keistimewaan pen higlighter
-
Upload
leiazaifin -
Category
Documents
-
view
219 -
download
3
description
Transcript of keistimewaan pen higlighter
Kesantunan, dalam konteks yang lebih luas, tidak merujuk kepada kesantunan
berbahasa semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek non-verbal seperti tingkah laku,
mimik muka, dan nada suara. Dalam hal ini, Lakoff (1975) mendefinisikan kesantunan
sebagai perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Budaya santun
ini amat perlu diterapkan ke dalam diri setiap individu kerana kesantunan merupakan
lambang kepada peribadi seseorang sekaligus masyarakat sekeliling sudah dapat
melabelkan diri kita tergolong dalam golongan yang bagaimana. Misalnya, seseorang itu
sangat santun dari segi budi bahasanya. Hal ini akan memberikan gambaran positif tentang
diri kita kepada orang yang baru sahaja dikenali dan akan menaikkan imej diri kita sendiri.
Seperti kata pepatah “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan
nama”. Hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga. Rentetan itu, kami
telah diberikan tugasan yang berkaitan dengan kesantunan ini. Kami diminta untuk merakam
sebuah video yang mengandungi pelbagai amalan baik santun mahupun tidak santun. Untuk
menjayakan tugasan ini, kami sekumpulan telah berpakat untuk memilih situasi aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Kami telah merakam video di dalam kelas kami sendiri
dengan bantuan pensyarah dan rakan-rakan sekelas yang lain.
Setelah dibuat penilaian dan analisa dengan lebih terperinci lagi, terdapat banyak
nilai yang positif dan negatif atau amalan santun serta tidak santun boleh kita petik
berdasarkan video yang telah kami sediakan ini. Nilai atau amalan santun yang pertama
yang terdapat dalam video ini ialah terdapat seorang pelajar sedang menyapu lantai di
dalam kelas sebelum proses pengajaran dan pembelajaran dimulakan. Hal ini memang
patut dipuji dan dicontohi oleh semua orang kerana amalan santun yang telah dibawakan
oleh pelajar berkenaan ialah pembersih. Pelajar itu sedang berusaha untuk menyediakan
satu suasana yang kondusif supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat berlaku
atau dijalankan dengan lancar dan sempurna. Dengan adanya suasana yang kondusif di
dalam kelas sebagaimana yang telah dipaparkan dalam video tersebut, pelajar-pelajar yang
lain turut dapat belajar dengan tenang dan dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap
pembelajaran yang akan berlangsung. Fakta telah membuktikan bahawa suasana dan
persekitaran yang kondusif akan dapat meningkatkan tahap konsentrasi seseorang terhadap
sesuatu perkara tidak kira samaada dalam pembelajaran ataupun perkara-perkara lain. Hal
ini kerana persekitaran yang kondusif serta bersih dapat membuatkan otak dan minda kita
menjadi lebih tenang dan berupaya untuk berfungsi secara lebih efisen lagi. Kami yakin dan
percaya bahawa semua orang suka akan persekitaran yang bersih di sekeliling mereka
kerana hal itu akan membuatkan kita lebih selesa dan akan terhindar daripada penyakit
yang tidak diingini. Walaupun semua orang suka akan kebersihan, namun tidak semua
orang ringan tulang untuk mempraktikkan amalan menjaga kebersihan ini dalam kehidupan
seharian mereka. Perkara sebegitu tidak seharusnya terjadi kerana sesungguhnya
kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman. Oleh yang demikan, dengan hanya
menyapu di dalam kelas, pelajar itu telah menunjukkan persepsi bahawa dia telah menerima
ajaran dan didikan yang baik serta mempunyai tahap kesantunan yang tinggi yang patut kita
semua contohi.
Seperti yang kita lihat, terdapat juga amalan yang tidak santun iaitu amalan negatif
terkandung dalam video ini. Contohnya terdapat seorang pelajar telah datang lewat ke
kelas. Setelah beberapa minit proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung, seorang
pelajar baru sahaja tiba ke kelas. Dalam hal ini, amalan lewat datang ke kelas sebenarnya
tidak seharusnya terjadi sama sekali. Kita sebagai seorang pelajar haruslah berupaya untuk
mendisiplinkan pengurusan masa dalam kehidupan seharian. Seperti pelajar yang terdapat
dalam video itu, dia telah lewat datang ke kelas. Hal ini telah menunjukkan bahawa dia telah
gagal dalam pengurusan waktu kehidupan sehariannya. Sepatutnya, untuk mengatasi
masalah ini daripada terus berulang lagi, seseorang pelajar itu haruslah menentukan
matlamat hidup yang ingin dicapainya. Contohnya, seseorang pelajar itu mempunyai
matlamat untuk ke kelas menepati waktu setiap hari secara konsisten. Oleh itu, pelajar
berkenaan haruslah mempunyai disiplin yang tinggi untuk mencapai matlamat dan sasaran
yang telah dia tetapkan sendiri. Kita tidak seharusnya bertindak mengikut kata hati iaitu
bertindak mengikut sesuka hati kita. Sebaliknya kita hendaklah bertindak mengikut akal
fikiran yang waras yang telah diciptakan oleh Maha Pencipta sekalian alam ini. Akal yang
waras merupakan pengawal juga penasihat yang terulung yang setia disisi bersama kita
walau ke mana sahaja kita berada. Akal juga dapat memberitahu diri kita untuk
membezakan baik buruk tentang sesuatu perkara. Sekiranya manusia tidak dikurniakan akal
fikiran untuk berfikir, sudah pasti dunia yang penuh pancaroba ini akan menjadi porak-
peranda dengan berlakunya pelbagai hal yang tidak diingini. Oleh itu, kita seharusnya
memanfaatkan sepenuhnya akal fikiran yang telah dikurniakan kepada kita ini. Alternatif lain
untuk memastikan teknik pengurusan masa dalam kehidupan seharian seseorang itu tepat
adalah dengan membuat jadual waktu. Sebenarnya, dengan adanya jadual waktu sebegini
hidup kita akan menjadi lebih teratur dan sistematik kerana kita sudah membuat
perancangan awal tentang aktiviti yang bakal dilakukan pada hari tersebut. Sekaligus,
amalan buruk seperti membazir masa dengan sia-sia dapat dielakkan. Oleh yang demikian,
perancangan jadual waktu sangat digalakkan bukan sahaja kepada golongan pelajar malah
golongan dewasa yang bekerja juga patut mempunyai jadual waktu yang tersendiri sebagai
panduan kepada kehidupan seharian kita. Masa itu ibarat emas. Demi masa. Sesungguhnya
manusia kerugian. Masa yang telah berlalu tidak mungkin dapat kita kembalikan lagi. Masa
yang telah lepas tidak mungkin dapat diputar supaya berulang lagi.
Amalan yang terdapat dalam rakaman video yang seterusnya ialah amalan tidak
memberi salam. Amalan ini merupakan amalan tidak santun yang buruk yang tidak boleh
kita contohi dan tidak sepatutnya berlaku. Sebagai contoh yang terdapat dalam rakaman
video itu, seorang pelajar masuk ke kelas tanpa memberi salam. Perkara ini adalah sangat
tidak sopan dan boleh dianggap sebagai biadab. Budaya memberi salam seharusnya
menjadi amalan dalam diri kita. Memberi salam ini banyak kebaikannya di samping ianya
hanyalah percuma untuk dituturkan. Dengan memberi salam ianya membawa maksud kita
mendoakan kesejahteraan seseorang itu. Secara tidak langsung seseorang itu juga akan
turut mendoakan kesejahteraan diri kita. Kita akan mengecapi kehidupan yang harmoni dan
bahagia sekiranya amalan sebegini rupa dapat diteruskan. Salam juga dapat menjadi
langkah permulaan perkenalan kita dengan seseorang. Dengan memberi salam, ukhwah
fillah antara seorang individu dapat dipereratkan lagi. Orang lain juga akan turut menyenangi
diri kita dan kita tidak akan dianggap sombong atau kera sumbang. Kita akan mudah
mendapat kawan walau ke mana sahaja kita pergi. Seperti kata pepatah, “masuk kandang
kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak. Kita haruslah pandai membawa
dan menyesuaikan diri dengan sebarang keadaan. Kita haruslah berkawan dengan semua
orang kerana diri kita tidak sempurna. Suatu ketika nanti kita pasti akan memerlukan
pertolongan dan bantuan daripada mereka juga.Tidak selalunya kita akan berada di atas.
Bumi mana tidak ditimpa hujan. Pokok mana tidak bergoyang. Lautan mana tidak bergelora.
Begitu juga dengan diri kita yang serba kekurangan ini. Kita pasti akan memerlukan bantuan
orang lain. Oleh itu, salam dapat menjadi media permulaan untuk membinanya ikatan
sebuah persahabatan. Orang dahulu kala ada menyebut berkawan biarlah beribu. Jadi kita
tidak seharusnya mensia-siakan peluang yang ada untuk menambah rakan dan kenalan.
Mempunyai kenalan yang ramai memberi banyak keuntungan kepada kita. Kita dapat
bertukar-tukar pendapat dengan mereka, berkongsi pengalaman yang telah dilalui dan
sebagainya. Namun begitu, dalam mencari kenalan, kita haruslah bijak untuk memilih.
Janganlah kita memilih kawan yang dapat merosakkan diri kita. Jangan pula kita memilih
kawan yang suka mengambil kesempatan ke atas diri kita yang menyebabkan diri kita
sendiri yang rugi. Dalam erti kata lain, kita haruslah menggunakan akal dan kebijaksanaan
kita untuk memilih kawan. Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Sekali tersilap langkah buruk
padahnya. Janganlah kita hendak menyesali tentang sesuatu perkara apabila nasi sudah
menjadi bubur. Janganlah pula kita ibarat sudah terhantuk baru terngadah. Kami juga selalu
berpesan-pesan antara kami takut ada yang terlupa. Sesungguhnya manusia itu berasal dari
perkataan “nasia” yang bermaksud pelupa. Jadi wajarlah untuk kita saling mengingati antara
satu sama lain. Bagi kami kawan telah menjadi keluarga kedua di sini menggantikan ibu dan
bapa serta adik beradik. Selalulah tegur-menegur dan memberi salam ketika bertemu muka
antara satu sama lain supaya kita akan disenangi banyak orang. Salam itu satu sedekah.
Perlakuan seterusnya ialah memberi salam dan sapaan. Perlakuan ini merupakan
perlakuan yang menunjukkan amalan kesantunan dalam kehidupan seharian. Salam dan
sapaan ini diberikan oleh pensyarah kepada pelajar dan juga pelajar-pelajar kepada
pensyarah sebelum memulakan pembelajaran dalam video ini. Bersalam adalah budaya
masyarakat Melayu. Bersalaman mestilah dibuat dengan menggunakan cara yang betul
supaya kedua-dua belah pihak dapat merasai kasih sayang dan silaturahim serta dapat
memahami antara satu sama lain.
“Selamat” atau “salam” berasal dari kata Bahasa Arab yang artinya “damai
sejahtera”. Ia mirip dengan kata Bahasa Ibrani “syaloom”. Kita memakai kata “selamat”
sebagai awal dalam menyapa seseorang, maka dalam menyapa seseorang, maka di
dalamnya terkandung pengertian “semoga kau berada dalam keadaan damai sejahtera”.
Dan di dalam “selamat pagi” terkandung pengertian “semoga kau berada dalam keadaan
damai sejahtera pagi ini”. Sapaan yang mudah ini dapat menonjolkan amalan kesantunan
yang tinggi dalam jati diri seseorang, termasuklah pensyarah dan pelajar-pelajar. Selain itu,
perasaan hormat juga ditunjuk dalam kata sapaan terhadap seseorang. Sebelum
memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, guru boleh memberi sapaan
kepada pelajar dengan mengucapkan “selamat pagi”. Dengan menyebarkan aura positif ini
pelajar akan menjadi lebih bertenaga dan senyuman akan menjadi lebih ikhlas dan berseri.
Suasana juga akan menjadi tenang dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar.
Selain itu, tedapat perlakuan menghantar tugasan, kerja kursus atau kerja sekolah.
Perlakuan ini merupakan perlakuan yang baik, hal ini kerana pelajar telah menepati janji
serta menepati masa untuk menghabiskan dan menghantar kerja. Dalam video, antara
sepuluh pelajar hanya dua orang pelajar yang menghantar tugasan ketika pensyarah
meminta kerja kursus. Sebenarnya, tugasan yang diberi oleh guru kepada pelajar harus
disiapkan pada masa yang ditetapkan. Hal ini merupakan perlakuan ini merupakan salah
satu peranan yang patut dimainkan oleh pelajar. Malangnya kini ramai pelajar selalu tidak
menghantar kerja rumah kepada guru disebabkan tidak sempat menyiapkan tugasan, lupa
bawa, tidak tahu bagaimana menjawab soalan tugasan dan pelbagai alasan. Hal ini
disebabkan sikap bertanggungjawab tidak wujudnya dalam kalangan murid.
Bertanggungjawab, definisinya adalah kesanggupan diri seseorang untuk
melaksanakan tugas serta kewajipan dengan sempurna. Semua orang mempunyai
tanggungjawab serta kewajipan sendiri yang harus dilaksanakan, begitu juga dengan
pelajar. Sebagai contoh, pelajar harus menumpukan perhatian sepenuhnya semasa proses
pembelajaran. Pelajar juga bertanggungjawab untuk menyiapkan tugasan atau kerja yang
diberi. Tetapi pelajar masa kini tidak mengamalkan sikap yang amat mulia ini disebabkan
kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi yang telah menimbulkan sikap malas. Pihak
berkuasa haruslah menangani masalah ini dengan segera. Sebagai guru, kami haruslah
menyemaikan sikap bertanggungjawab dalam kalangan pelajar. Kempen-kempen
kesedaran tentang sikap bertanggungjawab ini juga harus diadakan oleh pihak sekolah.
Selain itu, pengurusan masa itu juga penting untuk menyelesaikan masalah tidak
menghantarkan tugasan. Tips pengurusan masa termasuklah membuat senarai semakan
kerja rumah. Dengan ini, kerja tidak akan dilupakan dan disiap dan hantar pada tarikh yang
betul. Selain itu, bezakan tugasan yang perlu disegerakan dengan tugasan yang penting.
Boleh menangguhkan kerja tetapi kerja yang tidak penting. Contohnya kerja rumah yang
perlu disiapkan esok hari perlu disiapkan segera. Membuat kerja-kerja lain untuk minggu
hadapan memang penting tetapi boleh ditangguhkan sehingga siap kerja rumah yang perlu
disiapkan esok.
Mencatat nota juga merupakan salah satu perlakuan yang terdapat dalam video.
Dalam video tersebut, seorang pelajar sedang berusaha untuk membuat nota sendiri
semasa pembelajaran diadakan dalam kelas. Perlakuan ini merupakan perlakuan positif
yang harus diamalkan dalam kalangan pelajar. Perlakuan ini menunjukkan pelajar tersebut
menumpukan perhatian sepenuhnya dalam kelas ketika guru sedang mengajar. Dengan
membuat nota, pelajar dapat memperoleh pengetahuan yang baru dengan lebih mudah dan
cepat berbanding kepada pelajar lain yang hanya mendengar kepada penjelasan
pensyarah.
Dalam usaha untuk mencatat nota, pelajar seharusnya tidak mengambil nota dalam
setiap perkara yang diucapkan oleh pensyarah. Yang penting, adakah maklumat itu
merupakan fakta dan diperlukan pada masa hadapan. Semasa membuat nota, pelajar
menggunakan otak untuk berfikir secara kritis, analitik dan kreatif untuk menapis isi-isi
penting semasa cikgu mengajar. Dengan membuat nota, pelajar tidak perlu mengingat
semua yang telah dipelajari. Hal ini disebabkan nota merupakan rekod kekal yang boleh
dirujuk pada bila-bila masa atau apabila terlupa. Nota juga dapat membantu pelakar
mengimbau kembali apa-apa yang telah dipelajari atau apa-apa yang kita baca. Yang
penting sekali iaitu nota boleh membantu pelajar membuat rujukan akhir sebelum
menghadapi peperiksaan. Membuat nota memanglah satu kaedah berkesan untuk
pengukuhan.
Kemahiran mencatat nota yang betul amat diperlukan bagi sistem pembelajaran di
universiti dan IPG yang memerlukan daya usaha pelajar sendiri. Pelajar perlu meggunakan
kemahiran mencatat nota yang betul sambil mendengar penerangan pensyarah. Di samping
itu, Siti Hawa Munji (1987) juga mengatakan nota pelajaran di universiti tidak hanya terhad
kepada nota kuliah yang diberi oleh pensyarah sahaja. Maklumat tambahan juga boleh
didapati daripada buku rujukan lain, jurnal atau rencana surat khabar. Oleh itu, pelajar perlu
mengamalkan cara penyimpanan nota yang bersistematik untuk memudahkan diri semasa
mengulang kaji.
Perlakuan positif yang menunjukkan kesantunan yang tinggi dalam rakaman video
ialah mengangkat tangan untuk menanya soalan. Terdapat seorang pelajar yang berakhlak
mulia dan mempunyai kesantunan yang tinggi dengan mengangkat tangan untuk
melontarkan soalan kepada pensyarah yang sedang menjalankan proses pengajaran dan
pembelajaran. Pelajar tersebut menanya soalan dengan menggunakan kata-kata yang
sopan dan halus. Selain itu, pelajar tersebut juga tahu untuk bertanyakan soalan tentang
perkara-perkara yang kurang memahami pada masa yang sesuai iaitu selepas pensyarah
menghabiskan penerangannya di dalam kelas. Dalam konteks ini, jelaslah dapat kita
katakan bahawa pelajar tersebut mempunyai kemahiran komunikasi yang baik di samping
mempraktikkan amalan kesantunan dalam jati dirinya sejak di bangku sekolah lagi.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa generasi muda pada era globalisasi ini
kurang mempunyai kesantunan dalam jiwa mereka. Seperti kita yang sedia maklum,
walaupun perlakuan yang santun merupakan sesuatu perkara yang senang untuk dilakukan
atau diterapkan, namun, sayang seribu kali sayang, para pelajar kini tidak menitikberatkan
amalan kesantunan dalam kehidupan seharian mereka. Sebenarnya, amalan kesantunan
sama ada kesantunan berbahasa, kesantunan verbal atau non-verbal haruslah dipupuk
dalam sanubari kita serta sebati dalam kehidupan kita juga. Hal ini kerana dengan adanya
amalan kesantunan yang tinggi pada diri, kita akan menjadi seorang yang berbudi bahasa,
bersopan santun malah akan disanjungi dan dihormati oleh orang lain.
Merujuk kepada video yang kami sediakan, pelajar tersebut sememangnya menjadi
suri teladan yang baik kepada rakan-rakan sekelasnya dengan mengangkat tangan untuk
menanya soalan. Pelajar itu bukan sahaja menonjolkan kesantunan yang tersemai dalam
jiwanya, malah juga menunjukkan sikapnya yang tidak malu untuk bertanya serta
mempunyai motivasi yang tinggi untuk meningkatkan kecemerlangan diri. Hal ini berpadan
dengan kata pepatah, malu bertanya sesat jalan. Seterusnya, pelajar tersebut juga secara
tidak lansungnya memberi respon yang baik kepada pensyarah semasa proses P & P serta
membantu untuk membina iklim komunikasi yang positif dan memupuk sikap saling
memahami dan bekerjasama. Dalam senario ini, kita dapat melihat betapa pentingnya
amalan kesantunan dan haruslah kita laksanakan selalunya perlakuan atau pertuturan yang
menunjukkan amalan kesantunan.
Bertitik tolak dari situ, terdapat juga pelajar yang tidak mengamalkan kesantunan
dalam kehidupan seharian. Berdasarkan rakaman video yang kami sediakan, salah seorang
pelajar berjalan ataupun mundar-mandir di dalam kelas secara sesuka hati semasa proses
pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan tanpa meminta sebarang kebenaran
daripada pensyarah yang sedang mengajar. Perlakuan tersebut menonjolkan pelajar
tersebut tidak memancarkan penghormatan kepada pensyarahnya malah juga mengganggu
rakan-rakan sekelasnya untuk menumpukan perhatian sepenuhnya semasa kelas sedang
dijalankan. Amalan kesantunan juga tidak tersemai dalam jati diri pelajar tersebut.
Selain itu, dalam mayapada yang serba canggih dan moden ini, generasi muda
kurang menitikberatkan cara percakapan dengan orang yang lebih tua daripada mereka. Hal
ini kerana kebanyakan golongan belia pada zaman ini telah dipengaruhi dengan budaya
Barat yang kurang mementingkan adab sopan, budi bahasa dan kesantunan. Merujuk
kepada video yang kami rakamkan, terdapat seorang pelajar yang menyampuk percakapan
pensyarah semasa pensyarah sedang memberi penerangan tentang tajuk-tajuk yang ingin
disampaikan. Pelajar tersebut bukan sahaja menyampuk percakapan orang yang lebih tua
daripadanya sesuka hati, malah juga melontarkan soalan kepada pensyarah dengan
menggunakan perkataan yang tidak sopan dan hormat. Alangkah sedihnya kerana senario
ini masih dan banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita terutamanya generasi muda
yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara tercinta kita.
Seperti yang kita maklum, pelajar-pelajar mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya jika
kekurangan amalan kesantunan dan nilai-nilai murni dalam sanubari diri. Perbuatan negatif
yang tidak menunjukkan amalan kesantunan ini seperti menyampuk percakapan orang lain
telah menjadi kebiasaan generasi muda hari ini. Oleh hal yang demikian, sebagai seorang
bakal guru, kita seharusnya memainkan peranan yang penting dalam menerapakan amalan
mulia ini pada jati diri supaya dapat dijadikan role model yang baik di samping
mempraktikkan amalan kesantunan yang tinggi dalam sanubari para pelajar sejak di bangku
sekolah lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan adanya
amalan kesantunan dalam hati kecil setiap pelajar, perbuatan-perbuatan negatif boleh
dikurangkan dan dielakkan, malah lahirkanlah generasi muda yang berkualiti, bersopan dan
mempunyai kesantunan yang tinggi.
Seterusnya, perlakuan yang dapat dilihat melalui video rakaman kumpulan kami
ialah perlakuan bermain telefon bimbit ketika pensyarah sedang mengajar di dalam kelas.
Perlakuan ini sangat tidak melambangkan nilai kesantunan dalam diri seseorang. Kita wajar
melabelkan perlakuan ini sebagai perlakuan negatif yang tidak patut dicontohi. Cuba kita
letakkan diri kita pada diri pensyarah yang sedang mengajar di hadapan. Semestinya beliau
berasa kecil hati kerana apa yang beliau cuba sampaikan di hadapan tidak diambil serius
seolah-olah beliau sedang bercerita cerita dongeng semata-mata. Hal ini akan
menyebabkan tiada keberkatan dalam pembelajaran kerana telah mengguris hati pemberi
ilmu tersebut. Memetik kata-kata pujangga ahli ilmuan dunia, Albert Einstein, mengatakan
bahawa, “hormatilah sesiapa sahaja yang telah memberi ilmu, tanpa mereka gelaplah
jalanmu” . Sekiranya kita bermain telefon bimbit ketika sesi pembelajaran, tentunya terserlah
peribadi negatif kita iaitu tiada rasa hormat terhadap orang lain. Pensyarah adalah pendidik
kita yang perlu dihormati. Setiap apa yang dikatakan adalah ilmu. Rasa hormat itulah yang
membawa kepada keberkatan sebenarnya. Berkat ilmu, maka, berkatlah hidup kita.
Bermain telefon bimbit di dalam kelas juga sangat merugikan kerana kita tidak dapat
memberikan perhatian terhadap apa yang pensyarah sampaikan. Kita akan leka bermesej
dan bermain permainan dalam telefon itu. Sudah tentulah kita akan ketinggalan dalam
pelajaran dan tidak dapat menjawab soalan ketika dalam peperiksaan. Seharusnya kita
beringat dan bertanggungjawab dengan masa hadapan sendiri. Zaman globalisasi ini ialah
zaman di mana sudah terlalu ramai orang yang pandai. Sekiranya kita leka walau sekejap
sahaja, kita boleh jatuh tersungkur ke belakang dek kerana tidak dapat mengecapi
kecemerlangan dan melawan pesaing-pesaing di sekeliling yang semuanya inginkan
kejayaan. Sudahlah tidak dapat ilmu, malah, tidak dapat keberkatan lagi. Bayangkanlah di
mana kedudukan kita sekiranya mengamalkan perangai sebegini.
Tun Dr Mahathir pernah berkata “Tiada guna berijazah, kalau tiada nilai murni dalam
diri” . Apa yang dimaksudkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia itu adalah tiada guna
sekiranya kita hanya belajar semata-mata untuk mendapatkan segulung ijazah tetapi tidak
mengaplikasikan nilai murni dalam kehidupan seharian kita. Seperti contoh yang jelas dapat
dikaitkan dengan situasi dalam video adalah tiada rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri
untuk menimba ilmu. Rasa tanggungjawab ini lahir dari hati. Betapa ramai pelajar lepasan
SPM yang berebut-rebut peluang ingin melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi
tetapi tiada peluang. Anda yang telah diberi peluang ini perlu menggunakan peluang itu
sebaiknya. Pendaftaran masuk ke IPT majoriti sekurang-kurangnya RM2000. Hal ini belum
lagi dicampurkan dengan wang saku sara hidup dan bayaran semester seterusnya. Jadi,
alangkah membazirnya duit yang dilaburkan itu sekiranya kita pergi ke kelas untuk bermain
telefon bimbit dan tidur sahaja. Seeloknya wang itu dibelanjakan ke tempat lain dan beri
peluang orang lain untuk gantikan tempat kita untuk sambung belajar.
Semestinya perilaku tidur dalam kelas sama impaknya seperti perilaku bermain
telefon bimbit ketika sesi pembelajaran. Selain itu, perbuatan ini amat tidak disenangi oleh
pensyarah di hadapan kerana perbuatan tidur itu dianggap biadap. Perilaku ini juga
menimbulkan perasaan tidak selesa pada rakan-rakan sekelas. Pelajar yang kuat tidur
dalam kelas dianggap pemalas dan tidak memberi komitmen terhadap pelajaran. Impak
negatif yang paling jelas ialah apabila pensyarah memberi tugasan berkumpulan untuk
diselesaikan dalam kelas itu, pelajar yang kuat tidur ini akan dipinggirkan oleh rakan-rakan
lain. Hal ini rakan-rakan lain tahu orang sebegini sukar memberi kerjasama dan hanya tahu
curi tulang sahaja. Oleh itu, perilaku ini tidak wajar diamalkan oleh seseorang yang bergelar
pelajar.
Di samping itu, dalam video ini juga menunjukkan perilaku yang baik dan patut
dicontohi iaitu meminta kebenaran untuk ke tandas. Kini, kita selalu lihat senario di mana
pelajar keluar masuk kelas sesuka hati mereka walaupun ada cikgu sedang mengajar di
hadapan. Hal ini amat tidak menggambarkan kesantunan. Lebih-lebih lagi di IPT, semua
sudah mencapai alam dewasa jadi tidak seharusnya perkara ini terjadi. Kata-kata yang
dilontarkan perlu dengan nada lembut dan tidak menengking. Terdapat sesetengah pelajar
hanya menyatakan “Cikgu, tandas” lalu berlalu pergi meninggalkan kelas. Kemungkinan
juga teknologi masa kini yang menggunakan bahasa sms menjadi faktor tiada kesantunan
dalam percakapan harian. Tidak rugi sekiranya sebuah ucapan atau kata-kata itu dimulakan
dengan salam atau apa sahaja kata-kata yang baik.
Seperti yang kita dapat lihat dalam video ini, pelajar tersebut menuturkan kata-kata
dengan sopan kepada pensyarah untuk meminta izin keluar ke tandas. Dia mengangkat
tangan sebelum meminta izin. Bukan dengan hanya mencelah atau menyampuk kata-kata
pensyarah. Perkataan ‘izinkan saya’ itu sudah cukup melambangkan kesantunan.
Kesantunan ini melambangkan pelajar itu seorang yang sangat menjaga tutur kata supaya
orang sekeliling tidak terluka dengan kata-katanya. Menurut kata-kata generasi terdahulu,
“mulut adalah senjata yang paling tajam” Dengan menjaga bahasa mulut lah, orang
sekeliling akan berasa selesa untuk berurusan dengan kita. Seperti dalam video ini, pelajar
tersebut bukan sahaja meminta dengan bahasa yang baik, malahan menunjukkan mimik
muka yang manis. Mimik muka juga memainkan peranan dalam kesantunan. Oleh itu,
perilaku ini wajar dicontohi dalam kehidupan seharian kita. Peribahasa inggeris ada
mengatakan “Sekiranya tiada perkataan yang baik untuk diperkatakan, jangan berkata apa-
apa” . Sememangnya betullah apa maksud peribahasa itu. Kadang kala diam itu adalah
lebih baik.
Dalam kehidupan di dunia ini, kita perlu sedar yang bumi ini berputar. Ada kala kita di
atas, ada kala kita berada di bawah. Sekiranya hari ini kita memberi kesantunan terhadap
orang lain, esok harinya pasti ada ganjaran untuk kita. Ganjaran itu datang dalam pelbagai
bentuk. Contohnya kelancaran perjalanan, kemudahan dalam urusan, cepat faham ketika
belajar dan dikelilingi oleh orang-orang baik. Dalam setiap agama juga mementingkan
kesantunan dalam kehidupan. Kesantunan merangkumi pelbagai aspek dar yang umum
hinggalah yang terperinci. Lebih-lebih lagi kita di Malaysia amat popular dengan adat-adat
ketimuran.
Kesantunan juga melambangkan maruah diri seseorang. Hal ini kerana perwatakan
yang kita bawa ke pentas dunia ini melambangkan bagaimana orang tua kita mendidik kita.
Sekiranya baik santunnya, maka ini bermakna berjayalah ibu bapa itu memberi didikan yang
sempurna. Hidup ini saling berkait antara satu sama lain. Apabila kita tidak mengamalkan
kesantunan dalam harian, mungkin tiada kesa terhadap kita tetapi akan terkena tempias
kepada ahli keluarga terdekat kita seperti ibu dan ayah. Sekiranya seorang pelajar itu tidak
santun di dalam kelas, rakan-rakan sekelas akan tergambar bahawa pelajar itu tidak diberi
didikan kesantunan oleh orang tua mereka. Maka, tercemarlah maruah ibu bapa pelajar
itu.Namun begitu, bukanlah salah ibu bapa sekiranya pelajar itu sendiri yang tidak mahu
mendengar kata. Itu adalah kesalahan pelajar itu sendiri yang bersikap “ seperti
mencurahkan air ke daun keladi”.
Kesimpulannya, kesantunan wajib diamalkan oleh setiap manusia tidak mengira
umur. Warga pendidik, ibu bapa , dan masyarakat perlu memainkan peranan dalam
menegur ketidaksantunan yang terlihat di hadapan mata mereka. Seterusnya ibu bapa
perlulah menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti oleh generasi muda kini. Sudah
terbuktilah betapa pentingnya amalan kesantunan dalam kehidupan seharian. Memetik
serangkap lirik lagu popular yang didendangkan oleh Datuk Siti Nurhaliza “bangsa Malaysia
berhemah tinggi. Ramah dan mesra elok pekerti”. Maka, buktikanlah maksud lirik lagu
tersebut. Adakah benar ataupun hanyalah lirik semata-mata? Andalah yang menentukan.
Jagalah perlakuan di mana mana sahaja. Sesungguhnya ada peribahasa menyatakan
“kerana nila setitik rosak susu sebelanga”. Tidak perlu menunding jari kepada orang lain.
Segala-galanya bermula dari diri sendiri. Tepuk dada tanya selera.