konstruktivisme
-
Upload
jakson-kinti -
Category
Documents
-
view
76 -
download
5
description
Transcript of konstruktivisme
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
SEKOLAH PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN SOSIAL
DTT5224 KAEDAH MENGAJAR
SEMESTER 2 SESI 2012/2013
Tajuk Kerja Kursus:
Pengakuan Pelajar:
Saya mengaku bahawa kerja kursus ini ialah hasil kerja saya sendiri. Saya sedar bahawa tindakan sewajarnya mengikut Peraturan Peperiksaan UMS akan
dikenakan sekiranya saya bersalah mengikut peraturan berkenaan.
NAMA PELAJAR
ROSMAYANTI ANAK BAYANG (PT122314CT)
NAMA PENSYARAHDR. KHALID JOHARI
KEBERKESANAN MODEL KONSTRUKTIVISME LIMA FASA NEEDHAM DALAM PENGAJARAN KOMSAS BAHASA MELAYU
ULASAN JURNAL 2 :
KEBERKESANAN MODEL KONSTRUKTIVISME LIMA FASA NEEDHAM DALAM PENGAJARAN KOMSAS BAHASA MELAYU
(The Impact Of Needham Five Phase Constructivisme Model Towards Teaching Literature Component of Malay Language)
Oleh
Zurainu Mat Jasin & Abdull Sukor Shaari. (2012). Keberkesanan model konstruktivisme lima fasa Needham dalam pengajaran Komsas bahasa melayu . Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu. 2 (1): 79-92
1.0 PENGENALAN
Jurnal yang dpilih untuk dikaji dan diulas bagi melihat kepada pengaplikasian
kaedah mengajar ialah “Keberkesanan model konstruktivisme lima fasa
Needham dalam pengajaran Komsas bahasa melayu”. Jurnal ini telah
ditulis oleh Zurainu Mat Jasin bersama Abdull Sukor Shaari yang dibukukan
dalam Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 2(1), pada tahun 2012 dengan jumlah
muka surat sebanyak 14 muka surat. Jurnal ini mengandungi enam bahagian
utama yang memuatkan bahagian Pengenalan, Sorotan Literatur, Metodologi
Kajian, Dapatan, Perbincangan dan Kesimpulan.
2.0 ULASAN JURNAL
Pengkaji dalam jurnal ini menerangkan bahawa kajian dijalankan bertujuan
mengenal pasti sama ada pengajaran komponen sastera (Komsas) Bahasa
Melayu menggunakan Model Lima Fasa Needham (1987) dapat meningkatkan
pencapaian murid bukan Melayu. Kajian kuasi eksperimen telah digunakan oleh
pengkaji dalam kajian ini ke atas 80 orang murid Cina di sebuah sekolah
meengah di negeri Kedah.
Dalam melaksanakan kajian dengan menggunakan Model Lima Fasa
Needham tersebut, pengkaji telah membahagikan 80 orang murid itu kepada
dua kumpulan , iaitu kumpulan eksperimen diajar menggunakan Model
Konstruktivisme, manakala kumpulan kawalan diajar menggunakan pendekatan
konvensional.
Data yang diperolehi oleh pengkaji telah dianalisis dengan menggunakan
Ujian-t. Daripada analisis yang dijalankan oleh pengkaji menunjukkan terdapat
perbezaan yang signifikan antara kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan
dalam ujian Pos. Min skor Komsas bagi murid kumpulan eksperimen
menunjukkan lebih tinggi berbanding min skor kumpulan kawalan dalam ujian
Pasca.
1
Dalam bahagian ini akan membincangkan dan mengulas tentang
permasalahan kaedah mengajar dengan memberi fokus kepada objektif kajian,
kaedah pengajaran yang diterapkan, kandungan subjek dan aras kelas.
2.1 OBJEKTIF KAJIAN/TUJUAN
Kajian ini dijalankan oleh pengkaji bertujuan untuk mengenal pasti kesan
penggunaan Model Konstruktivisme Lima Fasa Needham (Needham,1987) dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
Selain itu, kajian yang dijalankan oleh pengkaji juga bertujuan mengenal
pasti sama ada minat terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan
murid Cina meningkat secara signifikan atau tidak selepas pengajaran dan
pembelajaran menggunakan model yang sama.
Berdasarkan kepada objektif atau tujuan kajian ini dijalankan, pengkaji
berharap kajian ini dapat memberikan kesan kepada tingkah laku yang positif
dalam kalangan pelajar untuk meningkatkan pencapaian mata pelajaran Bahasa
Melayu.
2.2 KAEDAH PENGAJARAN MODEL KONSTRUKTIVISME LIMA FASA NEEDHAM
Proses pengajaran merupakan proses bekerja bersama pelajar untuk membantu
mereka berkebolehan dan berkemungkinan untuk belajar. Jadi guru mesti
merealisasikan proses kerjasama ini supaya penyampaian ilmiah sampai kepada
murid. Pengkaji telah menggunakan kaedah pembelajaran konstruktivisme yang
fokus kepada model konstruktivisme Lima Fasa Needham (1987) dalam kajian
ini.
Mengikut Konstruktivisme, pengetahuan dibina secara aktif oleh individu
yang berfikir. Individu ini tidak menyerap secara pasif sebarang pengetahuan
yang disampaikan oleh gurunya. Murid akan menyesuaikan sebarang maklumat
baru dengan pengetahuan sedia ada mereka untuk membentuk pengetahuan
baru dalam mindanya dengan bantuan interaksi sosial bersama rakan dan
gurunya.
Seterusnya model konstruktivisme Lima Fasa Needham merupakan
model pengajaran yang telah dicadangkan oleh Richard Needham (1987)
2
dalam kerjanya “Children Learning in Science Project”. Model ini
mengandungi lima fasa iaitu orientasi, mencungkil idea, penstrukturan
semula idea, aplikasi idea dan refleksi. Dalam kajian ini pengkaji model ini
kepada kumpulan sasaran yang merangkumi lima fasa berikut:
Orientasi
Guru menyediakan suasana pembelajaran untuk merangsang dan
menimbulkan minat murid terhadap pelajaran. Pelbagai cara dilakukan untuk
mendapatkan perhatian murid. Antaranya ialah dengan menunjukkan
tayangan video, keratan akhbar, teka-teki, lakonan dan simulasi.
Pencetusan idea
Guru merancang pelbagai bentuk aktiviti seperti perbincangan kumpulan,
menggunakan kaedah peta konsep serta membuat laporan dengan
menghubungkaitkan pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan baharu
yang akan mereka pelajari. Murid akan berbincang dalam kumpulan dan
berkongsi pengalaman yang sama serta interaksi yang rapat sesama mereka.
Guru perlu memainkan peranan sebagai fasilitator dengan membekalkan
bahan pembelajaran dan membimbing murid untuk membuat pembelajaran
inkuri atau pembelajaran berasaskan masalah yang diberi.
Penstrukturan semula idea
Guru menyediakan aktiviti atau memberi tugasan berstruktur untuk
membolehkan murid mencabar idea asal mereka atau idea rakan, dan membina
struktur pengetahuan sendiri yang lebih bermakna dan berkesan. Dalam fasa
ini, kemahiran berbahasa akan membantu murid membuat pengubahsuaian
atau penyusunan semula idea mengikut turutan dan setiap satu idea
mempunyai kesinambungan idea yang kelihatan tersusun dan terancang.
Peranan guru pula ialah mengukuhkan konsep atau idea yang tepat kepada
muridnya.
Aplikasi idea
Murid akan mengaplikasikan pengetahuan baru dengan menyelesaikan
masalah dalam situasi baharu. Situasi ini dapat mewujudkan pemahaman yang
baharu dan menggalakkan proses inkuiri di dalam diri murid.
Refleksi
3
Murid membandingkan pengetahuan asal dengan pengetahuan baharu dan
merenung kembali proses pembelajaran yang menyebabkan perubahan
kepada idea mereka. Murid juga boleh membuat refleksi untuk melihat sejauh
manakah idea asal mereka telah berubah. Guru boleh menggunakan
kaedah penulisan kendiri, perbincangan kumpulan dan catatan peribadi murid
untuk meneliti atau memantau tahap pemahaman murid-muridnya.
Menurut Noor Azliza & Lilia (2002) berlaku peningkatan markah selepas
menggunakan prototaip model ini. Malah pelajar lebih memahami tajuk dan
berminat belajar di samping pelajar mendapat pengalaman baru dan lebih
seronok belajar serta aktif melibatkan diri.
2.3 PENDEKATAN KONSTRUKTIVISME
Pendekatan konstruktivis dalam pendidikan merupakan satu inovasi tentang
gaya pengajaran dan pembelajaran pada masa kini. Konstruktivisme
menekankan kepada peranan murid dan guru sebagai pembimbing sahaja.
Kelebihan pendekatan ini ialah murid berpeluang membina pengetahuan
secara aktif melalui proses saling pengaruh antara pembelajaran terdahulu
dengan pembelajaran terbaharu. Pembelajaran terdahulu dikaitkan dengan
pembelajaran terbaharu. Perkaitan ini dibina sendiri oleh murid. Hal ini kerana
menurut teori kontruktivisme ini, konsep-konsep yang dibina pada struktur
kognitif seseorang akan berkembang dan berubah apabila ia mendapat
pengetahuan atau pengalaman baru.
Menurut McBrien & Brandt (1997) konstruktivisme adalah satu
pendekatan pengajaran berdasarkan kepada penyelidikan tentang bagaimana
manusia belajar. Kebanyakan penyelidik berpendapat setiap individu membina
pengetahuan dan bukannya hanya menerima pengetahuan daripada orang lain.
Murid membina pengetahuan mereka dengan menguji idea dan pendekatan
berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasikannya
kepada situasi baru dan mengintegrasikan pengetahuan baru yang diperoleh
dengan binaan intelektual yang sedia wujud (Briner M., 1999).
Pembelajaran menggunakan pendekatan konstruktivisme mempunyai
beberapa ciri-ciri antaranya, memberi peluang kepada murid untuk membina
4
pengetahuan baru dengan memahaminya melalui penglibatan murid dengan
situasi dunia yang sebenar serta menggalakkan proses inkuiri murid melalui
kajian dan eksperimen. Ciri seterusnya mengambil kira dapatan kajian tentang
bagaimana murid belajar sesuatu idea, mengambil kira kepercayaan dan sikap
yang dibawa oleh murid dan menggalakkan soalan atau idea yang dimulakan
oleh murid dan menggunakannya sebagai panduan merancang pengajaran.
Ciri-ciri lain pembelajaran secara konstruktivisme adalah seperti
menggalakkan murid bertanya dan berdialog dengan murid dan guru,
menganggap pembelajaran sebagai satu proses yang sama penting dengan
hasil pembelajaran, menyokong pembelajaran secara koperatif dan
menggalakkan serta menerima daya usaha dan autonomi murid.
Terdapat beberapa kelebihan dalam pengaplikasian pembelajaran secara
konstruktivisme melalui aspek yang berikut:
Berfikir
Dalam proses membina pengetahuan baru, murid akan berfikir untuk
menyelesaikan masalah, menjana idea, dan membuat keputusan yang bijak
dalam menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran. Sebagai contoh, ini
boleh dicapai melalui aktiviti penyelidikan dan penyiasatan seperti mengenal
pasti masalah, mengumpul maklumat, memproses data, membuat interpretasi
dan membuat kesimpulan.
Kefahaman
Kefahaman murid tentang sesuatu konsep dan idea lebih jelas apabila mereka
terlibat secara langsung dalam pembinaan pengetahuan baru. Seorang murid
yang memahami apa yang dipelajari akan dapat mengaplikasikan pengetahuan
yang baru dalam kehidupan dan situasi baru.
Mengingat
Setelah memahami sesuatu konsep, murid akan dapat mengingati lebih lama
konsep tersebut kerana mereka terlibat secara aktif dalam mengaitkan
pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina
pengetahuan baru.
Keyakinan
5
Murid yang belajar secara konstruktivisme diberi peluang untuk membina sendiri
kefahaman mereka tentang sesuatu. Ini menjadikan mereka lebih yakin kepada
diri sendiri dan berani menghadapi dan menyelesaikan masalah dalam situasi
baru.
Kemahiran sosial
Murid yang berkemahiran sosial boleh bekerjasama dengan orang lain dalam
menghadapi sebarang cabaran dan masalah. Kemahiran sosial ini diperoleh
apabila murid berinteraksi dengan rakan-rakan dan guru dalam membina
pengetahuan mereka.
Seronok
Dalam pembelajaran secara konstruktivisme, murid membina sendiri
pengetahuan, konsep dan idea secara aktif. Ini menjadikan mereka lebih faham,
lebih yakin dan lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayat walaupun
menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran.
2.4 KANDUNGAN SUBJEK
Pengkaji telah memilih Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merangkumi Komsas
Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 . Perincian topik tersebut adalah seperti berikut;
Komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu meliputi
karya sastera yang berbentuk cerpen, novel, drama, prosa tradisional, sajak, dan
puisi tradisional iaitu pantun, syair, gurindam, seloka dan bahasa berirama.
Novel dan antologi sastera yang terpilih dan diperakukan oleh Kementerian
Pendidikan turut digunakan.
2.5 SAMPEL : ARAS KELAS
Pengkaji telah menggunakan sampel kajian seramai 80 orang pelajar Cina
Tingkatan 5 di sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan di negeri Kedah iaitu di
Sekolah Menengah Kebangsaan Keat Hwa. Mereka dibahagikan kepada dua
kumpulan, iaitu kumpulan eksperimen diajar menggunakan model
konstruktivisme, manakala kumpulan kawalan diajar menggunakan pendekatan
konvensional. Kedua- dua kelas yang dipilih adalah setara dari segi pencapaian
Komsas Bahasa Melayu mengikut ujian pencapaian pertengahan tahun.
Pengajaran konstruktivisme berdasarkan Model Lima Fasa Needham (1987)
6
dijalankan mengikut langkah berikut: (1) orientasi, (2) Pencetusan idea, (3)
Penstrukturan semula idea, (4) Aplikasi idea dan (5) Refleksi.
3.0 PERBINCANGAN
3.1 METODOLOGI
Pengkaji melaksanakan kajian ini dengan menggunakan kaedah kuasi
eksperimental. Kaedah eksperimental ini dipilih oleh pengkaji kerana kaedah
ini boleh menghasilkan hubungan sebab dan akibat. Menurut Noraini (2010),
daripada semua jenis penyelidikan, penyelidikan eksperimen paling berstruktur
kerana kawalan dan prosedur yang dikawal. Penyelidikan ini dijalankan dalam
satu persekitaran yang terkawal. Manakala semua data yang diperlukan bagi
kajian ini akan diperoleh oleh pengkaji melalui kaedah ujian pra dan ujian pos
serta soalan soal selidik. Reka bentuk kajian pula, pengkaji menggunakan reka
bentuk Nonequivalent control group of pretest / post-test design.
3.2 INSTRUMEN KAJIAN
Pengkaji telah menggunakan kaedah pemerhatian dengan menggunakan Ujian
Komsas Pra dan Ujian Komsas Pasca yang diberikan kepada kumpulan
eksperimen dan kumpulan kawalan.
Ujian Komsas Pra diberikan kepada kumpulan eksperimen dan kumpulan
kawalan sebelum pengajaran menggunakan model konstruktivisme Lima Fasa
Needham digunakan oleh pengkaji. Selepas mengadakan ujian pra, kedua-dua
kumpulan iaitu kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan akan
didedahkan kepada pengajaran selama enam minggu. Kumpulan
eksperimen diajar menggunakan model konstruktivisme manakala
kumpulan kawalan pula diajar menggunakan model konvensional. Kemudian
pengkaji memberikan kepada kedua- dua kumpulan ujian pasca. Ujian kedua
bertujuan untuk mengkaji sejauh mana keberkesanan sesi pembelajaran secara
konstruktivisme mahupun secara konvensional. Ujian ini mengandungi satu
soalan penulisan yang sama seperti praujian. Soalan ujian yang digunakan
ialah soalan standard Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebenar.
Pengkaji dalam kajian yang dijalankan turut menggunakan analisis
inferensi yang memberikan fokus kepada Ujian-t bagi menjawab persoalan dan
menguji hipotesis yang telah dikemukakan oleh pengkaji. Ujian-t digunakan
7
oleh pengkaji dalam kajian ini bertujuan untuk melihat perbezaan nilai min
yang signifikan antara Ujian Pra dan Ujian Pasca tersebut.
3.3 DAPATAN
Dapatan kajian diperolehi melalui hasil dua ujian iaitu ujian Komsas pra dan ujian
Komsas pasca. Pengkaji telah menggunakan data yang diperolehi daripada hasil
kedua-dua ujian itu dengan menjalankan analisis inferensi. Hasil kajian tersebut
menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara kumpulan
eksperimen dan kumpulan kawalan. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan
H01 adalah diterima kerana tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam min
skor ujian Komsas pra.
Manakala dapatan kajian selepas ujian Komsas pasca dijalankan agak
berbeza kerana terdapatnya perbezaan yang signifikan dalam min skor antara
pencapaian kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan setelah model
konstruktivisme Lima Fasa Needham diaplikasikan ke atas kumpulan Eksperimen
dengan erti kata yang lain H02 ditolak.
3.4 PERBINCANGAN
Hasil dapatan kajian terhadap 80 orang murid eksperimen yang terdiri
daripada murid Cina dalam dua buah kelas di sebuah sekolah menengah
jenis kebangsaan telah berjaya mengenal pasti bahawa terdapat perbezaan
yang signifikan antara kumpulan yang didedahkan dengan pengajaran
konstruktivisme Lima Fasa Needham (1987) dengan kumpulan yang didedahkan
dengan pengajaran konvensional dalam Komsas Bahasa Melayu.
Hasil kajian ini bertepatan dengan kajian yang telah dilakukan oleh
Noor Azliza dan Lilia (2002), yang mendapati penggunaan Model Lima Fasa
Needham (1987), telah memberi kesan yang positif dalam hasil pembelajaran
sains. Dalam masa yang sama terdapatnya peningkatan markah yang signifikan
terhadap murid yang dikaji selepas menggunakan prototaip dan murid juga
didapati lebih memahami tajuk. Dapatan kajian ini juga selari dengan kajian
yang telah dijalankan oleh Subadrah Nair dan Malar Muthiah (2005), mendapati
murid lebih mudah memahami mata pelajaran Sejarah dan lebih berminat
belajar subjek ini.
8
Abdul Jalil dan Bahtiar (2005), mendapati pembelajaran secara
konstruktivisme dalam membimbing murid menulis karangan berpandu telah
memberi kesan yang sangat efektif dan signifikan kepada murid-murid kerana
belajar bahasa adalah proses yang berterusan dan memerlukan pemerhatian
guru kerana penguasaan bahasa juga adalah satu proses sosial yang utama.
Situasi ini amat selari dengan kajian yang dijalankan oleh pengkaji kerana
didapati pendekatan konstruktivisme telah memberi peluang kepada murid
untuk belajar secara berkumpulan dalam melakukan setiap aktiviti.
Selain itu, dapatan kajian oleh Fahriye, Zehra dan Aytekin (2008), dalam
kajian mereka yang menggunakan Pendekatan Konstruktivisme mendapati
bahawa murid dapat mempelbagaikan aktiviti seperti portfolio, kerja
kumpulan dan sebagainya. Mereka yang mempunyai masalah bertutur dalam
Bahasa Inggeris telah melibatkan diri secara aktif dalam perbincangan
kumpulan. Kajian ini juga menyokong dapatan kajian Affendi dan Mohamed
Amin (2010), yang menggunakan pendekatan konstruktivisme dalam merangka
kemudahan belajar secara atas talian. Kajian mereka mendapati bahawa
murid lebih mudah memberi maklum balas sekiranya murid didedahkan
dengan pembelajaran konstruktivisme kerana murid dapat membuat pencarian
maklumat sendiri mengikut kehendak dan kesediaan masing-masing.
4.0 KRITIKAN
Dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan Tingkatan 5
menggariskan beberapa pendekatan yang perlu diaplikasikan oleh guru dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa
Melayu KBSM yang disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (2000) telah
menyarankan beberapa kaedah dan teknik dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Beberapa teknik yang disarankan seperti Pendekatan Berpusatkan
Pelajar, Kepelbagaian Teknik, Kepelbagaian Sumber Bahan, Penggunaan
Tatabahasa yang Tepat, Pengajaran dan Pembelajaran Bertema, Bacaan Luas,
Penggabungjalinan, Penyerapan, Penilaian, Pemulihan dan Pengayaan. Menurut
Abdul Rahim (1998), faktor kegagalan guru dalam penggunaan kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang sesuai menyebabkan pelajar berasa bosan,
mengantuk dan berasa jemu.
9
Melalui konstruktivisme, guru akan mengenal pasti tahap pengetahuan
murid dan
dapat merancang kaedah pengajarannya berdasarkan tahap pengetahuan
tersebut. Ilmu pengetahuan yang dimilki murid adalah hasil daripada aktiviti
yang
dilakukan oleh minat tersebut dan bukannya pengajaran yang diterima secara
pasif. Penggunaan teori konstruktivisme sangat penting kerana ia merupakan
satu perubahan paradigma daripada pendekatan behaviourisme kepada
pendekatan yang berasaskan teori Kognitif.
Kaedah pengajaran konstruktivisme adalah cara terbaik dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid lebih mudah memahami subjek
pengajaran kerana mempunyai pengalaman sendiri. Manakala bagi mereka
yang tiada pengalaman pula, mereka boleh berkongsi bersama rakan-rakan
sebaya dan menghubung kaitkan dengan pengalaman yang hampir serupa.
Walau bagaimanapun, pembelajaran menggunakan pendekatan
konstruktivisme juga seperti pendekatan pembelajaran yang lain turut
mempunyai kelemahan iaitu;
Pendekatan ini akan menjadi penghalang kepada kefahaman konsep dalam
pembelajaran kerana tidak selaras dengan pandangan saintifik. Oleh yang
demikian pendekatan ini boleh menimbulkan kesusahan kepada murid untuk
mengasimilasikan dan menyusun idea saintifik baru yang diperolehinya.
Ketidaksediaan murid untuk merancang strategi, berfikir, menilai sendiri teori
pengajaran berdasarkan pengalaman sendiri. Tidak semua murid mempunyai
pengalaman yang sama atau menepati apa yang akan diajar oleh guru. Hal ini
secara langsung akan menimbulkan masalah yang menyebabkan sesuatu aktiviti
atau proses pembelajaran dan pengajaran akan menjadi tidak berkesan atau
mencapai objektif seperti yang diharapkan oleh guru.
Setelah meneliti kelemahan pembelajaran pendekatan konstruktivisme,
penambahbaikan perlu diambil seperti meningkatkan lagi peranan guru apabila
aktiviti dalam kelas diadakan. Selain itu teknik pembahagian kumpulan dalam
kalangan murid mestilah berpandukan kepada guru, supaya kumpulan menjadi
lebih teratur dan aktiviti dapat dijalankan dengan cepat. Guru juga mesti memberi
10
pengukuhan dan peneguhan kepada murid-murid semasa proses pembelajaran
dan pengajaran diadakan di samping memberikan penjelasan yang ringkas dan
tepat beserta pujian akan menambahkan minat untuk belajar di kalangan murid.
5.0 KESIMPULAN
Selaras dengan perkembangan pendidikan di abad ke 21 ini, didapati corak
pembelajaran perlu memberi ruang dan peluang kepada murid untuk
mendapatkan sendiri ilmu sementara guru menjadi fasilitator sahaja. Oleh itu,
guru perlu bijak dalam menggunakan pendekatan pembelajaran yang sesuai
dengan gaya pembelajaran murid bagi mencapai anjakan paradigma pedagogi
dunia pendidikan.
Kajian ini telah membuktikan bahawa pembelajaran menggunakan model
konstruktivisme Lima Fasa Needham (1987) mampu memberi kesan yang positif
dan signifikan bagi meningkatkan prestasi pencapaian murid bukan Melayu
dalam Komsas Bahasa Melayu. Jelasnya pendekatan pembelajaran dan
pengajaran secara konstruktivisme lebih efektif berbanding pendekatan
pengajaran tradisional. Kesimpulannya, pendekatan konstruktivisme wajar
dilaksanakan oleh guru dalam proses pembelajaran dan pengajaran yang
melibatkan mata pelajaran yang agak membosankan seperti Bahasa Melayu,
Sejarah dan sebagainya agar dapat menarik minat murid.
RUJUKAN
Abdul Jalil Othman & Bahtiar Omar. (2005). Apilikasi pembelajaran secara
konstruktivisme dalam pengajaran karangan berpandu. Makalah
Pendidikan, 4:6-8.
Abdul Rahim Rashid.(1998). Ilmu Sejarah: Teori dan amalan dalam pengajaran
dan pembelajaran. Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Afendi Hamat & Mohamed Amin Embi. (2010). Constructivism in the design of
online learnings tools. European Journal of Educational Studies, 2:3-13.
Briner,M.(1999).[Online] Dicapai pada 17/12/2012 melalui
http://carbon.cudenver.edu/~mryder/itc_data/constructivism.html
11
Fahriye Altinay Aksal, Zehra Altinay Gazi & Aytekin Isman. (2008). A
comprehensive look into the learners’ transferable skills related to
constructivist approach. World Applied Sciences Journal, 4 (4): 558-567.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2000). Huraian sukatan pelajaran Bahasa
Melayu edisi penyesuaian. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum,
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2003). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Konstruktivisme sebagai perspektif kontemporari yang dominan dalam
pembelajaran Sains. Dicapai pada 10/12/2012 melalui
http://azman.ipgmksm.edu.my/sce3102/topik9.pdf
Mad Rosli Saraamu (2009).Teori Konstruktivisme Model Needham. Dicapai pada
13/12/2012 melalui: http://mrosli79family.blogspot.com/
Mc Brien, J.L. & Brandt, R.S. (1997). The language of learning: A guide to
education terms. Alexandria VA: Association for Supervision and
Curriculum Development.
Needham, R. (1987). Teaching strategies for developing understanding in
Science. The University Leeds: Centre for Studies in Science and
Mathematics Education.
Noor Azliza Che Mat & Lilia Halim. (2002). Reka bentuk dan keberkesanan
pembelajaran berbantukan multimedia pendekatan konstruktivisme bagi
Sains KBSM. Jurnal Teknologi, 36, 1-38.
Noraini Idris. (2010). Penyelidikan dalam pendidikan. Kuala Lumpur: Mc Graw-Hill
(M) Sdn Bhd.
12
Penggunaan teori konstruktivisme dalam pengajaran dan pembelajaran fizik.
Dicapai pada 10/12/2012 melalui
http://burhan-cikgubob.blogspot.com/2009/02/penggunaan-teori-
konstruktivisme-dalam.html
Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Pembelajaran secara Konstruktivisme.
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Subadrah Nair & Malar Muthiah. (2005). Penggunaan model konstruktivisme lima
fasa Needham dalam pembelajaran sejarah. Jurnal Pendidik dan
Pendidikan, 20:21-41.
13