KEFAHAMAN GURU KEMAHIRAN HIDUP BERSEPADU … filePenilaian pencapaian pelajar dalam mata pelajaran...
Transcript of KEFAHAMAN GURU KEMAHIRAN HIDUP BERSEPADU … filePenilaian pencapaian pelajar dalam mata pelajaran...
i
KEFAHAMAN GURU KEMAHIRAN HIDUP BERSEPADU EKONOMI RUMAH TANGGA TERHADAP PELAKSANAAN
PENTAKSIRAN KERJA KURSUS BERDASARKAN DOKUMEN PENTAKSIRAN KERJA KURSUS (77/2) DI SEKOLAH-SEKOLAH
MENENGAH, DAERAH KOTA TINGGI, JOHOR.
RUSLAILI BT MD. AMIN
Laporan projek ini dikemukakan sebagai memenuhi sebahagian daripada syarat Penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Serta Pendidikan
(Kemahiran Hidup)
Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia
2008
iii
DEDIKASI
Dalam menitip selaut ilmu, dalam meraut segunung pengalaman,
dalam merentas beronak cabaran maka inilah wadah kudus
dari hati penuh tulus yang tidak mungkin lupus.
Andai di kesempatan ini masih punya ruang
moga masih ada detik yang panjang Untuk terus bersama
menerokai indahnya ilmu.
Restu, pengorbanan dan doa kalian
mengiringi setiap detik perjalananku di sini. Harapan lebih sedekad lalu tertunai jua.
Terima kasih semua di atas segalanya
Teristemewa untuk suamiku : Mohd Nor b. Abdullah Anak-anak manjaku : Haziq, Najwa, Najmi, Najiha dan Hakim.... Yang disayangi : Hajjah Maimunah bt Kassim , Hj. Abdullah b. Sadiman dan Hajjah Jamisah bt Husnan serta seluruh keluarga besarku........
Juga buat yang tidak pernah luput dari ingatan Allahyarham Ayahanda tercinta Hj. Mohd Amin b Hj. Abu Bakar serta anakanda Afiq..........
Buat rakan seperjuangan, moga Allah memberi hidayah dan membuka
pintu rahmatNya, sentiasa...............amin.
iv
PENGHARGAAN
Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, selawat juga
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pensyarah
pembimbing, Prof. Madya Dr. Hj. Abd. Wahid bin Mukhari di atas segala nasihat,
bimbingan , tunjuk ajar dan dorongan sepanjang saya menjalankan penyelidikan ini.
Terima kasih juga kepada En. Mohd Ali b. Muhammad, Pegawai Sektor
Akademik (Teknik dan Vokasional), Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi, Puan
Jamiah bt Sulaiman, Pentaksir Kawasan Kota Tinggi dan Puan Jariah bt Hassan,
Pentaksir Dalaman di Sekolah Menengah Kebangsaan Adela, Kota Tinggi bagi
menaksir kerja kursus pelajar Daerah Kota Tinggi Pilihan 2 (ERT), yang sentiasa
sedia membantu memberikan maklumat untuk tujuan penyelidikan ini.
Tidak lupa kepada Pengetua dan semua guru-guru KHB-ERT, di sekolah-
sekolah menengah daerah Kota Tinggi, atas kesediaan memberikan kebenaran dan
menjadi responden kajian yang memberikan sumbangan cukup besar kepada
penyelidikan saya ini. Terima kasih juga buat rakan-rakan seperjuangan yang
sentiasa bersama dalam suka dan duka sepanjang bersama.
Penghargaan juga kepada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar
Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Johor di atas
kebenaran yang diberikan bagi menjalankan kajian ini. Seterusnya kepada semua
pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak dalam membantu kejayaan
projek penyelidikan ini dijalankan.
Terima kasih.
v
ABSTRAK
Penilaian adalah satu aspek penting dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran, di mana guru adalah orang yang bertanggungjawab
mengendalikannya. Penilaian pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Kemahiran
Hidup Bersepadu di peringkat Penilaian Menengah Rendah, 40 % terdiri daripada
kerja kursus yang berasaskan kriteria yang telah ditetapkan. Kefahaman guru
terhadap kriteria yang dinilai adalah penting kerana ianya akan menentukan lulus
gagalnya pelajar dalam mata pelajaran ini. Kajian telah dijalankan di 14 buah sekolah
menengah di daerah Kota Tinggi, Johor bagi mengenal pasti kefahaman guru-guru
terhadap kriteria penilaian projek kerja kursus Kemahiran Hidup Bersepadu (ERT),
di peringkat Penilaian Menengah Rendah. Penyelidikan juga bertujuan mengenal
pasti masalah yang guru hadapi dalam menjalankan penilaian projek pelajar.
Responden kajian adalah seramai 35 orang guru yang mengajar KHB-ERT. Kaedah
soal selidik berbentuk skala Likert dan Binari digunakan bagi mendapatkan
maklumat. Keputusan kajian menunjukkan guru-guru mempunyai kefahaman yang
jelas terhadap kriteria yang digunakan dalam penilaian projek pelajar. Namun pada
masa yang sama terdapat beberapa masalah seperti kekangan masa, yang guru hadapi
dan perlu ditangani dengan bijak untuk memastikan penilaian dilaksanakan dengan
adil dan saksama bagi menjamin keesahannya.
vi
ABSTRACT
Evaluation is one of the important aspects in teaching and learning activities,
in which a teacher is fully responsible. At the PMR level, the assessment of Living
Skills consist of 40% course work whereby students are assessed by teachers using
set criteria. Teacher knowledge and understanding on these criteria is important to
determine the students performance level in the subject. A study was conducted at 14
secondary schools in Kota Tinggi, Johor to identify the level of understanding
among ERT teachers towards the assessment criteria of the living skills course work
project (ERT). The other purpose of the study is to identify the problem faced by the
ERT teachers in assessing students’ projects. In the study 35 teachers were selected
as respondents. The Likert scale and Binary were used as the main instrument to
gather the information. The result showed that the teachers have a clear
understanding towards the criteria used in assessing the project. However, there
were several constraints that should be wisely tackle by these teachers such as time
management, to ensure the validity of the assessment.
vii
KANDUNGAN BAB PERKARA HALAMAN
HALAMAN JUDUL i
HALAMAN PENGAKUAN ii
HALAMAN DEDIKASI iii
HALAMAN PENGHARGAAN iv
ABSTRAK v
ABSTRACT vi
KANDUNGAN vii
SENARAI JADUAL x
SENARAI RAJAH xii
SENARAI SINGKATAN xiii
SENARAI SIMBOL xiv
BAB I PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan 1
1.2 Latar Belakang Masalah 4
1.3 Pernyataan Masalah 8
1.4 Objektif Kajian 8
1.5 Persoalan Kajian 9
1.6 Skop dan Batasan Kajian 9
1.7 Kepentingan Kajian 9
1.8 Definisi 13
viii
BAB 2 SOROTAN PENULISAN
2.1 Pendahuluan 18
2.2 Sejarah mata Pelajaran Kemahiran Hidup 19
2.3 Latar Belakang Kemahiran Hidup Bersepadu 20
2.4 Pilihan Ekonomi Rumah Tangga 22
2.5 Kerja Kursus 24
2.6 Pentaksiran / Penilaian 25
2.7 Peranan dan Tugas Guru 27
2.8 Kekangan Masa 29
2.9 Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) 30
2.10 Penggredan Berdasarkan Kriteria (PBK) 32
2.11 Penutup 35
BAB 3 METODOLOGI KAJIAN
3.1 Pengenalan 36
3.2 Rekabentuk Kajian 36
3.3 Lokasi Kajian 37
3.4 Populasi dan Sampel Kajian 38
3.5 Instrumen Kajian 39
3.6 Kajian Rintis 41
3.7 Prosedur Kajian 43
3.8 Kaedah Pengumpulan Data 44
3.9 Analisis Data 45
BAB 4 ANALISIS DAN INTERPRETASI DATA
4.1 Pendahuluan 47
4.2 Analisis Data Bahagian A 48
ix
4.3 Analisis Data Bahagian B 53
4.4 Analisis Data Bahagian C 56
4.5 Analisis Data Bahagian D 64
4.6 Kesimpulan 67
BAB 5 RUMUSAN, PERBINCANGAN DAN CADANGAN
5.1 Pengenalan 69
5.2 Rumusan 70
5.3 Perbincangan 73
5.4 Cadangan 79
5.5 Kesimpulan 81
RUJUKAN 82
LAMPIRAN A - J
x
SENARAI JADUAL
NO. JADUAL TAJUK HALAMAN
Jadual 1.1 Senarai Mata Pelajaran PBS di Peringkat
Penilaian Menengah Rendah 2
Jadual 1.2.1 Pemarkahan Kerja Kursus 6
Jadual 1.2.2 Gred Pentaksiran Berasaskan Kriteria 7
Jadual 2.3.1 Perubahan dalam Sukatan Pelajaran 20
Jadual 2.3.2 Perubahan Berdasarkan Tajuk Dalam
Sukatan Pelajaran 21
Jadual 2.5 Senarai Konstrak Dan Aspek Bagi Modul 1 Hingga 4 24
Jadual 2.9 Tempoh Pentaksiran Kerja Kursus 30
Jadual: 2.10.1 Kriteria Pentaksiran Kerja Kursus KHB-ERT 32
Jadual 2.10.2 Pelaporan Gred Pemarkahan PBK 34
Jadual 2.10.3 Pemarkahan Dalam Unit Numerik 34
Jadual 2.10.4 Contoh Pemarkahan Individu 35
Jadual 3.3 Nama Sekolah Menengah Dan Bilangan Guru
Mengajar KHB-ERT 37
Jadual 3.5.1 Taburan Item Bahagian A (Latar Belakang Responden) 40
Jadual 3.5.2 Skala Likert 41
Jadual 3.5.3 Taburan Item Soal Selidik Mengikut Persoalan Kajian 41
Jadual 3.6 Senarai Sekolah Yang Menjalankan Kajian Rintis 42
Jadual 3.9.1 Tahap Penilaian Responden Berdasarkan Peratus 45
Jadual 3.9.2 Tahap Penilaian Responden Berdasarkan Min 46
Jadual 4.2 Taburan Responden Yang Menjawab Soal Selidik 48
Jadual 4.2.1 Taburan Responden Mengikut Jantina 49
Jadual 4.2.2 Taburan Responden Mengikut Umur 50
xi
Jadual 4.2.3 Taburan Responden Mengikut Kelulusan Iktisas 50
Jadual 4.2.4 Taburan Responden Mengikut Pengkhususan 50
Jadual 4.2.5 Taburan Responden Mengikut Pengalaman Mengajar 51
Jadual 4.2.6 Taburan Responden Mengikut Jumlah Waktu Mengajar 52
Jadual 4.2.7 Taburan Responden Mengikut Tugas Lain Yang
Dipertanggungjawabkan 52
Jadual 4.3.1 Taburan Kekerapan dan Peratusan Berdasarkan
Soalan Kajian 1 54
Jadual 4.4.1 Taburan Kekerapan Dan Peratusan Kefahaman
Responden Terhadap Modul 1 57
Jadual 4.4.2 Taburan Kekerapan Dan Peratusan Kefahaman
Responden Terhadap Modul 2 59
Jadual 4.4.3 Taburan Kekerapan Dan Peratusan Kefahaman
Responden Terhadap Modul 3 61
Jadual 4.4.4 Taburan Kekerapan Dan Peratusan Kefahaman
Responden Terhadap Modul 4 63
Jadual 4.5.1 Taburan Kekerapan dan Peratusan Terhadap Masalah
Yang Dihadapi 65
Jadual 4.6 Rumusan Purata Dapatan Setiap Soalan Kajian 67
xii
SENARAI RAJAH
NO RAJAH TAJUK HALAMAN
Rajah 1.1 Tindakbalas Antara Penialai, Pengujian Dan
Pembelajaran 5
Rajah 3.7 Carta Aliran Prosedur Kajian 44
xiii
SENARAI SINGKATAN
KHB - Kemahiran Hidup Bersepadu
KPM - Kementerian Pelajaran Malaysia
PPK - Pusat Perkembangan Kurikulum
LPM - Lembaga Peperiksaan Malaysia
PBS - Pentaksiran Berasaskan Sekolah
P & P - Pengajaran dan Pembelajaran
PMR - Penilaian Menengah Rendah
ULBS - Ujian Lisan Berasaskan Sekolah
PLBS - Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah
KBSM - Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
KBSR - Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
KHB-ERT - Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan Ekonomi Rumah
Tangga
PBK - Penggredan Berdasarkan Kriteria
JPN - Jabatan Pelajaran Negeri
PPD - Pejabat Pendidikan Daerah
SMK - Sekolah Menengah Kebangsaan
RMK-9 - Rancangan Malaysia Ke 9
SMKA - Sekolah Menengah Kebangsaan Agama
1
BAB I
PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) merupakan satu mata pelajaran amali
yang berunsurkan teknologi. Ditawarkan kepada pelajar di Tingkatan Satu hingga
Tingkatan Tiga. Mata pelajaran ini dirancang sedemikian rupa adalah untuk
mencapai matlamat ke arah mempertingkatkan produktiviti negara melalui
penglibatan masyarakat secara kreatif, inovatif dan produktif. (Sumber: Sukatan
Pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Tingkatan I – III (Semakan) Pusat
Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia: Mei 2002)
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Pusat Perkembangan
Kurikulum (PPK), telah menyemak dan meluluskan semakan semula sukatan
pelajaran beberapa mata pelajaran sekolah menengah, termasuk mata pelajaran
KHB bermula pada tahun 2003. Ia bermatlamat untuk melahirkan insan yang
berdikari, kenal faham teknologi dan ekonomi serta kreatif, berinisiatif dan yakin
diri dalam keadaan teknologi yang sentiasa berubah untuk kehidupan seharian.
(Sumber: Format Pentaksiran Kemahiran Hidup Berspadu –Ekonomi Rumah
Tangga, Lembaga Peperiksaan, KPM 2005).
Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah dipertanggungjawabkan untuk
menyediakan satu kaedah pentaksiran bagi menilai sejauhmana pencapaian pelajar
dalam mata pelajaran ini. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) (Lampiran A)
merupakan salah satu komponan pentaksiran yang dikendalikan oleh pihak sekolah
2
dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). PBS di peringkat Penilaian
Menengah Rendah (PMR) terdiri daripada lima bentuk iaitu:
a. Projek.
b. Kerja Kursus.
c. Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS).
d. Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS).
e. Modul.
Jadual 1.1 : Senarai Mata Pelajaran PBS di Peringkat Penilaian Menengah Rendah
PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) Bil Kod
MP Mata pelajaran Status kertas Jenis Calon
1. Bahasa Melayu PLBS 2. Bahasa Inggeris PLBS 3. 21/2 Sejarah Kerja Kursus 4. 23/2 Geografi Kerja Kursus 5. 31/2 Bahasa Arab
Komunikasi PLBS
6. 45/2 Pendidikan Islam- Tilawah dan Hafazan
PLBS
7. 45/2 Pendidikan Islam- Adab dan Akhlak Islamiah
Kerja Kursus
8. 55/3 Sains PEKA 9. 76/2 Kemahiran Hidup
Bersepadu 1-76 Kerja Kursus
10. 77/2 Kemahiran Hidup Bersepadu 2-77
Kerja Kursus
11. 78/2 Kemahiran Hidup Bersepadu 3-78
Kerja Kursus
12. 79/2 Kemahiran Hidup Bersepadu 4-79
Kerja Kursus
13. PAFA – kelolaan JAKIM
Lisan & Amali
Dilaksanakan oleh Calon Sekolah Kerajaan dan Calon Sekolah Swasta sahaja (Tiada calon persendirian)
(Sumber : Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan SPPP Bil. 3/2003)
Pentaksiran merupakan elemen penting dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Ia digunakan sebagai alat untuk mengukur pencapaian pelajar serta
untuk tujuan pelaporan. Konsep pentaksiran untuk pembelajaran (asessesment for
learning) perlu dimajukan supaya pelajar boleh meningkatkan pembelajarannya
3
dan guru boleh menambahbaik pengajarannya. (Sumber : Hj. Mustafar Muhamad,
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Jabatan Pendidikan Teknikal).
Kesan dari perubahan ini, maka kerajaan akan melancarkan secara rasminya
pelan tindakan atau blue-print Kementerian Pelajaran sepanjang Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK 9). Pelan tindakan ini amat penting kerana
melaluinya, kerajaan akan menyediakan asas yang kukuh untuk reformasi
pendidikan sepenuhnya menjelang tahun 2020. Perancangan ini telah mengambil
kira wawasan, matlamat, dasar dan perancangan negara. Melalui pelan tersebut,
kerajaan berhasrat mencapai tiga matlamat utama iaitu:
1. Membentuk ciri-ciri individu dan masyarakat bangsa Malaysia pada tahun
2020.
2. Menyediakan akses, ekuiti dan pendidikan berkualiti untuk semua golongan
agar pada tahun 2020 kelak, tiada mana-mana pihak yang tercicir dari arus
kemajuan negara.
3. Terarah untuk memastikan pembangunan yang mampan agar kemajuan yang
dicapai oleh negara dan bangsa dapat terus dipertahankan.
(Sumber : Teks Ucapan YAB Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri
Pelajaran Malaysia sempena Pelancaran Jubli Emas Lembaga Peperiksan Malaysia: 3
Mei 2006)
Apa-apa percubaan atau projek rintis yang dilaksanakan dalam pendidikan
selepas ini adalah bermatlamat, menyediakan asas yang kukuh. Menjelang tahun
2020 kita akan dapat melihat satu perubahan menyeluruh dalam sistem pendidikan
negara. Sistem pendidikan ketika itu pasti berupaya melahirkan masyarakat bangsa
Malaysia yang berkeyakinan, mempunyai jati diri yang teguh, berpegang kepada
nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam sebuah masyarakat yang penyayang,
demokratik, liberal dan bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik,
mempunyai agihan ekonomi yang adil, progresif dan makmur serta menguasi
sepenuhnya ekonomi yang bersaing, dinamik, cergas dan kental.
Dengan perkembangan pendidikan yang begitu pesat kini, seharusnya ia tidak
terlalu berorientasikan kepada peperiksaan. Bagi memastikan kejayaan RMK 9 , ia
pasti mengheret banyak perubahan dalam LPM. Selain mengubah penilaian dalam
4
peperiksaan, tentunya mengubah kaedah pentaksiran, pendekatan dalam penyediaan
kurikulum dan huraian sukatan pelajaran, merubah kaedah P&P, mengubah
pendekatan latihan guru serta kaedah penaziran.
1.2 Latar Belakang Masalah
Penilaian Menengah Rendah (PMR) merupakan peperiksaan kebangsaan di
Malaysia yang ditadbir secara berpusat. Peperiksaan ini diambil oleh pelajar di akhir
Tingkatan Tiga sekolah menengah bantuan penuh kerajaan dan sekolah menengah
persendirian (swasta) berdasarkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
(KBSM). Pelajar yang menduduki PMR semestinyalah telah mengikuti enam tahun
sekolah rendah di bawah Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan tiga
tahun pengajian di bawah KBSM. Ia menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa
penghantar.
Pengajaran sesuatu mata pelajaran tanpa pengujian dan penilaian adalah tidak
bermakna. Tanpa penilaian, penggubal kurikulum mahupun guru tidak dapat
mengetahui sama ada objektif kurikulum tersebut telah tercapai atau belum.
Menurut Tan Hui Leng dan Ee Ah Meng (1996), penilaian sebenarnya berkait rapat
dengan strategi P&P. Rajah 1.1 menunjukkan bagaimana penilaian P&P
bertindakbalas di antara satu sama lain untuk mencapai satu matlamat pendidikan.
Rajah 1.1 : Tindakbalas Antara Penilaian, Pengajaran Dan Pembelajaran Untuk Mencapai Matlamat Pendidikan
(Sumber : Tan Hui Leng dan Ee Ah Meng (1996))
PENILAIAN
PENGAJARAN PEMBELAJARAN
MATLAMAT
5
Satu aspek penting dalam proses P&P ialah penilaian. Penilaian bagi mata
pelajaran KHB adalah mengambil kira aspek kerja kursus yang dilaksanakan
mengikut modul-modul yang telah ditetapkan oleh LPM. Ia perlu dilaksanakan oleh
semua pelajar yang mengambil mata pelajaran ini. Inilah yang menjadi alat
pengukuran dalam PBS. Pemarkahan kerja kursus ini perlu ditaksir oleh guru yang
telah diberi mandat atau diturunkan kuasa atasnya oleh Pengetua. Pentaksiran juga
dilakukan oleh Penyelaras Dalaman dan Penyelaras Luaran melalui evidens proses
dan avidens produk.
Mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Ekonomi Rumah Tangga
(KHB-ERT) ditaksir pada peringkat PMR mulai tahun 2005. Pentaksirsan bagi
KHB-ERT adalah berdasarkan matlamat dan objektif mata pelajaran tersebut. Antara
objektifnya adalah:
a. Kebolehan berdikari dalam menjalankan kerja-buat-sendiri.
b. Kenal faham terhadap teknologi yang sentiasa berubah untuk kehidupan
harian.
c. Kenal faham terhadap ekonomi untuk kehidupan harian.
d. Kebolehan mengaplikasi kemahiran bagi menghasilkan sesuatu
projek/produk.
e. Kebolehan bagi mengaplikasikan kreativiti untuk merekabentuk dan
menghasilkan sesuatu projek / produk.
f. Mengamalkan cara bekerja yang sistematik, bijaksana dan teknik yang betul
dengan yakin diri yang tinggi.
g. Kebolehan mendokumentasikan maklumat secara bersistem.
Format pentaksiran KHB-ERT menggunakan dua instrumen :
a. Kertas 1 (77/1) - Mengandungi 60 soalan objektif Reka Bentuk Teknologi
dan Eknomi Rumah Tangga. Pelajar mesti menjawab semua soalan dalam
tempoh 1 jam 30 minit . (Lampiran B )
b. Kertas 2 (77/2) – Berasaskan modul dari LPM. Pelaksanaannya dijalankan
secara berterusan sepanjang tempoh P&P Tingkatan 1 , 2 dan 3. Evidensnya
dilakukan oleh pelajar secara bertulis. Pentaksiran pula berdasarkan kriteria
yang dikenalpasti.(Lampiran C).
6
PBS meliputi 40% daripada markah keseluruhan peperiksaan PMR. Jumlah
markah ini sahaja yang akan dihantar ke LPM oleh Pengetua. Oleh itu kerja kursus
ini amat penting kerana penentuan gagal atau lulusnya pelajar berdasarkan kepada
keputusan kerja kursus mereka. Pemberian markah kerja kursus berdasarkan
pembahagian yang tertera pada rajah di bawah:
Jadual 1.2.1 : Pemarkahan Kerja Kursus
Modul Tingkatan Kandungan Markah (%) 1 1 Ekonomi Rumah Tangga 10 2 2 Reka Bentuk dan Teknologi 10 3 2 Ekonomi Rumah Tangga 10 4 3 Reka Bentuk dan Teknologi 10
JUMLAH 40 (Sumber: Dokumen Pentaksiran Kerja Kursus, PMR 2008) Penilaian dan pentaksiran kerja kursus pelajar dibuat menggunakan sistem
Penggredan Berdasarkan Kriteria (PBK). Pemarkahan dalam PBK pula dibuat
dengan menukarkan gred yang diperolehi ke dalam unit numerik. Rasionalnya ialah
kaedah ini akan menggambarkan prestasi calon berdasarkan pencapaiannya dalam
sesuatu aspek yang diukur. Enam gred digunakan bagi melaporkan tahap pencapaian
calon PMR seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah .
Jadual 1.2.2 : Gred Pentaksiran Berasaskan Kriteria
Gred Pencapaian Unit Numerik A Cemerlang 4 B Kepujian 3 C Memuaskan 2 D Mencapai sebahagian tahap penguasaan minimum 1 E Tidak melaksanakan kerja kursus 0 F Dikecualikan -
(Sumber: Dokumen Pentaksiran Kerja Kursus, PMR 2008)
Mulai tahun 2008 terdapat perubahan dalam pentaksiran tapi rekabentuk
format tetap mementingkan prinsip-prinsip asas pentaksiran, terutamanya aspek
keesahan, kebolehpercayaan, kebolehlaksanaan dan penjaminan kualiti. Ini
bermakna pentaksiran memberi fokus kepada pencapaian objektif mata pelajaran
yang merangkumi bidang pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni. Rekabentuk
dan pentaksiran juga dipastikan mempunyai kerelevanan dan mencakupi semua
aspek dalam sukatan pelajaran.
7
Apa yang menjadi persoalan di sini ialah guru sendiri yang dilantik sebagai
pentaksir kerja kursus pelajar dan bakal menentukan samada seseorang pelajar
bimbingannya lulus atau gagal dalam mata pelajaran ini. Apakah guru telah benar-
benar bersedia dan mengetahui akan perubahan yang berlaku? Adakah mereka
benar-benar memahami kriteria yang telah ditetapkan? Apakah setiap guru yang
membuat penilaian akan memberi terjemahan yang sama ke atas item penilaian yang
digunakan?. Adakah guru ini bersedia dan berusaha mendapatkan sebarang
maklumat terkini?.
Berdasarkan kriteria yang digunakan untuk penilaian, pertanyaan di atas
bersifat agak subjektif. Setiap pentaksir atau guru penilai mempunyai tanggapan
yang berbeza untuk item yang sama. Kefahaman yang berbeza inilah yang boleh
menjejaskan kesahehan penilaian serta pentaksiran, di samping itu di kalangan
pelajar, ianya boleh menimbulkan rasa ketidakadilan.
1.3 Pernyataan Masalah
Kajian ini dilakukan adalah untuk mengkaji sejauh mana kefahaman guru
Kemahiran Hidup Bersepadu (Ekonomi Rumah Tangga) di sekolah-sekolah
menengah di daerah Kota Tinggi, Johor terhadap pelaksanaan pentaksiran kerja
kursus, memahami kriteria-kriteria pentaksiran kerja kursus tersebut serta adakah
timbul sebarang masalah sepanjang pentaksiran dilaksanakan di peringkat PMR.
1.4 Objektif Kajian
Objektif kajian ini ialah untuk mengetahui tahap kefahaman guru KHB-ERT
dalam melaksanakan pentaksiran kerja kursus KHB-ERT di peringkat PMR.
Objektif khususnya ialah seperti berikut :
i. Mengenal pasti tahap kefahaman guru KHB-ERT terhadap pelaksanaan
8
pentaksiran kerja kursus berdasarkan Dokumen Pentaksiran Kerja Kursus
yang dikeluarkan oleh LPM
ii. Mengenal pasti tahap kefahaman guru KHB-ERT terhadap kriteria-
kriteria dalam pentaksiran kerja kursus pelajar berdasarkan Dokumen
Pentaksiran Kerja Kursus yang dikeluarkan oleh LPM.
iii. Mengenal pasti masalah guru KHB-ERT sepanjang pelaksanaan kerja
kursus pelajar berdasarkan Dokumen Pentaksiran Kerja Kursus yang
dikeluarkan oleh LPM.
1.5 Persoalan Kajian
Berdasarkan masalah yang dinyatakan, persoalan kajian adalah:
i. Adakah guru mempunyai kefahaman yang jelas terhadap Dokumen
Pentaksiran Kerja Kursus (77/2) ?
ii. Adakah guru mempunyai kefahaman yang jelas terhadap kriteria-kriteria
yang ditetapkan dalam Dokumen Pentaksiran Kerja Kursus (77/2) ?
iii. Adakah guru menghadapi masalah dalam pelaksanaan pentaksiran kerja
kursus berdasarkan Dokumen Pentaksiran Kerja Kursus (77/2) ?
1.6 Skop Dan Batasan Kajian
Kajian ini dijalankan ke atas 35 orang guru atau responden di 14 buah
sekolah menengah yang menawarkan mata pelajaran KHB-ERT di peringkat PMR di
daerah Kota Tinggi berdasarkan set soal selidik yang diedarkan dan temubual yang
dijalankan. Semua responden adalah guru KHB yang telah dilantik oleh pihak
pentadbir sekolah sebagai pentaksir dan sedang melaksanakan P&P bagi mata
pelajaran KHB-ERT di samping menjalankan pentaksiran kerja kursus KHB-ERT di
peringkat PMR terhadap pelajar di bawah seliaannya.