (di daerah gurun Kalahari di Afrika Selatan, Veddoid (pendalaman Sri Lanka, Sulawesi Selatan), Austroloid (penduduk asli Australia), Polenesia (kepulauan Mikronesia dan Polenesia) dan Ainu (pulau-pulau Karafuto, Hokkaido di Jepun Utra).

    Klasifikasi etnik berdasarkan kepada pembahagian geografi dipelopori oleh Garn (1961) dan Coon (1962) yang membahagikan manusia kepada beberapa kategori etnik (Ismail Yusof, 2003:50):

    (i) Amerindian: penduduk asli di Amerika sebelum

    kedatangan orang Eropah dan Afrika. (ii) Micronesia: penduduk di kepulauan Mikronsia dan

    sebahagian dari Pasifik Barat. (iii) Malanesian-Papuan: penduduk New Guinea, Fiji dan

    pulau-pulau lain di Pasifik Barat. (iv) Australian: peduduk asli di Australia sebelum kedatangan

    Eropah. (v) Asiatik: penduduk di Asia Tenggara, Asia Timur, Asia

    Tengah dan Siberia. (vi) India: penduduk India. (vii) European: penduduk di Eropah, Afrika Utara dan Barat-

    Daya Asia. (viii) African: penduduk Afrika di bahagian selatan padang

    pasir Sahara. Kewujudan pelbagai etnik, keturunan, bangsa, bahasa, warna kulit, adat resam, kebudayaan dan sebagainya merupakan satu sunnatullah. Allah SWT yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui sengaja menjadikan umat manusia dalam keadaan penuh perbezaan. Matlamatnya tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata bagi membolehkan manusia itu berkenal-kenalan, bekerjasama, tolong menolong dan saling hormat menghormati ke arah keamanan, keselamatan, kesejahteraan, kemakmuran dan perpaduan manusia sejagat di atas muka bumi ini. Hal ini ditegaskan di dalam ayat al-Quran yang bermaksud:

  • 5

    Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki, seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal

    (Surah al-Hujarat, 49: 13)

    Justeru itu kelahiran masyarakat plural sememangnya merupakan satu fitrah, mengikut sunnatullah, ketentuan qada dan qadar Allah SWT Justeru itu kewujudannya diakui dan direstui oleh Islam. Istilah plural (majmuk) diterima sebagai satu istilah di dalam sejarah Malaysia untuk membicarakan segala hal yang berkaitan dengan masyarakat atau rakyat yang terdiri daripada pelbagai keturunan, agama, warna kulit, bahasa, kebudayaan, adat resam dan sebagainya. Rakyat atau warga negara yang sedemikian dikenali dengan istilah Ahli al Zimmah atau golongan Zimmi di dalam sesebuah negara Islam (Al-Maududi, 1974: 3).

    1.4 MASYARAKAT

    1.4.1 Definisi Masyarakat Ilmu kajian berkaitan dengan hubungan etnik, kelompok-kolompok dan masyarakat adalah antara cabang ilmu sains sosial yang muda usianya jika dibandingkan dengan disiplin-disiplin ilmu sains kemasyarakatan dan kemanusiaan yang lain (Ismail Yusof, 2003: 57). Dari segi bahasa, dalam bahasa Melayu, perkataan masyarakat berasal dari perkataan Arab. Kamus Dewan mendefinisikan masyarakat sebagai kumpulan manusia yang bergaul, hidup bersama dan hidup bermasyarakat (T. Iskandar, 1970: 718).

    Dalam bahasa Inggeris dua perkataan yang digunakan iaitu society dan community. Society membawa maksud hidup bersama dengan orang lain (Colins, 1983: 500). Community pula membawa maksud kumpulan individu yang hidup bersama dan mempunyai nilai bersama (Colins, 1983: 100).

    Dalam bahasa Arab perkataan masyarakat berasal dari akar kata syaraka, yusyariku, musyarakatan membawa maksud bersekutu, berkongsi dan sebagainya. Ia membawa maksud hidup bersama dan bermasyarakat (Idris Al Marbawi, 1950: 320). Perkataan lain yang digunakan dalam bahasa Arab ialah mujtama dari akar kata jamaa, yajamiu, jaman yang membawa erti sebagai kumpulan, kehidupan, pergaulan dan masyarakat (Idris al-Marbawi, 1950: 108).

  • 6

    Pada keseluruhannnya definisi perkataan masyarakat memperlihatkan keseragaman dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab sebagai perkongsian, persatuan, perkumpulan, usahasama dan pergaulan. Dari segi istilah, masyarakat seperti yang dijelaskan oleh Kuncaraningrat sebagai kelompok terbesar dari makhluk-makhluk manusia yang hidup terjaring dalam satu kebudayaan (Sidi Gazalba, 1986:5). Linton mendefinisikan masyarakat sebagai kelompok manusia yang telah cukup lama hidup dan berkerja-sama sehingga mereka dapat mengorganisasikan diri mereka dan berfikir tentang diri mereka sebagai kesatuan sosial yang mempunyai batas-batas tertentu. Beliau selanjutnya menjelaskan bahawa kewujudan kesinambungan, kelanjutan dan perpaduan sesebuah masyarakat itu bergantung kepada kemahuan yang sama di hati sanubari setiap individu masyarakat tersebut (Sidi Gagazalba, 1986:5). Roucek dan Waren mendefinisikan masyarakat sebagai satu kumpulan

    manusia yang berhubungan secara tetap dan tersusun dalam menjalankan aktiviti-aktivitinya secara kolektif dan merasakan bahawa mereka adalah hidup bersama (Musa Ahmad, 2006: 8). Lyson pula mendefinisikan masyarakat sebagai bentuk-bentuk pergaulan hidup keluarga, suku, etnik, bangsa, jemaah agama, persyarikatan dan sebagainya. Tiga perkara yang ditekankan oleh beliau dalam memberikan definisi masyarakat adalah (Sidi Gazalba, 1986: 6):

    (i) Sebutan jenis iaitu kelompok yang dapat dibayangkan dari jenis yang sama iaitu sesama manusia, kelompok yang dapat dibayangkan dari segi kewujudannya dalam bentuk konkrit dan kelompok yang dapat dibayangkan kewujudannya dari segi abstrak.

    (ii) Lingkungan masyarakat iaitu pergaulan hidup sesama manusia, semua golongan, semua lapisan dan semua kelompok membentuk masyarakat.

    (iii) Semua kesatuan sosial yang meliputi setiap golongan dan lapisan masyarakat.

    Hammudah Abdalati mendefinisikan masyarakat dari segi istilah sebagai seluruh bentuk hubungan yang diatur oleh keakraban yang tinggi dari seseorang dalam pergaulannya dengan seseorang yang lain. Ia merupakan bentuk awal bagi terciptanya keluarga (Hammudah Abdalati, 1983:81). Beliau selanjutnya menjelaskan bahawa masyarakat juga merupakan kelompok yang didalamnya terdapat individu yang dapat memiliki sebahagian besar kegiatan dan berbagai-bagai pengalaman yang sangat berguna baginya. Dalam erti kata yang lain kelompok di mana ahli-ahli yang berada didalamnya terikat oleh perasaan tanggungjawab dan identiti

  • 7

    bersama. Dua perkara yang ditekankan oleh Drs. Sidi Gazalba ketika memberikan defenisi masyarakat dari segi istilah adalah (Sidi Gazalba, 1986: 12):

    (i) Interaksi manusia dengan manusia, hidup berkelompok dan di dalam masyarakat yang teratur.

    (ii) Pemeliharaan interaksi yang teratur dalam kelompok. Beliau seterusnya menjelaskan bahawa masyarakat merupakan pergaulan hidup. Pergaulan antara manusia dengan kelompok. Institusi masyarakat bertanggungjawab mempertahankan hubungan yang teratur antara individu dengan individu yang lain. Akhirnya beliau menjelaskan bahawa masyarakat sebagai wadah kebudayaan. Ia bertanggungjawab membentuk kebudayaan tertentu. Pendapat-pendapat yang tersebut di atas memperlihatkan perbezaan dalam keseragaman. Walaupun pendapat para sarjana secara sepintas lalu memperlihatkan perbezaan, tetapi sebenarnya mereka tetap bersependapat dari segi konsep masyarakat ketika membuat definisi masyarakat dari segi istilah. Kuncarningrat melihat masyarakat dari persepektif kebudayaan. Bagi beliau masyarakat adalah kelompok manusia yang terjalin melalui kebudayaan yang dimiliki. Linton menekankan dari segi kerjasama dalam jangka panjang. Kerjasama ini bertanggungjawab melahirkan cara hidup, cara berlaku, berbuat, cara bertindak dan sebagainya. Cara hidup inilah yang menyamai pendapat Kuncarningrat yang menjelaskannya sebagai kebudayaan. Lyson pula melihat dari aspek suasana masyarakat, kerana menurut beliau masyarakat dipengaruhi oleh tiga suasana (Sidi Gazalba, 1986: 8):

    (i) Pengaruh alam ke atas kehidupan masyarakat adalah jelas sekali. Walaupun begitu perlu diingat bahawa ia bukanlah merupakan penentu tunggal dan utama dalam perubahan masyarakat kerana alam persekitaran dalam banyak hal boleh menghasilkan kesan yang besar ke atas kelompok sesebuah masyarakat. Faktor alam hanya syarat, apabila syarat itu tidak ada maka hilanglah sumber alam untuk kehidupan.

    (ii) Pengaruh manusia ke atas alam sekitar amat nyata. Ini kerana manusia bertanggungjawab membentuk kebudayaan. Contohnya manusia membuat pagar untuk kebunnya yang luas. Pagar itu adalah hasil kerja manusia. Semakin tinggi pengetahuan, kemahiran dan teknologi sesebuah masyarakat, maka semakin besarlah kesan manusia ke atas alam. Dalam ertikata yang lain aktiviti

  • 8

    manusia merupakan faktor perubahan alam terbesar. Kadang-kadang ia boleh membina dan kadang-kadang ia boleh merosakkan.

    (iii) Pengaruh manusia ke atas manusia juga tidak boleh diperkecilkan. Sebenarnya manusia sentiasa saling pengaruh-mempengaruhi. Kumpulan besar mempunyai pengaruh yang lebih besar ke atas seseorang individu. Ini bererti terdapat tiga bentuk pengaruh sesama manusia:

    (a) Pengaruh individu ke atas individu yang lain. (b) Pengaruh kelompok ke atas individu. (c) Pengaruh individu ke atas kelompok.

    Contohnya pemimpin berkaliber dan memiliki kepimpinan berkarisma banyak mempengaruhi masyarakatnya. Definisi yang diberikan oleh Hammudah Abdalati menitik-beratkan keakraban hubungan antara anggota masyarakat. Bagi beliau keakraban hubungan antara anggota masyarakat dan adanya interaksi antara individu dengan individu yang lain secara langsung bertanggungjawab membentuk masyarakat. Ini bererti masyarakat tidak akan wujud jika tidak wujud interaksi sesama manusia dan hubungan yang akrab untuk memenuhi keperluan bersama.

    Sidi Gazalba juga menekankan faktor interaksi antara anggota masyarakat. Di samping itu beliau juga mengambil kira faktor wujudnya interaksi yang terurus dan teratur. Faktor ini penting bagi menentukan kesinambungan dan kesejahteraan masyarakat. Semakin erat interaksi dalam sesebuah masyarakat semakin kukuh, aman, selamat, sejahtera dan sentosalah masyarakat tersebut. Sebaliknya semakin tidak teratur sesebuah masyarakat, semakin lemah, pincang dan kucar-kacirlah masyarakat itu.

    Kesimpulannya, walaupun setiap sarjana yang menyumbangkan pemikiran mereka dalam memberikan definisi masyarakat mempunyai pendekatan yang berbeza, namun mereka mempunyai arah dan matlamat yang sama. Di mana individu-individu, interaksi (pergaulan) dan peraturan (kebudayaan) merupakan perkara-perkara yang diakui oleh semua sarjana ketika mengemukakan definisi masyarakat. 1.4.2 Kemunculan Masyarakat Ahli antropologi, sosiologi dan arkeologi pada keseluruhannya besependapat bahawa masyarakat manusia di dunia ini mengalami proses evolusi. Fiedrichcist (1987-1846) mengatakan bahawa masyarakat berkembang melalui lima peringkat iaitu (Ahmad Kamar, 1982: 14):

    (i) Berburu dan memancing.

  • 9

    (ii) Menternak. (iii) Bertani. (iv) Bertani dan berkejiranan. (v) Bertani, berkejiranan dan berniaga.

    Teori ini menganalisis evolusi masyarakat berdasarkan kepada kegiatan ekonomi. Masyarakat yang pertama di dunia dijelaskan oleh teori ini bergantung kepada haiwan dan ikan sebagai sumber ekonomi mereka. Masyarakat manusia maju setapak lagi apabila mereka tidak lagi memburu haiwan dan memancing ikan. Sebaliknya mereka mula menternak haiwan. Selepas itu mereka mula menjalankan kegiatan pertanian. Pertanian mereka semakin meningkat apabila mereka tidak lagi berpindah randah ke tanah lain setelah hasil pertanian dituai. Sebaliknya mengusahakan tanah yang sama dan kesuburan tanah digantikan dengan baja dan alat pertanian yang semakin berkesan. Peringkat terakhir dari evolusi masyarakat manusia menurut Frierichcist ialah apabila masyarakat pandai menjalankan perniagaan. Teori ini juga didasarkan kepada kegiatan ekonomi. Peringkat pertama ialah perekonomian yang menggunakan bahan semula jadi (alam ciptaan Allah SWT) sebagai sumber ekonomi. Contohnya menjalankan perniagaan melalui sistem pertukaran barangan dengan barangan (barter). Penggunaan wang dalam kegiatan ekonomi dianggap oleh teori ini sebagai peringkat kedua. Penubuhan institusi bank yang memberikan kredit kepada peniaga dianggap sebagai puncak perkembangan masyarakat. Tweedie (1970:2) membahagikan peringkat perkembangan masyarakat kepada lima tahap:

    (i) Zaman Batu Lama (Old Stone Age). Zaman ini juga dikenali sebagai palaelithic. Zaman ini dikatakan bermula sejak 500,000 atau 400,000 tahun yang silam. Mereka menggunakan alat yang diperbuat daripada batu kelikir seperti kapak, pahat dan pinggan mangkuk. Mereka tinggal di gua-gua dan memburu haiwan. Tahap ini dikatakan sebagai tahap tertua dalam tamadun dan masyarakat manusia di dunia ini.

    (ii) Zaman Batu Pertengahan (Middle Stone Age). Zaman ini juga dikenali sebagai Mesolithic. Zaman ini merupakan tahap kedua dalam perkembangan tamadun manusia di dunia ini. Ia dikatakan bermula sejak 25,000 tahun yang lalu dan ada pula yang mengatakan sejak 10,000 hingga 4,000 tahun yang lalu. Masyarakat manusia pada tahap ini semakin maju. Mereka telah menggunakan api untuk memasak. Mereka masih lagi menjalankan kegiatan

  • 10

    memburu haiwan, meramu makanan dan masih lagi tinggal di dalam gua (David R. Hughes, 1965: 7).

    (iii) Zaman Batu Baru (New Stone Age). Neolithic adalah istilah lain yang digunakan untuk mengenali zaman ini. Masyarakat manusia pada tahap ini telah menghasilkan alat yang diperbuat daripada besi dan tajam. Zaman ini bermula kira-kira 2,500 hingga 1,500 tahun S.M. Alat-alat yang diperbuat daripada besi secara meluas dipergunakan dalam perburuan dan kerja harian. Mereka tidak lagi tinggal di dalam gua, malahan telah mula mendirikan rumah. Tetapi rumah itu masih lagi berhampiran dengan gua. Mereka telah menggunakan pinggan mangkuk yang diperbuat daripada tembikar. Mereka telah mula menjalankan kegiatan pertanian pindah. Pinggan mangkuk digunakan untuk mengisi nasi. Mereka lebih bertamadun dan hidup dalam keadaan yang lebih rukun dan damai. Mereka dipercayai telah menghasilkan alat perhiasan seperti rantai, gelang dan sebagainya. Aktiviti pertanian mereka ialah padi huma. Di samping itu mereka masih lagi menjalankan kegiatan perburuan dengan menggunakan lembing yang diperbuat daripada besi.

    (iv) Zaman Gangsa (Bronze Age). Masyarakat manusia pada tahap ini telah bertambah maju dan menggunakan alat-alat diperbuat daripada gangsa seperti dulang, loceng dan sebagainya.

    (v) Zaman Besi (Iron Age). Zaman ini bermula sejak tahun 1000 hingga 700 S.M. Alat-alat yang dihasilkan pada masa itu diperbuat daripada besi yang bermutu tinggi. Alat-alat perhiasan yang digunakan juga tinggi mutunya. Ini membuktikan wanita zaman ini telah pandai menjaga kebersihan dan pandai pula menggunakan perhiasan. Mereka tidak lagi tinggal berhampiran dengan gua. Mereka tinggal di tanah lembah dan lereng bukit yang subur.

    Tahap evolusi yang dikemukakan di atas merupakan pendapat ahli arkeologi. Tidak hairanlah jika sekiranya mereka menjadikan alat-alat untuk berkerja sebagai kayu ukur untuk menentukan tahap evolusi masyarakat. Ini berbeza dari pendapat-pendapat terdahulu dari ini yang melihat besi dianggap oleh sejarah sebagai zaman pemisah antara prasejarah dengan zaman sejarah. Zaman sejarah ialah bermulanya tradisi penulisan rekod sejarah (Slametmuljono, 1964: 31).

    Al Farabi (870-950M) juga tidak ketinggalan dalam memberikan pandangan tentang kemunculan masyarakat. Beliau memulakan

  • 11

    perbincaraannya dengan menekankan sifat semula jadi manusia. Bibit pertama pertumbuhan masyarakat bermula dari naluri semula jadi keperluan setiap individu kepada individu yang lain. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain dalam segala bidang kehidupan. Mereka sentiasa tolong-menolong dan sifat ini akhirnya menjadikan manusia hidup berkelompok.

    Kelompok-kelompok ini akhirnya melahirkan sebuah masyarakat. Pada peringkat permulaan kehidupan manusia ini, tiga perkara penting menjadi asas kehidupan mereka iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Keperluan kepada tiga unsur ini menyebabkan sesebuah masyarakat itu akan terbentuk dari empat kumpulan dan inilah yang dijelaskan sebagai masyarakat desa (Idris Zakaria, 1986: 80):

    (i) Petani.

    (ii) Pembuat rumah.

    (iii) Penenun kain.

    (iv) Pembuat kasut.

    Tetapi apabila sesebuah masyarakat itu semakin berkembang, empat kumpulan lain diperlukan. lnilah yang dikatakan sebagai masyarakat kota:

    (i) Tukang kayu.

    (ii) Tukang besi.

    (iii) Saudagar.

    (iv) Peniaga runcit.

    Ibnu Khaldun (1332-1406M) juga tidak ketinggalan dalam memberikan pandangannya berkaitan dengan kemunculan masyarakat. Beliau menjelaskan bahawa manusia dari segi tabiatnya merupakan makhluk yang lemah. Kelemahan ini amat jelas sekali jika ditinjau secara dekat ke atas individu-individu tertentu. Misalnya dalam usaha memenuhi keperluan asas seperti makanan. Kelemahan manusia tidak dapat dinafikan. Untuk mendapatkan makanan sesuap pagi dan sesuap petang, manusia terpaksa bertungkus-lumus sepanjang hari kerana perlu kepada bercucuk tanam.

    Dalam usaha menghasilkan makanan, kekerdilan manusia jelas kelihatan kerana ia memerlukan alat-alat tertentu untuk membantunya menjalankan kegiatan perekonomian. Tanpa alat bantuan ini manusia menghadapi kesukaran. Oleh kerana lemahnya individu manusia, maka ia memerlukan hidup berkelompok agar dapat tolong-menolong dan bergotong-royong dalam menyempurnakan keperluan mereka secara kolektif (Osman Din, 1981: 19).

  • 12

    Demikian juga dalam hal memenuhi segala keperluan kehidupan manusia yang lain seperti menjamin keselamatan dan sebagainya. Oleh itu, keperluan hidup bermasyarakat merupakan naluri semula jadi yang mesti ada pada setiap manusia. Masyarakatlah yang bertanggungjawab menjamin dan mengekalkan kehidupan yang aman, selamat, sejahtera dan harmoni bagi manusia.

    Kewujudan masyarakat bemula dari individu-individu. Dari situlah terbentuknya satu organisasi masyarakat yang terikat kepada satu norma dan nilai yang dipatuhi bersama oleh setiap anggota masyarakat. Ibnu Khaldun selanjutnya menegaskan bahawa kemunculan masyarakat adalah satu ketentuan daripada Allah SWT atau sunnatullah. Beliau menjelaskan bahawa masyarakat secara keseluruhannya tidak banyak dipengaruhi oleh individu-individu tetapi banyak dipengaruhi oleh tekanan iklim, pemakanan, hubungan rapat antara satu sama lain, kekayaan dan sebagainya (Ahmad Kamar, 1982: 30).

    Walaupun hebat dalam bidang sosiologi, namun nama Ibnu Khaldun kurang ditonjolkan oleh ahli-ahli sosiologi kini. Mereka lebih mengagungkan nama seperti Auguste Comte, Max Weber, Karl Marx, Thomas Hobbes, John Stuart Mill, Macheavilli dan lain-lain. Sedangkan sumbangan Ibnu Khaldun lebih besar dan lebih awal daripada mereka. Malahan mereka banyak mengambil teori Ibnu Khaldun dan memperkembangkannya pada masa kini.

    1.4.3 Ciri Masyarakat

    Brownel menyenaraikan lima ciri masyarakat (Musa Ahmad, 2006: 8-9):

    (i) Kelompok-kelompok jiran yang mengenali antara satu dengan yang lain.

    (ii) Kelompok itu menyeluruh dirangkumkan dalam kaedah umur, jantina, kepintaran, fungsi dan pertolongan, sifat gotong-royong antara satu dengan lain.

    (iii) Ia terbendung dalam kelompok berkerjasama, terdapatnya kebanyakan daripada aktiviti-aktiviti besar dalam penghidupan yang dianjurkan bersama.

    (iv) Mempunyai perasaan kasih atau sence of belonging, di samping mempunyai identiti kelompok (group identity) dan perpaduan.

    (v) Kelompok yang kecil seperti keluarga, desa atau pekan kecil di mana seseorang itu dapat berkenalan rapat sesama mereka.

  • 13

    SOALAN DALAM TEKS

    3. Berikan tiga (3) peringkat evolusi manusia menurut Hidebrand.

    4. Terangkan apa yang anda faham dengan Zaman Besi?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    1.5 KEBUDAYAAN

    1.5.1 Definisi Kebudayaan

    Kamus al Munjid Fi al Lughah wa al Alam menjelaskan bahawa perkataan al thaqafah adalah perkataan yang paling tepat untuk defenisi kebudayaan dalam bahasa Arab. Ia merupakan tingkat-tingkat kemajuan yang dicapai oleh manusia untuk memperbaiki taraf hidup mereka meliputi bidang ilmu pengetahuan, sains, teknologi, ekonomi, bahasa, kesusasteraan, seni rupa, seni bina dan sebagainya (Al-Munjid, 1973: 71).

    Kamus Collins Gem English Dictionary menjelaskan bahawa perkataan culture merupakan perkataan yang paling sesuai untuk definisi kebudayaan dalam bahasa Inggeris. Ia merupakan cara hidup manusia di dalam kedua-dua bidang iaitu pemikiran dan kebendaan yang meliputi agama, ilmu pengetahuan, sains teknologi, ekonomi, undang-undang, seni bina dan sebagainya. Ia diwarisi dari satu generasi ke generasi lain dan berbeza dari satu masyarakat ke satu masyarakat yang lain (Collins, 1982: 126).

    Dalam bahasa Melayu, Kamus Dewan menjelaskan bahawa pekataan kebudayaan berasal dari empat suku kata iaitu ke, budi, daya dan an. Ke dan an merupakan penambahan di awal dan di akhir bagi menyempurnakan kata nama. Budi membawa maksud akal atau fikiran. Daya pula membawa maksud usaha dan ikhtiar. Ia membawa maksud segala daya usaha manusia untuk mengatasi segala masalah kehidupan mereka dan usaha menyesuaikan diri dengan alam persekitaran. Segala-galanya tersirat di dalam ilmu pengetahuan, sains, teknologi, ekonomi, falsafah, bahasa, kesusasteraan, seni bina dan sebagainya (T.Iskandar, 1971: 137).

  • 14

    Kesimpulannya, kebudayaan ialah cara hidup dan pencapaian manusia dalam bidang pemikiran dan kebendaan yang meliputi ilmu pengetahuan, falsafah, teknologi, ekonomi, politik, kesenian, bahasa, kesusasteraan dan sebagainya. 1.5.2 Unsur Budaya (a) Kebudayaan sejagat Berikut merupakan unsur-unsur yang terdapat dalam setiap kebudayaan di dunia ini. Herskovits (1948) menyenaraikan empat unsur (Ismail Yuosf, 2003: 120):

    (i) Alat teknologi. (ii) Sistem ekonomi. (iii) Keluarga. (iv) Kekuasaan politik.

    Kluckhohn (1953) menyenaraikan tujuh unsur:

    (i) Peralatan dan kelengkapan hidup manusia. Kebendaan dan teknologi.

    (ii) Mata pencarian dan sistem ekonomi. (iii) Sistem sosial. (iv) Bahasa. Unsur pertama dipelajari lebih awal daripada

    agama dan adat resam. (v) Kesenian. (vi) Pengetahuan. (vii) Agama.

    (b) Aktiviti kebudayaan Ia meliputi perburuan, penternakan, perdagangan, berkebun dan sebagainya. (c) Kompleks unsur-unsur Termasuk sistem pemilikan tanah, teknik menanam, membajak dan lain-lain. (d) Unsur-unsur tret kebudayaan Ia mengandungi unit kebudayan paling mudah sama ada kebendaan seperti anak panah dan sebatang pena atau bukan kebendaan seperti berjabat tangan.

  • 15

    (e) Faktor pengaruhi kebudayaan

    Dawson di dalam bukunya The Source of Cultural Change, menyenaraikan empat faktor (Ismail Yusof, 2003: 124):

    (i) Persekitaran - Iaitu keadaan penempatan manusia. Yang utama ialah keadaan muka bumi, iklim dan sebagainya.

    (ii) Bangsa dan etnik - Kepelbagaian bangsa, ras dan etnik mempengaruhi corak kebudayaan.

    (iii) Psikologi.

    (iv) Ekonomi - Penghidupan berekonomi mencorakkan kebudayaan.

    Fischer di dalam bukunya Anthropology menyenaraikan tiga faktor (Ismail Yusof, 2003: 124):

    (i) Lingkungan hidup.

    (ii) Ras dan etnik.

    (iii) Interaksi antara-bangsa dan masyarakat. Interaksi antara-bangsa dan masyarakat semestinya saling pengaruh mempengaruhi kebudayaan yang mereka miliki.

    (f) Perubahan kebudayaan

    Dua jenis perubahan:

    (i) Dalaman yang dibawa seseorang ke dalam sesebuah masyarakat seperti idea, konsep dan penemuan baru.

    (ii) Luaran hasil dari interaksi antara etnik dan antara-bangsa berlaku pengaruh- mempengaruhi dan pinjam-meminjam.

    (g) Peminjaman kebudayaan

    Tiga jenis peminjaman kebudayaan:

    (i) Difusi - Ia membawa maksud penyebaran dan pemindahan unsur-unsur dari satu kebudayaan ke dalam kebudayaan lain.

    (ii) Akulturasi - Berlaku akibat percantuman dua kebudayaan atau lebih.

    (iii) Asimilasi - Penyesuaian sesuatu kebudayaan dengan kebudayaan lain.

  • 16

    (h) Sikap terhadap kepelbagaian kebudayaan Terdapat tiga sikap terhadap kepelbagaian kebudayaan:

    (i) Etnocentrisme - Melihat sesuatu berasaskan kepada bangsa

    dan kebudayaan sendiri. Lantas memandang rendah terhadap kebudayaan lain (Superiority complex).

    (ii) Xenocentrisme - Melihat kebudayaan sendiri lebih rendah dari kebudayaan orang lain (inferiority complex).

    (iii) Relativisme - Menilai sesuatu kebudayaan sebagai sesuatu yang relatif kerana ia tidak dapt dinilai secara objektif. Penilian sesuatu kebudayaan itu ditentukan oleh perspektif kebudayaan itu sendiri.

    JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

    1. Betul 2. Betul

    3. (i) Perekonomian natural.

    (ii) Perekonomian menggunakan wang. (iii) Perekonomian menggunakan kredit.

    4. Zaman ini bermula sejak tahun 1000 hingga 700 S.M. Alat-alat yang dihasilkan pada masa itu diperbuat dariapda besi yang bermutu tinggi. Alat-alat perhiasan yang digunakan juga tinggi mutunya. Ini membuktikan wanita zaman ini telah pandai menjaga kebersihan dan pandai pula menggunakan perhiasan. Mereka tidak lagi tinggal berhampiran dengan gua. Mereka tinggal di tanah lembah dan lereng bukit yang subur.

  • 17

    BAB 2

    MASYARAKAT MALAYSIA DALAM SEJARAH

    OBJEKTIF BAB

    Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:

    1. Memahami konsep masyarakat plural.

    2. Memahami sejarah awal masyarakat Malaysia.

    3. Memahami sejarah masyarakat plural di Malaysia.

    4. Memahami masyarakat plural baharu di Malaysia.

    2.1 PENGENALAN

    Malaysia merupakan salah sebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai keturunan, etnik, warna kulit, agama, bahasa, kebudayaan dan adat resam yang tersendiri. Ia merupakan satu-satunya negara masyarakat plural yang paling berjaya di alaf baru ini dalam mengekalkan keamanan dan perpaduan. Masyarakat majmuk mempunyai konsepnya dan sejarah yang tersendiri di Malaysia.

    2.2 KONSEP PLURALITI

    2.2.1 Definisi Bahasa

    Perkataan plural berasal dari perkataan Inggeris iaitu plurality. Akar kata asalnya ialah plural. Ia membawa maksud lebih dari satu, jumlah besar dan majoriti (Collins, 1983:403). Perkataan ini dipinjam secara langsung oleh bahasa Melayu menjadi plural. Perkataan ini baru sahaja digunakan dalam bahasa Melayu menjelang alaf baru ini.

    Sebelum ini istilah majmuk digunakan. Ia dipinjam terus dari perkataan Arab iaitu majmu. Asal akar katanya ialah jama yang membawa maksud mengumpulkan dan menghimpunkan. Ijma membawa maksud permuafakatan dan persatuan. Ijmamembawa maksud perkumpulan dan perhimpunan. Majmu membawa maksud yang dihimpunkan dan yang dikumpulkan (Idris al Marbawi, 1950: 108).

  • 18

    Ia dipinjam oleh bahasa Melayu dan digunakan secara meluas dalam disiplin ilmu sejarah, kenegaraan, sains politik dan sosiologi. Majmuk dalam bahasa Melayu menurut Kamus Dewan didefinisikan sebagai kumpulan manusia yang hidup di sesuatu tempat, mengikut peraturan dan cara hidup tertentu yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, ras atau etnik, negara, keturunan, bahasa, warna kulit dan adat resam (T. Iskandar, 1971: 701).

    2.2.2 Definisi Istilah

    Istilah plural pertama kali diperkenalkan oleh J.S. Furnival di dalam bukunya Colonial policy and practice: A comparetive study of Burma and Netherland India (Ting Chew Peh, 1979: 71).

    Kajian itu dilakukan ke atas masyarakat plural di Burma dan Indonesia. Ia digunakan untuk menghuraikan tentang masyarakat yang mempunyai ciri-ciri perpecahan dan konflik antara kumpulan etnik di bawah satu sistem pemerintahan atau politik. Dalam lain perkataan, plural membawa maksud masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik yang mempunyai agama, budaya, bahasa, adat resam dan sebagainya yang tersendiri, berbeza di antara satu sama lain.

    2.2.3 Perspektif Politik

    Setelah itu, muncul ramai pakar sosiologi yang membicarakan tentang masyarakat plural. Perbezaan pendapat merupakan satu fitrah manusia. Terdapat dua kumpulan berdasarkan pandangan dari sudut politik iaitu (Ting Chew Peh, 1979: 72):

    (i) Pendapat pakar sosiologi dahulu atau lama yang bersependapat, menegaskan bahawa masyarakat plural terdiri daripada kelompok yang wujud pembahagian kuasa politik. Mereka disatukan berasaskan kepada ketaatan dan kesetiaan yang mencorakkan nilai bersama (cross-cutting). Contohnya ialah di Amerika Syarikat, sebagai sebuah negara demokrasi yang stabil yang dicorakkan oleh kerajaan.

    (ii) Pendapat pakar sosiologi terkemudian atau baharu yang bersependapat, menegaskan bahawa masyarakat plural adalah masyarakat yang terbentuk berasaskan kepada hubungan etnik dan ras yang berlainan di bawah satu sistem pemerintahan.

  • 19

    2.2.4 Perspektif pemerintahan

    Dari sudut golongan pemerintah juga terbahagi kepada dua kumpulan pendapat iaitu (Ting Chew Peh, 1979: 73):

    (i) Golongan pemerintah adalah dari kaum majoriti atau golongan terbesar. Pendapat ini dikemukakan oleh M.O. Smith dan L.A. Depres. Ia diasaskan kepada penelitian terhadap masyarakat secara keseluruhannya. Di mana pada hakikatnya wujud jurang perbezaan kaum di dalam masyarakat plural. Namun demikian penguasaan politik tetap berada di tangan golongan terbesar. Jika dicabar, kerajaan boleh bertukar menjadi kerajaan satu parti. Mungkin berakhir dengan pemerintahan ketenteraan.

    (ii) Golongan pemerintah adalah terdiri dari etnik minoriti. Pendapat ini diketengahkan oleh Evans dan Newham. Pertapakan kuasa asing atau kuasa luar di sesebuah negara, bermulalah pemerintahan ke atas golong bawahan tempatan. Wujud jurang pemisah antara golongan bawahan dengan golongan pemerintah. Kuasa asing ini bukan sahaja mendominasi kuasa politik malah kuasa ekonomi negara tersebut. Implikasinya ialah wujudnya ketidak-seimbangan etnik dan kebudayaan. Pihak pemerintah memisahkan pusat kota metropolitan dari koloninya dan menguat-kuasakan pemerintahan dari situ. Mereka selanjutnya melakukan penindasan ke atas golongan bawahan. Mereka juga membawa masuk imigran untuk membangun dan menguasai ekonomi dan sosio-budaya tempatan. Penjajah selanjutnya menggariskan peraturan tertentu ke atas golongan dijajah, menggubal dasar awam, pentadbiran, undang-undang, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya.

    2.2.5 Perspektif Sosial dan Budaya

    Dari sudut sosial dan budaya juga terdapat dua pendapat yang berbeza:

    (i) Plural dari segi sosial. Di mana masyarakat plural lahir hasil dari perbezaan struktur sosial dari kalangan pelbagai etnik atau sosial, bukan berasaskan budaya.

    (ii) Plural dari segi budaya. Di mana kelahiran masyarakat plural itu berlaku atas dasar perbezaan budaya antara pelbagai etnik, bukan perbezaan struktur sosial.

  • 20

    2.2.6 Ciri

    Dari sudut ciri masyarakat plural pula terdapat juga dua pendapat yang bertentangan (Ting Chew Peh, 1979: 72):

    (i) Mesti wujud konflik. Pendapat ini dikemukakan oleh

    ramai pakar sosiologi. Pendokong Marxist contohnya menolak faktor etnik sebagai asas politik dan pemerintahan sesebuah masyarakat plural. Sebaliknya konflik kelas antara golongan bourgeoisie (kapitalis/pemerintah) dengan golongan proletariat (pekerja/petani). Mereka menegaskan bahawa koflik antara etnik dan penindasan merupakan satu aspek hubungan kelas.

    Kesedaran perkauman pada hemat mereka adalah kesedaran palsu. Konflik kelas dalam masyarakat plural bukan kerana wujudnya perbezaan kaum, sebaliknya merupakan perbezaan kelas. Marxist mencadangkan jalan penyelesaian konflik kelas dalam masyarakat plural melalui revolusi bersenjata dan berdarah golongan plolitariat ke atas golongan bourgeoise.

    Pendapat yang lebih kurang sama dikemukakan oleh John Rex. Beliau menegaskan bahawa walaupun wujud sistem sosial sebagai syarat penting dalam memahami masyarakat plural tetapi konflik antara etnik lebih ketara dari konsensus dalam masyarakat plural. Beliau menegaskan lagi bahawa konflik dan ketegangan di dalam masyarakat majmuk akan lebih mudah terjadi jika perbezaan etnik itu berlaku atas garis ekonomi.

    Pendapat ini merumuskan bahawa ciri utama masyarakat plural ialah meluasnya konflik, percanggahan, ketegangan dan paksaan. Konflik mudah terjadi apabila ketiadaan kosensus nilai dan kepelbagaian kebudayaan. Sememangnya wujud autonomi dalam bidang kebudayaan antara bahagian di dalam sistem sosial masyarakat plural. Paksaan dan pergantungan dari segi ekonomi, dasar integrasi sosial, tetapi pemisahan garis ekonomi antara etnik menyebabkan kurang interaksi antara etnik. Contohnya antara pekedai dengan petani. Interaksi berlaku sebentar ketika urusan jual beli produk masing-masing. Hubungan di dalam sesuatu kelompok berbentuk prima dan hubungan dengan kelompok lain sebagai pilihan, sekunder dan segmental.

  • 21

    (ii) Tidak mesti wujud konflik. Pendapat ini dikemukakan oleh pakar sosiologi Functional. Mereka menyangkal mesti wujud konflik sebagai ciri utama masyarakat plural. Selanjutnya mereka mengkritik teori tersebut di atas dan menganggapnya sebagai teori yang lemah kerana mengabaikan aspek perpaduan. Teori yang mengutamakan kewujudan konflik di dalam masyarakat plural yang analisisnya berasaskan kebudayaan dianggap tidak sesuai oleh pakar sosiologi functional.

    Hal ini disebabkan, ia mengabaikan fenomena sosial dan tidak menghiraukan ikatan sosial antara kelompok atau etnik. Pendekatan masyarakat istimewa yang digunakan oleh teori yang menekankan mesti wujud konflik di dalam masyarakat plural juga tidak sesuai. Sanggahan ini dikemukakan oleh pakar sosiologi functional atas alasan bahawa masyarakat plural bukan sebuah masyarakat istimewa. Ia tidak berbeza dari masyarakat biasa yang mempunyai susun lapis yang kompleks atau masyarakat yang mempunyai masalah etnik minoriti.

    Mereka berhujah lagi, masyarakat plural terbina daripada beberapa bahagian yang membentuk satu kesatuan dari segi politik, sosial, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya di sesuatu tempat yang bersatu padu. Dari segi politik masyarakat plural berada di bawah satu sistem yang berganding bahu walaupun mereka hidup berasingan, interaksi yang kurang dan terbatas dalam hal jual beli di pasar. Ekonomi mereka juga terpisah mengikut garis etnik. Di mana setiap etnik berfungsi di dalam sektor ekonomi yang tersediri. Ini tidak bererti mereka berpecah-belah kerana disatukan oleh satu sistem politik.

    2.2.7 Tingkat

    Masyarakat plural mempunyai tingkat-tingkatnya yang tersendiri. Ada masyarakat plural yang lebih tinggi kedudukannya dari masyarakat plural yang lain. Contohnya di Afrika Selatan yang terdiri daripada empat etnik utama iaitu etnik berkulit putih, etnik berkulit hitam, etnik rendah dan lain-lain etnik. Di Amerika Syarikat terdiri dari dua kumpulan etnik utama iaitu etnik berkulit putih dan etnik berkulit hitam. Di Malaysia mempunyai tiga etnik utama iaitu Melayu, Cina dan India, di samping 200 etnik kecil di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

  • 22

    2.3 SEJARAH AWAL MASYARAKAT MALAYSIA

    Semenanjung Tanah Melayu mula didiami oleh manusia sejak 25,000 tahun yang lalu. Tetapi mereka pupus. Etnik yang terus dapat bertahan hingga hari ini adalah seperti berikut: 2.3.1 Pribumi-Orang Asli Penduduk Semenanjung Tanah Melayu yang terus kekal hingga hari ini ialah pribumi yang terdiri dari dua kumpulan iaitu iaitu Orang Asli dan Melayu. Penduduk etnik Orang Asli di Semenanjung Tanah Melayu menjelang tahun 1995 berjumlah 95,362. Secara kasar mereka boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan besar (Fauziah Shaffie 2000: 256):

    (i) Negrito yang terjurai enam klan iaitu Kintak, Kensiu, Jahai, Menderiq, Bateq dan Lanoh.

    (ii) Senoi pula terjurai enam klan juga iaitu Temiar, Semai, Che Wong, Jahut, Semoq Beri dan Mahmeri.

    (iii) Melayu Asli juga terjurai kepada enam klan iaitu Temuan, Semelai, Jakun, Seletar, Orang Kanak dan Orang Kuala.

    Etnik Negrito mempunyai kepercayaan kepada ketuhanan iaitu Karai (Karei), Orang Hidup dan Tok Pedin. Mereka mempunyai kepercayaan dosa dan pahala serta pembalasan di akhirat. Etnik Senoi mempunyai kepercayaan ketuhanan sama seperti etnik Negrito. Etnik Melayu Asli pula percaya kepada animisme. Namun demikian di kawasan yang kurang percampuran dengan masyarakat Melayu iaitu di kawasan pedalaman, kepercayaan mereka adalah lebih kurang sama dengan etnik Negrito dan Senoi. Mereka tinggal di pedalaman. Justeru itu mereka rata-rata tidak terpengaruh dengan Hinduisme, Budhisme dan Islam kecuali selepas Malaysia mencapai kemerdekaan dengan adanya kegiatan dakwah Islamiah maka sebahagian orang Asli telah menerima Islam. 2.3.2 Etnik Melayu Etnik Melayu merupakan penduduk terbesar di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Mereka bermastautin di Malaysia sejak 2,500 S.M. Terdapat juga di selatan Thailand, Filipina dan merata-rata tempat di Alam Melayu. Mereka termasuk dalam kelompok Austronesia yang bertutur dalam bahasa Melayu dan dikaitkan dengan sejarah Orang Melayu Asli (Proto Malay). Penulisan secara jelas tentang etnik Melayu telah bermula di zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka (abad ke-15).

  • 23

    Sebelum kedatangan lslam etnik Melayu percaya kepada animisme, Hinduisme dan Budhisme. Etnik Melayu telah menerima Islam secara rasmi mulai abad ke-15. Islam mempunyai pengaruh yang amat besar, luas dan mendalam ke atas etnik Melayu, sama ada dari segi rupa, bentuk, luaran atau dalaman sehinggakan etnik Melayu dan Islam disinonimkan dan tidak dapat dipisahkan.

    Islam mempengaruhi kehidupan etnik Melayu dalam beragama, pendidikan, ilmu pengetahuan, bahasa, kesusasteraan, adat resam, kebudayaan, kesenian dan sebagainya. Yang lebih utama lagi Islam bertanggungjawab menubuhkan kerajaan-kerajaan Melayu Islam bermula sejak zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka dalam abad ke ke-15 di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Etnik Melayu merupakan etnik yang pertama menegakkan pemerintahan dan kerajaan-kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu. Mereka sebagai etnik utama dan tunggak utama masyarakat plural di Malaysia.

    2.3.3 Etnik Cina Etnik Cina merupakan etnik kedua terbesar di Semenanjung Tanah Melayu selepas etnik Melayu. Hubungan tanah besar Cina dengan Semenanjung Tanah Melayu telah wujud sejak sekian lama iaitu sejak kelahiran kerajaan maritim di rantau ini. Contohnya kerajaan Langkasuka di Kedah, yang diasaskan pada tahun 100M. 2.3.4 Etnik India Etnik India merupakan etnik ketiga terbesar selepas etnik Melayu dan Cina di Semenanjung Tanah Melayu. Hubungan benua kecil India dengan Semenanjung Tanah Melayu telah lama wujud melalui perdagangan. Hinduisme bertanggungjawab menubuhkan kerajaan-kerajaan maritim Hindu-Budha di Alam Melayu termasuk kerajaan Langkasuka di Kedah sebelum penubuhan kerajaan Melayu Melaka lagi.

    2.3.5 Zaman Kesultanan Melayu Melaka Pada zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka, ramai pedagang-pedagang dari Arab, Cina, India dan lain-lain kepulauan Melayu datang ke Melaka. Melaka sejak itu menjadi bandar kosmopolitan yang penduduknya terdiri daripada pelbagai etnik. Sejumlah kecil yang bermastautin tetap tinggal di situ. Tetapi tidak melahirkan masyarakat plural kerana mereka diasimilasikan ke dalam masyarakat Melayu yang dikenali sebagai komuniti baba. Masyarakatnya terdiri daripada pelbagai etnik tetapi tetap mengamalkan budaya tempatan. Sebab itulah ia tidak dikategorikan sebagai masyarakat plural (Fauziah Shaffie 2000: 257).

  • 24

    SOALAN DALAM TEKS

    1. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu

    berfahaman Hindu/Buddha sahaja. Betul/Salah

    2. Istilah plural pertama kali diperkenalkan oleh J.S. Furnival di dalam bukunya Colonial Policy and Practice: A comparetive Study of Burma and Netherland India (Ting Chew Peh 1979:71). A. J. S Furnival B. A.B Meidevel C. R.O Winsteadt D. B. Harrison

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    2.4 MASYARAKAT PLURAL 2.4.1 Kemunculan Masyarakat plural di Semenanjung Tanah Melayu hanya bermula selepas kemasukan orang Cina dan India secara besar-besaran, bermula apabila berlaku campur tangan Inggeris di Tanah Melayu untuk memajukan sektor ekonomi perlombongn bijih timah dan ladang getah mulai tahun 1848. Dalam tahun 1870-an penduduk Tanah Melayu hanya berjumlah 500,000 orang. Jumlah itu meningkat secara mendadak. Contohnya pada tahun 1921 berjumlah 3.3 juta orang (Fauziah Shaffie, 2000: 270). 2.4.2 Ciri Masyarakat Plural Malaysia Ciri-ciri utama masyarakat pural Malaysia adalah seperti berikut (Mohamad Idris Saleh, 1998: 30-35): (a) Ekonomi Pemisahan etnik berlaku atas perbezaan bidang ekonomi sekaligus menyebabkan berlakunya pemisahan dari segi demografi. Etnik Cina di lombong bijih, etnik India di estet getah dan etnik Melayu di pedalaman dan menyebabkan interaksi dan sosialisasi antara tiga etnik utama ini adalah terhad dalam jual beli sahaja di pasar dan kedai.

  • 25

    Mereka mengamalkan agama, kebudayaan dan adat resam masing-masing. Asimilasi etnik Cina dan India ke dalam masyarakat Melayu sepertimana yang berlaku di zaman Kesultanan Melayu Melaka tidak berlaku. Itulah yang dimaksudkan dengan masyarakat plural. Plural dari segi masyarakat dan plural dari segi budaya.

    Sejak itu jumlah penduduk etnik Cina mengatasi etnik Melayu. Misalnya dalam tahun 1931, 53% penduduk Tanah Melayu terdiri daripada etnik Cina. Sedangkan etnik Melayu hanya 44.7%. Ketika Malaysia mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957, penduduk etnik Melayu mengatasi semula etnik-etnik lain dengan menguasai 49.8%, etnik Cina 37.2%, etnik India 11.3% dan etnik-etnik lain 1.8%.

    Hal ini disebabkan berlakunya migrasi sub-etnik Melayu dari seluruh Alam Melayu terutama dari Indonesia. Seluruh penduduk Alam Melayu dan Indonesia adalah etnik serumpun yang semuanya beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan kebudayaan dan adat resam Melayu (Fuziah Shaffie, 2001: 259).

    Migrasi itu sebenarnya telah bermula sejak abad ke-15 lagi. Contohnya etnik Jawa sebagai masyarakat perdagangan di samping pedagang Arab dan India dan Cina di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Mereka meninggalkan Melaka apabila ia dijajah oleh Portugis mulai tahun 1511.

    Etnik Jawa berhijrah semula ke Malaysia menjelang abad ke-19 terutama di negeri-negeri Selat sebagai pedagang kecil, kelasi dan orang gaji. Mereka juga berhijrah ke negeri-negeri lain di Malaysia terutama Johor melalui Singapura. Mereka juga berhijrah ke Selangor dan Perak sebagai peneroka.

    Sebelum itu etnik Minangkabau dari Sumatera Barat telah bermastautin di Negeri Sembilan sejak abad ke-14. Proses itu berlanjutan hingga abad ke-17. Orang Bugis dari Sulawesi pula bermastautin di Selangor, Perak dan Johor.

    Dari segi komposisi dan bilangan penduduk Indonesia yang berhijrah ke Malaysia, etnik Jawa merupakan kumpulan terbesar. Dalam tahun 1930, jumlah mereka lebih dari 17,000 orang, kemuudian diikuti oleh etnik Minangakabau, Banjar dan Bugis (Fuziah Shaffie, 2001: 263).

    (b) Agama

    Aspek agama merupakan ciri masyarakat plural Malaysia yang terpenting. Jadual 1.1 ini menerangkan perangkaan l957.

  • 26

    Jadual 1.1

    Agama Etnik Peratus

    Islam Buddha Confucious/Taoisme Hinduism Kristian

    Melayu Cina/India Cina India Cina/India dll

    53 17.3 11 7 7

    Umat Islam merayakan beberapa perayaan penting di sepanjang tahun Hijriah. Antaranya adalah sambutan Awal Muharram, Maulidur Rasul, Nuzul al-Quran, Idil Fitri dan Idil Adha. Penganut Buddha mengutamakan perayaan hari Wesak. Penganut Konfusius dan Toisme memuja roh dato nenek, merayakan hari jadi dewa-dewa yang dipuja dan diraikan pada setiap tahun. Penganut Hinduisme merayakan hari Deepavali dan Thaipusam. Penganut Kristian merayakan hari Krismas dan Easter. (c) Pendidikan Sebelum kemerdekaan Malaysia 1957, pendidikan Melayu bersifat tradisional yang berteraskan pengajian al-Quran dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Pendidikan Cina juga bersifat tradisional iaitu berasaskan pengetahuan klasik konfusius yang masih berorientasikan tanah besar Cina. Pendidikan India menggunakan bahasa Tamil sebagai pengantar di mana kebanyakan buku teks diimport dari India yang memberi pengetahuan mengenai kebudayaan, sejarah dan geografi benua kecil India. (d) Politik Demi kepentingan politik dan ekonomi, penjajah Inggeris menjalankan dasar divide and rule. Pemisahan etnik Melayu, Cina dan India disengajakan melalui faktor ekonomi dan demografi. Sebab itulah hanya etnik Melayu tetap menumpukan kesetiaan mereka kepada Tanah Melayu. Sedangkan etnik Cina pula kesetiaan mereka berkiblatkan tanah besar China. Etnik India pula berkiblatkan benua kecil India. Ia tergambar dalam perjuangan awal menuntut kemerdekaan dari Inggeris sebelum dari tahun 1945 hingga 1957. Perpecahan dan konflik antara etnik tidak dapat dielakkan. Masalah ini diserahkan kepada entik-etnik tersebut untuk menyelesaikannya setelah mencapai kemerdekaan tahun 1957. Masyarakat plural di Malaysia bertanggungjawab mengurus kumpulan masing-masing. Mereka bersaing antara satu sama lain untuk merebut

  • 27

    sumber yang terhad. Keadaan ini diperburukkan lagi dengan kewujudan setengah pemimpin etnik tertentu yang mengambil kesempatan untuk meraih populariti dan sokongan dari etnik masing-masing. Kegagalan satu kumpulan membawa kejayaan kepada kumpulan lain. Ketegangan entik kian meningkat. Pertelingkahan, konflik dan perbalahan berlaku. Keganasan kadangkala tidak dapat dielakkan.

    (e) Kebudayaan

    Setiap etnik utama di negara ini mewarisi tamadun dan kebudayaan besar dunia. Etnik Melayu dengan warisan tamadun dan kebudayaan Melayu, etnik Cina mewarisi tamadun dan kebudayaan antara yang tertua di dunia dari tanah besar China dan etnik India mewarisi tamadun dan warisan terkenal dari benua kecil India.

    SOALAN DALAM TEKS

    3. Jelaskan sistem pendidikan Negara sebelum tahun

    1957. 4. Senaraikan perayaan yang disambut oleh umat Islam

    pada setiap tahun.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    2.5 MASYARAKAT PLURAL BARU Masyarakat plural Malaysia berwajah baru selepas tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963 dengan kemasukan Sabah dan Sarawak. 2.5.1 Etnik Sabah Sabah merupakan salah sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai penduduk seperti Semenanjung Tanah Melayu. Etnik Cina bermastautin di bandar-bandar utama. Di Sabah etnik peribumi lebih ramai jumlahnya. Mereka boleh dibahagikan mengikut pembahagian pertempatan mereka seperti berikut:

    (a) Persisiran

    Penduduk peribumi di pesisiran pantai Sabah terdiri daripada keturunan seperti berikut:

  • 28

    (i) Orang Brunei - Majoriti mereka berhijrah ke Sabah dalam abad ke-16. Kebanyakan mereka bekerja sebagai pedagang dan pentadbir. Mereka tinggal di barat daya pantai Sabah seperti di Padas, Kalias, Papar dan Kimanis. 100% orang Brunei beragama Islam sama seperti etnik Melayu di Semenanjung Malaysia.

    (ii) Orang Bajau - Mereka berasal dari Pulau Sulu dan Mindanau, selatan Filipina yang berhijrah ke Sabah dalam abad ke-18. Mereka bermastautin di barat daya Sabah yang berpusat di Kota Belut. Mereka juga bermastautin di pantai timur Sabah yang berpusat di Semporna dan Pulau Timbang. Di pantai timur Sabah, mereka dikenali sebagai orang samal. Pekerjaan mereka adalah sebagai petani dan pesawah padi. Sama seperti orang Brunei, mereka 100% beragama Islam. Mereka mempunyai amalan tradisi tersendiri seperti upacara ngedung iaitu amalan

    bertukar-tukar juadah makanan dan upacara bertindik. (iii) Orang Suluk - Mereka berasal dari Pulau Sulu, selatan

    Filipina. Pekerjaan mereka adalah sebagai ahli perniagaan, pengutip hasil laut dan pengutip hasil hutan. Pertempatan utama mereka ialah di Marudi, Sandakan dan Lahad Datu. Dari kalangan mereka telah lahir ramai pemimpin terkenal seperti Syarif Umar. Sama seperti orang Brunei dan Bajau mereka beragama Islam.

    (iv) Orang Kadazan - Mereka merupakan etnik pribumi yang terbesar di Sabah. Mereka tinggal di lembah Ranau dan lembah Tambunan. Dari segi agama mereka percaya kepada Kino-ringan iaitu kuasa pencipta bumi dan makhluk lain. Sebahagian mereka beragama Kristian. Mereka juga mempunyai sistem kehakiman tradisi yang tersendiri iaitu Mahkamah Anak Negeri. Ia mengendalikan undang-undang adat orang Kadazan. Anggota mahkamah itu terdiri daripada ketua rumah panjang, orang-orang tua masyarakat tersebut. Orang Kadazan juga kaya dengan pesta seperti Pesta Menuai. Di pesta ini Tarian Samazau dipersembahkan.

    (b) Pendalaman Di kawasan pendalaman Sabah, penduduk utamanya ialah Orang Murut. Pusat pertempatan mereka ialah Tenom, Rundum dan Pesiangan. Tempat tinggal mereka ialah di dalam rumah panjang. Sumber ekonomi mereka bergantung kepada padi huma, memburu binatang dan mengutip hasil hutan. Dari segi agama mereka percaya kepada Aki Kopuno. Ia mempunyai kuasa penciptaan alam dan penyelesaian semua masalah.

  • 29

    Terdapat etnik-etnik kecil yang lain mendiami Sabah seperti Orang Rungus, Orang Tambanuo, Orang Sungai, Orang Maragang, Orang Bisaya, Orang Idahan, Orang Tidong dan Orang Bamarau. 2.5.2 Etnik Peribumi Sarawak Sarawak merupakan salah sebuah negeri di Malaysia yang telah mempunyai penduduk sejak 40,000 tahun dahulu di Gua Niah. Pada umumnya penduduk peribumi atau bumiputera Sarawak terbahagi kepada dua golongan iaitu penduduk pesisiran pantai dan pendalaman. (a) Persisiran Pesisiran pantai Sarawak didiami oleh peribumi daripada etnik berikut:

    (i) Orang Melayu - Mereka telah berhijrah ke Sarawak pada abd ke-l5 yang lalu dari Pulau Sumatera, Indonesia. Kebanyakan daripada mereka bermastautin di bandar Lidah Tanah, sekitar sungai Sarawak. Mereka mempunyai ketua yang terkenal seperti Datuk Permati Jepang. Ekonomi mereka bergantung kepada aktiviti pertanian, nelayan dan sebagai pedagang. Mereka beragama Islam dan menguasai tulisan jawi dengan baik sekali.

    (ii) Melanau - Mereka bermastautin di sekitar sungai Igan, sungai Oya dan sungai Mukah. Aktiviti ekonomi mereka bergantung kepada tangkapan ikan, bersawah padi dan membuat sagu. Pada keseluruhannya, mereka juga beragama Islam sama seperti orang Melayu.

    (b) Pedalaman Di pedalaman Sarawak didiami oleh beberapa etnik peribumi seperti di bawah ini:

    (i) Orang Iban juga dikenali dengan nama Dayak Laut - Mereka merupakan keturunan peribumi terbesar yang mendiami kawasan pedalaman Sarawak. Mereka berasal dari sungai Kapuas, Kalimantan, Indonesia. Petempatan utama mereka ialah di sungai Saribas, sungai Sekarang, sungai Batang Lupar dan sungai Rajang. Mereka mendiami rumah-rumah panjang yang diketuai oleh seorang ketua yang dikenali dengan nama Tuai Rumah.

    Dari segi agama mereka percaya kepada beberapa tuhan iaitu tuhan peperangan yang dikenali dengan nama

  • 30

    Singling Burong, tuhan bumi yang dikenali dengan nama Pulang Gama dan roh serta hantu. Mereka mempunyai beberapa perayaan sepanjang tahun. Di antara yang penting ialah Gawai Ranyai. Sebahagian daripada mereka beragama Kristian.

    (ii) Bidayuh - Mereka juga merupakan golongan peribumi atau bumiputera yang mendiami kawasan pedalaman Sarawak. Mereka mendiami rumah-rumah panjang terutama di sepanjang sungai Samarahan dan sungai Sadong. Sumber ekonomi mereka ialah menanam padi huma dan meramu hasil hutan.

    (iii) Orang Kayan Mereka tinggal di kawasan pedalaman

    Sarawak. Mereka membuat penempatan di hulu sungai Baram. Mereka dikatakan berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain seperti beberapa etnik Orang Asli di Semenanjung Malaysia pada satu masa dahulu untuk menjalankan aktiviti ekonomi. Mereka beragama Kristian.

    (iv) Orang Penan - Mereka terkenal sebagai pemburu bintang

    liar yang mahir. Aktiviti ekonomi mereka ialah memungut hasil hutan terutama rotan dan damar. Dengan hasil hutan itu membolehkan mereka menukarkannya dengan barangan keperluan harian seperti beras, garam dan lainnya. Di kawasan pedalaman Sarawak juga terdapat etnik-etnik lain iaitu Kenyah dan Kelabit.

    JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

    1. Salah 2. A 3. Sebelum kemerdekaan Malaysia 1957, pendidikan Melayu bersifat

    tradisional yang berterasaskan pengajian al-Quran dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Pendidikan Cina juga bersifat tradisional iaitu berasaskan pengetahuan klasik konfusius yang masih berorientasikan tanah besar China. Pendidikan India menggunakan bahasa Tamil sebagai pengantar. Di mana kebanyakan buku teks diimport dari India yang memberi pengetahuan mengenai kebudayaan, sejarah dan geografi benua kecil India.

  • 31

    4. Umat Islam merayakan beberapa perayaan penting di sepanjang tahun Hijriah. Antara lain ialah Awal Muharram, Maulidurrasul, Nuzul al-Quran, Idil Fitri dan Idil Adha. Penganut Budha mengutamakan perayaan hari wesak. Penganut Konfusius dan Taoisme memuja roh datuk nenek, merayakan hari jadi dewa-dewa yang dipuja dan diraikan pada setiap tahun. Penganut Hinduisme merayakan hari Deepavali dan Thaipusam. Penganut Kristian merayakan hari Krismas dan Easter.

  • 32

  • 33

    BAB 3

    PERLEMBAGAAN MALAYSIA DALAM KONTEKS HUBUNGAN ETNIK

    DI MALAYSIA

    OBJEKTIF BAB

    Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:

    1. Mentakrifkan pengertian dan kedudukan Perlembagaan Malaysia.

    2. Menjelaskan konsep serta keperluan perlembagaan dalam sesebuah negara.

    3. Membincangkan pandangan Islam terhadap kepentingan perlembagaan.

    4. Menyenaraikan ciri-ciri Perlembagaan Malaysia.

    5. Menjelaskan unsur-unsur tradisi yang terkandung dalam perlembagaan.

    6. Menilai kepentingan perlembangaan dalam konteks hubungan etnik di Malaysia.

    3.1 PENGENALAN

    Perlembagaan merupakan sebuah dokumen yang mengandungi undang-undang dan susunan peraturan yang sangat penting dan tertinggi dalam sesebuah negara bagi mewujudkan satu pentadbiran dan pengurusan yang cekap, adil dan saksama kepada rakyat. Oleh yang demikian setiap individu hendaklah mematuhi keluhuran perlembagaan dan sentiasa akur dengan ketetapan yang telah didokumenkan. Selain itu, ia merupakan garis panduan bagi pembentukan undang-undang sama ada di pihak kerajaan atau rakyat dan sesiapa sahaja.

    Kesemua bentuk perundangan adalah tertakluk di bawah perlembagaan yang menjadi asas kepada yang lain. Setiap undang-undang yang bertentangan dengan perlembagaan akan terbatal secara automatik. Di dalam perlembagaan tersebut terdapat peruntukan-peruntukan umum tentang corak pemerintahan, hak asasi manusia, kerakyatan, politik, pilihanraya, agama, bahasa, tanah dan lain-lain. Perlembagaan yang mengandungi undang-undang dibentuk selaras dengan kehendak semasa serta memenuhi kehendak dan kemahuan rakyat.

  • 34

    Justeru perkara yang menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan kewarganegaraan, bahasa, agama dan kedudukan istimewa bumiputera adalah menjadi faktor penting dalam perlembagaan bagi melahirkan hubungan etnik yang erat serta mampu untuk mewujudkan keamanan di kalangan rakyat Malaysia.

    SOALAN DALAM TEKS

    1. Bincangkan kepentingan Perlembagaan dalam konteks hubungan etnik di Malaysia.

    2. Apakah yang anda tahu tentang perlembagaan?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    3.2 MAKNA DAN KEDUDUKAN PERLEMBAGAAN

    Malaysia adalah merupakan sebuah negara demokrasi yang berdaulat sudah tentu mempunyai perlembagaan sendiri yang digubal sebagai panduan pentadbiran dan pemerintahan negara. Oleh yang demikian, perlembagaan yang digubal berperanan menentukan bidang kuasa pemerintahan, bentuk sesebuah kerajaan dan hak-hak rakyat. Di dalam perlembagaan terdapat prinsip-prinsip yang mengandungi bentuk institusi-institusi negara seperti pemerintahan, perundangan dan kehakiman. Setiap perkara tersebut dinyatakan kuasa dan pernanannya yang tersendiri dalam kerangka pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara.

    Perlembagaan juga digubal sebagai garis panduan tentang corak pemerintahan, sistem politik dan pentadbiran sesebuah negara dan dalam masa yang sama memberi perlindungan kepada rakyat. Selain itu, di dalam perlembagaan dinyatakan tanggungjawab dan kewajipan setiap warganegara terhadap pemerintah dan negara (Roslan, 2006: 46). Oleh yang demikian, perlembagaan dibahagikan kepada dua iaitu perlembagaan bertulis dan tidak bertulis. Perlembagaan bertulis merupakan satu bentuk perlembagaan yang dikumpul dan disusun dalam satu dokumen. Manakala perlembagaan yang tidak bertulis pula merangkumi semua prinsip perlembagaan yang tidak dikumpul dalam satu dokumen seperti undang-undang yang diluluskan oleh parlimen dan keputusan-keputusan mahkamah (Nazri Muslim, 2005: 3).

  • 35

    Justeru itu, perlembagaan adalah merupakan suatu kumpulan undang-undang dasar yang menentukan bagaimana sesebuah kerajaan itu memerintah dan menjalankan tanggungjawab terhadap orang yang diperintah. Ia mengandungi satu set hak, kuasa dan prosedur yang mengawal hubungan antara autoriti awam dalam sesebuah negara dan autoriti awam dengan rakyat (Mansor, 2005: 121).

    SOALAN DALAM TEKS

    3. Berikut adalah kenyataan YANG BENAR tentang perlembagaan Malaysia KECUALI

    A. Garis panduan pemerintahan

    B. Dikumpul dan disusun dlam satu dokumen

    C. Satu kumpulan undang-undang dasar sesebuah kerajaan

    D. Satu set undang-undang kerajaan British di Hindia Timur

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    3.3 KONSEP PERLEMBAGAAN

    Perlembagaan Persekutuan 1957 memperlihatkan beberapa ciri pemerintahan dan perlembagaan sesebuah negara demokrasi. Ianya menekankan prinsip pemerintahan berasaskan undang-undang. Perlembagaan menjadi tunggak kepada semua undang-undang yang sedia digubal atau yang akan digubal. Sebarang percanggahan akan terbatal dengan sendiri pada percanggahan tersebut. Kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi adalah amat penting bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem Persekutuan seperti Malaysia. Dengan demikian pentadbiran negara dapat dijalankan dengan mudah, lancar tanpa wujudnya persaingan dengan pihak lain terutamanya kerajaan negeri (Roslan, 2006: 46).

    Di Malaysia tidak ada satu institusi pun yang boleh mengatasi ketinggian perlembagaan. Parlimen sendiri memperolehi kuasanya daripada perlembagaan dan mempunyai kuasa yang terhad. Ianya tidak boleh menggubal undang-undang bagi perkara yang terletak diluar bidang kuasa yang diberikan kepadanya. Malahan ketiga- tiga badan kerajaan iaitu

  • 36

    perundangan, kehakiman, eksekutif mahupun Yang Di Pertuan Agong juga tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia (Mohammad Suffian Hashim: 1987). Ini kerana secara jelas di dalam peruntukan Perkara 4(1) bahawa Perlembagaan Malaysia adalah undang-undang utama persekutuan dan setiap undang-undang dan apa sahaja yang diluluskan berlawanan dengan perlembagaan yang sedia ada maka dengan sendiri setiap yang berlawanan itu terbatal. Kedudukan dan kuasa tertinggi perlembagaan ini dikenali sebagai ketinggian perlembagaan (Lihat Rajah 3.1).

    Rajah 3.1

    Undang-Undang Lain di Malaysia

    Parlimen Mahkamah Yang di Pertuan Agong

    Perlembagaan Persekutuan

    SOALAN DALAM TEKS

    4. Jelaskan secara ringkas konsep perlembagaan? 5. Berikut adalah badan-badan kerajaan yang berada

    di bawah Perlembagaan Malaysia KECUALI A. Undang-undang B. Kehakiman C. Eksekutif D. Profesional

    6. Apakah yang akan terjadi sekiranya berlaku percanggahan sesuatu dasar yang digubal dengan perlembagaan?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    3.4 ISLAM DAN PERLEMBAGAAN Islam meletakkan pemerintahan adalah suatu perkara yang penting. Ianya adalah satu proses di mana manusia yang hendak mentadbir alam ini

  • 37

    perlu kepada satu peraturan dan undang-undang yang boleh menjadi garis panduan kepada mereka. Sememangnya negara yang hendak ditadbir perlu wujud sebuah perlembagaan yang menjadi dasar yang utama dalam negara tersebut. Oleh yang demikian, perlembagaan yang pertama digubal bagi melincinkan pentadbiran negara Islam Madinah dikenali sebagai Sahifah Madinah. Sejak dari permulaan Islam lagi Rasulullah SAW telah meletakkan asas yang penting di dalam pentadbiran baginda iaitu perlembagaan. Setelah mendirikan kerajaan Islam Madinah, baginda telah membina masjid sebagai tempat untuk melaksanakan pemerintahan yang tersedia didalamnya satu perlembagaan yang bertulis, yang menjadi panduan dan tunggak yang amat penting bagi menyatupadukan masyarakat yang berbagai etnik dan kaum. Ini kerana bagi mewujudkan keharmonian sesebuah negara dan toleransi di kalangan kaum, maka baginda SAW telah menggubal perlembagaan tersebut yang terdiri daripada 47 fasal yang meliputi huraian tentang segala keperluan negara Islam Madinah. Menurut al-Maududi Perlembagaan Islam ini mempunyai empat unsur utama sebagai rujukan iaitu al-Quran, al-Sunnah, amalan Khulafa al-Rashidin dan pendapat golongan mujtahid. Kewujudan perlembagaan ini membuka ruang kepada masyarakat atau penduduk menikmati keamanan dan kesejahteraan dalam negara. Selain itu, dengan kewujudan perlembagaan ini, ia menjadi asas kepada negara lain meniru dan membentuk satu perlembagaan tersendiri bagi memenuhi kehendak dan keperluan negara mereka seperti yang berlaku kepada sistem peperiksaan awam (SPA) yang diperkenalkan oleh negara China, menjadi asas kepada negara lain di dunia sebagai satu kaedah melantik penjawat awam dalam negara mereka. Perlembagaan ini membuktikan bahawa satu persekutuan di kalangan masyarakat berbilang kaum telah diasaskan melalui tujuan-tujuan dan kepentingan politik bersama (Abdul Aziz Bari, 2001).

    SOALAN DALAM TEKS

    7. Jelaskan secara ringkas Perlembagaan Madinah

    yang telah digubal oleh Rasulullah? 8. Apakah unsur perlembagaan Islam?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

  • 38

    3.5 KEPERLUAN PERLEMBAGAAN

    Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan suatu keperluan kepada rakyat di negara ini, memandangkan faktor latar belakang dan budaya yang berbeza di kalangan pelbagai kaum di negara ini. Bagi menjamin kestabilan politik di negara ini, sebuah perlembagaan yang dibentuk adalah merupakan hasil tolak ansur dan pakatan antara kaum dan etnik di negara ini. Demi kestabilan dan perpaduan ianya digubal dengan mengambil kira persefahaman dan persetujuan di kalangan kaum sejajar dengan syarat Inggeris yang hanya memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu sekiranya wujud perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum.

    Pemuafakatan politik dan tolak ansur antara pemimpin kaum utama di Tanah Melayu telah membuahkan hasil dan Pakatan Murni, Qiud Pro Quo atau 4 + 1 telahpun dibentuk dalam aspek menghormati hak dan kepentingan kaum dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara pemuafakatan yang telah dibentuk dalam perlembagaan seperti:

    (i) Kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

    (ii) Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

    (iii) Raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan.

    (iv) Kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu.

    (v) Masyarakat bukan Melayu mendapat keistimewaan sebagai warganegara dan mendapat layanan yang sama dengan masyarakat tempatan (Mansor, 2005: 124-125).

    Kewujudan pemuafakatan ini dapat mengekalkan nilai-nilai kemasyarakatan di kalangan etnik dan kaum yang saling memahami bahawa agama, adat resam dan nilai-nilai budaya yang diamalkan oleh penduduk di negara ini merupakan hak peribadi dengan syarat masing-masing saling hormat menghormati hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia.

    Prinsip memberi dan menerima ini, yang menjadi tunjang kepada persefahaman dan kestabilan politik serta sosial yang berjaya dipertahankan sehingga kini. Selain daripada itu kerajaan juga sentiasa memastikan penerusan kestabilan ini berlanjutan dengan mengadakan dasar-dasar dan peruntukan yang ditokok tambah dalam perlembagaan sebagai mekanisme bagi mengawal masyarakat supaya sentiasa berada dalam landasan yang telah ditetapkan (Zulhilmi & Rohani, 2003: 175).

  • 39

    SOALAN DALAM TEKS

    9. Apakah keperluan perlembagaan Malaysia? 10. Nyatakan pemuafakatan yang telah di ambil oleh

    pemimpin kaum di negara ini?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    3.6 CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN MALAYSIA

    Perlembagaan Malaysia 1957 telah digubal dan dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh Lord Reid. Suruhanjaya tersebut telah memulakan tugas pada Jun 1956 dan menyiapkan laporan tersebut menjelang bulan Februari 1957. Seterusnya perlembagaan yang telah disiapkan itu dibahaskan oleh parti-parti utama negara dan diluluskan oleh Majlis Perundangan pada Jun 1957 dan penguatkuasaan perlembagaan itu dilaksanakan pada 31 Ogos 1957. Penguatkuasaan ini berjalan atas dasar konsensus apabila rakyat berbangsa Melayu bersetuju memberikan kerakyatan secara jus soli kepada semua penduduk bukan Melayu di Malaysia pada masa itu. Sebaliknya bukan Melayu bersetuju menerima unsur-unsur tradisi dalam masyarakat Melayu sebagai kandungan dalam Perlembagaan Malaysia (Zulhilmi & Rohani, 2003: 253- 254).

    Negara kita merupakan sebuah persekutuan di mana kewibawaan perlembagaan atau kuasa dibahagikan antara sebuah kerajaan pusat (persekutuan) dengan 13 buah negeri. Perlembagaan Malaysia sebagai sebuah persekutuan mempunyai ciri-ciri asas seperti berikut:

    (i) Mempunyai ketua negara (Raja Berperlembagaan) bagi Persekutuan Tanah Melayu yang dikenali sebagai Yang Dipertuan Agong. Baginda dipilih dari kalangan sembilan orang Raja Melayu dan memegang jawatan tersebut untuk tempoh lima tahun dan bertindak atas nasihat kabinet dan Majlis Raja-raja. Selain itu ketua perlembagaan bagi setiap negeri ialah Sultan, Raja atau Yang Dipertua Negeri. Setiap negeri mempunyai Majlis Undangan Negeri yang dipilih melalui pilihan raya untuk tempoh lima tahun dan pentadbiran negeri diketuai oleh seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri.

  • 40

    (ii) Negara Demokrasi Berparlimen yang diketuai oleh seorang Ketua Kerajaan iaitu Perdana Menteri. Beliau dilantik di kalangan parti yang memenangi pilihan raya dan mempunyai bilangan anggota terbanyak dalam Dewan Rakyat. Perdana Menteri juga akan menubuhkan sebuah Kabinet (Jemaah Menteri) yang menjadi badan tertinggi dalam menggubal dasar kerajaaan (Roslan Zainuddin, 2006: 52).

    (iii) Perlembagaan memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, tetapi pada masa yang sama tidak mengasaskan Malaysia sebagai negara teokrasi dan dengan jelas jaminan kebebasan agama.

    (iv) Perlembagaan memperuntukkan ketinggian perlembagaan dan kebebasan undang-undang.

    (v) Perlembagaan memperuntukkan pengasingan kuasa ketiga-tiga cabang kerajaan. Ini bermakna seluruh jentera pentadbiran, bukan sahaja eksekutif yang diketuai oleh Perdana Menteri dan dibantu oleh kabinet serta seluruh birokrasi. Ketiga-ketiganya mempunyai status yang sama, tiada satupun yang lebih tinggi daripada yang lain dan setiap satunya mempunyai fungsi dan tanggungjawab yang berbeza.

    Perlembagaan memperuntukkan sebuah badan kehakiman yang berasingan dan bebas daripada kawalan parlimen dan eksekutif. Bidang kuasa kehakiman adalah eksklusif untuk menentukan pertikaian hak-hak serta liabiliti lain dalam perlembagaan (Tun Mohamed Suffian, 1990: 137).

    SOALAN DALAM TEKS

    11. Bilakah perlembagaan malaysia digubal?

    12. Siapakah yang mengemukakan perlembagaan yang telah digubal?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

  • 41

    3.7 KANDUNGAN PERLEMBAGAAN Perlembagaan Persekutuan mengandungi 183 perkara yang dibahagikan dalam 15 bahagian. Perlembagaan ini mengandungi pelbagai perkara seperti kuasa Yang Dipertuan Agong, Parlimen, Kabinet, Badan Kehakiman dan mempunyai peruntukan tentang kewarganegaraan, tanah, agama rasmi, bahasa Kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu, perkhidamatan awam, pembangunan negara, hak asasi dan pilihan raya (Roslan Zainuddin, 2006: 53-54 ). Ringkasan kandungan Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut:

    Jadual 3.1

    Bahagian Bab Perkara Kandungan

    1 1 1-4 Negeri-negeri, Agama dan Undang-undang

    2 1 5-13 Kebebasan Asasi

    3 1 14-22 Perolehan Kewarganegaraan

    2 23-28 A Penamatan Kewarganegaraan

    3 29-31 Tambahan tentang Kewarganegaraan

    4 1 32-37 Kepala Negara dan Majlis Raja-raja

    2 38 Majlis Raja-raja

    3 39-43C Pemerintah

    4 44-65 Badan Perundangan Persekutuan

    5 66-68 Acara Perundangan

    6 69 Keupayaan terhadap harta dan lain-lain

    5 1 70-72 Negeri-negeri

    6 1 73-79 Hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri

    2 80-81 Pembahagian Kuasa Pemerintah

    3 82 Pembahagian beban kewangan

    4 83-91 Tanah

    5 92 Pembangunan negara

    6 93-95 Siasatan persekutuan terhadap negeri

    7 95A-95E Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan

    7 1 96-112 Peruntukan-peruntukan kewangan

    2 112A-112E Sabah dan Sarawak

    8 1 113-120 Pilihanraya

    9 1 121-131A Kehakiman

    10 1 132-148 Perkhidmatan awam

    11 1 149-151 Kuasa khas menentang perbuatan subversif dan kuasa-kuasa darurat

    12 1 152 Bahasa Kebangsaan

    12A 1 153 Kedudukan istimewa orang Melayu

    13 1 154-160 Am dan pelbagai

    14 1 161-161A Perlindungan tambahan bagi Sabah dan Sarawak

    1 162-180 Peruntukan sementara dan peralihan

    15 1 181 Pengecualian dan kedaulatan Raja-raja

    1 182 Mahkamah khas

    1 183 Tiada tindakan yang boleh diambil terhadap yang Dipertuan Agong dan Raja-raja kecuali dengan keizinan peguam negara.

  • 42

    SOALAN DALAM TEKS

    13. Kandungan Perlembagaan Persekutuan terdiri daripada____ bahagian.

    A. 12

    B. 13

    C. 14

    D. 15

    14. Kandungan berikut adalah benar tentang perlembagaan KECUALI

    A. Kebebasan Asasi

    B. Mahkamah khas

    C. Bahasa Kebangsaan

    D. Pemusatan kuasa Raja-raja

    15. Perkara 1-4 membincangkan hal-hal berkaitan

    A. Tanah

    B. Agama

    C. Negara

    D. Negeri

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    3.8 UNSUR-UNSUR TRADISI DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

    Pengekalan unsur-unsur tradisi adalah amat penting bagi tujuan untuk mewujudkan identiti Malaysia dan memupuk persefahaman ke arah perpaduan. Ia adalah merupakan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama semasa penggubalan perlembagaan. Menurut Tun Salleh Abas (1997), unsur-unsur tradisi ini meliputi bahasa, agama, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak serta pemerintahan beraja.

    Sudah menjadi kelaziman kepada mana-mana negara yang berdaulat mempunyai unsur-unsur tradisi yang menjadi tunjang dan kekuatan kepada pembinaan negara. Ianya wujud ratusan tahun sebelum perlembagaan Malaysia digubal pada tahun 1957 dan berperanan menstabilkan negara (Abdul Aziz Bari: 2001).

  • 43

    Kepentingan unsur-unsur tradisi ini dapat dilihat dengan jelas apabila

    dilindungi di bawah Akta Hasutan dan di anggap sebagai isu-isu sensitif

    yang dilarang dalam perbincangan awam. Unsur-unsur ini juga penting

    kerana menjamin kestabilan politik dan sistem pemerintahan yang cekap

    lagi adil. Tanpa unsur-unsur tersebut keseimbangan dan kemakmuran

    negara tidak akan dicapai. Dalam laporan Suruhanjaya Reid sendiri yang

    menekankan betapa pentingnya perlembagaan mengambil faktor-faktor

    sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud sebelum penggubalan

    perlembagaan.

    Faktor-faktor ini penting bagi melambangkan bahawa sistem dan nilai-

    nilai asal negara dikekalkan meskipun kemerdekaan bererti demokrasi

    dan kesamarataan antara kaum. Di sinilah pentingnya peranan empat

    unsur tradisi yang kesemuanya menekankan ciri-ciri Kemelayuan dan Ke

    islaman di bumi yang merdeka ini (Mohd Inuddin Lee, 2006: 141). Secara

    umumnya perkara yang menyentuh hubungan etnik dalam memupuk

    perpaduan di Malaysia dan unsur-unsur tradisi yang termaktub dalam

    perlembagaan Malaysia adalah seperti berikut:

    1. Perkara 8 iaitu persamaan dan hak sama rata dan

    pengecualian peruntukan ini dalam soal agama, kedudukan

    istimewa orang Melayu dan seumpamanya.

    2. Perkara 10 (4) iaitu batasan hak kebebasan bersuara daripada

    menyentuh kedudukan Raja-raja, Islam, orang Melayu

    kewarganegaraan dan seumpamanya.

    3. Perkara 38 iaitu kuasa Majlis Raja-raja menghalang Parlimen

    membuat undang-undang yang menyentuh kedudukan Raja-

    raja Melayu, orang Melayu dan bahasa Melayu dan Islam.

    4. Perkara150 (6a) iaitu kedudukan agama Islam, adat istiadat

    Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak, kewarganegaraan

    meskipun dalam keadaan darurat.

    5. Perkara 152 iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa

    Kebangsaan tanpa menafikan hak-hak bangsa lain

    menggunakan bahasa mereka.

    6. Perkara 153 iaitu kedudukan istimewa orang-orang Melayu

    tanpa menafikan kedudukan yang sah kaum lain (Abdul Aziz

    Bari: 2001).

  • 44

    SOALAN DALAM TEKS

    16. Bincangkan unsur-unsur tradisi yang terdapat

    dalam perlembagaan. 17. Apakah batasan hak kebebasan bersuara seperti

    yang termaktub dalam perkara 10. 18. Kepentingan unsur tradisi dilihat dari sudut berikut

    KECUALI A. Sejarah

    B. Tradisi C. Ekonomi D. Warganegara

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    3.9 KESIMPULAN Setiap warganegara hendaklah memahami bahawa perlembagaan yang diwujudkan adalah bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang mampu membudayakan perpaduan dan saling memahami hak masing-masing yang telah dipersetujui bersama tanpa ada perasaan hasad dengki dan sifat-sifat boleh memecah belahkan kaum di negara ini. Kita perlu akur bahawa masyarakat yang berbagai latar belakang itu adalah satu anugarah Allah. Setiap undang-undang yang digubal adalah untuk kepentingan bersama tanpa mengira latar belakang sesuatu kaum. Dengan ketinggian perlembagaan dan kedaulatan undang-undang mencerminkan Malaysia sebuah negara berdaulat di mana rakyat hidup bersatu padu, aman dan makmur.

    JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

    1. Faktor yang penting dalam perlembagaan adalah untuk

    melahirkan hubungan etnik yang erat serta mampu mewujudkan keamanan dikalangan rakyat Malaysia.

    2. Perlembagaan merupakan sebuah dokumen yang mengandungi

    undang-undang dan susunan peraturan yang sangat penting dan tertinggi dalam sesebuah negara bagi mewujudkan satu pentadbiran dan pengurusan yang cekap, adil dan saksama kepada rakyat.

  • 45

    3. D 4. Pemerintahan yang berasaskan undang-undang dan menjadi

    tunggak kepada semua undang-undang yang sedia digubal atau yang akan digubal.

    5. D

    6. Sekiranya berlaku percanggahan sesuatu dasar yang digubal

    dengan perlembagaan maka dengan sendirinya akan terbatal dasar tersebut.

    7. Baginda SAW telah menggubal perlembagaan tersebut yang

    terdiri daripada 47 fasal yang meliputi huraian tentang segala keperluan negara Islam Madinah.

    8. Unsur utama perlembagaan Islam ialah al-Quran, al-Sunnah,

    amalan Khulafa al-Rashidin dan pendapat golongan mujtahid. 9. Keperluan perlembagaan kepada rakyat di negara ini, ialah

    disebabkan faktor latar belakang dan budaya yang berbeza di kalangan pelbagai kaum serta menjamin kestabilan politik di negara ini.

    10. Pemuafakatan yang telah dibentuk dalam perlembagaan seperti:

    (i) Kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara. (ii) Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. (iii) Raja-raja melayu sebagai raja berpelambagaan. (iv) Kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu. (v) Masyarakat bukan Melayu mendapat keistimewaan

    sebagai warganegara dan mendapat layanan yang sama dengan masyarakat tempatan.

    11. 1957 12. Lord Reid. 13. D 14. D 15. C

  • 46

    16. Unsur-unsur tradisi dalam perlembagaan adalah meliputi bahasa, agama, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak serta pemerintahan beraja.

    17. Kedudukan Raja-Raja, Islam, orang Melayu, kewarganegaraan

    dan seumpamanya 18. D

  • 47

    BAB 4

    PEMBANGUNAN EKONOMI DALAM KONTEKS HUBUNGAN ETNIK

    DI MALAYSIA

    OBJEKTIF BAB

    Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Memahami konsep pembangunan dan modenisasi dalam

    masyarakat. 2. Membincangkan latar belakang sejarah pembangunan ekonomi

    di Malaysia. 3. Menjelaskan dasar-dasar pembangunan ekonomi yang

    dilaksanakan oleh kerajaan.

    4.1 KONSEP PEMBANGUNAN DAN MODENISASI Pelbagai teori dan percanggahan pendapat tentang konsep pembangunan telah dikemukakan oleh cendiakawan. Secara keseluruhannya, rata-rata mereka bersetuju bahawa seluruh dunia sedang dan mungkin mengalami kemelut pembangunan yang berterusan (Muhammad Shukri, 2002). Dari sini ternyata bahawa persekitaran sosioekonomi masyarakat dunia sekarang sedang menuju ke arah masa depan yang tidak mengembirakan (Muhammad Kamal, 1986). Kemelut pembangunan yang berlaku ini bukan sahaja membawa kepada percanggahan pendapat dan teori, tetapi juga penumpuan ke atas hak milik alat-alat pengeluaran dan perebutan agihan hasil keluaran yang akhirnya melahirkan manusia yang sanggup membuat apa sahaja termasuk membunuh (Muhammad Shukri, 2002).

    Pembangunan sering kali dikaitkan dengan proses modenisasi, iaitu satu proses untuk merubah atau mentransformasikan kehidupan masyarakat dari segenap sudut. Metode atau kaedah yang digunakan dan dilalui oleh sesebuah negara atau bangsa untuk mencapai modenisasi ini pula berbeza. Ada sesetengahnya berlaku dalam bentuk perancangan yang teratur dengan menetapkan terlebih dahulu apakah proses, kaedah dan matlamat yang hendak dicapai. Manakala sesetengahnya pula berlaku perubahan dalam bentuk yang tidak dirancang, dan kebiasaannya boleh dihubungkan dengan tekanan daripada unsur-unsur luar. Modenisasi selalunya diukur berdasarkan kepada perubahan dan pencapaian yang

  • 48

    berlaku dalam masyarakat dari aspek ekonomi, politik, sosial, sains dan teknologi. Kejayaan atau kegagalan untuk membawa modenisasi kepada sesuatu bangsa atau negara bergantung kepada falsafah pemikiran dan matlamat pembangunan yang didokong. Jika pembangunan hanya menekankan aspek material semata-mata dengan mengenepikan aspek spiritual, maka matlamat pembangunan dalam ertikata sebenarnya tidak akan tercapai. Kedua-dua aspek ini mesti disatukan dan diseimbangkan bagi menuju ke arah kebahagiaan yang sebenarnya. Walau bagaimanapun, dari sudut realitinya dalam tempoh lebih kurang dua ratus tahun yang lalu, konsep pembangunan dan modernisasi masih terikat kuat dengan tradisi sekularisme barat.

    Shamsul (2006), melihat dua aspek utama yang menjadi asas kepada modenisasi iaitu pembangunan ekonomi dan pembangunan politik. Aspek ekonomi adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia. Sejak dari zaman batu awal (paleolitik) hinggalah ke zaman moden hari ini, manusia sentiasa berusaha untuk mengembangkan kegiatan ekonomi mereka, baik secara evolusi mahupun revolusi. Tujuannya adalah untuk merubah tahap kehidupan dan membangunkan masyarakat. Pelbagai bidang ekonomi telah diterokai, bermacam-macam peralatan untuk tujuan pengeluaran telah dicipta, dan berbagai jenis pendapat, teori dan ilmu ekonomi terus diketengahkan untuk menyelesaikan masalah ekonomi manusia yang masih tidak ada titik perhentiannya. 4.2 KOMPONEN EKONOMI: MATLAMAT, METOD,

    UKURAN PENCAPAIAN Ekonomi bukanlah suatu bidang ilmu yang baru diperkenalkan dan dibincangkan. Ilmu ini sudah ada dalam masyarakat sejak 2500 tahun dahulu, namun demikian matlamat kewujudan ilmu ini belum lagi tercapai walaupun arus kemajuan telah melonjak begitu hebat sejak berlakunya revolusi industri kira-kira 200 tahun lalu. Kerumitan dan masalah ekonomi terus juga berlaku serta sukar untuk diatasi. Implikasinya bukan hanya membawa kepada perbezaan jurang dalam masyarakat tetapi juga perpecahan dan peperangan antara kaum dan negara.

    Perkembangan yang berlaku dalam ekonomi sering kali dikaitkan dengan tahap perkembangan fikiran manusia. Oleh itu, komponen, matlamat, metode dan ukuran pencapaian ekonomi juga seringkali berubah dan berbeza mengikut ideologi yang didokong. Sebagai contoh ekonomi kapitalisme adalah berbeza daripada ekonomi marxisme dan begitulah dengan yang lain-lainnya. Komponen ekonomi boleh saja disandarkan kepada aspek pengeluaran, pertukaran, pengagihan harta kekayaan,

  • 49

    peralatan yang digunakan dan sebagainya. Jika matlamat ekonomi itu adalah untuk meningkatkan pendapatan negara, maka kaedah yang boleh menambahkan pendapatan rakyat akan digunakan. Ini adalah kerana hasil pendapatan negara dikatakan sangat berkait rapat dengan hasil pendapatan rakyat jelata. Sekiranya matlamat ekonomi itu untuk membawa kepada keseimbangan sosial dalam masyarakat, maka kaedahnya pula sudah tentu berbeza dengan di atas, begitu juga dengan ukuran pencapaiannya. Pembangunan ekonomi hanya akan menjadi lebih bermakna jika matlamat atau tujuan ditetapkan dan mengambil nilai-nilai yang ada dalam masyarakat. Seperti yang dinyatakan oleh Benjamin Ward (1972) bahawa pertimbangan nilai adalah sesuatu yang sangat penting untuk membolehkan kita mengklasifikasikan tentang apa yang bernilai dan apa yang tidak bernilai dalam masyarakat. Pertimbangan nilai juga digunakan sebagai asas kepada konsep keluaran negara kasar (KDNK) untuk mengukur output dan sekaligus menjadi pengukur kepada prestasi ekonomi dan kebajikan.

    4.3 KOMPONEN POLITIK: MATLAMAT, METOD,

    UKURAN PENCAPAIAN Politik sebagaimana juga ekonomi boleh menjadi faktor penentu kepada pembangunan dan modenisasi. Politik memainkan peranan dalam menentukan dasar dan arah tuju sesebuah kerajaan yang memerintah, juga digunakan untuk membangunkan sosio-ekonomi, membina negara (state-building) dan negara-bangsa (nation-state). Secara umumnya, membina dan membangunkan negara dan negara-bangsa merupakan masalah utama yang dihadapi oleh sesebuah negara selepas mencapai kemerdekaan. Bukan mudah untuk mewujudkan semangat kenegaraan ataupun kekitaandalam sebuah negara yang penduduknya terdiri dari pelbagai kaum seperti Malaysia ini. Komponen-komponen yang ada seperti ekonomi,sosial, politik, pendidikan dan sebagainya boleh digunakan untuk mencapai matlamat ini. Semua ini boleh dilaksan