Wacana Peranakan Di Malaysia -Sejarah, Cabaran Dan Masa Hadapan Masyarakat Baba Nyonya - Koh Kim Bok
Koh Boh Boon
-
Upload
samsiah-xiah -
Category
Documents
-
view
71 -
download
0
description
Transcript of Koh Boh Boon
Koh Boh Boon (1982) menyatakan bahawa pendidikan pemulihan adalah
terbatas dan lebih khusus sifatnya kerana ia bertujuan untuk membaiki kelemahan
pembelajaran. Ia melibatkan murid – murid lambat iaitu mereka yang lembap atau
lambat mencapai pembelajaran pada tahap yang sepatutnya dicapai. Dalam satu
proses pengajaran dan pembelajaran yang normal, kita tidak akan terkecuali
daripada mendapat murid yang lemah dalam sesuatu kelas. Lemah ini bermaksud
bermasalah dalam pembelajaran, oleh itu murid seperti inilah yang menjadi fokus
utama untuk dibimbing dan diberi tunjuk ajar yang sepatutnya. Ini tidak bermakna
murid lain akan diabaikan, guru perlu membahagikan layanan yang sama rata
walaupun tumpuan yang lebih terarah kepada murid yang lemah.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 1245,1246), perkataan pulih
bermaksud kembali seperti biasa, sembuh, atau baik semula. Maksud perkataan
pulih di sini adalah berkait rapat dengan kanak – kanak yang menghadapi kesulitan
dalam pembelajaran dan dilatih dengan lebih berkesan untuk memperbaiki masalah
pembelajaran mereka. Pendidikan pemulihan biasanya dikaitkan dengan usaha –
usaha untuk membaiki sesuatu kekurangan dan membetulkan sesuatu yang tidak
betul. Ia bertujuan untuk mengatasi masalah kelemahan yang dihadapi oleh guru
dan murid dalam proses pengajaran dan pemulihan.
Pringle (1966) menyatakan, “Pengajaran yang mempunyai pendekatan khas
yang diperlukan oleh semua murid yang mundur dalam satu – satu mata pelajaran
serta berkemahuan dan berkebolehan belajar, melalui latihan yang sistematik dan
dapat memenuhi keperluan-keperluan mereka.” Ini menunjukkan keperluan murid
pemulihan adalah berbeza dengan keperluan murid pengayaan. Keperluan yang
dimaksudkan ialah dari aspek penerimaan ilmu pengetahuan untuk menguji sejauh
mana pengajaran pada ketika itu bermakna ataupun sebaliknya.
Sampson (1975) dalam http://www.slideshare.net/shockgadof/pemulihan-
dan-pengayaan-kumpulan-4 yang dilayari pada 13 Februari 2015 pula mentafsirkan
pendidikan pemulihan merupakan tindakan – tindakan khusus yang diambil untuk
mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesulitan dari segi
pembelajaran dalam kelas khas di sekolah biasa, di pusat – pusat khusus yang
dihadiri oleh murid secara sambilan, dalam kumpulan yang diasingkan daripada
sekolah biasa dan dalam darjah untuk pengajaran khusus oleh guru pemulihan.
Pernyataan ini menunjukkan dasar sesebuah sekolah sebagai alternatif untuk
membantu murid – murid yang lemah terutamanya dalam sesuatu mata pelajaran
khususnya Bahasa Melayu. Pemulihan ini terbahagi kepada dua bahagian yang
berbeza tetapi berada di satu konsep yang sama, iaitu pemulihan di kelas biasa dan
pemulihan di kelas khas. Perkara yang membezakan kedua – dua bahagian ini ialah
dari aspek cara dan langkah pelaksanaan yang berbeza.
Blair (1956) ada menyatakan, pemulihan ialah program khas berbentuk
tambahan bagi memenuhi keperluan kanak – kanak yang menghadapi masalah
pembelajaran agar ketidakupayaan yang menghalangnya dapat diatasi. Aktiviti
pemulihan tertumpu kepada penguasaan kemahiran. Penguasaan kemahiran ini
bermaksud tumpuan kepada satu – satu kemahiran dalam satu sesi Pengajaran dan
Pengajaran pada ketika itu sahaja. Contohnya, objektif pembelajaran pada ketika itu
adalah berfokus kepada kemahiran membaca, oleh itu aktiviti yang dijalankan
tertumpu pada kemahiran membaca. Walaupun begitu, untuk melaksanakan satu
proses pengajaran dan pembelajaran yang menarik semua kemahiran perlu
digabungjalinkan. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak.
Dalam konsep-penggabungjalinan-peyerapan.html yang dilayari pada 13 Februari
2015 menyatakan penggabungjalinan berlaku antara kemahiran berbahasa daripada
bidang yang berlainan, iaitu interbidang dengan kemahiran berbahasa dalam bidang
yang sama, iaitu intrabidang. Selain itu, aspek tatabahasa, kosa kata dan
peribahasa juga digabungjalinkan.
O. C. Simpson (1975) pula menyatakan aktiviti pemulihan merupakan
tindakan khas atau tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan
pendidikan murid yang mengalami kesulitan dari segi pembelajaran dalam kelas
khas di sekolah biasa, di pusat-pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara
sambilan, dan dalam darjah untuk pengajaran pembelajaran biasa. Dalam erti kata
lain, pemulihan ini dijalankan di luar waktu pembelajaran yang sebenar, iaitu masa –
masa yang tertentu sahaja sebagai satu tambahan kepada murid – murid.
Syarifah Alawiah Alsagoff (1983) menyatakan bahawa pemulihan ialah satu
tindakan yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami
kesusahan dari segi pembelajaran dalam darjah khas di sekolah biasa, di pusat
khusus yang diasingkan daripada sekolah biasa dan dalam darjah untuk pengajaran
pembelajaran biasa. Walau bagaimanapun, murid yang memasuki kelas khas ini
bukan dipilih secara rawak tetapi melalui satu penilaian untuk menentukan sejauh
mana kelemahan murid dan adakah murid itu layak untuk menduduki kelas biasa
atau sebaliknya kelas khas.
Ishak Harun dan Koh Boh Boon (1983) dalam
http://www.skkb.net/skkb2010/index.php?
option=com_content&view=article&id=674:konsep-dan-definisi-pendidikan-
pemulihan&catid=106:ilmu-pendidikan&Itemid=269 yang dilayari pada 14 Februari
2015 pula berpendapat bahawa pemulihan merupakan perkhidmatan khas untuk
memenuhi keperluan kanak-kanak yang menghadapi pembelajaran di sekolah
biasa. Keperluan murid yang berada di kelas biasa dengan kelas khas berbeza.
Untuk pemulihan di kelas biasa, strategi dan teknik pengajaran yang dilaksanakan
oleh guru berbeza dengan strategi dan teknik yang dijalankan di kelas khas. Ini
disebabkan murid di kelas khas lebih perlukan tumpuan yang penuh dan
bersungguh – sungguh oleh guru.
Chua (1977), mendefinisikan pengajaran pemulihan sebagai satu pengajaran
yang bertujuan untuk membantu murid yang lemah, melalui pendekatan
perseorangan dalam kelas yang diubahsuai dengan menitikberatkan perkara yang
praktis dan latih tubi, tunjuk cara yang melibatkan kegiatan dan gerak kerja yang
dimudahkan serta disampaikan dengan teratur serta dikendalikan oleh kakitangan
ikhtisas (profesional) yang terdiri daripada guru pemulihan. Kesimpulannya,
pengajaran pemulihan adalah sejenis pengajaran yang dijalankan untuk membantu
murid – murid yang lambat dalam pembelajaran di sekolah agar mereka tidak terus
ketinggalan dalam proses pendidikan di sekolah seiring dengan rakan mereka yang
lain.
Albertwhite (1977) pula menyatakan, “Pengajaran pemulihan ialah suatu
bentuk pengajaran yang diperlukan oleh kanak – kanak yang bersifat
ketidakupayaan yang disertai oleh gangguan – gangguan emosi.” Ketidakupayaan
yang dimaksudkan ialah bukan dari aspek kekurangan dalam bentuk fizikal tetapi
kekurangan dari aspek mental ataupun kognitif. Misalnya, masalah persekitaran
ataupun masalah keluarga akan memberi implikasi yang sangat besar kepada murid
kerana ini akan mengganggu emosi mereka secara langsung kerana akan berasa
tertekan dan kurang kasih sayang.
Tansley (1967) ada menyatakan, “Pengajaran pemulihan ialah satu bentuk
pengajaran yang mengutamakan langkah – langkah yang teliti dan sistematik bagi
membolehkan pengajaran pemulihan dijalankan secara tersusun dan teratur.”
Dalam mengendalikan satu pengajaran dan pembelajaran, salah satu faktor yang
mempengaruhi kejayaan atau kegagalannya proses P & P pada ketika itu ialah cara
penyusunan langkah – langkah aktiviti. Apabila langkah – langkah ataupun aktiviti –
aktiviti yang dirancang tidak dilaksanakan dengan betul akan menyebabkan proses
P & P pada ketika itu tidak teratur dan objektif pembelajaran akan tersasar.
Menurut salah seorang penulis, Collins (1961) dalam laman sesawang
http://nuraminamyblog.wordpress.com/2011/12/19/pendidikan-pemulihan-dan-
penggayaan/ yang saya layari pada 13 Februari 2015 pula menyatakan, “
Pengajaran pemulihan ialah satu bentuk pengajaran yang mengutamakan mata
pelajaran asas.” Malah beliau menegaskan pengajaran ini ialah satu kaedah
pengajaran yang istimewa bagi murid – murid yang gagal dalam mata pelajaran
asas di sekolah seperti membaca, menulis dan mengira. Mata pelajaran asas atau
mata pelajaran teras ini sangat penting untuk menguasai mata pelajaran yang lain.
Contohnya bahasa Melayu terbahagi kepada beberapa cabang yang lain lagi iaitu,
tatabahasa, penulisan, pemahaman dan lain – lain. Tanpa penguasaan asas mata
pelajaran ini murid akan menghadapi kesukaran untuk menguasai bidang yang lain.
Contohnya, dalam sub bidang dalam bahasa Malaysia murid tidak dapat dikuasai
kesemua bidang tersebut, tetapi terdapat satu bidang yang murid tersebut dapat
kuasai dengan baik
Evans (1995) pula menyatakan pengajaran pemulihan dianggap sebagai “
The ambulance of educational system.” Ini disebabkan pengajaran pemulihan ini
tidak boleh diambil kira sebagai satu pekerjaan atau pengajaran yang dilakukan
secara mengejut, mendadak atau digunakan pada waktu kecemasan sahaja.
Pengajarannya perlu dirancang dan disusun dengan rapi berdasarkan aspek –
aspek kelemahan murid. Ini bermakna pengajaran ini dilakukan dengan berperingkat
– peringkat. Apabila murid berjaya mencapai satu tahap, maka pengajaran itu
dianggap berjaya. Selepas itu, peringkat seterusnya hinggalah peringkat yang
terakhir. Satu strategi yang sistematik perlu dirangka dan disusun agar murid yang
sepatutnya mendapat perhatian yang khusus dapat dikesan. Peringkat ini selalunya
dimulakan dengan mengenal pasti masalah dengan membuat ujian saringan
ataupun teknik bersoal jawab. Melalui teknik yang digunakan secara langsung guru
dapat mengesan masalah seseorang murid berdasarkan kemahiran – kemahiran
tertentu. Strategi ini diakhiri dengan penilaian akhir. Penilaian ini dijalankan untuk
menguji sejauh mana proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan
sepanjang waktu pembelajaran itu mencapai objektifnya ataupun sebaliknya.
Menurut Ab. Rahman, et. al. (1997), dalam konteks Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah (KBSR), program pemulihan merupakan langkah-langkah khas
yang diusahakan untuk membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran
tertentu dalam menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis, dan mengira).
Mereka ini kemudiannya diberikan program pemulihan sebaik – baik sahaja masalah
mereka dapat dikesan dan dikenal pasti. Ini merupakan salah satu usaha yang telah
dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang berusaha untuk mencapai
matlamat murid – murid yang sifar LINUS. Usaha ini telah lama dilakukan di sekolah
dan dibuat penambahbaikan dari semasa ke semasa agar usaha ini berjaya dan
dapat membantu murid – murid pemulihan.
Bahagian Sekolah – sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia (1986)
menjelaskan bahawa pemulihan adalah satu usaha dalam pendidikan untuk
mengatasi masalah pembelajaran murid – murid yang lemah di sekolah rendah,
khususnya ditumpukan kepada kemahiran asas membaca, menulis dan mengira di
bawah kelolaan guru – guru pemulihan yang telah menerima latihan khas dalam
bidang ini. Ini bermakna guru yang terlatih akan diserap masuk untuk mengajar di
kelas – kelas khas sesuai dengan bidang mereka sahaja. Manakala guru biasa akan
mengajar di kelas biasa untuk mengajar murid mengikut waktu persekolahan yang
sama dengan murid – murid lain.
Berdasarkan definisi dan konsep yang telah dikemukakan dan dihuraikan
satu persatu, dapat disimpulkan bahawa pemulihan merupakan suatu aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang disediakan oleh guru untuk membantu murid
yang menghadapi masalah pembelajaran agar murid tersebut dapat menguasai
sesuatu kemahiran yang tidak dapat dikuasai dengan menggunakan strategi, bahan
– bahan pelajaran serta aktiviti alternatif yang sesuai dengan aspek kelemahan
murid. Murid – murid yang terlibat dalam pemulihan lazimnya digelar sebagai murid
lambat kerana gagal menguasai kemahiran dalam masa yang telah ditentukan.
Dalam laporan yang bertajuk Asia and Pacific Programme of Educational
Innovation for Development (1987) yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia, mentakrifkan pengajian pemulihan ialah : a process in which children with
learning problems are given practical alternatives and effectives approaches
(programmed) in education. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan Kementerian
Pelajaran Malaysia untuk menangani masalah kegagalan murid dalam menguasai
kemahiran asas dalam bacaan, tulisan, kiraan adalah dengan menjelaskan
perbezaan murid dalam Buku Panduan Am KBSR, 1982 yang wajar diberi perhatian
oleh guru ketika melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. “…setiap murid
adalah berbeza antara satu dengan lain sama ada sari segi pengalaman, tingkah
laku, amalan, kecenderungan, bakat dan kebolehannya. Perbezaan individu ini
perlulah menjadi satu pedoman atau pegangan guru dalam usaha merancang
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah…”
Kesimpulan yang boleh dibuat terhadap takrifan murid pemulihan ialah
golongan murid yang menghadapi masalah pembelajaran sama ada dalam
membaca, menulis atau mengira. Selain itu, mereka turut menunjukkan simptom
atau gejala kesulitan untuk membaca, menulis atau mengira yang mana pendidikan
pemulihan ialah sejenis pengajaran yang dijalankan untuk membantu murid-murid
lambat dalam pembelajaran di sekolah agar mereka tidak terus ketinggalan dalam
proses pendidikan di sekolah dan dapat seiring dan setaraf dengan rakan mereka
yang lain.
1.1Strategi Pengajaran
Antara strategi – strategi yang digunakan dalam pengajaran pemulihan dalam
kelas biasa ialah strategi pengajaran kumpulan kecil, strategi pengajaran individu
dan strategi pengajaran rakan sebaya.
Untuk strategi pengajaran kumpulan kecil ataupun strategi pengajaran
koperatif, murid – murid yang mengalami masalah yang sama dikumpulkan
dalam kumpulan kecil. Strategi pengajaran ini memerlukan murid dari pelbagai
kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat
yang sama (Slavin, 1982). Sasaran adalah tahap pembelajaran yang maksimum
bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk rakan-rakan yang lain. Lima
unsur asas dalam pembelajaran koperatif adalah saling bergantung antara satu
sama lain secara positif, saling berinteraksi secara bersemuka, akauntabiliti
individu atas pembelajaran diri sendiri, kemahiran koperatif, dan pemprosesan
kumpulan. Ganjaran diberi kepada individu dan kumpulan dalam pelaksanaan
kaedah ini. Individu dalam kumpulan dikehendaki menunjukkan kefahaman
masing-masing dan memainkan peranan berbeza bergilir-gilir. Kemahiran sosial
dan pemprosesan kumpulan digalakkan.
Beberapa cara pembelajaran koperatif telah diperkembangkan oleh tokoh-
tokoh pendidikan, misalnya Jigsaw, TGT (teams-games-tournaments), STAD
(Students Teams- Achievement Division), Belajar Bersama (Learning together),
Permainan Panggil Nombor (Numbered Heads), dan Meja Bulat (Round Table).
Dalam cara ini, pembahagian tugas diagihkan di kalangan murid dalam
kumpulan pelbagai kebolehan. Bahan pembelajaran dipecahkan kepada topik-
topik kecil. Setiap murid diagihkan tugas untuk mempelajari satu topik kecil.
Setelah menguasai topik kecil sendiri, murid akan mengajar rakan-rakan lain
dalam kumpulannya sehingga semua ahli kumpulan menguasai semua topik
kecil itu. Selepas itu satu aktiviti dijalankan untuk menguji sama semua ahli
kumpulan berjaya memahami dan menyempurnakan tugasan yang diberi. Jigsaw
merupakan cara pengajaran berpusatkan murid. Kemungkinan besar bahan baru
dapat dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada dan membantu penstrukturan
semula idea. Pembelajaran koperatif menggalakkan murid berinteraksi secara
aktif dan positif dalam kumpulan. Ini membolehkan perkongsian idea dan
pemeriksaan idea sendiri dalam suasana yang tidak terancam, sesuai dengan
falsafah konstruktivisme.
Melalui strategi pengajaran kumpulan kecil ini juga, dapat memudahkan
guru membimbing kumpulan ini menggunakan bahan bantu mengajar yang
dapat memberi peluang belajar kepada murid melalui penglihatan, pendengaran
dan sentuhan yang beraneka jenis untuk menarik minat serta mengukuhkan
kemahiran bahasa. Bahan pengajaran tersebut hendaklah digunakan dalam
pelbagai situasi yang berlainan. Strategi ini memberi peluang kepada murid
untuk berinteraksi, berkomunikasi, berkolaborasi dengan rakan sebaya, pakar
serta guru (More Knowledgeable Others) dengan tujuan untuk menambah baik
kemahiran bersosial di samping mengakses maklumat serta menstrukturkan
respons yang efektif kepada maklumat yang diperoleh. Interaksi yang berlaku
lazimnya dapat memotivasikan murid. Peluang untuk berinteraksi dengan orang
lain akan dapat memperluaskan pengalaman pendidikan mereka dan dapat
membawa mereka menjangkau melewati batasan bilik darjah tradisional, ilmu
pengetahuan, kemahiran-kemahiran serta guru-guru secara individu.
Strategi pengajaran individu pula menekankan tumpuan guru hanya
kepada seorang murid sahaja. Kebiasaannya, murid dalam kategori ini lebih
mudah diurus kerana guru tidak mengalami gangguan persekitaran daripada
murid semasa mengajar. Guru akan lebih mudah fokus kepada objektif
pembelajaran murid dan murid berasakan mendapat lebih perhatian daripada
guru. Masalah yang dihadapi oleh murid dapat diatasi dengan adanya bimbingan
guru ditambah lagi dengan bahan – bahan bantu belajar.
Murid yang terlibat dalam penggunaan strategi ini lazimnya merupakan
murid yang bermotivasi tinggi disebabkan mereka mempunyai peluang untuk
meneroka dengan lebih mendalam tajuk-tajuk yang mereka minati. Murid akan
mampu untuk memperkukuhkan kekuatan yang ada tentang topik berkenaan di
samping memperbaiki kelemahan tertentu yang berkaitan. Strategi ini berguna di
dalam kelas yang terdapat perbezaan keupayaan, kemahiran dan penguasaan
ilmu pengetahuan yang sangat luas dan ketara.
Untuk memastikan strategi pembelajaran sendiri dapat dilaksanakan
dengan baik dan berkesan, murid perlu mempunyai kematangan dan kebolehan
untuk bekerja di bawah pengawasan dan penyeliaan guru. Strategi pengajaran
secara sendiri atau individu akan lebih berkesan sekiranya guru dapat membuat
penilaian secara tepat tentang kebolehan murid – muridnya untuk melaksanakan
tanggungjawab belajar di samping berupaya untuk membantu dan membimbing
murid menstrukturkan tugas serta projek sesuai dengan tahap kesukaran untuk
setiap individu murid.
Gambar 1.9 : Michelle Lee, murid Tahun 3 yang dibimbing oleh cikgu Sally untuk kemahiran membaca.
Strategi pengajaran rakan sebaya pula amat penting dalam
mempengaruhi pembelajaran murid khas di dalam kelas. Ia juga dapat
meningkatkan pencapaian murid dengan memaksimumkan masa dalam proses
pengajaran dan pembelajaran akademik. Apa yang penting adalah interaksi
antara mereka dalam menjalankan tugas seperti mewujudkan kerjasama antara
mereka. Guru akan memainkan peranan sebagai perancang, melatih murid
untuk berkongsi dengan rakan-rakan sebaya agar dapat memastikan objektif
pengajaran dan pembelajaran tercapai.
Apabila mengajar dalam kelas yang mempunyai tiga kelompok murid
pemulihan dalam kuantiti yang banyak, biasanya strategi ini akan digunakan.
Murid-murid yang dilihat matang dan lebih cerdik daripada rakan yang lain akan
dibimbing dan dilatih untuk membantu melicinkan pengajaran dan pembelajaran.
Melalui pelaksanaan strategi ini, guru dapat memberi perhatian yang lebih
kepada murid – murid yang memerlukan bantuannya. Selain itu, apabila seorang murid
mendapat bantuan daripada rakannya yang lebih rapat dapat memudahkan proses
pemindahan dan penerimaan maklumat kerana mereka mempunyai pandangan yang
sama. Strategi ini merupakan salah satu latihan yang diberikan kepada murid yang
menghadapi kesukaran belajar secara sendirian dengan adanya rakan sebaya yang
dapat membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada mereka.