Jurnalpratikum 140626103130 Phpapp01 (1)
description
Transcript of Jurnalpratikum 140626103130 Phpapp01 (1)
Jumaat, Mac 23, 2012
Penulisan jurnal praktikum
JURNAL 1 (19/3/2012-23/3/2012)
MASALAH AWAL : MURID DAN SEKOLAH
MASALAH
Pada praktikal ini saya telah diamanahkan untuk mengajar mata pelajaran
Kemahiran Hidup untuk kelas 4 Delima, 5 Zamrud dan 5 Berlian di Sekolah
Kebangsaan Parit Raja. Manakala bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (kelas arus
perdana) pula, saya dipertanggungjawabkan untuk mengajar di Kelas 4 Zamrud.
Pertama kali mengajar murid di kelas sebenar menimbulkan perasaan yang pelbagai
yang sukar untuk dinyatakan. Sebenarnya, saya tiada pengalaman mengajar murid
dalam bidang ini, namun saya yakin setiap pengalaman itu akan ditimba dan
dipraktikkan dari masa ke semasa. Saya risau memikirkan bahawa sekolah ini
terletak tengah bandar dan merupakan salah sebuah sekolah kluster kecemerlangan
kebangsaan . Pelbagai masalah dihadapi terutamanya bagi merapatkan jurang
perbezaan murid pemulihan dengan murid kelas arus perdana. Selain itu,
kemudahan di kelas pemullihan di sekolah ini juga agak terhad seperti kekurangan
bahan bantu mengajar (BBM) dan keadaan bilik pemulihan yang serba kekurangan.
Prestasi akademik di sekolah ini juga agak kurang memuaskan sejak kebelakangan
ini. Hal ini terutamanya melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kemahiran
Hidup. Oleh yang demikian, saya memikul cabaran yang sukar dan mencabar sekali
sebagai guru pelatih disini. Masalah-masalah tersebut seharusnya tidak dijadikan
alasan bagi saya untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran yang
terbaik.
Pada minggu pertama di SKRJ ini, saya berkesempatan mengenali kerenah dan
perangai murid khasnya dalam kelas yang bakal saya ajar bagi tempoh 1 bulan ini.
Sesungguhnya 1 bulan ini adalah satu tempoh yang amat singkat untuk membuat
perubahan mendadak terhadap prestasi murid. Hal ini sebaliknya adalah tempoh
terbaik bagi saya untuk mempelajari serta menguasai sistem pengajaran yang
konsisten mampan. Semua ini bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang sesuai
dan efektif yang akhirnya akan memberi kesan langsung kepada murid. Dalam hal
yang lainnya, masalah yang berpunca dari kalangan murid terhadap kelas juga telah
difikirkan dan dapat dilihat. Antara masalah yang bakal ditimbulkan oleh murid
termasuklah membuat bising dan berjalan-jalan dalam kelas sambil mengganggu
rakan-rakan yang lain ketika sesi pengajaran. Ada kalanya disebabkan kenakalan
itu, mereka seolah-olah tidak menghiraukan guru yang sedang mengajar di hadapan
kelas. Sifat kenakalan yang sebegini tidak boleh di benarkan kerana menjejaskan
proses pengajaran dan pembelajaran. Sifat kenakalan mereka akan menjadi lebih
ketara semasa melakukan aktiviti di dalam kelas sebagai contoh semasa melakukan
aktiviti berkumpulan.
Menurut Harry K.Wong ( 1998) kebanyakan masalah tingkah laku disebabkan oleh
guru sendiri.
“Most behavior problems in the classroom are caused by the teacher’s failure to
teach students how to follow procedure”.
Sebagai seorang guru, saya ingin mewujudkan satu persekitaran pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan dalam kelas-kelas saya. Saya ingin murid-murid
memberi tumpuan yang sebaik mungkin setiap kali kelas dijalankan dan
mendapatkan sebanyak mungkin input yang disampaikan.
ANALISIS MASALAH
Sebelum mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi
masalah di atas, saya telah melakukan analisis bagi mencari punca-punca yang
menyebabkan masalah tersebut berlaku. Setiap kali saya memerhatikan guru yang
sedang mengajar didalam kelas, terdapat beberapa orang murid suka membuat
bising dan tidak fokus kepada pengajaran. Beberapa andaian awal yang satu
termasuklah:
1. Kemungkinan murid-murid yang membuat bising tersebut tidak memahami apa
yang disampaikan dalam kelas.
2. Kebiasaannya, murid-murid yang biasa menimbulkan masalah dalam kelas
tersebut terdiri dari kumpulan yang lemah dan tidak berminat dengan pelajaran.
3. Adakah pengajaran guru membosankan dan tidak memenuhi stratergi pengajaran
dan pembelajaran selaras dengan ilmu pedagogi guru?
Setelah menganalisis dan membuat refleksi kepada andaian awal, saya mendapati
murid-murid yang pandai juga biasanya akan membuat bising dalam kelas. Hal ini
berlaku biasanya, setelah mereka terlalu cepat menyiapkan sesuatu tugasan yang
diberikan oleh guru dalam sesuatu aktiviti berbanding dengan kawan-kawan mereka
dari golongan murid yang lemah. Setelah tugasan disiapkan, mereka akan membuat
bising dan berjalan-jalan di dalam kelas.
Selain itu, jika dilihat dari perspektif yang lain penggunaan bahasa Inggeris dalam
pengajaran subjek matematik turut menyukarkan murid untuk memahami perkara
yang diajar. Hal ini juga telah turut menimbulkan kecenderungan mereka untuk
membuat bising.
CADANGAN
Penyelesaian kepada murid-murid yang bermasalah ini adalah, dengan saya sendiri
mengambil beberapa langkah yang boleh bagi mengatasi masalah yang ditimbulkan
oleh murid seperti yang dinyatakan di atas. Ini termasuklah dengan cara mengingati
nama setiap murid. Ini akan memudahkan guru untuk berinteraksi dengan setiap
murid terutamanya yang bermasalah. Dengan cara ini murid akan lebih takut untuk
menimbulkan masalah.
Selain itu, penyusunan semula kedudukan muri-murid dalam kelas juga boleh
dilakukan dengan cara meletakkan murid yang bermasalah di hadapan guru bagi
memudahkan pemantauan dilakukan. Dengan cara ini murid akan memberi lebih
tumpuan kepada setiap pengajaran guru.
Cadangan-cadangan lain yang mungkin berkesan termasuklah:
1. Guru merancang P&P yang melibatkan aktiviti yang bersesuaian dan dapat
menarik minat murid, dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu
kreatif.
2. Memotivasikan murid dengan memberi peneguhan positif (seperti satu jawapan
yang baik, bagus kerana berani mencuba). Ini memberi kepuasan kepada murid
kerana sumbangan mereka dihargai oleh guru dan kawan-kawan.
3. Semasa melakukan aktiviti kumpulan atau berpasangan guru mestilah membuat
pemantauan. Guru haruslah pantau dan bergerak dari satu kumpulan ke kumpulan
yang lain. Semasa pemantauan dilakukan guru bolehlah memberi semangat jika
aktiviti sukar atau cuba mencadangkan strategi yang lebih mudah.
TEMPOH PENYELESAIAN
19/3/2012 hingga 2/4/2012 ( 2 minggu)
TINDAKAN SUSULAN
Saya akan memantau semua permasalahan yang timbul diatas dengan
mengemasmkini segala tindakan dan langkah-langkah penambahbaikan saya
seperti yang dicadangkan tadi. Hal ini bagi membolehkan tempoh sasaran bagi
menyelesaikan masalah ini dapat dicapai dan tidak berlarutan berpanjangan.
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, masalah murid dan sekolah ini bukanlah menjadi isu besar
yang menjadi masalah utama saya untuk melaksanakan praktikum saya hingga
tamat. Murid-murid adalah generasi yang bakal menaungi kesejahteraan bangsa
dan negara pada masa akan datang. Maka, setiap masalah yang berlaku ada
penyelesaiannya, terpulanglah kepada guru itu sendiri untuk mengatasinya.
Disemak oleh Guru Pembimbing
Tandatangan : .............................................
Nama : .............................................
Tarikh : .............................................
Disahkan oleh Pensyarah Pembimbing
Tandatangan : .............................................
Nama : .............................................
Tarikh : .............................................