Koridor Raya Multimedia

download Koridor Raya Multimedia

of 3

Transcript of Koridor Raya Multimedia

Koridor Raya Multimedia (MSC) kini sudah berusia tiga belas tahun sejak dilancarkan pada 29 Ogos 1985. Sehingga tahun 2006, sebanyak 1728 buah syarikat telah diberi status MSC. Pelaburan di MSC pada akhir tahun 2005 sudah mencecah angka RM89.9 bilion. Berdasarkan hakikat itu, bincangkan sumbangan MSC kepada masa depan Malaysia serta langkah-langkah untuk menjamin kejayaannya. MSC merupakan projek terpenting kerajaan Malaysia pada masa ini. Semua syarikat teknologi maklumat dan komunikasi terkemuka dunia bersetuju melabur di MSC. Universiti terunggul dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi juga membuka cawangan di MSC. Hakikat ini menunjukkan MSC amat penting kepada semua pihak, khususnya Malaysia. Memang MSC banyak memberikan sumbangan kepada negara. Antara lain, kewujudan MSC telah dapat memajukan serta melancarkan sistem pengurusan dan pentadbiran kerajaan. Hal ini demikian kerana kebanyakan badan kerajaan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi dalam urusan mereka. Langkah ini membolehkan kerja mengurus dokumen, pendaftaran, pembayaran dan permohonan lesen menjadi lebih tepat dan cekap. Data dapat diproses dengan segera dan sebagai hasilnya memudahkan urusan orang ramai dengan badan-badan kerajaan. Banyak masa, tenaga dan wang kerajaan serta rakyat dapat dijimatkan. Keberkesanan ini menimbulkan suatu bentuk keyakinan dan tanggapan baharu terhadap badan-badan kerajaan, umumnya, dan kerajaan sendiri, khususnya. Semua perkembangan positif ini memungkinkan Malaysia mencapai wawasannya dengan lebih cepat. MSC juga dapat memajukan sistem pendidikan negara. Hal ini demikian kerana penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) oleh institusi pendidikan di negara ini membolehkan institusi terbabit memperoleh maklumat daripada seluruh dunia. Penggunaan sidang video dan Internet yang merupakan antara unsur penting dalam perkembangan multimedia adalah lebih berkesan dan tidak membosankan. Perolehan segala bentuk maklumat dalam kalangan pelajar meningkatkan prestasi akademik mereka dan dengan itu matlamat untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan memiliki daya intelek yang tinggi dapat direalisasikan. Di samping itu, MSC telah dapat meningkatkan taraf kesihatan rakyat. Hal ini demikian kerana kewujudan MSC membolehkan doktor tempatan berbincang dan bertukar-tukar maklumat dan pengetahuan dengan pakar-pakar perubatan di seluruh dunia. Dalam kes-kes tertentu, pesakit tidak perlu lagi menjalani rawatan di luar negara kerana pakar luar negara dapat merawat pesakit di Malaysia melalui teleperubatan dengan bantuan doktor tempatan. Malah MSC juga mempercepat dan mempermudah penyebaran sebarang penemuan ubat dan rawatan. Hasil daripada semua manfaat itu

membolehkan rakyat di negara ini mendapat rawatan yang cepat, jimat dan lebih selamat. MSC juga merupakan pusat pemasaran tanpa sempadan. Dalam hal ini, MSC menawarkan pelbagai kemudahan, khususnya kemudahan telekmonukasi yang kini meruopakan unsur terpenting dalam lapangan perdagangan. Kemudahan telekomunikasi seperti sidang video, mesin faksimili, Internet, dan e-mel yang disediakan MSC membolehkan peniaga dan pengusaha mengendalikan perniagaan mereka di seluruh dunia. Sebagai hasilnya, urusan perniagaan antarabangsa mereka berjalan lancar dan lebih meluas dan dengan ini memungkinkan Malaysia menjadi destinasi dan fokus perdagangan antarabangsa. MSC juga membantu mewujudkan kerjasama dan persefahaman sejagat kerana setiap kelompok masyarakat di dunia ini dapat berhubung dan berinteraksi antara satu sama lain. Selain dapat bertukar-tukar maklumat dan ilmu pengetahuan, MSC membolehkan kita berkongsi pengalaman dan perasaan dan seterusnya menjalin hubungan kasih sayang sesama manusia. Dengan ini, salah faham yang semakin merebak dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia dapat dikurangkan. Hal ini dapat dilihat melalui kejadian tsunami yang melanda Asia pada penghujung tahun 2004 yang lalu. Selain membolehkan kita mengetahui khabar sedih itu dengan cepat, MSC membolehkan kita menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara yang terbabit dalam tempoh 24 jam. MSC menggalakkan pelabur asing membawa teknologi baharu dan canggih ke negara ini. Hasil daripada galakan itu telah dan akan menggalakkan pemindahan teknologi negara ini. Pusat penyelidikan dan pembangunan (P&P) teknologi multimedia/teknologi canggih mula muncul. Beberapa syarikat komputer seperti Microsoft, IBM, Acer, Intel dan sebagainya lambat-laun akan menjalankan P & P mereka di MSC. Penglibatan rakyat negara ini dalam P & P yang diusahakan syarikat itu akan melahirkan rakyat yang mahir dan terlatih dan seterusnya mampu menyerap teknologi canggih asing. Dalam jangka panjang, Malaysia akan mampu mencipta teknologi P & Pnya sendiri. Untuk menjamin kejayaan MSC, kerajaan menawarkan pelbagai kemudahan infrastruktur kepada para pelabur MSC. Malaysia telah menyediakan sistem perhubungan udara yang tercanggih melalui pembinaan KLIA. Kemudahan perhubungan udara ini dapat menampung urusan keluar masuk pakar multimedia di Malaysia. Selain itu, kerajaan Malaysia juga menyediakan sistem jaringan jalan darat yang baik. Pembinaan sistem transit aliran ringan, monorel, komuter, serta pelbagai lebuh raya memudahkan pergerakan para pelabur. Untuk melancarkan operasi, kawasan pejabat

termoden disediakan di Cyberjaya dan KLCC. Untuk keselesaan pula, kawasan kediaman berkualiti ditawarkan. Begitu juga halnya dengan sistem komunikasi. Sistem ini dibekalkan melalui MEASAT 1, 2 dan 3 serta Tiung-sat dan Razak-sat. Kejayaan MSC juga terjamin dengan adanya perlindungan undang-undang kepada para pelabur. Kini, Akta Siber telah mula dikuatkuasakan. Hukuman yang berat akan dikenakan terhadap penjenayah komputer. Jenayah pemalsuan multimedia, cetak rompak, pencerobohan, pemusnahan data syarikat dan penyiaran bahan lucah dapat disekat. Dengan itu, penggunaan teknologi multimedia akan lebih selamat. Akta Harta Intelek juga digubal. Hal ini dapat mencegah kegiatan cetak rompak TMK. Pakar yang nenghasilkan teknologi ini akan mendapat pulangan yang setimpal. Penawaran pelbagai kemudahan insentif juga dapat menjamin kejayaan MSC. Dalam hal ini, kerajaan telah memberikan pengecualian cukai kepada pelabur-pelabur asing di MSC. Pengecualian ini menguntungkan syarikat multimedia yang menjalankan P & P di sini. Pakar-pakar asing juga akan diberi kebebasan keluar masuk dan dengan itu ahli keluarga mereka boleh tinggal di sini dengan lebih lama tanpa banyak sekatan. Selain itu, peratusan saham yang harus dimiliki oleh rakyat kita dilonggarkan. Semua insentif ini akan memudahkan pelabur asing melabur di MSC. MSC merupkan projek yang paling menyerlah dalam sejarah multimedia dunia. Hanya Malaysia sahaja yang berani mengharung cabaran membina MSC yang terulung di dunia. Kita, sebagai rakyat Malaysia, wajar berasa bangga dan mestilah turut menjayakannya.