Interaksi 5

download Interaksi 5

of 3

description

edu interaksi 5

Transcript of Interaksi 5

Interaksi 5 (3.2.2014 - 7.2.2014)Tajuk: Falsafah Pendidikan Sendiri Sumber:Mok Soon Sang (2013). Falsafah Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.

Falsafah Pendidikan SendiriSelepas memahami, meneliti dan mengkaji falsafah pendidikan Barat, Timur dan Islam, kami telah mewujudkan satu falsafah pendidikan sendiri yang mempunyai unsur-unsur tersendiri. Kami juga memasukkan ciri atau konsep yang baik daripada falsafah lain. Falsafah kami dikenali sebagai eklektisme yang merangkumi tujuan pendidikan, kehendak masyarakat, kehendak pelajar dan peranan guru.

Tujuan pendidikan kami adalah untuk melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan boleh memenuhi kewajibannya sebagai seorang warganegara Malaysia. Selain itu, pendidikan bertujuan untuk mengurangkan jurang perbezaan antara kaum dengan membekalkan kemudahan-kemudahan asas pendidikan kepada setiap lapisan masyarakat.

Pendidikan yang telah kami sediakan juga bermatlamat untuk memenuhi kehendak masyarakat. Manusia hidup berkeluarga. Unit keluarga yang banyak membentuk masyarakat. Dalam kehidupan, setiap orang tidak dapat terpisah daripada bersosial dan belajar. Kajian kini telah menunjukkan bahawa masyarakat kini amat mementingkan pendidikan. Hal ini dibuktikan dengan penghantaran anak ke pusat tadika sejak umur 2 tahun untuk belajar. Keadaan ini telah menunjukkan bahawa ibu bapa sekarang menginginkan anak mereka lebih maju daripada mereka. Oleh itu, caranya adalah melalui pendidikan.

Memandangkan masyarakat mempunyai keperluan yang tinggi untuk menghasilkan intelektual yang boleh membawa kepada kemajuan negara, pendidikan kami telah mengandungi strategi terhadap ciri-ciri ekonomi, politik, sosial dan budaya masyarakat. Pendidikan kami akan memastikan pelajar menguasai kemahiran asas, seperti membaca, menaakul dan mengemukakan idea, konsep asas cara hidup masyarakat dari segi politik, sosial dan ekonomi serta teknik-teknik asas untuk menyertai kehidupan sesuatu masyarakat. Sebagai contoh, aktiviti seperti perbincangan, kepimpinan dan pemikiran kritis dalam sesuatu perkara terdapat dalam pembelajaran murid.Selain itu, pendidikan kami juga mempertimbangkan kehendak dan minat pelajar. Kami memahami bahawa setiap pelajar merupakan individu yang mempunyai kehendak kendiri. Mereka mempunyai pandangan dan matlamat terhadap kehidupan mereka. Mereka juga mempunyai pegangan hidup, minat dan cita-cita masing-masing. Justeru, pendidikan kami adalah berperanan untuk membantu pelajar untuk mencapai harapan mereka.

Pendidikan kami akan menyediakan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang merangsang perkembangan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu berdasarkan keperluan pelajar. Sebagai contoh, pendidikan berkualiti lebih tinggi dan mencabar akan diberi kepada pelajar yang sanggup menyambut cabaran dan berupaya memberi sumbangan kepada negara. Hal ini adalah untuk menghasilkan pelajar yang memenuhi kehendak masyarakat.

Bagi pelajar yang lemah lambat atau pelajar yang dikatakan golongan kurang berupaya, pendidikan kami juga mengambil berat terhadap kehendak mereka supaya mereka berasa mereka dilimpahi kasih sayang. Pendidikan akan membantu meningkatkan kemahiran hidup mereka supaya mereka tidak menghadapi kesukaran untuk menjalankan hidup normal mereka. Sebagai contoh, pendidikan kami memastikan mereka boleh melakukan aktiviti harian seperti makan, minum, mandi, berkomunikasi dengan orang lain dan sebagainya. Selain itu, pendidikan kami juga mengembangkan potensi mereka. Jika pelajar tersebut dikesan mempunyai potensi berlari, pendidikan kami akan menyediakan peluang seperti pertandingan kepadanya untuk memperkembangkan potensinya.

Untuk merealisasikan pendidikan kami, guru memainkan peranan yang penting dalam konteks ini. Guru perlu menjadi pakar dalam bidang mereka. Mereka harus berpandangan futuristik dengan sentiasa berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang paling tinggi. Guru yang perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan dan sihat pula mental dan pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat iltizam, dedikasi, bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang rasa, rajin, ceria, amanah, berpegang kepada janji, tetap tidak akan mengkhianati tugasnya atau murid-muridnya. Guru harus mempunyai perwatakan seperti berpekerti mulia dan menerima setiap pelajar dengan baik serta bersedia untuk membantu mereka.

Guru sebagai pendidik perlu mempunyai iltizam yang lebih untuk melaksanakan aktiviti bagi mencapai aspirasi-aspirasi yang terkandung dalam falsafah pendidikan kami. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang baru, guru harus lebih bersedia untuk melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran baru bagi melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani. Tambahan itu, unsur warisan kebudayaan negara hendaklah diserapkan ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya generasi seterusnya tidak ketinggalan atau kehilangan warisan dan budaya mereka. Unsur bersatu padu hendaklah sentiasa ditekankan oleh guru dalam segala kegiatan yang dikendalikannya dan cuba memastikan pelajar-pelajar pelbagai kaum sentiasa berinteraksi antara satu sama lain. Unsur demokratik juga perlu disemai dalam proses pengajaran dan pembelajarannya kecuali dalam hal-hal tertentu pelajar boleh diberi peluang untuk membuat keputusan.

Guru sewajarnya menitikberatkan nilai-nilai disiplin dalam pengajaran dan pembelajaran seperti ketepatan masa, bersopan santun, bertimbang rasa, tolong menolong, prihatin dan bekerjasama dalam kalangan pelajarnya. Disiplin amat penting dalam pembentukan insan. Amalan ini membolehkan para pelajar membesar menjadi ahli-ahli masyarakat yang bersifat penyayang dan berdisiplin.

Selain daripada peranan yang dinyatakan, guru juga perlu memastikan diri mereka mengikuti perubahan dunia yang rumit ini. Dunia kini digelar dunia teknologi. Oleh itu, guru bukan sahaja perlu mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan menggunakan teknologi komputer secara kreatif dan inovatif dalam pengajaran mereka. Mereka hendaklah melihat revolusi sistem pendidikan ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kualtiti dan produktiviti pendidikan bukannya sebagai ancaman kepada masa depan kerjaya mereka.

Kesimpulannya, untuk mencapai matlamat falsafah pendidikan yang kami kemukakan, semua pihak harus memberi kerjasama yang sepenuhnya supaya negara Malaysia boleh melahirkan insan yang pakar dalam semua dimensi iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial yang secara langsung telah menyumbang kepada kemakmuran dan kewibawaan negara di seluruh dunia.