Laporan Bersama Perbadanan Putrajaya Wow
Transcript of Laporan Bersama Perbadanan Putrajaya Wow
LAPORAN USAHASAMA DEMONSTRASI PEMBUATAN BAJA KOMPOS DAN
PENGURUSAN GARDEN WASTE BERSAMA PERBADANAN PUTRAJAYA DI
KARNIVAL WOW PUTRAJAYA
Pada 25 Februari 2012 (Sabtu), satu usahasama demonstrasi pembuatan baja
kompos dan pengurusan garden waste bersama Perbadanan Putrajaya di Karnival
Wow telah dilaksanakan oleh 12 orang pelajar PISMP 3.13 jurusan Pengajian Sosial
ambilan Januari 2011 bertempat di Sisiran Tasik Presint 2, Putrajaya. Lawatan
usahasama ini telah berlangsung selama empat jam bermula dari pukul 8.30 pagi
sehingga 12.30 tengahari. Karnival ini telah diadakan selama tiga hari berturut-turut
bersempena dengan Sambutan 10 Tahun Pengisytiharaan Putrajaya Sebagai
Wilayah Persekutuan.
Lawatan usahasama ini bertujuan untuk memberikan pendedahan secara
menyeluruh kepada para pelajar tentang cara penghasilan baja kompos dan garden
waste sebagai pelengkap kepada teori yang dipelajari melalui aplikasi kerja praktikal.
Hal ini juga selaras dengan matlamat IPG Lestari untuk memastikan kelestarian
dalam institut. Lawatan usahasama ini sangat penting dalam memantapkan lagi
pemahaman dan penghayatan pelajar terhadap penghasilan dan penggunaan baja
kompos dan garden waste disamping memenuhi keperluan sukatan mata pelajaran
Pendidikan Pembangunan Lestari (PSS 3105).
Seramai 12 orang pelajar telah berkumpul di hadapan kafe perempuan pada
pukul 7.15 pagi dan bertolak dari Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam
pada pukul 7.45 pagi. Kami tiba di tapak ekspo Sisiran Tasik Presint 2, Putrajaya
pada pukul 8.20 pagi. Ketibaan kami disambut mesra oleh Puan Salwa iaitu
Penolong Pengurus Lawatan Perbadanan Putrajaya. Kami telah berkumpul di tapak
perasmian ‘Majlis Pelancaran Pengenalan Master Gardener dan Ahli Arborist’ untuk
menghadiri majlis perasmian yang akan berlangsung pada pukul 9.30 pagi. Majlis
perasmian telah dirasmikan oleh YB Datuk M. Saravanan, Timbalan Menteri Wilayah
Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Dalam ucapannya, beliau ingin menjadikan
Putrajaya sebagai bandar dalam taman dan bandar yang lestari.
Gambar 1 : Antara pelajar PISMP 3.13 yang menghadiri demonstrasi baja kompos dan
pengurusan garden waste di Karnival Wow Putrajaya
Gambar 2 : YB Datuk M. Saravanan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar merasmikan ‘Majlis Pengenalan Master Gardener Dan Ahli Arborist’
Setelah merasmikan ‘Majlis Pengenalan Master Gardener Dan Ahli Arborist’,
demonstrasi pemangkasan dari pokok ke pokok telah dilakukan oleh seorang ahli
tree climber yang profesional yang turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Wilayah
Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan
Sri Samsudin Osman. Kemudian, dahan pokok yang telah dipangkas oleh ahli tree
climber tersebut telah diberikan kepada YB Datuk M. Saravanan untuk dikisar dalam
mesin pengisar. Hasil kisaran dahan pokok itu akan digunakan oleh pihak yang
tertentu untuk dijadikan baja kompos dengan menggunakan garden waste tersebut.
Gambar 3 : Ahli tree climber membuat demonstrasi pemangkasan dari pokok ke pokok
Gambar 4 : YB Datuk M. Saravanan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar memasukkan dahan yang dipangkas ke dalam mesin untuk dijadikan
baja kompos
Seterusnya, kami telah berarak ke booth Perbadanan Putrajaya untuk
menyaksikan sendiri penghasilan enzim, baja kompos dan pengurusan garden
waste. Setiap seorang daripada kami dikehendaki menghasilkan sendiri enzim
seperti yang telah disediakan oleh pihak Perbadanan Putrajaya. Pada peringkat
permulaan, kami telah diajar dan diberi penerangan yang jelas tentang penghasilan
enzim oleh En. Rahim Bin Ibrahim dan En. Fauzi Bin Mohd Noor yang merupakan
Penolong Pegawai Pertanian merangkap kepada Master Gardener di Perbadanan
Putrajaya. Taklimat yang diberikan kepada kami sangat jelas dan padat dengan ilmu
pengetahuan yang sangat bermanfaat untuk projek audit hijau dan IPG Lestari kami.
Kemudian, kami telah diberikan sebotol air minuman 500 ml, kulit buah-buahan
seperti limau dan epal, serta gula merah. Menurut penerangan yang telah diberikan
oleh master gardener, nisbah untuk menghasilkan enzim adalah 10:3:1 (air tanpa
klorin:sisa dapur:gula merah). Hal ini bermaksud, jika air yang digunakan adalah 500
ml, maka sebanyak 150 g kulit buah-buahan dan 50 g gula merah akan digunakan.
Tambahan beliau lagi, penutup botol baja kompos ini perlulah ditutup dengan ketat
dan dibuka pada setiap hari untuk membebaskan gas-gas yang akan membantu
menampal dan menutup kembali lapisan ozon yang telah bocor. Hal ini sedikit
sebanyak telah memberikan faedah kepada manusia dan alam sekitar. Setelah tiga
bulan, enzim yang telah terhasil boleh digunakan sebagai baja untuk tanaman
sayuran, berbunga dan tidak berbunga dan pelbagai kegunaan lain lagi seperti
pencuci pinggan mangkuk dan baju, kawasan tandas dan sebagainya. Kami juga
telah diberikan baja kompos dan giffi iaitu sejenis bahan sebagai pengganti kepada
tanah untuk menyemai biji benih dengan cara yang paling mudah oleh pihak
Perbadanan Putrajaya.
Gambar 5 : Taklimat dan demonstrasi penghasilan enzim oleh En. Fauzi Mohd Noor
dan En. Rahim Ibrahim, Master Gardener Perbadanan Putrajaya
Gambar 6 : Penghasilan enzim daripada kulit buah-buahan oleh pelajar PISMP 3.13
Selesai taklimat dan demonstrasi penghasilan enzim, kami telah berkunjung
ke bahagian penghasilan kraf tangan. Kesemua kraf yang dihasilkan menggunakan
daun-daun dan bunga-bunga yang telah dikeringkan. Antara contoh kraf tersebut
seperti bingkai gambar, penanda buku, kotak simpanan dan sebagainya. Antara
alatan yang digunakan seperti berus, gam polisterin, clear spray dan juga bingkai
gambar. Aktiviti ini sangat menarik kerana ini merupakan pengalaman pertama kami
menghasilkan kraf dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan semulajadi sebagai alat
hiasan.
Gambar 7 : Penghasilan hiasan bingkai gambar daripada daun-daun dan bunga-bunga
yang telah dikeringkan
Sebelum kami menamatkan sesi lawatan usahasama ini, beberapa orang
pelajar di antara kami telah mengambil peluang untuk mencuba sendiri aktiviti tree
climbing seperti yang dilakukan oleh ahli tree climber dengan bantuan daripada
beberapa orang ahli sukarelawan yang berada di tapak tersebut. Pekerjaan ini
ternyata tidak semudah yang kita lihat dan sangkakan kerana proses pemangkasan
dari pokok ke pokok memerlukan seorang yang profesional supaya aktiviti
memangkas dahan-dahan pokok ini dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Gambar 8 : Pelajar mencuba aktiviti tree climbing
Selesai sahaja kami menjalankan aktiviti yang telah disediakan oleh
Perbadanan Putrajaya, kami meminta izin untuk pulang dan memberikan
cenderamata sebagai kenang-kenangan dan penghargaan dari pihak kami kepada
Perbadanan Putrajaya atas kelapangan masa dan ilmu yang bermanfaat yang
mereka berikan kepada kami. Diharap program ilmiah seperti ini dapat dilaksanakan
lagi pada masa akan datang supaya ilmu yang bermanfaat ini dapat diturunkan
kepada generasi akan datang supaya setiap insan mempunyai tanggungjawab untuk
menjaga dan memelihara alam sekitar dan bumi kita.
Gambar 9 : Penyerahan cenderamata kepada Perbadanan Putrajaya sebagai kenang-kenangan
dan tanda penghargaan