Kuiz 1
-
Upload
shereen-choo -
Category
Documents
-
view
49 -
download
0
description
Transcript of Kuiz 1
Pengajaran Peristiwa 13 Mei 1969 memerlukan kewujudan hubungan etnik yang harmonis.
Bincangkan.
Malaysia pernah melalui pelbagai peristiwa pahit yang menjejaskan hubungan etnik
sejak zaman penjajahan sehingga selepas kemerdekaan iaitu Peristiwa 13 Mei 1969.
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu tragedi yang banyak meninggalkan kesan terhadap
politik, ekonomi dan sosial masyarakat di Malaysia. Peristiwa 13 Mei sememangnya bukan
suatu peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba. Peristiwa 13 Mei ini merupakan suatu rentetan
kepada sebab-sebab atau peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Kesan pendudukan
Jepun di Tanah Melayu merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada
peristiwa 13 Mei ini. Selain itu, kesan peninggalan penjajah Inggeris juga boleh dilihat
sebagai punca kepada peristiwa tersebut. Amalan diskriminasi oleh Inggeris contohnya telah
banyak merenggangkan hubungan antara kaum di Tanah Melayu.
Pernyataan bahawa pengajaran Peristiwa 13 Mei 1969 memerlukan kewujudan
hubungan etnik yang harmonis memanglah tidak dapat dipertikaikan lagi. Sebagaimana kita
ketahui bahawa tanggal 13 Mei 1969 tercetus disebabkan oleh berlakunya pertelingkahan
kaum sehingga rusuhan besar terjadi. Peristiwa tersebut telah mengorbankan ramai orang
dan telah mengakibatkan kerugian harta benda yang banyak. Kewujudan jurang antara
kaum yang ketara, pengenalan kaum mengikut sosial dan ekonomi, permasalahan dalam
pemahaman perlembagaan oleh masyarakat serta perasaan tidak puas hati melihat hak
keistimewaan orang Melayu menjadi keutamaan telah menjadi titik tolak kepada tercetusnya
tragedi 13 Mei 1969.
Terdapat beberapa punca tragedi 13 Mei 1969. Antaranya adalah Dasar Pecah dan
Perintah yang diperkenalkan oleh British telah meninggalkan kesan buruk kepada negara.
Hal ini telah mewujudkan pemisahan dan pengenalan kaum mengikut ekonomi. Misalnya,
orang Melayu digalakkan tinggal di kampung, kaum Cina digalakkan tinggal di bandar
manakala kaum India digalakkan tinggal di estet-estet. Oleh itu, orang Melayu melihat
perkara ini sebagai tidak adil bagi mereka sebagai penduduk pribumi dan kemarahan orang
Melayu terhadap ketidakadilan ekonomi telah mendorong kepada masalah pepecahan
kaum.
Selain itu, pengistiharaan penubuhan Malaysia pada 1961 oleh Tunku Abdul
Rahman telah menjadi kejutan kepada rakyat berbilang kaum di Malaysia. Situasi ini telah
mendorong kepada berlakunya ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk. Ketegangan
yang wujud ini ditambah pula dengan rakyat Singapura majoritinya orang Cina dan PAP
yang mempunyai keinginan untuk campur tangan dalam arena politik Tanah Melayu. Oleh
itu, situasi ini telah mendorong kepada penyingkiran Singapura daripada gagasan Malaysia.
Namun tindakan Lee Kuan Yeew yang meninggalkan legasi PAP di Malaysia iaitu DAP telah
mencetuskan masalah kepada negara.
Di samping itu, ketiadaan hubungan terus-menerus di antara kaum, ditambah pula
dengan anasir-anasir anti-kerajaan yang meluas dalam negara dan tidak memahami
beberapa peruntukan multak dalam perlembagaan Malaysia telah mendorong kepada
rusuhan kaum berlaku. Situasi ini mungkin diakibatkan oleh tidak mempunyai kesediaan
untuk merdeka dengan situasi yang ada pada ketika itu dengan rakyat Melayu yang
terpaksa ‘berkongsi’ negara ini dengan bangsa lain terutamanya kaum Cina dan kaum India.
Terdapat juga beberapa perkara yang mendorong kejadian ini seperti beberapa peruntukan
perlembagaan yang dilihat banyak merugikan orang Melayu, terutamanya dalam hal
kerakyatan. Faktor-faktor ini telah memperjelaskan bahawa hubungan etnik yang harmonis
dapat mencegah rusuhan kaum tersebut.
Peristiwa 13 Mei ini telah menjadi satu era baru untuk Malaysia dan orang Melayu
khususnya. Beberapa kesan langsung yang terjadi akibat daripada 13 Mei adalah
pengisytiharan oleh Duli yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri iaitu darurat
di seluruh negara. Pada masa itu, terdapat banyak sistem awam lumpuh, sistem kenderaan
awam, kereta api, pelabuhan lumpuh akibat rusuhan yang berlaku. Fungsi kerajaan pusat
lumpuh dan mengakibatkan polis dan tentera mengambil bahagian dan berperanan dalam
memastikan keamanan dan mengawal situasi. Sistem kerajaan berparlimen telah
dibubarkan pada 16 Mei 1969. Pilihan raya Sabah dan Sarawak dijadualkan selepas Pilihan
raya Kebangsaan telah ditangguhkan. Kesan yang amat besar adalah dapat dilihat
bagaimana sistem kerajaan berparlimen hanya dapat dipulihkan semula pada 23 Februari
1971. Selama pergantungan parlimen, Majlis Gerakan Rakyat (MEGERAN) telah
berperanan sebagai badan perlaksanaan pentadbiran Negara untuk memupuk perpaduan
antara kaum di negara kita.
Justeru, adalah penting bagi pihak kerajaan untuk merancang cara-cara untuk
membentuk perpaduan kaum bagi melahirkan sebuah negara yang utuh. Dasar Ekonomi
Baru (DEB) yang dirancangkan oleh kerajaan pada 1971 merupakan satu usaha yang
bertujuan untuk mengimbangi kembali kedudukan ekonomi dan hubungan antara kaum di
Malaysia. Melalui dasar ini, kerajaan bertindak untuk merapatkan jurang kekayaan antara
golongan kaya dan golongan miskin tanpa mengira kaum kerana ketidakseimbangan
kekayaan terutamanya antara kaum hanya akan mencetuskan suasana yang tidak harmoni
akibat rasa tidak puas hati antara satu sama lain. Antara program dan perancangan yang
telah dilaksanakan adalah seperti penyediaan infrastruktur parit dan tali air termasuk
pemberian subsidi dan kredit bagi membolehkan pesawah melaksanakan penanaman padi
dua kali setahun. Selain itu, kerajaan telah menyediakan skim penanaman semula yang
menggalakkan penggunaan benih kacukan berhasil tinggi, termasuk pemberian kredit dan
subsidi sara hidup serta bantuan untuk pembiakan ikan dan kegiatan ternakan yang
ditujukan kepada pekebun kecil. Hal ini bertujuan untuk mengurangkan jurang kemiskinan
antara kaum dan seterusnya dapat menjalin hubungan etnik yang harmonis di negara kita.
Ekoran daripada Peristiwa 13 Mei 1969, Jabatan Perpaduan Negara (kini dikenali
sebagai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Negara JPNIN di bawah Kementerian
Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan) ditubuhkan bagi menggerakkan
program-program yang boleh memupuk perpaduan dan muhibah dalam masyarakat.
Selanjutnya, pelbagai program dari Rukun Tetangga sehingga kepada program Sekolah
Wawasan dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah direka dan dilaksanakan
sebegitu rupa untuk menangani dan memupuk perpaduan serta integrasi secara lebih
menyeluruh. Sebagai contohnya, PLKN adalah untuk membangunkan para remaja agar
lebih patriotik dan cinta akan negara dengan mengisi pelbagai aktiviti yang melibatkan
fizikal, mental, pembinaan karektor, kenegaraan dan kemasyarakatan. Walaupun pada awal
tahun pelaksanaannya menerima pelbagai reaksi dan kritikan lebih-lebih lagi dari segi
pengurusan, namun kini telah diakui okeh pelbagai pihak bahawa program ini dapat
membentuk sikap yang lebih positif dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum terhadap
diri, keluarga, masyarakat dan negara. Di samping itu, pergaulan antara etnik juga dapat
diperbaiki dengan penglibatan semua peserta dalam aktiviti kerjasama dan berkumpulan.
Tambahan pula, Rukun Negara telah dibentuk bagi membina satu jati diri yang sama
dalam membina sebuah negara bangsa. Rukun Negara merupakan satu dasar yang dibina
agar menjadi dasar hidup rakyat yang berbilang kaum dan bangsa di Malaysia. Tujuan ini
adalah untuk membina satu masyarakat yang bersatu padu dan merupakan satu bangsa
yang kuat dan maju dalam sebuah negara yang adil, aman dan makmur iaitu negara
Malaysia. Rukun Negara juga sebagai satu lambang perpaduan dan ke arah pembinaan
sebuah negara bangsa yang berdaulat dengan mendukung beberapa prinsip utama yang
mana kesemuanya adalah satu tujuan iaitu membina sebuah negara dan bangsa yang
bersatu. Rukun Negara ini sememangnya dapat memupuk hubungan etnik yang harmonis
dalam kalangan rakyat jelata.
Masalah 13 Mei 1969 jika dilihat dari satu aspek sememangnya banyak memberikan
kesan negatif terhadap negara kita tetapi jika dilihat pula dari satu sudut yang lain, ia
sebenarnya banyak memberi kebaikan kepada kita semua rakyat Malaysia. Melalui peristiwa
berdarah itulah kita kini dapat hidup dan membentuk sebuah negara Malaysia yang aman
damai, harmoni hinggakan menjadi sebutan dunia kerana sebuah negara yang rakyatnya
berbilang kaum dapat hidup bersama dalam keadaan dan suasana yang aman damai.
Peristiwa 13 Mei merupakan satu titik tolak ke arah kebaikan kepada negara kita kerana
selepas sahaja peristiwa tersebut berlaku hampir semua pihak mulai sedar dan saling
bekerjasama membentuk perpaduan yang lebih jitu seperti yang dapat kita saksikan kini.
Maka perpaduan adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat kerana
perpaduan merupakan matlamat penting bagi pentadbiran dan pembangunan sesebuah
negara. Kesimpulannya, hubungan etnik yang harmonis mampu menjamin keharmonian dan
ketenteraman sesebuah negara.